Friday, November 11, 2011

ARAH TUJU MAHASISWA S.M.A.R.T


Alhamdulillah, masih berada di bumi Allah ini. saya amat mengharap semua usaha yang dijalankan hanyalah untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. Pada 2 November lalu, saya sempat berkunjung ke UPSI untuk bertemu dengan Rakan Studi Islam dalam satu slot ceramah motivasi anjuran mereka.

Peluang untuk berhadapan dengan pelajar-pelajar yang juga dikenali sebagai mahasiswa dan mahasiswi ini begitu dinantikan. Berkongsi semangat dan cita-cita besar untuk melihat bangsa dan agama ini dibina seiring dan melahirkan generasi yang mampan dalam mendepani masa depan yang semakin pantas dan sukar.

Apa tidaknya, saya berpeluang untuk memberikan latihan kepada mereka, tetapi setiap kali berjalan, penyertaannya sedikit mendukacitakan. Namun, dalam kamus hidup kita sebagai Muslim, tidak sepatutnya wujud perasaan sudah cukup atau putus asa. Ia perlu juga diteruskan supaya kerja-kerja dakwah ini berterusan.

Mungkin yang melakukannya terkorban, tetapi itu lebih mulia berbanding kita korbankan masa depan generasi pewaris kita itu sendiri. Peluang ini seoalah-olah membuka lembaran lebih luas buat saya dan kawan-kawan untuk menyatakan pandangan tentang bagaimana mahasiswa dan mahasiswi hari ini dirosakkan matlamat hidup besar mereka dan hanya mengejat sebahagian kecil dunia sahaja.

Hari ini, manusia berebut-rebut mengejar dan menghabiskan usia mereka untuk mendapatkan gaji yang termahal serta gaya hidup yang terhebat tanpa pernah terdetik dan terfikir di dalam fikiran mereka, bagaimana Rasulullah s.a.w. telah mengorbankan dirinya untuk pembinaan generasi selepas Baginda.

Para sahabat menjadi contoh dan bercahaya seperti bintang-bintang di langit yang memberikan petunjuk kepada musafir di dalam perjalanan mereka sepanjang kegelapan malam. Para ilmuwan yang lahir dari generasi mahasiswa dan mahasiswi yang hanya mementingkan sijil dan meletakkan kejayaan mereka kepada bilangan markah mereka, akhirnya terpedaya dan terlupa hasrat besar serta amanah tanggungan yang akan dipersoalkan Allah s.w.t. kepada mereka.

Ilmu datang bersama peranan dan dakwah. Umur diberi untuk menambah kebaikan. Pangkat diserah untuk dilaksana dengan amanah. Harta bertambah untuk meningkatkan rasa syukur dan menyerah pada Allah s.w.t. Apa yang boleh dilihat, pemuda-pemudi yang menjadi harapan bangsa ini semakin sibuk dengan dunia mereka. Dunia kemewahan dan keselesaan dalam pada pejuang agama serta para pendakwah dipijak dan dihina baik mereka yang telah meninggalkan kita atau yang sedang disesksa dan dihina.

Peluang saya bersama pelajar UPSI cuba dimanfaatkan. Biasalah bila kita dalam majlis ilmu, tidaklah ramai, seperti yang selalu saya sebutkan, pada hari ini, benda baik belum tentu menjadi pilihan ramai, tetapi yang tidak baik sering dirindu mereka. Jangan melihat kepada siapa yang berkata, tetapi lihatlah kepada apa yang dikatakan. Masa kita suntuk untuk berbicara tentang orang lain, maka eloklah kita berbicara tentang diri kita. Ke syurga kah atau ke neraka?

"Ya Allah, ujian-Mu bertambah, tidak berkurang, kasih sayang-Mu bertambah, tidak berkurang, nikmat-Mu bertambah tidak berkurang, namun pada ku sabar itu semakin kurang, cinta kepada-Mu semakin jauh dan syukur ku tidak terhias pada amal. Ya Allah, ampunkanlah aku, tingkatkanlah sabarku, suburkanlah cinta ku pada Mu dan lebarkanlah rasa syukur ku kepada Mu."

Saturday, November 5, 2011

REMAJA OH REMAJA!


Bulan Oktober dan November 2011 ini benar-benar membawa pemikiran saya ke arah satu bentuk yang memberikan lebih banyak rasional dan kematangan dalam menempuh kehidupan yang semakin mencabar. Bulan Oktober dan November, saya banyak memenuhi undangan untuk ceramah yang memberikan fokus mengenai alam remaja.

Bercerita tentang dunia remaja menjadikan saya lebih risau dan perlu dilakukan lebih banyak perkara kerana keadaan yang sangat-sangat mencabar pada hari ini. Kehidupan remaja sudah semakin terdedah dengan pelbagai perkara negatif yang membawa mereka jauh meninggalkan jatidiri hidup sebagai seorang Muslim.

Jauh dari perintah agama, jauh dari kehidupan seorang Muslim, remaja hari ini lebih gemar untuk mengikut trend semasa dan memilih untuk memenuhi permintaan nafsu berbanding akal mereka. Ini yang membawa remaja ke arah perkara yang menyeronokkan semata-mata. Membesarkan nafsu berbanding akal yang akhirnya, nafsu mereka yang mengawal nafsu.

Siapakah yang bersalah di dalam hal ini? Jika merujuk kepada pengalaman dan pemerhatian saya sendiri, anak-anak bergantung kepada ibu bapa mereka dan ibu bapalah yang mencorakkan mereka. Oleh yang demikian, kebanyakannya akan kembali kepada ibu dan bapa mereka. Semoga usaha yang saya lakukan ini dapat membantu memperbaiki keadaan kehidupan masyarakat kita ini.

"Ya Allah, kekalkanlah aku di atas jalan -Mu ini, usahlah kau datangkan perasaan selesa dan ingin meninggalkannya, kerana dengan kepenatan ini, moga dapat aku rasai cinta -Mu kepada insan kerdil ini."