Tuesday, May 21, 2013

HATI INI ALLAH YANG PUNYA

Sesungguhnya segala amal itu dikira bergantung pada niatnya seorang pelaku itu dan niatnya itu hadir di dalam hati manusia. Firman Allah s.w.t yang bermaksud;

'...Dan ketahuilah sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada dalam hati kamu, maka beringat-ingatlah kamu akan kemurkaanNya, dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.' (Al-Baqarah 2:235)

Amal perbuatan harian kita ditentukan baik buruknya berdasarkan niat apabila ia dilaksana. Oleh itu, didiklah hati kita supaya mengarah kepada yang esa pada setiap saat yang kita ada. Hati yang lurus, bersih dan fokus kepada apa yang di perintah Allah s.w.t akan membantu meluruskan akal fikiran kita ke arah perilaku, perbuatan dan perkataan yang diredhai Allah s.w.t.

Kebijaksanaan itu tidak ternilai bahkan lebih bernilai apabila ia hadir dengan keikhlasan hati si pelaku. Akal dan hati adalah satu anugerah yang berada luar dari jangkauan manusia. Ia tidak dapat diterjemah secara fizikal bagaimana ia datang dan ia berfungsi. Tetapi ketundukan kepada yang Maha Pencipta mendatangkan perasaan yang amat luar biasa sehingga mampu mengubah tindakan, perbuatan serta percakapan manusia.

Maka, hati ini Allah s.w.t pinjamkan kepada kita. Cuba bayangkan, jika kita orang yang selalu meminjam barangan kawan kita, dan pada setiap kali pinjam, kita tidak jaga, tidak prihatin terhadap barang yang dipinjam, apa kesannya apabila kita mahu pinjam lagi? Tentu sukar, banyak syarat dan mungkin tidak diizinkan lagi kerana telah hilang kepercayaan.

Bagaimana pula jika kita berkelakuan sebaliknya dari yang di atas tadi? Sudah tentu kawan kita itu, tidak berkira, percaya bahkan tidak gusar langsung untuk meminjamkan sesuatu kepada kita. Maka, begitulah gambaran kepada si pemberi pinjam hati kita ini. DIA Maha kuasa, maka DIA Maha tahu apa kelemahan kita, dipinjamkan hati maka, jika kita menjaga hati ini dengan sempurna, kemudahan dunia Allah anugerahkan dan kesenangan akhirat Allah hadiahkan, dan jika hati ini kita abaikan naluri dan fitrahnya, maka dunia Allah bebankan, akhirat jadi tempat pembalasan. Ingatlah hati ini Allah punya.

Sakit tubuh badan kita akan berakhir apabila kita ke liang lahad disiksa jika ada dosa-dosanya, tetapi sakit hati kita, membawa ke neraka dan siksaannya Allah sahaja yang tahu berapa lama masanya.

Monday, May 20, 2013

MUHASABAH DIRI

Dunia semakin pantas berputar, berjalan dan bergerak. Kemudahan semakin bertambah seiring dengan hiburan dan perkara yang melalaikan. Apabila saya melangkah masuk ke satu 'cyber cafe' berhampiran rumah saya, dapat dirasakan kehangatan hiburan dalam kehidupan anak-anak muda hari ini yang pada hemat saya sangat tidak bertepatan dengan apa yang bermain difikiran dan dalam hati ini.

Anak muda ini (wanita) tidak ada perasaan malu dalam diri, bercakap dengan lantang, berpakaian tidak cukup kain, bersolek keterlaluan dan pelbagai cerita yang keluar dari mulutnya, tanpa ada rasa segan menceritakan situasinya bersama pasangannya. Jauh dilubuk hati saya, bertanya bersendirian, mengapa mereka begini?

Mungkinkah mereka menghadapi masalah dalam keluarga sebagaimana kebiasaan yang saya jumpa dalam program-program sekolah? Apa peranan yang saya boleh mainkan? Rasa benci itu memang membakar, tetapi bukan pada orangnya, kepada sikapnya. Bila saya ke kaunter untuk membayar, disambut lemah lembut dan sopan. Bahkan, ada seorang dari kawannya (lelaki) sempat membuka ceramah Ustaz Azhar Idrus. Mereka gembira dan ambil kesempatan sebentar untuk mendengar. SubhanAllah. Saya fikir, di dalam hati mereka ada sedikit cahaya, tetapi ditutupi oleh keladak hitam yang belum dibersihkan.

Saya suka membandingkan diri sendiri dengan mereka. Tahu hukum, belajar tinggi, pengalaman banyak, keluarga baik-baik, baca Al-Quran, hadis tetapi kesan dalam hati seperti sama sahaja dengan mereka. Mereka mungkin tidak tahu hukum, belajar tidak tinggi, pengalaman tidak banyak, keluarga mungkin tidak begitu baik, tak baca Al-Quran, hadis, tidak sampai ilmu itu pada mereka. Bahkan bila dibacakan ayat-ayat Allah ini, kita tujukan pula kepada mereka dan mengatakan mereka begitu dan begini seolah-olah merekalah yang melakukan segala kesalahan dan kemungkaran, astaghfirullah hal azim.

'...Dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hukum Allah itu sebagai ejek-ejekan (dan permainan). Dan kenanglah nikmat Allah yang diberikan kepada kamu, (dan kenanglah) apa yang diturunkan kepada kamu iaitu Kitab (Al-Quran) dan ilmu hikmat, untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya. Dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah: sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.' (Al-Baqarah 2:231)

Mudah-mudahan saya dan kita semua tidak termasuk dalam golongan yang menjadikan ayat-ayat hukum ini sebagai ejekan. Permainan dibibir-bibir kita ini dengan ayat-ayat Allah. Nauzubillah hi min zalik.

'...Demikianlah diberi ingatan dan pengajaran dengan itu kepada sesiapa di antara kamu yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik bagi kamu dan lebih suci. Dan (ingatlah), Allah mengetahui (akan apa jua yang baik untuk kamu) sedang kamu tidak mengetahuinya.' (Al-Baqarah 2:232)

Wednesday, May 15, 2013

SELAMAT HARI IBU?

Hari ini (12 Mei 2013), seluruh dunia menyambut hari ibu. Greek kuno menyambut hari ibu yang di panggil cybele. Ibu kepada dewa-dewa mereka. Begitu juga bagi masyarakat Roman kuno dahulu yang menyambut hari ibu dewa-dewa mereka dengan sambutan matronalia, sambutan untuk ibu dewa mereka bernama juno, ibu kepada dewa juventus, vulcan dan mars.

Manakala di barat, menurut Prof. Dr. Yusof Al-Qardhawi, sambutan ini adalah bagi menggalakkan remaja-remaja mereka yang rendah dari sudut moral dan tatsusila supaya menghargai, menghormati dan mengasihi ibu-ibu mereka. Namun bagi masyarakat kita di Malaysia, menghargai dan memgutamakan ibu-ibu ini adalah keutamaan, bukan hanya pada hari ini sahaja bahkan setiap hari.

Sekiranya, sebagai Muslim, menjadikan hari ibu sebagai sambutan secara syarak, atau tuntutan dalam Islam, maka haram hukumnya kerana tiada perayaan seumpama ini di dalam Islam. Hanay ada 2 perayaan dalam Islam yakni Aidil Fitri dan Aidil Adha. Tambahan pula, Islam memerintahkan kita untuk mengingati ibu pada setiap masa dan ketika. Selagi ada upaya untuk mengutamakan ibu dalam setiap sudut hati dan fikiran serta perbuatan. Islam telah memuliakan ibu semenjak dahulu lagi. Pelbagai sejarah hebat yang mendahului sejarah-sejarah hebat ibu-ibu hari ini.

Pastinya kita ingat, nama-nama agung yang tercatat di dalam Al-Quran dan hadis seperti Siti Mariam, Siti Hajar, Aishah, Khadijah dan ramai lagi. Mereka ini ummat wanita juga ibu-ibu yang amat berjasa serta menjadikan nilai seorang ibu tidak terperi pentingnya di dalam kehidupan seorang suami, ayah serta anak. Islam menyambut baik keraian sebagai tanda kasih pada ibu tetapi bukan hanya pada hari ini sahaja. Bahkan lakukanlah ia pada setiap hari. Hadiah, kek atau apa sahaja, hanyalah sebagai lambang material pemberian kepada mereka, tetapi apa yang lebih utama adalah kasih sayang, perhatian dan rasa tanggungjawab untuk menjaga dan memelihara mereka.

Ambillah kesedaran hari ini untuk kita muhasabah diri, cukupkah sumbangan kita kepada ibu kita sementara mereka masih bernyawa? Ianya juga satu peringatan penting untuk si suami, keluarga bahagia bukan dibentuk kerana materialnya, tetapi dibentuk kerana kasih sayang anak-anak di dalam keluarganya. Hari ini, ramai dilihat ibu-ibu yang terbiar dek kerana suami yang meninggalkan peranan jihadnya di dalam keluarga. Binalah ketaqwaan kita di dalam keluarga kita. Ketahuilah, jika si ibu berperanan dan si ayah membantu peranan, anak-anak pasti menghargai peranan kalian.

'Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu; dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemuiNya (pada hari akhirat kelak) dan berilah khabar gembira wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman.' (Al-Baqarah 2:223)

Renungilah, ayat ini dengan teliti dan berhati-hati, ayat megikut cara yang kamu sukai, bukan bermakna sehingga melanggar keredhaan Allah s.w.t serta pesanan Allah s.w.t jangan dilupa untuk menyediakan amal-amal yang baik buat diri dan bertaqwalah kepada Allah. Selamat Hari Ibu? Doakan ibu kita hari-hari selamat, di dunia dan akhirat.

Thursday, May 9, 2013

MAHU KITA, PEMBERIAN HANYA DARI NYA

Ramai yang menyatakan kekecewaan apabila keputusan PRU13 diumumkan. Tidak kurang juga yang mengeluarkan kata-kata tidak enak dibaca tentang perkara yang berlaku sepanjang PRU13 berlangsung. Saya sendiri berasa sakit mata membaca paparan-paparan dari kawan-kawan yang pada saya agak keterlaluan dan mengikut emosi.


Apa yang dapat dilihat, Pakatan Rakyat semakin mengembang pengaruhnya yang semakin mengecilkan penguasaan Barisan Nasional. Ini ketara dalam isi kandungan yang dipaparkan oleh beberapa analisa awal PRU13. Saya tidak berniat untuk memberikan pandangan tetapi lebih terkesan kepada suasana yang wujud di FB dan laman sosial lain hasil dari PRU13. Allah s.w.t telah mengingatkan kita semua dalam kitab Nya yang bermaksud;

'Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.' (Al-Baqarah 2:216)

Jika ayat ini menjadi peringatan buat kita semua, maka wajarlah untuk kembali mengingati Allah s.w.t muhasabah diri tentang apa sahaja yang berlaku. Apabila muhasabah ini tidak berlaku, emosi menguasai sebahagian besar dari diri akhirnya kedua-dua pihak, yang menang atau yang kalah mula menggunakan akal tanpa paksinya Al-Quran. Setiap pertuduhan perlukan bukti bukan sekadar persepsi yang dihidangkan dalam media sosial semata-mata. Jika timbul kekeliruan, pertuduhan atau persepsi pelbagai, ada sebahagiannya perlu dijernihkan, biar ada keikhlasan dan ketelusan dalam melaksana amanah, bukan peluang, amanah. Selebihnya, serahkan kepada Allah s.w.t yang telah mencaturkan segalanya.

Kehangatan ini mencetuskan sifat perkauman yang amat membimbangkan dan saya menyarankan agar suasana ini usah dibiar berpanjangan. Sebagai Muslim, sifat assabiyah ini telah lama ditenggelamkan oleh Nabi s.a.w dan ia tidak perlu digembar-gemburkan dengan cara provokasi yang mendatangkan ketegangan. Fikir ke hadapan. Berfikiran besar. Jika berfikiran cetek, maka baik diri sendiri selalu dilihat dan diperbesarkan sama seperti keburukan orang lain juga dimulut mereka. Berfikiran rendah, bercakap pula tentang keburukan dan aib orang lain, tentang diri sendiri di diamkan tidak mahu diperbetulkan atau muhasabah.

Saya sentiasa mengharapkan hari-hari kita yang mendatang ini akan penuh dengan kebaikan, keberkatan dan kegembiraan. Maka, lalui hidup dengan tenang kerana mengingati Allah bukan lapang kerana mendapat kesenangan atau kemenangan. Hiduplah sebagai manusia yang bermanfaat bukan hanya menunggu ada peluang atau sudah menang. Itulah yang lebih baik, kerana kemenangan pilihanraya adalah beban, bukan kemasyuhuran, kerana ia adalah amanah yang dipikulkan. Sekarang kita mahu, tapi Allah s.w.t kata belum lagi. Pemberian itu datang dari Dia yang Maha Tahu.

Monday, May 6, 2013

MARI BERBELANJA

Apabila menilai situasi, melihat persekitaran yang menampakkan kesusahan, kesederhanaan serta rendah diri manusia kerana kemiskinan mereka, maka pastinya kita bertanya dalam diri kita, Muslimkah mereka? Apabila melihat wanita warga emas meniaga kerepek, mengusungnya dari satu rumah ke satu rumah, dari satu meja ke satu meja, bertudung, adakah kita bertanya lagi di dalam hati kita, Muslimkah mereka?

Respon mudah kita berkata, sekurang-kurangnya mereka cari rezeki yang halal, tidak mencuri. Ya, itu seorang yang dilihat oleh mata kita. Seorang warga emas, tidak terfikirkah kita di mana saudaranya? Di mana anak-anaknya? Jika susah hidupnya, tidakkan anak-anaknya juga susah? Adakah anak-anaknya mahu bekerja seperti ibunya itu? Berdasarkan pengalaman dalam kehidupan setiap kita, pasti ada jawapan yang menjurus kepada persoalan tadi. Pelbagai jawapannya kerana ada pelbagai kemungkinan.

Tetapi itu bukanlah usul utama perbincangan, sebaliknya, kita Muslim dan adakah kita akan membiarkan Muslim sebegitu rupa? Kekayaan bukan segalanya, ungkapan ini biasanya kata-kata pujukan untuk yang tidak kaya. Bagi si kaya, kekayaan adalah keutamaannya. Jika sudah untung seribu, tidak mahu rugi walaupun sepuluh. Inilah ketamakan harta dunia. Hasil ketamakan ini, manusia jadi siapa sahaja yang nafsunya mendorong yang akhirnya keutamaan itu jadi haknya, bukan orang lain.

Sangat jarang atau sukar untuk kita mendengar, kekayaan dan kemudahan saya ini adalah untuk khidmat dan bakti kepada orang lain. Tetapi pengorbanan ini di dalam dunia hari telah ada bukti bahawa ia berkesan dan tidak membawa kepada kepapaan. Mengapa? Menjadikan diri lebih baik untuk memperbaiki kehidupan orang lain adakah ia akan merugikan? Firman Allah s.w.t yang bermaksud;

'Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.' (Al-Baqarah 2:195)

Inilah saranan Allah. Saranan yang datang dari Pemilik alam ini. Keutamaannya adalah untuk membantu setiap Muslim itu menjadi lebih baik, usaha datang dari apa sahaja yang kita ada, harta, masa, muda, lapang, ilmu dan sebagainya. Usah jadi si bakhil, ia adalah suatu kebinasaan.

Thursday, May 2, 2013

AMBIL HARTA DENGAN JALAN YANG SALAH

Tidak kiralah apa pangkat, kedudukan, di sisi masyarakat mahupun keluarga, jabatan atau di mana-mana sekalipun, ingatlah firman Allah s.w.t yang bermaksud;

'Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).' (Al-Baqarah 2:188)

Salah sebuah hadis yang diceritakan oleh Huzaifah, bagaimana Baginda Nabi s.a.w mengkhabarkan rupa bentuk amanah setelah ketiadaan beliau. Rasulullah memberitahunya ada 2 keadaan. Amanah itu akan hilang kerana umat ini membuat dosa. Ia seolah-olah seseorang tidur dan lalu bangun, apabila bangun maka amanah itu tinggal seperti bengkak pada tangan manusia. Kemudian, mereka tidur lagi dan bangun, maka amanah itu tinggal seperti parut. Maka, jika dibayangkan sudah tentu amanah itu masih dapat dilihat dan terserlah.

Maka, dalam hadis itu, Baginda terus menjelaskan akan tiba satu masa, amanah itu seperti memijak batu, berkesan di tapak kaki, tetapi hilang sedikit demi sedikit, begitulah amanah pada zaman itu. Sehinggakan jika ada mereka yang dilihat amanah, masyarakat akan mengkagumi dan menjadi sebutan orang ramai, tetapi sebenarnya, di dalam hati orang yang dikagumi itu, tidak ada iman sebesar biji sawi pun. Tiada daya kita manusia melainkan Allah s.w.t yang berkuasa.

Maka, amanahlah pada setiap tugas dan jawatan yang diberikan. Jadilah insan, yang menjaga hubungan dengan sesama manusia, berlembut dan berkasih sayang, adil serta bertanggungjawab. Jadilah insan yang ihsan, takut akan Allah s.w.t, tahu dia sedang melihat, yakin bahawa dia Maha Mengetahui.

Wednesday, May 1, 2013

AMAL KEBAJIKAN

'Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, - kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa.' (Al-Baqarah 2:177)

Demikianlah banyak ruang dan peluang bagi manusia untuk melakukan kebajikan. Beriman itu sendiri merupakan satu kebajikan. Kebajikan itu sesuatu yang amat disenangi dan menjadi pengubat kepada hati yang sedang dalam duka nestapa. Mensyukuri nikmat iman adalah penting kerana dengannya sahaja manusia telah mendapat pahala kebajikan. Manusia beriman sentiasa ingin menyebarkan kebaikan.

Orang beriman yang mempunyai harta akan mendermakan harta yang disayanginya kepada kaum kerabatnya, anak yatim serta orang miskin dan musafir yang memerlukan. Mereka juga memerdekakan hamba. Konteks kita hari ini, sudah tiada hamba, tetapi membantu Muslim yang ingin kembali mencari kebenaran Iman dan Islam merupakan salah satu usaha memerdekakan, bukan sebagai hamba tetapi dari kejahilan hidup di dunia.

Kebajikan juga adalah dengan memenuhi tuntutan syariat sebagai seorang Muslim dengan mendirikan solat. Berapa ramai hari ini mereka yang meninggalkan solat? Lihat sahaja disekitar kita, pada setiap masuk waktu solat, berapa ramai yang bingkas bangun untuk bersolat? Puasa, zakat, haji juga tidak kurang hebatnya, cuma ia bermusiman, maka ibadah ini lebih diutamakan berbanding yang harian.

Buat mereka yang diberikan amanah, sebagai ketua, pemimpin mahupun sekadar pekerja bawahan, maka memenuhi amanah dengan penuh kejujuran adalah suatu kebajikan dan ia akan dikira di akhirat kelak. Usah gusar tentang sifat amanah, usahkan takutkan kwrugian dunia kerana sifat itulah sifat orang yang benar dan bertakwa. Bersabarlah dalam apa jua kesempitan mahupun tekanan kerana sabar itu penyejuk kepada kesusahan, ia kebajikan dalam menerima ujian dari Allah s.w.t.