Sunday, April 21, 2013

TIADA TUGAS LAIN

Teringat satu kisah seorang pemuda yang pada suatu awal pagi, beliau bangun bersiap diri untuk menunaikan solat Subuh di masjid. Setelah bersiap, beliau keluar berjalan dalam keadaan gelap menuju ke masjid. Ketika berjalan, tiba-tiba beliau tersepak sebatang kayu lalu jatuh. Kotor dan basah pakaiannya. Lalu si pemuda ini bangkit dan kembali ke rumah. Beliau mandi dan mengenakan pakaian baru lalu keluar semula untuk ke masjid.

Setibanya beliau ke tempat tadi beliau terjatuh lagi. Innalillah, kotor dan basah lagi pakaiannya. Maka sekali lagi beliau kembali ke rumahnya, mandi dan bersiap diri buat kali ketiga. Kesabaran ini cukup hebat untuk diteladani. Firman Allah s.w.t yang bermaksud;

'Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.' (Al-Baqarah 2:168)

Beliau pun berlalu tiba ke tempat yang sama, tiba-tiba datang satu suluhan cahaya yang menyelamatkan beliau dari jatuh buat kali ketiga. "Terima kasih pak cik", kata pemuda itu.

"Kamu nak ke mana?", tanya si tua kepada pemuda itu.

"Saya nak ke masjid, tapi sudah 2 kali saya terjatuh di sini", jawab si pemuda itu.

"Takpe lah, mari pak cik suluhkan", pelawa si tua. Tiba di masjid, si pemuda masuk solat, tetapi si tua tidak. Selesai bersolat si pemuda bertanya, "Pak cik tak solat?"

"Tidak", jawab si tua ringkas. Si pemuda kebingungan.

"Aku iblis", sambung si tua itu. Si pemuda keliru. Lebih kebingungan.

"Jika pak cik iblis, mengapa menghantar saya sehingga ke pintu masjid?" Tanya pemuda itu.

"Ya, aku sudah menghalangmu kali pertama, kamu jatuh, tetapi kamu bangkit, pulang ke rumah, bersiap diri dan keluar semula kali kedua, pada ketika itu Allah telah mengampunkan semua dosa kamu", kata si tua.

"Kemudian aku halangi lagi, kamu jatuh, tetapi kamu bangkit dan bersiap diri dan keluar dari rumah buat kali ketiga, ketika itu Allah telah ampun seluruh dosa ahli keluarga mu", jawab si tua lagi.

"Mengapa kamu tidal halangi aku kali ketiga, mungkin aku tidak keluar dari rumahku", tanya pemuda itu.

"Itu tidak boleh, jika kamu jatuh kali ketiga dan jika kamu keluar semula, akan susahkan aku, sebab, segala dosa orang kampung ini akan dihapuskan", jawab si tua. Inilah tugas dan matlamat kerja iblis yang tidak akan berhenti menyesatkan kita semua. Putuskan hubungan kita dengan iblis dan perbaiki hubungan kita dengan Allah. Pasti, mereka tiada tugas lain.

'Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji, dan (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui (salah benarnya).' (Al-Baqarah 2:169)

Wednesday, April 17, 2013

SEGALANYA KEMBALI KEPADA ALLAH

Apabila kita berada dalam keadaan senang, maka bandinglah diri kita dengan mereka yang lebih memerlukan midah-mudahan itu akan menyebabkabkan kita ingat bahawa semuanya datang dari Allah dipinjamkan untuk memudahkan perjalanan kita sebagai musafir di atas kehidupan yang sementara ini. Firman Allah s.w.t yang bermaksud;

'Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.' (Al-Baqarah 2:155)

Bagi sebahagian kita Allah akan datangkan perasaan takut. Hati ini milik Allah s.w.t kerana itu, kita dapat melihat, ada sebahagian manusia apabila di datangkan musibah mereka seolah-olah hilang kebergantungan kepada Allah yang akhirnya menjadikan mereka terlalu marah, terlalu sedih dan ada sebahagiannya sanggup untuk membunuh diri dan keluarga mereka sebagaimana berita di dada akhbar yang dapat kita baca dan mengambil ibrahnya.

Peribadi yang sabar, hampir dengan Allah pada ketika musibah menimpa, mereka dapat menangani hati mereka dengan baik. Maka, tekanan atau stres itu mereka rasakan seperti keadaan biasa harian cuma di datangkan sedikit ujian dan lidah mereka tidak putus-putus menyebut;

'(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."' (Al-Baqarah 2:156)

Jom kita semak diri kita di kala Allah datangkan kesusahan semestinya ia adalah perasaan. Jika tidak, bagaimana seseorang yang berpendapatan 10k, menjadi gundah gulana dan berasa tidak cukup apabila pendapatannnya hanya tinggal 5k? Bagaimana kita tangani perasaan kita? Sesungguhnya segalanya datang dari Allah, maka kembalikanlah ia kepada Allah, Dia Maha Mengetahui.

Thursday, April 11, 2013

ALLAH YANG MENCORAKKAN

Alhamdulillah, dipilih Allah s.w.t dalam keluarga Islam, beramal dengan Islam dan menghayati Islam. Firman Allah s.w.t yang bermaksud;

'(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: "Ugama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat".' (Al-Baqarah 2:138)

Manusia berusaha untuk mencorakkan kehidupan mereka dengan corakkan yang paling sempurna. Inginkan keselesaan, kemewahan, kesenangan, kedudukan dan sebagainya. Dari awal pagi sehingga ke lewat petang asyik dengan usaha mencorakkan itu. Namun jika corakkan itu tidak selari dengan corakkan Allah s.w.t biasanya ia tidak berjaya dicapai.

Ini disebabkan oleh pengetahuan Allah s.w.t yang Maha Luas, maka dia lebih tahu berbanding diri kita sendiri. Pada ketika kita kehabisan wang, perkara pertama yang kita fikirkan apa yang nak dilakukan esok tanpa wang? Tiba-tiba datang seorang rakan lama ingin membayar hutang yang boleh dikira lapuk kerana perniagaannya telah berjaya. Senyum pasti bersinar pada wajah kita, tanpa diminta, tidak pun sempat berdoa, Dia tahu keperluan maka disediakannya untuk kita.

Jika dalam hidup kita Dia pencorak yang terbaik, begitu juga dengan Islam, Dialah pemilik, Islam atas redha Nya, maka Islamlah cara hidup yang terbaik. Oleh kerana itu yakinilah pada setiap pemberian Nya yang berupa kesenangan, kesempitan, kelapangan, kesusahan dan banyak lagi. Pasti ada natijah untuk kita. Apa yang utama, berterusan beribadat dan memohon dari Allah untuk kehidupan kita yang terbaik kerana Allahlah yang mencorakkan.

Wednesday, April 10, 2013

APA YANG TELAH KITA USAHAKAN?

Allahu akbar! Berdebar jantung saya setiap kali memulakan hari. Hari ini Allah bangkitkan lagi dari mimpi lena sebentar, merehatkan fizikal dan jiwa dan mungkin juga akal fikiran. Rehat itu cuma sebentar dan amat sementara, begitulah yang Allah telah kurniakan hidup ini untuk kita. Ianya umpama tidur, bila lena dan bermimpi, ah sungguh indahnya, tetapi apabila dibangkitkan kelak pada hari perhitungan bersediakah kita?


Saya khuatir pada setiap hari yang berlalu, tiada peringatan yang dikongsi, tiada manfaat yang dirasai oleh mereka yang hampir dengan kita. Apa jasa bakti yang diberi? Allah, lemahnya hamba Mu ini. Tidak upaya bangkit, keluar dari selesa yang menjerat. Bandingkan pula rutin kita dengan contoh terbaik umat, khaira ummatin ukhrijat linnaas. Bagaimana mereka mengisi kehidupan mereka?

Jelas, hidup mereka menjadi pendamai pada manusia, mencukupkan apa yang tidak cukup, menjadikan seluruh umat taat perintah Nabi dan menjunjung perintah Allah s.w.t. Mengisi kehidupan mereka dengan dakwah, bertebaran di muka bumi Allah untuk mencari keredhaan Nya yang tertinggi. Bagaimana dengan generasi kita hari ini? Bagaimana dengan saya sendiri? Allahu...

Firman Allah s.w.t yang bermaksud;

'Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang mereka telah usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang telah mereka lakukan.' (Al-Baqarah 2:134)

Kita akan ditanya tentang apa yang kita sedang usahakan. Bagaimana? Dah bersedia untuk berikan jawapan? Maka, mari kita renung dan fikirkan, apa yang kita usahakan?

Tuesday, April 9, 2013

KESENANGAN DUNIA UNTUK DUNIA

Firman Allah s.w.t yang bermaksud;
'Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka". Allah berfirman:" (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali".' (Al-Baqarah 2:126)

Demikianlah peringatan Allah s.w.t kepada kita semua. Doa Nabi Ibrahim mengharap agar dilimpahkan kurniaan rezeki yang baik buat ummatnya diperkenankan oleh Allah s.w.t. Tetapi Allah telah menggambarkan sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim yang kerapkali kita baca seharian di dalam basmalah. Yakni kebaikan rezeki yang dilimpahkan bukan untuk mereka yang beriman sahaja bahkan untuk semua walaupun mereka kufur dan engkar kepada perintah Allah s.w.t.

Konteks ayat ini, menurut penterjemah adalah tanah Makkah. Namun jika jika kita amati, Allah tidak hanya menurunkan rezeki yang baik itu di Makkah, bahkan diserata tempat di atas muka bumi ini. Rezeki yang berbeza-beza pula, lain rasa, lain warna dan berlainan pula kegunaannya. Bahkan nikmat itu semakin banyak apabila ditambahi dengan nikmat akal manusia yang berjaya mencipta pelbagai kemajuan.

Asal kejadiannya hanya menjadi buah, Allah hasilkan rezeki berfikir sehingga manusia mampu mengubah dari rasa sebiji buah kepada kordial air, perasa makanan dan sebagainya sehinggakan dikenali ke seluruh dunia. Rupanya inilah perkenan Allah s.w.t. Maha Pemberi yang tidak putus-putus memberi. Lihat sahaja kemajuan teknologi yang setiap hari kita dapat dengar dan ketahui ada sahaja penemuan-penemuan baru. Subhanallah. Orang-orang beriman melihat ruangan nikmat ini adalah untuk dimanfaatkan agar ia menjadi modal bekal membawa ke syurga. Maka, dengan nikmat-nikmat itu, mereka berkongsi, saling membantu dan saling memberi kerana ia adalah satu kemuliaan bagi mereka. Orang-orang yang kufur dan engkar menjadikan pemberian Allah s.w.t itu sebagai milik mereka, hak mereka, mereka punya, yang lain jika mahu usahakanlah sendiri. Mereka telah penat mengusahakannya, maka itu semua, mereka punya. Maka, kesenangan dunia mereka itu, tidak jauh hanyalah untuk dunia. Akhirat adalah kemenangan untuk orang-orang yang beriman.

Monday, April 8, 2013

BAGAIMANA PRU13?

Lama juga saya 'terdampar' di rumah dalam keadaan kesihatan yang agak merunsingkan dan menyekat kebebasan bergerak. Beberapa kelas perbincangan terpaksa saya batalkan untuk mengutamakan rehat. Allahu Akbar. Berat rasa kali ini. Hati ini tidak tenang dan tidak dapat fokus dalam banyak hal. Kena pula dalam situasi 'mode' pilihanraya ini. Bernanah telinga mendengar kutuk keji Muslim sesama Muslim hanya kerana mereka berlainan topi dan kepala keretapinya berbeza. Tujuan ketara serupa, untuk memegang kuasa dan saya percaya masing-masing berniat untuk menambah bakti untuk rakyat Malaysia.


Nah, orang kata, itulah asam garam dalam perjuangan dunia politik, dicemuh, dicaci itu sudah jadi mainannya. Entahlah, Rasulullah dulu adanjuga dukacitanya, tetapi bukan kerana pangkat dan kedudukannya, bahkan untuk ummatnya. Baginda dulu, disanjung dan diagungkan ummat kerana akhlak dan kerendahan dirinya.

Bukan dia yang mencari kedudukan, tetapi masyarakat pada ketika itu yang memberikan Baginda gelaran Al-Amin. Semua orang pasti tidak sabar dan teruja jika diberi peluang bertemu dengan Baginda. Sifatnya luhur, amanah, lemah lembut, terbuka, berbaik sangka pada setiap kejadian Allah s.w.t. Allah, mampukah kita menghampiri kekasih Allah itu?

Biarlah setiap pemimpin, khususnya pemimpin politik Muslim yang bakal memenangi kerusi DUN dan Parlimen PRU13 ini mempunyai keinginan dan keazaman untuk menyerupai Baginda. Memimpin kerana amanah bukan kerana kuasa, memimpin agar lebih dekat kepada Allah bukan untuk nama dikenang atau disebut-sebut oleh manusia. Betulkan niat pada setiap tugasan.

Tiada khabar yang lebih gembira jika Baginda dikatakan datang semula ke dunia ini dengan izin Allah. Tetapi mana mungkin, kerana Baginda juga sedang berdebar-debar menanti wajah-wajah yang akan bersamanya nanti. Firman Allah s.w.t;

'Sesungguhnya Kami telah mengutuskan engkau (wahai Muhammad) dengan kebenaran, (serta menjadi) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar). Dan (setelah engkau sampaikan semuanya itu), engkau tidak akan diminta (bertanggungjawab) tentang ahli neraka.' (Al-Baqarah2:119)

Saya doakan, semoga kehadiran pemimpin selepas PRU13, adalah penerus pembawa berita gembira dan pembawa amaran itu. Apalah mungkin yang Allah sediakan buat kita, kena optimis dan yakini bahawa perancangan Allah jauh lebih baik dari perancangan manusia.