Tuesday, December 18, 2012

HATI-HATI DENGAN LIDAHMU! HEBAT TIDAK BERERTI BAIK!

Saya berusaha mendapatkan kekuatan demi untuk terus menghidupkan agama dalam diri sendiri. Hari ini, kehidupan kita di dunia semakin hebat ujian dan semakin hebat cabarannya untuk meneruskan niat kita berada di dalam syurga Allah s.w.t.. saya sendiri tidak terlepas dari dugaan dan bencana dunia ini yang jika kita tidak memerhati dengan betul, dengan mata hati, maka amat mudah kita terpedaya dengan bisikan syaitan.

Musuh yang ketara dari dahulu hingga ke hari kiamat. Bahkan mereka itu tidak akan membiarkan manusia untuk terus berada dalam cahaya Allah s.w.t.. Musuh ini perlu dijauhkan dan dibentengi dengan keimanan serta bantuan hidayah dari Allah s.w.t.. Sebab itu wahai saudara-saudaraku, sentiasalah bermohon hidayah dari Allah dan janganlah  melakukan sesuatu perkara yang menjauhkan kita dengan Yang Maha Pengasih dan Penyayang. Firman Allah s.w.t. di dalam kitab Nya yang bermaksud;

"Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati kepada tubuh badan mereka (dan kelakuannya); dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan fasih). (Dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada padanya kekuatan yang dikehendaki). Mereka (kerana merasai bersalah, sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka. Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. Semoga Allah membinasa dan menyingkirkan mereka dari rahmat Nya. (Pelik sungguh!) Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya - dari kebenaran)?" (Al-Munafiquun 63: 4)

Tersentuh hati saya apabila membaca ayat ini. Betapa Allah s.w.t. telah memberikan gambaran jelas tentang musuh-musuh yang nampak atau yang tidak dapat dilihat. Pesona manusia yang dicantikkan oleh syaitan melalui mata, rasa hati dan fikiran kita telah membutakan kita kepada perkara yang sebenar. Berhati-hatilah pada lidah kita yang mungkin ia hanya sebutan dongeng kerana inginkan pesona manusia lain. Kerisauan kepada masalah umat dan persekitaran adalah kesedaran penting tetapi ia tidak bermakna jika tidak punya kesedaran di dalam diri sendiri.

Tentunya kita teringat bahawa peperangan sebenar kita pada dunia hari ini adalah berkenaan dengan hawa dan nafsu yang sering membutakan mata hati kita. Sedap di dengar mungkin bukan yang utama tetapi perubahan yang perlu dilakukan yang patut diutamakan. Inilah perjuangan kita, buat dari terus bercakap, buat dari terus berfikir tanpa tindakan. Hati-hati dengan lidahmu wahai saudaraku, hebatnya tidak bermakna kita yang terbaik!

Sunday, November 25, 2012

KETAWA MEREKA

Selalu kita perhatikan, dipersekitaran kita yang semakin meruncing hubungan dan ikatan persefahaman Islam. Percampuran pandangan, idea, pendapat bahkan sekolah pemikiran menjadikan hidup manusia hari ini penuh dengan prasangka dan prejudis antara satu sama lain. Bergaduh di sana-sini, protes, demonstrasi dan pelbagai lagi. Apa sebenarnya yang kita inginkan dalam hidup ini? Kekal selamanya? Pemilikan yang tiada hadnya? Masa yang tiada penyudahnya atau nafsu yang tiada had puasnya?

Aduhai, pertelagahan ini kita dapat lihat, di mana-mana, baik pada tahap setinggi-tinggi kepimpinan negara sehingga ke serendah-rendah himpunan masyarakat di mana-mana. Kadangkala jauh dibenak kita, bila nak habis ni? Tapi tidak terluah di mulut, inilah agaknya selemah-lemah iman. Memang iman kita makin lemah. Allah telah hilangkan rasa takut musuh kerana lemahnya pegangan Islam kita.

Hari ini kita sibuk berebut kuasa, sehingga menolak cara agama, mengambil jalan dosa hanya kerana niat untuk tadbir negara, mahupun hanya organisasi kecil yang tiada kepentingan kewangan sekalipun. Niat tidak menghalalkan cara. Jadi, di mana ciri Muslim kita? Ia hanya kekal pada bingkai susuk tubuh kita dengan kad pengenalan tertulis Islam, namun dalam isi kandungan yang sebenar, kita telah pun menganuti agama lain, kita telah pun ada agam baru, agam berupa material duniawi, baik duit, pangkat, kemasyhuran dan sebagainya.

Sedar atau tidak, ketawa mereka melihat kita. Semakin hari semakin besar ketawa mereka. Kata mereka, orang Islam sekarang sudah tidak relevan tinggal di bumi, tambahan ada yang kata, jika datang UFO sedut Muslim pun tidak akan terjejas perjalanan kehidupan dunia. Beginilah pandangan musuh-musuh Islam terhadap Muslim. Muslim pula, kita biarkan dan teruskan mendengar ketawa mereka.

Jangan biarkan ini berterusan wahai saudaraku. Kita perlu bertindak dan lakukan sesuatu. Usah tinggalkan dunia ini dengan generasi lemah yang tidak mampu bangkita apabila Islam di hina. Jangan tinggalkan generasi yang hanya pentingkan perut sendiri, masa sendiri dan keutamaan dirinya sendiri sahaja. Kelak kita akan jadi bangsa yang tiada jatidiri, tiada agama Ilahi dan tiada maruah diri. Sudahkan ketawa mereka, jangan biar mereka ketawa lagi.

Saturday, November 17, 2012

ALLAH YANG MAHA PENGASIH DAN PENYAYANG

Jom kita kenang sejenak keindahan ciptaan Allah s.w.t ini. Keindahan yang sukar diganti. Nikmat yang sukar dicari. Inilah peluang untuk kembali berbakti untuk kehidupan yang abadi nanti. Inilah bekalannya. Segala puji bagi Allah, Rabb bagi sekalian alam. Pujian itu harus datang dari hati yang ikhlas dan penuh kerendahan hati. Barulah terbuka ruang dalam hati kita, betapa pengasih dan penyayangnya DIA dengan nikmat yang diberikan. Walaupun dengan nikmat yang kita terima, dibalas dosa kepada Allah s.w.t. Inilah peluang atas kasih sayang Allah juga untuk kita muhasabah sebelum kita menghadap Allah s.w.t..

Usah lengahkan hidup kita dengan mencari salah atau lemah manusia lain sebaliknya, lihatlah diri kita. Kelak, dihadapan Allah, kita membawa diri kita, dan bukan diri orang lain yang hendak dipersalahkan. Ketika di dalam kubur kita nanti, biarlah amal yang berdamping dengan kita itu nanti sasa, yang boleh mempertahankan kita dari siksanya, bukan kurus dan lemah sahaja. Bina amal kita dengan beriman kepada ayat Allah di dalam surah Al-Fatihah ini. Mudah-mudahan kita bertemu dengan apa yang kita cari selama ini, yakni redha Allah.

Firman Nya yang bermaksud;

"Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang." (Al-Fatihah 1: 1-2)

Terciptanya manusia dengan ucapan terima kasih. Apa hikmahnya? Sekarang baru kita terketuk kepada apabila Allah s.w.t. ungkapkan pujian untuk Nya dan Dialah yang Maha Pengasih dan Penyayang. Maka, terima kasih kita di dahului alhamdulillah kerana kasih yang kita terima itu bukan hanya pada si pemberi, tetapi yang lebih utama adalah dari yang Maha Pemberi.

Wednesday, November 14, 2012

WARKAH BUAT GURU YANG TERPILIH

Anda telah pun terpilih. Andalah orang itu. Istimewa, dihormati, disegani, dirindui dan dinanti. Tetapi semua itu tidak akan bererti jika guru-guru sendiri tidak melihat, merasai dan memahami bahawa itulah hakikat mereka. Bagaimana guru itu seorang yang istimewa? Istimewa kerana peluang bersama generasi muda, membangunkan mereka, mengajar mereka tulis baca, melihat mereka membesar, membangun bersama kemajuan negara. Hanya ada pada seorang guru, ingin melihat generasi yang dibimbingnya menjadi pemimpin negara. Namun, istimewa ini hilang kerana guru sudah hilang punca perkhidmatan mereka. Bukan lagi tugas mendidik yang utama, hanyalah untuk gaji semata-mata. Adakah itu istimewa? Keistimewaan itu jelas ketara apabila anak-anak didik itu dewasa, mereka menjadi manusia berjaya tidak kira besar kecil gaji atau jawatan mereka, yang pasti mereka jadi manusia berjasa.

Guru kekal dalam ingatan mereka kerana berjasa mengajar mereka tulis baca, menegur bila mereka tersalah dan mengasihi mereka seperti anaknya. Anda disegani kerana tugas besar itu. Tidak kira siapa, baik anak bangsawan atau anak raja, jika sudah nama pendidik, salah balasnya marah, silap balasnya tegur dan betulkan, baik balasnnya puji, berjaya balasnya hadiah dan anugerah, pendek kata untuk anak murid, anda berdoa setiap masa hanya untuk melihat mereka berjaya. Dek kerana itu, anda dirindui, baik anak murid, teman seperjuangan mahupun kenalan. Hadirmu membawa harapan dan kegembiraan. Membuka satu lembaran hitam dalam diri manusia dari tidak tahu kepada tahu.

Tapi hari ini, cabaran untuk guru amat berliku dan berduri. Guru tidak lagi dirindu bahkan menjadi buah mulut cemuh dan caci maki. Mengapa? Tepuk dada tanyalah pada diri. Adakah kerana guru tidak lagi berjasa? Atau mereka telah tinggalkan kerja utama mereka? Ingatlah guru adalah contoh, guru adalah penyampai ilmu, guru adalah penyuluh, maka kebijaksanaan guru mestilah merentasi zaman dan kemajuan. Jika dulu A murd kenal di sekolah, kini A bukan lagi baru untuk kanak-kanak yang baru ke sekolah.

Guru adalah insan yang tidak perlu kita perkenalkan kepada umum. Guru orang kenal seolah-olah tertulis di dahi. Maka guru masih dalam ingatan semua orang. Guru harus ada rasa tanggungjawab yang besar kerana jatuh bangun negara bertitik tolak dari guru. Menghalakan tujuan pendidikan anak bangsa. Guru perlu peka dengan persekitaran yang berubah. Kecerdikan anak murid hari ini bukan seperti 10 tahun dahulu. Guru kini ada pencabar sendiri, pencabar yang diwujudkan kerana kemajuan. Didiklah diri para guru dengan ilmu pembacaan yang luas maka dengannya berguna buat generasi baru yang semakin haus dengan ilmu keinsanan dan ketamadunan.

Suburkan rasa kasih dan sayang apabila melihat anak murid kerana dalam kecerdikan dan kecanggihan teknologi, sebenarnya mereka laparkan belaian, perhatian dan dorongan untuk mencapai kejayaan. Hadirkankah di dalam diri guru, sifat 'murabbi' agar pendidikan bukanlah semata-mata ukuran pencapaian 'A', tetapi usaha untuk melahirkan manusia yang berilmu, beramal dan berjasa.

Monday, November 12, 2012

TERIMA KASIH DAN MINTA MAAF

Perasan atau tidak, dunia hari ini semakin pantas bergerak dan kadangkala kita terlepas dari kawalan dan hanyut buat seketika sebelum terdampar dan kembali kepada kehidupan itu semula. Kehidupan hari ini menjadikan semua manusia perlu hidup pantas, tangkas, cekap, cepat dan pelbagai lagi istilah yang sesuai.

Ketangkasan dan kecepatan ini mengundang kepada kurang prihatinnya manusia terhadap hubungan sesama mereka. Bayangkan jika kita bekerja di kilang pembotolan, perlu cepat dan cekap untuk mengelakkan ia pecah atau rosak, maka kita tidak punya waktu untuk bicara bersama rakan disebelah pun.

Inilah dunia kita hari ini, jika dahulu sempat kita menjenguk jiran tetangga, sanak saudara, tapi kini hanya bertemu apabila tiba hari raya, kematian atau kenduri kesyukuran. Kehidupan sebegini mematikan jiwa serta sifat insan dalam diri bahkan ihsan itu pula semakin menipis. Apabila ihsan menipis, sifat kejiwaan insan itu mati, ia akan mematikan sekali dua perkara yakni rasa syukur dan kerendahan hati.

Syukur kepada Allah dengan puji-pujian kita kepada Nya, alhamdulillah. Ungkapan ini kita biasa dengar, namun malangnya ia tidak datang dengan ucapan terima kasih. Manusia perlu bersyukur, dan mereka yang bersyukur mesti banyak mengucapkan terima kasih kepada makhluk Nya. Apabila syukur kepada Allah, maka berterima kasihlah kepada sesama manusia kerana ia nilai keinsanan yang tinggi yang merupakan kesan dari rasa syukur kepada Allah s.w.t.. Jiwa penuh kesyukuran ini akan dipenuhi dengan ihsan kerana yakin pada setiap sesuatu itu pasti, atas perintah, perancangan dan perjalanan yang telah Allah tentukan.

Kerendahan hati manusia terletak pada lidahnya dan salah satunya adalah kata-kata memohon maaf. Hari ini, kebanyakan manusia sudah semakin sukar memohon maaf bahkan di negara kita, memohon maaf sudah menjadi aktiviti bermusim iaitu pada hari raya aidilfitri. Jiwa yang sukar memohon maaf akan sukar juga memaafkan orang lain dan kadangkala ia membawa kepada keburukan hubungan sesama manusia.

Ajarkan diri kita untuk berterima kasih dan memohon maaf setiap hari dengan sesiapa sahaja apatah lagi mereka yang dekat dengan kita. Dua sifat ini membentuk keinsanan dalam diri yang mampu menggerakkan diri untuk berubah ke arah yang lebih baik. Pastikan budaya berterima kasih dan bermaafan menjadi budaya kehidupan harian. Semoga ia mampu melahirkan lebih ramai insan ada ihsan.

Tuesday, November 6, 2012

KEPUASAN MEMBERI

 
Memberi latihan kejurulatihan dan lanjutan fasilitator pada hari Sabtu dan Ahad yang lalu benar-benar mendatangkan kelainan perasaan saya secara peribadi. Melihat wajah-wajah baru, muda dan bersemangat adik-adik PEPIAS menjadikan perancangan asal latihan tersebut berubah kepada lebih input yang penting, berat dan fokus. Segalanya mendatangkan kesan di dalam hati saya kerana perancangan awal adalah berdasarkan pengalaman pertama membuat TOT ini dengan PEPIAS juga sewaktu di Kampung Changkat.

Sebahagian dari hati saya ini berasa puas dalam melaksana dan memberi input dalam latihan kali ini. Namun separuh hati lagi masih penuh dengan kerisauan dan kekusutan sama ada yang disampaikan itu akan dimanfaatkan mereka atau tidak. Peluang dan ruang Allah s.w.t. sentiasa bukakan untuk saya terus membuat bakti kepada umat, mungkin bermula dari kelompok kecil ini. Maka, berbunga dalam hati, membara semangat untuk terus ingin melihat generasi baru PEPIAS yang kental menempuh cabaran.

Kita hari ini dihina dan dicaci kerana kelemahan kita sendiri. Allah hilangkan rasa takut pada jiwa musuh Islam, kerana jiwa merdeka hamba kita sudah tiada relevensi lagi. Takut kita pada makhluk bukan pada khalik, ibadah dan kehidupan kita hilang teras halatuju keimanan yang impikan syurga, cintakan syahid serta kerinduan kepada kekasih Allah Muhammad s.a.w..

Saya berharap agar dapat terus menyumbang bakti, keringat, idea dan segalanya demi pembangunan gemerasi Islam yang sejahtera aqidahnya dan sahih ibadahnya. Walau apa jua cara, apa jua orang kata, apa jua difikir manusia, saya pasti, jika hati ini waja untuk menegakkan agama Allah s.w.t., pasti hidup ini tidak akan menjadi sia-sia. "Ya Allah, bantulah hamba mu ini untuk terus berbakti dan jangan Ya Allah Engkau hilangkan hidayah yang telah Engkau berikan kepada kami".

Thursday, October 18, 2012

KE MANA HALA TUJU GENERASI MUDA KITA?

Ke mana hendak kita pimpin remaja kita pada hari ini? Fikiran, jiwa, rasa, tingkahlaku sudah tiada gambaran ketimuran, melayu apatah lagi Muslim. Keadaan mereka semakin meruncing dan perubahan ini harus menjadi hidangan perbincangan meja bulat tentang siapa mereka 10 tahun dari sekarang. Pendedahan cerita, kisah mereka ini di dada akhbar, tayangan filem, drama bukan memberikan kesedaran, tetapi itulah realiti yang digambarkan 1 dari 10 kisah benar yang telah berlaku mungkin. Jika kerosakan ini dahulunya disorok-sorokkan, dan hari ini ia sudah timbul kepermukaan kerana tak dapat disorokkan lagi.

Remaja hari ini perlukan contoh dan tauladan dari orang dewasa di sekeliling mereka. Tolonglah buat ibu dan ayah, sediakan contoh yang baik buat mereka. Jadilah manusia yang bertanggungjawab membina kehidupan mereka. Sekiranya sampai ajal ibu dan ayah, anak sudah bersedia berdikari dan dapat memudahkan urusan kita selepas kematian. Anak adalah amanah Allah bukan bebanan, bukan tempat untuk dibanggakan, bukan untuk sekadar membuktikan kita ibu dan ayah, mereka adalah bekalan kita bila menghadap Allah s.w.t..

Kerosakan yang berlaku juga adalah akibat dari salah ajar kita kepada generasi muda. Kurang prihatin, kurang kasih sayang kerana kesibukan kita semua mencari harta dunia yang sementara. Sibuk mengikut kemajuan dan teknologi, sehingga lupa anak atau adik yang membesar dan berdikari di dalam rumah sendiri. Akhirnya hidup mereka lebih tertumpu kepada dunia yang mereka diami hari ini. Jom kita bantu generasi masa depan kita dengan membangunkan mereka semula. Kembali kepada asas kehidupan yang sebenar iaitu hidup untuk memberi kehidupan kepada orang lain juga.

Jika terlihat anak-anak muda ini, jangan terus memarahi mereka sebaliknya senyumlah sebagai sedekah yang paling mudah untuk kita buat. Berikan salam dan berjenakalah dengan mereka, kerana hari ini, kita terlalu serius dengan mereka. Jika berpeluang tegurlah, dengan cara yang tidak memalukan. Bawa berbincang jika ada masalah dan bantu mereka jika perlu. Hidup bukan perkara yang mudah kerana ada banyak amanahnya. Tetapi dengan hidup mudah untuk kita berbakti dan membuat kebaikan kepada orang lain. Maka hiduplah dalam bekerja, berjiran, berkawan, bermain dan apa sahaja. Kerana hidup insan itu dengan ihsan, mati insan itu dengan tiada berTuhan.

Tuesday, October 16, 2012

KEBAIKAN DI BALAS KEBAIKAN




Surah Al-Isra' ayat 7 jelas Allah menggambarkan kepada kita bahawa setiap kebaikan akan dibalas dengan kebaikan dan kejahatan itu akan dibalas begitu juga. Maka, menjadi keutamaan untuk kita membuat kebaikan jika menginginkan kebaikan dari Allah. Dek kerana itu setiap kebaikan yang kita pinta sukar dipenuhi Allah bukanlah kerana Allah itu lupa atau tidak izinkan, tetapi kebaikan yang kita buat mumgkin tidak setimpal dengan kebaikan yang ingin kita terima. Perjalanan harian kita adalah medan ujian kebaikan kepada setiap makhluk yang kita jumpai. Kebaikan inilah yang mengamankan hidup kita pada masa akan datang.

Selama seminggu SAYA dan IQ Class Management disibukkan dengan ceramah untuk mengingatkan remaja tentang kehidupan mereka. Menempuh dunia remaja adalah satu peringkat umur penting yang akan juga menentukan siapa mereka 10 tahun dari sekarang. Jika dalam dunia remaja mereka dipenuhi dengan kebaikan maka apabila mereka ke alam dewasa insyaAllah mereka akan lebih menghargai hidup mereka dan mereka akan isikan dengan kebaikan dan begitulah selebihnya. Ini jelas pada pengalaman SAYA sendiri juga apabila melihat rosak kehidupan remaja seawal umur 12 tahun dan natijahnya pada umur 17 tahun dia masih memiliki sifat buruk itu bahkan ia berkembang dan semakin sukar dibendung. Inilah perhatian yang perlu diambil oleh ibu bapa di rumah. 

Keburukan anak kita perlu dimuhasabahkan. Mungkin ada silap kita di mana-mana atau ia sebenarnya ujian untuk kebaikan yang lebih besar dalam hidup kita. Maka kesabaran yang tinggi perlu ada pada ibu bapa dalam mendidik anak-anak hari ini, kerana bersama mereka ilmu pengetahuan dan kemahiran teknologi yang tinggi. Ini kerana sumber maklumat mereka semakin meluas, maka itu juga yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa. Hampiri anak-anak kita jika terlihat perubahan diri mereka dan jadikan anak-anak remaja ini sebagai kawan karib agar mereka memiliki contoh dan teladan yang baik. Kebaikan kita itu akan dibalas dengan kebaikan mereka apabila kita semakin tua dan berumur. Mudah-mudahan setiap kebaikan kita itu juga dikira sebagai amal jariah kita di sisi Allah s.w.t..

Tuesday, October 2, 2012

PEMBUKAAN

Alhamdulillah kita panjatkan kesyukuran kepada Allah s.w.t. kerana limpah rahmat dan kasih sayang Nya, kita masih dipilih untuk meneruskan kehidupan di dalam dunia yang semakin mencabar dan penuh dengan mehnah dugaan yang tidak surut-surut. Setiap hari pasti akan ada pembukaan dan pembukaan hari yang terbaik adalah dengan Alhamdulillah.

Bagaimana kita mula membuka lembaran hari kita? Perbalahan kecil dengan isteri? Marahkan anak kecil yang mahu ke sekolah? Menekan hon ketika memandu? Memek muka masam kepada teman sepejabat? Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Fatihah yang bermaksud;

“Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.” (Al-Fatihah 1: 1 – 2)

Telah diajarkan kepada manusia melalui lidah Ar-Rasul itu, satu tatacara kehidupan yang mulia dan beretika. Permulaan kehidupan bahkan perilaku manusia seharusnya bermula dengan pujian terhadap Allah s.w.t. yang sentiasa memberi peluang dan ruang buat manusia berfikir dan berzikir kepada Nya. Jelas di dalam ayat yang pertama itu menggambarkan pemilikan kepada setiap inci dunia yang merupakan pinjaman buat kita semua.

Diungkapkan pula, yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Dia adalah yang paling kasih dan paling sayang terhadap makhluknya dan memberikan nikmat sebanyak-banyaknya. Maka, biarlah pembukaan hidup kita mengikut haluan yang dipandukan oleh Al-Quran yang diajarkan oleh Allah s.w.t. kepada manusia.

Mulakanlah kehidupan dengan memanjatkan kesyukuran yang tinggi kepada Allah s.w.t.. Ingatlah ruang kehidupan ini Allah berikan kepada mereka yang dipilih Nya sama ada peluang untuk menambahkan kebaikan atau memusnahkan dosa dan kesalahan. Jika kita sedar, maka kesyukuran kita akan lebih bermakna dan berkesan. Maka tuntutan kesyukuran itu akan datang bersama dengan perintah hidup sebagai hamba yakni beribadah kepada Allah yang terungkai rasa rendah diri serta tunduk tawaduk kepada Allah s.w.t..

Maka kerana itulah, sifat kehambaan dan kesyukuran itu akan menyerlahkan nilai kasih dan sayang serta kelembutan jiwa yang akhirnya, kita akan lebih mudah senyum, berkata yang baik-baik, sabar serta sentiasa positif dengan Allah s.w.t.. Hebatkan? Jom kita mulakan dengan memuji Allah s.w.t. pagi ini dan pagi-pagi yang seterusnya agar keberkatan itu tersebar, dan mendapat manfaat buat kita semua.

Monday, September 3, 2012

BELAJAR DARI PETUNJUK


Kehidupan kita semakin hari semakin menegang keadaannya. Semakin sesak dan semakin memerlukan perhatian yang tinggi. Ramai yang berpandangan kehidupan hari ini amat sofistikated. Mungkin juga. Tetapi kehidupan hari ini berada dalam dunia yang serba kepantasan dan segera. Apa sahaja yang dilakukan manusia pasti akan berusaha mencari perkara yang paling ringan, mudah dan segera. Tengok sahaja contoh tol di jalanraya. Dulu saya sendiri tak pernah terfikir untuk memiliki kad 'TouchNGo', hari ini, sampai nak beli 'SMARTTag'. Bila ditanya penting sangat kah? Jawapannya, "cepat sikit", "tak payah bukak tingkap" dan pelbagai lagi.

Sedar atau tidak, inilah dunia yang kita diami hari ini. Perjalanan yang serba tangkas dan cepat ini segera memenatkan kita dalam banyak perkara. Jika dikenang kisah-kisah purba atau cerita-cerita nenek dan moyang kita, bagaimana kehidupan mereka begitu berkisar kepada kehidupan keluarga, masyarakat dan setempat mereka, ya jawapannya, mereka tidak disibukkan dengan kerja yang serba pantas seperti hari ini. Tidak mengejar masa, tiada rasa penat kerana berkejaran yang akhirnya kehidupan mereka sempurna sosial dan rohani. Bagaimana kita pada hari ini? Pulang bekerja, penat dan katillah cita-cita. Tidak ada lagi hasrat untuk berada di surau atau masjid. Kurang masa bersama keluarga dan kadangkala anak-anak rasa terabai oleh ayah dan ibu mereka.

Itulah petunjuk yang Allah s.w.t. berikan kepada kita bahawasanya, masa kita semakin singkat hari demi hari. Ramai yang tidak perasan, bahawa tubuh badan kita hari ini sudah mula menangis kerana sudah hampir masa untuk kembali kepada Allah s.w.t.. Apabila rambut beruban, maka itulah tangisannya untuk kembali, apabila badan sakit, maka itulah tangisannya untuk kembali, apabila mata rabun, telinga sudah semakin tidak dengar, maka itulah tanda mereka menangis untuk kembali.

Namun dalam kesibukan ini, kita semakin lupa dan leka akan kewajiban ini. Kita biarkan masa berlalu pergi tanpa kita hitung dan hisab apakah yang telah kita manfaatkan darinya. Aidilfitri kali ini telah membawa saya untuk bertemu dengan teman-teman serta sanak-saudara yang membuka mata dan minda saya untuk berfikir tentang manfaat diri ke atas modal yang telah Allah berikan kepada kita. Melihat anakkecil yang menangis dan merangkak, ketawa dan bergembira, saya terfikir, adakah diri ini akan mampu berjasa kepada mereka dan adakah mereka akan mendapat manfaat dari hidup saya yang juga sementara ini? Atau adakah mereka akan sengsara kerana kelekaan saya hari ini? Ya Allah, Engkaulah yang Maha Pemberi Petunjuk, jadikanlah kami ini contoh baik yang dilihat anak bangsa kami, perkataan yang baik keluar dari mulut kami untuk mereka serta ilmu yang dapat dimanfaatkan oleh mereka.


Sunday, September 2, 2012

HIDUP ADALAH SUATU PERNIAGAAN


Perniagaan? Tergambar dalam benak fikir manusia tentang kejujuran, penipuan, kealpaan, keuntungan, kerugian, tiada pembeli, barang tidak laku dan sebagainya. Ada yang berfikiran positif, negatif, tidak kurang juga yang optimistik. Namun pastinya tidaklah Allah jadikan sesuatu itu dengan sia-sia. Apa yang biasa kita semua bincangkan apabila terkait soal perniagaan, maka terkeluarlah dari fikiran kita soal modal dan keuntungan dan kerapkali juga kerugian.

Inilah yang menjadi kegusaran dan perbincangan banyak pihak apabila ia terkait dengan perniagaan. Orang kata, jika besar modalnya maka banyaklah untungnya dan jika kecil modalnya maka kecilllah untungnya. Sebahagian dari pengalaman saya secara peribadi ada juga betulnya kata-kata ini tetapi, ada juga kurangnya. Tetapi itu semua asam garam perniagaan, mana betul dan mana tidak itu bukan perkara yang perlu difikirkan tetapi yang penting sekali, untung.

Jika beginilah pemikiran manusia terhadap kehidupannya, pasti ramai yang akan berusaha untuk mengubah cara hidup mereka. Sedar atau tidak, kita sedang berjuang dalam satu perniagaan yang amat besar dan ia amat menentukan kebahagiaan kita di akhirat kelak. Perniagaan perlukan modal dan bagi kehidupan ini Allah s.w.t. telah sediakan modal untuk kita sebagai manusia. Paling besar adalah masa. Masa kita hidup, masa berfikir, masa merenung dan sebagainya. Allah tambahkan lagi dengan modal anggota tubuh yang sihat dan bertenaga. Allah telah sebutkan di dalam kitab Al-Quran bahawa tidak akan terhitung nikmat Allah ini dan ia adalah amat banyak.

Modal ini kita telah gunakan dan adakah kita akan mendapat untung. Apabila kita menjalankan perniagaan secara hakikatnya, kita pasti mahukan keuntungan yang menyebabkan kita akan berusaha sedaya upaya menggunakan segala modal yang ada untuk mengaut keuntungan yang berlipat kali ganda. Tapi jika hidup ini adalah perniagaan, di mana kita akan merasa keuntungannya? Ya, tentulah di syurga Allah s.w.t. nanti. Itulah keuntungan yang agung.

Atas dunia, kita perlu melakukan tugas dengan modal yang diberikan sebaik mungkin untuk memastikan keuntungan yang maksimum di akhirat kelak. Usahlah terpedaya dengan keuntungan dunia yang sedikit ini kerana setiap kebaikan atas dunia yang dilakukan Muslim akan mendapat balasan keuntungan di syurga. Maka hidup kita ini adalah jual beli perniagaan yang paling menguntungkan dan beruntunglah jika mereka berjual beli dengan Allah s.w.t. dengan jalan jihad di jalan Nya.

Ayuh jangan berlengah lagi, ilmu perniagaan telah kita perolehi, kefahamannya perlu kita gali dan kehidupan di dunia perlu kita depani dengan tabah dan penuh kesyukuran kepada Ilahi.


Friday, August 17, 2012

INGATLAH AKAN DATANGNYA KEMATIAN

Allah s.w.t. itu Maha Kaya. Pendidikan atau tarbiyah Allah s.w.t. itu serba sempurna. Ketika sibuk kita semua membuat persiapan menjelang hari kemenangan umat Islam, saya diingatkan tentang kesuntukan masa dengan kehidupan yang serba sederhana ini. Sukar untuk diungkapkan dengan lidah, namun di dalam hati, saya amat merasa rendah diri dan sayu, jika saat untuk saya ini tiba pada bila-bila masa. Hari Selasa, 14 Ogos 2012 bersamaan 25 Ramadhan 1433H, saya mendapat perkhabaran kematian datuk saudara saya di Hospital Sungai Buloh selepas hampir 3 minggu terlantar koma kerana kemalangan motorsikal.

Hari ini, 17 Ogos 2012 bersamaan 28 Ramadhan 1433H, saya mendapat berita kematian isteri kepada Haji Rafai WADAH dan ABIM Kuala Selangor. Dari Allah kita datang dan kepada Allah kita pasti kembali. Ya Allah, peringatan ini amat penting untuk kita semua, dan buat ahli keluarga terdekat redhailah pemergian mereka kerana Allah s.w.t. pasti menyediakan sesuatu yang terbaik untuk mereka. Masa kita bila pula? Kita tahu tarikh lahir kita tetapi hari kematian kita dirahsiakan semoga kita sentiasa membuat persiapan yang secukupnya.

Dikisahkan ketika Allah mencipta Al-Maut (kematian) dan menyerahkan kepada Izrail, maka berkata malaikat Izrail, “Wahai Tuhanku, apakah Al-Maut itu?” Maka Allah menyingkap rahsia Al-Maut itu dan memerintah seluruh malaikat menyaksikannya. Setelah seluruh malaikat menyaksikan Al-Maut itu, maka tersungkurlah semuanya dalam keadaan pengsan selama seribu tahun. Setelah para malaikat sedar kembali, bertanyalah mereka, “Ya Tuhan kami, adakah makhluk yang lebih besar dari ini?” Kemudian Allah s.w.t. berfirman; “Akulah yang menciptakannya dan Akulah yang lebih agung daripadanya. Seluruh makhluk akan merasakan Al-Maut itu.”

Kemudian Allah memerintahkan Izrail mengambil Al-Maut. Walau bagaimanapun, Izrail khuatir jika tidak terdaya untuk mengambilnya sedangkan Al-Maut lebih agung daripadanya. Kemudian Allah memberikannya kekuatan, sehinggalah Al-Maut itu menetap di tangannya. Malaikat Izrail diberi kemampuan yang luar biasa oleh Allah hingga barat dan timur dapat dijangkau dengan mudah olehnya.

Baginda Rasullullah s.a.w. bersabda, “Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai ke lutut. Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar. Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu.”

Sambung Rasullullah S.A.W. lagi, “Kalau orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibrail akan menebarkan sayapnya yang disebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga. Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada disekelilinginya. Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayap Jibrail. Kalau orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail akan menebarkan sayap disebelah kiri. Maka orang yang nazak tu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi melihat orang disekelilinginya. Ini adalah kerana terlalu takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya.”

Sahabat yang dirahmati Allah s.w.t.. Semoga ini dapat menjadi pengajaran dan peringatan kepada kita. Menangislah kerana dosa yang kita lakukan kerana seluruh anggota kita telah pula menangis. Apabila rambut hitam menjadi putih maka itu petanda ia menangis. Apabila tubuh menjadi sakit-sakit maka itu petanda ia menangis dan apabila mata, telinga sudah mula kabur dan berat maka tika itu ia sudah mula menangis. Bila lagi kita akan menangis?

Thursday, August 16, 2012

BERTAUBATLAH WAHAI HATI...

Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Baqarah yang bermaksud;

"Sesungguhnya Allah s.w.t. mengasihi orang-orang yang bertaubat dan mengasihi orang-orang yang bersih." (Al-Baqarah 2: 222)

Ramadhan sudah tiba ke penghujungnya. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, "Awal Ramadhan itu rahmat, pertengahannya keampunan dan penghujungnya terlepas dari azab api neraka." Itulah pesanan Rasulullah dan amat beruntunglah mereka jika doa yang dibaca setiap hari dibalas dengan kasih sayang Allah s.w.t. di dalam Ramadhan ini. Wahai Tuhan kami kurniakanlah kami kebaikan di dunia (rahmat), dan kebaikan di akhirat (keampunan) dan jauhkan kami dari azab api neraka (itqan minannar).

Doa yang selalu disebut dan dibaca selepas kita solat 5 hari semalam, Allah permudahkan permintaan kita dengan mendatangkan bulan yang sangat istimewa untuk kita semua. Namun, apakan daya, inilah masa, ketika tibanya kita terleka, semasa perginya menyesali dalam diri. Ramadhan hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi. Ya Allah ampunkanlah daku Ya Allah.

Mudah-mudahan kelekaan dan kealpaan itu diampunkan Allah s.w.t. dan dipanjangkan umur kita bertemu lagi dengan Ramadhan akan datang. Ambillah kesempatan ini wahai sahabat pembaca untuk memohon kepada Allah s.w.t., jika sekiranya kita tidak dapat bertemu atau dipertemukan dengan malam Lailatul Qadar, maka pohonlah agar kita diterima sebagai hambanya yang solih. Sabda Rasulullah s.a.w., "Sesungguhnya malaikat di sebelah kiri akan mengangkat penanya selama enam jam terhadap hamba Muslim yang membuat kesalahan. Jika dia menyesali dan meminta ampun kepada Allah daripada dosa tersebut, maka akan dilemparkan sahaja dosa tersebut. Jika dia membuat sedemikian, maka akan ditulis sebagai satu dosa." (At-Tabrani)

Maka, wahai sahabatku, usahlah berputus asa dengan Allah s.w.t. dan bertaubatlah. Apa yang perlu kita khuatirkan jika hati kita tidak ada perasaan atau terdetik untuk memikirkan dosa-dosa kita dengan Allah s.w.t.. Dosa dengan Allah s.w.t. adalah dosa yang pasti diampunkan Nya kita hati ini sepenuhnya ingin bertaubat, dan berbeza dengan dosa yang kita lakukan sesama manusia. Imam Muslim mencatatkan sabdar Rasulullah dari lidah Ibnu Abbas yang bermaksud, "Sesungguhnya, ada segolongan manusia, daripada golongan muysrik yang membunuh dan banyak membunuh. Mereka juga berzina dan banyak berzina. Kemudian mereka mendatangi Muhammad s.a.w. lalu mereka berkata, 'Sesungguhnya, apa yang kamu katakan dan apa yang kamu bawakan sungguh baik. Jika kamu memberitahu kami terhadap apa yang telah kami lakukan itu, akan dihapuskan dosa-dosanya.'"

Maka Allah s.w.t. telah menjawab pertanyaan mereka di dalam surah Al-Furqan ayat 68 yang bermaksud;

"Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya." (Al-Furqan 25: 68)

Namun, Allah s.w.t. melepaskan mereka daripada kesalahan mereka sebagai firman Nya dalam ayat seterusnya yang bermaksud;

"Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal soleh, maka sesungguhnya (dengan itu) ia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat." (Al-Furqan 25: 70-71)

Janji Allah s.w.t. itu pasti. Masih ada tempat untuk kita bertaubat kerana Allah s.w.t. pasti menunggu kita dipintu taubat sebelum kita terlambat. Setiap orang yang bertaubat itu hendaklah menyesali atas dosa yang dilakukan, berhenti dari melakukannya serta berazam untuk tidak mengulanginya lagi dan jika dosa itu adalah kepada makhluk Nya, maka adalah wajib untuk mengmbalikan hak-hak mereka. Maka itulah amal solih yang diiringi dengan taubat. Maka insyaAllah, taubat kita diterima Allah.

Kata seorang Muqarrabin, "Jika kami terhalang untuk solat malam dan berpuasa sunat, itu petanda kami telah terbelenggu oleh dosa-dosa." Dosa ini dapat memberikan kesan kepada hati. Ia akan melemahkan, hati menjadi kelam, keras dan hitam serta akhirnya ia akan menghalang kita dari membuat amal ibadah. Sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, "Seorang Mukmin jika berbuat dosa maka ternodalah hatinya dengan satu titik hitam. Jika dia bertaubat meninggalkannya, beristighfar, hatinya kembali jernih. Jika dosa bertambah, maka titik hitam pun bertambah dan menutup hatinya. itulah penutup yang disebut Allah di dalam Al-Quran."

Bertaubatlah segera sebelum wakil Allah s.w.t. Izrail menjenguk kita. Bertaubatlah segera sebelum tua kerana semakin tua, hati akan menjadi semakin keras. Pesan Imam Al-Ghazali kepada anaknya, "Wahai anak, sebahagian nasihat daripada Rasulullah s.a.w. kepada umatnya, 'Tanda-tanda bahawa Allah s.w.t. berpaling daripada seseorang adalah apabila dia membuang waktu untuk sesuatu yang tidak bermanfaat dan jika seseorang leka sebentar sahaja dari umurnya dan mengerjakan sesuatu yang dilarang oleh Allah s.w.t. maka, sesungguhnya merupakan penyesalan, dan sesiapa yang telah berumur lebih dari 40 tahun, tetapi kebaikannya belum mengatasi kejahatannya, maka hendaklah dia bersiap-siap ke neraka.'"

Bertaubatlah kerana semakin lama, maka akan semakin sukarlah kita memenuhi syarat taubat itu. Berdosa dengan Allah s.w.t. bertaubatlah, dan berdosa dengan makhluknya maka pohonlah kemaafan dari mereka, namun, kemaafan manusialah yang sukar untuk kita langsaikan. Fikirkanlah. Pada hari kemenangan kita nanti (Aidilfitri), itulah adat melayu, memohon kemaafan dari sesama Muslim indah dan penuh keinsafan. Namun ingatlah, memohon kemaafan bukan sekadar apabila datang hari raya Aidilfitri bahkan setiap hari. Usahlah kita lupa pula untuk mengucapkan dan meraikan kejayaan kita dengan mengucapkan "Semoga Allah menerima (amal) ku dan (amal) kamu."

Tuesday, August 7, 2012

RAMADHAN AKAN PERGI

"Sesungguhnya Kami menurunkannya (Al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam penuh kesejahteraan hingga terbit fajar." (Al-Qadr 97: 1 - 5)

Al-Qadr, menurut beberapa pandangan ulamak ia membawa makna kemuliaan atau kedudukan yang tinggi. Ada sebahagian dari mereka menyatakan bahawa ia juga difahami sebagai takdir. Sebagaimana firman Allah s.w.t. di dalam surah Ad-Dukhaan yang bermaksud;

"Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Quran pada suatu malam yang diberkati. Dan sesungguhnya Kamilah yang memberi peringatan pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah." (Ad-Dukhaan 44: 3 - 4)

Kita telah pun berjalan di dalam bulan Ramadhan lebih dari setengah darinya. Seperdua Ramadhan dikatakan sebagai 'maghfirah'. Sedar atau tidak, Ramadhan sudah hampir meninggalkan kita semua. Pada waktu ini, mungkin para sahabat dahulu semakin semarak kerja ibadah mereka serta semakin patuh segala perintah Allah s.w.t. serta saranan dari Nabi s.a.w.. Pada masa ini kata Rasulullah s.a.w., 'Sesiapa yang menghidupkan malam kemuliaan kerana iman dan mencari pahala, mereka akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.'

Rasulullah s.a.w. mula beriktikaf dengan lebih kerap pada akhir bulan Ramadhan. Baginda melupakan dan menjauhkan segala hal dunia untuk memohon ampun dan mengejar Malam Lailatul Qadar. Pernah Rasulullah s.a.w. berpesan kepada Saiyidatina Aisyah, apabila datangnya Lailatul Qadar maka bacalah, 'Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, Engkau suka mengampuni, ampunilah aku.'

Usahlah kita berlengah lagi kerana sabda Rasulullah lagi, 'Carilah malam Lailatul Qadar pada malam yang ganjil dari 10 malam yang terakhir dari Ramadhan.' Perkuatkan diri kita. Jika kita lihat saf solat semakin berkurangan apabila masuk 10 malam terakhir, janganlah kita menjadi sebahagian yang tidak berada di dalam saf tersebut. Ia ibarat berpenat berlari membawa bola ke arah gawang lawan, menggelecek, mengelak, menepis dan apabila sudah berada di dalam kotak penalti lawan, kita tidak sepak, bahkan hanya biarkan sahaja bola itu di ambil pihak lawan.

Jom, kita berqiamullail dan sebagaimana yang diamalkan di masjid-masjid, membaca doa qunut dalam witir terakhir. Ya, ia untuk diperbanyakkan doa kita, jadi usahlah hanya ketika itu, sahaja, kerapkanlah dan buat jangan malas-malas. Orang yang segera bertaubat dan mengakui kesalahan adalah mereka yang dapat merasai keagungan Allah s.w.t. bahkan lagi apabila berada di dalam bulan Ramadhan. Apabila taubat itu di terima, antara tandanya adalah, hati kita sudah tawar untuk mengulangi dosa yang sama. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini yang terbaik buat kita semua.

Tuesday, July 31, 2012

TARBIYAH RAMADHAN

Alhamdulillah, kita telah berada hampir dipertengahan Ramadhan Al-Mubarak. Bulan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan yang Alah hadiahkan khusus buat ummat Nabi Muhammad s.a.w.. Marilah kita panjatkan kesyukuran kepada Allah s.w.t. kerana masih memilih kita sebagai peserta kursus Ramadhan bagi tahun 1433H.

Ramadhan adalah ibarat sebuah penganjuran kursus besar-besar yang dibuka penyertaannya kepada seluruh ummat manusia Islam. Pada awal tawaran kursus ini, ada yang bergembira kerana mandapat peluang untuk menyertainya, ada yang berasa gundah gulana kerana merasakan dirinya akan berkurang tenaganya, tak kurang juga yang merasakan ia akan menyusahkan hidupnya. "Kenapalah aku kena masuk kursus ini!?" Bentak sekalian dari kita. Macam adik-adik kita bila dipanggil masuk PLKN. Beginilah reaksi sebahagian dari mereka.

Namun, dalam kesibukan kita memikirkan tentang tawaran kursus besar-besaran ini, ada sebahagian dari kita yang walau ditawarkan tetapi mereka tidak dapat hadir. Kerana apa, kerana telah dijemput awal untuk menghadap Allah s.w.t.. Umur mereka tidak panjang untuk menempuh Ramadhan 1433H. Maka, apabila dikatakan sebagai kursus, maka pelbagai bentuk peserta yang dapat kita kenalpasti di dalamnya. Ada yang sangat teruja dan mengambil bahagian dengan sebaiknya, ada yang sambil lewa sahaja, apa yang disuruh buat, tetapi tidak bersungguh dan tidak kurang juga yang dikatakan sebagai peserta 'nakal'.

Suatu hari Rasulullah s.a.w. berjalan menaiki mimbar dan dalam perjalanan tersebut, Rasulullah menyebutkan "Amin", kemudian, "Amin", dan seketika kemudian lagi, "Amin". Selesai Baginda s.a.w. turun dari mimbar para sahabat bertanya, mengapakah Rasulullah menyebutkan amin. Maka berkata Baginda s.a.w., pada ketika itu aku didatangi Jibril dan berkata, "Hai Muhammad, sesiapa yang sampai pada bulan Ramadhan, dan sehingga akhir Ramadhan dosanya tidak diampunkan, bererti Allah telah menjauhinya," kemudian Jibril meminta Rasulullah s.a.w. mengaminkannya. Berkata Jibril lagi, "Barangsiapa yang hidup bersama ibu bapanya tetapi sehingga khir hayat mereka tidak dapt memasuki syurga maka Allah telah menjauhinya," maka Rasulullah mengaminkannya. Lalu berkata lagi Jibril, "Barangsiapa yang mendengar namu disebut, tetapi tidak berselawat ke atas mu, maka Allah menjauhinya." Kemudian Rasulullah juga mengaminkannya.

Maka, sepanjang Ramadhan kita berkursus ini, janganlah kita menjadi 'budak nakal' yang dikhuatiri terlepas maghfirah dari Allah s.w.t.. Antara perkara yang 'budak nakal' biasa lakukan adalah meringan-ringankan waktu bersahur. Tidak bangun sahur atau bersahur awal malam. Rasulullah telah menyebutkan bahawa dengan bersahur itu terdapat keberkatan di dalamnya. Bahkan bersahur ini membezakan puasa ahli kitab dan puasa seorang Muslim. Maka bangunlah sahur, walaupun sempat hanya seteguk air, atau sebiji kurma.

Kemudian, apabila ditanya kepada 'budak nakal' ini, apa makna Ramadhan kepada mereka? Bagi mereka hanyalah berlapar dan dahaga. Sedangkan firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Baqarah ayat 183 telah menyebutkan yang bermaksud;

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa kamu sebagaimana mereka yang sebelum kamu berpuasa, agar kamu menjadi orang yang bertaqwa." (Al-Baqarah 2: 183)

Adakah dengan berlapar dan dahaga sahaja dapat meningkat ketaqwaan kita? Merujuk kepada sepotong hadis Qudsi yang bermaksud; "Berkata Allah 'Azza Wajalla, setiap satu amalan kebajikan anak Adam akan digandakan dengan 10 kecuali puasa, kerana ianya adalah untuk Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya. Puasa itu adalah perisai. Jika salah seorang dari kamu sedang berpuasa, janganlah kamu berkata kotor atau berteriak-teriak (bertengkar). Jika ada orang yang mencercanya atau berteriak kepadanya, hendaklah dia menjawab, 'Saya sedang berpuasa, saya sedang berpuasa.'"

Menurut Imam AL-Ghazali, puasa yang terbaik ialah puasa yang menahan lapar dan dahaga, menahan anggotanya dari melakukan maksiat serta menutup setiap ruang keburukan yang datang dari hati dan fikiran iaitulah puasa khususul khusus. Maka, di dalam hadis Qudsi di atas Allah menjelaskan melalui lidah Rasulullah s.a.w. 3 perkara iaitu jauhilah dari perkataan yang buruk seperti mengumpat, mengata, menipu dan sebagainya yang berkaitan. Kedua, elakkanlah diri dari terlibat dalam pergaduhan, berselisih pendapat, dan rasa tidak puas hati kerana seorang itu dikira kuat adalah kerana sabarnya. Ketiga, apabila dihina atau dicerca, maka kita menjauhi mereka dan menyatakan bahawa kita sedang berpuasa sebagai tanda kita sedang melatih diri kita untuk membentuk peribadi beriman melalui kesabaran, ketenangan serta kemaafan.

Begitu juga dalam suasana berbuka, bagi 'budak nakal' ini, pastinya akan berlaku pembaziran, tidak mengikut sunnah sehingga melanggar kewajipan bersolat, apatah lagi bersolat jamaah. Maka, buat 'budak nakal', contohilah teman-teman yang bersungguh dalam menyertai kursus Ramadhan ini. Mereka akan bersegera berbuka, memulakan dengan makan buah tamar, bersegera solat Maghrib berjemaah, bersederhana dalam berbuka serta menjamu orang lain yang berbuka.

Sudah tentu, mereka akan mengambil kesempatan menyertai kursus yang terbaik ini untuk memperbaiki dan meningkat ketaqwaan mereka bukan sahaja dengan meninggalkan apa yang suka di lakukan oleh 'budak nakal' tadi, bahkan mereka akan banyakkan bersedekah kerana Rasulullah adalah orang yang paling dermawan dan kemuncaknya adalah di dalam bulan Ramadhan. Mereka juga akan memperbanyakkan membaca Al-Quran dan Rasulullah sendiri akan bertemu Jibril pada setiap malam untuk diperdengarkan ayat-ayat suci Al-Quran.

'Budak baik' ini akan memperbanyakkan berzikir, berdoa dan beristighfar. Berusaha mencari malam Lailatul Qadar serta menggandakan ibadah mereka pada 10 malam terakhir sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dengan amalan seperti beriktikaf di rumah Allah s.w.t.. Marilah kita berusaha menjadikan diri kita sebagai 'budak baik' di dalam kursus panjang selama 1 bulan ini. Kursus ini amat istimewa dan Allah telah janjikan buat peserta kursus ini, apabila tamat Ramadhan, mereka akan meraikan kejayaan mereka dan menyambut dengan gembiranya 'Aid Al-Fitri, yakni bersih yang kembali kepada fitrah dan juga sudah boleh makan semula.

Monday, July 23, 2012

PERLUMBAAN RAMADHAN

Alhamdulillah, kita masih menjadi tetamu Allah s.w.t. di dalam bulan yang penuh kemuliaan, keberkatan dan rahmat kasih sayang Allah s.w.t. ini. Ramadhan merupakan bulan yang dinantikan kita semua sebagai umat Islam yang sentiasa komited untuk melaksanakan syariat dengan sebaik mungkin. Ramadhan merupakan satu bulan di mana ianya telah dimuliakan oleh Allah s.w.t., Rasulullah s.a.w. dan seterusnya diikuti oleh semua sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. serta para tabi' dan tabi'in sesudah mereka.

Ramadhan, di dalamnya telah hampir sempurna perlaksanaan syariat Islam bermula dari solatnya, puasanya, zakatnya cuma yang tinggal adalah menunaikan haji ke Baitullah. Memang tidak syak lagi, inilah bulan kemuliaan bagi umat Islam. Ramadhan juga dikenali sebagai bulan penawar segala penyakit. Apabila seluruh umat Islam menahan diri mereka dari lapar dan dahaga dari terbit fajar sehingga terbenam matahari. Ini menjadikan pada bulan ini, pemakanan umat Islam terjaga dan terkawal berbanding bulan-bulan sebelumnya. Oleh yang demikian, ramailah yang beranggapan bahawa, pada bulan inilah perlu diperbanyakkan ibadah dan kebaikan kerana kemuliaan dan keistemewaannya. Itu tidaklah salah, tetapi, bagi seorang Mukmin, Ramadhan adalah bulan yang menjadi kemuncak setiap amalan yang dibuat pada bulan-bulan sebelumnya.

Kata Al-Imam Al-Ghazali, puasa itu terbahagi kepada 3 peringkat iaitu puasa umum, khusus dan khususul khusus. Perbincangan ini kita ulangi pada setiap kali datangnya Ramadhan. Perlulah kita ingat bahawa, Ramadhan yang kita lalui hari ini adalah peluang sekali lagi yang diberikan Allah s.w.t. untuk kita memperbaiki diri kita jika dahulunya puasa kita hanya menahan lapar dan dahaga, maka hari ini ia perlu ke peringkat mengawal diri dari melakukan perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala berpuasa.

Maka, di awal Ramadhan ini, mari kita bersama untuk memperbanyakkan memohon kemaafan antara sesama saudara kita dan jadikanlah Ramadhan ini bulan perdamaian. Jauhkan diri dari persengketaan dan maafkanlah mereka yang melakukan kesalahan terhadap diri kita. Kemaafan ini akan meleraikan kekusutan dalam perhubungan manusia sekaligus membina jambatan rahmat Ilahi kepada manusia semuanya.

Jangan pula kita lupa untuk memuliakan Ramadhan dengan memperbanyakkan zikir, membaca Al-Quran, solat terawih, bangun malam serta sentiasa menghidupkan hari-hari Ramadhan dengan amalan yang dapat menambah keyakinan kita terhadap Allah s.w.t. serta mendekatkan diri kita dengan yang Maha Pencipta sambil mengharap dapat dipilih oleh Allah s.w.t. untuk bertemu malam lailatul qadr yang keistimewaannya itu menyamai 83 tahun (lebih kurang) beribadah.

Perbanyakkanlah bersedeqah kepada golongan yang dhaif yakni mereka yang memerlukan. Hiburkanlah hati mereka dengan bantuan ikhlas serta buktikan kepada mereka bahawa Muslim tidak melupai mereka yang susah dan sentiasa mengetahui bahawa di dalam setiap rezeki kita ada hak untuk mereka.

Juga, kita beringatlah, bahawa bulan Ramadhan adalah bulan ibadah dan ibadah itu terbahagi kepada dua bahagian, ibadah khusus dan ibadah umum. Biasanya, umat Islam akan melebihkan ibadah khusus sehingga mereka hampir melupakan bahawa terdapat ibadah umum yang juga punca pahala yang besar seperti bersungguh-sungguh melaksanakan pekerjaan yang menjadi amanah, mencari rezeki yang halal untuk keluarga, berkata-kata dengan perkataan yang baik, memuji orang lain, mendengar nasihat dan sebagainya. Maka usahlah kita terleka dan terlupa pada usaha ini seharusnya ia menjadi semakin rancak apabila memasuki bulan Ramadhan.

Akhir sekali mari kita ingatkan bahawa, contoh dan ikutan yang terbaik buat kita adalah Rasulullah s.a.w.. Berpuasa dan beribadahlah sebagaimana Baginda s.a.w.. Baginda bersahur dan apabila bersahur baginda gemar memakan kurma atau tamar. Apabila Baginda berpuasa maka Baginda berbuka dengan segera. Baginda mulakan dengan memakan tamar, kurma atau makanan yang tidak terkena api. Maka, pada bulan ini, rancakkanlah aktiviti harian kita dengan perkara yang baik dan mendatangkan manfaat sama ada untuk diri sendiri mahupun untuk orang lain yang hampir atau bersama dengan kita. Jom kita berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan dan mendapat pahala dan keberkatan.

Monday, July 16, 2012

BANTU DIRI KITA DENGAN SOALAN BOCOR

Perjalanan dalam tempoh beberapa minggu sebelum tibanya bulan yang mulia ini menjadikan diri kami amat berdebar-debar. Adakah sempat kami bersamanya atau tidak. Perjalanan harian yang disibukkan dengan tugas berceramah dan bertemu dengan adik-adik generasi muda begitu juga para pendidik, memandangkan ia satu kesibukan kini buat mereka untuk membuat persiapan terakhir sebelum peperiksaan UPSR. Ini mengingatkan saya kepada beberapa persoalan yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. di dalam hadisnya yang bermaksud, "Tidak akan berganjak kedua-dua kaki seorang hamba (ke syurga atau neraka) pada hari akhirat nanti sehinggalah ditanya tentang umurnya, ke mana dihabiskan? Ilmunya, apakah yang diamalkan? Hartanya, bagaimana dibelanjakannya? Dan kesihatan tubuhnya, apakah yang dilakukan?"

Kesibukan kita untuk menjawab soalan peperiksaan, yang keputusannya hanya dikira atas perkiraan manusia tetapi bagaimana persoalan yang akan diajukan malaikat-malaikat Allah s.w.t. itu nanti? Adakah kita bersedia? Ramai dikhuatiri tidak dapat menjawabnya walaupun ia telah dibocorkan! Jika peperiksaan di dunia dibocorkan maka mereka yang membocorkannya akan di dakwa, tetapi dimahkamah Allah s.w.t., soalan bocor inilah yang tidak upaya dijawab oleh manusia. Jika di dalam peperiksaan di dunia kita amat mengharapkan adalah soalan bocor, agar mudah untuk di jawab, maka untuk urusan kita dengan Allah s.w.t. Dia telah membocorkannya. Adakah kita masih tidak sedar?

Persoalan usia adalah berkenaan dengan persoalan masa. Panjang usia, banyak amal, itulah yang kita harapkan. Agar amal itu akan menjawabpersoalan yang diajukan dengan baik. Namun, ada juga diantara kita yang panjang umurnya tetapi tidak sedar akan peluang Allah s.w.t. jadikan hari demi hari untuk menjadi lebih baik dan memperbaiki kesilapan mereka. Firman Allah s.w.t. di dalam surah As-Saff bermaksud;

"Amat besarlah kemurkaan Allah apabila kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya." (As-Saff 61: 3)

Ayat di atas menunjukkan persoalan ilmu dan mereka yang tidak mengamalkan ilmunya. Inilah yang menggetarkan hati para ilmuan dan ingatlah, biarlah ilmu yang ada pada kita adalah ilmu yang membawa dan membuka jalan ke syurga. Usahlah terjadi seperti orientalis yang mengkaji Islam tetapi tidak menyelamatkan mereka, juga sebagaimana Iblis yang tahu tentang kehidupan di syurga tetapi tidak mengamalkan ketaatan kepada Allah s.w.t. Ya Allah, kuatkan hati kami untuk menambahkan ilmu dan mengamalkannya, dan berkatilah ilmu kami.

Persoalan yang ketiga adalah persoalan yang seringkali manusia hari ini memandang mudah. Sehinggakan mereka tidak lagi memikirkan halal haram dalam mengumpulnya. Iaitulah harta kita. Bahkan, Allah s.w.t. juga akan bertanya tentang bagaimana kita membelanjakannya juga. Setiap harta yang dikutip, bersamanya hak Muslim yang lain. Maka, zakat merupakan satu kewajipan bagi umat Islam untuk dilunaskan, jika tidak, bersedialah untuk dipersoalkan.

Akhiran adalah persoalan tubuh badan. Maksud dari surah Yaasin;

"Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan." (Yaasin 36: 65)

Begitulah kita akan dipersoalkan dengan soalan yang sengaja dibocorkan agar kita semua dapat membuat persiapan dan mendapat markah yang tinggi ketika disoal nanti sebagaimana pengharapan terhadap soalan-soalan bocor dalam peperiksaan. Semoga jawapan yang kita berikan akan memandu kita ke arah syurga Allah s.w.t. dan berjaya menjauhkan diri kita dari azab siksa neraka Allah s.w.t.

Friday, July 6, 2012

PESANAN PENTING BUAT IBU DAN BAPA

Norma kehidupan kini bukan lagi seperti zaman 70-an, 80-an walaupun 90-an. Mereka yang lahir pada tahun millenium sekalipun, ada juga yang tertinggal dan terkebelakang. Ini bukanlah suatu momokan tetapi hakikat yang perlu di nilai atau dirasai oleh ibu bapa hari ini yang memiliki anak-anak berumur dalam lingkungan 9 ke 17 tahun. Wahai para ibu dan bapa, peringatan ini penting kerana sebagai manusia, kita tidak akan hidup untuk selama-lamanya dan sebagai ibu bapa kita tidak akan dapat melihat anak kita sampai ke mana di dalam dunia mereka.

Pesanan amat perlu diutamakan apabila hari ini, manusia tidak lagi membela 'waris' (seperti dalam televisyen) itu untuk menjaga diri dan untuk memastikan 'waris' itu kekal bersama, maka memerlukan korban darah atau dara. Begitu juga dengan ceritanya hantu raya atau orang minyak. Ternyata, ketakutan itu dulu, yang terang-terang manusia di sesatkan oleh Iblis laknatullah dengan keindahan yang rupanya tiada dan hanya sementara. Namun ibu bapa yang dikasihi sekalian, ini tidaklah bermakna Iblis musuh kita ini telah meninggalkan usahanya, bahkan usaha mereka sama tetapi anak-anak kita semakin lemah untuk bertahan. Oleh kerana itu, hari ini, yang mereka bangunkan bukan lagi makhluk-makhluk belaan, tetapi nafsu yang ada di dalam diri mereka sendiri. Nafsu yang telah Allah s.w.t. anugerahkan yang akan memberikan perbezaan antara manusia yang ke syurga atau neraka. Nafsu yang akhirnya melahirkan manusia tetapi berhati binatang. Tindak tanduk dan perbuatan mereka, serta hilang rasional kewarasan pemikiran sebagai manusia yang diangkat kemuliaan di sisi Allah s.w.t. sebagai khalifah di atas muka bumi ini.

Saidina Abu Bakar pernah berpesan dalam nukilan Hujjatul Islam Al Imam Al Ghazali, "Badan kita itu tidak ubahnya laksana sangkar burung ataupun kandang binatang, maka fikirlah baik-baik untuk dirimu. Dan tentukanlah bagi dirimu, yang mana satu di antara dua perumpamaan ini."

Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Fajr ayat 28 yang bermaksud;

"Kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan redha dan diredhai."

Jika kita burung, maka kita akan terbang tinggi menyahut seruan ayat di atas tadi. Tetapi awas, jika kita menjadi laksana binatang ternak seperti firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-A'raf ayat 179 yang bermaksud;

"Mereka ini laksana binatang bahkan lebih sesat lagi."

Mari kita lihat apa yang ada dipersekitaran anak-anak kita? Adakah ia menyerupai sangkar burung atau kandang binatang? Jika sangkar burung maka, burung tadi mempunyai naluri untuk bebas merdeka dan pergi mencari rezekinya. Bebas bertebangan dan kembali ke tempat yang tinggi di sisi Allah s.w.t. Sentiasa mencari jalan keluar yang menjerat dan menyekat rasa bebas dan merdeka dari kongkongan manusia. tetapi jika sebaliknya, kandang binatang, maka apa yang disuapkan dimakan sahaja, tanpa tahu beza baik buruknya, tanpa menilai keutamaan dan kualitinya. Akhirnya binatang ternak yang utama bagi pemiliknya, sihat-sihat dan gemuk-gemuk untuk disembelih menjadi santapan manusia.

Renungilah dimana anak-anak kita. Mari kita kembali berperanan sebagai ibu dan bapa sebenar kepada anak-anak kita. Ajarilah anak-anak mu dengan asas fardhu 'ain yang kukuh. Kenalkanlah anak-anak kita dengan siapa penciptanya dan siapa yang menjadi idola ikutannya. Bawalah syariat Islam di dalam kehidupan keluarga kita.

Wahai ibu-ibu dan ayah-ayah, menurut Imam Ibnul Wardi, untuk membesarkan remaja, anak-anak kita, maka perlulah para ibu dan ayah menjauhkan anak-anak mereka dari 3 perkara kelalaian yang banyak pada hari ini iaitu, nyanyian yang melalaikan, menyebut, membaca, mengkhayal dan melihat kecantikan wanita serta suka melawak jenaka dan bercakap yang sia-sia. Perasan atau tidak, ia tidak jauh dari kita. Ia ada di dalam rumah kita. Ia ada bersama kita 24 jam dan ia tidak dapat dikawal. Apabila anak-anak tidak boleh meninggalkan peti ajaib dan yang merosakkan ini iaitulah televisyen. Pesanan Imam Ibnul Wardi ini telah dinukilkan lebih dari 700 tahun dahulu.

Ibu-ibu dan ayah-ayah, usahlah biarkan pemikiran kita rosak dengan apa yang mereka tontonkan. Awasi mereka. Bersama mereka. Tanya dan berbuallah dengan mereka. Selami hati mereka kerana pada hari ini, teman mereka bukan lagi ibu ayah mereka, tetapi peti televisyen di rumah mereka. Usaha ini bukan yang terakhir, tetapi ia baru bermula, kita baru berbicara tentang televisyen belum lagi internet dan kemudian media lainnya. Masa mereka lebih untuk semua kemudahan ini tetapi amat sedikit untuk ibu bapa mereka apatah lagi agama mereka.

Thursday, July 5, 2012

MUHASABAH BUAT DIRI YANG TERLUPA

Ketika perjalan Rasulullah s.a.w. dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa pada tika berlakunya Israk yang mana dinafikan oleh golongan munafiqin dan musyrikin, Rasulullah s.a.w. telah bertemu dengan satu kaum yang sedang bercucuk-tanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila mereka habis menuai, hasil yang baru keluar semula seolah-olah ia belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang kali sehinggalah Rasulullah s.a.w. bertanya kepada Jibril, siapakah mereka itu. Maka, Jibril menajawab,  mereka itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Baqarah ayat 261 yang bermaksud;

"Perumpamaan orang-orang yang menafkahkan hartanya dijalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir, seratus biji. Allah melipatgandakan bagi siapa yang Dia kehendaki dan Allah Maha Luas kurnia Nya lagi Maja Mengetahui."

Ini merupakan janji yang pasti Allah s.w.t. janjikan untuk mereka yang beriman. Janji ini telah Allah s.w.t. nukilkan dalam ayat Al-Baqarah 1 hingga 5 yang meletakkan taqwa sebagai asas utama iaitu mereka yang beriman kepada yang ghaib, mendirikan solat, menafkahkan sebahagian rezekinya dijalan Allah, beriman kepada kitab-kitab dan yakin akan adanya hari akhirat. Bila mana manusia itu tidak berada di dalam kelompok ketaqwaan ini, maka, hasil tuaian yang dijanjikan Allah s.w.t. itu tidak terlihat dan tidak diyakini mereka. Akhirnya, kekayaan mereka adalah untuk mereka dan menghidupkan perasaan memberi tetapi tidak ikhlas dalam pemberiannya.

Firman Allah s.w.t. di dalam ayat sambungannya yang bermaksud;

"Orang-orang yang menafkahkan hartanya pada jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang dinafkahkannya itu dengan menyebut-nyebut pemberiannya dan dengan tidak menyakiti, mereka memperoleh pahala di sisi Tuhan mereka. Tidak ada kekhuatiran pada mereka dan tidak mereka bersedih hati."

Pemberian fisabilillah harus dilakukan dengan sepenuh keikhlasan kepada Allah s.w.t. bukan untuk menunjuk-nunjuk apatah lagi mengungkitnya. Maka, para dermawan ini digolongkan sebagai orang yang beriman bahkan mereka yang mengungkit-ungkit pula dikatakan pada mereka terdapat sisa-sisa syirik oleh HAMKA. Bahkan, kebaikan itu, bukanlah setakat 700 sahaja, mungkin lebih lagi kerana Allah melipatgandakan bagi siapa yang dikehendaki Nya.

Gandaan itu termasuk dalam tuntutan Allah s.w.t. di dalam sambungan firman Nya yang bermaksud;

"Perkataan yang baik dan pemberian maaf lebih baik dari sadaqah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan. Allah Maha Kaya lagi Maha Penyantun."

Maka, kebaikan itu jika bukan dari material, maka adalah cukup dari segi kata-kata. Mari kita cuba bayangkan seorang dermawan, dengan hati yang ikhlas, bersungguh melakukan kebaikan, tidak mengungkit, bahkan dalam pemeberiannya dia mengingatkan si penerima agar bersyukur kepada Allah bukan berterima kasih kepada makhluk semata-mata, memaafkan dia jika dia berkasar, maka, ganjarannya SubhanAllah, sungguh besar di sisi Allah s.w.t.

Wednesday, June 6, 2012

DAYA FIKIR YANG KUAT PADA ORANG YANG SABAR DAN BERSYUKUR

Al-Quran telah memberikan pelbagai ciri dan tanda orang-orang yang bersabar dan bersyukur. Untuk mereka, Allah s.w.t. telah berikan daya fikir yang tinggi, rasional, keprihatinan yang sensitif terhadap pelbagai perkara yang tidak menyenangkan atau melanggar perintah serta sunnatullah dalam kehidupan sebagai manusia. Inilah sebahagian petanda orang yang yang beriman dan bertakwa kepada Allah s.w.t..

Keupayaan orang-orang yang bersabar dan bersyukur ini dalam mentafsir apa yang dilihat apa yang dirasa adalah amat tinggi. Ini memudahkan mereka memahami dan merasai teguran serta hikmah yang Allah s.w.t. tunjukkan dihadapan mata mereka melalui pelbagai kejadian dan pengalaman. Oleh yang demikian, bagi insan yang bersyukur, apabila tidak ditimpakan musibah atau masalah, maka mereka akan mengucapkan alhamdulillahi rabbil 'alamin (segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam). Bahkan bagi orang yang benar rasa syukurnya, ia tidaklah terbatas dengan ucapan sedemikian sahaja, bahkan mereka akan bertindak pada kadar keperluan dan kemampuan mereka. Maka, syukur yang sebenar bukanlah hanya dengan ungkapan lidah semata-mata tetapi juga tindakan, kerana ada perasaan untuk berkongsi kebaikan itu dengan orang lain.

Apabila diberikan nikmat memiliki kereta, maka kereta itu tidak kedekut untuk memberi tumpang kepada si pejalan kaki. Apabila ada duit, maka tidak bakhil untuk menyumbang pada jalan Allah s.w.t.. Bahkan apabila ada masa lapang, tidak sukar untuk memberikan pertolongan serta melakukan perkara yang memberikan manfaat kepada orang lain. Apa yang lebih besar lagi, apabila kita mempunyai nikmat iman, maka ia bukanlah hanya untuk diri sendiri, bahkan berdakwah untuk disampaikan kepada orang lain. Sesuai dengan makna syukur iaitu mengakui nikmat dan menampakkkannya. Menurut Imam Al-Ghazali, syukur merupakan salah satu maqam (tempat) untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t..

Sabar pula membawa makna menahan. Menurut Rasyid Ridho, sabar ialah menghadapi sesuatu keadaan sukar atau susah dengan perasaan redha, ikhtiar dan penyerahan diri. Atau dalam makna lain, sabar ini mencakupi tiga aspek penting iaitu sabar dalam melaksanakan segala perintah Allah s.w.t., sabar dalam menjauhi dosa dan maksiat serta sabar dalam menghadapi kesulitan dan dugaan. Bagi manusia yang sabar, setiap dugaan dan kesusahan itu akan didahului dengan kalimah innalillahi wa inna ilaihi raji'un (sesungguhnya dari Allah s.w.t. ia datang dan kepada-NYA ia kembali). Pastinya, ia perlu juga dituruti dengan tindakan segera bangkit dan tidak ada istilah putus asa di dalamnya. Bagi orang yang bersabar Allah s.w.t. telah berikan gelaran yang baik buat mereka sebagaimana gelaran Al-Muhsinin di dalam surah Hud ayat 115 serta Al-Muttaqin di dalam surah Ali Imran ayat 15 hingga 17.

Ini amatlah bersesuaian dengan firman Allah s.w.t. yang bermaksud;

"Tidakkah Engkau memerhatikan bahawasanya kapal-kapal belayar di laut dengan nikmat kurnia Allah, untuk diperlihatkan kepada kamu sebahagian dari tanda-tanda kemurahan Nya? Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan dan bukti (untuk berfikir) bagi tiap-tiap (mukmin) yang tetap teguh pendiriannya, lagi sentiasa bersyukur." (Luqman 31: 31)

Friday, June 1, 2012

TAZKIRAH BUAT DIRI YANG SERING TERLUPA

Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran Al-Karim yang bermaksud;

"Tidak ada penduduk sesebuah negeri pun yang Kami binasakan sebelum mereka, yang telah beriman kepada mukjizat yang diberi kepadanya; maka benarkah mereka yang meminta mukjizat itu mahu beriman?" (Al-Anbiya' 21: 6)

Demikian kata-kata Allah s.w.t. memerintahkan agar meyakini bahawa Al-Quran ini merupakan mukjizat bagi Rasul s.a.w. yang dengan izin Allah s.w.t. telah melembutkan hati yang keras, menjadi penawar kepada kesakitan serta menjadi petunjuk bagi mereka yang mencari kebenaran. Bahkan Rasulullah s.a.w. telah menegaskan, tidak akan sesat manusia itu jika mereka berpegang teguh kepada Al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w.

Sahabat yang dikasihi sekalian.

Berapa ramai hari ini saudara seagama kita yang telah hilang keyakinan mereka kepada Al-Quran Al-Karim. Sama ada secara zahirnya sehingga mereka murtad, tidak kurang pula yang menyatakannya tanpa mereka sedari dan mereka pula masih mengakui bahawa mereka itu Muslim. Ini adalah disebabkan kelalaian sepertimana yang disebutkan di dalam ayat yang pertama dan kedua, mereka lalai bahkan mereka mempermain-mainkannya.

Di dalam suatu riwayat yang dikemukakan bahawa pada ketika itu penduduk Mekah berkata kepada Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, "Sekiranya apa yang engkau katakan itu adalah benar dan engkau mengkehendaki supaya kami beriman kepadamu, jadikan gunung Safa ini sebagai emas."

Lalu datanglah malaikat Jibril seraya berkata, "Sekiranya engkau hendak menunaikan apa yang dikehendaki oleh kaummu pastinya engkau dapat, tetapi sekiranya mereka tidak beriman setelah dikabulkan permintaannya, sesungguhnya mereka akan diseksa dengan serta-merta tanpa diberi tempoh lagi, atau engkau sendiri akan menangguhkan di dalam mengabulkan permintaan mereka dengan harapan agar mereka beriman."

Maka, penurunan ayat 6 surah Al-Anbiya' adalah sebagai peringatan kepada Nabi bahawa kaum-kaum sebelumnya pernah juga meminta sedemikian. Tetapi mereka tetap kufur kepada Allah s.w.t.. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir daripada Qatadah)

Begitulah keadaan kita juga hari ini. Mudah-mudahan kita tidak menjadi orang yang mempermudah dan mempermainkan kata-kata Allah s.w.t. di dalam Al-Quran. Inilah sumber kekuatan Mukmin dan peringatan buat kita sebelum bertemu alam akhirat.

Thursday, May 24, 2012

MENJAGA AMANAH

Perhatikanlah kehidupan kita hari ini. Bagai dikejar bayang-bayang yang menghantui setiap manusia tanpa kita tahu siapa sebenarnya yang menghantui kita dan dihantui. Kita saling bermusuhan antara satu sama lain walaupun telah diamanahkan mata, hidung, mulut dan semua anggota lain yang serupa. Bercakap bunyi yang sama, Islam yang sama tetapi tiada keluhuran dalam kehidupan. Apa sebenarnya yang telah berlaku?

Ramai dikalangan kita yang bercakaran hanya kerana kepentingan dunia peribadi masing-masing tanpa menghiraukan kehidupan yang kekal selamanya. Hidup hari ini lebih senang mengejar material dan berlumba-lumba untuk memiliki kuasa. Na'uzubillahiminzalik. Bahkan, material dan kuasa ini juga sebenarnya merupakan amanah yang Allah s.w.t. berikan kepada manusia, ia akan disoal dan dipertanggungjawabkan nanti. Amanah adalah tugas mahaberat yang diberikan Allah s.w.t. untuk membezakan kehidupan akhirat kita.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud;

"Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (ingatlah) Sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara Yang tidak patut dikerjakan." (Al-Ahzab 33: 72)

Begitulah, telah Allah catat sejak dahulu lagi tentang amanah yang dipikulkan pada awalnya kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, tetapi mereka enggan untuk memikulnya. Ia merupakan satu petunjuk bahawa amanah sebagai khalifah merupakan sesuatu yang amat besar untuk dilaksana sebagai manusia. Allah jadikan perbandingan manusia dengan kegagahan dan keluasan langit, bumi serta gunung-ganang. Jika kita fikirkan dari segi fizikal adakah mampu untuk kita tandingi? Tetapi, upaya akal juga amanah untuk kita guna dengan sebaiknya.

"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab Ku amatlah keras" (Ibrahim 14: 7)

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. Demikianlah peringatan Allah s.w.t. dengan setiap amanah yang diberikan yang kita sering sangkakan itu sekadar rezeki, kelebihan atau kemudahan sebagaimana mudah kita sangkakan kesusahan itu musibah, kemalangan itu satu kerugian. Sedangkan, setiap kejadian itu atas perancangan Allah s.w.t.. Jika dengan iman kita melihat maka yang kita rasai adalah kemanisannya, baik kebaikan atau kemalangan yang kita terima. Ia juga adalah amanah untuk dijaga, dipenuhi dan laksana dengan baik. Amanah berasal dari perkataan arab 'amuna', 'ya'munu', 'amanatan' yang membawa erti aman tenteram. Kemudian terbit perkataan 'amanah' yang bermaksud saling percaya.

Mari kita fahami bahawa, dari sudut bahasanya, amanah ini membawa maksud kejujuran yang membawa kepada perasaan aman dan tenteram sehingga lahir perasaan saling mempercayai. Oleh itu, bagi sesiapa yang menjaga amanah maka dia berusaha untuk menjaga harga dirinya dan sekaligus kita lihat ia adalah serangkaian makna dengan 'iman'. Kita lihat sahaja contoh yang semua kita tahu bagaimana Baginda Rasulullah s.a.w. diberikan gelaran 'al-amin'. Manfaatnya besar kepada diri dan kepada masyarakat yang diketuainya. Sabda Rasulullah s.a.w. yang disebutkan oleh Anas bin Malik yang bermaksud, "Tidak ada iman bagi yang tidak amanah (tidak jujur dan tidak boleh dipercayai), dan tidak ada dien bagi yang tidak menepati janji." (HR Baihaqi)

Maka kejayaan sebenar kita adalah bergantung kepada usaha untuk menjaga harga diri dan amanah yang Allah s.w.t. berikan kepada kita sama ada harta, pangkat, ilmu, kelapangan masa, peluang bekerja dan sebagainya. Sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, "Jika engkau memiliki empat hal, engkau tidak akan rugi dalam urusan dunia; menjaga amanah, jujur dalam berkata, berakhlak baik, dan menjaga harga diri dalam (usaha, bekerja) mencari makan." (HR Ahmad)

Kesimpulannya, amanah akan dipertanggungjawabkan dan menerima balasan yang setimpal kepada orang yang diamanahkan. Amanah bukan hanya material, tetapi setiap sudut kehidupan dan setiap saat ini adalah amanah yang akan dipersoalkan. Amanah adalah sesuatu yang mahaberat tetapi kita tidak dapat merasainya melainkan dengan iman. Ingatlah firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran Al-Karim yang bermaksud;

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)." (Al-Anfal 8: 27)