Friday, May 29, 2009

PERJALANAN SAYA BERMULA LAGI


Permulaan bermakna langkah saya pada minggu lepas apabila dapat bersama dengan AJK kelas-kelas bina insan daerah Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Sabak Bernam. Ia berlangsung pada 21 Mei 2009. Sebagaimana yang tercatat di dalam artikel yang telah diposkan.

Hujung minggu lepas saya mengakhiri hujung minggu dengan satu sesi pengisian bersama ibu-ibu di dalam program Kursus Keibubapaan KEMAS Parlimen Kuala Selangor. Alhamdulillah, Allah masih memberikan saya ruang untuk berbicara, berkongsi pandangan dan memberikan semangat untuk mereka terus membimbing anak-anak menjadi generasi penerus yang terbaik. Ibu-ibu amat berminat dan begitu memberikan perhatian mereka untuk bersama sehingga ke akhir program. Saya dibantu 2 rakan dalam menjayakan program ini. Kami menamatkan hujung minggu tersebut dengan keberjayaan membantu menganjurkan program tersebut pada 23 Mei 2009 di Chalet Kuala Selangor.

Tidak tamat disitu sahaja, semalam (28 Mei 2009), kami berkunjung ke surau Batu 10 Bagan Tengkorak untuk satu sesi tazkirah yang disampaikan kepada warga kampung dan mahasiswa UNISEL yang menjalankan dan menganjurkan aktiviti berbasikal dan bermesra di sana. Sesi kami tamat dengan jamuan makan bersama nasi 'ambeng'. Namun timbul kegusaran pada diri saya, apabila, seorang Menteri datang ke surau tersebut untuk meraikan program tersebut. Cukup hebat, menteri ini hadir tanpa disambut bahkan tidak ada sebarang kejutan pun.

Program ini memang ada nama menteri tu, tetapi apa yang menjadi kegusaran saya ialah, mengapa dia hadir tatkala semua warga surau sudah mula mengangkat kaki untuk pulang ke rumah. Dia sampai lewat. Keraian mahasiswa UNISEL dilakukan dengan mengadakan kuliah Maghrib yang disampaikan oleh saya sendiri, tetapi dia hadir selepas semua selesai. Nampaknya pelajar-pelajar UNISEL ini beria-ia menyambutnya berbanding warga kampung. Ketika saya berkuliah, yang dapat dilihat depan mata pelajar-pelajar lelaki yang tidak sampai 10 orang, tetapi, semasa menteri ni sampai. Ramai yang keluar dari rumah berdekatan. Pelikkan?

Namun inilah hakikat mahasiswa hari ini, tidak melihat ilmu sebagai keutamaan. Kita sepatutnya berasa risau dengan keadaan ini. Seterusnya, pada malam ini pula, (29 mei 2009), saya akan berkunjung ke SK Taman Segar untuk ceramah Motivasi CINTA. Namun kali ini sesi berjalan sebelah malam dan ia nampak lebih memberangsangkan. Perjalanan saya berakhir untuk minggu ini dengan Program SMART Solat di SMK Seri Tasek untuk siri 2. Semoga segala usaha ini diberkati Allah s.w.t.



TUNE-lah diri kita.

Wednesday, May 27, 2009

PENYERTAAN DAN SUMBANGAN AJK DALAM PEMBINAAN MODAL INSAN

Pembinaan modal insan merupakan agenda utama dan besar yang diperbincangkan diperingkat nasional. Pelbagai pandangan dan isu yang diketengahkan serta diperbahaskan dalam usaha bagi menjamin modal yang dibangunkan ini akan memacu kemajuan dan pembangunan Malaysia pada masa-masa akan datang. Tidak dapat kita nafikan ia adalah penting dan perlu diutamakan. Sehingga hari ini, pelbagai latihan, program dan kursus dijalankan bagi mencapai objektif ini. Era teknologi serta kepesatan pembangunan yang terlalu pantas menjadikan manusia perlu lebih diberikan perhatian bagi menyahut cabaran dunia baru globalisasi hari ini. Modal insan ini perlu diberikan keutamaan agar negara kita tidak ketinggalan dalam isu kemahiran serta pengetahuan yang berkaitan. Namun, dalam enak melayani peredaran teknologi yang semakin berkembang, hampir-hampir kita melupakan asas-asas benar yang patut dimiliki oleh insan. Kita sibuk memberikan pelbagai pengetahuan dan kemahiran kepada mereka ini. Sibuk mengejar kemajuan dunia luar yang sangat pesat sehingga terpinggir keperluan yang menjadi tunjung warisan zaman berzaman bagi masyarakat di Malaysia. Dek kerana kepesatan dan kesibukan ini, kemajuan negara hari ini diperoleh bersama cabaran besar yang perlu digalas oleh semua rakyat. Namun adakah mereka prihatin dan menyedari keadaan ini?

Adakah mereka mula berfikir mengapa setiap hari dapat kita dengari pelbagai rungutan dari masyarakat setempat tentang keruntuhan akhlak dikalangan remaja? Bagaimana di zaman yang serba moden ini, dengan pelbagai kemudahan dan ruang keamanan, terdapat kes ragut yang bukan sahaja meragut barangan milik peribadi, malah nyawa mereka sekali? Isu kecurian, pecah rumah, pecah amanah serta penyelewangan yang berlaku hampir setiap hari dilaporkan di dalam akhbar, adakah kita semua merasakan itulah sahaja permasalahan yang berlaku (di dalam akhbar) atau banyak lagi yang tidak dapat kita selongkar atau ketahui? Persoalan ini perlu ada dilubuk pemikiran atau di dalam hati kita yang sentiasa mengharapkan keamanan dan keharmonian dalam bermasyarakat. Persoalannya, adakah kita punya rasa prihatin ini? Apakah punca semua ini berlaku? Adakah usaha-usaha pihak berkuasa untuk membangunkan modal insan ini adalah pilihan yang salah atau tidak diterima baik oleh masyarakat? Tidak kurang juga kita dapat membaca dan mendengar berita tentang kejayaan-kejayaan yang dicapai oleh anak-anak Malaysia. Tetapi pernahkah kita ketahui disebalik seorang yang berjaya itu, berapa ramai yang gagal dan apa yang berlaku kepada mereka yang gagal ini? Mungkin mereka itu juga adalah dari kalangan ahli keluarga kita. Jadi apa yang kita lakukan? Firman Allah s.w.t di dalam Al-Quran bermaksud;

“Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”
(Surah Al-Ankabut; ayat 2 dan 3)

Itulah peringatan yang Allah berikan kepada kita sebagai manusia, bahawasanya, bagaimana kita boleh mengakui bahawa kita ini beriman (yang terbaik) sedangkan kita belum diuji. Apabila pembinaan modal insan ini semakin pesat dan semakin maju, maka bertambahlah tugas dan tanggungjawab kita. Sebagaimana kata-kata ‘Spiderman’ di dalam kisahnya dipawagam, “great power comes with great responsibility”. Adakah kita telah bersedia? Usaha untuk menjadi generasi yang terbaik bukanlah idea baru, sebaliknya Allah telah memperkenan serta menyebutkannya di dalam Al-Quran Al-Karim yang bermaksud;

“Kamu adalah ummat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.”
(Surah Ali-Imran; ayat 110)

Maka, Allah telah memberikan peranan dan tanggungjawab kepada kita sebagai manusia daripada ayat di atas. Pesanan Allah s.w.t, untuk kita menjadi ummat yang terbaik sebagaimana yang diperjuang dan dilaungkan oleh banyak pihak melalui pembinaan dan pembangunan modal insan adalah melalui 3 ciri yang patut diberikan keutamaan dan diperbincangkan dengan meluas. Pertama; menyuruh kepada yang makruf dan kedua; mencegah dari yang mungkar. Mungkin kita sama-sama teringat pepatah melayu ada menyebutkan; “jangan jaga tepi kain orang”, “cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar” dan sebagainya. Mengapa pepatah ini kerap bermain dibibir-bibir orang-orang lama? Inilah yang cuba diterapkan oleh masyarakat ‘kampung’ dahulu iaitu berpesan untuk berbuat kebaikan dan pada masa yang sama memperingatkan juga mereka bahawa, apa yang dilakukan itu adalah perkara yang mungkar. Hebat bukan?

Namun, Allah peruntukkan satu lagi keperluan yang menjadi tunjang kepada 2 perkara tadi iaitu beriman kepada Allah. Maka, dalam pembinaan modal insan dan melahirkan generasi dan ummat yang terbaik ini, sudah tentulah ia memerlukan perjuangan, perjalanan yang berliku dan wajib menghadapi pelbagai mehnah dan tribulasi sebelum sampai kepada penghujungnya. Usaha pembinaan modal insan ini sudah berlaku berjuta-juta tahun dahulu bermula dari zaman para nabi dan rasul dan sehinggalah hari ini.

Muhammad bin Abdullah; Tokoh Pembinaan Modal Insan

Keberjayaan sesuatu tamadun bergantung kepada banyak faktor dan perkembangan dari pelbagai sudut. Untuk menjadi ummat yang cemerlang, gemilang dan terbilang, juga mempunyai peranan dan tanggungjawab yang amat besar, unik dan terlalu luar biasa. Marilah kita mulakan dengan membuang kebiasaan seperti kata-kata yang kerap menjadi zikir kita seperti “oklah tu”, “cukuplah”, “biasalah”, “ada la jugak” dan banyak lagi yang kita sama-sama dapat rakamkan.

Keadaan dan perkataan inilah yang menjadikan masyarakat kita sentiasa ‘membetulkan perkara yang biasa’. Akhirnya setiap kesilapan dan kesalahan dalam masyarakat menjadi biasa. Usaha untuk membina ummat mempunyai lapisan dan setiap lapisan mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing. Lapisan pertama dan menjadi tunjang pengukuhannya adalah merupakan setiap individu peribadi yang bersama-sama di dalamnya. Perjuangan Rasulullah adalah bermula dengan membina dan mengukuhkan keyakinan peribadinya terhadap apa yang dipercayainya. Maka bermulalah sejarah baginda bersendirian di gua bagi mencari kebenaran yang jauh di dalam dirinya.

Kemudian, dilanjutkan pula kepada lapisan kedua yang menjadi pengukuh dan pelindung kepada asas yang pertama iaitu keluarga. Maka, pulangnya baginda ke rumahnya dalam keadaan yang amat menggigil seolah-olah kesejukan dan ditambah dengan perasaan gementar, maka ditenangkan oleh isterinya Siti Khadijah. Apabila diberitakan kepada isterinya, maka jadilah Siti Khadijah sebagai wanita pertama memeluk Islam. Kemudian diikuti dengan sanak-saudara terdekat dengan baginda seorang demi seorang.

Selepas mendapat sokongan dan dokongan daripada sanak-saudara terdekat, maka Rasulullah memulakan usaha dakwah dan perjuangannya ke medan yang lebih besar iaitu masyarakat setempatnya. Akhirnya, apabila berlaku hijrah baginda ke Madinah, pembinaan ummat ini bermula dengan pesat di Madinah. Maka lahirlah ramai pejuang yang gagah dari segi jasmani, bebas emosi, teguh rohani serta kukuh intelektual mereka.

Peranan Kita Di Sini

Maka, ingatlah kata-kata Allah dalam firmannya yang bermaksud;

“Demi Masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menepati kesabaran.”
(Surah Al-Asr; ayat 1 hingga 3)

Wajarlah kita memainkan peranan kita bermula daripada saat ini. Apa yang perlu dilakukan ialah perbaikilah diri kita dan pada masa yang sama kita perlu mengisi keperluan dan tanggungjawab terhadap keluarga, masyarakat serta bangsa kita. Jika bukan kita siapa lagi dan jika bukan sekarang bila lagi? Marilah kita bersama-sama untuk memperbaiki diri sebagaimana yang telah dipesan oleh Saidina Ali karamallahu wajhah;

  1. Tanamkanlah perasaan takut kepada Allah yang Maha Agung;
  2. Sentiasalah beramal dengan apa yang terkandung di dalam Al-Quran;
  3. Buatlah persiapan untuk menghadapi mati;
  4. Serta pugarkan sifat redha dengan apa yang diberikan oleh Allah s.w.t sekalipun sedikit.


Perubahan ini bukan sahaja harus dilakukan kepada diri sendiri sahaja kerana sabda baginda di dalam sebuah hadis yang bermaksud;

“Tidak sempurna iman seseorang itu sehingga ia kasihkan saudaranya sebagaimana ia kasih dirinya sendiri.”

Atas sebab perlunya kasih sayang ini dalam masyarakat maka, mantan Perdana Menteri Malaysia telah meletakkan nilai ini dalam cabaran yang ketujuh Wawasan 2020nya iaitu;

“Cabaran ketujuh adalah membentuk sebuah masyarakat berbudi dan berbudaya penyayang, sebuah sistem sosial yang lebih mementingkan masyarakat daripada diri sendiri, dengan kebajikan rakyat tidak diasaskan pada negara mahupun individu, tetapi pada sistem kekeluargaan yang lebih kukuh.”

Oleh yang demikian, marilah kita menggunakan masa kita dengan sebaik mungkin untuk tidak menjadi orang-orang yang rugi sebagai firman Allah di atas tadi. Tidak kiralah sama ada tugasan itu adalah perintah Allah kepada kita, mahupun tugasan sebagai individu terhadap diri sendiri, terhadap keluarga, masyarakat dan bangsa kita. Yakinlah bahawa, walau apapun tugasan yang diberikan, hakikatnya adalah datang dari Allah jua dan kita wajib melaksanakannya.

Amanah Kepada Kita

“Tiada beriman sesiapa yang tidak amanah dan tidak beragama sesiapa yang tidak menepati janji.”
(Maksud Al-Hadis)

Setiap amanah hendaklah dilaksanakan dengan perancangan yang baik dan melihat kepada keperluan semasanya. Ia perlu memenuhi kriteria berikut;

  1. Menentukan nilai keutamaannya (priority);
  2. Mempunyai aturan masa yang sesuai (time management);
  3. Pengagihan yang tepat dan terperinci (delegation of work);
  4. Melaksanakan tugas dengan penuh kesungguhan (dicipline, dedication and determination);
  5. Menjadi perintis yang aktif, kreatif dan inovatif (pro-aktif);
  6. Serta mengharap balasan dari Allah dan bukan pujian dari manusia (ikhlas).

Lakukanlah tugas kita bersama, nescaya segala kerisauan yang ada di dalam hati kita akan terubat dengan peringatan dan nasihat-nasihat dari Allah s.w.t. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud;

“Hadiah yang paling berharga dan istimewa ialah hadiah yang berupa kata-kata nasihat (kata-kata hikmat) yang didengar dan diingati, kemudian mengamalkannya dan menyebarkannya kepada saudara-saudaramu.”

Beruntunglah kita sekiranya kita memiliki 4 sifat yang tersebut di dalam surah Al-Asr iaitu beriman, beramal soleh, nasihat kepada perkara yang hak (benar) dan nasihat kepada kesabaran. Ingatlah, jika kita gagal merancang untuk perkembangan dan pembangunan modal insan yang kita sebut-sebutkan maka kita sebenarnya merancang untuk menggagalkannya. Sebagai individu yang telah berkeluarga dan berada di dalam masyarakat, maka pergunakanlah kesempatan ini untuk berbakti dan berjasa kepada mereka dan sediakanlah generasi yang terbaik untuk menggantikan kita agar generasi itu memberikan manfaat yang jauh lebih besar berbanding diri kita. Lakukanlah yang terbaik bukan untuk kita, tetapi untuk anak, cucu dan generasi kita yang akan datang. Jika kita melihat kehancuran pada hari ini, adakah ia akan menjadi lebih baik pada masa akan datang dengan kita tidak melakukan apa-apa? Pasti, jawapannya adalah tidak.

Tuesday, May 19, 2009

TERUSKANLAH BERFIKIR

19 Mei 2009, saya memulakan langkah dan perjalanan saya sekali lagi. Saya mengharap perubahan dan kekuatan untuk terus memacu hidup bukan untuk nama, bukan untuk popular tetapi untuk hidup bahagia di akhirat sana. Hari ini, saya terus bergerak ke Sekretariat ABIM Selangor. sebenarnya tertinggal 'pendrive' kat sana. Tapi, alang-alang dah sampai. Duduklah sekejap.

Hari ini, saya teringat-ingat mimpi saya dua hari lepas. Saya menangis di dalam mimpi masa tu. Saya pun terpinga-pinga bila terjaga dan sehingga hari ini saya masih teringat yang saya menangis bersungguh-sungguh masa tu. Apa sebab agaknya tak tahulah. tetapi, hari ini hati berdetik pula, dalam mimpi menangis, tetapi, semasa sedar saya ini, amat sedikitnyalah saya ni menangis. Bangun malam? Alahai liat sungguh. Apa nak jadi ni? Bila ummat Islam hari ini diberikan ujian begini, bagaimana untuk dihadapi? Patutlah perjuangan ini macam obor yang nak terpadam, kerana pejuangnya amatlah lemah dan tidak mempunyai daya juang. Ya Allah bantulah saya.

Semoga perjalanan hari ini diberikan semangat dan keinginan untuk terus berfikir dan berbuat untuk agama. Pertama sekali, perjuangan melawan nafsu yang hari ini diberikan makanan yang macam-macam. Siapa yang bagi makan? Mata, telinga dan mulut. Makanan ni masuk terus sampai ke hati dan melemahkan lagi keupayaan hati untuk melawan nafsu yang semakin gemuk manakala hati semakin kurus. sebab tu hati tidak kuat, manakala nafsu makin naik serakahnya dan makin kuat daya juangnya. Tambah lagi dengan syaitan yang menghasut. Rakan-rakan kita hari ini pulak bukan jadi rakan yang membakar semangat untuk melawan nafsu, tetapi, bantu syaitan untuk kuatkan nafsu lagi. Na'uzubillah. Perubahan ini yang utama untuk semua pejuang yang obornya malap, saya sarankan, carilah sumber makanan untuk hati kita ini.

Mata, kurangkanlah menonton cerita-cerita barat tu, yang membuka macam-macam perkara. Tontonlah yang memberikan kesan kepada hati. Mata suka tengok cerita perang-perang barat, tetapi amat sedikit menonton Al-Kuliyyah dan sebagainya.

Telinga pula, dengarlah lagu-lagu dakwah yang menimbulkan keinsafan. Dengarlah zikir dan ayat-ayat suci Al-Quran. Banyakkanlah perdengar perkara berkaitan ilmu berbanding gosip, cerita-cerita kawan juga umpatan tentang sesiapa sahaja. Semua ini menimbulkan pemikiran negatif kita kepada manusia lain dan akhirnya nafsu pun makin gemuk sebab makan daging kawan-kawan sendiri.

Mulut pula samalah macam telinga tadi. Jika kita dah dengar, mulut mesti nak menyampuk. Mulut pulak memang jenis tak boleh nak tutup. Lagilah. Pantang dengar. Kalau selesai disitu, tak pe lah juga, ini tidak, kita pula menjadi pemberita menyebarkan pula kepada orang lain. Allahu Akbar. Teruk betul kita ni.

Sebagaimana yang selalu saya ungkapkan, bila bercakap, telinga yang paling dekat dengan diri kita adalah telinga kita sendiri, maka, hindarilah dari melsayakan kesilapan ini dan sama-samalah kita perbaiki diri.

TUNE-lah diri kita.


Monday, May 18, 2009

CERAMAH MOTIVASI CINTA SK TAMAN MALURI


Alhamdulillah, sekali saya turun ke sekolah untuk meneruskan misi ceramah Motivasi CINTA saya. 12 mei 2009, saya telah berada di SK Taman Maluri bermula jam 8.15 pagi sehingga jam 1.00 petang. 4 jam. Penat sangat. Tetapi saya boleh katakan ia baik. Pengalaman lagi buatku. Pelajar-pelajar di sekolah ini aktif dan agak sukar dikawal. Ia menguji tahap keupayaan saya untuk berceramah dengan baik dan tidak mengikut emosi diri ini.

Perjalanan pagi ku bermula dari Kuala Selangor pada jam 5.00 pagi. Singgah di Puncak Alam untuk ambil Jo kurang lebih jam 5.45 pagi. Kami meneruskan perjalanan dan berhenti solat Subuh dalam jam 6.30 pagi di Hulu Kelang. Begitulah perjalanan kami pada hati itu. Seronok dan banyak yang kami bincangkan.

Selesai sahaja saya menyebabkan peserta-peserta di SK Taman Maluri menangis, saya mula berfikir, adakah ceramah ini memberikan kesan ke dalam diri mereka atau hanya sekadar mainan ketika berceramah sahaja? Jawapannya ada pada peserta-peserta itu sendiri. Ini adalah usaha ku, moga-moga ia berbaloi dan diterima oleh Allah s.w.t.

Dalam perjalanan pulang, kami mula berbincang tentang apa peranan IQ Class Management ini sebenarnya. Kami terus menerus berceramah di sekolah, memberikan pandangan, motivasi, latihan dan kursus. Yang mana, semua yang kami lsayakan mampu dilsayakan oleh orang lain, motivator lain. Jadi, apa bezanya kami dengan orang lain? Ya, pastinya ada. Misi kami kini apabila hadri ke sekolah atau berhadapan dengan siapa sahaja, keutamaannya ialah, jangan ada sebarang keraguan kepada Allah dalam hidup kita.



Berikan mereka kesedaran tentang persekitaran dan keperluan untuk mereka sentiasa memberikan perhatian. Khususnya, guru-guru dan ibu bapa. Semoga usaha ini berjaya. Maka, azam ku semakin kuat dan makin ingin untuk melsayakan yang terbaik dalam persembahan ceramah ku. Saya mula berfikir, mulai dari saat ini saya perlu memulakan aktiviti penulisan agar semua idea ini dapat disusun dan diolah pula dalam bentuk penulisan. Ia adalah usahsaya untuk tingkatkan kemahiran dan keupayaanku. semoga Allah memberkati.




TUNE-lah diri kita.

Perunding Utama Latihan dan Motivasi
IQ Class Management

KARNIVAL NASYID JABATAN BELIA DAN SUKAN MALAYSIA


Alhamdulillah, barulah dapat saya menulis lagi pagi ini. Kenapa? Sebab saya tunggu gambar ini. Untuk ditunjukkan kepada semua orang. Alhamdulillah, pada 9 Mei 2009, Angkatan Belia Islam Malaysia cawangan Selangor telah berjaya menganjurkan satu Karnival Nasyid peringkat negeri Selangor dibawah tajaan Kementerian Belia dan Sukan bersempena Hari dan Minggu Belia 2009.

Walaupun masa yang diperuntukkan untuk ABIM Selangor membuat persiapan adalah singkat, tetapi usaha persiapan ini sangat berbaloi. Sebanyak 16 kumpulan yang secara asalnya mendaftarkan diri melalui telefon. Tetapi, ia berakhir dengan kehadiran hanya 7 kumpulan daripadanya. Perjalanan karnival nasyid lancar dan dibantu oleh ramai dari kalangan rakan-rakan ABIM Selangor. Alhamdulillah segalanya lancar. Persiapan dibuat bermula pada hari Jumaat sehinggalah ke hari Sabtu petang, jam 2.00 di Perpustakaan Raja Uda Shah Alam.



Pertandingan dimulakan pada jam 3.15 petang dengan dirasmikan oleh En. Salim bin Morid, pegawai dari Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor. Pertandingan ini dihakimi oleh Che Amran (Raihan), Idzhar (NowSeeHeart) dan Jeff Hazimin. Pengacaranya pula adalah saya sendiri (ini yang menarik).

Sepanjang perjalanan, pelbagai pengalaman yang saya perolehi. Dalam melaksanakan tanggungjawab begini, dapat kita lihat pelbagai kelemahan dan perhatian yang perlu diberikan. Saya sebagai orang yang mengutamakan pengurusan dan kepimpinan perlu memahirkan diri dalam situasi-situasi begini.
  1. Pengurusan program yang cekap dan kemas.
  2. Pengurusan masa yang sempurna.
  3. Susun atur majlis yang baik dari segi protokolnya.
  4. Peranan untuk menjadikan program sebagai satu tarikan.
  5. Mengatasi kucar-kacir dan mengisi kekosongan majlis.




Apabila melihat pasukan-pasukan nasyid ini menyanyi di atas pentas, maka timbul hasrat dalam hati ini untuk memulakan semula hobi menyanyi ini. Saya perlu terlibat dalam pelbagai kemahiran ini untuk memperbanyakkan lagi usaha-usaha dakwah. Keupayaan dan kelebihan yang Allah berikan ini perlu dipergunakan sebaik mungkin. Maka, tunggulah kalian, saya akan kembali ke persada nasyid ini. Saya akan mula mengalunkan semula alunan lagu-lagu nasyid ini. Ini yang saya akan lsayakan semula. "I will be back".

Johan Pertandingan Nasyid Belia 2009 Lelaki - Kump. Soul Al-Ghamidi

Johan Pertandingan Nasyid Belia 2009 Perempuan - Kump. Tho'arul Jannah

Sunday, May 17, 2009

HARI INI DALAM SEJARAH SAYA (FIKIRKANLAH)


17 Mei 2009, menjadi sejarah bermakna lagi dalam hidup saya. Saya cuba memahami dan mencari erti tersirat dari kisah yang berlaku kepada diri. Pencarian ini hampir pasti tidak akan berlaku kerana Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. Penetapan demi penetapan dibuat bukan atas dasar memenuhi kehendak-Nya kerana Allah tidak berkehendakkan apa-apa pun dari manusia. Tetapi segalanya adalah di dalam Kuasa Allah s.w.t. Percayalah pasti ada sesuatu yang dijanjikannya.

Bermula dari semalam, dari petang hingga ke malam saya berada di sekretariat ABIM Selangor. Apa lagi yang perlu saya lakukan bentak hati. Kenapa saya ada di sini? Apa saya buat kat sini? Pelik, tetapi benar, saya berada disitu. Seolah-olah pencarian itu tidak ada kesudahannya. Macam-macam soalan yang berlegar difikiranku. Saya tidak berhenti bertanya dan berfikir lagi.

Benarlah bahawa manusia ini diberikan akal, tetapi persoalan Allah di dalam Al-Quran selalu ditujukan kepada kita, adakah kamu tidak berfikir? Maka, kita sebagai manusia wajib berfikir, dan teruskan berfikir. Adakah kita perasan, mengapa ramai orang yang malas di dalam dunia ini? Bukan malas berfikir tetapi kemalasan ini juga berpunca dari pada penolakan jiwa manusia yang tidak mahu melatih otak untuk berfikir. Ajaibkan? Banyak saya terbaca dalam blog dan buku-buku yang sedang dibina dan telah terjual tentang kekuatan minda. Mengapa minda mereka kuat? Adakah sebab makanan atau ubat-ubatan? Pastinya semua orang ada terbaca atau mungkin telah membeli buku-buku ini. Persoalannya, berjayakan anda selepas membaca bukunya?

Susahkan? Apa puncanya? Sebab kita tidak mahu berfikir. Apa yang difikirkan oleh si penulis buku adalah hasil apa yang DIA FIKIRKAN bukan kita. Macammana dia boleh berjaya tetapi tidak pada diri kita, kerana KITA TIDAK BERFIKIR. Apabila saya melayari laman web dan pergi melawat ke blog-blog adik-adik kita yang berumur 15 hingga 18 tahun, ada beberapa kejutan juga buat saya. iaitu, mereka secara terang-terangannya menyebut 'I hate books', 'perkara yang paling saya menyampah; buku'. Lihatlah anak muda hari ini, perubahan ini amat ketara. Patutlah apabila kita berfikir, keupayaan kita berfikir berbanding orang lain jauh lebih cergas bahkan lebih cergas daripada orang lain hanya tahu bercakap dan bercakap banyak.

Pada mulanya, saya ingatkan orang yang bercakap banyak ini, cergas pemikirannya, tetapi rupanya tidak. Orang yang cergas pemikirannya ialah orang yang banyak berfikir bukan banyak bercakap. Tetapi apa yang saya fikirkan tadi masih belum terungkai lagi. Hari ini saya diumumkan menjadi Setiausaha Kewangan ABIM Selangor. Wah, naik pangkat nampak. Dulu Exco Pembangunan Sosial je, itupun, tak buat apa-apa pun, tetiba hari ini jadi SU Kewangan pula. Persoalannya, yag penting sekali, kenapa Allah letakkan saya sebagai Setiausaha Kewangan?

Adakah ini, tanda-tanda kekayaan yang Allah hendak limpahkan kepada saya yang diidam-idamkan selama hari ini? Atau ia sebuah ujian sebelum saya menjadi kaya atau ia merupakan ruang yang lebih besar untuk saya menyumbang kepada agamsaya? Apapun persoalannya, saya telahpun diberikan amanah, dan ia wajib dilaksanakan. Apa natijahnya, Allah akan tunjukkan sekiranya saya ini dari kalangan orang-orag yang sabar.

Ya Allah, saya bersyukur kerana engkau letakkan nama saya dan diri di dalam peringatan mereka yang menjadikan agama-Mu sebagai cara hidup mereka dan janji-Mu sebagai nyawa kehidupan mereka. Ya Allah, tetapkan imanku, kukuhkan keyakinan ku terhadap-Mu serta suburkanlah hatiku ini dengan ilmu yang bermanfaat dan berguna. Saya juga bersyukur kepada mu Ya Allah, kerana ini ku anggapkan adalah sebahagian dari ujian-Mu, saya yakin dan amat percaya, inilah sumber pengukuhan imanku, keikhlasanku serta perjuanganku demi kesenangan dan keindahan hidup di dunia yang abadi.

Setiausaha Kewangan
ABIM Negeri Selangor 2009-2010

Saturday, May 9, 2009

KITA DAN SETIAP HARI (MEMBINA PERIBADI S.M.A.R.T DALAN KEHIDUPAN


9 Mei 2009. Alhamdulillah, dipanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana masih diberikan nafas untuk saya bangun seawal 5.30 pagi. Setiap hari saya berpesan kepada adik-adik dalam ceramah motivasi, bila bangun pagi buat apa yag pertama? Buka mata dahulu, maka mereka pun ketawa kerana terkena dengan seloroh saya.

Pagi ini saya bangun dengan seribu erti. Saya bangun, lalu tersenyum, walaupun kaki terasa kebas-kebas mungkin kerana kesejukan malam tadi. Alhamdulillah sekali lagi, saya dapat menunaikan solat Subuh dengan baik dan bertenaga pagi ini. Hari ini saya akan ke Shah Alam atas 2 misi penting. Pertama mengiringi isteri untuk berjuang dengan penanya di dalam dewan peperiksaan UiTM dan kedua, menguruskan Karnival Nasyid Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor 2009 di Perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam.

Wah, inilah perjalanan saya hari ini. Setiap hari saya akan disibukkan dengan hal dunia saya sehinggakan, hal agama saya lupakan dan saya permudahkan kerana ingin menyelamatkan hal dunia yag sebenarnya hanya singgahan dan tidak seberapa. Saya teringat pesanan, bekerjalah seoalah-oalah kita akan hidup selamanya, dan beribadahlah seolah-olah kita akan mati esoknya. Bekerja bersungguh-sungguh betul, tetapi ibadah? Astaghfirullah, itulah yang saya perlu pertingkatkan. Ya Allah perkukuhkan iman ku Ya Allah.

Apalah saya ini sebagai manusia. Macam-macam kita boleh fikirkan, macam-macam boleh dikata kepada manusia lain, seolah-olah, sayalah yang menentukan tahap iman dia. Jatuhkan air muka dan kredibiliti orang. Persoalkan apa yang dibuatnya, tetapi bab ingin lakukannya untuk diri sendiri, alahai, sayalah manusia yang paling liat sekali untuk melakukannya.

Saya tergerak untuk menulis pagi ini atas apa yang telah berlaku semalam dan saya memuhasabahkan diri sendiri. Semalam, saya datang ke sekretariat ABIM Selangor untuk membantu apa-apa kerja yang dapat dibantu untuk menguruskan karnival nasyid hari ini. Seronok, bercampur gusar dalam hati. Mengapa kerja-kerja ibadah, kerja berjemaah serta luangan masa begini tidak dapat diberikan rakan-rakan yang lain? Apa yang difikirkan oleh semua orang lain? Adakah saya tidak tergolong sama dengan mereka ini? Saya semakin gusar. Hari-hari mendatang, saya sentiasa memikirkan pelbagai masalah, penat lelah dan kerja yang tidak pernah sudah. Adakah saya telah terpalit dengan kesibukan dunia yang fana ini atau saya berada pada jalan-Nya?

Ya Allah, tunjukkanlah saya kepada jalan yang benar. Setiap hari saya diperingatkan oleh rakan ku Mr. JH. Macam-macam disebutnya, sehinggakan cair otak saya ini berfikir dan cuba menyelami apa yang disebutkan. Dari segi usaha untuk diri, itu serahlah pada orang yang bercakap, tetapi untuk diri saya sendiri, ia amat menggusarkan lagi. Saya tidak berbuat banyak perkara, solat berjemaah tidak setiap waktu dan hari, bermasyarakat tidak setiap hari, menyebutkan yang hak tidak setiap hari, bersabar selalu (khususnya dengan sahabat saya yang 2 orang itu lah) itu pun tidak setiap hari. Tapi lidah saya ini kelu dan tidak upaya untuk menegur, badan saya ini tidak berdaya untuk berbuat, akal saya ini tidak berupaya untuk berfikir hanya kerana saya merasakan diri ini rendah, kurang dan tidak mampu. Hentikan semua ini.

Semalam perbincangan dan aktiviti bersama disekretariat banyak memberikan saya inspirasi. Yang muda, upaya kreatifnya lebih, inisiatifnya lebih, semangatnya lebih dan segalanya lebih berbanding yang sedikit berumur. Tetapi, apabila yang muda mula merasakan kepenatan, 'kerja banyaklah', pelbagai alasan, 'tak berapa nak anulah' maka adakah kita boleh mengharapkan yang sedikit tua? Tentulah keadaannya akan makin parah. Sebab itu, dikalangan orang yang beribadah, Allah lebih sukakan orang muda yang beribadah.

Setiap hari saya ungkapkan untuk diri, jangan mudah dengar apa orang kata dan fikirkan yang terbaik untuk semua yang berada dengan saya bukan hanya kepentingan tertentu sahaja. Setiap hari juga saya akan memulakan hari dengan berfikir yang pelbagai. Saya mengharapkan rakan-rakan yang sentiasa memberikan inspirasi kepada saya untuk terus berada di dalam bidang ini. Saya dah terfikir kalau-kalau saya bolehlah bekerja di tempat lain. Sebab apa? Itu mungkin rahsia, dan mungkin rakan-rakan saya ada jawapannya.

Maka setiap hari, inilah yang bermain dibenak saya. Esok saya akan ke pejabat lagi, seorang diri. Saya perlu buat pelbagai tanggungjawab lagi. Ya Allah inikah ujiannya atau inikah balasannya kepada dosa-dosa saya yang lalu? Kau ampunkanlah dosa ku Ya Allah...

Setiap hari saya akan mencari jawapan bagi soalan-soalan ini. Kekadang saya bingung, tetapi inilah hakikat kehidupan, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya dan kitalah yang perlu mencari dan menyelongkari erti tersiratnya. Susahkan? Semalam saya terbaca dalam satu laman blog motivasi Indonesia tentang pernyataan Einstein, "saya tidak lah pandai". Kepandaian Einstein ini rupanya adalah hasil desakan persekitarannya. Menyebabkan dia perlu untuk berbuat sesuatu. Betullah yang macam saya fikir, manusia ini bila dalam keadaan tertekan, ketika itulah dia akan mula menggunakan minda kreatifnya untuk lakukan apa sahaja.

Apa yang saya harapkan, dengan banyaknya soalan-soalan, tugasan-tugasan, akan menjadikan saya ini lebih bijak dan terbuka hati untuk menghadapi hari-hari dengan penuh berstrategi dan bercita-cita tinggi. Berstrategi? Apa strategi saya hari ini? Hmm... Strategi... Kita perlukan strategi untuk kita hidup seharian walaupun hanya untuk beberapa saat sekalipun. Kerana strategi menjadikan kehidupan kita lebih bermakna. Strategi menjadikan hidup kita punya tujuan. Strategi menjadikan hidup kita punya pencapaian, strategi menjadikan kehidupan kita terkawal dan strategi membolehkan kita hidup dengan perancangan.

Jika kita tidak merancang hidup kita, maka pasti Allah akan merancang hidup kita. Jika kita gagal merancang maka kita sebenarnya merancang untuk gagal. Ini bermakna, kegagalanku akan disebabkan oleh diri saya sendiri kerana Allah merancang juga untuk kita agar kita diberikan peringatan. Apabila gagal, itulah peringatan supaya kita tidak gagal kali yang kedua. Apabila perancangan terletak pada kuasa Allah, maka keredhaan kita sebagai manusia berada pada tahap yang paling maksimum. Sama ada kita meneruskan apa yang kita kerjakan atau kita akan berputus asa. Merancanglah dengan bijak. Saya tahu, apa yang saya perlukan adalah keyakinan diri kepada keupayaan diri sendiri. Saya tahu yang benar, maka ungkapkanlah, saya tahu yang patut, maka lsayakanlah. Saya hanya perlu perbaiki diriku untuk melihat persekitaran ku berubah. Daya positif dalam diri ku ini akan mampu memberikan setidak-tidaknya kesan positif kepada orang lain dipersekitaran saya. Azam untuk diri saya.

Wednesday, May 6, 2009

USRAH ABIM DAERAH KUALA SELANGOR 5 MEI 2009


Terjemahan hadith 9 dalam kitab Ahith 40 karangan Imam Nawawi bermaksud;

"Dari Abu Hurairah Abdul Rahman bin sakhr r.a. katanya: Aku dengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Apa yang aku tegahkan kamu daripadanya maka hendaklah kamu menjauhinya, dan apa yang aku perintahkan kamu dengannya maka hendaklah kamu kerjakan daripadanya barang yang kamu kuasa. Sesungguhnya telah binasa orang-orang yang sebelum kamu oleh kerana banyak segala pertanyaan mereka dan perselisihan mereka terhadap nabi-nabi mereka." Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.

Tepat jam 7.00 malam, Wak Nan bersama isterinya telah menumpangkan aku untuk ke usrah pada malam itu. Usrah kami di Sungai Haji Dorani Sungai Besar. Perjalanan memakan masa hampir 40 minit sehinggalah kami tiba di rumah Tuan Haji Ismail. Ketibaan kami menerima hidangan tayangan perbahasan di Parlimen dengan pelbagai isu hangat sementara menunggu solat Isyak berjemaah bersama.

Sejurus kemudian, azan dilaungkan dan kami sama-sama bangkit untuk menunaikan solat isyak berjemaah dengan diimamkan oleh Wak Nan. Selesai sahaja solat Isyak berjemaah, kami meneruskan agenda kedua iaitu santapan jasmani. Tuan rumah, Haji Ismail menyediakan pelbagai hidangan yang enak untuk kami. Inilah rutin dalam usrah kami di Kuala Selangor dan Tanjong Karang, sebelum diisi rohaninya, isikan jasmaninya dulu. Tawan perutnya, kemudian kita tawan imannya. Suasana berbual mesra cukup menarik dan menawan hatiku. Pelbagai isu yang dibincangkan disebalik makan-makan tadi.

Sehinggalah jam menunjukkan 9.30 malam, maka usrahpun dimulakan oleh Ustaz Malek. Kitab Hadith 40 hadith yang ke 9 dibacakan oleh Cikgu Maaruf. Hadir bersama dalam usrah pada malam itu ialah Haji Saad, Ustaz Mukhid dan Syuhadak. Hadith dibacakan sehinggalah kepada syarahannya, membincangkan tentang sejarah dan kredibiliti Abu Hurairah dalam meriwayatkan hadith ini. Hadith seperti yang tertulis di atas tidak lah panjang tetapi memadailah untuk memberikan satu kesimpulan yang besar dan amat bernilai dalam hubungannya dengan pengetian Islam itu sendiri.

Perbincangan sehinggalah kepada bahagian 1 dalam perkara larangan dan suruhan Rasulullah iaitu; menurut apa yang ditegah dan yang diperintahkan Rasulullah. Di dalam kitab ini, secara jelas menyebutkan bahawa, apa sahaja yang dilarang oleh Rasulullah adalah jelas dan wajib dijauhi dan tidak boleh dikerjakan. Larangan agama ialah larangan Allah dan Rasul-Nya. Ia ada pelbagai perkaitan seperti larangan peribadi, harta benda juga dalam masyarakat.

Kemudian, disebutkan juga oleh Rasulullah seterusnya tentang apa yang disuruh, maka hendaklah kita mengerjakannya pada kadar yang kita mampu. Maka ini sesuailah dengan firman Allah dalam surah Al-Taghaabun ayat 16 yang bermaksud:

"Maka takutlah kepada Allah barang sekuasa kamu"

juga dalam firmannya dari surah Al-Baqarah ayat 285 yang bermaksud:

"Allah tidak memberi satu dari melainkan sekadar usahanya."

Melalui ulama' fiqh dan hadith, inilah yang menjadikan dalil bahawa "barangsiapa lemah (tidak kuasa) mengerjakan suatu yang diperintahkan itu semuanya dan berkuasa mengerjakan setengahnya, maka hendaklah ia kerjakan sekadar yang dapat dilakukannya sahaja."

Melalui perbincangan kami, dalam hal mengikut kemampuan ini, ia tidaklah ditentukan oleh sesiapa atau sekadar sebab sesuatu perkara. Di dalam bab solat sebagai contohnya, solat itu sendiri tiada kelonggaran bahkan wajib dan berdosa jika meninggalkannya, tetapi, bagaimana cara melaksanakannya adalah sedikit kelonggaran atau rukhsah. Tetapi apabila merujuk kepada amalan-amalan yang sunat pula, kembali kepada kemampuan kita.

Ustaz Malek mengambil contoh kewajipan haraki yang diberikan kepada ahli usrah ABIM Kuala Selangor dan Tanjong Karang untuk mengamalkan ma'thurat, jika ditinggalkan tidaklah berdosa, tetapi melihat kepada keperluan hidup sebagai ahli gerakan Islam. Di dalam ma'thurat terdapat satu Istighfar yang diajarkan kepada Abu Bakar oleh Rasulullah. Menurut firasat pendek akal manusia, jika ia diajarkan kepada Khalifah pertama, maka, adakah ia tidak penting untuk kita?

Ustaz Malek menambah lagi, begitu juga dengan beriltizam dalam meninggalkan sesuatu perkara yang makruh dalam Islam. Ia juga dilihat sebagai satu usaha dan pahala diberikan kepada mereka yang beriltizam. Contohnya seperti rokok, banyak fatwa yang telah mewartakan ia sebagai haram tetapi ramai juga yang masih berhujah dengannya. Maka, jika si perokok beriltizam sekurang-kurangnya untuk tidak merokok sebelum dia bersembahyang pun, maka itu dikira sebagai beriltizam terhadap ajaran Islam dan ia mendapat pahala kerana berusaha untuk tidak merosakkan ketenteraman orang lain dari sudut bauannya. Tidak lupa juga dalam hal darurat. Pandangan fiqh adalah darudat mengharuskan perkara yang dilarang. tetapi cukup sekadar untuk mengelakkan kematian.

Pada akhir perbincangan usrah ini yang tamat hampir jam 10.15 malam, Ustaz Malek selaku Naqib kami mengingatkan ahli usrah agar;

1) Mengamalkan Ma'thurat Al-Kubra serta
2) Menunaikan solat sunat Witir keran Rasulullah tidak pernah meninggalkan solat sunat Witir.

Aku juga telah menyampaikan hajat untuk menggerakkan semula ABIM Kuala Selangor dan Tanjong Karang bersama Syuhadak. Maka pada malam tersebut, aku telah memaklumkan bahawa;

1) Pendaftaran ROY hampir selesai, maka ABIM selangor telah meminta agar ABIM Daerah menghantar profil persatuan ke Pejabat Belia Daerah bagi urusan membuka fail.

2) Kerja-kerja mengumpulkan maklumat ahli usrah ABIM Kuala Selangor dan Tanjong Karang juga

3) Pengumuman Muktamar WADAH Selangor dan Nasional masing-masing pada 7 dan 27 Jun 2009.




TUNE-lah diri kita.


Yang Di Pertua
ABIM Kuala Selangor
5 Mei 2009

BERSAMA PROGRAM JOM JADI USAHAWAN JABATAN BELIA DAN SUKAN SEPUTEH


Saya memulakan langkah dari Kuala Selangor ke Kapar Klang. 3 Mei 2009, ada banyak kenduri hari ini. Beginilah keadaan saya, hubungan dengan keluarga semakin jauh apabila sibuk menggerakkan program untuk masyarakat. Tidak boleh tidak terpaksalah diwakilkan isteri tersayang dalam semua jemputan pada hari ini.

Program berlangsung di Kompleks Rakan Muda Klang. Keadaannya tidaklah semeriah mana, tetapi perjalanan programnya cukup memberangsangkan. Perjalanan saya cukup terarah dan mula merangka, apa yang saya persembahkan kepada mereka. Pada awalnya saya bertolak keluar dari kawasan perumahan saya di Kuala Selangor mengarah ke pejabat saya di Saujana Utama. Rancangnya nak bawa 'laptop' sendiri. Perjalanan saya rasakan seperti sangat jauh. Penuh di dalam kotak pemikiran ini, apakah yang akan saya sampaikan dan adakah apa yang akan saya sampaikan nanti berjaya mengubah pemikiran mereka?

Tiba sahaja saya di pejabat, saya tidak menunggu lama. Saya masuk ke pejabat, ambil komputer riba dan terus bergerak ke tempat sebenar yang dituju. Saya berfikir lagi apakah yang patut saya beritahu mereka. Jom Jadi Usahawan. Saya ni dah jadi usahawan ke? Saya mula berangan-angan dan berfikir sehinggakan tidak perasan yang saya sudah hampir tiba.

Ketibaan saya tidak disambut sesiapa pun. Saya rasa asing, maklumlah, sebenarnya saya ni hanya menggantikan Abang Mohsen untuk program hak milik Lil Cent Total Solution sahaja. Tetapi kesempatan ini saya ambil untuk menambahkan lagi pengalaman dan meneruskan misi pembelajaran dalam hidup saya ini. Sesi sepatutnya bermula jam 9.00 pagi dengan slot wakil dari pihak MARA Klang. Tepat jam 9.00 pagi, wakil dari Pejabat MARA Klang belum juga muncul. Saya agak runsing tetapi cuba bertenang. Lalu, saya pun memulakan bicara awal bersama peserta-peserta.

Assalamualaikum, sapa saya kepada peserta. Mereka terdiri daripada 43 orang peserta, 39 dari UIAM dalam pelbagai bidang manakala 4 orang datangnya dari mereka yang telah bekerja dan pelajar ILP. Saya memulakan proses pemecah bendungan. Saya perkenalkan diri dan respon peserta baik. Saya memulakan bicara, ada peserta bertanya, saya ni usahawan apa? Lalu dengan spontan saya menjawab, air liur. Wah! Air liur. Sebenarnya saya baru terfikir masa tu. Inilah usahawan, semua benda boleh didagangkan dan semua benda boleh dijual, tidak salah lagi. Sayalah usahawan itu (ketawa sendiri).

Sesi pertama bermula lewat jam 9.30 pagi. Tiba sahaja wakil dari Pejabat MARA Klang, dia mengomel. "Kenapa tak pasang kain rentang ke apa ke, berpusing-pusing saya" katanya. Saya hanya mampu tersenyum melihat gelagat manusia sebegini. Keadaan sering dipersalahkan dan seolah-olah jika keadaanlah yang menguasai kita.

Saya teringat catatan Stephen Covey tentang prinsip 90/10. 10% dari apa yang berlaku adalah disebabkan keadaan persekitaran yang tidak ada upaya untuk kita mengawalnya manakala 90% lagi adalah bergantung kepada bagaimana kita memberikan tindak balas kepada keadaan tersebut. Yang pastinya, 90% lagi adalah di dalam kawalan kita. Ini membuatkan saya terfikir bahawa, kesungguhan dan keupayaan saya dalam mengusahakan perkhidmatan begini memerlukan beberapa tumpuan penting dan perlu diperbaiki untuk menjadi usahawan yang lebih berjaya dan disegani;

  1. Sentiasa meletakkan kejujuran sebagai asas dalam diri walaupun dalam keadaan terlewat menghadiri sesi ceramah. Bukan dipersalahkan tempat ceramah, tetapi sebenarnya kitalah yang tidak pro-aktif untuk mengatasi kelemahan tersebut.
  2. Lakukanlah pada kadar yang terbaik menuruti apa yang diminta oleh pelanggan. Bukan bercakap pada benda yang bukan keutamaan menjadikan objektif asal tidak kesampaian. Biarlah kita penat danberpeluh sekalipun melaksanakannya. Itulah tuntutannya.
  3. Sentiasa kreatif dan inovatif dalam setiap persembahan. Walaupun pada perkara teknikal (seperti yang saya buat hari tu la, Rancangan Perniagaan), ia perlu diubah pendekatan dan gunakan kaedah yang jauh lebih menarik dan terancang.






Benarlah kata-kata Kiyai Abdullah Gymnastiar, kredibiliti manusia ini bergantung kepada 3 tonggak iaitu; jujur, komited dan dedikasi serta kreatif dan inovatif. Perjalanan program ini sangat lancar dan diharapkan dapat memberikan manfaat kepada peserta yang hadir. Jikalah saya ini diberikan ruang dan lapang masa untuk berkongsi idea dan pengalaman bersama mereka, nescaya Ya Allah, akan saya sampaikan pesanan Nabi Mu dan amanah ummat kepada mereka.

TUNE-lah diri kita.

Saturday, May 2, 2009

DI SEKOLAH KEBANGSAAN TAMAN MELAWATI


Saya dan Jo bergerak meninggalkan sekretariat PEPIAS pagi itu jam 7.30 pagi, 30 April 2009. Saya ingatkan ceramah bermula jam 8.00 pagi. Kata Jo, pukul 8.30 pagi. Alhamdulillah, Allah permudahkan perjalanan kami. Kami tiba di depan rumah adik Zaki. Dia masih di dalam. Jo ketuk pintu, rupanya dia baru bangun. Aduh. Masalah sikap ni. Sikap terhadap janji dan masa.

Saya dengan Jo meneruskan perjalanan menuju ke sekolah. Kami berhenti minum di Taman Melawati. Alhamdulillah, kami melapik perut sedikit. Sambil-sambil berbincang pelbagai perkara. Termasuklah hal usrah PEPIAS semalamnya. Berborak sampai tak sedar jam sudah menunjukkan jam 8.30 pagi. Kami pun bergegas ke sekolah.

Tiba di sekolah, letakkan kereta dan mula bergerak ke dewan. Seperti biasa, saya tidak melupakan semua keperluan ceramah. Dalam langkah saya, berfikir, jika saya tidak persiapkan mental, fokus dan lakukan bersungguh-sungguh mungkin akan jadi sebagaimana semalam. Saya fokuskan minda, senyum dan bersedia.

Ceramah dimulakan lewat sikit, jam 8.40 pagi. Semuanya lancar. Pelajar memberikan respon tetapi terfikir dibenak saya, pelajar ini telah datang dengan 'mindsets' yang salah. Sebab kain rentang dia terang-terang tulis ponteng sifar. Adus, kesian adik-adik ni. Mungkin dia rasa tak senang untuk duduk. Maka, saya perlu bekerja keras lagi.

Ceramah, alhamdulillah tamat tidak lah terlalu terlajak. 10.40 kami tamatkan sesi. Kata Jo, cikgu puji, sampaikan dia nampak saya berpeluh-peluh, dia tanya Jo, tak panas ke Encik Kamarul tu? Berpeluh-peluh dia. Jo jawab selamba, itu 'requirement' cikgu. Kalau nak jadi penceramah dia perlu. Wah! dewa-dewa saya kata. Tapi jauh dalam lubuk hati saya, saya memang sangat bersetuju dengan Jo. Itulah nilai dan pra-syaratnya. Bukan sekadar pandai bercakap, penampilan dan sikap kita juga kena betul.

Saya sampaikan yang terbaik dan cuba untuk perbaiki persembahan saya. Jo kata, cerita saya berterabur, tapi sampai, Zaki pun ingatkan saya cerita-cerita yang saya pernah cerita, tapi saya tak cerita. Zaki pesan, saya kena baca buku subconsious mind. Zero Mind Process dalam ESQ saya kata. Dia kata untuk buat muhasabah perlu ada latihan dan contoh untuk itu, jadi, hasil dari perbincangan sesi ceramah itu kami membuat kesimpulan;
  1. perlu disusun semula flow ceramah Motivasi CINTA;
  2. belajar tentang minda separa sedar;
  3. hadiri program-program yang berkaitan dengan hipnosis atau sebagainya.





Saya bersyukur dikurniakan rakan seganas Jo dan sesibuk Zaki. Mereka punya idea, cita-cita dan semangat yang dapat dikongsikan bersama. Semoga Allah kekalkan mereka bersamaku. Amin.

TUNE-lah diri kita.

BERSAMA PELAJAR BARU DI MULTIMEDIA COLLEGE JALAN SEMARAK


Pada 29 April 2009, saya bertolak dari rumah saya di Kuala Selangor pada jam 6.30 petang. Perjalanan lancar sehinggal tiba di pejabat saya di Saujana Utama Sungai Buloh. Dhila sudah menunggu bersama barangan yang saya pesan untuk dibawa. Kami pun bergerak dari pejabat menghala ke Sekretariat PEPIAS di Kampung Changkat lebih kurang jam 7.15 malam.

Perjalanan lancar dan di dalam perjalanan, pelbagai perkara yang saya cuba bincangkan dengan Dhila termasuklah hal praktikalnya, hal PEPIAS dan juga pesanan-pesanan yang saya terima dari usrah ABIM Kuala Selangor, saya panjangkan kepada Dhila dengan harapan pesanan ini juga akan dipanjangkan ke dalam usrah PEPIAS kerana itu tujuan utama Dhila bersama saya pada hari itu.

Ketika dalam perjalanan, rupanya banyak perkara yang saya terlupa, yang sepatutnya saya ambil ketika sampai di pejabat tadi. Oleh kerana saya tak naik ke pejabat, maka terlupalah semua. Tidak apa lah. Saya cuba abaikannya walaupun sebenarnya teringat jugak dan ada sesalnya. Kami tiba di Kampung Changkat jam 7.45 malam. Semua dah solat Maghrib maka saya pun bergegas ke surau berdekatan untuk menunaikan solat Maghrib berjemaah. Selesai solat, saya berjumpa dengan Zul dan Ayep, mereka juga baru tiba tadi, maka saya bergerak bersama mereka ke sekretariat.

Saya menunggu Syamel yang sepatutnya bersama saya untuk ke MMC, tapi dia lambat sikit bersiap. Kami bertolak lebih kurang jam 8.30 malam dan tiba di sana jam 8.55 malam. Mujurlah awal. Kami solat Isyak dahulu. Selesai solat Isyak, saya berbincang dengan Syamel berkaitan dengan aktiviti yang ingin kami lakukan. Saya berbelah bagi dan tidak dapat membuat keputusan yang bijak.

Ceramah dimulakan pada jam 9.20 malam. Peserta adalah dari kalangan pelajar baru yang sedang diorientasikan seramai lebih kurang 90 orang. Perjalanan ceramah kurang menyerlah. Saya panas lambat dan perjalanan ceramah juga seperti tidak bersedia dan tidak dirancang. Kelemahan yang jelas dan ia tudak boleh berulang kerana saya akan memberikan ceramah sekali kepada pelajar IPT pada 3 Mei nanti.

Antara kelemahan yang jelas dan perlu diperbaiki ialah;
  1. merancang perjalanan ceramah dan permainan berdasarkan tempoh masa yang diberikan,
  2. melakukan aktiviti 'ice-breakier' dengan berkesan dan lebih bertenaga,
  3. memahami situasi peserta yang mungkin kepenatan.






Ceramah ditamatkan jam 11.50 malam. Kemudian kami dibawa ke bilik mesyuarat MPP untuk memberikan sedikit pesanan kepada adik-adik MPP MMC ini. Malam itu, kami bersama juga dengan Zafrullah, Setiausaha Agung PEPIAS. Keadaan ini menyebabkan saya tidak selesa dan tidak selesai rasanya urusan dengan adik-adik MMC tadi. Seperti nak lakukannya semula, tetapi Allah hanya beri peluang untuk lakukan sesuatu tetapi saya telah bazirkan. Semoga ia dapat diperbaiki pada masa akan datang.

TUNE-lah diri kita.

USRAH ABIM DAERAH KUALA SELANGOR 28 APRIL 2009


Alhamdulillah, pada 28 April yang lalu, pulang sahaja aku dari pejabatku, aku tiba di rumah pada jam 7.15 malam. Tidak lama setibanya aku di rumah, azan pun dilaungkan. Aku bersiap diri lalu menunaikan solat berjemaah bersama isteri, ibu mertuaku dan Afwa. Selepas berzikir dan berdoa bersama-sama, aku pun bergegas bergerak menuju ke Sungai Gulang-gulang Tanjong Karang. Kami berusrah di rumah Ustaz Mukhid.

Ketibaanku bersama Cikgu Rafai dan anaknya Naim. Malam ini aku terlepas dari membaca ma'thurat bersama ahli usrah yang lain. Alangkah ruginya aku (dahlah baca sendiri pun malas). Ketika aku sampai, yang berada di sana adalah Haji Saad, Wak Nan dan Ustaz Malik (Naqib). Sambil berbual pelbagai isu berkenaan keadaan dan suasana politik semasa di Tanjong Karang dibincangkan, azan Isyak pun kedengaran dan kami pun menunaikan solat Isyak berjemaah yang diimamkan oleh Wak Nan. Selesai solat berjemaah kami dijamu tuna rumah dengan sedikit santapan makanan buat melapik perut dan seterusnya memulakan usrah.


Memulakan Usrah. Tafsir Al-Quran Surah Al-Baqarah Ayat 23 sehingga 25.

Ustaz Malik memulakan bicara dan membaca ayat dari surah Al-Baqarah tersebut yang membawa maksud:

23. "Dan jika kamu (tetap) dalam keraguan tentang Al-Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad), buatlah satu surat (saja) yang semisal Al-Quran itu dan ajaklah penolong-penolongmu selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar."

24. "Maka jika kamu tidak dapat membuat(nya), peliharalah dirimua dari neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu, yang disediakan bagi orang-orang kafir."

25. "Dan sampaikanlah berita gembira kepada mereka yang beriman dan berbuat baik, bahawa bagi mereka disediakan syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya. Setiap mereka diberi rezeki-rezeki buah-buahan dalam syurga-syurga itu, mereka mengatakan: 'Inilah yang pernah diberikan kepada kami dahulu". Mereka diberi buah-buahan yang serupa dan untuk mereka di dalamnya ada isteri-isteri yang suci dan mereka kekal di dalamnya.

Adapun di dalam perbincangan kami itu, membincangkan tentang ayat ke 23 yang berkaitan dengan sejarah cabaran Allah s.w.t beserta tentangan bagi mereka yang meragukan kebenaran Al-Quran. Al-Quran itu tidak dapat ditiru walaupun dengan mengerahkan semua ahli sastera dan bahasa Arab yang amat mahir kerana ia adalah merupakan Mukjizat Nabi Muhammad s.a.w.


Kini, Al-Quran juga tidak kurang cabarannya dari segi penciptaan surah-surah baru yang cuba dibuat bagi menyesatkan umat Islam di negara kita. Penghasilan Al-Quran baru juga tidak kurang hebat usahanya dan dapat dijumpai di masjid-masjid sendiri. berhati-hatilah kita kerana tambahan dari dugaan besar ini, ada pula dikalangan cerdik pandai kita yang mahu Al-Quran ini ditafsirkan semula mengikut pandangan dan pemikiran sendiri. Al-Quran sepatutnya ditafsirkan dengan Al-Quran atau Hadith. Namun daya dan usaha manusia manakan tertanding dengan kuasa Allah yang Maha Pencipta. Allah berkuasa memelihara Al-Quran dari ia diturunkan sehingga 1400 tahun lamanya.

Dalam ayat ke 24 pula, Allah menegaskan, untuk mereka itu (ingkar kepada kebenaran Al-Quran), nerakalah balasan mereka. Allah mengunci hati mereka, hati mereka yang keras seperti batu dan akan dibakar dengan batu. Menurut Imam As-Syahid Syed Qutub, hati mereka ini disamakan dengan batu. Hari ini juga kita boleh lihat keadaan masyarakat kita yang telah dijauhkan dari Al-Quran dan ini menjadikan keadaan masyarakat hari sangat parah. Terdapat hadith nabi yang membawa maksud, sekiranya sehari kita tidak membaca 50 ayat dari Al-Quran, maka kita ini adalah dari golongan manusia yang 'lagha' atau sia-sia hidupnya. Fikirkanlah untuk diri kita. Wajibkanlah diri kita untuk mendekati Al-Quran.

Sambungan ayat ke 25 pula menggambarkan kegembiraan untuk orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Kenikmatan di syurga itu adalah kenikmatan yang serba lengkap, baik jasmani mahupun rohani. Sekiranya kita hanya beriman sahaja adalah tidak mencukupi melainkan disusuli dan dilengkapi dengan amal soleh. Amal soleh pula haruslah berpaksikan kepada perintah Allah termasuklah berjihad dalam diri ke jalan Allah.

Keindahan yang tidak tergambar oleh pemikiran biasa manusia hanya hadir dengan wahyu Allah s.w.t. Marilah kita bersama sentiasa mengharapkan rahmat Allah. Pada pemikiran kita, semua manusia ini telah mempunyai hampir kesemua kesamaan dan keserupaan. 2 tangan, ada hati, ada akal dan sebagainya. Maka dimanakah perbezaannya kita ini? Sebenarnya Menurut As-Syahid Syed Qutub menyebut, perbezaan manusia dengan manusia adalah lebih luas berbanding jarak langit dan bumi. Hanya Allah yang Maha Mengetahui setiap apa yang diciptakan-Nya.

Sesi kedua usrah kali ini membincangkan pula buku Fiqh Keutamaan (Fiqh Aulawwiyat) karang Dr. Yusof Al-Qardhawi. Perbincangan dari muka surat 34; kita wajiblah meyakini bahawa setiap apa yang disuruh Allah s.w.t pasti ada kebaikannya. Kebaikan ini terbahagi kepada 3 iaitu perbuatan yang diharuskan, perbuatan sunat dan yang diwajibkan. Manakala perbuatan yang fasiq pula dibahagi kepada dua bahagian iaitu yang sifatnya makruh dan haram.

Kehidupan di akhirat hanyalah dengan petunjuk dari wahyu sahaj kerana ia tidak tercapai dek akal biasa manusia sahaja. Sekiranya timbul permasalahan yang tidak dapat dirungkaikan, hendaklah merujuk kepada pandangan Al-Quran dan hadith nabi. Sekiranya tiada nas yang jelas atau 'qat'ie', maka gunakalah pertimbangan akal yang terbaik (ijtihad). Kita harus sentiasa kembali kepada syarak dan ketetapn yang telah ditunjukkan di dalam Al-Quran dan hadith. Yakinilah bahawa, setiap kebaikan dan keburukan da apa sahaja yang diberikan kepada manusia adalah kerana kasih sayang Allah kepada kita. Redhailah ia.

Sebelum mengakhiri usrah kami pada kali ini, Ustaz Malik meninggal beberapa pesanan penting buat ahli usrah ABIM Kuala Selangor bagi memastikan kehadiran diri kami bersama jemaah dan bergerak demi umat yang dikasihi iaitu;

1) menyemak semula Rukun Usrah di dalam Risalah Ta'lim seperti,
2) semak semula punca-punca keciciran dari jemaah,
3) hadith yang berkaitan dengan keutamaan membaca surah Al-Baqarah dan Ali-Imran setiap malam,
4) menghafaz ayat-ayat yang telah dibaca khusunya Al-Baqarah,
5) menghafaz surah Al-Mulk, kata nabi jika tidak keberatan,
6) melaksanakan semula aktivit-aktiviti jamaie seperti berpuasa, solat berjemaah khususnya subuh dan asar, tilawah Al-Quran dan membaca Ma'thurat Qubra.
7) berqiyamullail; solat sunat iftitah tahajjud, taubat dan witir kerana Rasulullah tidak pernah meninggalkan solat sunat witir.

Semoga perbincangan sihat dan saling memperingati diri ini menjadi agenda utama ku dalam kehidupan ini. Pelbagai misi dan visi dalam hidup yang ingin dicapai, tetapi visi dan misi utama untuk akhirat mestilah dipenuhi dahulu. Jika tidak punya Allah di dalam hati, tetapi Allah tidak akan lupa akan kita, tetapi malanglah untuk kita kerana Allah tidak pernah tidur untuk melihat maksiat yang dilakukan kita.

Untuk tindakan ABIM Kuala Selangor selepas ini ialah;

1) mengemaskini semula data ahli di Kuala Selangor,
2) membina laman blog ABIM Kuala Selangor sendiri.

Untuk tindakan aku sendiri;

1) mencari buku risalah ta'lim,
2) buku fiqh aulawwiyat serta
3) mengamalkan apa telah dipesankan kepada ku.


TUNE-lah diri kita.