Sunday, January 29, 2012

PERSAHABATAN PERLU PUNYA AMANAH


Ramai yang membuat andaian bahawa persahabatan adalah bertunjangkan faktor kebersamaan dalam perbuatan, kesepakatan pemikiran serta pemahaman yang mantap dalam sesuatu tindakan. Apabila ada bentuk fikir ke arah ‘kalau kau boleh follow aku’ maka dialah kawan kita. Jika pandangan dan pemikirannya sama macam kita, maka itulah teman yang kita alu-alukan. Mudah sahaja buat kita hari ini menilai sesuatu persahabatan. Jauh nun di dalam sanubari kita sebagai manusia, kita telah disesatkan bahawa sesebuah persahabatan yang sebenar perlu punya amanah. Rasa tanggungjawab, prihatin serta mengambil berat soal kehidupan mereka.

Amanah adalah berkait rapat dengan kepercayaan. Apabila persahabatan perlu punya amanah, ini bermakna persahabatan perlukan kepercayaan. Apa makna sahabat jika kita tidak percaya kepada kawan kita itu bukan? Apabila tidak amanah, maka akan hilanglah kepercayaan, apabila tiada amanah itu maka tiadalah iman. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w di dalam sebuah hadis daripada Anas bin Malik, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud;

“Tiada keimanan bagi orang yang tidak amanah, dan tiada agama bagi orang yang tidak berpegang pada janji.”
(Riwayat Ahmad & Ibnu Hibban).

Lawan kepada sifat amanah adalah khianat. Ia termasuk di dalam ciri-ciri kemunafikan. Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud;

“Tiga petanda orang munafik, apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia memungkirinya, apabila diberi amanah dia mengkhianatinya.”
(Riwayat Bukhari & Muslim).

Oleh yang demikian, harus kita fikirkan bersama, adakah kita ini dikalangan manusia yang membina persahabatan atas dasar ketakwaan atau sekadar berusaha untuk memenangi hati manusia?

Bagaimana persahabatan kita boleh terbina apabila kita sanggup membiarkan sahabat kita menunggu kita dalam satu-satu sesi pertemuan atau temujanji? Bagaimana kita boleh katakan bahawa persahabatan kita adalah atas dasar iman dan taqwa apabila setiap tingkah sahabat kita itu tidak kita tegur kesalahannya? Bagaimana kita istilahkan persahabatan apabila amanah sebagai seorang sahabat itu tidak kita laksanakan? Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud;

“Tiada iman bagi mereka yang tiada amanah dalam hatinya, tiada solat bagi mereka yang tidak suci, tiada agama bagi mereka yang tidak bersolat.”

Sebagaimana pentingnya solat untuk agama Islam, pentingnya bersuci dalam mendirikan solat begitu jugalah pentingnya amanah dalam pembinaan iman. Maka usahakanlah mencari dan menjadi sahabat yang amanah. Antara garis panduan yang dapat kita usahakan adalah sebagaimana hadis daripada Abdullah bin Mas’ud r.a., Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud;

“Seseorang itu adalah bersama dengan orang yang dikasihi.” (Riwayat Bukhari & Muslim).

Hasil dari sifat kasih sayang itu menyebabkan seseorang itu akan terdorong untuk melakukan kebaikan yang sama terhadap sahabatnya. Abu Sulaiman Darami rahimullah berkata, “Jangan sekali-kali kamu bersahabat melainkan orang yang mempunyai dua sifat ini; pertama, dia dapat diajak untuk bersahabat dalam urusan duniamu dengan jujur dan kedua, dia dapat menambah kemanfaatan dirimu untuk urusan akhiratmu. Jika kamu suka bersahabat dengan orang yang bersifat selain daripada itu, maka pastilah kamu seorang yang lemah akal fikirannya.”

Maka, seharusnya kita juga perlu menjadi sahabat yang amanah kepada teman-teman yang lain. Antara tips untuk menunaikan amanah dengan baik adalah sebagaimana hadis daripada Anas bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud;

“Sesiapa yang solat kerana Allah s.w.t. selama 40 hari secara berjemaah dan mendapatkan takbir pertama, akan ditulis baginya 2 pelepasan, iaitu pelepasan daripada neraka dan pelepasan daripada nifak.” (RIwayat At-Tirmizi).

Maka, tuntutan solat berjemaah ini akan mampu membebaskan diri kita dari sifat kemunafikan kerana khianat atau tidak amanah itu adalah salah satu sifat kemunafikan. Ka’ab juga ada berkata, “Sesiapa yang memperbanyakkan mengingati Allah s.w.t. (berzikir), maka dia akan terlepas daripada sifat nifak.”

Hadis yang lain juga ada disebutkan;

“Dan Allah membantu seorang hamba selagi mana hamba itu membantu saudaranya.” (Riwayat Muslim).

Maka seorang sahabat yang sejati akan menjaga sahabatnya selagi ada upaya dan diperlakukan sebaiknya demi persahabatan atas dasar ketakwaan kepada Allah s.w.t. Oleh yang demikian, jika sekiranya kita sudah atau tertinggal amanah yang diberikan, maka perbanyakkanlah beristighfar serta jangan lupa untuk menjadi sahabat yang sentiasa memperingatkan orang lain tentang amanah mereka. Jom, kita TUNE diri kita.




Muat turun artikel ini di sini.

Thursday, January 26, 2012

BAHAGIAKAN ISTERI #1


Sebagai suami kita perlu sentiasa memuhasabahkan diri dan memperbaiki hubungan di dalam keluarga khususnya bersama isteri, anak-anak dan umumnya bersama keluarga sendiri dan mertua. untuk membahagiakan isteri, adalah patut kita sebagai suami untuk mengetahui apa yang disukai isteri. Kemudian cubalah sedaya upaya untuk memenuhi apa yang diinginkan isteri dan berusahalah untuk menghindari perkara-perkara yang dibenci isteri kita. Utamakanlah apa yang disukai selagi ia tidak keterlaluan dan tidak melanggar syariat Allah s.w.t. Bencilah apa yang dibencinya khususnya dalam perkara maksiat atau yang tidak baik dan nasihatilah dia jika apa yang dibenci melampaui batas atau tidak sepatutnya.

Tuesday, January 10, 2012

TAHUN 2012


Tahun 2012 telah tiba dengan azam dan semangat tahun baru yang membara. Terus terang saya jelaskan, secara peribadi, ia hanya sekadar tahun di nama nombor itu hanya sekadar nombor yang tidak memberikan erti besar di dalam kehidupan saya. Ini kerana, ia bertambah setiap tahun sebagaimana umur kita. Namun, ia bukan untuk kita lupakan bahawa setiap kejadian itu pasti ada sebabnya. 2012 pula menjadikan kita lebih berumur dan meningkat dewasa. Saya sendiri telah masuk '3 series' bak kata orang putih. Semakin berharga. Kenapa berharga? Kerana pengalaman, pemikiran serta perasaan sudah semakin besar menjadikan peranan dan tanggungjawab juga besar.

Tahun 2012 bagi saya yang pentingnya adalah muhasabah kehidupan yang memerlukan semakin banyak pengorbanan. Mana tidaknya, dalam dunia yang tiada limitasi, tiada penghalang serta terbuka ini, keadaan masyarakat semakin terbuka dan tiada halangan sehinggakan pemikiran serta tingkah laku mereka juga sama. Tiada lagi limitasi undang-undang khususnya disiplin agama yang menjadi benteng, dinding kepada setiap individu di dunia. Saya terkenang beberapa catatan rakan-rakan yang menceritakan beberapa detik cemas pada malam tahun baru. Mereka terlibat dalam kempen anti zina di beberapa tempat sekitar Shah Alam. Ada dikalangan mereka yang memarahi usaha yang dijalankan, ada yang ingin memukul mereka dan pelbagai keadaan lagi.

Ia amat merisaukan. Namun, sebagai Muslim mari kita lihat jauh ke dalam diri kita. Mengapa ia berlaku dan mengapa ia sangat hampir dengan kita? Adakah kerana Islam kita lemah atau cabaran dan dugaan Allah s.w.t. untuk kita? Sukar untuk menjawab. Saya mula merasakan peranan ini terlalu berat untuk dipikul bahkan apatah lagi jika dipikul oleh orang perseorangan. Saya sempat berceramah di PSIS (Politeknik Sultan Idris Shah) bertemu dengan pelajar-pelajar yang alhamdulillah mempunyai aspirasi Islam yang besar. Pada ketika saya melafazkan kata-kata, menceritakan pengalaman, saya hampir menitiskan air mata apabila mengenangkan sejarah saya di SMAKL dengan Abang Azri (Engku Azri).

Arwah telah memberikan contoh yang cukup baik bagi saya bagaimana pengorbanan seorang pendakwah, menghampiri, mendekati, menyelami, membimbing, mendidik serta mencurahkan pengalaman beliau kepada kami ketika itu. Dia telah membuka mata kami akan dunia sebenar serta keadaan yang perlu kami persiapkan. Pada hari ini, ia semakin sukar dengan kepelbagaian yang terlalu mencapah. Saya terbaca sepotong hadis Rasulullah s.a.w. yang diceritakan daripada Aisyah r.a. bermaksud;

"Tidak akan berlaku hari kiamat sehingga anak seseorang menjadi punca kemarahan (bagi ibu bapanya) dan hujan akan menjadi panas (hujan akan berkurang dan cuaca akan menjadi panas) dan akan bertambah ramai orang yang tercela dan akan berkurangan orang yang baik dan anak-anak akan berani melawan orang-orang tua, dan orang yang jahat akan berani melawan orang yang baik" (H.R. Tabrani)

Baginda Rasulullah s.a.w. telah pun menyampaikan pesan ini dan kita harus teliti dan yakini mengapa usaha dakwah ini jatuh ke atas bahu beberapa orang yang sedikit sahaja. Mudah-mudahan kita menjadi orang yang berada di dalam kelompok anak yang mendatangkan kegembiraan ibu bapa, tergolong dalam kelompok orang yang semakin sedikit iaitu mereka yang baik dan menghormati orang tua. Semoga kita dapat sentiasa TUNE diri kita.

Tuesday, January 3, 2012

ALLAH MENGHIDUPKAN, MEMATIKAN DAN MEMANJANGKAN UMUR


Kehidupan adalah masa yang terus berjalan dan berjalan tanpa menghiraukan sesiapa yang mensiakan bahkan yang sentiasa menyusun dan merancangnya. Tiada yang istimewa bagi masa kerana sifatnya adalah tidak menoleh ke belakang dan tidak akan dikembalikan. Pada tika masa kita merancangnya, kadangkala terganggu perancangan apabila atas perancangan itu ada perancangan Allah s.w.t. yang Maha Kaya dan Kuasa. Sering kali kita rasakan bahawa itu adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku kerana kita telan merencanakan semuanya. Saya juga tidak terkecuali, kerap kali mengeluh apabila yang direncanakan terganggu oleh perkara yang kita rasakan remeh. Kadangkala terlepas juga rasa marah dan tidak suka kepada apa yang berlaku. Astaghfirullahal ‘azhim. Saya bertaubat dan memohon ampun kepada Allah s.w.t.

Saya menelaah Al-Quran hari ini dan berupaya diberikan hidayah Allah s.w.t. yang sangat ingin dikongsi dengan teman-teman pembaca yang dikasihi sekalian. Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran Al-Karim dari surah An-Nahl, surah yang ke 16 ayat 70 yang bermaksud;

“Allah yang menciptakan kamu, kemudian Dia mematikan kamu, ada pula antara kamu yang dikembalikan Nya kepada peringkat umur yang sangat lanjut sehingga dia menjadi tidak ingat akan sesuatu yang telah diketahuinya, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Berkuasa.” (An-Nahl 16: 70)

Begitulah Allah s.w.t. memberikan kita peringatan penting untuk memenuhi tuntutan kehidupan. Menjadikan hidup ini bermakna dan ‘hidup’. Allah yang menciptakan kita! Ini ayat tauhid yang penting yang menjadikan manusia wajib taat kepada yang telah Menciptakan bahkan Dia telah memberikan nikmat yang sekian banyaknya sehingga tidak terkira dengan jari-jemari kita. Apabila Dia yang menciptakan, maka akan adalah kesempurnaan dan gugurlah segala kekurangan jika dibandingkan dengan apa sahaja yang diciptakan manusia. Dia juga memberitahu kita bahawa, apabila Dia yang menciptakan maknanya pasti ada sebab yang perlu kita ambil pengajaran darinya.

Saya bermuhasabah dengan ayat Al-Khaliq ini. Allah s.w.t. yang ciptakan kita? Apa sebabnya, apa peranannya? Dia tidak hanya ciptakan kita bahkan Dia juga yang berhak mematikan kita. Bila? Di mana? Semuanya atas perencanaan Dia yang Maha Merencana. Siapa pula kita? Apa yang kita boleh buat? Apabila tiba perintah mematikan maka tiadalah akan lewat walau sesaat pun dari masa yang ditetapkan. Pada tika mati sahaja seorang manusia maka terputuslah hubungannya dengan dunia melainkan 3 perkara Rasulullah sebutkan iaitu, doa anak yang soleh, ilmu yang dimanfaatkan dan sedekah amal jariah.

Dek kerana itu Allah s.w.t. mengingatkan kita juga, bahawa ada juga di kalangan manusia yang Dia akan lanjutkan usianya sehingga nyanyuk yang mana, umum manusia lahir sebagai bayi yang perlu diuruskan kehidupan mereka, kemudian membesar menjadi remaja dan dewasa. Namun ada sebahagian dari kita akan kembali menjadi kanak-kanak yang perlu diuruskan dalam kehidupan seharian kita. Saya membayangkan, jika sayalah yang dipilih Allah s.w.t. sebagai seorang yang nyanyuk, maka anak-anak mungkin akan hilang sabar dengan cemuhan, kata-kata jiran dan sebagainya. Kerana pada masa itu mungkin kita ini akan menjadi bebanan kepada anak-anak.

Namun pastinya, ada hikmah dan pengajaran bagi mereka yang diberikan nyanyuk ini. Bagi anak yang menanggung ibu ayah mereka yang nyanyuk, Allah s.w.t. berikan ruang yang amat luas untuk mereka terus berbakti kepada ibu ayah sebelum mereka menghembuskan nafas mereka yang terakhir berbanding teman-teman saya sendiri yang Allah s.w.t. telah kembalikan mereka ke rahmat Nya. Untuk orang-orang yang melihat, pasti merasai malu sendiri dan itu pengajaran besar untuk kita memelihara diri kita agar tidak membawa kepada kesia-siaan pada hari tua. Teringat saya kepada pesan emak saya apabila ada yang menegur emak tentang nenek saya yang pada usia 80-an, masih lagi baik akal fikirannya dan waras. Emak kata, “Inilah kelebihan bagi mereka yang sentiasa menghidupkan kehidupan mereka dengan membaca Al-Quran.” Minda kita itu berjalan, mentadabbur isi kandungannya dan sentiasa berfikir tentang keagungannya.

Maka, usahlah kita rosakkan pemikiran dengan perkara maksiat dalam akal kita kerana itu mungkin akan mengundang nyanyuk itu kepada diri kita. Saya berpendapat, setiap yang datang itu ada pengajaran dan ada juga pembalasan yang sebagai seorang Muslim perlu reda dan menyerahkannya kembali kepada Allah s.w.t. Begitulah kata-kata Allah s.w.t. yang Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa. Wallahua’lam.


Kamarul Azami, Kuala Selangor
1 Januari 2011, 8.00 pagi


Muat turun artikel ini di sini.