Thursday, August 27, 2009

BERSIAPLAH MENGHADAPI LAILATUL QADAR


Pada malam Lailatul Qadar, akan dapat kita jumpai di mana sahaja di seluruh dunia. Di dalamnya Allah s.w.t sertakan bersama dengan keberkatan dan rahmat yang sangat besar untuk bertahun-tahun lamanya dengan segala kasih sayang-Nya. Dalam konteks kasih sayang dari Allah s.w.t itu, ia tidaklah bermakna kasih sayang Allah s.w.t semata-mata untuk-Nya tetapi kasih sayang-Nya yang dicurahkan kepada seluruh ummat manusia di dalam kehidupan ini yang dapat dilihat beribadah dan memohon kepada-Nya pada malam Lailatul Qadar. Sebagaimana di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah dari Anas bin Malik dan Imam Al-Albaani di dalam bukunya Sahih At-Targhib, Rasulullah s.a.w berkata kepada para sahabat apabila hari pertama Ramadhan Kareem tiba:

“Sesungguhnya bulan ini telah menghampiri kamu. Di dalamnya ada satu malam yang mana ia lebih baik dan 1000 bulan, bagi sesiapa yang terlepas pada malam tersebut maka dia telah terlepas seluruh kebaikan dan kepada sesiapa yang terlepas malam tersebut Baginda bersabda lagi: “Tiada siapa yang akan melepaskan malam tersebut kecuali orang-orang yang sangat-sangat rugi.””

Oleh yang demikian, seharusnya kita semua selaku pejuang agama Allah, menunjukkan usaha dan kesungguhan kepada Allah dengan apa yang sepatutnya dilakukan pada malam tersebut. Kita seharusnya bersedia dan melakukan lebih banyak i’tikaaf sekiranya kita mampu di mana-mana masjid atau rumah-rumah Allah di atas muka bumi ini. I’tikaaf adalah bertujuan untuk membebaskan diri kita dari pada apa-apa hubungan kecuali dengan yang Maha Esa. Jadi, apabila kita beri’tikaaf, maka kita haruslah meletakkan diri kita jauh dari kehidupan dunia, dari sebarang gangguan, masalah dan apa sahaja yang berkaitan dengannya, hanya semata-mata untuk berhadapan dengan Allah, sujud dan menyembah dengan penuh rasa kehambaan. Kita juga akan berupaya untuk menjauhkan diri kita dari terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang mampu mengurangkan pahala puasa kita seperti mengumpat, mencaci, menipu dan mungkin menyakiti orang lain. Beginilah caranya bagaimana untuk kita memastikan tubuh badan kita ini sihat dan aman dan dapatlah jika diizinkan Allah untuk merasai malam yang sangat besar itu iaitu malam Lailatul Qadar.

Allah akan menjadikan tubuh kita apabila selesai Ramadhan Kareem dengan tubuh yang lebih baik sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w di dalam hadith Abu Hurairah di dalam kitab Sahih bukhari yang bermaksud:

“Baginda s.a.w sentiasa beri’tikaaf pada setiap hari Ramadhan untuk 10 hari tetapi apabila tiba tahun terakhir kehidupan baginda s.a.w, baginda s.a.w melakukan i’tikaaf selama 20 hari.”

Beginilah cara seorang pemimpin agung, kekasih Allah s.w.t serta pejuang agama Allah dan ummatnya membebaskan diri untuk beribadah kepada Allah s.w.t supaya dengan harapan, Allah s.w.t akan menjadikan dirinya (baginda s.a.w) sebagai salah seorang yang akan berdiri pada malam Lailatul Qadar, malam di mana Allah s.w.t akan menurunkan segala keberkatan dan rahmat kepada seluruh hamba-hambanya yang memohon.

Para ulama’ terdahulu sering menyediakan diri mereka pada malam-malam ini dengan cara masing-masing. Ada sebahagian dari mereka yang beri’tikaaf di masjid dan di antara solat Maghrib dan Isyak, mereka akan membersihkan diri (mandi), memakai haruman serta mengenakan pakaian-pakaian yang terbaik dan seterusnya mendirikan solat Isyak berjemaah, berTarawih dan berQiyamullail dalam cara yang terbaik.

Jadi kita seharusnya memastikan kesungguhan kita pada malam-malam tersebut dengan cara untuk memperoleh keredhaan Allah s.w.t dan marilah kita melatih dan menjadikan diri kita sangat kuat pada malam-malam ini. Selain dari membaca Al-Quran pada malam-malam ini, kita juga disarankan dan digalakkan untuk memperbanyakkan doa sebagaimana disebutkan oleh Imam Sufyan ath-Thawri:

“Doa pada malam itu adalah lebih disukai berbanding solat”

Apa yang beliau maksudkan adalah untuk menunjukkan betapa pentingnya doa itu sendiri berbanding solat. Jadi adalah menjadi keperluan kepada kita semua untuk memperbanyakkan berdoa. Sayidatina Aishah bertanya kepada Rasulullah s.a.w:

“Jika aku bertemu Lailatul Qadar apa yang patut aku ungkapkan di dalamnya?”

Sabda Rasulullah s.a.w kepada Sayiditina Aishah:

“Ya Allah, Engkaulah Yang Maha Pengampun dan Engkau Sangat Suka Mengampunkan, jadi ampunkanlah aku.”

اللَّهُمَّ إنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

Dan ianya juga diriwayatkan oleh Imam Tarmidhi.

Kita sangat-sangat perlu untuk menyambut dan menerima kehadiran malam Lailatul Qadar ini dengan cara yang paling baik. Kita seharunya menjauhkan diri kita dari perkara-perkara yang dapat menghalang kita daripada bertemu dengan malam ini serta berhadapan dengan malam yang indah ini. Kita elakkanlah dari pergaduhan, pertengkaran dan perdebatan yang sia-sia. Lapangkanlah masa dan ketika untuk beribadah kepada Allah walaupun orang lain sibuk untuk berdebat atau berniat menimbulkan kekacauan dan pergaduhan bersama kita, apatah lagi dengan niat mengumpat orang-orang lain. Apa yang terbaik pada waktu ini adalah beribadah, membaca Al-Quran dan berdoalah kepada Allah s.w.t.

Monday, August 24, 2009

SIAP SIAGA UNTUK RAMADHAN YANG DINANTI


Wahai sahabat-sahabatku yang dikasihi. Sesungguhnya, di dalam bulan Ramadhan yang amat dirindui dan dinanti ini, telah Allah sediakan ruang dan masa yang sebaik-baiknya untuk kita mengembalikan jiwa dan diri kita kepada Allah s.w.t. Inilah bulan yang dipanggil madrasah tarbiyah terbaik bagi melatih dan membentuk semula diri kita sebagai manusia selepas berhadapan dengan 11 bulan yang lain yang penuh dengan pelbagai ujian dan halangan serta kesibukan dunia.

Allah s.w.t telah berfirman dan bersumpah di dalam surah Al-Fajr ayat 1 – 3 yang bermaksud;

(1) Demi waktu fajar; (2) dan malam Yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah); (3) dan bilangan Yang genap serta Yang ganjil;

Pada malam-malam inilah kerapkali dibicarakan akan hadirnya malam Lailatul Qadar, malam yang lebih baik dari 1000 bulan, di mana Alah s.w.t juga berfirman di dalam surah Al-Qadr yang ibadah dimalamnya menyamai dengan ganjaran selama 84 tahun sepertimana firmannya yang bermaksud;

(3) malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan; (4) pada malam itu, turun malaikat dan Jibril Dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa Segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun Yang berikut); (5) sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

Di kalangan ummat manusia yang mencintai dan merindui Allah dengan sesungguhnya, inilah malam yang dinanti-nantikan oleh mereka selama bertahun-tahun lamanya. Ia terlalu lama sehinggakan dikira setiap saat dan waktu untuk mereka tempuhi dan mencarinya. Apa yang mereka akan lakukan sekiranya mereka bertemu dengannya?

Saiyidatina Aishah diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim berkata: “Rasulullah s.a.w apabila tiba akhir 10 Ramadhan, Baginda (s.a.w) akan mengahbiskan malamnya dengan berjaga dan Baginda (s.a.w) akan mengejutkan semua ahli keluarganya dan Baginda (s.a.w) akan lebih bersungguh-sungguh dalam ibadahnya.”

Walaupun telah kita ketahui bahawa Baginda (s.a.w) sentiasa bersungguh-sungguh dalam segala amal dan ibadahnya, tetapi Baginda (s.a.w) menghabiskan masanya sepanjang malam beribadah sebagaimana diriwayatkan di dalam hadith yang lain yang bermaksud: “Di dalam 20 malam pertama Ramadhan, Rasulullah s.a.w sentiasa melakukan solat malam dan tidur, tetapi di akhir 10 malam Ramadhan, Rasulullah s.a.w tidak tidur dan sentiasa mengahabiskan sepanjang malam beribadah kepada Allah dengan pelbagai bentuk ibadah, samaada beribadah kepada Allah dengan berdiri di dalam solatnya atau beribadah kepada Allah dengan membaca Al-Quran atau beribadah kepada Allah dengan derdoa dan mengharap daripada-Nya.”

Semua bentuk ibadah yang dilakukan Rasulullah s.a.w untuk mengangati Allah s.w.t adalah bentuk-bentuk ibadah yang terbaik yang mana kita sebagai ummat Islam pada hari sepatutnya mengamalkannya. Dan Dia (‘Aishah r.a.h juga berkata: “Baginda (s.a.w) sentiasa menambahkan ibadahnya pada 10 malam terakhir ini berbanding pada malam-malam yang lainnya dalam setahun.”

Oleh yang demikian, Ibn Hajr menyatakan sebahagian dari pengajaran hadith ini bahawa, terdapat satu nilai motivasi untuk terus-menerus beribadah kepada Allah s.w.t pada 10 malam terakhir Ramadhan dan terdapat tanda-tanda atau petunjuk bagaimana kita harus menamatkan Ramadhan kita dengan cara yang terbaik.

Wallahu ‘alam.

Saturday, August 22, 2009

SAYA BERSAMA PELATIH PUSAT PERLINDUNGAN WANITA BAITUL EHSAN


Alhamdulillah...

Selesai satu lagi tugasan saya sebelum Ramadhan yang lalu. Program kami adalah Perkhemahan Membina Sahsiah Gemilang (MesSaGe 2009) di Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan.

Satu lagi pengalaman yang mungkin sukar untuk kami semua lupakan dan disinilah kami berbincang dan membina lebih jauh pandangan dan cita-cita apabila melihat wanita-wanita yang berada di dalam pusat perlindungan yang juga pusat pemulihan. Pengalaman ini mengajar kami erti sabar dalam menjalankan usaha-usaha dakwah yang tidak boleh berhenti dimana-mana atas apa-apa sebab sekalipun.

Manusia hari ini semakin buta, tuli dan bisu apabila berhadapan dengan maksiat dan kejahatan orang lain. Adakah kerana takut ancaman kehidupan mereka atau risaukan periuk nasi mereka? Berkali-kali kami diingatkan oleh penguasa di sana, adakah anda tidak risaukan generasi yang akan ditinggalkan ini?

Siapa yang tidak risau dan siapa yang tidak peduli jika keadaannya begini. Bahkan fakta-fakta yang diberikan mereka juga amat menakutkan. Remaja hari ini menjadikan hubungan intim lelaki dan perempuan sebagai perkara yang biasa dan malu jika tidak pernah melakukannya. Ya Allah, dunia sudah benar-benar berada di penghujungnya.

Peringatan yang kami sampaikan di sana amat mudah. Ingatkan lah kehidupan selepas di dunia ini. Itulah kampung halaman kita, itulah tempat yang kekal abadi. Kita ingat ke? Itu persoalannya...

Tuesday, August 11, 2009

PERSIAPAN MENJELANG RAMADHAN AL-MUBARAK

Apa agaknya yang perlu dipersiapkan untuk menyambut kehadiran Ramadhan Al-Mubarak? Bingung kita sebagai manusia tentang apa yang pernah dilakukan oleh umat terdahulu sehinggakan datang Ramadhan ini dinanti dan perginya sangat-sangat dirindui. Apakah Ramadhan kini tiada seri kerana tidak lagi kita berpuasa bersama-sama Baginda Rasulullah s.a.w? Atau adakah kerana hari ini tiada lagi peperangan yang perlu ditempuh di dalam bulan Ramadhan?

Di dalam usrah bersama ABIM Selangor, kami diperingatkan oleh Ustaz Naim yang menjadi Naqib mengetuai perbincangan yang bertajuk persiapan menjelang Ramadhan, beliau mengungkapkan bahawa, pada hari ini, kita tidak dapat lagi merasakan kenikmatan datangnya Ramadhan adalah disebabkan oleh kesibukan hal dunia kita yang akhirnya memisahkan kita dengan hubungan kepada Allah s.w.t. Kesibukan ini akhirnya terbawa-bawa sehingga ke bulan Ramadhan dan akhirnya Ramadhan yang dilalui umat hari ini tidak ubah seperti itik. Itik akan membersihkan dirinya dengan sebersih-bersihnya akan tetapi apabila ia bertemu dengan lumpur, mereka akan kembali mengotorkan diri mereka ke dalam lumpur tadi.

Sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian, demikianlah hidup kita yang berhadapan dengan 11 bulan, didikan yang diberikan kepada nafsu kita cukup-cukup hebat, dibela dan dibelai dengan pelbagai kesenangan dan kemudahan sehinggakan apabila datang Ramadhan, sekalipun syaitan itu dibelenggu oleh Allah s.w.t, rupa-rupanya, nafsu kita telah pun diajar dan dipesan oleh syaitan agar meneruskan tugasan-tugasan mereka bahkan kadangkala ia lebih dari kebiasaan kita. Dek kerana itulah mengapa, apabila datang Ramadhan, yang terbayang jelas dalam pemikiran kita adalah 'baju raya apa nak pakai?', 'nak balik raya ke mana?' dan sebagainya yang berkaitan.


Menurut Imam Al-Ghazali, puasa seorang manusia ini terbahagi kepada 3 peringkat yang patut kita muhasabahkan diri sebagai ahli gerakan, dimanakah tingkatan kita. Pertama, puasa awam, iaitu puasa orang-orang kebiasaan yang dilakukan kerana orang lain lakukannya. Kedua, puasa khusus, dimana si pelaku puasa ini memelihara puasanya dari batal, makan minum serta anggota-anggotan mereka yang dapat mengurangkan pahala puasa. Manakala yang ketiga adalah, puasa khususul khusus, dimana ia adalah tingkat tertinggi apabila puasa itu bukan sekadar amalan bahkan penghayatan dari setiap segi secara jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial.

Untuk mendapatkan puasa khususul khusus ini, pastinya persiapannya jauh lebih rapi dan penghayatannya lebih tinggi dan mendalam. Antara persiapan yang seharusnya dilakukan kita selaku ahli jemaah ialah;

  • Persiapan Kerohanian
  1. Perbanyakkanlah puasa di dalam bulan Sya'aban
  2. Mengetahui keutamaan-keutamaan amalan di dalam bulan Ramadhan
  3. Membiasakan diri bangun sepertiga malam
  4. Bayangkan bahawa ini adalah Ramadhan terakhir buat kita
  5. Perbaharui niat dan fokus kita dalam ibadah di bulan Ramadhan
  • Persiapan Jasmani atau Jasad
  1. Mengurangkan kadar pengambilan makanan seminggu sebelum tiba Ramadhan
  2. Menjaga kesihatan dengan mengambil makanan pada kadar yang perlu serta berkhasiat
  • Persiapan Harta atau Mal
  1. Memperuntukkan beberapa jumlah wang untuk sedekah amal jariah serta zakat fitrah
  2. Mengurangkan perbelanjaan untuk menyambut Syawal
  3. Persiapkan rumah kita agar ia diberkati dengan kehadiran Ramadhan
  • Persiapan Aqal dan Ilmu
  1. Mengulangkaji ilmu tentang puasa
  2. Membaca kembali hadith-hadith yang menerangkan tentang kelebihan berpuasa
  3. Merancang penghafalan Al-Quran, bertadarus dan bertadabbur
  • Persiapan Emosi dan Sosial
  1. Memperbanyakkan peningkatan nilai-nilai murni atau sifat mahmudah dan berusaha mengurangkan sifat-sifat mazmumah
  2. Melatih diri supaya mudah untuk membantu orang yang dalam kesusahan
  3. Melatih diri untuk bercakap pada perkara-perkara yang perlu sahaja


Semoga Mendapat Manfaat bersama

SAYA BERSAMA MURID SK SINARAN BUDI


Semua lancar di Sungai Congkak hujung minggu lalu (8 dan 9 Ogos 2009). Saya bersama adik-adik yang baru saya kenali (kecuali Juman dengan Alin). Perjalanan program lancar walaupun agak kepenatan. Pada malam hari Jumaat, dapat saya bersama adik-adik menjalankan 'briefing' modul yang jarang-jarang dapat saya lakukan.

Alin datang dari UiTM dengan 3 orang kawan-kawannya. Dayah, Ana dengan Yani. Berpengalaman, mudah membantu dan senang bekerja dengan mereka. Idea yang baik serta berani memberikan pandangan dan bersifat terbuka dalam perbincangan. Nampak serius dalam melaksanakan tugasan sebagai fasilitator dan kakak. Tetapi ada juga cumanya, mereka terlalu bersama adik-adik. Salah ke? Tak salah tetapi, penglibatan mereka menyebabkan adik-adik ini kurang berusaha dan banyak bergantung dengan mereka.

Sama jugalah dengan perangainya Juman dan kawan-kawannya. Naim, Yusuf dan Dzariff. Mereka juga ringan tulang, ingin belajar dan nampak bersedia. Tetapi penampilan perlu ditegur dan diperbaiki dengan sebaiknya. Inilah mereka-mereka yang mungkin akan menyambung apa yang telah saya mulakan. Atau mereka juga sama seperti rakan-rakan saya yang lain, hilang dalam jalan menuju ke tempat asal. Hilang dari perjuangan dan cita-cita yang disorakkan bersama.

Kepenatan saya terkubur apabila dapat bersama-sama adik-adik saya ini. Mereka muda, bertenaga dan bersemangat. Keadaan ini harus digemblengkan agar usia muda, tenaga dan semangat mereka dapat disalurkan kepada ruang yang betul dan memberikan kesan yang besar kepada masyarakat. Telah lama sebenarnya saya tidak dapat merasakan keseronokan bersama dengan fasilitator adik-adik sebegini. Walaupun saya terpaksa memandu 2 trip hanya semata-mata untuk mengambil mereka, namun dari segi semangat dan cita-cita saya ia amat berbaloi.

Tekanan dapat saya rasa apabila guru-guru tidak ada bilik untuk menginap tetapi, keadaan dan kerjasama kalian adik-adik saya amat bermakna dan memudahkan perjalanan urusan program ini. Apa yang aku harapkan pada-MU Ya Allah, jadikanlah mereka ini penyambung warisan dan cita-cita ku ini, jika bukan semua mungkin dari kalangan mereka.



Semoga kita akan dapat bersama lagi dalam program-program akan datang. Terima kasih buat Alin, Juman, Dayah, Yani, Ana, Yusuf, Naim dan Dzariff.