Wednesday, September 3, 2014

PERIBADI BERMOTIVASI MESTI S.M.A.R.T

Lapan tahun bukanlah petanda usia telah matang. Tetapi pada usia lapan tahun kanak-kanak mula berkenalan dengan dunia persekolahan. Mula tujuh tahun masuk darjah satu, takut dan menangis, tetapi lapan tahun, lagaknya seperti semua tahu. Usia lapan tahun adalah usia belajar dan mempunyai kemampuan mencerap apa yang dilihat walaupun sudah sedikit lemah, tetapi ia waktu melihat contoh, meniru contoh dan waktu banyak ditegur dan buat salah. Tapi apa boleh buat, 'budak-budak'. Itulah ungkapan yang saya boleh bayangkan pada pengalaman yang saya ada dalam bidang latihan.

8 tahun, adalah umur saya untuk belajar lebih dalam melalui bidang ini, lapan tahun juga pengalaman-pengalaman yang saya akan ingat dan ambil contoh, buat apa yang boleh dibuat dan cuba sebanyak yang mungkin. Namun dalam lapan tahun ini saya begitu yakin dengan keupayaan dan pengalaman dan saya tidak lokek untuk kongsikan dengan pembaca sebab ia semua datang dari pengalaman lapan tahun ini. Siapa sangka, rupanya lapan tahun ini lama sehingga ada yang kata, "kau masih buat training lagi?", "boleh survive eh?". Kalau tidak boleh 'survive', mana mungkin saya masih boleh menulis ini lagi?

Saya perasan dalam hidup ini, siapa pun yang hendak berjaya, dalam bidang apa sekalipin, maka kita harus S.M.A.R.T. Apa yang dimaksudkan dengan S.M.A.R.T? 5 ciri utama insan berjaya atau insan S.M.A.R.T iaitu kita harus hidup berstrategi (strategy), minda yang fokus (mindset), sikap yang benar (attitude), bertanggungjawab (responsible) dan pengurusan masa berkesan (time management). 5 perkara ini sangat perlu ada pada peribadi seseorang yang sentiasa ingin melihat kejayaan lahir dalam hidup mereka.

Sukar untuk ditafsir dengan ayat dan kata-kata, tetapi mereka yang memilikinya dan tetap dengannya akan menghasilkan kejayaan, tetapi ia amat bergantung kepada kesungguhan dan keteguhan dalam merealisasikan kelima-lima perkara dalam kehidupan. Ada dikalangan kita yang tidak memahami apa keperluan strategi dalam kehidupan. Tidak kurang juga yang berstrategi tetapi tidak fokus. Apatah lagi apabila sikap yang ada itu tidak benar. Sikap adalah jantung kejayaan itu. Namun bahagian kejayaan yang kita cari adalah kejayaan hidup di dunia dan selepasnya. Oleh itu, pembentukan kejayaan itu tidak terhenti setakat strategi, fokus minda dan sikap, tetapi juga hubungan dan penghargaan hidup yang menjadikan itu satu tanggungjawab yang tidak terpisah bahkan terhadap masa kerana masa adalah kehidupan. Jadilah insan yang S.M.A.R.T agar kejayaan yang dibina dapat dirasai, diri kita dan semua yang bersama kita, semasa di dunia lebih-lebih lagi dunia yang selepasnya.

Thursday, August 21, 2014

AKHLAK SEBAGAI ASAS UTAMA SEORANG FASILITATOR

Alhamdulillah, saya telah berkecimpung dalam dunia fasilitator ini rupa-rupanya sejak tingkatan 2, ya, dibangku sekolah lagi. Siapa sangka ilmu yang pada mulanya seolah-olah main-main akhirnya menjadi kerjaya dan menjadi pengalaman berharga buat saya. Sekalung penghargaan dan terima kasih tidak terhingga buat Arwah Abang Engku Azri yang merupakan insan pertama memperkenalkannya kepada saya dan beberapa orang rakan yang lain dengan ilmu ini. Hari ini, saya berasa amat terhutang budi dan amat berharap dapat menyambung usaha beliau mendekati dan membangunkan generasi muda-mudi hari ini.

Bila disebut ABCDE Fasilitator pasti kita semua dapat mengagak apa yang ia maksudkan. Ya, saya akan cuba jelaskan apakah perkara asas yang wajar dan perlu kita tahu mengenai fasilitator. Apa pula fasilitator? Itu, kita bincang kemudian dan banyak pun yang mungkin kita boleh fahami dan pelajari bahkan hari ini ramai pun yang telah menceburkan diri ke dalam dunia fasilitator ini.

Asas pertama yang perlu ada bagi seorang fasilitator adalah akhlak. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (edisi ini sahaja yang ada dalam simpanan saya), ia bermaksud budi pekerti atau kelakuan atau juga diertikan sebagai tabiat. Seorang fasilitator, adalah perlu dia menjadi seorang yang berakhlak. Ini disebabkan oleh peranan yang dipikulnya sebagai insan yang boleh dicontohi dari segenap aspek walaupun bukan keseluruhannya. Namun, memperluas aspek diri agar boleh dicontohi merupakan suatu yang amat dipuji dan dihormati sebagai seorang fasilitator.

Akhlak menjadikan diri kita sentiasa menjadi perhatian. Akhlak merujuk kepada budi pekerti, kelakuan atau tabiat yang baik. Sudut pandang seorang fasilitator Muslim, akhlak ini sudah tentu disepadankan dengan akhlak Rasulullah s.a.w.. Padanan ini merupakan kayu ukur tertinggi bagi seorang fasilitator dalam hal akhlak sekaligus ia juga bakal menjadi pendorong dan kayu ukur dalam menentukan BCDEnya seorang fasilitator. Bagi saya, akhlak adalah pembuka buku hidup seorang fasilitator. Tanpanya, maka seseorang itu belum bersedia walaupun telah mengikuti puluhan kursus bimbingan dan latihan fasilitator.

Manakan boleh, seorang fasilitator itu dipersoal tentang akhlaknya sentiasa. Sekali-sekala itu tidak mustahil kerana kita insan yang selalu lupa dan alpa, tetapi ia harus segera diperbaiki dan diubati sama ada secara peribadi atau bersama teman yang lebih memahami dan mengenali. Begitulah pentingnya akhlak dalam membentuk peribadi seorang fasilitator. Tambahan pula fasilitator Muslim. Akhlak yang Baginda Rasul tunjukkan dengan di mana sifat malunya, dalam bab menjaga kerahsiaannya, memenuhi janji, kelunakan berbicara dan banyak lagi. Dalam perkara ini tidak syak lagi, bagi saya, Rasulullahlah contoh yang terbaik.

Monday, August 18, 2014

BERUSAHA DAN HANYA DIA YANG MENENTUKANNYA

Yūsuf:67 - "Dan ia berkata lagi: "Wahai anak-anakku! Janganlah kamu masuk (ke bandar Mesir) dari sebuah pintu sahaja, tetapi masuklah dari beberapa buah pintu yang berlainan. Dan aku (dengan nasihatku ini), tidak dapat menyelamatkan kamu dari sesuatu takdir yang telah ditetapkan oleh Allah. Kuasa menetapkan sesuatu (sebab dan musabab) itu hanya tertentu bagi Allah. KepadaNyalah aku berserah diri, dan kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri".

Begitulah pesanan seorang ayah yang risau dan khuatirkan tentang keselamatan anak-anaknya. Itulah sebahagian kisah mengenai Nabi Yaakub dan anaknya yang dinamakan sebagai Bunyamin tatkala saudara mereka ingin membawanya bertemu Nabi Yusuf di Mesir. Ya, saya percaya, ada sebahagian pembaca terimbau sesuatu atau tersentak bila membaca ayat Allah ini. Pada saya, pesan ini cukup penting kerana saya ini seorang penceramah dan fasilitator yang mana antara keutamaan peranannya adalah memberikan teguran nasihat kepada yang mendengar.

Baru semalam saya berceramah di Dkok Eco Camp, dan pagi ini diingatkan bahawa, kata-kata yang saya lontarkan itu hanyalah satu nasihat, sebaliknya takdir itu adalah ketentuan dari Allah. Tetapi barang diingat, ia harus diawali dengan usaha sebagai percubaan melakukan sesuatu dengan cara terbaik sebagaimana pesanan Nabi Yaakub untuk memasuki Mesir dari berlainan pintu. saya, ini pesan untuk dirimu sendiri dan untuk semua pembaca, bagi yang berkata-kata, sampaikanlah nasihat itu kerana Allah, kerana ia adalah satu nasihat untuk perubahan, tetapi yang menyebabkan penerimaan itu adalah Allah, kerana Dialah pemilik kepada hati-hati kita semua. Subhanallah.

Thursday, August 14, 2014

BERDAKWAH PERLU BERJIWA BESAR

Alhamdulillah, saya ambil kesempatan menulis lagi. Saya tergerak untuk menulis kali ini disebabkan perasaan serba salah bercampur gembira dan bangga dalam usia dan keadaan saya kini, masih lagi Allah berikan peluang untuk bersama rakan-rakan bahkan adik-adik berbincang dan berbicara tentang dakwah. Perbincangan Kami adalah selepas mesyuarat dalam keadaan berdiri dan suasana suram hanya dilimpahi cahaya lampu jalan. Perbincangan terarah kepada beberapa isu berkenaan dunia dakwah yang sama-sama kami bersama di dalamnya.

Pada awalnya, sebagai Abang, sudah tentu kita rasa pandangan dan perbincangan kita yang ketuai, namun selepas beberapa ketika, perbincangan semakin rancak, banyak pula saya rasa, pandangan, kata-kata dan cerita yang saya keluarkan semakin sumbang dan keadaan itu menyebabkan saya diingatkan secara tidak sengaja (atau mungkin sengaja) oleh adik-adik. Selama hari ini kekhuatiran kepada generasi ini saya rasakan sudah ada jalan keluarnya, yang perlu sekarang adalah istiqamah dan sabar.

Pada mereka (adik-adik yang saya maksudkan) sudah ada kefahaman yang baik mengenai dakwah, yakni ia tidak memilih kawan atau lawan, ia tidak tertakluk kepada satu-satu pihak yang punya tetapi ia adalah tugas bersama. Terbaik! Mereka faham dan penilaian mereka cermat dalam hal dakwah dan merasakan dakwah ini kerja berat, kita tidak boleh pikul sendirian. Mereka juga tampaknya sudah ada kesalingan dan kebersamaan dalam kerja-kerja ummat. Mereka perlu digemblengkan. Mereka sangat memandang serius dalam hal-hal yang boleh menyebabkan permusuhan dan mereka mahu ia dielakkan.

Ya Allah, sembang kami malam itu mengiringi saya pulang ke Kuala Selangor dengan hati yang lapang dan berbunga-bunga. Saya selalu kata dan rasa, bukan generasi saya ini akan buat kebangkitan, kerana banyaknya penyakit ummat pada generasi kami yang menghalangi kami menjadi pembangkit itu. Mungkin juga bukan generasi mereka, tetapi saya yakin, yang kita mulakan hari ini, adalah pencetus kepada kebangkitan yang Allah janjikan. Janji Allah pasti dipenuhi dan saya ingin menjadi sebahagian darinya jika tidak berada di dalam kebangkitan itu sekalipun. Ya Allah tetapkan langkahku, terus tunjukkan aku jalan yang Kau redha moga aku juga tergolong di dalamnya amin.

Saturday, August 9, 2014

BERSIAP UNTUK RAMADHAN

Yūsuf:38 - "Dan aku menurut agama bapa dan datuk nenekku: Ibrahim dan Ishak serta Yaakub. Tidaklah sepatutnya kita mempersekutukan sesuatupun dengan Allah. Mentauhid - mengesakan Allah ialah hasil dari limpah kurnia Allah kepada kita dan kepada umat manusia. Tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur."

Demikianlah awal perkataan yang diungkapkan oleh Nabi Yusuf ketika dipenjara kepada 2 orang yang terpenjara bersamanya sebelum mula menafsirkan mimpi mereka. Baginda memohon kepada keduanya memaklumkan tentang hal Baginda apabila keluar nanti tetapi itu tidak berlaku dan Baginda terpenjara terus untuk beberapa tahun berikutnya.

Ya sahabat-sahabatku, lama juga tidak menulis, kekerapannya pun makin kurang, kalau kata sibuk, macam tidak, sebenarnya mungkin kerana jauh hati saya ini dari mengingati Mu Ya Allah! Astaghfirullah...

Terpanggil saya untuk menulis sedikit sebanyak sebagai peringatan kepada diri sendiri yang selalu lupa. Kisah terpenjaranya Nabi Yusuf bersama 2 orang lagi itu tergerak saya untuk melihatnya dari sudut terpenjaranya kita dari hawa nafsu kita sendiri. Allah telah anugerahkan Ramadhan untuk kita lakukan proses pembebasan diri dari hawa nafsu namun, rupanya selama hari ini saya tidak merasainya dengan sungguh-sungguh. Akhirnya, kita biarkan ia pergi begitu sahaja.

Terpenjaranya 2 orang sahabat Nabi Yusuf, apabila bebas, terlupa akan pesan Nabi Yusuf yang menafsirkan mimpi mereka, terpenjaranya saya, apabila tamat Ramadhan, rasa hilang segala derita lapar dan dahaga, astaghfirullah. Itu lah Allah berfirman, tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.

Namun, Nabi Yusuf yang terus terpenjara sedar dan amat yakin dengan apa yang Allah telah sediakan untuknya. Saya pula, tahu tetapi keyakinan amat tipis terhadap kehebatan dan keberkatan Ramadhan. Astagjfirullah. Allah sudah berfirman, tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur!

Rupanya, saya masih terpenjara dalam hidup yang kononnya bebas dan merdeka ini. Terpenjara di dalam, terpenjara roh kepada dunia yang menundukkan jasad kepada dunia. Allahuakbar. Bantulah hamba Mu ini Ya Allah. Ya Allah berikanlah aku kesempatan untuk bertemu Ramadhan akan datang. Berikan aku kekuatan membuat persiapan untuk Ramadhan Mu akan datang. Panjangkan umurku dengan rahmat dan kasih sayang sehingga dapat aku bertemu Ramadhan 1436h. Amin Ya Rabbal Alamin.

Thursday, July 3, 2014

5 RAMADHAN 1435H PADA 3 JULAI 2014

Alhamdulillah, Allah berikan usia lagi untuk bernafas dan masa untuk dikira serta nyawa untuk dimanfaatkan. Hari semalam terus jadi sejarah dan hari ini biarlah sekali lagi kita mencipta sejarah yang akan dikenang bukan makhluk bumi yang isi dunia ini hanya sementara, tetapi menjadi tatapan dan sebutan makhluk langit dan cerita benar sikerdil di sisi yang Maha Esa itu sendiri. Hari ini sepatutnya saya berkunjung ke SK Dengkil untuk sesi ceramah, tetapi saya dibantu Johari, seorang teman, pendamping, penasihat, tempat mengadu dan tempat berkongsi pandangan dan idea. Dia gantikan saya. Malam tadi (2 Julai 2014) saya berkesempatan berkunjung ke SAM Tanjong Karang sebagai permulaan misi Bengkel Kepimpinan atau yang mereka namakan sebagai Usrah Bakal Pemimpin. Wah, seronok dan amat mengujakan. Sebelum itu, saya memohon ampun kepada mereka yang kerap kali hampa bila menziarahi blog saya ini. Lama tak update. Betul juga. saya sebenarnya mencari kekuatan untuk dicatatkan perkara yang dapat beri manfaat dan pengalaman yang berharga untuk kita semua.

Ya, perjalanan hidup yang begitu menyeronokkan sebenarnya. Semoga keseronokan ini Allah kekalkan hingga kesyurga. saya tidak dapat merasakan lambatnya masa berlalu kerana ini perlu diisi denga pelbagai keutamaan dan pencarian yang pastinya penghujungnya hanyalah kematian. Berbalik kepada perjalanan ke SAM Tanjong Karang tadi, saya bertanya mereka mengapa saya datang ke sekolah mereka. Sudah tentu jawapannya untuk melahirkan pemimpin dikalangan kami. Tetapi saya menidakkannya. pada saya ia cita-cita kecil yang wujud suatu masa dahulu ketika saya mula-mula berkecimpung dalam bidang latihan. Pada hari ini, pada saat ini, misinya berubah dan ia semakin membakar dan menyala.

"Abang datang sini bukan untuk melahirkan pemimpin, tetapi misi lebih besar adalah berdakwah, memimpin dan melatih semula diri bagi memenuhi janji kita sebagai Khalifah," antara pesanan saya. Kata Allah s.w.t;

"Dan (ingatlah) ketika segolongan daripada mereka berkata; 'Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat?' Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab; '(Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu, dan suapaya mereka bertaqwa.'" (Al-A'raf: 164)

Pertemuan kami singkat, tetapi penuh makna. Saya teringat zaman di SMAKL dulu bersama arwah Abang Azri, kami ketika itu jauh lebih muda dan lebih tidak mengerti apa yang terjadi. Saya terfikir apakah faktor motivasi arwah yang membawa langkahnya ke SMAKL dan bertemu kami di sana, membimbing dan membentuk kami dan saya masih merasakan usahanya itu sehingga ke hari ini. Siapa dia? Mengapa Allah letakkan dia bersama kami? Apa sebenarnya yang dia nak buat dan lihat? Jawapannya itulah yang menjadi harapan dan cita-cita saya kini. Kata Allah s.w.t lagi;

"Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah - membela agama Nya), Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya dan Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepada Nya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (At-Taubah: 39)

Teman-teman yang dikasihi Allah, saya cuba sedaya upaya untuk menyampaikan apa yang saya fahami dari perintah Allah s.w.t dan Rasul Nya dan saya menyeru teman-teman semua untuk bersama menyeru diri, menggerakkan diri untuk kita berbuat dengan segala usaha yang kita ada. Anjurkan kebaikan, sebarkan kebaikan, seru kepada kebaikan dan berakhlaklah dengan akhlak Rasulullah. Sebarkan kasih sayang, hargailah persahabatan dan persaudaraan dan teruslah berdakwah. Semoga Allah merahmati kita semua. Amin.

Wednesday, April 23, 2014

IMAN DAN KEHIDUPAN SIRI 1

Tajuk asal buku Iman dan Kehidupan ialah ‘Al-Iman Wal-Hayat’ oleh Syeikh Dr. Yusof Al-Qardhawi. Buku ini membicarakan mengenai masalah iman. Apabila ia berkaitan dengan iman, maka janganlah kita beranggapan bahawa ia adalah masalah kecil-kecilan atau masalah runcitan yang tidak perlu diberi perhatian. Masalah iman adalah masalah kehidupan manusia pada masa akan datang. Ia juga masalah matlamat dalam kehidupan. Ia juga menyentuh soal mengapa manusia diwujudkan Allah s.w.t. di atas muka bumi ini. Ia bukanlah merujuk hanya kepada fungsi kita di dunia ini sahaja.

Apa yang dimaksudkan dengan bukan soal fungsi di dunia ini sahaja? Dengan iman, ia menentukan kehidupan kita baik atau buruk di akhirat nanti. Dengan iman ia menentukan kedudukan kita di syurga atau neraka. Ia menentukan ketenteraman atau kecelakaan kehidupan kita yang kekal nanti. Maka ia wajib difikirkan dan diberikan perhatian. Maka ramailah yang memikirkan soal ini. Mereka para cerdik pandai berfikir mengenainya sejak dahulu lagi. Kesimpulan akhir mereka, yang penting adalah menetapkan aqidah tentang Allah dengan cara-cara yang khusus. Ada yang menyandarkannya kepada fitrah di dalam lubuk hati kita sebagaimana firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran yang bermaksud;

"Rasul-rasul mereka bertanya: 'patutkah berlakunya sebarang keraguan tentang wujudnya Allah, yang menciptakan langit dan bumi? Ia menyeru kamu beriman kerana hendak membersih dan melepaskan kamu dari dosa-dosa kamu, dan memberi tempoh kepada kamu hingga ke suatu masa yang tertentu.' Mereka menjawab: 'kamu tidak lain hanyalah manusia seperti kami. Kamu bertujuan hendak menyekat kami daripada menyembah apa yang telah disembah oleh datuk nenek kami. Oleh itu, bawalah kepada kami satu bukti yang jelas nyata.'" (Ibrahim 14: 10)

"(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah ugama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) ugama Allah, iaitu ugama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah ugama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." (ar-Rum 30: 30)

Sebahagiannya pula ada yang mendasarkan kepada ilmu sebab dan akibat seperti setiap yang diciptakan pasti ada penciptanya, setiap sesuatu yang terjadi pasti ada yang menjadikan, setiap sesuatu yang bergerak pasti ada penggeraknya dan setiap  peraturan yang dibuat pasti ada pembuat peraturannya. Prinsip ini jelas sekali boleh diterima aqal dan fikiran. Ada juga yang membincangkannya dari sudut perhitungan dan matematik yang berkesimpulan kehidupan ini akan berakhir dengan mati dan penentuannya adalah setelah dibangkitkan nanti. Maka perlu untuk percaya adanya hari kebangkitan, hari pembalasan dan hari perhitungan.

Kata ahli falsafah dan syair Abul Ala-Al Ma’arry; ahli nujum dan doktor mengatakan bahawa orang yang telah mati tidak akan dibangkitkan, aku katakana kepada mu berdua; kalau benar apa yang kau katakan aku tidak akan mendapat kerugian, tetapi kalau benar perkataanku maka kerugian akan menimpa diri mu berdua. 

Ahli falsafah Pascal berkata; adalah hak anda untuk mengiktikadkan akan adanya Allah atau tidak mengiktikadkannya, tetapi anda tentu mempunyai satu pilihan. Namun hendaklah diketahui, bahawa akal anda dalam keadaan ini lemah keadaannya dan sama sekali tidak sanggup untuk memilih. Masalah ini sebenarnya adalah umpama satu boneka yang berjalan diantara kita dan alam, di mana anda dan alam masing-masing mensasarkan anak panah ke arahnya yang tentu dapat dipastikan bahawa salah satu dari anak panah itu, mengenai sasarannya. Maka pertimbangkanlah antara mana yang mungkin boleh menguntungkan dan mana yang boleh merugikan. Apabila anda mempertaruhkan seluruh apa yang anda miliki hanya pada anak panah yang pertama – yakni akan adanya Allah – kemudian taruhan anda tepat, maka anda pasti berhasil mencapai sesuatu kebahagiaan yang abadi, tetapi apabila taruhan anda meleset, maka anda tidak akan kehilangan apa-apa yang penting… juga anda tidak akan rugi kecuali dalam sesuatu sifatnya yang fana – meskipun terjadi dalam kenyataan – yang mungkin dan masuk akal.

”Sesiapa yang mahukan pahala (balasan) dunia sahaja (maka rugilah ia), kerana di sisi Allah disediakan pahala (balasan) dunia dan akhirat. Dan (ingatlah) Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat." (an-Nisa’ 4: 134)

"Dan ditanya pula kepada orang-orang yang bertaqwa: "apakah yang telah diturunkan oleh tuhan yang telah diturunkan oleh tuhan kamu?" mereka menjawab: "kebaikan" orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini beroleh balasan yang baik, dan sesungguhnya balasan negeri akhirat itu lebih baik lagi; dan memanglah negeri akhirat ialah sebaik-baik negeri bagi orang-orang yang bertaqwa." (an-Nahl 16: 30)

Setiap ibadah yang diwajibkan adalah untuk memelihara dan mensucikan jiwa orang beriman tetapi alangkah sedikitnya usaha mereka terhadapnya. Dan setiap yang dilarang dalam agama adalah untuk memelihara ‘aqal, akhlak, jiwa, harta, kehormatan dan keturunan seseorang.

"Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) nabi yang ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam taurat dan injil yang ada di sisi mereka. Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya. (al-a’raf 7: 157)

Sesuatu yang dilarang dalam agama pasti telah Allah sediakan gantinya sebagaimana yang kita sebutkan pandangan sebab dan akibat tadi. Dan kita juga tidak harus berasa rugi dengan setiap kebaikan yang kita buat kerana ia juga adalah sebab kepada kebaikan yang kita akan perolehi dari kebaikan yang kita buat tadi. Juga sebab dan akibat. Ia akan memberi kesan kepada kita dari segi istiqamah dan hidayah di atas hak dan ketetapan  yang  sanggup menguasai hawa nafsu kita dan akhirnya kita akan mendapat ketenangan jiwa dan ketenteraman dalam kehidupan di dunia dan di akhirat. Dunia hari ini menilai kebenaran itu dari segi banyak sikitnya manfaat yang diperolehi. Bukan sesutau yang sesuai dengan kenyataan atau bukan pula pada sesuatu yang dalil-dalilnya serta alas an-alasannya tegas dan jelas. Bahkan ada berkeras dengan pandangan ini. Mereka berasa kebenaran itu bukan kerana kerana sesuainya berita dengan kenyataan tetapi menselaraskan berita itu dengan apa yang terjadi. Jadi apabila hasil itu sesuai dengan tujuan dan kehendak kita, maka ia benar, baik dan hak. Jika tidak maka ia jahat, batil dan bohong. Ini adalah sesuatu kerosakan pada iman, yang sepatutnya tidak ada dalam diri kita atau kita tidak mahu tetapi ia wujud tanpa kita duga. Manusia mahu yang bermanfaat untuk dirinya maka itulah hak dan yang tidak maka itulah batil.

"Ia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu membanjiri tanah-tanah lembah (dengan airnya) menurut kadarnya yang ditetapkan tuhan untuk faedah makhluknya, kemudian banjir itu membawa buih yang terapung-apung. Dan dari benda-benda yang dibakar di dalam api untuk dijadikan barang perhiasan atau perkakas yang diperlukan, juga timbul buih seperti itu. Demikianlah Allah memberi misal perbandingan tentang perkara yang benar dan yang salah. Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah allah menerangkan misal-misal perbandingan." (ar-Ra’du 13: 17)

Maksud manfaat itu merujuk kepada segala segi, baik secara material dan maknawi, bagi fizikal dan jiwa, aqal dan hati, individu dan masyarakat, bahkan di dunia dan akhirat. Maka bagi yang beriman, manfaat itu tidak diukur dari satu segi sahaja tetapi dilihat dari setiap inci sifatnya sesuatu itu bahkan ia tidak terhad di dunia sahaja termasuk juga akhiratnya. Maka perbincangan ini kita harapkan akan menjelaskan tentang bagaimana kita bersama boleh fahami huraian-huraian melalui pandangan penulis mengenai soal keimanan kepada Allah, para rasul dan malaikat, kitab dan hari akhirat serta yang bersangkutan dengannya.

Kita juga akan temui perbincangan mengenai salah faham agama yang melihat iman ini sebagai ketagihan dalam hidup atau penyekat kebebasan hidup. Seperti marxisme. Tanpa agama dan keimanan seperti bulu yang berterbangan, tidak tetap, tidak tahu ke mana dan tidak menetap pada satu tempat atau seperti manusia yang tidak ada nilainya dan akarnya, bingung dengan hidup, ragu-ragu, tidak tahu siapa yang berikan kehidupannya dan bagaimana pengakhirannya atau seperti binatang yang buas dan jahat, sentiasa menerkam dan tidak dapat dibendung kehidupannya dengan undang-undang. Masyarakat tanpa agama adalah masyarakat hutan walaupun maju dan boleh berlangsung kehidupan yang penting kuat dan kejam baru dapat hidup. Mereka akan rosak dan binasa walaupun di dalam keadaan mewah dan penuh kenikmatan, nilai hidup mereka rendah dan murah kerana tujuan hidupnya hanya nafsu syahwat semata-mata, mereka makan sebagaimana binatang-binatang makan.

Ilmu material menghasilkan kemajuan dan kesenangan tetapi tidak ketenangan dan kebahagiaan. Ilmu itu mendekatkan jarak yang jauh dan zaman yang panjang sehingga dinamakan zaman serba cepat atau zaman dunia tanpa sempadan. Tetapi bolehkah kita gelar zaman ini zaman serba bahagia atau zaman ketenangan bagi manusia?

Maka ilmu material menyediakan banyak jalan-jalan kehidupan tetapi kurang mengingatkan tentang tujuan-tujuan kehidupan. Alat maju banyak di tangan tetapi ia tidak ada isi atau nilai tambah yang sepatutnya ada pada kita. Maka ia hanya akan dirasai dan berhasil jika kita ada iman dan dalam jalan agama.

Monday, April 14, 2014

BULAN APRIL 2014...

Allahuakbar... Dua bulan saya telah mengosongkan tulisan-tulisan di blog ini... Kesempatan untuk menulis ada, tetapi saya lebih banyak menggunakannya untuk perkara dan tugasan lain yang lebih segera dan lebih utama. Maaflah jika anda ternanti-nanti atau seringkali berkunjung dengan harapan untuk mendapat maklumat atau pengisian di sini. Ya, 2 bulan tu lama dan tentulah banyak pengisian rohani dan intelektual yang telah saya harungi selama itu. Macam-macam mehnah dan macam-macam ragam kehidupan perlu ditempuh dan dijadikan peluang untuk terus menabur bakti dan jasa sepanjang kehidupan.

Ya, bermula Mac, kini April, saya memenuhkan jadual peribadi dan juga IQ Class Management dengan pelbagai aktiviti dan program. Berjalan dari Terengganu ke Pahang, Negeri Sembilan dan tak kurang juga berpusing sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Alhamdulillah, itulah aturan Allah s.w.t. kepada kita semua. Bertemu teman baru, adik-adik baru, dengan pengalaman baru dan tidak kurang juga bertemu dengan rakan-rakan lama, teman lama dan dengan pengalaman baru, alhamdulillah ia cukup mematangkan. Tidak syak lagi, Allah lah Maha memberikan pendidikan dan pengajaran kepada kita, apa yang penting buka mata, buka hati terimalah teguran-teguran dari Allah. Itulah petanda kita ini bijaksana.

Sedarlah, dalam kehidupan ini, Allah sememangnya tidak akan membiarkan insan beriman itu melalui kehidupannya tanpa sebarang kemanisan. Allah berikan kemanisan itu dengan cara yang sungguh berbeza berbanding manusia. Pada saya, Allah ilhamkan kata-kata dan pemikiran tatkala saya ingin menyampaikan apa saja mesej kepada peserta dan adik-adik ketika di dalam program sehinggakan saya sendiri kerap kali merasakan, Ya Allah, rupanya ini pengajarannya yang selama ini aku dah tahu dan dah belajar. Perkara yang paling saya terkesan adalah kepercayaan manusia kepada manusia lain. Ia terbentuk memang sebenarnya dari kesetiaan, keikhlasan serta kejujuran manusia lainnya.

Sekarang saya dapat bayangkan bagaimana sebuah kerajaan hilang kepercayaan rakyat kepada mereka, seorang pemimpin hilang kepercayaan oleh pengikutnya, seorang ketua di pejabat hilang kepercayaan oleh pekerjanya, seorang pekerja hilang kepercayaan oleh majikannya dan seorang kekasih hilang kepercayaannya terhadap kekasihnya. Faktor pertamanya adalah kejujuran. Apabila ditanya adakah kejujuran itu maksudnya jujur kepada orang lain, jawapan saya tidak. Kejujuran itu yang penting adalah kepada diri sendiri. Tidak sesuai katakan tidak sesuai, tidak suka katakan tidak suka, cuma cara berkata itu pilihlah pendekatan yang terbaik. Bil hikmah wal mau'izatul hasanah.

Kejujuran ini tidak akan terhasil tanpa keikhlasan diri untuk melihat sesuatu yang dilakukan itu seperti yang dicita-citakannya. Jika hadirnya untuk nama, maka itu juga keikhlasan, tetapi untuk namanya, jika hadirnya untuk yang dicinta, maka itu juga ikhlas tetapi untuk yang dicintainya, jika hadir itu kerana pangkat dan penghormatannya, pada saya itu ikhlas juga tetapi pada apa yang mereka mahu. Sebab itu keikhlasan itu letaknya di dalam hati dan hati yang mempunyai keikhlasan yang tinggi ialah hati yang tunduk dan kepatuhannya hanyalah kepada DIA. Hebat bukan? Macamana nak rasa tu? Jawapan saya entahlah. Tetapi perasaan in perlu dipupuk. Ingatkan mereka dan kita, perbuatan kita bukan untuk dilihat manusia, sebab mata manusia tidak dapat melihat semua. Ia amat terhad sekali. Mata DIA yang melihat semuanya, GOD is our CEO.

Percaya atau tidak, kepercayaan datang dari keikhlasan dan keikhlasan akan terbentuk kerana kesetiaan sebagai seorang kawan, abang, anak, kekasih atau sebagai siapa sahaja. Keikhlasan kerana dan hanya kepada DIA kerana kesetiaannya sebagai seorang khalifah dan hamba dalam kehidupan kita. Nah, TUNE lah diri kita semua. Teroka, ubah, nilai dan eksplorasilah, semoga kita sentiasa menjadi aset kepada umat kita.

Monday, February 17, 2014

FEBRUARI 2014

MasyaAllah, cepatnya masa berlalu. Sekarang sudah pun tiba ke pertengahan Februari 2014. SubahanAllah, Maha Suci Allah yang telah menggerakkan saya dalam memenuhkan agenda diri dan agenda kehidupan sehingga telah mencecah umur 33 tahun. Maaflah sebab saya terlalu sibuk dengan perkara dan tugasan di luar sehingga tidak upaya dan tidak berkesempatan untuk menulis bagi tatapan penggemar bacaan di blog ini. Tahun 2014 ini saya rasakan agar mencabar dan memandu saya ke arah kematangan yang lebih hebat dan luar biasa. Walaupun memulakan tahun 2014 hanya seperti kebiasaan tahun-tahun lainnya, tetapi keazaman untuk menambah baik diri semakin kuat dan membara.

Perjalanan ini agak lancar dan saya tetapkan tekad untuk terus dengan usaha yang dijalankan bersama IQ Class Management. Ya, program dan program lagi. Saya dapat rasakan bahawa masih banyak perkara penting yang perlu disampaikan dan belum sempat untuk disampaikan kepada pendengar di luar sana. Alhamdulillah, permulaan tahun 2014 ini Allah izinkan saya bertemu dengan ramai ibu bapa di luar sana. Ingatkan mereka tentang dunia baru anak-anak mereka. Saya dah pun sampaikan ceramah hingga ke Pulau Pinang. Sungguh tak disangka.

Cuma dalam kesibukan ini saya masih mencari punca dan arah kehidupan masyarakat kita hari ini. Apabila kita lihat dan kita tonton bermacam adegan yang ditonjolkan masyarakat kita, persoalan saya masih belum bertemu jawapannya. Bagaimanakah generasi ini akan menghadapi hari kebangkitan yaumul mahsyar nanti? Adakah ini generasi kebangkitan Islam yang dijanjikan Allah dan yang disebutkan oleh Nabi s.a.w. itu? Pergaduhan, pembunuhan, penindasan, cela-mencela, caci-mencaci, merasakan diri lebih baik dari orang lain, menimbulkan permusuhan, menimbulkan syak dan persengketaan. Nauzubillah, janganlah Ya Allah Engkau tempatkan aku hamba Mu yang lemah ini bersama mereka Ya Allah.

Dakwah yang Ar-Rasul s.a.w. bawa adalah dakwah yang dihiasi kasih sayang, sifat lapang dada yang tinggi, keprihatinan yang tiada batasan serta kesabaran yang luar biasa hebatnya. Kerja dakwah perlu di satukan, ini bukan bermakna dipayungkan bersama, tetapi matlamat jelas nyata sama, jalannya telusurilah mengikut agenda dan kemampuan masing-masing. Hormat-menghormatilah antara satu sama lain. Jangan hilangkan kemuliaan diri insan hanya kerana kita merasakan diri kita lebih sempurna berbanding orang lain. Ingatlah, nilai kita di sisi Allah bukan di sisi manusia. Semoga nukilan ini sedikit mengingatkan diri saya dan semua pembaca. Dakwah mesti diteruskan tetapi keharmonian dan kasih sayang itu mesti menjadi tunjangnya. Jangan kusutkan lagi keadaan umat Silam yang telah sedia kusut ini. Jadilah kita seorang Muslim yang benar Mukmin.