Allahuakbar... Dua bulan saya telah mengosongkan tulisan-tulisan di blog ini... Kesempatan untuk menulis ada, tetapi saya lebih banyak menggunakannya untuk perkara dan tugasan lain yang lebih segera dan lebih utama. Maaflah jika anda ternanti-nanti atau seringkali berkunjung dengan harapan untuk mendapat maklumat atau pengisian di sini. Ya, 2 bulan tu lama dan tentulah banyak pengisian rohani dan intelektual yang telah saya harungi selama itu. Macam-macam mehnah dan macam-macam ragam kehidupan perlu ditempuh dan dijadikan peluang untuk terus menabur bakti dan jasa sepanjang kehidupan.
Ya, bermula Mac, kini April, saya memenuhkan jadual peribadi dan juga IQ Class Management dengan pelbagai aktiviti dan program. Berjalan dari Terengganu ke Pahang, Negeri Sembilan dan tak kurang juga berpusing sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Alhamdulillah, itulah aturan Allah s.w.t. kepada kita semua. Bertemu teman baru, adik-adik baru, dengan pengalaman baru dan tidak kurang juga bertemu dengan rakan-rakan lama, teman lama dan dengan pengalaman baru, alhamdulillah ia cukup mematangkan. Tidak syak lagi, Allah lah Maha memberikan pendidikan dan pengajaran kepada kita, apa yang penting buka mata, buka hati terimalah teguran-teguran dari Allah. Itulah petanda kita ini bijaksana.
Sedarlah, dalam kehidupan ini, Allah sememangnya tidak akan membiarkan insan beriman itu melalui kehidupannya tanpa sebarang kemanisan. Allah berikan kemanisan itu dengan cara yang sungguh berbeza berbanding manusia. Pada saya, Allah ilhamkan kata-kata dan pemikiran tatkala saya ingin menyampaikan apa saja mesej kepada peserta dan adik-adik ketika di dalam program sehinggakan saya sendiri kerap kali merasakan, Ya Allah, rupanya ini pengajarannya yang selama ini aku dah tahu dan dah belajar. Perkara yang paling saya terkesan adalah kepercayaan manusia kepada manusia lain. Ia terbentuk memang sebenarnya dari kesetiaan, keikhlasan serta kejujuran manusia lainnya.
Sekarang saya dapat bayangkan bagaimana sebuah kerajaan hilang kepercayaan rakyat kepada mereka, seorang pemimpin hilang kepercayaan oleh pengikutnya, seorang ketua di pejabat hilang kepercayaan oleh pekerjanya, seorang pekerja hilang kepercayaan oleh majikannya dan seorang kekasih hilang kepercayaannya terhadap kekasihnya. Faktor pertamanya adalah kejujuran. Apabila ditanya adakah kejujuran itu maksudnya jujur kepada orang lain, jawapan saya tidak. Kejujuran itu yang penting adalah kepada diri sendiri. Tidak sesuai katakan tidak sesuai, tidak suka katakan tidak suka, cuma cara berkata itu pilihlah pendekatan yang terbaik. Bil hikmah wal mau'izatul hasanah.
Kejujuran ini tidak akan terhasil tanpa keikhlasan diri untuk melihat sesuatu yang dilakukan itu seperti yang dicita-citakannya. Jika hadirnya untuk nama, maka itu juga keikhlasan, tetapi untuk namanya, jika hadirnya untuk yang dicinta, maka itu juga ikhlas tetapi untuk yang dicintainya, jika hadir itu kerana pangkat dan penghormatannya, pada saya itu ikhlas juga tetapi pada apa yang mereka mahu. Sebab itu keikhlasan itu letaknya di dalam hati dan hati yang mempunyai keikhlasan yang tinggi ialah hati yang tunduk dan kepatuhannya hanyalah kepada DIA. Hebat bukan? Macamana nak rasa tu? Jawapan saya entahlah. Tetapi perasaan in perlu dipupuk. Ingatkan mereka dan kita, perbuatan kita bukan untuk dilihat manusia, sebab mata manusia tidak dapat melihat semua. Ia amat terhad sekali. Mata DIA yang melihat semuanya, GOD is our CEO.
Percaya atau tidak, kepercayaan datang dari keikhlasan dan keikhlasan akan terbentuk kerana kesetiaan sebagai seorang kawan, abang, anak, kekasih atau sebagai siapa sahaja. Keikhlasan kerana dan hanya kepada DIA kerana kesetiaannya sebagai seorang khalifah dan hamba dalam kehidupan kita. Nah, TUNE lah diri kita semua. Teroka, ubah, nilai dan eksplorasilah, semoga kita sentiasa menjadi aset kepada umat kita.
Comments