Saturday, March 24, 2012

PENUHI JEMPUTAN WALAU PERIT ANAK TEKAK


Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar! Itu yang mampu terungkapkan apabila saya berjaya mengharungi 2 hari perjalanan program panjang dalam keadaan batuk teruk dan hilang suara. Alhamdulillah, segalanya Allah s.w.t. permudahkan dan perjalanan seolah-olah diberikan keringanan dan kemudahan. Cuma, tidaklah saya lupa, bahawa kemudahan bukan bermakna selamat, tetapi perlu lebih berhati-hati dan berjaga-jaga. Takut juga bila terleka, kita tidak amanah pula dengan tugas yang diberi.

Bermula keperitan apabila saya terpaksa memenuhi undangan program yang telah dipersetujui agak lama juga di SMK Seri Kundang. Saya pergi dengan harapan dapat menyampaikan pesan dengan yang terbaik. Saya berdoa pada Allah di awal pagi sebelum bergerak, biarlah usaha ini jihad untuk saya demi untuk menyampaikan perkara yang baik kepada pelajar-pelajar.

Tiba di sana, saya rasa, Allah bagi rehat sehingga hampir 1 jam kerana pelajar terpaksa masuk lewat ke dewan. Alhamdulillah, dapatlah ditenangkan hati dan berehat sebentar walaupun terpaksa singkatkan perbincangan memandangkan ia adalah hari Jumaat. Memang perit, bercakap dengan nada suara tak keluar. Sekali lagi saya bersyukur kerana 2 hari yang perit ini ditemani mereka yang 'kuat' Zaki dan Johari. Ia lebih memudahkan apabila Johari sudah mampu menjadi tenaga pengajar lagu 'Lai Chi Kang'.

Bila balik dari SMK Seri Kundang, saya rasa badan sejuk dan suara langsung takde dan batuk teruk. Sehinggalah isteri tercinta menghidangkan air Habbatussauda' panas dan malam tu saya tidur lewat pula kerana beberapa tanggungjawab belum diselesaikan. Alhamdulillah bila bangun pada paginya, saya diberikan sedikit rasa lega dan suara juga agak baik berbanding hari sebelumnya. Alhamdulillah, semakin baik dan saya semakin yakin.

Setibanya di sekolah, rupanya pembesar suara sekolah rosak dan saya perlu bercakap tanpa 'mike' kepada 80 orang peserta di SK Taman Klang Jaya. Kasihan guru-guru bertungkus-lumus mencari penyelesaian sebab kesiankan saya agaknya yang suara dah serak-serak basah. Mungkin ini jihad yang saya kena teruskan, lakukan yang terbaik dan paling baik. Saya teruskan.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud;

"Tuhan kamu lebih mengetahui akan keadaan kamu; jika Ia kehendaki, Ia akan memberi rahmat kepada kamu; atau jika Ia kehendaki, ia akan menyeksa kamu. Dan Kami tidak mengutusmu kepada mereka (wahai Muhammad), sebagai wakil yang menguasai urusan mereka." (Al-Isra’ 17: 54)

Allah s.w.t. itu lebih mengetahui keadaan kita. Saya yakin mungkin ini pengajaran penting agar saya belajar untuk bersabar dan lakukanlah sedaya-upaya kerana pasti Allah datangkan jalan walau dalam keadaan perasaan kita menyatakan ia adalah mustahil. Mudah-mudahan ini adalah rahmat buat saya, Johari, Zaki serta pihak penganjur dan peserta sendiri kerana saya dapat rasa ia lebih bertenaga dari kebiasaannya (mungkin kerana rasa sakit tu kot).

Tuesday, March 20, 2012

BANGKIT DARI DEMAM


Alhamdulillah, pagi ni saya rasa kebah sikit badan setelah melalui demam yang didatangkan Allah s.w.t.. Saya yakin ia ujian pada setiap manusia yang hidup cuma persoalannya bagaimana kita menghadapinya. Mana tidaknya, kadangkala kita mengeluh dan kadang-kadang kita redha dengan ujian NYA. Cuma, apabila kita menjadi manusia yang hampir kepada Allah s.w.t., setiap apa yang diberikannya pasti dilihatnya secara positif dan memberikan pengajaran.

Minggu lepas, saya diizinkan Allah s.w.t. berjalan ke Terengganu, Kemaman. Trip kali ni, saya dengan Zaki bersama dalam latihan fasilitator yang ketiga buat YATIM tahun ini. Maklumlah perjalanan yang panjang dan agak memenatkan dengan minggu yang amat disibukkan, mungkin itulah sebabnya demam. Kalau tak demam, saya rasa hari ini, masih bergerak dan kelas pengajian hari ni pun saya terpaksa batalkan sebab masih memerlukan rehat. Badan penat, otak pun agak jem juga.

Terengganu, saya rasa pengalaman yang patut dijadikan ingatan dan iktibar juga, yang dalam firasat saya, program latihan serta fasilitator yang saya selalu kendalikan rupanya tidak sampai dan agak asing bagi ramai orang. Agak terkejut juga bila program-program sebegini dilihat sebagai 'biasa'. Pengalaman di Terengganu menjadikan azam saya lebih kuat untuk mengeuasai, mengajar dan melatih serta memberikan kefahaman kepada pengamal latihan dan program-program betapa pentingnya ilmu kefasilitatoran serta fungsi mereka perlu di perjelaskan.

Tak hairanlah kalau sebelum ni saya banyak mendengar maklumat yang tidak bertepatan dengan apa yang saya usahakan bersama kawan-kawan membimbing dan melatih fasilitator. 'Fasilitator Muslim' perlu saya dan kawan-kawan bentukkan dan jadikan ia satu model terbaik untuk mereka yang berada di dalam dunia latihan. Seperti yang telah saya, Jo dan Zaki bangunkan di dalam IQ Class Management, mereka dikenali sebagai Facilitating and Development Team atau FaDelaT. Kami cuba untuk mengetengahkan pelbagai pendekatan berkesan sebagai fasilitator dan sekaligus membangunkan diri serta mereka yang ada hampir bersama mereka. Untuk kita melahirkan guru 'mursyid kabir' akhir zaman ini agak mustahil, jadikan kita usaha melahirkan guru 'mursyid saghir'.

Thursday, March 15, 2012

BAHAGIAKAN ISTERI #5


Isteri adalah permaisuri di rumah kita. Mereka adalah amanah bagi si suami yang menjadi ketua keluarga juga raja di rumah. Oleh yang demikian, sebagai permaisuri mereka memerlukan pelbagai perhiasan diri yang cantik serta menarik perhatian. Bukan perhatian lelaki lain tetapi si raja keluarga tadi. Dek kerana itu, adalah menjadi tanggungjawab si suami untuk memberikan sepenuh kasih sayang dengan memberikan perhiasan yang cantik-cantik untuk mereka. Inilah naluri wanita yang ingin menawan hati suami mereka sentiasa.

Bagaimana dengan kita? Sebagai suami ini harus menjadi keutamaan kerana jihad suami bekerja untuk memberikan nafkah yang halal dan yang terbaik untuk keluarga. Maka, usahlah kita berasa kedekut dengan isteri kita kerana mereka amanah kita dan harta benda juga amanah kita. Keduanya Allah akan persoalkan tentangnya itu di akhirat nanti. Jika harta digunakan untuk perkara yang tidak diutamakan seperti nafkah keluarga, maka ia akan menjadi beban kepada kita dihadapan Allah s.w.t. dan jika ada perasaan tidak redha isteri atas tindakan suami, juga mungkin akan melambatkan perjalanan kita ke syurga Allah s.w.t.. Jom, TUNE diri kita.

Sunday, March 11, 2012

"ABANG DULU..."


Tergelak rasanya bila teringat perkataan ni. saya sempat ketawa besar dengan Jo bila bincang tentang pengalaman, teman-teman yang pernah bersama dalam gerakan pelajar sewaktu belajar dulu. Tetapi hari ini, mereka sudah tiada lagi, bukan meninggalkan dunia, tetapi telah meninggalkan wadah yang kami sertai bersama dahulu.

Inilah lumrah agaknya, bila banyak kita bercakap maka akan sikitlah perbuatannya, tambahan orang yang bercakap. Mungkin ini penyakit akhir zaman yang telah menyerang kita semua. Saya cuma terfikir dan berdoa agar teman-teman akan terus berbakti dan berdakwah di dalam dunia mereka masing-masing. Saya pun berdoa agar istiqamah di sini hendaknya.

Apa yang membuatkan saya tiba-tiba menyebutkan hal ini? Kelmarin, saya sempat bertemu dengan petugas-petugas dakwah dan saya memberikan pesan yang saya rasa penting iaitu meletakkan keyakinan, keikhlasan dan kekuatan hanya pada kuasa yang tunggal iaitu Allah s.w.t. Kekuatan ini perlu diterapkan dalam diri setiap Muslim khususnya pendakwah dan petugas Islam bahawa, kita adalah dimiliki oleh NYA. Namun ini bukan bermakna tidak perlu berusaha, cuma usaha itu perlu diikuti dengan keyakinan kepada Allah maka datanglah tawakal dalam hidup kita dan ini akan menjadikan sifat redha kita semakin luas dan membesar.

Di sinilah ceritanya, apabila sebenarnya, saya merasakan, petugas dakwah muda ini sudah hilang contoh yang baik dalam diri mereka. Mereka melihat peribadi yang hampir kepada mereka sebagai idola, membentuk pemikiran yang tinggi melangit tetapi tidak bersedia mental dan rohani untuk berhadapan dengan fitnah dunia akhir zaman ini. Maka, abang-abang mereka yang lain ini pun bila berhadapan dengan mereka, kerapkali akan menyatakan, "abang dulu..." sebagai usaha untuk mereka mengimbau kehebatan mereka dahulu namun persoalannya bagaimana dengan abang sekarang? Saya perlu lebih cekal dan terus istiqamah demi umat untuk tegakkan agama dalam diri sendiri dan keluarga seterusnya masyarakat.

Saya jadikan catatan ini sebagai peringatan buat diri, sebab abang itu saya la sendiri. Sudah pun menjadi abang dan saya diperhatikan. Saya tak nak tersalah memberi maklumat dan saya mahu kehidupan ini mendapat keberkatan dan rahmat dari Allah s.w.t.. "Ya Allah, tetapkanlah kami di landasan yang benar, jalan hidup yang benar, pemikiran yang benar, pergaulan yang benar dan keputusan yang benar."

Tuesday, March 6, 2012

MENCARI SEMANGAT YANG HILANG


Mohon, teman-temna, cuba tengok klip video di bawah ini:

http://www.youtube.com/watch?v=ZPgU5NI7HBc&feature=related

Saya ke DARWA semalam. Bersama penghuni membincangkan tentang Keperibadian Muslim. Di dalam hati ini penuh dengan perasaan bercampur memikirkan suasana kita Muslim hari ini. Apabila saya sebutkan kepada mereka, bahawa Islam itu sejahtera dan menyejahterakan, adakah kita Muslim ini merasainya atau sebaliknya?

Kemanisan dalam melakukan ibadah kepada Allah s.w.t. adalah fitrah bagi diri manusia. Maka, jika tidak kita rasai maka, kita sakit 'hati'. Itulah yang saya diingatkan oleh teman ketika bertandang ke SK Sungai Pusu tempoh hari.

Sahabat-sahabat sekalian.

Allah s.w.t. ini Maha Mengetahui, dalam perasaan yang sibuk memikirkan apa lagi yang harus saya lakukan untuk mengekalkan diri di dalam melakukan kerja dakwah ini, saya dipertemukan dengan wajah bersih Ustaz Umar Tabi'i yang pernah saya ikuti kelasnya di matrik dulu. Allahu Akbar, wajahnya memberikan perasaan aman dan bertambah semangat. Sempat saya mendengar nasihat beliau. Katanya, tarbiyah mesti jadi tunjang dalam gerakan Islam. Kepentingan lain diletakkan sebagai sampingan.

Pun begitu, beliau berjalan kaki sahaja ke masjid sama seperti saya pada awal mengenalinya. Menitis airmata saya semasa menunaikan solat Isyak mengenangkan peluang yang Allah s.w.t., yang Maha Mengetahui telah berikan kepada saya sebagai petanda, bukan sekarang untuk kita mengeluh panjang, tetapi sekaranglah peluang untuk kita buka jalan untuk ke syurga. Jika Islam sudah tertegak, maka peluang kita mungkin tidak sebesar ini.

Pada umur beliau, dalam firasat saya, pasti pelbagai yang telah ditempuhinya, pahit getir berdakwah dan senyuman beliau saya tak dapat lupa, terasa aman dan tenang serta penuh dengan hikmah dan kebijaksanaan. Mungkin itulah buaian Allah s.w.t. buat hamba Nya yang sering mengingati Nya, mudah-mudahan Allah anugerahkan istiqamah buat saya untuk terus bergerak tidak kira dengan apa situasi sekali pun.

Video di atas, saya terjumpa, dan itulah sepatutnya perasaan yang kita rasai apabila melihat umat kita hari ini. Tidakkan kita kasihan kepada mereka? Tidakkah kita kasihan kepada nasib generasi kita akan datang? Tidakkah kita kasihan apa yang akan mereka tanggung ketika menghadap Allah s.w.t. nanti? Moga kita dipermudahkan segala urusan dan dihadiahkan dengan kesabaran.