Friday, July 19, 2013

BAGAIMANA DENGAN DIRI KITA?

Jauh di dalam lubuk hati saya ini, tertanya-tanya tentang kehidupan yang dilalui setiap hari. Sebagai Muslim, banyak perkara yang kita nilai dengan pengetahuan dan pandangan agama kita. Segala perbuatan insan itu mahu tanpa disuruh kita menilai dari sudut agama, adakah perbuatan mereka itu Islami atau tidak Islami? Nampak seseorang berjalan di bazar Ramadan dengan pakaian ketat dan rambutnya perang, terus terlintas difikiran, puasa ke dia ni?

Apabila saya ke masjid pula, melihat orang beramai-ramai datang untuk solat terawih, ramai pada awalnya. Timbul pula difikiran, mereka ni sampai lapan balikla... Apa sebenarnya yang telah terpahat di dalam fikiran saya ni? Megapa apa sahaja yang dilihat mesti didahului dengan pemikiran negatif dan tidak sihat? Samalah seperti apabila melihat atau mendengar usaha yang dilakukan oleh orang Islam, maka jawapannya tak lama la tu, orang Islam tak pandai meniaga, orang Islam itu, orang Islam ini dan apabila dibandingkan antara orang bukan Islam dan Islam, yang lebih dipercayai saya orang bukan Islam, apa yang berlaku sebenarnya?

Saya cuba meneropong diri sendiri, sebenarnya cakap kita mengenai orang Islam, tuduhan kita mengenai orang Islam itu tidak lain tidak bukan adalah tuduhan kepada diri sendirilah. Saya Muslim juga seperti mereka. Jika saya menuduh mereka tidak Islami adakah perbuatan menuduh dan bersyak wasangka sesama Muslim itu Islami? Aduh, saya sebenarnya yang tidak Islami! Islam tidak mengajar kita menuduh tanpa bukti, bersyak wasangka sesama Muslim. Ia hanya mengeruhkan hubungan dan suasana.

Saya sedar, pemikiran ini telah terbentuk di bawah minda separa sedar kita sehingga ia menjadi kebiasaan dan amalan harian hidup seorang Muslim khususnya di Malaysia ini. Namun ia bukan sekadar datang dari pemikiran sahaja, ia juga patut disedari oleh semua orang bahawa mereka perlu mengatasi syak-syak yang wujud pada diri individu Muslim itu sendiri. Baru saya perasan di mana sebenarnya peranan dakwah itu perlu berlangsung. Bukan untuk semata-mata mengajak orang ke masjid, mengajak orang buat baik, tetapi yang terlebih utama adalah menunjukkan akhlak sebagai seorang Muslim. Adakah kita berakhlak sebagai seorang Muslim?

Sudah menjadi adat Melayu, apabila masuk ke masjid bersalam dengan orang di kiri kanan kita. saya pun dulu tak rajin sangat untuk bersalam sebab kononnya ia boleh mengganggu ke khusyukan orang lain. Bila dikenangkan keadaan ini, datanglah faham akan tindak-tanduk atuk nenek kita dahulu dengan budaya bersalam apabila masuk ke dalam majlis atau masjid ini. Akhlak. Melemparkan senyuman, bersentuhan, membina keakraban, membina kepercayaan, melemparkan rasa keikhlasan melalui perhubungan antara insan. Subhanallah. Berapa ramai yang saya tengok sukar untuk memberikan senyuman, memaafkan orang lain atas salah yang tidak disengajakan, khususnya di atas kenderaan dan sebagainya.

Saya terduduk sebentar bila memikirkan keadaan itu. Ini akhlak fizikal kita bagaimana akhlak di dalam hati kita? Hasad dengki, syak wasangka, tidak ikhlas dan banyak lagi penyakit-penyakit hati kita. Astaghfirullahal'azhim. Saya selalu juga memberi kuliah dan kerapkali cerita yang saya ungkapkan tentang apabila tiba akhir Ramadan, ibu-ibu akan sibuk membuat kuih raya dan pergi membeli belah untuk hari raya. Bagaimana jika Ramadan kali ini mereka tidak berbuat demikian? saya berhasrat untuk susuli teguran ini dengan merancang perubahan. Kita perlukan Muslim yang 'standard', jika mereka kerja dengan manusia ada 'standard' maka sebagai Muslim, 'standard' itu tidak akan berkurangan apabila mereka melakukannya demi Allah yang satu.
Firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Baqarah yang potong ayatnya bermaksud;

‎وَقُولُوا لِلنَّاسِ حُسْنًا
(serta ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia)
(Al-Baqarah 2:83).

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

‎الْمُؤْمِنُ يَأْلَفُ وَيُؤْلَفُ ، وَلا خَيْرَ فِيمَنْ لا يَأْلَفُ وَلا يُؤْلَفُ
(Orang mukmin adalah bersahabat dan disahabati dan tidak ada kebaikan bagi orang yang tidak bersahabat dan tidak disahabati)

[Lihat As-Shahihah 1/784 no 425]

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُزَحْزَحَ عَنْ النَّارِ وَيَدْخُلَ الْجَنَّةَ فَلْتُدْرِكْهُ مَنِيَّتُهُ وَهُوَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَيَأْتِي إِلَى النَّاسِ مَا يُحِبُّ أَنْ يُؤْتَى إِلَيْهِ
“Barangsiapa ingin dijauhkan dari api neraka, dan ingin dimasukkan ke dalam surga maka hendaklah ia menemui kematiannya dalam keadaan beriman kepada Allah dan hari akhir, serta memberikan kepada manusia sesuatu yang ingin diberikannya kepadanya.”
(Shåhiih, HR. Ahmad; dishahiihkan oleh Syaikh Ahmad Syaakir)

Råsulullåh shållallåhu ‘alayhi wa sallam bersabda:

‎لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ
“Tidaklah beriman salah seorang dari kalian hingga dia menyukai (menginginkan) bagi saudaranya segala (kebaikan) yang dia sukai bagi dirinya sendiri”
[HR Al-Bukhari (13) dan Muslim (45)]

dalam riwayat lain:

‎وَلْيَأْتِ إِلَى النَّاسِ الَّذِي يُحِبُّ أَنْ يُؤْتَى إِلَيْه
“Hendaknya ia memberi kepada orang lain apa yang ia suka untuk diberikan padanya.”
[HR Muslim (1844)]

Semoga Ramadan kali ini adalah yang terbaik buat diri kita memperbaiki pendangan dan cara hidup kita sebagai seorang Muslim dan menjadi Mukmin insyaAllah.

Rumah Kuala Selangor
19 Julai 2013 / 10 Ramadan 1434H
1.00 petang

Monday, July 15, 2013

JANGANLAH DIPALINGKAN DARI HIDAYAH

Alhamdulillah, kita sudah melangkah enam hari di dalam bulan Ramadan 1434H. Bulan yang diberikan kemuliaan dan keberkatan. Sempat saya berbuka semalam di rumah Pak Lang (Dato' Abdul Majid, Timbalan Mufti Selangor) bersembang, bermesra dengan ahli keluarga, solat berjemaah Maghrib dan Isyak, berterawih dan mendengar tazkirah ringkas dari beliau. Ramadan Al-Mubarak tidak disebut di dalam Al-Quran. Bulan di dalam Al-Quran cuma ada bulan Ramadan sahaja, 11 bulan yang lain tidak disebutkan. Mengapa bulan ini dipanggil al-mubarak?

Ia bermakna diberkati atau bulan yang penuh keberkatan. Berkat ini bererti disukai dan diganjari Allah s.w.t dengan pahala dan akan dilimpahi lagi dengan kebaikan. Maka, berkat ini sebagai contoh pada harta pendapatan gaji bulanan kita, dari RM1000.00 jika kita sedekahkan RM100.00 maka itulah harta yang diberkati, yang lainnya belum tentu lagi. Jika mahu menjadikan ia diberkati bermakna, sesuatu pemilikan itu, kepunyaan atau perbuatan itu mestilah memberi manfaat kepada diri atau orang lain. Jika makan, maka makanan itu biarlah memberi sumber tenaga untuk beribadah. Jika membeli belah pakaian hari raya, biarlah pakaian itu mampu menutupi aurat kita dari dilihat orang lain. Maka akan hadirlah keberkatan.

Maka, Ramadan Kareem ini juga bulan keberkatan. Bagi sesuatu yang berkat Allah akan limpahkan, gantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Firman Allah s.w.t dari surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud;

“Kalau kamu bersyukur atas nikmat-nikmat-Ku, Aku akan tambah lagi nikmat-nikmat-Ku. Tetapi kalau kamu kufur nikmat, ingatlah sesungguhnya siksa-Ku amat pedih.”

Maka, Allah s.w.t telah memilih kita untuk melalui bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Quran sebagai tanda kemuliaan dari firman Allah s.w.t dalam surah Al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud;

"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur."

Kemuliaan yang sehinggakan setiap mereka yang melakukan ibadah sunat maka akan diganjarkan dengan pahala ibadah wajib dan setiap amalan wajib digandakan dengan 7 kali gandaan atau lebih. Kemuliaan yang hanya Allah anugerahkan kepada umat Nabi Muhammad s.a.w.. Terdapat satu ungkapan Nabi s.a.w yang panjang bingkisan dari Al-Targhib yang bermaksud; Dari Salman r.a, katanya; Rasulullah s.a.w. telah berucap kepada kami (dalam salah satu khutbahnya) pada hari yang akhir dari bulan Syaaban sabdanya, "Wahai umat manusia, kamu sedang dinaungi (bulan Ramadhan) yang besar kemuliaannya, lagi berkat.  Bulan yang mengandungi satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan (malam Lailatul Qadar).

"Bulan yang puasanya dijadikan Allah satu perintah yang diwajibkan dan (selain dari itu) disunatkan mengerjakan sembahyang tarawih pada malam harinya".

"Barangsiapa mendampingkan diri kepada Allah dalam bulan Ramadhan dengan sesuatu dari perkara-perkara kebajikan - samalah seperti ia mengerjakan satu perintah Allah yang diwajibkan pada bulan-bulan yang lain. Dan barangsiapa yang menunaikan satu perkara yang diwajibkan Allah pada bulan itu - samalah seperti ia menunaikan tujuh perkara yang diwajibkan Allah pada bulan-bulan yang lain".

"Bulan Ramadhan juga ialah bulan kesabaran, sedang kesabaran itu pahalanya ialah syurga;  ia juga bulan untuk masing-masing bersedekah dan memberikan bantuan dan ia juga bulan yang padanya ditambahkan rezeki orang-orang yang beriman".

"Barangsiapa menjamu seorang yang berpuasa untuk berbuka puasa,  maka perbuatannya yang baik itu menyebabkan ia diampunkan dosanya dan menjadi penebus dirinya dari neraka dan ia pula mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa yang dijamu itu dengan tidak mengurangkan pahala orang itu sedikit pun".

"Sababat-sababat Baginda berkata:  "Ya Rasulullah,  kami semua bukanlah orang-orang yang ada sesuatu untuk menjamu orang-orang yang berpuasa." Lalu Rasulullah s.a.w. menerangkan:  "Allah Taala akan memberikan pahala yang tersebut kepada sesiapa yang menjamu orang yang berpuasa untuk berbuka puasa sama ada dengan sebiji buah tamar (kurma) atau segelas air sejuk atau dengan sedikit susu yang bercampur air. Bulan Ramadhan juga ialah bulan yang awalnya dipenuhi dengan rahmat,  pertengahannya dipenuhi dengan keampunan dan akhirnya dipenuhi dengan pahala yang menjadi penebus dari neraka".

"Barangsiapa meringankan beban kerja khadamnya (orang gajinya) dalam bulan Ramadhan akan diampunkan Allah dosanya dan dibebaskan dari neraka".

"Banyakkanlah kamu mengerjakan empat perkara dalam bulan Ramadhan iaitu dua perkara dilakukan untuk mendapat keredhaan Tuhan kamu dan dua perkara lagi kamu sangat-sangat perlukan. Ada pun dua perkara yang dilakukan untuk mendapat keredhaan Tuhan kamu itu ialah: Pertama - mengucap:

أَشْهَدُ أَنْ لا إِلَهَ إِلاَّ الله

Kedua - (banyakkanlah) beristighfar (memohon ampun) kepadanya dengan menyebut:

أستغفر الله


Ada pun dua perkara lagi yang sangat-sangat kamu perlukan itu pula ialah: Pertama (banyakkanlah) memohon kepada Allah Taala supaya dimasukkan kamu ke dalam syurga,  serta berlindung kepadanya dari azab neraka - dengan menyebut:

نَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ
.

"Dan selain itu, (sabda Baginda lagi): Barangsiapa memberi minum seseorang yang berpuasa (semasa berbuka puasa), Allah Taala akan memberi minum kepadanya dari kolam-Ku (kolam al-Kauthar) dengan sekali minum sahaja (yang menjadikan dia) tidak akan merasa dahaga (selama-lamanya) sehingga ia masuk ke dalam syurga.


(Diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah dalam kitab sahihnya).

Demikian mulianya dan berkatnya bulan Ramadhan dan demikian pula besarnya pahala yang diberikan bagi tiap-tiap amal kebajikan yang dikerjakan di sepanjang bulan yang membawa rahmat itu.

"(Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian Nya. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia, untuk (menerima balasan pada) suatu hari (hari kiamat) yang tidak ada syak padanya". Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya." Ali-Imran  3: 8-9)


Semoga Ramadan kali ini yang terbaik untuk kita semua dan janganlah Ya Allah, Engkau palingkan kami dari hidayah Mu. Amin.


Rumah Kuala Selangor
8.41 pagi
15 Julai 2013 / 6 Ramadan 1434H

Thursday, July 4, 2013

JOM INFAK

Firman Allah s.w.t. di dalm sural Al-Baqarah ayat 265 yang bermaksud;

"Dan perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya untuk mencari keredhaan Allah dan untuk memperteguh jiwa mereka, seperti sebuah kebun yang terletak di dataran tinggi yang disiram oleh hujan lebat, maka kebun itu menghasilkan buah-buahan dua kali ganda. Jika hujan lebat tidak menyiraminya, maka hujan gerimis (pun memadai). Allah Maha melihat apa yang kamu kerjakan."

Inilah perbuatan yang menjadi tuntutan kita sebagai Muslim dalam usaha memperteguh jiwa yakni dengan menginfakkan harta kita untuk mendapak keredhaan Allah s.w.t. Inilah gambaran Allah s.w.t sebagai balasan kepada mereka yang melakukan infak dan ianya dikeluarkan oleh orang-orang yang ikhlas, Allah menerimanya dan melipat gandakannya.Kehidupan sentiasa memberi ini harus dijadikan budaya bagi umat Islam agar mampu menghapuskan kemelaratan dikalangan umat Islam. Ia adalah satu ubat yang disediakan Allah s.w.t bagi mengatasi penyakit kemiskinan dan kefakiran pada diri manusia itu sendiri.
Namun, Allah memberikan peringatan di dalam ayat seterusnya 266 yang bermaksud;

"Adakah salah seorang di antara kamu yang ingin memiliki kebun kurma dan anggur yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, di sana dia memiliki segala macam buah-buahan, kemudian datanglah masa tuanya sedangkan dia memiliki keturunan yang masih kecil-kecil. Lalu kebun itu ditiup angin keras yang mengandung api, sehingga terbakar. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada kamu agar kamu memikirkannya."

Sudah pasti menjadi anganan semua kita, untuk memiliki kemewahan tanah yang dapat memberikan kemudahan kepada keluarga dan anak-anak kita apabila tiba dikala usia kita sudah tidak mampu bekerja keras lagi. Menurut Ibnu Abbas, bahawa perumpamaan di atas adalah untuk orang yang mengerjakan ketaatan sekian lama, lalu syaitan menghampiri mereka, lalu akhirnya ia terbawa oleh pujuk rayu musuh itu dan melakukan maksat sehingga amal solihnya habis oleh maksiatnya. Manakala menurut Syaikh As Sa'diy, gambaran dan perumpamaan ini ditujukan kepada manusia yang sebelumnya beramal shalih karena Allah baik dalam bentuk sedekah ataupun amalan lainnya, kemudian mereka itu melakukan amalan yang merusak amal solih mereka itu.

Jika kita adalah manusia dan berupaya membayangkan perumpamaan Allah s.w.t tersebut, dan menggunakan akal kita sewarasnya, tentu dia tidak akan tergerak untuk melakukan sesuatu yang merugikannya. Akan tetapi, karena lemahnya keimanan kita, akal kita dan kurangnya renungan mata hati kita (bashirah) menjadikan kita melakukan juga hal-hal tersebut. Oleh kerana itu, dalam ayat di atas, Allah s.w.t perintahkan kita untuk berfikir dan merenunginya.

Begitu juga Allah s.w.t tambahkan teguran kepada mereka yang melakukan kerja infak kepada jalan Allah s.w.t dalam ayat 267 yang bermaksud;

"Wahai orang-orang yang beriman! infakkanlah (di jalan Allah) sebahagian dari hasil usahamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untukmu. Janganlah kamu memilih yang buruk untuk kamu keluarkan, padahal kamu sendiri tidak mahu mengambilnya melainkan dengan memincingkan mata terhadapnya. Dan ketahuilah, bahawa Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji."

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dari Al-Barra', hadis ini ialah hadis hasan sahih gharib dan ada juga yang menyatakan ia adalah hadis sahih sesuai deengan syarat Muslim. Riwayat hadis menyebutkan bahawa ayat tersebut turun berkenaan dengan kami kaum Anshar, di mana kami adalah para pemilik kebun kurma. Terkadang seseorang datang dari kebunnya dengan membawa kurma tergantung banyak kurma atau sedikitnya. Ada pula seseorang yang datang membawa satu atau dua tangkai (berisi kurma), lalu ia menggantungkannya di masjid. Ketika itu penghuni Shuffah (pelataran masjid) tidak memiliki makanan, salah seorang di antara mereka apabila datang (ke masjid), mendatangi tangkai tersebut, lalu ia pukul dengan tongkatnya, kemudian jatuhlah kurma muda dan kurma kering, lalu ia makan. Ada beberapa orang yang kurang peduli dengan kebaikan datang membawa tangkai kurma berisi kurma yang kurang baik dan yang jelek, serta membawa tangkai yang sudah patah, lalu ia gantungkan di masjid, maka Allah Tabaaraka wa Ta'aala menurunkan ayat, "Yaa ayyuhalladziina aamanuu anfiquu min thayyibaati…dst. illaa an tughmidhuu fiih." Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda, "Jika salah seorang di antara kamu diberi hadiah sama seperti yang dia berikan, tentu dia tidak akan mengambilnya kecuali dengan memicingkan mata atau malu." Setelah itu, salah seorang di antara kami datang dengan membawa kurma yang baik yang ada di sisinya.

Firman Allah s.w.t lagi dalam ayat 268 yang bermaksud;

"Syaitan menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat jahat, sedangkan Allah menjanjikan keampunan dan kurnia Nya kepadamu. Dan Allah Maha Luas (kurnia Nya) lagi Maha Mengetahui."

Inilah peringatan Allah s.w.t tentang permainan syaitan dalam jiwa manusia untuk melakukan infak di jalan Allah s.w.t. Apabila tiba waktu untuk membuat kebaikan, usahalah ia tertangguh walaupun satu minit, kerana ia akan membuka ruang was-was yang akan dipenuhi oleh syaitan yang akhirnya merosakkan amalan baik itu. Walaupun ia dilihat baik, tetapi amalan itu dicacatkan dengan kerosakan pelaku itu sendiri. Ramadan kian menjelma lagi, marilah kita melatih diri kita untuk memberi di jalan Allah s.w.t. Ia bukanlah pemberian hanya untuk peperangan, khususnya di Malaysia, peperangan bukan agenda kita, tetapi insan-insan yang tersekat diri mereka dari kesenangan di dunia, kemiskinan, kefakiran, mencari kebenaran hidup memerlukan sokongan dan bantuan mungkin di dalam bentuk sokongan moral, bantuan makanan dan apa sahaja keperluan asasi mereka. Jom, usah tunggu lagi. Jom Infak!

INGIN MENYUMBANG UNTUK RAMADAN DAN SYAWAL? KLIK DI SINI.

Tuesday, July 2, 2013

JIKA ALLAH MENGHENDAKINYA PASTI TIDAK BERLAKU BUNUH-MEMBUNUH

Begitu ideal rasanya apabila kita sebagai manusia mengharapkan kehidupan yang tidak ada persengketaan. Mana tidaknya, setiap hari kita mendengar ada sahaja peperangan dan ada sahaja kematian disebabkan perang dan tidak kurang juga kerana pembunuhan. Maka timbullah dari sebahagian kita hari ini yang memperjuangkan hak asasi manusia.

Bagaimana tanggapan kita pula sebagai Mukmin? Ya, dari cahaya keimanan itu, maka pastinya peperangan bukanlah jalan penyelesaian, bukan jalan damai. Peperangan melibatkan nyawa dan masa depan generasi baru kita. Keimanan menyegarkan perdamaian, kasih sayang dan persaudaraan. Perselisihan pendapat seharusnya tidak disusuli dengan reaksi emosi, sebaliknya menggunakan daya fikir yang dipandu wahyu Allah s.w.t untuk mencari kebenaran dan kedamaian hidup manusia.

Iblis telah berjanji untuk tidak memberi ruang kepada usaha berbuat baik manusia. Mengapa permintaan ini Allah s.w.t izinkan agaknya? Kisah Habil dan Qabil memberikan pengajaran bagaimana keinginan nafsu telah mengatasi perintah wahyu maka akhirnya yang baik terkubur. Adakah ini bermakna kebaikan tidak boleh berkembang di dunia ini? Dalam banyak pengalaman hidup kita, pasti kita merasai bahawa yang baik akan kalah dan yang buruk akan berkuasa. Segalanya adalah pada janji dan ketetapan Allah s.w.t. Bagi manusia, berusahalah untuk berbuat baik kerana kebaikan itu sebenarnya hanya ada di syurga Allah s.w.t. Letakkan diri kita di dalam syurga Allah s.w.t.

Telah Allah s.w.t peringatkan bahawa tugas manusia adalah mentadbir alam ini dengan panduan yang telah disediakan pada masa yang sama menjadi hamba yang taat kepada perintahnya. Usahlah pertelingkahan dan perselisihan itu berpanjangan dan mencari kepentingan individu atau kelompok tertentu sahaja, sebaliknya, ambillah semangat Ar-Rasul s.a.w. Baginda telah melawat hingga ke syurga dan neraka (Israk Mikraj). Baginda boleh meminta agar dikekalkannya di syurga, tak perlu turun ke bumi semula, tetapi jiwa Baginda cukup besar dengan semangat kasih sayang dan kemahuan untuk menyelamatkan umat, Baginda kembali ke alam dunia dan berjuang sepanjang hayatnya untuk umatnya hari ini.

Peluang ada pada kita, akal Allah anugerahkan kepada semua, pilihannya, bergantung kepada diri sendiri. Pada setiap kerasulan itu adalah kelebihan mereka, ada yang berkuasa sebagai pemerintah, ada yang menghadapi tekanan pemerintahan, ada yang menjadi buruan dan ada juga yang menanggung kesakitan yang amat. Pada kerasulan Baginda s.a.w adalah kemuliaan umatnya yang ramai. Namun, idealnya untuk mendapat kehidupan umat idaman yang tanpa kecelaruan itu adalah sesuatu yang diluar jangkauan akal manusia.

Selagi iblis masih bekerja, maka nafsu akan dirasuk dan digelapkan hati manusia. Oleh yang demikian, kerosakan akan terus berlaku, pertelingkahan dan peperangan akan menjadi tatapan harian kita. Apa usaha kita? Jangan masuk dan berada dalam kalangan mereka yang melakukan kerosakan ini, kerana jika kita tidak merasai kedamaian itu di dunia, Allah akan sediakannya di akhirat, dan damai dunia yang sebenar adalah damai yang Allah datangkan dalam hati Mukmin walaupun dikala peperangan yang sedang memuncak.

'Rasul-rasul Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang tertentu). Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya, dan ditinggikanNya (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan. Dan Kami berikan Nabi Isa ibni Maryam beberapa keterangan kebenaran (mukjizat), serta Kami kuatkan dia dengan Ruhul-Qudus (Jibril). Dan sekiranya Allah menghendaki nescaya orang-orang yang datang kemudian daripada Rasul-rasul itu tidak berbunuh-bunuhan sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan (yang dibawa oleh Rasul mereka). Tetapi mereka bertelingkah, maka timbulah di antara mereka: orang yang beriman, dan orang yang kafir. Dan kalaulah Allah menghendaki tentulah mereka tidak berbunuh-bunuhan; tetapi Allah melakukan apa yang dikehendakiNya.' (Al-Baqarah 2:253)