Monday, February 27, 2012

KEHIDUPAN ADALAH KEHILANGAN


Cuma tiba-tiba terfikir. Apabila saya dihubungi adik-adik, bertanyakan tentang program dan latihan serta teman-teman seperjuangan mereka, saya terngadah, apakah aku telah memberikan mereka nasihat yang benar? yang betul? Persoalan yang bermain difikiran ini membuatkan malam ni saya tak senang nak berehat. Apalagi yang tidak aku lakukan untuk mereka? Apalagi bantuan yang patut aku hulurkan untuk mereka? Adakah mereka perlu dibantu atau sebenarnya saya yang perlu dibantu?

Persoalan semakin hari semakin banyak. Semakin tua agaknya. Kelmarin saya sempat bersama Sedana, Zuhri dan adik yang baru dikenali, Huzaim. Sempat juga dalam kadar kurang 1 jam berbincang dan berkongsi bersama Johari tentang pengalaman hidup. Biasalah, cakap memang dahsyat. Selama saya berkecimpung dalam dunia latihan, banyak pengalaman dan pengajaran yang saya kumpul untuk dikongsikan dengan sesiapa sahaja. Saya amat mengharapkan, ada lah dikalangan mereka yang sempat ikut saya ni belajar sesuatu dari kehidupan ini dan menjadi seseorang yang memberikan manfaat kepada orang lain.

Benar kata Jo, kehidupan adalah kehilangan. Apa yang kita hilang? Semakin berumur, semakin hilang kawan, ada yang mati, ada yang lari tak lupa yang hilang entah ke mana. Semakin panjang hidup semakin hilang semangat kemudaan. Semakin lama hidup semakin hilang memori dan semakin hilang kesihatan. Banyak kita berfikir, semakin lama hidup bukan ke semakin banyak yang kita dapat? Duit, kebahagiaan, rumah, harta dan sebagainya.

Itu juga benar. tetapi bayangkan, jika kita seorang ayah, berusaha mencari rezeki sehingga dapat menyediakan kemewahan untuk anak-anak, tetapi pada akhirnya anak yang kita kendong tadi tidak menghargai dan tidak mengingati jasa kita, ada kita tahu? Kebahagiaan yang kita kecapi tiba-tiba disentap apabila datang badai gelora rumah tangga dengan wujudnya orang ketiga, ada pernah kita terbayangkan?

Bagaimana pengalaman saya berhadapan dengan seorang ayah yang anaknya 4 orang, semuanya telah dewasa, hidupnya bahagia sehingga suami isteri dapat merasai nikmat persaraan, tetapi tiba-tiba, si suami telah jatuh cinta kepada orang ketiga, bagaimana perasaan isteri dan anak-anaknya? Kerana itu, benarlah kehidupan adalah kehilangan. Bukan hilang harta tetapi perasaan bahagia, kesenangan, kelapangan, keseronokan dan macam-macam lagi.

Mungkin ini juga rasanya kehilangan yang saya sedang lalui sekarang. Apabila saya menghadiri sesi bengkel TOT adik-adik PKPIM di UIAM, mendengar celoteh rakan yang ada perasaan penat dan kecewa terhadap usaha yang dijalankan. Saya memujuk hati dan mengingatkan mereka, jemaah bukan diwarisi, tetapi dibina dan mohon dari Allah agar diberkati. Inilah kata-kata yang saya akan simpan agar jiwa ini tidak lusuh dari perasaan ingin membantu dan memperbaiki diri, serta orang lain khususunya saudara-saudara kita sebagai Muslim dan Mukmin. Moga Allah berikan ruang dan peluang untuk kita perbaiki diri kita.

Friday, February 24, 2012

WAHAI KEKASIH...


Apabila saya mendengar cerita dari Ustaz Harun Din, teringat saya kepada artikel yang dikongsikan teman saya diemel minggu lalu. Artikelnya seperti yang tertera di bawah.

Alangkah teringinnya di hatiku andai aku berpeluang bertemu dengan saudara-saudaraku,” ujar Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Suasana hening di pinggiran perkuburan al-Baqi’. Merenung tempat semadi para mukminin yang telah pergi, dan pasti Baginda juga akan menyertai mereka, seperti kita semua.

“Bukankah kami ini juga saudara-saudaramu wahai utusan Allah?” para sahabat melontarkan soalan.

Persoalan.

Jika Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam merindukan saudara-saudaranya, apakah ada saudara yang lain selain mereka, para sahabat?

“Kalian adalah sahabatku. Ada pun saudara-saudaraku yang kumaksudkan, mereka adalah orang-orang beriman yang belum ada!” jawab Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Aneh...

Mencintai insan yang belum ada.

Seandainya seorang anak muda, termenung sedih di jendela angan-angan, runsing menanggung rindu kepada bakal isteri, yang orangnya belum ada… itu sudah menjadi satu kegilaan. Di luar kebiasaan. Perlukan rawatan.

Tetapi tidakkah Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam juga mengungkapkan cinta yang di luar kebiasaan itu? Kematian yang pasti, menjadikan Baginda pasti bahawa peluang untuk bertemu dengan orang-orang beriman di masa-masa mendatang itu mustahil. Tidak kiralah bagaimana rupa mereka, di mana mereka berada, bagaimana keadaannya. Cukup sekadar mengetahui bahawa mereka itu beriman, malah beriman tanpa pernah bertemu dengannya, sudah menyuburkan rasa cinta.

Cinta luar biasa.

Cinta yang menjadikan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam itu berkorban segala-galanya. Cinta itulah yang melimpah dan terus melimpah, hingga kamu yang hidup 1000 tahun selepas pemergiannya, biar sesudut Ceruk Tok Kun sekali pun beradanya kamu, tiada rumah yang tidak diketuk cinta Nabi.

SENYUMAN PERPISAHAN

Tiga hari Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam tidak mampu hadir berjamaah dengan kekasih-kekasih Baginda di masjid. Sakit kepala dan demam baginda semakin menjadi-jadi.
Subuh Isnin, 12 Rabi’ul Awwal tahun ke 11H.

Tatkala Abu Bakr radhiyallaahu ‘anhu membetulkan saf untuk mengimamkan solat, Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam menyelak tabir yang memisahkan bilik Baginda dan ruang solat di Masjid.

“Sungguh takjub. Wajah Baginda seperti lembaran mushaf. Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam semasa memerhatikan kami, Baginda tersenyum dan ketawa kecil. Kami terlalu gembira melihat wajah itu. Abu Bakr sendiri berundur kerana menyangkakan Baginda mahu mengimamkan solat kami. Tetapi Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengisyaratkan agar kami memula dan menyempurnakan solat,” kata Anas bin Malik, Radhiyallahu ‘anhu.

Wajah itu mengubat rindu mereka.

Tiga hari yang hilang warna dan sepi.

Tabir dilabuhkan dan kaum Muslimin meneruskan solat.

Senyuman Baginda itu penuh cinta dan kasih. Senyuman yang kaya dengan kepuasan melihat kaum Muslimin.

Sangka mereka itu senyum kesembuhan. Rupa-rupanya ia adalah senyuman perpisahan…

Dhuha Isnin, 12 Rabi’ul Awwal tahun ke-11 Hijriah, Kekasih Allah itu pulang ke Teman Tingginya.

“Fee al-Rafeeq al-A’laa, Fee al-Rafeeq al-A’laa...” Baginda menghulurkan telunjuk kirinya ke langit.

“Kembali ke Teman yang Maha Tinggi, Kembali ke Teman yang Maha Tinggi” bibir itu lesu menuturkan sebuah pemergian.

Tangan itu rebah terkulai. Basah dalam bejana air. Seperti air mata sekalian umat yang ditinggalkannya. Baginda wafat dalam jiwa yang penuh kasih sayang. Jiwa yang terselit di lubuk hatinya sebuah kerinduan. Merindui saudara-saudaranya.

Kita...

SEBUAH PERTANYAAN CINTA

Justeru…

Bertepukkah tanganmu menyambut cinta yang agung itu?
Cintakah kamu kepada Pencinta yang agung itu?
Hati kecil itu tidak mampu berbohong.
Engkau tahu di mana cinta itu di hatimu….

http://saifulislam.com/wp-content/uploads/2010/02/hadithsempurnaiman.gif

“Tidak sempurna iman sesiapa di kalangan kamu sehinggalah diriku lebih dikasihinya berbanding kasih kepada orang tuanya dan anak bahkan sekalian manusia” [riwayat al-Bukhari, Muslim, an-Nasa’ie dan Ibn Majah]

Teman-teman, bagaimana kasih kita kepada Rasulullah jika korbannya kita hanya sekadar kenang setahun sekali? Perpindahannya hanya disambut secara adat setahun sekali, pemergiannya tidak pernah dirindui dan sunnahnya bukan dalam kehidupan dan diari diri? Kasihilah Kekasih Allah ini...

Thursday, February 23, 2012

YURAN PERBELANJAAN


Semalam, saya menemani isteri ke Tangkak Johor, balik hari. Penat juga, sampai balik rumah terus pengsan. Namun, dalam perjalanan banyak perkara yang saya fikirkan. Sebagai seorang suami, perjalanan semalam sebagai satu usaha luangan masa bersama dengan isteri yang tercinta. Walaupun dalam keadaan saya sekarang ini sedang sakit mata. Alhamdulillah, perjalanan panjang semalam banyak mengajar saya erti perlunya pengorbanan dan berlapang dada dalam melaksanakan tugas harian serta tanggungjawab atas jawatan.

Kembali saya teringat amanah yang ditinggalkan. Kerja-kerja IQ Class Management dan ABIM Selangor sendiri. Stress pula rasa. Namun dalam perjalanan sempat kami dengar CD ceramah ustaz Azhar Idrus. Apa yang menariknya, di dalam CDnya itu dimuatkan satu sedutan kisah Ustaz Harun Din mengenai mimpinya bertemu dengan Rasulullah s.a.w.. Kami menitiskan airmata bersama. Tidak dapat dibayangkan jika saya bertemu dengan Rasulullah. Persoalannya layak ke manusia yang banyak dosa macam saya ni bertemu dengan Kekasih Allah itu?

Itulah yang menjadi muhasabah diri kami sepanjang perjalanan semalam. Bahkan, jika dirungutkan belanja yang keluar kerana perjalanan semalam pasti tidak setimpal dengan pengajaran yang telah Allah berikan. Jika dirungutkan perjalanan semalam, pasti tidak ternilai berbanding ruang masa bersama suami dan isteri semalam. Itulah dia yuran perbelanjaan yang kita bayar untuk mendapatkan sesuatu yang pastinya Allah s.w.t. telah sediakan yang terbaik buat kita.

Oleh kerana itu, usahlah kita pertikai apa yang telah berlaku atau menimpa kita, sebaliknya anggaplah itu sebagai bayaran modal, perbelanjaan atau pelaburan yang pastinya membawa manfaat jika tidak di dunia, adalah pastinya di akhirat sana. Mudah-mudahan inilah yang akan menjadi obor yang menggerakkan saya untuk terus menghasilkan modul-modul yang terbaik, ceramah yang meninggalkan kesan serta mencurahkan pengalaman dan pengetahuan tanpa hadnya. Kelmarin (21 Februari) saya telah bertandang ke SK Taman Klang Jaya, esok (24 Februari) saya akan ke SK Seksyen 27 (1) Shah Alam. Mudah-mudahan dipermudahkan.

Saturday, February 18, 2012

BAHAGIAKAN ISTERI #4


Apabila isteri kesayangan kita menyampaikan hasrat atau menceritakan hajat atau pengalaman. Maka dengarlah dengan penuh perhatian, tinggalkanlah apa yang disibukkan kerana bagi mereka perhatian suami adalah segala-galanya. Tidak boleh bagi isteri mendapatkan perhatian orang lain. Maka, berikanlah perhatian kepada mereka.

Balaslah cerita atau percakapan mereka dengan senyuman dan rasa terbuka. Kadangkala, pujilah mereka jika ia perlu. Itulah ubat kegembiraan bagi isteri, iaitu kasih sayang, perhatian dan keutamaan yang diberikan oleh si suami kepada mereka.

Friday, February 17, 2012

MENCARI KEREDHAAN


Alhamdulillah, minggu ini nampaknya saya banyak disibukkan dengan kerja-kerja persiapan, kertas kerja, bahan ceramah, bahan mengajar, melatih, membimbing dan melakukan banyak kerja-kerja jamaah. Letih macam biasa, tetapi semangatnya agak berbeza. Saya tertanya-tanya juga. Mudah-mudahan dapat istiqamah selagi ada daya dan upaya.

Beberapa hari lepas (Selasa, 14 Februari), saya mengajar di Sungai Sembilang. Kelas pertama, ibu-ibu di sana minta saya mengajar apa-apa ilmu berkenaan ibadah. Lebih kurang 20 orang pelajarnya, tetapi pelajar dewasa. Susah juga bila orang dah mula percaya pada kita, maka kita perlu menambah baik setiap kekurangan yang kita ada, bukan untuk menerima pujian, tetapi memenuhi amanah yang diberikan mereka.

Tapi kelas hari tu, mereka buat marhaban akikah salah seorang pelajar kelas tu, saya dijemput untuk memberikan sedikit tazkirah bersempena Maulidur Rasul. Alhamdulillah semua lancar, moga-moga misi untuk menjadikan Rasulullah sebagai ikon peribadi itu berjaya dihampiri. Cuma, banyak yang perlu diperbaiki.

Semalam (Khamis, 16 Februari), IQ Class Management dijemput semula bertemu adik-adik UNISEL yang telah kami bimbing dalam KEMAF. Alhamdulillah, kelompok pertama berjaya memulakan projek tugasan mereka di SK Parit Serong. Saya pergi melihat, meninjau dan membantu mana yang patut. Peringkat awal ini, mereka hanya perlu diberikan lebih banyak pendedahan dan membina keyakinan diri. Namun hari Sabtu, saya tak dapat nak tengok mereka.

Minggu ini Allah s.w.t. berikan ruang kepada saya untuk selesaikan satu persatu tugas. Itu pun masih ada berbaki dan belum selesai. Hari ini dah Jumaat. Masa semakin pantas dan ini menjadikan masa kita semakin suntuk. Semoga usaha yang saya lakukan sepanjang minggu ini diterima Allah sebagai amalan baik dan saya hadiahkan pahalanya jika kepada ibu bapa ahli keluarga saya seluruhnya.

Wednesday, February 15, 2012

BAHAGIAKAN ISTERI #3


Untuk menjadikan isteri kita sentiasa bahagia disamping kita selaku suaminya, maka marilah kita perbanyakkan ungkapan kata-kata yang manis yang biasanya disukai oleh wanita. Biasakanlah memuji mereka dengan perkataan seperti cantik,manis, semakin muda, wangi dan sebagainya. Perbagaikanlah uangkapan manis ini dan kerapkali lakukannya dan ia lebih manis jika dibisikkan ke telinga isteri kita. Apa yang utama adalah ucaan itu biarlah ikhlas dan bersungguh-sungguh bukan seperti ada udang di sebalik batu.

Tuesday, February 14, 2012

MENGHAYATI PERJUANGAN RASULULLAH... LAUKANA BAINANA


Sayu hati saya bila mendengar dendangan lagu Laukana Bainana... Apalah kata Rasulullah apabila melihat dan bersama kita agaknya? Besar jasa Baginda Rasulullah s.a.w. apabila dalam kehidupan manusia yang di dalam kegelapan di datangkan cahaya iman, tauhid, sehinggakan manusia terbina dengan kehidupan agung yang bertamadun dan dikagumi semua pengkaji sejarah. Daripada perpecahan kaum, Rasulullah telah membentuk kesepaduan ummah yang diperintahkan Allah s.w.t. sehingga membentuk jamaah Islam yang agung. Namun, jika Rasulullah melihat keadaan kita hari ini, saya pasti, akan ada linangan airmata seorang manusia agung yang telah dulu menangisi nasib hidup kita pada zamannya.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah s.w.t.

Agak lama saya tidak mencatat apa-apa di sini. Pada 12 Rabiulawal yang lalu, saya dipilih Allah s.w.t. untuk bertemu dengan adik-adik di PSIS. Bersemangat mereka yang membakar semangat saya lagi untuk terus berdakwah dan berusaha meningkatkan Iman dan memperbaiki Islam sendiri. Semangat terus membakar apabila saya diperingatkan oleh teman-teman dalam TOT SPIES di Genting Hingland beberapa minggu yang lalu. Rasulullah datang dengan memuliakan dan mengangkat darjat wanita daripada penghinaan dan pembunuhan anak perempuan. Tetapi hari ini, jahiliah ini lebih dahsyat apabila anak tiu dibuang dilongkang dan di tong sampah. Astaghfirullahallazim.

Ya Allah, berikan aku kekuatan untuk terus berkhidmat untuk agama Mu. Kesempatan hidup ini biarlah berjasa dan diakhir hayatku akan ada yang menyambut dan menggantikan serta menggandakan usaha ini. Ya Allah, perkukuh, perkuat dan istiqamahkan aku, sahabat-sahabatku di IQCM, ABIM, PEPIAS, WADAH dan semua mereka yang meletakkan diri mereka sebagai petugas Islam atau pendakwah.

Thursday, February 2, 2012

BAHAGIAKAN ISTERI #2


Selain dari memenuhi kehendak sebagai isteri yang kita kasihi di rumah atau di mana-mana sahaja, cubalah kita sentiasa menyanjungi isteri kita sebagai orang yang telah banyak berkorban untuk kehidupan kita serta keluarga kita bersama. Usahlah kita meremehkan dirinya sebaliknya selalulah memuliakannya di hadapan anak-anak, ahli keluarga juga teman-teman. Lakukanlah ia sama ada ketika bersamanya atau tidak. Inilah usaha kita untuk sentiasa membahagiakan kekasih kita dalam kehidupan di dunia ini iaitu isteri kita.