Wednesday, July 24, 2019

POLITIK MUAL MALAYSIA

Kesianlah anak bangsa kita. Cucu cicit kita. Apalah yang pemimpin negara ni sibukkan. Pasal videolah, bakal PMlah, macam-macam. Tengok berita, anak pun tengok berita. Dia pun tanya, semburit tu apa? Panas hati saya ni jadinya. Apa ke jadahnya yang mereka ni nak? Sudah ditampuk kuasa, nak yang super power pulak. Menurut mata kasar saya ni, semua peel dinasour politik ni, penamatnya adalah keruntuhan daya fikir, daya pimpin, daya yakin diri generasi baru kita. Sekarang sudah ada pemimpin yang malas nak fikir, jangan kata memimpin orang, pimpin diri pun terkial-kial ditambah pulak keyakinan diri yang datang disebabkan sokongan, memang habislah semuanya.

Bukan nak katalah, tapi saya tuliskan, dari yang berserban sampai yang dah beruban, semua sibuk mencari laba untuk sendiri lagi. Apa saja yang keluar dari mulut, susah betul nak dipercayai. Nak kata saya kenal hati budi, memang tak lah, tapi kamu pemimpin kepada yang rakyat marhaen ni, kamu cerita soal kemiskinan dalam parlimen ber'air-cond', yang marhaen ni, terus berpanas lagi!

Sebab tu lah politik Malaysia ni memualkan, sampai dah tak mahu fikir. Apa jadi pada negara kita jika cerdik pandai berhati mulia dah tak nak berpolitik? Tinggallah yang memang tak pernah fikir ni berpolitik. Untuk mereka yang tidak pernah berfikir nak fikirkan pasal masa depan umat? Sorrylah, takde dalam agenda hidup beb! Keyakinan dia hanya bergantung pada sokongan, bukan ilmu pengetahuan. Bila bercakap, babi pun boleh terbang.

Apa sebenarnya yang berlaku? Semua yang saya tulis kat atas tu, perasaan saya, bila dengar berita pasal semburit, pasal pendakwah dikecam bila dinyatakan pandangan dengan hujah mengenai politik tidak termasuk dalam akidah, pasal mengamuk kat masjid dan banyak pasal lagi.

Saya fasilitator, saya banyak tinggalkan pesan, pada orang yang saya jumpa. Saya nak pesanlah juga kali ni, hai pemimpin, yang berhak atas kepimpinan kamu itu Allah, jangan sombong dengan Allah. Kamu dan kita semua takkan mampu membalas kesombongan-Nya nanti. Letaklah dalam hati kamu bahawa, jawatan, kedudukan, pengikut dan semua sokongan itu adalah pakaian yang akan ditanggalkan. Pakaian yang tidak akan dipakai selama-lamanya.

Buat netizen yang sayang, kasih, pada umat, pada generasi akan datang. Kitalah sebenarnya penentu pemimpin bagaimana yang akan dilahirkan. Tambahlah ilmu pengetahuan,  jangan biarkan amarah kita terbakar hanya kerana cerita dan pergaduhan pemimpin politik kita. Mereka yang bergaduh, kenapa kita diajak join sekali? Berhentilah melayan media yang sentiasa jadi batu api. Sudahlah. if you are true Muslim, than you are meant to be better. Ada claim mengatakan, agama punca kepada pecah belah, tetapi agama sebenarnya ada undang-undang dan peraturan kehidupan. Politik sebenarnya punca pecah belah di Malaysia, kerana bagi orang politik tiada mana-mana agama pun yang boleh mengatasi peraturan agama politik mereka. Bahkan kerap kita lihat, tiada peraturan dalam politik.

Kuasa itu pakaian kebesaran
Memakainya rasa besar
Memakainya seolah-olah kita telah diangkat darjat
Dari pejuang rakyat kepada pemikul amanah rakyat

Kuasa itu pakaian kebesaran
Memakainya tiba-tiba rasa mulia
Tiba-tiba rasa diri itu penting dan berjasa
Dari asalnya hanya insan biasa, kini menjadi penguasa

Kuasa itu pakaian kebesaran
Memakainya dirasakan tahu segala perkara
Rasa tahu untuk selesaikan semua masalah rakyat
Jadi tak perlu tanyalah rakyat, kerana pakaian itulah punca penyelesaiannya

Kuasa itu pakaian kebesaran
Memakainya itu merasakan kita betul dan boleh semua
Bercakap tentangnya apa yang kita tahu
Sebab kita tidak duduk ditempatnya

Kuasa itu pakaian kebesaran
Pakaian yang dipakaikan oleh rakyat kepada pemakainya
Pakaian yang dipakai dengan izin dari Tuhan
Dia boleh pakaikan dan tanggalkan bila-bila masa

Berjasalah sepanjang hidup bukan kerana pakaian ini, tetapi kerana peluang kita diberi hidup. Peluang hidup itu sahaja akan ditanya, ditambah lagi dengan amanah yang seperti ini. Sanggup kita pakaian ini dan lakukan perkara yang pemakai dan pemiliknya amanahkan?

JADIKAN KIAMAT TAJUK BORAK LEPAK?

Tiap-tiap hari kita fikir nak buat baik. Cuma, kekadang tu datang ruang untuk buat perkara yang tak patut kita buat khususnya bila kita ada masa lapang. Mudah aje otak ni nak melilau. Tambah lagi bila ada kawan yang frekuensi dia lebih kurang sama tinggi dengan kita. Mulalah nak mengata orang itu, ngata orang ini. Orang itu salah, orang ini salah. Sibuk dengan orang. Tapi tak tahulah aku macam mana dengan orang lain. Mungkin tak teruk macam akulah.

Cuma, saya tertanya-tanya, apa puncanya? Sebab kita rasa kita bagus ke? Atau kita rasa kita tahu semua? Ke sebab apa? Kadang-kadang saya perasan, bila kita yang bercakap ni, lebih sudu dari kuah. Kita bercakap macam kita aje yang betul, kita aje yang tahu semua. Orang kita maksudkan tak pulak cakap macam tu, cuma itu andaian kita je pada dia sebab dia tak buat yang macam kita harapkan. Bahaya sebenarnya tu, takut bertukar jadi fitnah.

Saya fikir, elok la saya berhenti la bercakap pasal orang ni, lagi-lagi orang politik tak pun artis. Kenapa lah nak diberikan perhatian sangat pasal hal peribadi mereka ni. Banyak lagi hal lain yang perlu kita utamakan. Banyak bercakap tentang kebaikan orang, harapnya kita dapat contohi kebaikan itu, kita dapat sama-sama baiki diri. Banyak bercakap keburukan orang sebenarnya samalah macam membuka pekong sendiri. Aibkan diri sendiri. Kita cerita hal orang, orang pun akan mula buka cerita kita, nauzubillah.

Kawan ni sebenarnya pada saya jadi punca kenapa kita berfikir banyak pasal orang. Tengok sapa kawan kita, apa dia ajak kita borak, apa topik yang hangat. Ada kawan hangat bab politik, kita pun terjun dengan labu kita sekali. Ada kawan sembang borak cerita pasal perempuan. Kita masuk dalam angan-angan Frozen dia. Ada kawan seronok bogelkan aib kawan dia. Tak kurang yang berhujah mengenai ilmu agama, ramai juga yang cerita tentang kiamat dan apa persiapan kita. Pasal agama, kiamat, sorry, bukan anak muda umur 25 sampai 35 ya, depa sibuk bincang pasal keusahawanan, aktiviti sosial, berpersatuan, bina kerjaya, bina keluarga, bina dan bina. Ye ke?

Tajuk agama, kiamat, itu perbincangan mereka yang berumur 25 tahun 30, 40 tahun lepas. Kalau ada pun yang muda-muda bincang pasal kiamat ni, sebab depa bergaul dengan orang tua mungkin. Orang kata, ada harapan sikit. Agama menjadi topik perbincangan. Tapi, hati-hati, macam kata Dr. Kamar Oniah dalam forum perpaduan negara Sabtu lepas (20 Julai 2019). Orang dah tak sembah Tuhan lagi dah, hari ini mereka sembah agama. Mereka lebih takut agama berbanding Allah s.w.t. Utama bagi mereka yang apa agama kata. Sedikit demi sedikit hilang ihsan pada insan. Sekarang saya mula muhasabah diri betul-betul. Boleh ke kita nak cerita pasal agama ni, bila time Subuh dalam program hebat, tapi bila di rumah, cacat. Tergelincir, terbabas ada yang kona baring terus, meniarap! Cakap pasal agama, keramat! Tapi bab amal, alamak, agama macam lambat lagi nak kiamat. Mana tak nya. Jika agama disampaikan oleh orang begini, aduhai, selamat la jawabnya.

Saya terbaca Allah s.w.t kata dalam Al-Quran ayat 103 sampai 104, surah Al-Kahfi;
Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?

(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan".

Amacam?  Bagaimana yang kita sangka kita alim dan baik sebab kita tahu lebih banding orang lain atau sebab belajar agama, macam mana kalau yang kita faham itu tersalah? Muhasabah lah... Yang nilai kita DIA, bukan manusia, apatah lagi sesuatu pertubuhan atau kelompok manusia. Takutlah DIA, bukan manusia, bukan agama. Balik pada tugas utama kita, BAIKI DIRI. Jom, kita berhentilah cakap mengenai orang lain, fokus pada apa yang kita boleh buat terbaik.

Letaklah fokus kita kepada membangun daripada meruntuh. Fikirkanlah cara untuk semua yang ada disekitar ini untuk dibangunkan. Mereka baik, kita pun baik. Bab ini saya memang salute seorang kekanda rapat dalam jemaah, Abg S. Apa saja yang lalu depan mata dia tidak ada lain, hikmah, pengajaran, keberkatan, pelajaran, proses, tarbiyah. Apa saja. Subhanallah. Saya terlibat dalam jemaah. Cuma jemaah ini kenderaan. Kenderaan ni boleh jahanam jika pemandunya cuai dan memandu secara berbahaya. Harap boleh brain la apa yang saya merapu ni.

Thursday, July 18, 2019

KENANGAN 'NO STRESS' DULU-DULU

Hari ni tetiba teringat masa zaman kanak-kanak. No stress kata orang. Apa yang ada dalam kepala masa tu main je. Masa darjah satu tak berapa nak ingat sebab emak saya cikgu di sekolah yang sama. Emak ustazah. Cuma yang paling saya ingat, emak pesan, "kat sekolah jangan panggil mak emak, panggil ustazah." Oleh sebab masa tu saya darjah satu, tak de hal lah, mudah untuk dibiasakan dan mudah lagi kita nak lenturkan lidah kita.

Kat sini saya dapat kenal pasti satu tindakan emak saya yang wajar dicontohi. Emak pesan jangan panggil emak sebab di sekolah, peranan emak saya lebih besar dan lebih tertumpu kepada amanah yang perlu dijaga, bukan saya saja. Cara begini menjadikan emak saya ini mudah berlaku adil kepada anak muridnya termasuk saya sendiri. Pernah sekali, bulan Ramadhan, saya minum air kat bilik air, masa darjah dua. Oleh kerana tekak dah basah, badan jadi bertenaga, waktu rehat, pukul tiga macam tu (masa tu sekolah petang), saya dengan kawan-kawan main bola dekat court badminton. Sepanjang waktu rehat. Lepas rehat, masuk semula kelas, waktu Pendidikan Islam, waktu Ustazah Tomerah. Kami bergerak masuk ke kelas agama, kawan-kawan bukan Islam ke bilik moral. Tiba-tiba, nama saya dengan empat atau lima orang lagi dipanggil kedepan.

"Kamu tahu apa kesalahan kamu?" Tanya Ustazah Tomerah kepada semua yang berdiri di depan tadi. Semua termasuk saya, tunduk saja, sambil fikir, buat salah apa? Ada orang report saya minum air tadi ke?

"Ustazah tengok kamu main bola bukan main sihat lagi, macam tak puasa je, kamu puasa ke?" Ustazah Tomerah bertanya. Telan air liur dibuatnya sebab kat tangan ustazah ada pembaris kayu panjang. Waktu tu terdengar ada kawan-kawan perempuan bercakap, "Eh, tu kan anak ustazah, anak ustazah pun kena ke?"

Spontan Ustazah Tomerah menjawab, "Kat rumah saya emak, kat sekolah saya ustazah, kalau salah, tak kira emak atau ustazah, anak saya atau anak murid, sama saja." Keras, deras dan tinggi suara emak saya masa tu. Apa lagi, dapat la sorang sekali libasan pembaris kayu atas tapak tangan sebab buat kesalahan, main bola waktu rehat. Emak kata, waktu rehat, berehat, bukan main bola. Sampai hari ni saya ingat sampaikan isteri saya pun komen bila saya pergi bercuti. Sampai saja, check in hotel, baring, rehat, tengok TV. Isteri tanya, "Tak nak jalan-jalan ke?" Saya akan jawab, "Kita bercuti ni, nak rehat kan, bukan jalan-jalan." Sekarang, isteri saya dah pandai buatkan mindset saya. Kalau dia nak bercuti sambil jalan-jalan, dia akan bagitahu, "Jom kita pergi cuti sambil jalan-jalan."

Apapun, saya belajar dari pengalaman itu dengan emak saya, dalam urusan amanah, tak boleh pilih bulu, sebab itulah agaknya dia tak nak anak dia panggil emak, panggil ustazah. Bila nak ambil tindakan, tiada rasa double standard. Hari ini, ada teman-teman guru saya tak nak bawak anak dia satu sekolah. Alasannya nanti anak tu manja sangat, melekat je, ngendeng-ngendeng, susah nak buat kerja. Kat sini saya perasan formula emak saya agak berjaya.

Kedua, emak saya nak kata abaikan anak tu tidak, tapi banyak masa dihabiskan di sekolah, menyelesaikan tugas dan amanah dia. Bahkan, selalu dia kerja lebih dari masa. Dia pernah bagitau, dia ada pencen. Kerajaan bayar pencen dia untuk apa? Dia kata untuk setiap kerja lebih yang dia buat, itulah haknya pencen yang dia dapat. Secara tak langsung, mungkin ini nasihat buat para pendidik di luar sana. Saya percaya ramai lagi mereka yang hatinya macam emak saya, atau lebih lagi dari dia. Saya mohon, pujuk semua, istiqamahlah. Kekalkan buat kebaikan walaupun macam-macam netizen hentam para guru di sekolah. Saya doakan semoga Allah berikan sebesar-besar ganjaran untuk semua mereka yang bergelar pendidik di luar sana. Terima kasih cikgu.

Wednesday, July 17, 2019

BELAJAR DARI LION KING

Anak buat salah, dah tentu kena marah. Ini situasi normal dalam hidup manusia. Apatah lagi bila kesalahan anak melibatkan nyawa, keselamatan, maruah dan yang seumpamanya. Memang berhenti jantung kalau jadi, dan memang jerit pekik datang dulu sebelum lega. Anak sebenarnya akan rasa bersalah masa tu, tapi bila ayah dah ok, mereka ingat ayah dah lupa, mereka lupa! Ayah, masih ingat dan tambah berhati-hati sebab salah dan bahaya tu.

Betul pesan Scar pada Simba, anak buat salah banyak kali, ayah masih bagi peluang, bagi peluang, bagi lagi peluang. Anak, masih cara sama, perangai sama, tabiat sama, konon mencuba dan sifat anak, tak mahu ambil pengajaran. Sebenarnya, bukan anak-anak kita tak ambil pengajaran, mereka sedar, cuma muda mudah diperdaya. Muda mudah diperkotak-katikkan, muda mudah termakan umpan yang lebih tua kerana bagi yang muda, yang tua lebih pengalaman dari mereka.

Simba hanya berasa gusar dan takut bila Mufasa mati meninggalkannya. Takut untuk kembali dan bawa kebenaran yang pahit. Takut untuk dipersalahkan dan takut untuk menerima kelemahan diri. Simba takut kerana Scar memperolok-olokkannya. Macam tu lah jiwa sebenar anak-anak kita. Jauh dalam hati mereka ada kesedaran, ingin berubah, namun kehidupan mereka dihimpit persekitaran yang juga cuba membentuk mereka. Apabila Simba bertemu Pumbaa dan Timon, pendiriannya berubah, pandangan hidupnya berubah kerana persekitarannya juga cuba membentuknya. Patut ke anak-anak kita dipersalahkan?

Maka datanglah peranan rakan-rakan, jiran bahkan guru buat anak-anak kita. Datang Nala, mengingatkan semula. Datang Zazu dan binatang macam dukun tu (lupa lak namanya) mengingatkan. Ya, kadang kala anak-anak kita jauh kerana persekitarannya, tetapi jauh mana pun dia, kita masih orang tuanya yang perlu diingati dan dihormati.

Pesan saya buat para bapa kat luar sana. Tanamkan impian dan matlamat yang besar kepada anak-anak. Agar jiwa mereka terus bersedia untuk itu. Ibu, emak, mama. Jangan putus harap pada anak, berikan kasih sayang, ayah tetapkan peraturan, emak kuatkuasakan. Ayah alpha, emak beta. Anak, ingatlah pesanan, tugas kita bukan hanya untuk kesenangan diri, juga harus untuk ibu ayah kita, juga untuk umat! Anak lelaki, bertanggungjawablah, anak perempuan jagalah maruah kerana apabila yang lelaki pelihara tanggungjawabnya, maruah perempuan akan terbela. Apabila maruah perempuan terbela, mereka sanggup korbankan hidup mereka membantu yang lelaki memikul tanggungjawabnya hingga berjaya.

Jom T.U.N.E diri kita. Maaflah kalau tak faham, sebab kena tengok movie The Lion King dulu.

ANAK, ISTERI PINJAMAN JE

Sampai hari saya menulis ini, alhamdulillah. Saya masih 'a couple' dengan buah hati sejak 2007. saya bukan tak kisah, tapi dalam hati ni ada juga perasaan sedih. Namun siapalah kita yang hanya manusia nak mengatasi perancangan DIA Yang Maha Kuasa. Saya berserah diri pada Allah s.w.t. Allah s.w.t berikan pesanan di dalam Surah Al-Kahfi ayat 46 yang bermaksud, "Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan."

Ya, anak-anak adalah sebahagian dari perhiasan dunia. Faedah terbaik yang kita akan bawa pulang adalah amal soleh. Jika anak-anak kita soleh, InsyaAllah ada saham untuk kita. Jika kita kenang-kenangkan, maknanya anak-anak ni Allah bagi peluang kepada kita la. Macam peluang yang kita dapat untuk berbudi pada tanah. Kalau kita ada tanah, kita tanam pokok durian, jika kita meninggal sebelum dia berbuah, memang kita tak dapat rasa, tapi kelazatannya, nikmat manis durian tu akan dapat di rasa oleh orang selepas kita.

Anak pun macam tu. Ramai orang aku perhatikan nak yang sempurna untuk anak mereka sampai mereka lupa yang anak tu mesti diusahakan hingga ada hasilnya. Kat sini la saya paham bagaimana anak-anak hari ni jadi tuan kepada ibu ayah mereka. Mereka pilih ibu ayah turut kan aje. Bahaya tu, pengakhirannya, ibu ayah akan dibiarkan hidup melarat, hidup tidak tentu hala, yang diutamakan cuma kebaikan diri dia tanpa dia hiraukan kesusahan orang lain. Hindarkanlah diri saya ni dari keadaan begitu Ya Allah.

Hari ni, bila saya pergi berceramah, cerita pasal anak-anak ramai yang setuju, anak-anak sekarang tak macam dulu. Waktu saya sedang membesar dulu, ibu ayah ni pantang betul kita lawan. Saya tak tahulah orang lain. Tapi hari ini, dengan tak tahu punca dari mana, anak-anak sudah mula boleh persoal tindakan ibu dengan ayah, apehal? Pada firasat saya, ada 2 kemungkinan besar, yang mungkin kita boleh sama-sama fikir. Satu, anak kita yang terdedah dengan macam-macam contoh dan teladan, baik dan buruk. Sumbernya? Banyak! TV ada, astro sampai tak cukup channel, internet dunia tanpa sempadan. Itu belum campur kawan-kawan yang entah apa yang mereka kongsikan bersama.

Kedua, kelemahan kita juga lah kot sebagai ibu dan bapa. Saya belum ada anak, tapi Allah s.w.t izinkan saya pengalaman membesarkan anak-anak along (sebelah isteri) saya. Bila jadi ibu bapa kita sangka dunia ini kita tahu semua. Tak mahu tambah pengetahuan dah. Tak mahu ambil tahu tentang zaman dan apa yang ada di dalamnya. Kita hanya biarkan zaman itu datang tanpa sebarang persiapan. Halo semua ibu ayah! Kita ni dah kenapa? Macam mana kita boleh benarkan anak kita dikawal oleh orang lain. Gajet yang control dia, TV, astro yang control dia. Kawan-kawan yang control dia. Kenapa ek? Satulah yang utama yang saya perasan, ibu ayah nak senang, ibu ayah tak nak fikir, ibu ayah nak aman dari tangis jerit anak, ibu ayah nak hidup macam lovely couple dulu-dulu, atau masa bujang dulu.

Saya pesan pada diri. Keluarga, isteri, anak-anak, ahli keluarga adalah amanah yang kita kena manfaatkan, yang darinya kita harapkan dapat faedah kesolehan sama ada kita buat baik kepada mereka, atau kita jadikan mereka baik, ini akan jadi amal soleh berpanjangan. Saya tak kata buat baik itu kena peluk cium walaupun buat salah, tapi pendidikan, pesanan, dalam kasih dan sayang mestilah dijelmakan. Jom T.U.N.E diri kita dengan ilmu bro!

Thursday, July 11, 2019

KE BAIK BETUL ATAU BAIK BETUL KE?

Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Kahfi ayat 28 bermaksud, "Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran."

Bila saya terbaca ayat ini, terbayang keadaan saya waktu duduk di asrama dulu. Masa tu, berangan-angan menginginkan 'biah solehah' katanya. Padahal, waktu di sekolah, sekolah agama pulak tu, persekitaran itu memang secara sengaja dibentukkan sebegitu. Ada amal kerohanian, bersukan pun ada, atau mudahnya orang sekarang cakap 'holistik'. Semua lengkap. Hari ini saya amat yakin dan percaya, warden-warden zaman di sekolah dulu memang golongan yang beribadat kepada Allah s.w.t semata-mata, ikhlas dan tidak mengharapkan apa-apa balasan. Bahkan yang saya nampak, mereka dapat cacian pulak lagi dari anak-anak murid yang pada masa itu konon lebih pandai dan mulia dari para guru ni, ceh.

Bila saya masuk universiti, perbincangan 'biah solehah' ini semakin kuat cabarannya mungkin sebab bercampur dengan kawan-kawan yang berfikrah, maka dorongan itu kuat ke arah yang sama dengan fikrah mereka. Maka, waktu itu, saya pun poyo-poyolah memasang angan-angan untuk melihat segala gambaran kebaikan yang sepatutnya dilahirkan dalam umat yang dekat dengan saya sehingga ada beberapa peristiwa yang kalau saya ingatkan balik, saya akan senyum dan malu sendiri dibuatnya. Belajar di sekolah agama, universiti Islam pulak, sebenarnya, poyo jugak lah. Kenapa saya kata poyo?

Bila umur makin tua, Allah ajarkan kita macam-macam lagi tentang kehidupan. Saya pulak diberikan ruang untuk terlibat dalam NGO, jadi jemaah di masjid surau dekat rumah, ikut aktiviti dengan masyarakat, yang sekaligus memberi peluang untuk berkenalan dengan ramai orang dan agak pelbagailah. Kat sinilah sebenarnya, saya mula belajar dan memahami angan-angan saya tadi sejak dari sekolah lagi, 'biah solehah'. Salah ke? Ya Allah, tak pernah salah langsung kemahuan itu. Itu fitrah. Fitrah kita nak hidup yang aman, keluarga selamat, kejiranan yang mensejahterakan bahkan perhubungan yang saling berkasih sayang dan saling hormat-menghormati antara satu dengan yang lain. Semua perbuatan-perbuatan baik ini Allah akan redha dan kita lakukannya bukan untuk dapat balasan yang lain.

Bila kita buat kebaikan tetapi untuk dapatkan pujian, maka kita mula membawa kebaikan kita ke arah kepentingan diri, bukan lagi kepentingan hidup bertuhan, astaghfirullah. Bila kita berpuasa sunat bersama atau solat berjamaah, dibuat sebab nak tunjuk betapa 'hambanya kita pada tuhan' maka tuhan itu sebenarnya adalah ego kita sendiri. Astaghfirullah. Bila kita buat kerja dakwah, bawakan peluang kebaikan pada orang kebanyakan, kita kata kami buat dakwah, padahal dalam hati mengata orang 'at least, saya buat, kamu ada?' Apa kejadahnya dakwah tu? Hati dah tak ikhlas, akhirnya kerja dakwah, hanya tinggal kerja sahaja. Orang tak ingat dan tak mahu pun bersama dengan kita yang konon buat kerja dakwah ni. Kemudian, kita claim pulak, 'kerja dakwah ni, memang tak ramai buat', mak ai, daifnya, naifnya kita, tak malu pada Tuhan betul.

Saya tulis contoh ni semua, pasal saya sendiri, kemudian saya claim pulak diri ini sebaik-baik umat sedangkan kitalah 'orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran'. Astaghfirullah, ampunkan aku Ya Allah, banyak lagi usaha untuk aku bangunkan iman ku ini Ya Allah. Barulah saya sedar, sejak di sekolah dan uni, saya ada kawan dan guru yang 'orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata'. Bahkan alhamdulillah ada sampai sekarang.

Cuma sekarang ini, ujian yang paling besar untuk jiwa saya ini adalah 'biah solehah' yang saya harapkan itu bercampur baur, sebab kita tidak tahu benar apa yang ada dalam hati manusia itu melainkan Yang Maha Tahu. Engkau lindungilah aku dan teman-teman dari membina sifat 'memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia' atau mengumpulkan kami bersama dengan mereka.

Tuesday, July 9, 2019

ADIL KERANA ILMU; ILMU TAKKAN BUAT KEROSAKAN


Minat saya bila berkait dengan bidang pilihan kerjaya saya adalah memberi bimbingan kepimpinan. Pada mulanya, saya ingatkan kepimpinan ini sekadar kemahiran insaniah untuk organisasi, rupanya, hampir setiap sudut kehidupan mendambakan kemahiran ini. Bahkan banyak perkara yang kita lakukan secara tahu atau tidak sengaja itu adalah bahagian dari kepimpinan. Hebat sungguh. Patutlah Allah jelaskan pada kita Dia ciptakan khalifah di muka bumi untuk mengurus tadbir bumi sebaik mungkin. Berlaku adil dan tidak melakukan kerosakan. Bunyi macam 'simple' tetapi sarat dengan peringatan dan pesanan.

Adil adalah sifat Allah yang Maha Agung. Manusia tidak akan mampu menyamai sifat-Nya. Oleh sebab kita manusia tidak akan mampu berlaku adil seadil-adilnya maka, Allah telah berikan syarat kekhalifahan itu bermula dengan kebergantungannya kepada ilmu pengetahuan yang harus dicapai atau menjadi keutamaan agar setiap tindakan kita itu bukan berdasarkan kecenderungan jantina, warna kulit, kelompok, bangsa mahupun agama. Saya faham kepimpinan ini adalah upaya seseorang membina pengaruh dalam lingkungan dirinya sendiri. Maka, membina pengaruh diri dengan sifat adil kerana ilmu pengetahuan yang diperlukan amat membantu mengangkat martabat diri. Jangan sekali-kali ada kepimpinan yang cuba menidakkan keperluan berlaku adil serta kepentingan ilmu untuk berlaku adil.

Orang yang paling mudah melakukan kerosakan adalah orang yang pada dia ada pelbagai kelebihan seperti kuasa, kekayaan atau mungkin pengetahuan. Sekali lagi, ia amat berkait rapat dengan kepimpinan. Hari ini kita sama-sama nilaikan. Adakah boleh kita kaitkan kepimpinan dengan kekuasaan dan kekayaan? Jangan boraklah kalau kita kata pemimpin hari ini hidupnya 'bese-bese je'. Kita nampak, pemimpin kita ni, keretanya besar, rumahnya gadang, jawatannya keliling pinggang. Maka, juak-juaknya bukan main miang nak berkepit dengan pemimpin tu. Kalah belangkas. Saya tidak juga menafikan yang hidup sederhana, tetapi, kerana sederhananya mereka, ramai orang tak kenal pun mereka kan?

Hari ini, pemimpin yang 'low profile' ini hanya dapat kita hargai apabila mereka pergi meninggalkan kita. Mereka itu teguh dengan pendirian mereka untuk terus berlaku adil serta tidak mahu melakukan kerosakan, khususnya kerosakan akhlak yang secara tidak langsung menjadi contoh kepada orang lain mungkin dalam ruang lingkup yang kecil sebab mereka ni sederhana dan tidak berapa dikenali. Persoalan yang saya menarik minat saya, bagaimana mereka boleh jadi sehebat dan sebaik itu? Tidak langsung termakan dek hebatnya kuasa, indahnya kekayaan serta besarnya pengaruh?
Pada saya, jawapannya ada pada ilmu yang mereka kutip, tapis, kembangkan bahkan ilmu yang sentiasa menjadi dasar dalam apa jua usaha keputusan yang ingin dibuat. Kita masih menunggu pemimpin-pemimpin ini. Mungkin mereka telah ada sekarang (pandangan peribadi saya, tak nampak lagi) atau mereka sedang kita bina dan akan lahirkan akan datang.

Friday, July 5, 2019

SUSAHNYA NAK MENULIS

Bukan kebolehan saya untuk menulis. Tetapi, membaca tulisan orang lain melalui buku-buku mereka, mengusik hati saya untuk turut serta menulis. Bukanlah kerana banyaknya ilmu, tetapi banyaknya juga perkara yang saya lihat sambil perhati sehingga terbina pelbagai kesimpulan dalam benak hati dan pemikiran saya ini.

Ya, kerjaya yang menjadi minat saya sejak tamat belajar di universiti Taman Ilmu Dan Budi adalah menjadi seorang perunding dalam bidang latihan, motivasi dan bimbingan. Minat, tetapi bukan mahir lagi, cuma, pengalaman ada la sedikit dan saya nak kongsikan. Kenapa nak kongsi? Sebab idea banyak, takut saya tak terbuat, jadi kalau ada sesiapa yang terbaca apa yang saya tulis, harapnya akan ada orang yang sanggup ambil risiko dan tanggungjawab untuk usahakan idea itu.

Keduanya, saya amat berharap apa yang saya tuliskan menjadi bekalan lepas saya dah tinggalkan dunia ini. Pergi mana? Ya, ke alam yang kekal abadi. Amalan kita boleh melangkaui umur dunia kita dalam bentuk ilmu. Nak harapkan harta, tak boleh nak harap. Harapkan doa anak yang soleh, sehingga saat saya menulis ini, kami masih berdua lagi (moga Allah izinkan kami punya anak yang soleh dan solehah).

Ketiganya, mencari penyelesaian. Terlalu banyak persoalan berbanding jawapan. Kadangkala, ada jawapan, tetapi tidak kena pula pada tempatnya. Jadi, saya berharap, apabila banyak menulis, harapnya banyak juga orang membaca, maka, akan ada teman-teman pembaca yang nak berkongsi idea atau cara penyelesaiannya.

Belajar di universiti dulu menggiatkan saya aktif dalam pelbagai NGO, menjadikan pengalaman yang ada ini pelbagai. Setiap hari kita akan berusaha buat yang terbaik. Tambah lagi apabila berkeluarga dan saya ada peluang membesarkan anak-anak kakak, menjadikan kita lebih dewasa dan lebih ingin berjaya.

Ya, kalau disemak dalam blog ini, banyak juga yang saya dah tulis. Pelbagai, tidak fokus dan ada juga yang agak ilmiah. Kali ini saya bercadang untuk menulis dengan lebih aktif dan dibahagikan tulisan ini kepada 2 atau mungkin 3. Susahnya nak buat keputusan. Apa pun, ini usaha penambahbaikan diri sendiri. Glamer, bina nama, bina brand? Bukanlah. Bina diri sendiri. "We are what we read, write and discuss". Itu yang ada dalam fikiran kita.

Terima kasih kerana membaca.

*Ambil kesempatan menulis dalam kereta.