Wednesday, June 6, 2012

DAYA FIKIR YANG KUAT PADA ORANG YANG SABAR DAN BERSYUKUR

Al-Quran telah memberikan pelbagai ciri dan tanda orang-orang yang bersabar dan bersyukur. Untuk mereka, Allah s.w.t. telah berikan daya fikir yang tinggi, rasional, keprihatinan yang sensitif terhadap pelbagai perkara yang tidak menyenangkan atau melanggar perintah serta sunnatullah dalam kehidupan sebagai manusia. Inilah sebahagian petanda orang yang yang beriman dan bertakwa kepada Allah s.w.t..

Keupayaan orang-orang yang bersabar dan bersyukur ini dalam mentafsir apa yang dilihat apa yang dirasa adalah amat tinggi. Ini memudahkan mereka memahami dan merasai teguran serta hikmah yang Allah s.w.t. tunjukkan dihadapan mata mereka melalui pelbagai kejadian dan pengalaman. Oleh yang demikian, bagi insan yang bersyukur, apabila tidak ditimpakan musibah atau masalah, maka mereka akan mengucapkan alhamdulillahi rabbil 'alamin (segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam). Bahkan bagi orang yang benar rasa syukurnya, ia tidaklah terbatas dengan ucapan sedemikian sahaja, bahkan mereka akan bertindak pada kadar keperluan dan kemampuan mereka. Maka, syukur yang sebenar bukanlah hanya dengan ungkapan lidah semata-mata tetapi juga tindakan, kerana ada perasaan untuk berkongsi kebaikan itu dengan orang lain.

Apabila diberikan nikmat memiliki kereta, maka kereta itu tidak kedekut untuk memberi tumpang kepada si pejalan kaki. Apabila ada duit, maka tidak bakhil untuk menyumbang pada jalan Allah s.w.t.. Bahkan apabila ada masa lapang, tidak sukar untuk memberikan pertolongan serta melakukan perkara yang memberikan manfaat kepada orang lain. Apa yang lebih besar lagi, apabila kita mempunyai nikmat iman, maka ia bukanlah hanya untuk diri sendiri, bahkan berdakwah untuk disampaikan kepada orang lain. Sesuai dengan makna syukur iaitu mengakui nikmat dan menampakkkannya. Menurut Imam Al-Ghazali, syukur merupakan salah satu maqam (tempat) untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t..

Sabar pula membawa makna menahan. Menurut Rasyid Ridho, sabar ialah menghadapi sesuatu keadaan sukar atau susah dengan perasaan redha, ikhtiar dan penyerahan diri. Atau dalam makna lain, sabar ini mencakupi tiga aspek penting iaitu sabar dalam melaksanakan segala perintah Allah s.w.t., sabar dalam menjauhi dosa dan maksiat serta sabar dalam menghadapi kesulitan dan dugaan. Bagi manusia yang sabar, setiap dugaan dan kesusahan itu akan didahului dengan kalimah innalillahi wa inna ilaihi raji'un (sesungguhnya dari Allah s.w.t. ia datang dan kepada-NYA ia kembali). Pastinya, ia perlu juga dituruti dengan tindakan segera bangkit dan tidak ada istilah putus asa di dalamnya. Bagi orang yang bersabar Allah s.w.t. telah berikan gelaran yang baik buat mereka sebagaimana gelaran Al-Muhsinin di dalam surah Hud ayat 115 serta Al-Muttaqin di dalam surah Ali Imran ayat 15 hingga 17.

Ini amatlah bersesuaian dengan firman Allah s.w.t. yang bermaksud;

"Tidakkah Engkau memerhatikan bahawasanya kapal-kapal belayar di laut dengan nikmat kurnia Allah, untuk diperlihatkan kepada kamu sebahagian dari tanda-tanda kemurahan Nya? Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan dan bukti (untuk berfikir) bagi tiap-tiap (mukmin) yang tetap teguh pendiriannya, lagi sentiasa bersyukur." (Luqman 31: 31)

Friday, June 1, 2012

TAZKIRAH BUAT DIRI YANG SERING TERLUPA

Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran Al-Karim yang bermaksud;

"Tidak ada penduduk sesebuah negeri pun yang Kami binasakan sebelum mereka, yang telah beriman kepada mukjizat yang diberi kepadanya; maka benarkah mereka yang meminta mukjizat itu mahu beriman?" (Al-Anbiya' 21: 6)

Demikian kata-kata Allah s.w.t. memerintahkan agar meyakini bahawa Al-Quran ini merupakan mukjizat bagi Rasul s.a.w. yang dengan izin Allah s.w.t. telah melembutkan hati yang keras, menjadi penawar kepada kesakitan serta menjadi petunjuk bagi mereka yang mencari kebenaran. Bahkan Rasulullah s.a.w. telah menegaskan, tidak akan sesat manusia itu jika mereka berpegang teguh kepada Al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w.

Sahabat yang dikasihi sekalian.

Berapa ramai hari ini saudara seagama kita yang telah hilang keyakinan mereka kepada Al-Quran Al-Karim. Sama ada secara zahirnya sehingga mereka murtad, tidak kurang pula yang menyatakannya tanpa mereka sedari dan mereka pula masih mengakui bahawa mereka itu Muslim. Ini adalah disebabkan kelalaian sepertimana yang disebutkan di dalam ayat yang pertama dan kedua, mereka lalai bahkan mereka mempermain-mainkannya.

Di dalam suatu riwayat yang dikemukakan bahawa pada ketika itu penduduk Mekah berkata kepada Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, "Sekiranya apa yang engkau katakan itu adalah benar dan engkau mengkehendaki supaya kami beriman kepadamu, jadikan gunung Safa ini sebagai emas."

Lalu datanglah malaikat Jibril seraya berkata, "Sekiranya engkau hendak menunaikan apa yang dikehendaki oleh kaummu pastinya engkau dapat, tetapi sekiranya mereka tidak beriman setelah dikabulkan permintaannya, sesungguhnya mereka akan diseksa dengan serta-merta tanpa diberi tempoh lagi, atau engkau sendiri akan menangguhkan di dalam mengabulkan permintaan mereka dengan harapan agar mereka beriman."

Maka, penurunan ayat 6 surah Al-Anbiya' adalah sebagai peringatan kepada Nabi bahawa kaum-kaum sebelumnya pernah juga meminta sedemikian. Tetapi mereka tetap kufur kepada Allah s.w.t.. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir daripada Qatadah)

Begitulah keadaan kita juga hari ini. Mudah-mudahan kita tidak menjadi orang yang mempermudah dan mempermainkan kata-kata Allah s.w.t. di dalam Al-Quran. Inilah sumber kekuatan Mukmin dan peringatan buat kita sebelum bertemu alam akhirat.