Friday, March 29, 2013

JANGAN SAMPAI HATI JADI BATU

'Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya; dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya; dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.' (Al-Baqarah 2:74)

Apabila diperintahkan kepada orang-orang Yahudi pada zaman Nabi Allah Musa untuk melakukan penyembelihan sapi betina, maka mereka telah memperbanyakkan soalan untuk mengenalpasti sapi betina itu sehinggakan mereka sendiri hampir gagal memenuhi perincian yang diberikan Allah mengenai sapi betina itu. Allah Maha Tahu apa yang tersembunyi di dalam hati mereka.

Maka Allah gambarkan hati mereka, yang juga di dalam diri kita ada hati, keras seperti batu. Batu sifatnya keras namun padanya dapat dilalui air dan mungkin terbit darinya mata air. Namun, hati yang keras itu disebabkan oleh keengganan manusia mentaati perintah Allah s.w.t. Melakukan apa yang ditegahnya walaupun kecil dan meninggalkan apa yang diperintahkannya walaupun ringan.

Maka, inilah punca atau sumber yang merosakkan hati. Dek kerana hati, manusia sakit hati, makan hati, iri hati dan jika sekiranya kita berhati-hati, makan kita akan menjadi buah hati, permata hati kepada siapa sahaja yang menghampiri dan mengenali. Keras hati orang Yahudi pada zaman Nabi s.a.w tidak terkata, tetapi harus kita ingat, itu hati mereka, dan hati kita, kitalah yang jaga. Jangan sampai hati jadi batu, hilang rasa terputus talian komunikasi dengan Allah s.w.t.

Thursday, March 28, 2013

JANGAN SAMPAI DI BOHONGI

Negara semakin hampir dengan pilihanraya. Topik perbincangan masyarakat dari ahli korporat sehingga ke tukang kasut sibuk berbincang tentang siapa lebih baik untuk diundi. Parti A, B atau C (jika ada). Jiwa, fikiran dan segala deria penglihatan dan pendengaran disumbatkan dengan janji, manifesto yang dikatakan akan dipenuhi dan ditepati.

Sudah semesti dan menjadi tanggungjawab pemimpin tidak kira di mana-mana peringkat pun, tugasnya adalah untuk memenuhi dan memberikan yang terbaik untuk rakyatnya. Menyediakan tempat perlindungan yang secukupnya, memberikan ketenteraman dan keamanan, memberi jaminan keselamatan nyawa, harta dan kehidupan. Maka tidak kira siapa, inilah tugas seorang pemimpin bukan negara sahaja bahkan pemimpin sekecil bilik darjah sekalipun.

Maka kefahaman ini perlu ditanam, diingatkan, dipesankan kepada semua pemimpin, baik diri sendiri dan siapa sahaja yang memimpin, bahawa amanah pemimpin amat besar dan berat. Oleh kerana itu untuk memikul satu amanah itu perlukan persiapan jasmani, emosi, rohani dan intelektualnya. Bagi yang dipimpun, atau yang digelar pengikut, perlu ada disiplin tertentu yang menjadi tanda aras ketaatan kepada pemimpin. Firman Allah s.w.t;

'Dan di antara mereka pula ada orang-orang yang buta huruf, mereka tidak mengetahui akan isi Kitab Taurat selain dari penerangan-penerangan bohong (dari ketua-ketua mereka), dan mereka hanyalah berpegang kepada sangkaan-sangkaan sahaja.' (Al-Baqarah 2:78)

Usahlah kita menuruti pemimpin yang hanya bersuara dengan sangkaan-sangkaan sahaja, prasangka, prejudis, kerana ia datang dari perasaan syak dan akhirnya menjadi perbualan seolah-olah benar belaka. Menjadi pengikut atau orang yang dipimpin ada hak untuk menegur dan memperbetulkan pemimpin mereka sekalipun pandangan itu ditolak. Maha Mengetahui hanyalah Allah s.w.t, Dia pasti tahu dan Dia pasti ada perancangan yang lebih baik dan kita tidak akan tahu melainkan selepas sesuatu itu berlaku. Sebagai pemimpin, hidupkan rasa rendah diri, usah berprasangka pada kebaikan orang, dan kepada pengikut, jangan sampai dibohongi.

Wednesday, March 27, 2013

AYAT ALLAH ADALAH PERINGATAN BUAT DIRI SENDIRI

Terlalu ramai manusia hari ini yang berusaha membina kredibiliti mereka atas nama agama. Na'uzubillahiminzalik. Mudah-mudahan kita tidak tergolong di dalamnya. Apabila semakin ramai pengamal ilmu-ilmu agama, maka masing-masing telah mengiktiraf bahawa jalan mereka yang lebih baik seolah-olah, merekalah yang telah mengamalkan sepenuhnya agama ini dengan sempurna.

Agama merupakan satu kepercayaan dan bagaimana penganutnya melakukan sesuatu untuk membuktikan anutannya, namun Islam lebih dari itu. Islam adalah cara hidup, bukan sekadar berhubung dengan Allah s.w.t dalam soal ketauhidan dan feqh amalan seharian, bahkan ia juga adalah hubungan duniawi di antara benda hidup di muka bumi ini.

Perbuatan membandingkan siapa lebih baik agamanya, amalan kerohaniannya hanyalah pintu kepada kerosakan yang menjadi peluang kepada iblis dan syaitan untuk memanfaatkannya. Berbuatlah kebaikan tanpa mengira apa beza sekalipun kerana setiap kebaikan yang dilakukan oleh manusia kerana Allah pasti mendapat ganjaran yang setimpal. Usah lah kita menuding jari, mencari-cari salah siapa kerana semua manusia pasti akan melakukan kesalahan. Firman Allah s.w.t yang bermaksud;

'Dan berimanlah kamu dengan apa yang Aku turunkan (Al-Quran) yang mengesahkan benarnya Kitab yang ada pada kamu, dan janganlah kamu menjadi orang-orang yang mula-mula kafir (ingkar) akan dia; dan janganlah pula kamu menjadikan ayat-ayatKu (sebagai harga untuk) membeli kelebihan-kelebihan yang sedikit faedahnya; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu bertaqwa.' (Al-Baqarah 2:41)

Tuesday, March 26, 2013

GENERASIKU BANGKITLAH

Teringat lagu bangkit yang sering berkumandang dicorong-corong radio, menjadi inspirasi kepada saya untuk menulis lagi. Saya baru pulang bertemu adik-adik yang baru, bersemangat mereka ingin terlibat dalam persatuan dan gerakan Islam. Macam biasa, bagi orang tua banyaklah idea pandangan dan pengalaman, bagi orang muda, dalam benak fikirnya apa nak buat dan boleh ke buat macam tu?

Banyak juga persoalan yang diutarakan sehingga keluar juga dari topik perbincangan. Saya diminta menyampaikan tajuk Konsep Ketuhanan Dalam Islam. Perbincangan tidaklah menjurus kepada tajuk secara ilmiah sehingga merujuk kepada konsep-konsep ketuhanan yang pernah mungkin kita pernah dengar atau belajar, kerana bagi saya yang penting apa yang dia boleh bawa balik dan amalkan.

Permulaan perbincangan, ialah teroka diri. Bagaimana Islam kita? Jawapannya, kita warisi dari ibu ayah kita. Fahaman ini yang kita nak ubah. Nilai diri kita, bagaimana Islam kita? Iman kita? Ramai yang sukar untuk ungkapkan iman mereka itu bagaimana dan masih ramai yang terperangkap dengan soalan bila kita nak mati?

Inilah kerosakan generasi saya. Islamnya dihujung tanduk, imannya rapuh bak kain tisu dan akhlaknya tidak terjelma dalam tindakan. Pesan saya mudah (pesan memang mudah), iaitu TAUHID! Tauhid itu Tunduknya hati dengan kerendahan dan tiada yang lebih rendah dari tunduk kepada Allah. Tauhid itu Agungkan Allah dengan tiada yang lebih agung dari Nya. Tauhid itu Utamakan Allah dalam segala perbuatan dan tiada yang lebih utama dari Nya. Maka, Hadirkan Allah dalam amalan, Ingatlah Allah pada setiap masa, kerana Dari Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali. Generasiku, jika aqidah kita sejahtera, ibadah kita benar, maka tidak mustahil kita melihat generasi baru Salahuddin dan Muhammad Al-Fateh. Generasiku, bangkitlah!

Monday, March 25, 2013

ALLAH ADALAH PEMILIK KITA

Perjalanan hidup ini amat rumit dan sukar rasanya, sehinggakan ada di antara kita yang mengakhirkan kehidupan mereka sendiri, ada yang gila atau sakit jiwa, bahkan ramai sekali yang merasa tertekan dengan kehidupan ini. Serba-serbi kekurangan jika dibandingkan dengan orang lain. Macam-macam yang tiada, tiada rumah, tiada kereta, tiada alat komunikasi canggih dan macam-macam tiada lagi.

Kekurangan upaya untuk memiliki, mempunyai ini menyebabkan manusia mendapat tekanan berlebihan yang dipanggil stres. Pada manusia, nafsunya mendorong untuk memiliki setiap apa yang dipunyai oleh orang lain. Apabila kita melihat si kaya dengan kereta ferarinya, kita akur dan memujuk hati, tentulah, pendapatannya jauh langit dengan bumi berbansing dengan kita. Rendah diri, rasa kecil, bagus sekali. Tetapi apabila te,an sekerja atau jiran tetangga yang punyai sesuatu lebih dari kita mahu dibanding-bandingkan pula, mengapa? Itu petanda mendorong nafsu kita dan menafikan akal. Apabila menafikan akal maka, akal tidak akan dipandu oleh wahyu. Firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Baqarah ayat 29 yang bermaksud;

'Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.' (Al-Baqarah 2:29)

Nah, Allah itu Maha Tahunya. Dia yang menjadikan segala apa yang di dunia. Dia Maha Kaya. Dialah pemberi segalanya, maka Dialah pemilik kita. Dia beri pinjam, maka adalah menjadi tanggungjawab peminjam untuk memulangkan. Tetapi adakah Allah memerlukannya? Sudah pasti itu hanya perkara kecil pada Allah s.w.t, maka usahlah kita persoal atau membandingkan diri dengan orang yang lebih kaya, apabila pemilik kita Maha Kaya, maka mintalah kekayaan dari Nya, tetapi bukan untuk kemegahan di dunia, tetapi untuk melabur membina mahligai di hadapan Allah, pemilik kita.

Sunday, March 24, 2013

ALLAH MEMBANDINGKAN MANUSIA, MAKA AMBILLAH PENGAJARANNYA

Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Baqarah ayat 26 yang bermaksud;

"Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya), iaitu kalau orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka; dan kalau orang-orang kafir pula maka mereka akan berkata: 'Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan ini?' (Jawabnya): Tuhan akan menjadikan banyak orang sesat dengan sebab perbandingan itu, dan akan menjadikan banyak orang mendapat petunjuk dengan sebabnya; dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasik;" (Al-Baqarah 2:26)

Ya, itulah kadangkala manusia tidak dapat menerima hakikat bahawa yang menegur mereka adalah Allah s.w.t. Allah memilih cara teguran dan perbandingan antara makhluk Nya sesuai dengan keadaan manusia itu sendiri. Oleh sebab itu, bagi diri Mukmin yang sering meninjau hubungannya dengan Allah s.w.t seringkali terasa ditegur atau diingatkan pada apa sahaja yang dilaluinya.

Banyak kisah-kisah Al-Quran yang boleh dijadikan contoh dan tauladan ini. Buat kita hari ini, kadangkala, seorang tua diutus anak kecil menegur mereka dengan tatacara yang penuh keanak-anakan, manja tetapi bermakna. Kadangkala pemuda menyampaikan pesan kepada si tua. Kadangkala si comel kucing menunjukkan kasih sayangnya pada si anak mengatasi kasih sayang ibu manusia kepada anaknya.

Ada juga manusia yang jiwanya begitu besar terhadap dunia yang dikejarnya, bekerja profesional, lalu Allah s.w.t datangkan seorang pengawal keselamatan sahaja untuk menunjukkan bahawa, dunia ini hanyalah tipu daya yang tidak akan membawa banyak keuntungannya. Maka, tatkala kita menerima teguran ini, berlapang dadalah. Peganglah keyakinan bahawa Allah membandingkan kita sebagai manusia, maka ambillah pengajarannya.