Thursday, August 21, 2014

AKHLAK SEBAGAI ASAS UTAMA SEORANG FASILITATOR

Alhamdulillah, saya telah berkecimpung dalam dunia fasilitator ini rupa-rupanya sejak tingkatan 2, ya, dibangku sekolah lagi. Siapa sangka ilmu yang pada mulanya seolah-olah main-main akhirnya menjadi kerjaya dan menjadi pengalaman berharga buat saya. Sekalung penghargaan dan terima kasih tidak terhingga buat Arwah Abang Engku Azri yang merupakan insan pertama memperkenalkannya kepada saya dan beberapa orang rakan yang lain dengan ilmu ini. Hari ini, saya berasa amat terhutang budi dan amat berharap dapat menyambung usaha beliau mendekati dan membangunkan generasi muda-mudi hari ini.

Bila disebut ABCDE Fasilitator pasti kita semua dapat mengagak apa yang ia maksudkan. Ya, saya akan cuba jelaskan apakah perkara asas yang wajar dan perlu kita tahu mengenai fasilitator. Apa pula fasilitator? Itu, kita bincang kemudian dan banyak pun yang mungkin kita boleh fahami dan pelajari bahkan hari ini ramai pun yang telah menceburkan diri ke dalam dunia fasilitator ini.

Asas pertama yang perlu ada bagi seorang fasilitator adalah akhlak. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (edisi ini sahaja yang ada dalam simpanan saya), ia bermaksud budi pekerti atau kelakuan atau juga diertikan sebagai tabiat. Seorang fasilitator, adalah perlu dia menjadi seorang yang berakhlak. Ini disebabkan oleh peranan yang dipikulnya sebagai insan yang boleh dicontohi dari segenap aspek walaupun bukan keseluruhannya. Namun, memperluas aspek diri agar boleh dicontohi merupakan suatu yang amat dipuji dan dihormati sebagai seorang fasilitator.

Akhlak menjadikan diri kita sentiasa menjadi perhatian. Akhlak merujuk kepada budi pekerti, kelakuan atau tabiat yang baik. Sudut pandang seorang fasilitator Muslim, akhlak ini sudah tentu disepadankan dengan akhlak Rasulullah s.a.w.. Padanan ini merupakan kayu ukur tertinggi bagi seorang fasilitator dalam hal akhlak sekaligus ia juga bakal menjadi pendorong dan kayu ukur dalam menentukan BCDEnya seorang fasilitator. Bagi saya, akhlak adalah pembuka buku hidup seorang fasilitator. Tanpanya, maka seseorang itu belum bersedia walaupun telah mengikuti puluhan kursus bimbingan dan latihan fasilitator.

Manakan boleh, seorang fasilitator itu dipersoal tentang akhlaknya sentiasa. Sekali-sekala itu tidak mustahil kerana kita insan yang selalu lupa dan alpa, tetapi ia harus segera diperbaiki dan diubati sama ada secara peribadi atau bersama teman yang lebih memahami dan mengenali. Begitulah pentingnya akhlak dalam membentuk peribadi seorang fasilitator. Tambahan pula fasilitator Muslim. Akhlak yang Baginda Rasul tunjukkan dengan di mana sifat malunya, dalam bab menjaga kerahsiaannya, memenuhi janji, kelunakan berbicara dan banyak lagi. Dalam perkara ini tidak syak lagi, bagi saya, Rasulullahlah contoh yang terbaik.

Monday, August 18, 2014

BERUSAHA DAN HANYA DIA YANG MENENTUKANNYA

Yūsuf:67 - "Dan ia berkata lagi: "Wahai anak-anakku! Janganlah kamu masuk (ke bandar Mesir) dari sebuah pintu sahaja, tetapi masuklah dari beberapa buah pintu yang berlainan. Dan aku (dengan nasihatku ini), tidak dapat menyelamatkan kamu dari sesuatu takdir yang telah ditetapkan oleh Allah. Kuasa menetapkan sesuatu (sebab dan musabab) itu hanya tertentu bagi Allah. KepadaNyalah aku berserah diri, dan kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri".

Begitulah pesanan seorang ayah yang risau dan khuatirkan tentang keselamatan anak-anaknya. Itulah sebahagian kisah mengenai Nabi Yaakub dan anaknya yang dinamakan sebagai Bunyamin tatkala saudara mereka ingin membawanya bertemu Nabi Yusuf di Mesir. Ya, saya percaya, ada sebahagian pembaca terimbau sesuatu atau tersentak bila membaca ayat Allah ini. Pada saya, pesan ini cukup penting kerana saya ini seorang penceramah dan fasilitator yang mana antara keutamaan peranannya adalah memberikan teguran nasihat kepada yang mendengar.

Baru semalam saya berceramah di Dkok Eco Camp, dan pagi ini diingatkan bahawa, kata-kata yang saya lontarkan itu hanyalah satu nasihat, sebaliknya takdir itu adalah ketentuan dari Allah. Tetapi barang diingat, ia harus diawali dengan usaha sebagai percubaan melakukan sesuatu dengan cara terbaik sebagaimana pesanan Nabi Yaakub untuk memasuki Mesir dari berlainan pintu. saya, ini pesan untuk dirimu sendiri dan untuk semua pembaca, bagi yang berkata-kata, sampaikanlah nasihat itu kerana Allah, kerana ia adalah satu nasihat untuk perubahan, tetapi yang menyebabkan penerimaan itu adalah Allah, kerana Dialah pemilik kepada hati-hati kita semua. Subhanallah.

Thursday, August 14, 2014

BERDAKWAH PERLU BERJIWA BESAR

Alhamdulillah, saya ambil kesempatan menulis lagi. Saya tergerak untuk menulis kali ini disebabkan perasaan serba salah bercampur gembira dan bangga dalam usia dan keadaan saya kini, masih lagi Allah berikan peluang untuk bersama rakan-rakan bahkan adik-adik berbincang dan berbicara tentang dakwah. Perbincangan Kami adalah selepas mesyuarat dalam keadaan berdiri dan suasana suram hanya dilimpahi cahaya lampu jalan. Perbincangan terarah kepada beberapa isu berkenaan dunia dakwah yang sama-sama kami bersama di dalamnya.

Pada awalnya, sebagai Abang, sudah tentu kita rasa pandangan dan perbincangan kita yang ketuai, namun selepas beberapa ketika, perbincangan semakin rancak, banyak pula saya rasa, pandangan, kata-kata dan cerita yang saya keluarkan semakin sumbang dan keadaan itu menyebabkan saya diingatkan secara tidak sengaja (atau mungkin sengaja) oleh adik-adik. Selama hari ini kekhuatiran kepada generasi ini saya rasakan sudah ada jalan keluarnya, yang perlu sekarang adalah istiqamah dan sabar.

Pada mereka (adik-adik yang saya maksudkan) sudah ada kefahaman yang baik mengenai dakwah, yakni ia tidak memilih kawan atau lawan, ia tidak tertakluk kepada satu-satu pihak yang punya tetapi ia adalah tugas bersama. Terbaik! Mereka faham dan penilaian mereka cermat dalam hal dakwah dan merasakan dakwah ini kerja berat, kita tidak boleh pikul sendirian. Mereka juga tampaknya sudah ada kesalingan dan kebersamaan dalam kerja-kerja ummat. Mereka perlu digemblengkan. Mereka sangat memandang serius dalam hal-hal yang boleh menyebabkan permusuhan dan mereka mahu ia dielakkan.

Ya Allah, sembang kami malam itu mengiringi saya pulang ke Kuala Selangor dengan hati yang lapang dan berbunga-bunga. Saya selalu kata dan rasa, bukan generasi saya ini akan buat kebangkitan, kerana banyaknya penyakit ummat pada generasi kami yang menghalangi kami menjadi pembangkit itu. Mungkin juga bukan generasi mereka, tetapi saya yakin, yang kita mulakan hari ini, adalah pencetus kepada kebangkitan yang Allah janjikan. Janji Allah pasti dipenuhi dan saya ingin menjadi sebahagian darinya jika tidak berada di dalam kebangkitan itu sekalipun. Ya Allah tetapkan langkahku, terus tunjukkan aku jalan yang Kau redha moga aku juga tergolong di dalamnya amin.

Saturday, August 9, 2014

BERSIAP UNTUK RAMADHAN

Yūsuf:38 - "Dan aku menurut agama bapa dan datuk nenekku: Ibrahim dan Ishak serta Yaakub. Tidaklah sepatutnya kita mempersekutukan sesuatupun dengan Allah. Mentauhid - mengesakan Allah ialah hasil dari limpah kurnia Allah kepada kita dan kepada umat manusia. Tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur."

Demikianlah awal perkataan yang diungkapkan oleh Nabi Yusuf ketika dipenjara kepada 2 orang yang terpenjara bersamanya sebelum mula menafsirkan mimpi mereka. Baginda memohon kepada keduanya memaklumkan tentang hal Baginda apabila keluar nanti tetapi itu tidak berlaku dan Baginda terpenjara terus untuk beberapa tahun berikutnya.

Ya sahabat-sahabatku, lama juga tidak menulis, kekerapannya pun makin kurang, kalau kata sibuk, macam tidak, sebenarnya mungkin kerana jauh hati saya ini dari mengingati Mu Ya Allah! Astaghfirullah...

Terpanggil saya untuk menulis sedikit sebanyak sebagai peringatan kepada diri sendiri yang selalu lupa. Kisah terpenjaranya Nabi Yusuf bersama 2 orang lagi itu tergerak saya untuk melihatnya dari sudut terpenjaranya kita dari hawa nafsu kita sendiri. Allah telah anugerahkan Ramadhan untuk kita lakukan proses pembebasan diri dari hawa nafsu namun, rupanya selama hari ini saya tidak merasainya dengan sungguh-sungguh. Akhirnya, kita biarkan ia pergi begitu sahaja.

Terpenjaranya 2 orang sahabat Nabi Yusuf, apabila bebas, terlupa akan pesan Nabi Yusuf yang menafsirkan mimpi mereka, terpenjaranya saya, apabila tamat Ramadhan, rasa hilang segala derita lapar dan dahaga, astaghfirullah. Itu lah Allah berfirman, tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.

Namun, Nabi Yusuf yang terus terpenjara sedar dan amat yakin dengan apa yang Allah telah sediakan untuknya. Saya pula, tahu tetapi keyakinan amat tipis terhadap kehebatan dan keberkatan Ramadhan. Astagjfirullah. Allah sudah berfirman, tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur!

Rupanya, saya masih terpenjara dalam hidup yang kononnya bebas dan merdeka ini. Terpenjara di dalam, terpenjara roh kepada dunia yang menundukkan jasad kepada dunia. Allahuakbar. Bantulah hamba Mu ini Ya Allah. Ya Allah berikanlah aku kesempatan untuk bertemu Ramadhan akan datang. Berikan aku kekuatan membuat persiapan untuk Ramadhan Mu akan datang. Panjangkan umurku dengan rahmat dan kasih sayang sehingga dapat aku bertemu Ramadhan 1436h. Amin Ya Rabbal Alamin.