Budaya kepimpinan adalah budaya kepengikutan di dalam sesebuah kelompok atau organisasi. Tidak mungkin sama sekali seorang pemimpin itu wajar diteladani atau diikuti sekiranya mereka tiada ketekalan untuk menegakkan apa yang dikatakan serta khianat kepada apa yang dijanjikan. Kehilangan integriti dalam kepimpinan adalah petanda hilang jati diri keupayaan seseorang pemimpin yang meletakkan kepentingan diri melebihi dari kepentingan orang lain. Natijahnya, kepimpinan itu akan longgar dari pelbagai sudut termasuk nilai kepercayaan antara satu sama lain di dalam organisasi tidak kira antara pemimpin dengan pemimpin, pengikut dengan pengikut bahkan pengikut dengan pemimpin. Integriti diibaratkan umpama cengkerang kerang. Ia hanya bernilai dikala kerang itu memerlukan perlindungan dan dianggap tidak bernilai tanpa isi dalamnya. Namun, bagi mereka yang benar-benar ikhlas dalam penilaian mereka, pasti akan mengetahui betapa penting cengkerang itu dalam mempertahankan kerang itu sendiri. Maka, bagi seseorang yang menggelar diri mereka sebagai pemimpin, daya tahan diri mereka hilang apabila mereka berkompromi dengan nilai integriti dalam diri mereka.
Bayangkan bagaimana jika sesebuah organisasi mampu bergerak apabila setiap individu di dalamnya bermula dari pemimpin sehingga pengikutnya boleh dipersoalkan mengenai integriti mereka? Bahkan, mereka sesama sendiri hilang kepercayaan antara satu dengan lain. Pergaduhan dan perselisihan akan sentiasa berlaku dan perpecahan pasti akan tiba bila-bila masa. Setiap mereka akan sentiasa mempertahankan apa yang terbaik buat diri mereka dan meninggalkan yang kurang buat orang lain. Ini amat berbahaya apatah lagi apabila keadaan ini merebak kepada organisasi yang lebih besar bahkan di dalam pentadbiran sesebuah negara. Jika kita kenang dan renung, dalam perebutan dan ribut itu, pasti yang akan memakan laba terbaik dikalangan mereka adalah yang berada dipuncak kuasa. Para pengikut hanya akan berputih mata tiadalah ke mana-mana. Kita serahkan kepercayaan kita untuk mereka bimbing dan tadbir urus keadaan organisasi kita, tetapi harapkan pegar, pegar makan padi.
Menerusi artikel Bayan Linnas siri ke 193 dilaman sesawang rasmi Mufti Wilayah Persekutuan mencatatkan apabila kita meletakkan pekerjaan itu sebagai satu ibadah akan mampu meningkatkan sikap integriti kita. 2 perkara yang harus menjadi perhatian apabila kita mahu menjadikan pekerjaan itu sebagai ibadah dan ia harus dimulakan dengan bekerja itu sendiri adalah satu perintah dari Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksudnya, “Barangsiapa mencari rezeki halal untuk menjaga diri daripada meminta-minta, dan dengan tujuan memenuhi nafkah keluarga, serta supaya dapat membantu tetangganya, nescaya dia akan datang pada hari Kiamat dengan wajahnya yang berseri-seri seperti bulan di malam purnama.” (Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman - 9890 dan al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin - 3465).
Keduanya adalah dengan mengambilkira menjaga integriti itu sebagai satu cabaran dalam pekerjaan. Pastinya banyak yang perlu kita awasi khususnya apabila kita bergelar pemimpin di dalam sesebuah organisasi apatah lagi sebuah kerajaan. 6 perkara utama yang mesti diperangi dan dihadapi dengan penuh keimanan diawali dengan rasuah. Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikannya sebagai pemberian untuk menumbuk rusuk (menyogok atau menyuap). Perkataan rasuah berasal daripada bahasa Arab al-risywah. Dr Yusuf al-Qaradhawi di dalam al-Halal wa al-Haram fi al-Islam menyebut, "Termasuk memakan harta orang lain dengan cara yang batil ialah menerima rasuah. Iaitu wang yang diberikan kepada penguasa atau pegawai, supaya penguasa atau pegawai tersebut menjatuhkan hukuman yang menguntungkannya, atau hukum yang merugikan lawannya menurut kemahuannya, atau supaya didahulukan urusannya atau ditunda kerana ada suatu kepentingan dan sebagainya."
Keduanya pula adalah khianat. Perbuatan jahat yang bertujuan menganiayai atau mendatangkan kecelakaan kepada orang lain, melakukan tipu daya, perbuatan belot atau tidak setia sama ada kepada negeri, bangsa dan lain-lain. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Anfal ayat 27 yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)."
Seterusnya yang ketiga pula adalah sistem pemerintahan dan cara pentadbiran yang melibatkan berbagai-bagai peringkat atau proses pengurusan yang terlalu banyak peraturan atau birokrasi. Sistem pemerintahan atau pentadbiran yang diuruskan oleh pegawai-pegawai kerajaan. Cara pemerintahan atau pentadbiran dengan pegawai-pegawai kerajaan yang mempunyai kuasa yang besar. Keempat adalah berdusta atau berbohong. Berkata yang tidak benar. Dalam sebuah riwayat daripada Abdullah bin Mas`ud r.a., Nabi sallallahu'alaihiwasallam bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya kejujuran itu membawa kepada kebaikan dan sesungguhnya kebaikan membawa kepada syurga. Sesungguhnya (apabila) seseorang itu melazimkan dirinya dengan kejujuran, nescaya dia akan dikenali sebagai orang yang jujur. Manakala kedustaan membawa kepada kejahatan dan sesungguhnya kejahatan membawa kepada neraka. Sesungguhnya tidaklah seseorang itu melazimkan dirinya dengan kedustaan melainkan dia dicatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta." (Riwayat al-Bukhari - 6094)
Kelima adalah amalan bertangguh. Daripada Ibn Umar r.a. katanya, Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam memegang dua bahuku seraya bersabda, yang bermaksud, “Jadilah kamu di dunia seperti orang asing atau orang musafir.” Dan adalah Ibn Umar r.a. berkata: Jika kamu berada di waktu petang, jangan kamu tunggu sehingga waktu pagi. Jika kamu berada di waktu pagi, jangan kamu tunggu sehingga waktu petang. Ambillah dari waktu sihatmu (bagi persediaan) untuk waktu sakitmu dan ambillah dari waktu hayatmu (bagi persediaan) untuk waktu matimu." (Riwayat al-Bukhari - 6053)
Terakhir dan yang keenam, budaya melepak dan membuang masa. Daripada Abu Sa`id al-Khudri r.a., Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam bersabda yang bermaksud, “Awasilah kamu daripada duduk di persimpangan jalan. Lantas mereka berkata: ya Rasulullah, kami sudah biasa yang menjadi majlis kami. Kami berbicara padanya. Lantas sabda Nabi SAW: Kalau kamu enggan kecuali dalam majlis tersebut, maka berilah hak jalan. Sahabat bertanya, apa itu hak jalan wahai Rasulullah. Jawab Baginda: Tundukkan pandangan, menahan daripada yang menyakitkan, menjawab salam, melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar.” (Riwayat al-Bukhari - 5875 dan Muslim -114).
Kesimpulannya, slogan yang telah lama didendangkan dinegara kita, "Rasuah Musuh Negara" bukanlah slogan hanya untuk disebutkan. Ini jelas membuktikan permasalahan rasuah sudah bermula lama dan sehingga kini ia bukan terhenti sebaliknya semakin berleluasa. Rasuah akan menatijahkan pengkhianatan yang berlaku secara berleluasa sebagaimana yang dapat kita teliti hari ini. Bekerja dengan birokrasi yang terlalu ketat mengagalkan perkhidmatan disampaikan dengan cara terbaik. Birokrasi bertujuan untuk mengelakkan salahguna kuasa bukan untuk menyusahkan mereka yang sepatutnya mendapatkan perkhidmatan, akhirnya mereka yang dipaksa mengikut birokrasi menjadikannya alat untuk berbohong atas kelewatan perkhidmatan yang diberikan. Lewat bukan kerana birokrasi sebaliknya bertangguh dalam melakukannya akibat dari kebiasaan melepak dan membuang masa semasa waktu bekerja.
Comments