Tuesday, July 27, 2010

TIDAK MUDAH UNTUK MENJADI CONTOH


Generasi terdahulu telah lama merintis perjalanan hidup manusia, dari zaman ke zaman, abad ke abad, tahun ke tahun. Tidaklah timbul di dalam hati dan jiwa mereka, jika dipersembahkan apa sahaja yang dibentangkan oleh generasi mereka itu untuk dijadikan contoh atau rujukan sehingga hari ini. Bahkan setiap apa yang dilakukan oleh wira-wira generasi tersebut bukan untuk memenuhi permintaan ataupun kemasyhuran, tetapi hanyalah semata-mata kerana ia merupakan suatu keperluan bahkan pengorbanan yang disulamkan dengan keikhlasan.

Jika kita telusuri perjalanan generasi terdahulu ini pasti kita akan sedar betapa murninya niat mereka untuk memastikan generasi penyambung mereka mendapat kemudahan, keselesaan, keamanan serta diberikan apa sahaja yang mereka perlukan. Pemikiran generasi terdahulu ini adalah suatu dorongan hasil dari keperluan setempat yang mendesak dengan perang di sana-sini, pertumpahan darah dan pertelingkahan yang memerlukan pendamaian dan jalan penyelesaian. Berbeza dengan kita pada hari ini semuanya telah tersedia. Kemudahan dan kesenangan ini menyebabkan kita sudah mula hilang tumpuan serta mula berjinak-jinak dengan sikap, perangai serta peribadi kurang menyenangkan.

Maka, di manakah ketokohan ini? Di manakah lagi contoh-contoh baru pada hari ini? Kehilangan contoh akhirnya menjadikan generasi muda dan baru ini semakin mundur, lemah dan tidak ada lagi semangat juang di dalam kehidupan mereka. Mereka hanya bergantung kepada apa yang disediakan untuk mereka tetapi tidak berusaha untuk membangunkannya secara berdiri sendiri. Mengapakah contoh ini hilang? Adakah generasi kini tidak boleh dicontohi?

Menjadi contoh adalah sesuatu yang membanggakan, tetapi untuk menjadi contoh ia tidaklah semudah yang kita sangkakan. Ramai dikalangan generasi kini yang lebih banyak berkata-kata dari berbuat bersama. Dalam erti yang lebih mudah, untuk menjadi contoh bukan hanya dengan bercakap tetapi dengan perbuatan. Apabila dilihat sesuatu kebaikan, janganlah hanya disampaikan kepada orang lain tentang berita gembira itu sebaliknya, buatlah dan ajaklah orang lain berbuat sama. Ada juga dikalangan generasi hari ini apabila yang baik dibuat bersendirian agar mendapat nama dan kemasyhuran. Ini mesti dielakkan.

Tidak lupa juga kepada mereka yang sering menyalahkan orang lain dan menuding jari mereka. Generasi hari ini amat suka mencari kesalahan orang lain berbanding mengkoreksi diri sendiri. Pembinaan generasi dan diri secara individu akan gagal jika kita hanya mahu mengkritik tetapi tidak boleh dikritik. Usahlah kita gusar dengan teguran, kerana ia menyebabkan kita tidak lupa, tetapi sebaliknya jika kita sentiasa menerima pujian, kita akan lalai dan alpa dengan kemasyhuran dan kata-kata manis manusia.

Dahulukanlah diri kita dalam apa jua perkara kebaikan. Apa yang kerapkali berlaku, kita biarkan orang lain yang berbuat baik, kita hanya duduk dibelakang dan bertepuk tangan. Apa puncanya? Tidak mahu bersusah payah dan tidak mahu menyesakkan fikiran. Kita buat sahaja yang kita mampu dan jangan susahkan diri untuk orang lain. Bagaimanalah generasi hari ini akan dapat menjadi contoh jika pemikiran yang terbentuk adalah berdasarkan 3 sebab utama di atas?

Maka, untuk menjadi generasi yang terbaik, binalah diri kita dengan cara yang baik dan berkesan. Pesan Nabi Muhammad s.a.w, manusia yang terbaik adalah manusia yang banyak memberi manfaat kepada orang lain. Memanglah, tidak mudah untuk menjadi contoh kepada orang lain tetapi tiada salahnya untuk kita berusaha ke arahnya. Jadikanlah diri kita berkesan untuk keluarga, rakan-rakan dan persekitaran kita. Jadilah manusia yang berfungsi di atas dunia ini.

Sunday, July 25, 2010

NIKMAT ADALAH HAK MUTLAK ALLAH


Pembelajaran saya pada minggu ke 30 dalam tahun 2010 amat besar maknanya. Ramai kita menganggap apa yang kita ada itu adalah kita punya, tanpa kita merenung sejenak, bahawa setiap yang kita ada adalah pinjaman sementara sahaja. Bayangkan, ketika aku tamat berceramah di sebuah sekolah, saya telah diberikan bayaran dalam sampul oleh guru yang bertanggungjawab melaksanakan tugas tersebut. Alhamdulillah dalam hati, hari ini, saya diberikan rezeki dari Allah. Saya masukkan sampul tadi ke dalam poket.

Sedang leka bersembang dan makan di kantin, seorang kerani sekolah sampai ke kantin dan memanggil saya serta guru tadi bertemu dengan guru besar sekolah. Saya tidak berfikir panjang, terus bergerak dan berbesar hati untuk bertemunya. Sampai ke pejabat guru besar, dia berang dan marah kepada gurunya kerana tidak membawa saya berjumpa dengannya sebelum berceramah. Kemudian dia menyambung, cek akan diberikan kemudian sebab invoisnya baru dia terima.

Aku dengan penuh keyakinan memaklumkan kepada guru besar yang bayaran telah diterima. Bertambah berang dia dan bertanya kepada gurunya bagaimana dia ingin membuat tuntutan nanti? Dia meminta agar aku memulangkan semula sampul tadi. Sambil senyum dan ketawa (di dalam hati) saya pulangkan dan dengan senang hati saya kata tidak mengapa. Wah, sampul itu sudah berada dalam poket, masih bukan milik saya. Subahanallah, Maha Suci Allah, Engkau lah yang Maha Berkuasa menggerakkan hati manusia.

Perjalanan minggu itu juga berakhir dengan sejarah besar. Program Menuju Puncak Kecemerlangan yang dianjurkan dengan kehadiran seramai 10 orang peserta bersama 7 orang fasilitator UNISEL. Allahu Akbar, apa yang patut saya belajar kali ini? Allah uji saya lagi agaknya, dengan tenang saya harus hadapi tekanan ini dan demi Allah, saya perlu istqamah dalam melaksanakan tugas ini. Aku baru memulakan langkah berprogram atas nama ABIM di Kuala Selangor, dan Allah berikan jalan yang sebegini. Mudah-mudahan, ia adalah permulaan yang baik untuk saya.

Nikmat, perancangan, kehendak akhirnya akan terletak pada kuasa Allah juga, samalah dengan apa yang saya lalui minggu ini. Semoga minggu yang berikutnya akan menjadikan saya lebih matang dan istiqamah dalam menulusuri jalan dakwah ini, InsyaAllah.

Friday, July 23, 2010

MENUJU PUNCAK KECEMERLANGAN


Percaya atau tidak, kegembiraan manusia amat bergantung dan berkait rapat dengan kecemerlangan yang mereka kecapi. Setiap kejayaan yang dicapai adakah akan membuahkan kegembiraan juga? Bagaimana pula kalau berjaya tetapi tidak cemerlang? Mari kita bayangkan, seorang pelajar A yang berusaha keras untuk mendapat keputusan 9A di dalam peperiksaan PMR manakala seorang lagi pelajar B berusaha keras untuk mendapat keputusan lulus sahaja dalam kertas Matematiknya. Apabila keluar sahaja keputusan PMR, pelajar A hanya mendapat 8A 1B dan B itu adalah Matematik, manakala pelajar B mendapat keputusan Matematiknya B. Antara pelajar A dan pelajar B yang mana berjaya dan yang mana cemerlang?

Bagi pelajar A, baginya tiada istilah kecemerlangan walaupun berjaya mendapat 8A 1B jauh lebih baik dari pelajar B. Manakala bagi pelajar B, itu adalah pencapai Matematiknya paling cemerlang sedangkan dia tidak pernah lulus kertas Matematik. Berbeza bukan? Maka, jelas pada pandangan kita terdapat sedikit perbezaan dari sudut kata berjaya dan cemerlang itu sendiri. Berjaya bermaksud, dapat mencapai sesuatu, manakala cemerlang membawa maksud yang terbaik dalam mencapai sesuatu. Ramai manusia hari ini secara umumnya mengejar kejayaan bukan kecemerlangan. Apabila kita meletakkan kejayaan sebagai kata penamat, maka apa yang kita lakukan pasti ada tanda aras untuk menentukannya.

KEJAYAAN lawan KECEMERLANGAN

Bagi mereka yang memilih kecemerlangan sebagai kata-kata akhirnya, maka ia tiada sukatan atau sebarang tanda aras. Ini kerana, kecemerlangan sentiasa diperbaiki dan dipertingkatkan. Ia tidak akan berada di satu aras yang tidak berubah. Namun keduanya adalah dituntut oleh agama Islam. Firman Allah di dalam Al-Quran surah Al-Baqarah ayat 201 yang bermaksud;

“Di antara mereka ada yang mengucapkan doa: Wahai Tuhan kami, berikanlah kami kebaikan di dunia ini dan kebaikan pula diakhirat dan hindarkanlah kami dari siksaan neraka”.

Seruan ‘hayya ‘alal falah’ di dalam seruan azan itu sendiri membuktikan ayat Allah ini bahawa, mencari kejayaan itu adalah suatu tuntutan yang disyariatkan buat Muslim. Ia selari dengan pesanan Rasulullah s.a.w. bawasanya, bekerjalah kamu seolah-olah kamu akan hidup selamanya dan beribadahlah (sembahlah Allah) kamu seolah-olah kamu akan mati esok hari. Maka kejayaan di dalam urusan dunia dan akhirat adalah keutamaan bagi setiap manusia. Firman Allah lagi di dalam surah Asy Shura ayat 20 yang bermaksud:

“Barangsiapa yang ingin memperoleh keuntungan akhirat, akan Kami berikan tambahan pada keuntungannya. Dan barangsiapa yang ingin kepada keuntungan dunia, akan Kami berikan itu kepadanya, tetapi dia tiada memperoleh bahagian lagi di akhirat.”

Ini bermakna, Allah janjikan kejayaan yang dicari di dunia dan akhirat akan memperoleh ganjarannya, tetapi antara keduanya, keutamaan diberikan kepada usaha akhirat yang mana inilah kecemerlangan sebenar buat umat Islam di dunia.

DEFINISI KECEMERLANGAN DALAM ISLAM

Firman Allah s.w.t di dalam surah Ali-Imran ayat 110 yang bermaksud;

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, mengajak kepada yang ma’aruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah s.w.t.”

Allah menggariskan 3 ciri utama sebagai melahirkan umat terbaik yang cemerlang dikalangan manusia iaitu; (1) mengajak kepada yang ma’aruf, (2) mencegah dari yang mungkar dan (3) beriman kepada Allah s.w.t. Allah menggambarkan kepada manusia bahawasanya, kecemerlangan dan kejayaan ini bukanlah semata-mata tertumpu kepada peribadi kita sahaja, tetapi ia amat berkait rapat dengan apa yang ada dipersekitaran kita.

Cuba kita bayangkan, sekiranya, tiada dikalangan kita (manusia) ini yang menyuruh berbuat amalan kebaikan. Tiada orang yang mengingatkan untuk membawar zakat, tiada orang yang menggalakkan sedekah, tiada orang yang mengajak pergi ke masjid, tiada orang yang mengingatkan tentang keperluan bersilaturrahim. Secara kasarnya dapat kita bayangkan bagaimana kepincangan dan tidak ada kejayaan yang akan dicapai melaluinya.

Walaupun kehidupan mereka baik belaka, tetapi kesudahannya, manusia akan mula hidup dengan mementingkan diri sendiri dan kejayaan dikecapi dengan menindas atau menolak orang lain dari laluannya. Ini jelas dapat kita lihat sebagaimana suasana hari ini, apabila masing-masing berfikir bahawa kebaikan dirinya hanya untuk dirinya sahaja, hidup untuk sendiri bukan untuk orang lain.

Begitu juga jika berlaku sebaliknya, jika manusia tidak langsung mencegah sebarang kerosakan berlaku, apabila orang mencuri tiada penguasa yang menahan mereka, orang dirogol, diragut dan menyalahgunakan kuasa, tiada siapa yang berusaha untuk memberhentikannya, ia pastinya tidak akan berhenti dengan sendirinya bahkan, akan bertambah kekusutannya.

Apatah lagi apabila manusia tidak beriman kepada Allah, pokok pangkal segala kejadian adalah dari Allah yang Maha Pencipta. Jika tidak timbul kepercayaan dan kebergantungan kepada-NYA maka, segala urusan tidak bertunjang lagi kepada Yang Maha Esa tetapi, manusia itu sudah bertuhankan diri mereka sendiri.

TUNTUTAN MEMBUAT PERUBAHAN

Oleh yang demikian, jelas kita bahawa untuk menjadi yang cemerlang memerlukan komitmen yang tinggi dan jitu dalam merealisasikannya. Apa kata, kita bersama mulakan dengan diri kita sendiri dahulu. Firman Allah s.w.t dalam surah Ar-Ra’d ayat 11 yang bermaksud;

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri”.

Maka, untuk mencapai kecemerlangan yang sebenar, perubahan harus kita lakukan sekarang. Bermula dengan siapa? DIRI KITA.

BERUBAH KE ARAH MENGAJAK KEPADA YANG MA’ARUF

Perubahan pertama yang perlu kita lakukan adalah mengajak diri kita untuk melakukan perkara yang ma’aruf. Untuk menuju puncak kecemerlangan, seorang Muslim yang Mukmin tadi seharusnya berusaha untuk sentiasa dirinya menjadi terbaik. Bahkan yang terbaik adalah yang paling hampir dan paling dikasihi oleh Allah s.w.t sebagaimana Baginda Rasulullah s.a.w sendiri.

Maka, untuk sentiasa menjadikan diri lebih ma’aruf atau lebih baik, seorang yang cemerlang seharusnya sentiasa berusaha untuk menghidupkan amalan kebaikan di dalam dirinya. Antara perubahan yang baik yang perlu dijadikan keutamaan dalam usaha kita untuk mencapai kecemerlangan adalah;

1. Sentiasa merendah diri
2. Sentiasa bermurah hati
3. Selalu mendirikan solat malam
4. Bertauhid
5. Sentiasa bertaubat
6. Menyelami ayat-ayat Allah

BERUBAH KE ARAH MENCEGAH DARI YANG MUNGKAR

Perubahan kedua yang menjadi sasaran orang yang cemerlang adalah untuk mengelakkan diri dari melakukan perbuatan yang buruk atau keji. Apabila kita berusaha untuk meningkatkan iman kita, apa sahaja peluang untuk menambahkan dosa ini perlu dijauhkan dan dijadikan sempadan di dalam kehidupan harian kita. Syaitan sentiasa menghasut manusia dengan pelbagai cara atas keutamaan untuk menyesatkan keturunan Adam di muka bumi Allah ini. Oleh yang demikian, terdapat beberapa keutamaan dalam perkara mungkar yang perlu di atas sebagai usaha untuk memperbaiki diri kita iaitu;

1. Sentiasa takutkan neraka Allah
2. Tidak membazir (bersederhana)
3. Menjauhi perbuatan membunuh (Hormati kehidupan)
4. Menjauhi Zina
5. Tidak bersumpah palsu
6. Meninggalkan perbuatan yang tidak bermanfaat

BERUBAH KE ARAH MENINGKATKAN KEIMANAN KEPADA ALLAH

Telah disebutkan dengan jelas di dalam surah Al-Mukminun ayat 1 hingga 11 tentang ciri-ciri seorang Mukmin yang berjaya. Ini bermakna, dengan mempertingkatkan darjat kita di sisi Allah s.w.t, kemudahan dan keberkatan akan mengiringi setiap usaha dalam melakukan urusan dunia dan bantuan Allah adalah amat luas tanpa had terhad fikiran manusia. Pra-syarat untuk menjadi seorang Mukmin yang berjaya adalah;

1. Khusyuk di dalam solatnya;
2. Menjauhkan diri dari perbuatan atau perkataan yang sia-sia;
3. Menunaikan zakat;
4. Menjaga kemaluannya;
5. Menjaga amanah yang dipikulnya serta;
6. Memelihara solatnya.

RENUNGI DAN INSAFILAH

Nah, dimanakah kedudukan kita sekarang? Adakah kita berupaya untuk menjadi orang yang cemerlang? Apakah kecemerlangan ini hanya perkara-perkara yang berbentuk kebendaan atau lebih besar dan lebih utama dari itu? Jawapannya adalah pada diri anda. Kenangilah dan muhasabahlah diri kita sejauhmana kita berusaha membina kecemerlangan hidup kita. Semoga artikel ini dapat memberikan gambaran bagaimana untuk diri kita menuju ke arah kecemerlangan dalam segala segi dan bentuk.

Shah Alam
20 Julai 2010M / 8 Syaaban 1431H
untuk
Program Menuju Puncak Kecemerlangan (PMPK 2010)

Sunday, July 11, 2010

KOMUNIKASI BERKESAN; 'TA'ARUF'

Menjadi ahli pembimbing rakan sebaya, memerlukan pelbagai kemahiran dan keupayaan untuk melakukan tugasan yang pelbagai sesuai dengan keperluan pada sesuatu masa. Kemahiran-kemahiran itu wajib dipertingkatkan dari masa ke semasa sesuai dengan perkembangan umur, pengalaman serta latihan yang diterima.

Bagaimana untuk kita menjadi pembimbing rakan sebaya yang berkesan? Ia amat mudah dapat dipelajari. Namun perlaksanaan dan pengamalannya perlu dihayati dan dilakukan segera. Mari kita mulakan dengan mengenali dan memahami sifat, sikap atau tabiat seseorang. Bagi seorang fasilitator Muslim, ini adalah pendekatan pertama yang disebut sebagai tahap ‘share’ atau perkongsian. Pada tahap ini, seorang fasilitator atau pembimbing rakan sebaya sedang berusaha untuk membina ‘repo’ atau reputasi bersama peserta atau sasaran mereka. Oleh itu alangkah moleknya jika setiap pertemuan atau perjumpaan atau sesi, seorang pembimbing rakan sebaya atau fasilitator memulakan dengan tatacara ‘ta’aruf’ atau berkenalan.

AKTIVITI 1

  1. Sila dapatkan pasangan atau rakan anda secara berdua-duaan.
  2. Adakan sesi suaikenal. Anggaplah teman di hadapan anda itu sebagai orang yang tidak anda kenali.
  3. Anda diberi masa 2 minit setiap seorang untuk menjalankan temubual dan mendapatkan maklumat yang mendalam daripada aktiviti ini.

Apa yang berlaku adalah, kita menjadi kaku dan tidak pasti apa yang perlu ditanyakan kepada rakan kita tadi. Ini adalah disebabkan oleh dinding yang telah kita wujudkan semenjak awal permulaan aktiviti itu. Dinding itu tidak nampak jelas atas perhubungan kita tetapi ia terbentuk dalam minda kita. Punca utama kejadian ini adalah disebabkan oleh wujudnya persepsi dan ketakutan yang tidak pasti.

AKTIVITI 2

  1. Edarkan sehelai kertas kepada setiap peserta.
  2. Minta mereka tuliskan nama mereka.
  3. Edarkan kertas mereka kepada rakan disebelah kanan.

Kita lebih mudah untuk menuliskan emosi atau perasaan atau pemikiran kita berkenaan orang lain berbanding bertanya atau berinteraksi secara terus dengan mereka. Mengapa? Inilah persepsi iaitu agakan atau tekaan kita tentang mereka. Di dalam proses ‘ta’aruf’ atau berkenalan, terdapat 5 objektif yang perlu dicapai bagi memastikan komunikasi dan interaksi kita dapat dilakukan dengan baik iaitu;

  1. Membina kepercayaan bersama mereka;
  2. Menggalakkan keterbukaan dalam perbincangan;
  3. Menjadikan hal-hal yang dibincangkan sebagai satu amanah kerahsiaan;
  4. Mewujudkan suasana kerjasama dalam kumpulan serta;
  5. Mengawal perselisihan faham dengan adab-adab perselisihan (adabul ikhtilaf).

Penerapan 5 objektif ini mesti selari dengan proses berkenalan tadi. Tidak kemal, maka tidak akan hadrilah cinta. Oleh yang demikian, pengenalan bukan sekadar diperingkat tahu namanya, tetapi perlu datang perasaan mahu untuk lebih mengenali mereka.

SUJUD SYUKUR MOHON KEREDHAAN ILAHI

Saya bersyukur kerana berjaya mengekalkan kecergasan tubuh untuk terus berkhidmat memberikan pengetahuan dan mengingatkan anak-anak muda dengan perkara yang harus mereka lakukan sepanjang kehidupan mereka. Perjalanan pada awal pagi ke SK Ampang Pecah memberikan aku pengajaran penuh makna. Mengejar waktu yang semakin singkat untuk memulakan kursus seawal jam 8.00 pagi terus mendatangkan kerisauan buat saya, takut-takut tidak sempat untuk tiba di sana.

Kereta saya bergerak pantas, begitulah juga dengan nyawa dan kehidupan ini. Masa dapat kita rasakan semakin pantas dan semakin menyesakkan kehidupan insan. Sedar atau tidak, masa semakin suntuk untuk kita, hidup semakin pendek dan semakin memerlukan pengorbanan yang besar. Tamat program, saya hantar pulang fasilitator saya. Patut atau tak, saya rasa berbaloi hantar anak dara orang sampai ke Putrajaya sebab kakaknya akan ambil di sana. Kerisauan saya adalah kepada keselamatannya. Moga kerja dan niat baik itu Allah balas dengan keredhaan-NYA.

Dapat saya rasa, minggu ini agak sibuk dengan pelbagai peranan dan kerja. Khamis Allah lapangkan masa saya untuk buat persiapan sebab hari Jumaat pagi, saya punya ceramah Aku Teruna Terhebat di SMK SSAAS Seksyen 2 Shah Alam. Malam Khamis tu, saya ada sesi bengkel dengan PRS di SMS Kuala Selangor. Sabtu pula, ceramah Menjadi Khalifah DI Muka Bumi Allah di SAM Tanjong Karang. Saya dah tekad, nak infakkan masa untuk bersama remaja dan belia disekitar Kuala Selangor. Sebaik mungkin dan sekuat mungkin.

Inilah masa untuk saya usahakan mendapat keredhaan dari Allah. Tambahan pula pada hari Sabtu malam, saya bersama isteri tercinta pergi ke konsert Mahabbah Gaza. Meleleh air mata saya bila melihat persembahan, tayangan gambar dan nyanyian, khususnya dari kumpulan abang saya, NowSeeHeart. Azahari menangis sampai tak dapat nak nyanyi habis lagu Damai Yang Hilang! Tapi saya yakin, lagu itu dapat dirasai oleh semua yang hadir... bahkan mereka bertepuk tangan tanda memberikan semangat kepada Azahari untuk teruskan nyanyian...

Semangat saya makin membara untuk meneruskan tugas ini. Allah dah lorongkan, tunjukkan jalan, berikan semangat dan berikan galakan, bukan baru sekarang, tetapi dari dulu lagi, cuma saya je, nak mulakan atau nak nanti lagi. Saya rasa dah sampai masa. Biarlah saya mulakan kecil-kecilan. InsyaAllah, niat saya hanya untuk mendapat keredhaan-Mu Ya Allah. Redhailah aku.


Kuala Selangor
11 Julai 2010

Tuesday, July 6, 2010

MASIH BERGERAK

6 Julai 2010. IQ Class Management masih bergerak lagi walaupun sekarang ni agak 'slow' dan kurang fokus dalam program-program tidak seperti awal tahun 2010. Namun, aspirasi kami bertiga di IQ Class Management belum berubah dan masih ingin terus menyumbang bakti dalam bidang latihan dan kali ini, ia datang dengan 1000 harapan daripada masyarakat dan petugas dakwah yang lain.

Kami perlu terus kekal bergerak dan iringan dan semangat yang tidak padam dalam memberikan kesedaran dan keinsafan buat peserta yang menyertai. Hari saya bersama 'team' yang dikasihi berada di SK Assam Jawa bersama pelajar dari kalangan anak-anak asnaf zakat. Dari tahun 1 hingga tahun 6. Penat juga melayan. Mujur dibantu oleh adik-adik fasilitator Pika, Ad dan Dyll. Tamat pukul 1, saya pulang ke rumah dan buat beberap persiapan pula untuk sedikit diskusi ilmiah bersama ibu-ibu di Bukit Kuching Kuala Selangor.

Cerita pasal Israk dan Mikraj. Itulah yang dapat saya catatkan di http://abimdks.blogspot.com tentang Israk Mikraj. Itu jugalah yang saya cerita. Moga-moga mereka menghayati kisah itu yang saya garap dalam tiga dimensi iaitu ia sebagai hadiah kepada Nabi, sebagai membuktikan kekuasaan Allah s.w.t dan sebagai isyarat dan amaran kepada kita sebagai ummat manusia.

6 Julai saya berlalu dengan pantas disamping keperluan yang hadir pada masa akan datang. Pada hari ini juga saya mendapat jemputan dari MITI untuk ceramah selama 2 jam juga rezeki saya untuk sekali lagi bersama pelajar di SK Methodist Klang... Moga-moga perjalanan dakwah aku ini dihiasi dengan keikhlasan dan kesungguhan dalam penyampaianku...

Sekarang, saya tengah sibuk mencari bahan, susun dan rancangkan apa pulak yang saya nak ceramah di SMK SAAS Seksyen 2 Shah Alam Khamis ni. Moga ia memberikan kesan sebab kali pertama saya akan berceramah atas tajuk Aku Teruna Terhebat. Jika ia berkesan atau memberikan manfaat untuk yang mendengar, nak juga saya syorkan kepada mereka yang berminat untuk mendengar ceramah saya tu di tempat lain pulak. Insya-Allah.

Bersama-samalah kita TUNE diri kita. Sekian.

6 Julai 2010
Kuala Selangor

Sunday, July 4, 2010

TETAPKAN HATI UNTUK BERJALAN

Alhamdulillah... keberkatan turun pada pagi yang indah ini. Hujan semenjak subuh menjadikan cuaca pagi ini cukup aman dan senang jiwa di Kuala Selangor. Sebagaimana kebiasaannya, saya menjalankan tanggungjawab menghantar anak buah ku ke sekolah. Ketika perjalanan, saya pesan padanya, "Hari ni, pak ngah amik Afwa balik sekolah, petang pun pak ngah hantar ngan ambik Afwa ye..." Pesanan ringkas ini tidak lain bertujuan untuk merencanakan perjalanan hidupnya agar bermakna setiap hari.

Sebaik mungkin, saya berusaha untuk memperlihatkan contoh dan teladan yang baik untuknya serta untuk isteri saya. Begitu juga untuk mereka yang melihat saya. Alangkah sukarnya untuk menjadi orang yang boleh dicontohi sebagaimana Rasulullah dan para sahabatnya. Amanah Allah terhadap agama ini cukup menguji diri untuk terus kekal menjadi hambanya yang dikasihi.

Apabila saya bergerak untuk mengambil anak buah ku... si anak ini menangis bila naik kereta. Maka saya bertanya, "Kenapa Afwa menangis?". "Cikgu denda balik lambat" jawabnya sedih. Saya tersenyum dan bermacam perkara yang saya fikirkan di dalam perjalanan pulang. Inilah konflik yang harus didepani oleh anak-anak seusia ini. Cabaran itu padanya besar kerana tidak memahami. Bagi kita yang dewasa, biasalah, anak, nakal, begitu sinonim.

Namun, saya rasakan, ramai ibu bapa pula yang buat-buat tidak faham akan keadaan ini. Mereka pula yang pergi jumpa cikgu, kalau setakat bertanya tu tak apa lah, tapi, kadang-kadang menyerang cikgu tanpa usul periksa. Balik dari sekolah petang pula, anak buah saya menangis lagi... kali ini, lagi kuat esakkannya. "Kenapa?" tanya saya. "Kawan tak nak kawan Afwa" sambil menangis, meleleh airmatanya... Saya tak boleh tengok budak-budak ni menangis macam tu... jadi sedih jugak...

Balik ke rumah, dia terus murung dan bercerita dengan neneknya. Saya terus mencari jawapan yang sesuai untuknya. Pesan saya padanya; "Kalau Afwa buat salah, Afwa kena mintak maaf, tapi kalau Afwa tak salah, Afwa tak perlu risau, sebab Allah akan hantar lebih ramai kawan yang lebih baik untuk Afwa" Betul ke tidak pesan saya itu, saya sendiri tidak pasti... tetapi itu yang terbaik saya dapat fikirkan. Tetapi kemurungannya masih sama, cuma sedikit rasa lega mungkin dalam hatinya.

Rumit juga dalam membesarkan anak-anak sebegini, bijak, bertenaga, kreatif dan sentiasa ingin tahu. Inilah jalan yang perlu saya lalui dan terus jalani buat masa ini. Tiada pilihan bahkan bebanan dan amanah. Anak ini adalah amanah Allah, dan saya ni pula ditambah dengan amanah ibu dan ayahnya... Saya harus tentukan yang terbaik untuknya. Bak kata ustaz Halim, "Kita kena plan kehidupan dan masa depan anak-anak kita..." Saya ingat pesan itu dan saya berusaha ke arahnya. Semoga diberkati Allah dan ditetapkan hati untuk terus berjalan.

Thursday, July 1, 2010

KENALILAH DIRIMU WAHAI PEMUDA

Bagaimana agaknya dapat kita mengenali diri kita? Berabad dahulu, Aristotle dan Socrates telah mencanangkan tema ini untuk diperbincangkan tanpa ada sebarang hujah atau panduan yang tepat dan berkesan. Sehinggakan akhirnya, beliau sendiri mati kerana meminum racun. Siapa kita agaknya? Descartes ada menyebut bahawa, "Aku berfikir sebab itulah aku ada". Nah, mana mungkin kita hanya boleh menjalani kehidupan dengan hanya kuasa fikir sahaja. Ia amat tergantung dan tidak memberikan apa-apa makna. Boleh jadi, ramailah manusia yang tidak hidup atau wujud di dunia ini kerana semakin ramai manusia yang tidak boleh berfikir.

Inilah kehidupan manusia hari ini. Kehidupan yang ditonton oleh nafsu dan akal semata-mata. Menjadikan diri mereka sesat dan jiwa mereka sakit berhadapan dengan pelbagai isu kehidupan. Ahli falsafah Jerman, Nietzsche ada melafazkan, "Beriman hatiku kepada Tuhan, kufur otakku terhadapnya". Inilah suasana yang dihadapi manusia pada hari ini. Mereka terus mencari kebenaran tetapi tidak pada tempatnya. Mereka mahukan kesejahteraan, tetapi pengorbanan yang dibuat tidak menjanjikan apa yang dimahukan mereka.

Apatah lagi di zaman serba canggih dan moden ini, era teknologi dan globalisasi ini, pemikiran-pemikiran golongan materialis telah mula menular dan melahirkan golongan-golongan Hegel, Darwin dan Karl Marx yang baru. Lebih maju dan pemikiran yang lebih jauh kehadapan. Apa yang utama buat mereka dalam kehidupan adalah kekayaan dan kebendaan semata-mata. Pada mereka, manusia ini tidak ubah seperti binatang juga, yang ditugaskan untuk mencari apa yang dirasakan perlu untuk mereka. Bukankah itu amat memalukan? Sebagai manusia yang dianugerahkan akal dan diangkat darjat mereka disamakan dengan haiwan?

Sedar atau tidak, pemikiran ini kembali bangkit dan semakin menguasai dunia. Pemuda hari ini telah dijauhkan jiwa dan pemikiran mereka dari fikir agama. Mereka lebih mementingkan diri sendiri serta keseronokan mereka berbanding semangat bakti dan keupayaan memimpin diri ke arah kejayaan yang hakiki. Bagaimana ini berlaku? Sejak berabad lamanya, usaha-usaha memusnahkan generasi muda telah dibentuk dan dijalankan sehingga merosakkan pegangan, fahaman dan budaya kehidupan mereka. Akhirnya kita dapat lihat, keruntuhan moral dan apa sahaja gejala yang berlaku hari ini, berpunca dari lemahnya pegangan hidup dalam beragama mereka.

Inilah persoalan yang perlu dirungkai oleh pemuda kita hari ini. Siapa kita sebenarnya? Dari mana kita datang? Mengapa aku datang? Dan ke mana kita akan pergi selepas ini? Usah angkuh dan sombong kepada Allah s.w.t kerana kita datang dari-NYA dan kita pasti akan kembali kepada-NYA.

Firman Allah s.w.t. di dalam sural Al-Mukminuun ayat 12 hingga 14 yang bermaksud:

"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan "pati" itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh. Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. Lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; Kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang. Kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu, Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta."

Hal demikian menunjukan bahawa, hanya Allah yang berhak menjelaskan tentang hal kejadian manusia itu. Ini kerana DIAlah yang menciptakan manusia dan DIAlah yang Maha Berkuasa. Suasana kelahiran manusia ke muka bumi ini telah Allah jelaskan dengan firman-Nya yang bermaksud:

"Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun; dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran); supaya kamu bersyukur." (An-Nahl 16: 78)

Tentang pertanyaan manusia hendak ke mana Allah jelaskan dengan firman-Nya yang bermaksud:

"(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." (Al-Baqarah 2: 156)

"Katakanlah: "(Sesudah aku mentauhidkan Allah dan berserah diri kepada-Nya) Patutkah aku mencari Tuhan selain Allah, padahal Dia-lah Tuhan bagi tiap-tiap sesuatu? Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja); kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kamu kembali, lalu ia menerangkan kepada kamu akan apa yang kamu berselisihan padanya." (Al-An'am 6: 164)

Persiapan sebagai pemuda Islam harus ditunjangi dengan mengenali diri sendiri. Tahu dari mana kita datang, mengapa kita di sini dan ke mana halatuju kehidupan selepas ini. Tujuan kehidupan ini telah dijelaskan di dalam surah al-Dzariyat ayat 56. Penjelasan tentang tugasan sebagai hamba kepada Allah s.w.t. Menjadi hamba yang terbaik disisi Allah merupakan keutamaan dalam perjuangan kehidupan ini. Oleh yang demikian, para pemuda harus diperbaiki pegangan agama mereka dengan kembali mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. dengan memperkukuhkan amal islami mereka dari sudut rukun Islam mereka, diperkuatkan keyakinan dari sudut iman mereka serta ditambahkan ilmu-ilmu yang berkaitan. Rentetan itu, mereka perlu diperkenalkan dengan kerja-kerja kebaktian, roh jihad serta berdakwah kepada masyarakat yang akhirnya akan melahirkan tokoh kepimpinan yang mampan dan diyakini keupayaan mereka.

Marilah kita sama-sama berdoa, memohon ampun kepada Allah s.w.t. atas setiap kesilapan yang kita lakukan dan semoga usaha ini mendapat keberkatan dari Allah s.w.t.