Hari ini, lidah sering menjadi ujian terbesar manusia. Di media sosial, dalam perbualan santai, malah dalam majlis ilmu sekalipun, kadang-kadang tanpa sedar, kita tergelincir daripada adab yang dituntut Al-Quran. Kata-kata yang ringan pada fikiran kita mungkin membawa beban dosa yang berat di sisi Allah.
Habib Ali Zaenal Abidin dalam karya Al-Busyra; Khabar Gembira Buat Umat mengingatkan bahawa Al-Quran telah melarang tiga perkara yang merosakkan masyarakat iaitu buruk sangka, mengintip dan mengumpat. Larangan ini bukan hanya menjaga dalam soal hubungan sesama manusia, tetapi juga untuk memelihara jiwa daripada dosa-dosa yang memakan pahala.
Islam tidak hanya menegah kita daripada mengumpat. Bahkan menjadi pendengar kepada umpatan juga memikul tanggungjawab dan dosa yang sama jika tidak dihentikan. Habib Ali menyebut beberapa kewajipan penting:
1. Menolak dan Menghentikan Umpatan
Tegurlah dengan hikmah, tukar topik atau tunjukkan ketidaksetujuan. Jika tidak mampu, tinggalkan majlis tersebut kerana berdiam diri tanda reda dan reda tanda bersubahat.
2. Membela Orang yang Diumpat
Ini adab yang tinggi. Membela saudara yang tidak hadir adalah amalan yang dijanjikan ganjaran besar: “Barang siapa mempertahankan maruah saudaranya, Allah akan mempertahankan maruahnya pada hari kiamat.” Membela bukan bererti menafikan kelemahan, tetapi melindungi kehormatan daripada kerosakan.
3. Tidak Menikmati atau Merelakan Umpatan
Manusia kadang-kala suka mendengar cerita negatif. Namun, menurut ulama, menikmati umpatan menjadikan pendengar pemilik dosa yang sama.
4. Menegur Dengan Hikmah
Ungkapan lembut seperti 'Kita tak tahu cerita sebenar' atau 'Baik kita doa yang baik-baik' mampu menghentikan keburukan tanpa mencetuskan ketegangan.
Walaupun mengumpat ialah dosa besar, Allah tetap membuka pintu taubat. Habib Ali menjelaskan beberapa cara menghapuskan dosanya:
1. Taubat Nasuha
Tinggalkan mengumpat, menyesal sepenuh hati dan berazam tidak mengulangi.
2. Istighfar dan Doakan Orang yang Diumpat
Cara terbaik menghapuskan dosa mengumpat ialah dengan mendoakan kebaikan kepada orang yang pernah kita sakiti. Doanya mudah:
“Ya Allah, ampunilah aku dan saudara itu dan kurniakanlah kebaikan kepadanya.”
3. Memohon Maaf Jika Umpatan Sudah Diketahui
Jika orang itu sudah mendengar atau tahu kita mengumpatnya, wajib meminta maaf dan memulihkan hubungan. Jika tidak tahu, cukup dengan doa dan istighfar tanpa perlu membangkitkan sesuatu yang boleh menyakitinya.
4. Mengganti Keburukan Dengan Kebaikan
Banyakkan amal soleh dan sedekah untuk menutup kekurangan. Mengumpat akan membuatkan pahala kita “mengalir” kepada mangsa umpatan, maka amalan baik perlu ditambah sebagai penawar.
Lidah adalah senjata yang tidak bermata tetapi mampu melukakan. Ia boleh membina kasih, dan boleh memusnahkan ukhuwwah. Setiap kali lidah diuji, ingatlah bahawa ia juga ujian hati. Jika kita tidak mampu memberikan manfaat melalui kata-kata, diam adalah sedekah yang paling mudah.
Dan renungkanlah pesan penuh hikmah yang diulang oleh para ulama:
“Tutup aib saudaramu, nescaya Allah menutup aibmu di dunia dan akhirat.”
Comments