Wednesday, April 29, 2020

HIKMAH PKP DALAM BULAN RAMADHAN

Sudah lebih sebulan rakyat Malaysia menjarakkan diri dari bersosial dan mendiam diri di rumah setelah didatangkan ujian dari Allah dengan makhluk halus yang sukar difahami kewujudannya namun nampak jelas keberadaannya sehingga menyebabkan kematian di seluruh dunia. Covid-19 dianggap sebagai ujian namun mungkin juga sebagai balasan kepada keengkaran dan kerakusan manusia ke atas amanah yang telah DIA berikan. Ujian atau bala, keduanya datang dari Allah s.w.t. yang pastinya menyuruh manusia untuk terus berfikir. Firman Allah s.w.t. dalam Al-Quran, surah Al-Baqarah ayat 44 yang bermaksud;

"Mengapa kamu menyuruh orang lain dengan (mengerjakan) kebajikan, sedangkan kamu lupa akan dirimu sendiri, padahal kamu membaca kitab (Taurat)? Tidakkah kamu berfikir?"

Suruhan berfikir ini bukan satu malah banyak terungkap di dalam Al-Quran kerana inilah peranan kitab ini untuk menjadi penyuluh kepada orang-orang yang beriman. Kadangkala, apabila mendepani Covid-19 ini dengan mudah kita menuding jari gara-gara dosa orang lain tanpa kita sendiri menilai bagaimana peranan kita dan adakah terdapat faktor kita dalam situasi ini yang mengundang ujian sebesar ini. Firman Allah s.w.t. lagi di dalam surah Al-Baqarah ayat 118 yang bermaksud;

"Dan (orang muysrikin) yang tidak berilmu pengetahuan berkata, "Alangkah eloknya kalau Allah berkata-kata dengan kami (tentang kebenaran Muhammad) atau datangkan kepada kami satu bukti yang jelas?" Demikian juga orang (kafir) yang terdahulu daripada mereka pernah berkata seperti yang dikatakan oleh mereka, hati mereka semuanya serupa (degil dan kufur). Sesungguhnya Kami telah pun menerangkan ayat-ayat (yang menjadi dalil dan bukti) kepada kaum yang mahu percaya dengan yakin."

Covid-19 adalah bentuk interaksi Allah s.w.t. dengan kita jika sekiranya kita menjadi orang yang berfikir. Dorongan berfikir adalah diasaskan oleh ilmu pengetahuan dan kembali semula kepada ayat pertama yang diwahyukan kepada Baginda Rasulullah s.a.w. dalam surah Al'Alaq ayat 1. "Bacalah dengan nama Tuhan mu yang menciptakan". Allah s.w.t. hantarkan tentera halus ini sebagai peringatan buat mereka yang beriman untuk bermuhasabah diri tentang betapa banyaknya kelalaian yang kita telah penuhkan di dalam jiwa-jiwa kita.

Insan sebagai individu, kerap kita habiskan masa untuk kepuasan peribadi kita sehingga tergungkap pada lidah kita, "yang penting aku selamat" atau "yang penting bukan aku". Sebagai muhasabah, pernahkah ayat sebegini terpacul dari lidah kita dan atas apa sebabnya? Covid-19 menegur kita, disaat Allah berikan peluang untuk kita rebut kebaikan itu, kita mementingkan diri kita hanya kerana tidak mahu penat atau susah. Beristighfarlah. Jika kita berjawatan, bagaimana dilaksana amanah kita itu? Sesempurnanya atau seadanya? Jika kita ketua keluarga adakah mereka aman bersama kita atau sebaliknya. Semua itu, Covid-19 memainkan peranannya dengan sempurna atas perintah dari Nya. Peringatan yang telah Allah s.w.t. ajarkan kepada kita di dalam Al-Quran juga dari surah Al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud;

"Dan sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan harta benda dan jiwa, serta hasil tanaman. Dan berilah berita gembira kepada orang yang sabar".

Allah berfirman dalam surah yang sama pada awalnya ayat 45 yang bermaksud;

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat, sesungguhnya solat itu amat berat kecuali kepada orang yang khusyuk."

Sebelum kehadiran Covid-19, solat kita bagaimana? Berjemaah atau bersendirian? Awal atau akhir waktu?  Sempurna atau asalkan solat? Sekiranya Covid-19 ini ujian untuk orang beriman, maka ketika ini, kitalah insan yang makin khusyuk solatnya, makin bersegera apabila masuk waktunya dan tidak akan lepaskan peluang berjemaah walaupun hanya berdua. Orang beriman akan bercita-cita untuk menjadi lebih baik selepas didatangkan ujian besar ini. Bagi anak-anak mungkin tidak terlalu merasainya, tetapi untuk yang mukallaf, bebannya tentu berat untuk dipikul.

Maka, ambillah saranan ini, bahkan Maha Kaya Allah memberikan kita melaluinya di dalam bulan Ramadhan, syaitan terbelenggu dan yang ada cuma nafsu yang perlu diperbetulkan. Perbanyakkan masa membaca Al-Quran dan mentadabburnya. Sempurnakanlah solat serta bermuhasabahlah akan peranan kehambaan serta kemanusiaan kita di dunia. Tampak mudah hari ini, tetapi yakinlah, ia pasti tidak mudah selepas tamat PKP ini. Berubah itu hidayah, namun bahagian yang paling sukar adalah isriqamah.

Sunday, April 26, 2020

MEMBACA ADALAH KEPERLUAN PENTING DALAM PEMBENTANGAN


Bacaan merupakan keutamaan dalam pembelajaran. Tidak ada nilai sesebuah pembelajaran tanpa bacaan. Pembelajaran khususnya di alam persekolahan dan universiti, apabila peperiksaan menjadi orientasinya, maka teknik 3R mesti digunapakai iaitu baca (read), simpan atau rakam (record) dan ulang (repeat). Walaubagaimanapun, dalam apa jua situasi membaca harus dijadikan disiplin dan amalan seharian. Baca akan mendorong kita untuk memperkaya maklumat serta menajamkan corak berfikir.

Anak-anak yang terlibat dalam tugasan pembentangan, khususnya dalam SMART Study Group, ataupun melalui tugasan-tugasan tertentu, seharusnya menjadikan pembacaan sebagai elemen penting untuk membuat persiapan tersebut. Kita boleh menjadi pembaca seperti burung kakak tua, baca tanpa memahaminya atau menjadi sebaliknya. Namun, untuk memastikan keberkesanan sesuatu pembentangan itu, penting untuk pembentang memahami serta menguasai sebaiknya tajuk yang akan dibentangkan.

Maka, bacaan yang dilakukan seharusnya berfokus serta telah ditentukan hala tujunya. Sebab itulah, pada setiap tajuk pembelajaran di dalam buku teks atau rujukan, diawali dengan fokus atau objektif tajuk tersebut yang akan membantu pelajar untuk menetapkan hala tuju mereka terhadap apa yang dipelajarinya. Pembacaan akan menjadi lebih menarik sekiranya ia tidak dilakukan secara paksaan. Kerelaan hati dan memahami serta meyakini kepentingan membaca adalah faktor untuk mereka yang membaca lebih cepat memahami dan menguasai apa yang dibaca.

Tidak pernah wujud larangan untuk pembacaan berulang apatah lagi apabila kita menghadapi kesukaran untuk memahaminya. Pembacaan berulang tidak pernah membuang masa sekiranya kita percaya bahawa setiap ulangan itu memberikan maksud dan faham yang berlainan. Sebab itu, untuk memahami sesuatu tajuk yang dipelajari, digalakkan untuk kita membacanya secara berulang antara 2 hingga 7 kali atau mungkin lebih lagi bergantung kepada keperluan. Namun sudah tentu, mengulang bacaan ini akan memakan masa yang lama disebabkan panjangnya perbincangan di dalam buku teks atau rujukan. Pada tahap ini catatan awal atau kasar akan banyak membantu kita membuat ulangan namun dalam jangka masa yang lebih singkat.

Catatan awal atau kasar ini bukanlah seperti nota, tetapi ia sekadar contengan sebagai rujukan segera kepada apa yang kita baca. Ia dalam bentuk ayat yang diringkaskan, penekanan kepada contoh untuk mudah diingati atau mungkin dengan hanya garisan atau penggunaan highlighter dalam buku yang sedang dibaca. Apabila proses pembacaan yang dilakukan ini berjalan dengan baik dan berkesan, maka kita akan perlahan-lahan menguasai subjek yang sedang diberikan perhatian dan bersedia untuk menyediakan nota rujukan sebagai hasil pemahaman yang telah kita perolehi. Jangan lupa, ada pelbagai teknik pembacaan yang diperkenalkan diluar sana yang semuanya amat baik jika dapat dikuasai, namun kemahuan serta memahami kepentingan membaca itu jauh lebih utama yang perlu ada dalam jiwa manusia.

YAKIN PADA DIRI ATAU YAKIN PADA YANG MAHA TINGGI?

"Yakin pada diri kita. Kita boleh buat. Jangan dengar apa orang lain kata. Kita adalah siapa yang kita fikirkan."

Kata-kata motivasi seperti ini memang selalu kita dengar bahkan hampir pada setiap ucapan semangat akan memilih ayat ini sebagai sandaran usaha untuk terus berjaya. Ramai kita memang telah berpegang kepada pandangan ini sejak dibangku sekolah lagi. Para guru, motivator bahkan fasilitator kerap kali mengungkapnya. Ya, ungkapan itu mudah tetapi tidak semudah tindakannya. Ada yang salah ke pada nasihat itu? Ayat itu nasihat yang baik, tiada masalah apa-apakan?

Sepanjang umur saya menjadi fasilitator, saya sempat perhatikan tingkah manusia sini sana. Manusia ini amat tidak serupa. Saya simpulkan manusia ini kepada lima jenis. Jenis yang pertama kita pertama geng 'hidup dunia hanya celaka'. Mereka ini kerap kali menyatakan bahawa hidup mereka ini celaka dan mereka percaya sepenuhnya, kehidupan ini, jika kita sudah terpilih untuk hidup susah, maka sampai bila-bilalah akan susah. Mata pandang mereka menilai kehidupan ini bermula dari negatif seratus (-100). Setiap kebaikan tidak nampak positif, cuma mengurangkan yang negatif sahaja.

Kedua, geng 'baik hanya untuk orang lain'. Geng ini, apa-apa yang mereka ingin lakukan, adalah kerana apa yang orang lain lakukan. Bila orang lain berjaya, dikatanya, "Engkau boleh la, ada...", "Engkau ada bantuan...", "Engkau ada...". Bila banding dengan diri sendiri, rasa tidak upaya dan rendah kemahuan usahanya. Belum cuba sudah rasa tidak berdaya. Belum cuba sudah kata tidak boleh atau tidak dapat. Bagaimana kita? Saya fikir, ramai orang Malaysia begini sehingga timbul label 'guna kabel' walau tidak dinafikan memang itu berlaku cuma saya percaya, pasti tidak semuanya. Ketiga geng 'cukuplah, oklah'. Geng ketiga ini memang sangat ramai. Terlalu ramai. Mereka inilah yang selalunya tidak bersuara, sebab? Nothing to loose. Kalau buat pun banyak manalah sangat dapat, kalau tak buat pun tak jejas apa-apakan? Geng ketiga ini masih paksinya adalah dirinya sendiri. Cuma, positifnya ada dan selagi mana tidak menyusahkan atau mengurangkan haknya, "I ok je".

Keempat ini geng yang sama-samalah kita idamkan. Mereka sudah berada dalam fasa hidup ini bukan kita sahaja, hidup ini perlu memberi. Tidaklah banyak yang diberi, tetapi bila berpeluang, mereka akan cuba terlibat dan usahakan. Mereka inginkan sebahagian dari kebaikan itu datang semula kepadanya, mungkin bukan sekarang, harapnya satu hari nanti.Orang Malaysia memang suka membantu dan memberi. Mereka akan bantu bukan setakat material sahaja, bahkan usia mereka.

Geng 'kayangan' adalah geng kelima. Mereka bukan baru turun, tetapi hidup mereka ini selayaknya hidup di kayangan. Mereka ini bukan sekadar suka memberi, bahkan tercari-cari apa lagi yang nak diberi. Mereka tidak didatangi kebaikan, mereka berlumba-lumba membuat kebaikan. Bahkan mereka habiskan usia mereka hanya untuk melihat orang lain kesenangan melalui kepayahan kehidupannya. Padanya itu suatu kepuasan dan itu adalah perjuangan. Ya, perjuangan memang perlukan pengorbanan, kerana berjuang ertinya berkorban, berkorban ertinya terkorban, terkorban ertinya menderita, derita asam garam perjuangan.

Jadi ungkapan di atas, untuk geng pertama, kena baiki sistem nilai dalam diri mereka. Mereka sendiri sudah hilang harapan pada diri mereka bagaimana nak harapkan mereka perbaiki diri mereka? Hal ini mengingatkan kita bersama, doalah senjata paling ampuh mengharapkan setiap pesan kita sampai ke hatinya, kerana ia milik yang Maha Tinggi. Begitu jugalah pada geng yang kedua, teruskan meminta pada yang memiliki hati-hati, bahasa teguran kena jaga, dan sudah tentu kena banyakkan bersabar. Mereka dengar, cuma lambat sikit nak sampai ke hatinya. Mulut mereka lebih cepat dari akalnya.

Geng ketiga jangan putus-putus juga meminta, dan berterusanlah dengan ingatan-ingatan yang baik.Sebab itulah media komunikasi amat memainkan peranan. Mereka ini ramai. Mereka cenderung kepada mana berat media membawa mereka. Berhibur, berbaur atau berfikir? Berterusanlah sampaikan pesanan kepada mereka. Geng keempat adalah yang paling cepat termotivasi dengan kata-kata di atas. Reaksinya positif sentiasa. Maka akan lebih banyaklah kebaikan akan dilaksana. Geng kelima senyum sahaja. Pada mereka ada pertimbangan lainnya. Norman Vincent Peale pernah menyatakan, "Believe in yourself! Have faith in your abilities! Without a humble but reasonable confidence in you own powers you cannot be successful or happy."

Pertimbangan untuk bina keyakinan diri itu tetap perlu ada bukan buta-buta sahaja. Geng kelima ada kesedaran yang tinggi tentang peranan yang Maha Tinggi. Secara kesimpulannya, ayat itu tidak pernah salah dilontarkan cuma selalunya dilempiaskan kepada orang yang kita tidak kenal mereka dari geng mana. Sebab itu keberkesanan kurang kadang kala tidak langsung berkesan. Pesan biar dengan faham benar kita yang utama. Pada tahap ini, barulah saya sedar faham lebih baik mengapa Allah pilih IQRA' sebagai kalimah pertama Al-Quran itu diwahyukan.

RAMADHAN HARI PERTAMA 1441H (PUASA DAN HARI PERTAMA DALAM PKP)

Ya, 24 April 2020, kami sekeluarga masih di rumah kerana diperintahkan mengawal pergerakan (PKP) akibat COVID-19 yang melanda negara semenjak 18 Mac yang lalu sehingga kini PKP telah melalui fasa ketiga pelaksanaannya. Dengarnya seperti keseronokan kerana bercuti, tetapi insan seperti saya, yang bekerja sendiri ini mengharapkan ianya segera pulih dan dapat menjalani rutinan tugasan sebagai fasilitator dan ceramah seperti sediakala. Namun, apakan daya, DIA kata berehatlah. Ambil masa berharga ini di rumah. Isikannya dengan segala kebaikan yang mungkin kita semua tinggalkan atas kesibukan dunia yang amat sangat bahkan sementara ini.

Alhamdulillah, memang ini peluang yang cukup sempurna. Saya berdoa moga Allah berikan saya semangat untuk istiqamah melakukannya. Hari pertama Ramadhan, kami sekeluarga memulakan rutinan yang saya harapkan dapat dijadikan disiplin pada masa hadapan tanpa COVID-19 juga. Kami lakukannya bukan sebab virus ini tetapi kerana tanggungjawab hamba untuk sentiasa ingat kepada-Nya. Kami bertadarus selama2 jam di sebelah pagi, berbuka bersama serta tarawih. Sebelum ini, digilirkan solat terawih di rumah dan di masjid dan kini segalanya di rumah. Lega sungguh bila anak kesayangan kedua dan lelaki sulung kami, sudah boleh menjadi bilal terawih bahkan imam solat. Alhamdulillah. Perkembangan yang sangat membanggakan. Cuma sudah tentulah, ada yang perlu diperbaiki, tetapi itu adalah proses pembelajaran, dan ia adalah proses yang berterusan. InsyaAllah, sampai masanya dia pasti bersedia.

Kebiasaan terawih diteruskan tetapi kali ini saya usaha tambahkan sedikit tazkirah selepas tamat solat witir. Hari ini saya jadikan firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Baqarah ayat 183 sebagai perbincangan pembukaan. Ayat perintah berpuasa diakhiri dengan pesanan ketaqwaan. Ayat ini penting untuk dijadikan landasan betapa keutamaan ibadah berpuasa kepada orang-orang yang beriman.

Ringkas sahaja, tetapi niat utama adalah untuk membiasakan keluarga khususnya anak-anak remaja kami, Afwa, Akid, Zafran dan Nayla untuk sentiasa rapat dengan Al-Quran. Belajar memahami Al-Quran melalui kecerdasan akal serta menambah pengetahuan mereka bahawa Al-Quran adalah sumber rujukan terbaik buat tatapan sehingga hari tua. Itulah semangat yang ingin saya tanamkan. Saya bukanlah manusia berilmu tetapi saya usahakan yang terbaik untuk sampaikan peringatan-peringatan. Moga Allah kekalkan saya serta istiqamah sehingga akhir Ramadhan.

Wednesday, April 22, 2020

PUISI: HARAP BELAS KASIH TUHAN



Mengharap belas kasih Tuhan
DIA yang menyusun dan menjadikan
DIA yang tidak pernah tidur dan lupa memberikan
Yang lupa itu kita, sebab kita inilah insan

Melangkah lagi mengharapkan redhanya
Jejak kaki di sini kerna diberi ruang dan masa
Mohon Tuhan aku belajar bukan mengajar saja
Telinga sendiri kena dengar pabila mulut sendiri berbicara

Ku harap ini jadi sebahagian kerja buat ku
Hendak mempersiapkan diri sebelum kaku
Dapat lepas atau tidak dari kepanasan itu
Moga ia termasuk dalam senarai yang membantu


~~~~~
5 Mac 2020
Sekolah Agama Rendah Nurul Iman Selayang Baru

Friday, April 17, 2020

PUISI: SEKIAN LAMA



Sekian lamanya tugas ini ku pahat
Mengharap terbangun insan untuk dilihat
Berbuat tampak mudah bukan apa sangat
Sakit memikirkan kenapa masih diminta buat?

Baru aku faham kerja buat itu panjang
Bukan susah bukan juga senang
Mengharap hasil nanti bukan calang-calang
Mustahil mengharap hasil sekarang

IDEAL
Tanamkan IMPIAN untuk mereka jadi terbilang
Namun DISIPLIN mesti jadi syarat pejuang
Buatlah EKSPLORASI mengenai zaman sekarang
AJARI keutamaan dan LATIH kesegeraan

I-TUNE
ILMU mesti jadi isi perbekalan
TEROKA DIRI agar lebih kenal Ar-Rahman
Moga upaya UBAH DIRI juga rakan taulan
Sentiasa muhasabah NILAI DIRI & PERAN
Baru mampu kita capai dengan EKSPLORASI PEMIKIRAN



~~~~~
3 Mac 2020
Surau Darul Ma'arif, Jalan Setanjung
PEPIAS

Wednesday, April 15, 2020

PUISI: PENING KEPALA



Pening kepala, bukan kerna banyak kerja
Tapi banyaknya peel manusia
Dari mata makhluk merayap melata
Kita nampak banyaknya perkara perlu ditangani segera
Tapi dari mata mereka yang terbang tinggi diawan sana

Entah apa fikir mereka

Kita bukan minta dengar semua
Tapi kita tahu mereka dengar sebenarnya
Adakah mereka terasa? Atau sengaja membuta?
Siapa pun pilihannya, mestilah buat ummat manusia
Mestilah yang lurus hatinya untuk tegakkan yang benar belaka
Mestilah utuh hati yang lemah diperkasa
Mestilah bulat jiwa bukan diri diperkaya
Mestilah yang takut akan DIA
Mestilah dia ikut kata kitabNYA

Ummat makin tenat
Makin banyak persimpangan
Jika kalian helang makan sampai kenyang
Ummat akan terus menyalak dan meradang
Jika kamu hujan ada yang bersorak ada juga resah dalam aman
Kita merancang Allah juga merancang



~~~~~
1 Mac 2020
Kampung Bukit Belimbing, Kuala Selangor

Thursday, April 9, 2020

PUISI: KEPUASAN


Kerja adalah satu kepuasan
Melakukannya bukan kerana arahan
Buat kerana kita ada pilihan
Maka yang dipilih tidak akan disiakan

Kerja bukan hanya nilai suapan
Bukan juga kerna masa nak dihabiskan
Kerja adalah peluang diberikan
Untuk jadikan kita orang ada Iman

Duit adalah masa
Rasanya itu bukan sebab untuk masa
Tetapi kerja adalah masa
Masa adalah kerja

Masa adalah modal untuk kita buat kerja
Kerja buat untuk diri dan orang lain juga
Kerja senang, sebab nak hidup senang, bahaya
Kerja susah, hidup pun akan susah juga

Ini prinsip hanya kerna dunia
Hakikatnya kita hanya disuruh buat kerja
Yang akan mendapat redha DIA
Senang memang susahlah lawannya
Kalau tidak pernah susah manakan tahu senangnya

Walau kita bermajikan
Tetap bukan majikan yang beri makan
Walau kita berpendapatan
Bahagia tetap DIA yang berikan


~~~~~
Kamarul Azami bin Mohd Zaini
7 Mac 2020
Bukit Belimbing, Kuala Selangor

Wednesday, April 8, 2020

PUISI: BERAPA NILAI MASA INI?


Berapa nilai masa ini?
Ketika orang lain memilih untuk berehat dari penat kerja mingguan.

Berapa nilai masa ini?
Ketika orang lain memilih untuk bersama yang tersayang.

Berapa nilai masa ini?
Ketika orang lain menjadikan ini waktu buat duit.

Berapa nilai waktu ini?
Ketika orang lain menggantikannya dengan hobi dan keseronokan yang dicari.

Sungguh. Sungguh. Sungguh!
Tidak ternilai masa ini.
Sangat tidak dapat nilai.
Apabila kita belanjakan untuk kebaikan diri.
Apatah lagi kita belanjakan untuk kebaikan orang lain.

Ramai yang tidak tahu.
Sebahagian lagi berasa ini hanya kerja, macam kerja lain sahaja.
Tapi percayalah teman. Inilah 'kerja buat'.
Inilah yang kita kena 'tanggung' dan 'jawab'.
Ini bukan kerja kerajaan, apatah lagi syarikat yang mencari keuntungan.
Ini kerja sosial, dapat hanya untuk nafkah yang kadangkala tidak kecukupan.


~~~~~
Kamarul Azami bin Mohd Zaini
8 Mac 2020
Untuk Team AYG

Saturday, April 4, 2020

PUISI: TUHAN TIDAK PERNAH SILAP


Tuhan Tidak Pernah Silap
DIA amat teliti dalam memutuskan
Yang berlaku bukan kesilapan
Bahkan bukan terlepas pandang

Kekurangan pada kita
Tujuan untuk muhasabah bersama
Mungkin bukan pada perancangan
Tetapi mungkin soal keredhaan
Nilai semula sebab musabab kita

Pabila kita telah berusaha
Maka kembalikan semula 'dengan izin DIA'
Gantung harap hanya pada DIA
Kita fikir kita layak untuk dapat usaha kita
DIA letakkan 'tangguh' pada hujungnya
Kita sedih itulah manusia
Tetapi redha kehendaknya itulah maksud 'hamba'



~~~~~
Kamarul Azami bin Mohd Zaini
14 Mac 2020
Surau Darul Ma'arif, Jalan Setanjung

Friday, April 3, 2020

PUISI: AKHLAK


Akhlak bukan hanya penampilan depan orang
Akhlak bukan hanya perkataan di mulut yang memuji
Akhlak bukan hanya sandaran kepada yang baik

Tetapi

Akhlak adalah amal diri
Akhlak adalah apa yang tersimpan dalam hati
Akhlak adalah apa yang kita buat untuk diri apatah lagi kepada orang lain

Sebar fitnah akhlak buruk
Sebar pembohongan akhlak buruk
Menuduh tanpa bukti akhlak buruk
Menipu akhlak buruk
Melanggar janji akhlak buruk
Berlebihan dalam sesuatu perbuatan akhlak buruk

~~~~~
Kamarul Azami bin Mohd Zaini
16 Mac 2020
Bukit Belimbing, Kuala Selangor

NASIHAT DAN TEGURAN



Kehidupan tidak bersendirian. Kehidupan adalah aktiviti bersosial yang pasti akan memerlukan nilai fizikal, emosi serta intelektual pada seseorang manusia. Fizikal terbangun dengan makanan dan sena man, intelektual membangun dengan perkara seperti sifir dan fikir. Namun, bagaimana dengan pembangunan emosi? Bagaimana emosi seseorang itu berada pada nilaian sihat dan kuat? Emosi ini duduk di mana? Fizikal nampak pada mata, intelektual pada akal yang semua orang secara umumnya tahu ia berada di otak manusia, bagaimana dengan emosi? Adalah ianya terletak dihati?

Letak emosi tidak penting, apa yang penting, kita ada merasa atau terasa. Itulah yang dinamakan emosi. Menurut Wikipedia, emosi adalah apa-apa pengalaman sedar yang dicirikan oleh aktiviti mental yang sengit dan tahap keseronokan atau ketidakselesaan tertentu. Maka sebab itu, emosi kerapkali dikaitkan dengan perasaan, perangai, keperibadian juga motivasi. Emosi juga didefinisikan sebagai suatu ekspresi perasaan seperti gembira, malu, sedih, takut dan sebagainya. Jelas sekali, menurut definisi Kamus Bahasa Melayu (1994), menjelaskan bahawa emosi bermaksud perasaan pada jiwa yang kuat.

Kestabilan emosi digambarkan melalui nilai diri seseorang individu yang amat berkesan. Mereka pro-aktif dalam kegiatan fizikal harian mereka. Emosi stabil juga tergambar melalui kematangan dalam diri. Tindakan disandarkan pada apa yang difikirkan dan disahkan sebelum melakukannya. Kehidupan yang tersusun juga salah satu gambaran kestabilan emosi. Segala dalam kehidupannya mempunyai disiplin dan perancangan. Lebih ketara apabila sikap yang ditonjolkan individu itu sangat memudahkan, tidak memberatkan atau merunsingkan orang lain. Segera memaafkan dan tidak ambil hati yang terlalu lama atau terlalu dalam pada setiap kelakuan jahat orang lain kepada dirinya. Kestabilan emosi akan semakin diperkukuh melalui hubungan intim yang pertama dengan yang Maha Kuasa seterusnya bersama mereka yang kita kasihi.

Maka, apakah makanan yang terbaik untuk menghasilkan kestabilan emosi ini? Jawapannya nasihat dan teguran. Adalah amat dihargai pada diri manusia yang sering meminta nasihat dari orang lain dalam apa situasi sekalipun. Para sahabat Baginda Rasul s.a.w sentiasa meminta nasihat darinya agar sentiasa berada dalam keadaan terbaik ketika melakukan sesuatu perkara. Malahan, kebanyakan hadith berkaitannya menjelaskan kepada kita secara tidak langsung bahawa, untuk meminta nasihat, biarlah dari mereka yang jauh lebih baik pengetahuannya dari kita.

Namun, menegur ada perbezaan. Jika menegur ada adab-adabnya namun jika ditegur, yang utama adalah untuk berlapang dada menerimanya. Usahlah kita menilai siapa yang menegur tetapi nilailah apa yang ditegur kerana asas teguran itu semuanya datang dari yang Maha Tahu dan Maha Melihat. Terdapat sebuah kisah yang diceritakan, peristiwa yang berlaku disebuah kampung dilanda banjir. Ketika gelombang pertama datang, air telah naik sehingga ke paras buku lali. Seorang pemuda duduk di atas sofanya sambil berdoa kepada Tuhan. Lalu datang sebuah lori pick-up dan mengajaknya untuk naik bersama. Pemuda itu berkata, "tidak mengapa, Tuhan akan selamatkan saya, saya kuat berdoa dan saya yakin doa saya akan didengarinya."

Berlalulah lori pick-up itu. Gelombang kedua pula datang dan kali ini, pemuda itu terpaksa duduk di atas almarinya. Beberapa ketika kemudian datang sebuah bot penyelamat dan mengajaknya untuk naik, kerana mereka akan berhadapan dengan gelombang banjir yang ketiga. Pemuda itu menolak sekali lagi dengan alasan yang sama. Dia yakin akan diselamatkan kerana dia amat kuat beribadah sehingga ke saat itu, dia maaih dalam keadaan solat dan berdoa.

Gelombang ketiga datang dan kali ini, dia telah berada di bumbung rumahnya. Lalu datang helikopter yang mahu menyelamatkannya. Namun, pemuda itu amat yakin dan tidak mahu menaiki helikopter itu kerana menurutnya, Tuhannya akan memberikan jalan keluar untuknya. Akhirnya pemuda itu meninggal dunia kelemasan. Apabila pemuda itu dibangkitkan semula, dia mula mempersoalkan mengapa Tuhan tidak menyelamatkannya? Melalui nada yang sinis, malaikat memberitahunya, sudah tiga kali Tuhan menghantarkan pertolongan, tetapi dia telah abaikan.

Begitulah juga yang berlaku kepada kita pada setiap teguran yang diberikan kepada kita. Tujuannya tentu sahaja sama iaitu untuk menyelamatkan kita. Meskipun yang menegur kita itu lebih muda, berlainan agama, berbeza ras, lebih miskin mahupun teguran itu datang melalui makhluk yang bukan bernama manusia.

Namun, selalunya teguran manusia itu amat sukar untuk diterima. Apatah lagi apabila teguran itu datang dari mereka yang tidak sedarjat bahkan sebulu dengan kita. Oleh sebab demikian, untuk kita jadikan teguran itu berkesan, betulkanlah niat kita itu. Mengapa kita menegur? Pengaruh? Glamor? Menunjukkan kuasa? Atau ikhlas memperbaiki apa yang kurang? Gunakanlah bahasa yang lembut dan bersesuaian dengan mereka yang mendengar. Pilihlah tempat yang sesuai untuk menegur, usahlah sehingga memalukan orang yang ditegur. Teguran biarlah yang memberikan manfaat dan sesuatu yang praktikal yang boleh menggantikan sesuatu yang ditegur itu serta keraplah memohon maaf selepas memberikan teguran agar teguran itu benar-benar ikhlas untuk insan yang ditegur itu. Selepas itu, bersangka baiklah kepada mereka yang ditegur. Jaga aib mereka. Suburkanlah budaya meminta dan memberi nasihat serta menegur dengan berakhlak.

"Serulah ke jalan Tuhanmu dengan kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berdebatlah dengan cara yang sebaik-baiknya." (An-Nahl: 125)

PUISI: HARAPAN DAN MASA


Mereka adalah harapan
Mereka ingin dilihat berjaya
Mereka ingin dijadikan contoh
Mereka mahu dilihat lebih cemerlang dari yang lain

Tahukah kita itu kerja sukar?
Tahukah mereka, itu payah sungguh?
Sebenarnya, kita tidak tahu.
Sebenarnya, mereka pun tidak mahu.

Sukar dan payah ini menyekat
Tersekat hanya pada perkataan tahu dan mahu
Tahu mudah berhasil
Mahu semua boleh jadi tahu

Cabaran utama kita apa?
MASA

Masa, uruskanlah
Masa, elakkanlah dibazirkan
Masa, susunkanlah
Masa, sasar dan audit kegunaannya
Masa kita ada, jika esok masih ada
Masa kita senang dibazir susah dimanfaat
Walaupun masa lebih bernilai dari emas dan permata


~~~~~
Kamarul Azami bin Mohd Zaini
11 Mac 2020
SMK (L) Methodist Sentul

Thursday, April 2, 2020

POSITIF MULA DARI CARA FIKIR

Fikir bersumberkan 3 sebab, melihat, mendengar serta merasa. Melihat tentunya dari pancaindera mata, mendengar melalui telinga namun, merasa boleh dikelaskan melalui beberapa keadaan yang berbeza pula. Merasa dengan lidah, kulit bahkan boleh jadi juga sebahagian kita terasa dengan hati. Bau juga kita kelaskan ia pada sumber rasa sebagaimana kita sedar, bagaimana deria hidung ini amat rapat dengan lidah sehinggakan pada waktu kita tidak dapat membau kerana hidung yang tersumbat, dan pada saat itulah lidah kita seperti kebas tidak dapat membezakan rasa yang masuk ke tekak kita.

Manusia berfikir atau kita katakan sebagai memproses data yang tersimpan dalam otak yang dikumpulkan melalui persekitaran mereka. Adalah menjadi persoalan asas dalam ilmu kaji otak tentang bagaimana manusia berfikir? Bolehlah kita semak beberapa artikel yang terkait dengan persoalan tersebut secara klinikal yang banyak terdapat di internet. Bagaimana berfikir ini boleh menjadi positif atau negatif?

Menurut Vera Novak dari dari University of Western Australia, untuk manusia berfikir, mereka akan perlu menghabiskan tenaga, simpanan data maklumat, proses pemikiran atau cara berfikir dan reaksi kepada sebarang perkara yang berbahaya. Penggunaan 4 hal ini akan membantu seseorang itu untuk mencapai atau memperoleh apa yang diidamkannya termasuk juga mempelajari mengenai kekeliruan, kesalahan atau kesilapan, penyesalan dan sebagainya. Penggunaan hal-hal tersebut pada dasarnya akan menghasilkan kepada pengakhiran kebarangkalian positif atau negatif, memuaskan atau mengecewakan (rujukan 1).

Oleh demikian apabila dicatatkan bahawa berfikir akan menghabiskan tenaga memberikan penjelasan kepada kita bagaimana pemakanan boleh memberi pengaruh kepada corak berfikir dan kerana sebab itulah bentuk pemakanan yang perlu diambil harus ada keseimbangan. Secara relatifnya, manusia yang sukar mendapatkan sumber makanan akan menghasilkan mereka yang berfikiran ambil mudah, yang cenderung menilai sesuatu hanya pada permukaan sahaja. Namun, kesukaran mendapatkan sumber makanan tidaklah semestinya memberi hasil demikian. Hati turut memainkan peranan dalam hal pemikiran. Oleh sebab itulah, pembersihan jiwa juga menjadi sebahagian dari keutamaan perbincangan oleh pemikir-pemikir besar Islam sepanjang zaman. Maka secara teorinya, pemakanan jasmani amat terkait rapat dengan pemakanan rohani juga, maka ia juga terkawal atau dapat dikawal melalui hatinya yang bersih.

Situasi akan lebih parah apabila penilaian mereka secara buta tanpa memiliki sebarang maklumat disebabkan kurangnya mengambil tahu atau tidak mengutamakan pengetahuan dalam kehidupan. Pengetahuan yang terbatas tidak memungkinkan mereka berfikir secara mendalam. Berfikir secara mendalam memerlukan proses pemikiran yang sentiasa mahu menguji sesuatu fakta itu sebelum diterima atau mengambil sesuatu keputusan atau pandangan selepas ia benar-benar disahkan.

Ketiga-tiga perkara diatas akan bernilai apabila seseorang manusia itu menghadapi sesuatu yang memberikannya cabaran atau bahaya. Oleh sebab itu, apabila tidak ada bahaya untuk mereka, buat apa mahu dibazirkan tenaga berfikir, maka tidaklah perlu kepada maklumat yang baru kerana maklumat lama pun tidak digunakan dan akhirnya proses pemikiran pun tidak akan berlaku. Tiada maklumat yang perlu dicabar atau disahkan.

Secara kesimpulannya, nilai positif manusia itu amat bergantung kepada cara mereka berfikir. Mereka cemerlang berfikir, bukan hanya untuk memahami fakta, mengesahkan fakta, bahkan menilai keperluan serta kegunaannya kepada persekitaran dan masa hadapan. Positif kepada kegagalan bukanlah pemikiran positif, tetapi positif dengan cara menerima kegagalan untuk dibaiki dan ditambah baik. Banyakkan lagi tenaga berfikir, cari maklumat baru sebagai penambahan, menggunakan penilaian dan pertimbangan yang benar sebagai proses pemikiran yang mana disebabkan oleh reaksi kepada kegagalan yang pertama tadi.

Pernah Saidatina Aisyah r.a bertanyakan kepada Rasulullah s.a.w;
"Bagaimana seseorang mendapatkan keutamaan di dunia?"

Baginda menjawab;
"Dengan akalnya."

Aisyah bertanya lagi;
"Bagaimana seseorang itu mendapatkan keutamaan di akhirat?"

Baginda menjawab lagi;
"Dengan akalnya."

Lantas Aisyah bertanya;
"Bukankah seseorang itu mendapat keutamaan dengan amalinya?"

Lalu Rasulullah s.a.w bersabda;
"Seseorang itu beramal mengikut kadar akalnya." (rujukan 2)



Semakan;
Rujukan 1 (Fitri Al Bisyri, https://www.kompasiana.com/marfityant/552e0aa36ea834d3278b456e/3-cara-manusia-berpikir).

Rujukan 2 (Hadith Riwayat Tirmidzi)