Wednesday, April 23, 2014

IMAN DAN KEHIDUPAN SIRI 1

Tajuk asal buku Iman dan Kehidupan ialah ‘Al-Iman Wal-Hayat’ oleh Syeikh Dr. Yusof Al-Qardhawi. Buku ini membicarakan mengenai masalah iman. Apabila ia berkaitan dengan iman, maka janganlah kita beranggapan bahawa ia adalah masalah kecil-kecilan atau masalah runcitan yang tidak perlu diberi perhatian. Masalah iman adalah masalah kehidupan manusia pada masa akan datang. Ia juga masalah matlamat dalam kehidupan. Ia juga menyentuh soal mengapa manusia diwujudkan Allah s.w.t. di atas muka bumi ini. Ia bukanlah merujuk hanya kepada fungsi kita di dunia ini sahaja.

Apa yang dimaksudkan dengan bukan soal fungsi di dunia ini sahaja? Dengan iman, ia menentukan kehidupan kita baik atau buruk di akhirat nanti. Dengan iman ia menentukan kedudukan kita di syurga atau neraka. Ia menentukan ketenteraman atau kecelakaan kehidupan kita yang kekal nanti. Maka ia wajib difikirkan dan diberikan perhatian. Maka ramailah yang memikirkan soal ini. Mereka para cerdik pandai berfikir mengenainya sejak dahulu lagi. Kesimpulan akhir mereka, yang penting adalah menetapkan aqidah tentang Allah dengan cara-cara yang khusus. Ada yang menyandarkannya kepada fitrah di dalam lubuk hati kita sebagaimana firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran yang bermaksud;

"Rasul-rasul mereka bertanya: 'patutkah berlakunya sebarang keraguan tentang wujudnya Allah, yang menciptakan langit dan bumi? Ia menyeru kamu beriman kerana hendak membersih dan melepaskan kamu dari dosa-dosa kamu, dan memberi tempoh kepada kamu hingga ke suatu masa yang tertentu.' Mereka menjawab: 'kamu tidak lain hanyalah manusia seperti kami. Kamu bertujuan hendak menyekat kami daripada menyembah apa yang telah disembah oleh datuk nenek kami. Oleh itu, bawalah kepada kami satu bukti yang jelas nyata.'" (Ibrahim 14: 10)

"(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah ugama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) ugama Allah, iaitu ugama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah ugama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." (ar-Rum 30: 30)

Sebahagiannya pula ada yang mendasarkan kepada ilmu sebab dan akibat seperti setiap yang diciptakan pasti ada penciptanya, setiap sesuatu yang terjadi pasti ada yang menjadikan, setiap sesuatu yang bergerak pasti ada penggeraknya dan setiap  peraturan yang dibuat pasti ada pembuat peraturannya. Prinsip ini jelas sekali boleh diterima aqal dan fikiran. Ada juga yang membincangkannya dari sudut perhitungan dan matematik yang berkesimpulan kehidupan ini akan berakhir dengan mati dan penentuannya adalah setelah dibangkitkan nanti. Maka perlu untuk percaya adanya hari kebangkitan, hari pembalasan dan hari perhitungan.

Kata ahli falsafah dan syair Abul Ala-Al Ma’arry; ahli nujum dan doktor mengatakan bahawa orang yang telah mati tidak akan dibangkitkan, aku katakana kepada mu berdua; kalau benar apa yang kau katakan aku tidak akan mendapat kerugian, tetapi kalau benar perkataanku maka kerugian akan menimpa diri mu berdua. 

Ahli falsafah Pascal berkata; adalah hak anda untuk mengiktikadkan akan adanya Allah atau tidak mengiktikadkannya, tetapi anda tentu mempunyai satu pilihan. Namun hendaklah diketahui, bahawa akal anda dalam keadaan ini lemah keadaannya dan sama sekali tidak sanggup untuk memilih. Masalah ini sebenarnya adalah umpama satu boneka yang berjalan diantara kita dan alam, di mana anda dan alam masing-masing mensasarkan anak panah ke arahnya yang tentu dapat dipastikan bahawa salah satu dari anak panah itu, mengenai sasarannya. Maka pertimbangkanlah antara mana yang mungkin boleh menguntungkan dan mana yang boleh merugikan. Apabila anda mempertaruhkan seluruh apa yang anda miliki hanya pada anak panah yang pertama – yakni akan adanya Allah – kemudian taruhan anda tepat, maka anda pasti berhasil mencapai sesuatu kebahagiaan yang abadi, tetapi apabila taruhan anda meleset, maka anda tidak akan kehilangan apa-apa yang penting… juga anda tidak akan rugi kecuali dalam sesuatu sifatnya yang fana – meskipun terjadi dalam kenyataan – yang mungkin dan masuk akal.

”Sesiapa yang mahukan pahala (balasan) dunia sahaja (maka rugilah ia), kerana di sisi Allah disediakan pahala (balasan) dunia dan akhirat. Dan (ingatlah) Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat." (an-Nisa’ 4: 134)

"Dan ditanya pula kepada orang-orang yang bertaqwa: "apakah yang telah diturunkan oleh tuhan yang telah diturunkan oleh tuhan kamu?" mereka menjawab: "kebaikan" orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini beroleh balasan yang baik, dan sesungguhnya balasan negeri akhirat itu lebih baik lagi; dan memanglah negeri akhirat ialah sebaik-baik negeri bagi orang-orang yang bertaqwa." (an-Nahl 16: 30)

Setiap ibadah yang diwajibkan adalah untuk memelihara dan mensucikan jiwa orang beriman tetapi alangkah sedikitnya usaha mereka terhadapnya. Dan setiap yang dilarang dalam agama adalah untuk memelihara ‘aqal, akhlak, jiwa, harta, kehormatan dan keturunan seseorang.

"Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) nabi yang ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam taurat dan injil yang ada di sisi mereka. Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya. (al-a’raf 7: 157)

Sesuatu yang dilarang dalam agama pasti telah Allah sediakan gantinya sebagaimana yang kita sebutkan pandangan sebab dan akibat tadi. Dan kita juga tidak harus berasa rugi dengan setiap kebaikan yang kita buat kerana ia juga adalah sebab kepada kebaikan yang kita akan perolehi dari kebaikan yang kita buat tadi. Juga sebab dan akibat. Ia akan memberi kesan kepada kita dari segi istiqamah dan hidayah di atas hak dan ketetapan  yang  sanggup menguasai hawa nafsu kita dan akhirnya kita akan mendapat ketenangan jiwa dan ketenteraman dalam kehidupan di dunia dan di akhirat. Dunia hari ini menilai kebenaran itu dari segi banyak sikitnya manfaat yang diperolehi. Bukan sesutau yang sesuai dengan kenyataan atau bukan pula pada sesuatu yang dalil-dalilnya serta alas an-alasannya tegas dan jelas. Bahkan ada berkeras dengan pandangan ini. Mereka berasa kebenaran itu bukan kerana kerana sesuainya berita dengan kenyataan tetapi menselaraskan berita itu dengan apa yang terjadi. Jadi apabila hasil itu sesuai dengan tujuan dan kehendak kita, maka ia benar, baik dan hak. Jika tidak maka ia jahat, batil dan bohong. Ini adalah sesuatu kerosakan pada iman, yang sepatutnya tidak ada dalam diri kita atau kita tidak mahu tetapi ia wujud tanpa kita duga. Manusia mahu yang bermanfaat untuk dirinya maka itulah hak dan yang tidak maka itulah batil.

"Ia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu membanjiri tanah-tanah lembah (dengan airnya) menurut kadarnya yang ditetapkan tuhan untuk faedah makhluknya, kemudian banjir itu membawa buih yang terapung-apung. Dan dari benda-benda yang dibakar di dalam api untuk dijadikan barang perhiasan atau perkakas yang diperlukan, juga timbul buih seperti itu. Demikianlah Allah memberi misal perbandingan tentang perkara yang benar dan yang salah. Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah allah menerangkan misal-misal perbandingan." (ar-Ra’du 13: 17)

Maksud manfaat itu merujuk kepada segala segi, baik secara material dan maknawi, bagi fizikal dan jiwa, aqal dan hati, individu dan masyarakat, bahkan di dunia dan akhirat. Maka bagi yang beriman, manfaat itu tidak diukur dari satu segi sahaja tetapi dilihat dari setiap inci sifatnya sesuatu itu bahkan ia tidak terhad di dunia sahaja termasuk juga akhiratnya. Maka perbincangan ini kita harapkan akan menjelaskan tentang bagaimana kita bersama boleh fahami huraian-huraian melalui pandangan penulis mengenai soal keimanan kepada Allah, para rasul dan malaikat, kitab dan hari akhirat serta yang bersangkutan dengannya.

Kita juga akan temui perbincangan mengenai salah faham agama yang melihat iman ini sebagai ketagihan dalam hidup atau penyekat kebebasan hidup. Seperti marxisme. Tanpa agama dan keimanan seperti bulu yang berterbangan, tidak tetap, tidak tahu ke mana dan tidak menetap pada satu tempat atau seperti manusia yang tidak ada nilainya dan akarnya, bingung dengan hidup, ragu-ragu, tidak tahu siapa yang berikan kehidupannya dan bagaimana pengakhirannya atau seperti binatang yang buas dan jahat, sentiasa menerkam dan tidak dapat dibendung kehidupannya dengan undang-undang. Masyarakat tanpa agama adalah masyarakat hutan walaupun maju dan boleh berlangsung kehidupan yang penting kuat dan kejam baru dapat hidup. Mereka akan rosak dan binasa walaupun di dalam keadaan mewah dan penuh kenikmatan, nilai hidup mereka rendah dan murah kerana tujuan hidupnya hanya nafsu syahwat semata-mata, mereka makan sebagaimana binatang-binatang makan.

Ilmu material menghasilkan kemajuan dan kesenangan tetapi tidak ketenangan dan kebahagiaan. Ilmu itu mendekatkan jarak yang jauh dan zaman yang panjang sehingga dinamakan zaman serba cepat atau zaman dunia tanpa sempadan. Tetapi bolehkah kita gelar zaman ini zaman serba bahagia atau zaman ketenangan bagi manusia?

Maka ilmu material menyediakan banyak jalan-jalan kehidupan tetapi kurang mengingatkan tentang tujuan-tujuan kehidupan. Alat maju banyak di tangan tetapi ia tidak ada isi atau nilai tambah yang sepatutnya ada pada kita. Maka ia hanya akan dirasai dan berhasil jika kita ada iman dan dalam jalan agama.

Monday, April 14, 2014

BULAN APRIL 2014...

Allahuakbar... Dua bulan saya telah mengosongkan tulisan-tulisan di blog ini... Kesempatan untuk menulis ada, tetapi saya lebih banyak menggunakannya untuk perkara dan tugasan lain yang lebih segera dan lebih utama. Maaflah jika anda ternanti-nanti atau seringkali berkunjung dengan harapan untuk mendapat maklumat atau pengisian di sini. Ya, 2 bulan tu lama dan tentulah banyak pengisian rohani dan intelektual yang telah saya harungi selama itu. Macam-macam mehnah dan macam-macam ragam kehidupan perlu ditempuh dan dijadikan peluang untuk terus menabur bakti dan jasa sepanjang kehidupan.

Ya, bermula Mac, kini April, saya memenuhkan jadual peribadi dan juga IQ Class Management dengan pelbagai aktiviti dan program. Berjalan dari Terengganu ke Pahang, Negeri Sembilan dan tak kurang juga berpusing sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Alhamdulillah, itulah aturan Allah s.w.t. kepada kita semua. Bertemu teman baru, adik-adik baru, dengan pengalaman baru dan tidak kurang juga bertemu dengan rakan-rakan lama, teman lama dan dengan pengalaman baru, alhamdulillah ia cukup mematangkan. Tidak syak lagi, Allah lah Maha memberikan pendidikan dan pengajaran kepada kita, apa yang penting buka mata, buka hati terimalah teguran-teguran dari Allah. Itulah petanda kita ini bijaksana.

Sedarlah, dalam kehidupan ini, Allah sememangnya tidak akan membiarkan insan beriman itu melalui kehidupannya tanpa sebarang kemanisan. Allah berikan kemanisan itu dengan cara yang sungguh berbeza berbanding manusia. Pada saya, Allah ilhamkan kata-kata dan pemikiran tatkala saya ingin menyampaikan apa saja mesej kepada peserta dan adik-adik ketika di dalam program sehinggakan saya sendiri kerap kali merasakan, Ya Allah, rupanya ini pengajarannya yang selama ini aku dah tahu dan dah belajar. Perkara yang paling saya terkesan adalah kepercayaan manusia kepada manusia lain. Ia terbentuk memang sebenarnya dari kesetiaan, keikhlasan serta kejujuran manusia lainnya.

Sekarang saya dapat bayangkan bagaimana sebuah kerajaan hilang kepercayaan rakyat kepada mereka, seorang pemimpin hilang kepercayaan oleh pengikutnya, seorang ketua di pejabat hilang kepercayaan oleh pekerjanya, seorang pekerja hilang kepercayaan oleh majikannya dan seorang kekasih hilang kepercayaannya terhadap kekasihnya. Faktor pertamanya adalah kejujuran. Apabila ditanya adakah kejujuran itu maksudnya jujur kepada orang lain, jawapan saya tidak. Kejujuran itu yang penting adalah kepada diri sendiri. Tidak sesuai katakan tidak sesuai, tidak suka katakan tidak suka, cuma cara berkata itu pilihlah pendekatan yang terbaik. Bil hikmah wal mau'izatul hasanah.

Kejujuran ini tidak akan terhasil tanpa keikhlasan diri untuk melihat sesuatu yang dilakukan itu seperti yang dicita-citakannya. Jika hadirnya untuk nama, maka itu juga keikhlasan, tetapi untuk namanya, jika hadirnya untuk yang dicinta, maka itu juga ikhlas tetapi untuk yang dicintainya, jika hadir itu kerana pangkat dan penghormatannya, pada saya itu ikhlas juga tetapi pada apa yang mereka mahu. Sebab itu keikhlasan itu letaknya di dalam hati dan hati yang mempunyai keikhlasan yang tinggi ialah hati yang tunduk dan kepatuhannya hanyalah kepada DIA. Hebat bukan? Macamana nak rasa tu? Jawapan saya entahlah. Tetapi perasaan in perlu dipupuk. Ingatkan mereka dan kita, perbuatan kita bukan untuk dilihat manusia, sebab mata manusia tidak dapat melihat semua. Ia amat terhad sekali. Mata DIA yang melihat semuanya, GOD is our CEO.

Percaya atau tidak, kepercayaan datang dari keikhlasan dan keikhlasan akan terbentuk kerana kesetiaan sebagai seorang kawan, abang, anak, kekasih atau sebagai siapa sahaja. Keikhlasan kerana dan hanya kepada DIA kerana kesetiaannya sebagai seorang khalifah dan hamba dalam kehidupan kita. Nah, TUNE lah diri kita semua. Teroka, ubah, nilai dan eksplorasilah, semoga kita sentiasa menjadi aset kepada umat kita.