Monday, February 22, 2010

SYUKUR - Bahagian 2 (Muhammad Insan Bersyukur)

Oleh:
Kamarul Azami bin Mohd Zaini



Kesyukuran yang ditunjukkan oleh Pak Tua dalam artikel yang lalu amat jelas sekali. Itulah petandanya kesyukuran yang tidak pernah kenal masa dan tempatnya. Ia adalah hasil kepercayaan jitu Pak Tua kepada Penciptanya. Dialah yang Maha Pemberi. Pernahkah kita bertanya diri kita bagaimana kita bersyukur, rasa bersyukur dan untuk apakah kita bersyukur?

Menurut M. Quraish Shihab dalam ensiklopedia PSQ, syukur mencakup tiga sisi. Pertama, syukur dengan hati, yakni kepuasaan batin atas anugerah. Kedua, syukur dengan lidah, yakni dengan mengakui anugerah dan memuji pemberinya. Ketiga, syukur dengan perbuatan, yakni dengan memanfaatkan anugerah yang diperoleh sesuai dengan tujuan penganugerahannya.

Diriwayatkan oleh Yahya bin Ya'la dari Abu Khabab, dari Atha' yang berkata, "Aku bersama Ubaid bin Umair mengunjungi Aisyah r.a. dan berkata kepadanya, 'Ceritakanlah kepada kami sesuatu yang paling mengagumkan yang engkau lihat pada Rasulullah. saw.!' Lalu, beliau (Sayidatina Aisyah) menangis.

Kemudian ditanya kembali oleh Sayidatina Aisyah, 'Adakah yang beliau lakukan, yang tidak mengagumkan? Suatu malam, beliau datang kepadaku, dan kami tidur di tempat tidur hingga tubuh beliau bersentuhan dengan tubuhku. Setelah beberapa saat, beliau berkata, 'Wahai putri Abu Bakar, izinkanlah aku bangun untuk beribadat kepada Tuhanku!' Aku menjawab, "Saya senang berdekatan dengan mu,' tapi aku mengizinkannya. Kemudian beliau bangun, pergi ke tempat simpanan air dan berwudhu' dengan mencucurkan banyak air, lalu solat. Beliau mulai menangis hingga air matanya membasahi dadanya, kemudian beliau ruku' dan terus menangis, lalu sujud dan terus menangis, lalu mengangkat kepala dan terus menangis. Terus menerus beliau dalam keadaan demikian sampai Bilal datang dan memanggil beliau untuk solat Subuh. Aku bertanya kepada beliau, 'Apakah yang menyebabkan engkau menangis wahai Rasulullah, sedangkan Allah telah mengampuni dosa dosa mu, baik yang dahulu maupun yang akan datang?' Beliau menjawab, 'Tidakkah aku menjadi seorang hamba yang bersyukur? Bagaimana aku tidak akan menangis sedangkan Allah telah menurunkan ayat ini kepadaku:

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya siang dan malam, bahtera yang berlayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang diturunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah matinya dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis hewan dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi, sungguh terdapat tanda-tanda bagi kaum yang mau menggunakan akal.”

Al Baqarah:164

Wednesday, February 17, 2010

SYUKUR - Bahagian 1 (Kisah Pak Tua)

Oleh:
Kamarul Azami bin Mohd Zaini (KAMZ)



Apabila disebutkan ‘syukur’, ‘bersyukurlah’, pasti akan terbit dari lidah seseorang manusia yang mengakui Islam itu ucapan ‘Alhamdulillah’. Sejauhmanakah perkataan itu menjadi amalan kehidupan seorang Muslim? Adakah setiap hari, setiap masa atau setiap saat?

Pernah suatu ketika berbicara seorang pemuda dengan seorang Pak Tua yang kuat makannya, tinggi percakapannya serta tepat segala janjinya. Pada awal pertemuan si pemuda dengan Pak Tua, kerapkali dia melihat Pak Tua ini sangat kuat makan. Setiap yang dihidangkan pasti dihabiskan. Tuturnya pula ibarat menyatakan bahawa dia tahu lebih banyak perkara dan dia melebihi pengalamannya dari orang lain. Namun, disedari si pemuda bahawa pada setiap tutur kata Pak Tua ini akan dimulai dengan ucapan ‘Alhamdulillah’. Tidak pernah terlupa Pak Tua akan perkataan itu. Selepas bersama pemuda itu beberapa ketika dengan Pak Tua, maka timbullah tanda tanya pemuda itu kepada Pak Tua.

“Wahai Pak Tua, kenapa begitu mudah lidah Pak Tua menyebut ‘Alhamdulillah’? Belum pun Pak Tua menjamah apa-apa makanan pun, pak tua dah sebut ‘Alhamdulillah’, belum pun Pak Tua menaiki kenderaan atau sampai ke mana-mana Pak Tua sebut ‘Alhamdulillah’, kenapa?” tanya pemuda itu keliru.

“Wahai anak muda, pernahkah kamu bersyukur apabila perutmu merasai kelaparan?” tanya Pak Tua itu spontan.

“Bagaimana perasaan mu wahai anak muda, jika dijamu makanan yang amat sedap tetapi dalam keadaanmu yang kekenyangan? Adakah kamu akan menjamah makanan itu? Sesungguhnya, ‘Alhamdulillah’ku adalah kerana bersyukur kerana dikurniakan rasa lapar dan dapat berjalan juga merasai menaiki kenderaan dengan kakiku.” Jawab Pak Tua itu ringkas.

Benarlah kata-kata Allah di dalam Al-Quran dari surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud;

“Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya aku tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.”

Friday, February 12, 2010

MENJADI ORANG TERKAYA


Ramai sekali dikalangan kita manusia yang hidup, bercita-cita dan mempunyai angan-angan untuk menjadi orang kaya. Apabila kita sebutkan sahaja soal kekayaan, apa yang terlintas dibayangan fikiran kita adalah berkereta mewah, rumah yang besar, kehidupan yang nampak selesa, pakaian yang mahal-mahal, pejabat yang hebat dan segala perkara yang pada hemat kita sebagai manusia kerdil itu hebat.

Oleh sebab itu, timbul pelbagai perasaan dalam kelompok manusia yang mula berasa irihati, tidak senang, meluat dan sebagainya apabila melihat kemudahan, kemewahan dan kesenangan orang lain. Yang mana segala perasaan itu sebenarnya bermula dari nafsu yang tidak pernah padam padanya hasad dengki.

"Himpunlah rasa putus asa terhadap apa-apa yang ada di tangan manusia" (HR Ibnu Majah)

Menurut pendapat Ibnu Mas'ud, manusia ini akan membinasakan dirinya atas 2 perkara iaitu putus asa dan bangga diri. Namun, dalam konteks perbincangan ini, untuk menjadi orang terkaya, putus asa itu perlu dan amat penting untuk digunakan bagi membuang atau menjauhkan keinginan untuk berhasad dengki, irihati atau tidak senang kepada orang lain yang mungkin lebih dari kemampuan diri kita yang sebenar.

Tidak akan wujud kesenangan, kesejahteraan ataupun kemuliaan melainkan dengan izin dan perkenan dari Allah s.w.t. Jika kita mengharapkan apa-apa yang serupa atau lebih baik dari apa yang kejiranan kita atau rakan kita perolehi, nescaya Allah adalah Tuhan yang mengetahui setiap yang terbaik buat hambanya.

Ini jelas membuktikan bahawa kita sebagai manusia tidak pernah bersyukur dengan apa yang ada ditangan kita, bahkan sibuk meminta-minta apa yang tidak sepatutnya menjadi milik kita. Akhirnya, kehidupan kita mula hilang dan terputus keterkaitannya dengan Allah s.w.t. Kehidupan menjadi terumbang-ambing dan hilang arah tuju sebenarnya.

Apa erti sebenar kekayaan adalah dengan meletakkan keyakinan setinggi-tingginya hanya kepada Allah s.w.t. Optimis dengan apa yang Allah berikan buat kita.

"Redhalah dengan apa yang dibahagikan Allah s.w.t untukmu, nescaya engkau menjadi orang yang paling kaya" (HR Tirmidzi)

Redhalah dengan apa yang kita punyai nescaya kitalah manusia terkaya di sisi Allah s.w.t. Keredhaan akan menjadikan diri kita lebih dekat dengan Allah berbanding mereka yang tidak punya sifat redha, sentiasa tamak yang akhirnya menindas dan melakukan banyak kedurjanaan di atas muka bumi ini.

Inilah sebenarnya erti kekayaan dimana, dimata manusia mungkin kita adalah seorang yang miskin atau fakir, tetapi disisi Allah s.w.t kitalah orang terkaya berada di dalam syurga kampung halaman kita bersama.

Sunday, February 7, 2010

3 MINDA ORANG YANG BERJAYA


Orang berjaya ada sikap berlainan, perangai berlainan.

Orang berjaya senang dikenalpasti kerana kelainan yang ditonjokan oleh mereka kerana mereka ada 3 sikap yang dibentuk oleh 3 minda berikut:


  • Sanggup bersusah payah untuk mencapai kejayaan diidamkannya.
Orang berjaya sanggup mendepani kesusahan dan perkara-perkara yang menyusahkan. Mereka tidak pernah merungut atau mengomplen sebab mereka tahu tak ada jalan mudah untuk berjaya. Mereka sanggup bersusah payah kerana mereka sedar, kesusahan tu hanya sementara.

  • Sanggup bekerja lebih lama dari orang lain di sekeliling.
Orang berjaya bekerja dalam masa yang lebih lama dari orang lain, biasanya mereka bekerja lebih dari 12 jam sehari, bahkan tak mustahil mencapai 16 jam sehari sehingga mereka terpaksa mengurangkan waktu tidur supaya boleh bekerja lebih lama. Dia biasanya bangun lebih awal dari orang lain, tidur lebih lambat dari orang lain.

  • Sanggup bekerja setiap hari walaupun pada hari cuti.
Orang berjaya tak akan pernah berhenti bekerja dan berusaha selagi apa yang mereka mahukan tidak tercapai. Tidak ada istilah cuti-cuti, tidak ada perkataan relaks terlalu lama dalam kamus hidup mereka.


Inilah ciri-ciri sikap yang membezakan orang yang berpotensi untuk berjaya dengan orang biasa. Mereka hanya akan berehat pada waktu tidur, pada waktu sembahyang, pada waktu makan.

Minda penting orang berjaya – sanggup berkorban untuk memperoleh kejayaan. Mereka korbankan masa bersantai-santai, masa berjalan-jalan dan masa untuk bersukaria untuk mencapai kejayaan idaman mereka.



---sumber:Motivasi Kejayaan (e.norakmal@gmail.com)

Wednesday, February 3, 2010

PERJALANAN TERANCANG

Seawal jam 5.30 pagi, sahabat saya Jo bergerak meninggalkan istananya di Puncak Alam menuju ke teratak buruk saya di Kuala Selangor. Besar cita-cita dan semangat kami untuk bergerak dengan tenang menuju ke SMK Dato Mustaffa. Awal perjalanan kami lancar. Kami bertolak dari Kuala Selangor pada jam 6.45 pagi.

Perjalanan nampak mudah. Kami berhenti untuk mengisi minyak dan kemudian melanjutkan perjalanan kami. Setibanya di Sekinchan (sebelum pekan), ramai pelajar sekolah berderetan berdiri ditengah-tengah jalan untuk melintas.

"Bahaya budak-budak ni Jo, semalam baru masuk berita budak kena geles dengan tayar bas", kata saya kepada Jo.

Tiba-tiba, terdengar jeritan, berlaku kekalutan, kereta kami bergoyang dan dum! Bunyi hentakan yang kuat kedengaran.

"Jo kau tak apa-apa?" tanya saya kepada Jo.

"Aku ok" jawab Jo.

Maha Suci Allah, Allah Maha Besar. Kami terlibat dalam kemalangan. Hampir-hampir saya melanggar seorang ibu yang bermotorsikal. Kereta kami terbabas dan melanggar pembahagi jalan. Menggigil kaki saya. Tergamam dan macam-macam perasaan ada. Saya bertemu dengan wanita yang melintas tadi, kemalangan itu berpunca daripada dia. Dia tidak menjawab apa-apa dan hanya senyum sahaja.

Kami ambil masa menenangkan diri ditengah-tengah kesibukan itu. Apa yang hendak dilakukan? Suasana kecoh tadi kembali tenang dan seperti biasa semula. Nampaknya seolah-olah keadaan itu seperti biasa berlaku. Tiada kematian, jadi tiada apa-apa yang berlakulah. Jo, kepalanya terlanggar cermin, berdarah jugalah gusinya.

Begitulah perjalanan terancang kami berdua sepanjang hari tersebut. Saya ada perancangan Jo juga ada perancangannya. Tetapi rupa-rupanya, perancangan Allah itu lebih sesuai dan bertepatan dengan kehendak-Nya. Dialah yang Maha Mengetahui. Pergerakan kami menjadi sederhana dan tidaklah lagi tergesa-gesa mengejar kesibukan dunia.

Kami tersentak seolah-olah dikejutkan dengan suasana yang amat menyayat hati. Allah tidak memilih antara kami untuk pergi dahulu, tetapi jelas, Allah Menguasai setiap inci ciptaan-Nya. Kehendak Allah mengajar manusia dengan musibahnya, atau mungkin adalah peringatan buat yang lupa, dan boleh jadi juga ia adalah pesanan kepada kita yang sentiasa ingat kepadanya dan apa yang lebih baik lagi, Dia hanya akan memberikan beban dengan apa yang mampu ditanggung oleh makhluk-Nya. Mungkin petanda untuk dihadiahkan sesuatu yang berharga.

Namun, hanya Allah yang tahu apa rahsianya. Tugas kita? Bersyukur dengan apa sahaja yang diberikan-Nya, jangan merungut, sebab ia adalah yang terbaik untuk kita semua. Apa yang paling utama, ia perlulah kembali kepada Allah. Ingatlah, dengan mengingati Allah, hati kita akan menjadi tenang.

Tuesday, February 2, 2010

BELAJAR PERKARA BARU DI CHERATING

Jost Wagner
Jost Wagner? Wah, tidak pernah terlintas difikiran yang saya akan menghadiri sebuah latihan yang diisi oleh fasilitator dan jurulatih berpengalaman sebegini. Sangat teruja apabila diberitahu bahawa saya dijemput untuk menghadiri latihan ini. Pada peringkat permulaannya agak berdebar-debar juga. Boleh ke saya pergi? Mengikut maklumat yang diterima, beliau ini berasal dari Jerman. Inilah yang dikatakan peluang dan ruang yang Allah bukakan untuk saya terus melangkah dan memperbaiki diri menjelang tahun 2010.

Inilah buktinya, apabila kita berniat dan berazam untuk memperbaiki diri, Allah pasti dengar kerana Allah tidak pernah tidur apatah lagi lupa yang hanya manusia mempunyai sifat ini. Ruang dan peluang ini saya garap dengan harapan akan ada ilmu baru yang akan diperolehi dan dikongsikan dengan rakan-rakan yang lain. Ternyata, masa yang ada terlalu singkat rasanya dan apa yang paling utama yang harus dipunyai dan dipelajari dari Jost Wagner ini ialah MERENDAH DIRI.

Penyertaan adalah seramai 20 orang sahaja. Tidak ramai. Ini menjadikan perbincangan, sesi dan aktiviti lebih menarik dan menyeronokkan. Hadir bersama, jurulatih-jurulatih lain yang hebat-hebat belaka. Jika bukan pelajaran yang saya bawa pulang, adalah amat rugi sekali. Selain dari itu, peringatan yang perlu sentiasa berada di awal tindakan adalah PERANCANGAN DAN KESUNGGUHAN dalam melakukan apa sahaja. Sentiasa jadikan diri kita ini yang terbaik dan TERIMA SEBARANG TEGURAN dan TERBUKA.

Bersama Dr. Pim

Keutamaan bagi saya pula adalah, setiap ilmu perlu dikongsikan. InsyaAllah, jika ada ruang di blog saya ini, akan saya catatkan apa yang telah saya terima daripada latihan bersama Jost Wagner ini. Sesi pertama beliau, sebagai aktiviti pemecah bendungan (ice-breaking) beliau memperkenalkan satu aktiviti yang dipanggil 'Speed Dating With Life Concepts'. Kami hanya berkesempatan mempelajari 4 aktiviti yang kesemunya menjurus kepada bentuk perbincangan yang aktif dan ia amat baik untuk menggalakkan sesuatu perbincangan untuk kelompok dewasa.

Aktiviti pertama yang diperkenalkan adalah 'Timeline'. Ia aktiviti yang cukup sesuai digunakan untuk mencari persefahaman dan keseragaman sebelum diteruskan dengan apa-apa perbincangan yang besar. Ini merujuk kepada keadaan kelompok yang datangnya dari pelbagai latarbelakang.

Bersama TG (Tembun Ghani)
Aktiviti kedua pula diterukan dengan aktiviti 'World Cafe'. Menurut Jost Wagner, aktiviti ini telah lama diperkenalkan. Tetapi pelik juga, ramai dikalangan kami yang tidak tahu. Bahkan menurutnya, telah ada buka yang diterbitkan menulis tentang 'World Cafe'.

Aktiviti ketiga pula adalah 'Fishbowl'. Ramai dikalangan kami yang telah mengikuti dan memahaminya. Namun, saya tidak pernah melihatnya walaupun kerapkali mengetahui dan mendengarnya. Jadi kali ini, ia lebih jelas bahkan disuluhkan.

Manakala, aktiviti yang terakhir diperkenalkan adalah aktiviti 'Caravan'. Ia juga menarik dan saya rasa ia perlu diketengahkan dan pastinya ia amat sesuai untuk membincangkan beberapa masalah yang berkaitan dengan organisasi. 'Caravan' merupakan aktiviti yang diperkenalkan sendiri oleh Jost Wagner dan ia amat memberangsangkan. Saya pulang dengan pelbagai perkara yang bermain di dalam benak fikiran ini. Semoga semua ini akan dapat saya gunakan sedikit demi sedikit dan dijadikan salah satu pendekatan yang berkesan. Belajar lagi.

Kenangan bersama