Sunday, September 25, 2011

PESANAN DARI KAWAN, RAKAN DAN TEMAN


Segala puji bagi Allah yang telah menggerakkan kita semua memenuhi tuntutan masing-masing dan panjatkan kesyukuran kerana ketika ini kita masih diberikan Allah s.w.t. untuk menghirup udara segar dan bernafas. Selawat dan salam ke atas Ar-Rasul s.a.w. yang telah diutus Allah s.w.t. untuk menyampaikan berita gembira dan peringatan kepada kita semua.

Saya pada malam ini sebenarnya memasang niat dan berfikir-fikir tentang apakah kesempatan yang Allah s.w.t. nak sediakan untuk hari esok. Mudah-mudahan yang terbaiklah. Hasrat hati mahu menulis seberapa banyak perkara yang ada dibenak fikir manusia lemah ini, tetapi kemahiran saya sangat terhad. Masih mencuba-cuba untuk menulis dan ini sebenarnya sebahagian dari latih tubi yang saya rasa kena buat.

Saya sangat terkesan dengan kata-kata seorang DJ di radio apabila dia menyatakan apalah agaknya perasaan Nabi s.a.w. apabila doa yang Baginda ajarkan dan tinggalkan kepada kita tetapi tidak kita amalkan? Jika kita fikir sejenak, itu baru doa, rasanya setiap inci kehidupan kita ini Rasulullah s.a.w. telah tinggalkan banyak contoh yang sepatutnya kita ikuti.

Siangnya, saya telah menghadiri jemputan kenduri keluarga terdekat dan bertemu dengan teman-teman tempat belajar dulu, sapaannya menyebabkan saya terfikir juga, nak jawab bagaimana. "Wah, orang kuat ABIM ni, segan aku dengan dia ni," lebih kurang begitu lah rasanya ayat dia. Tapi, saya mula berfikir, kuat sangat ke saya dengan ABIM ini atau sebenarnya saya yang nampaknya memikul sesuatu yang besar di atas pundak yang kerdil ini?

Saya mula runsing. Apabila DJ tadi mengingatkan tentang tidak melakukan apa yang Rasulullah tinggalkan, persoalan terus timbul, cukup ke apa yang saya buat untuk menyamai atau paling tidak menghampiri apa yang Rasulullah s.a.w. buat? Sapaan teman tadi sebenarnya memberikan saya satu ruang untuk berfikir tentang dunia yang semakin hari semakin sukar dan mencabar. Apabila teman-teman menyebutkan begitu, terasa juga keseorangannya, namun mungkin inilah asam garamnya dan saya masih perlu banyak belajar dari apa yang ada di depan mata.

Sekadar renungan seblum melelapkan mata dan merencana apa yang akan datang pula esok InsyaAllah jika masih ada. Cuma tulah, rupanya Allah s.w.t. ini memang Maha Kaya, mendidik manusia dengan pelbagai cara bukan hanya dengan teguran, tetapi adakalanya ia datang hanya sekilas pandang melalui kata-kata atau tindakan ikhlas dari kawan, rakan, teman atau sahabat kita yang lain.

Kawan, ramai...
Tetapi di dalam berkawan kita perlukan rakan.


Rakan, juga ramai...
Tetapi dalam ramai-ramainya rakan,
sedikit sahaja yang sesuai untuk dijadikan teman.


Teman pula, ramai juga...
Cuma antara yang ramai, ada seorang atau dua sahaja
yang kita percaya untuk dijadikan sahabat.


Kawan silih berganti,
rakan datang dan pergi,
teman bila perlu akan ada disisi
tetapi sahabat, akan sentiasa dikenang
dan dirindu dalam hati.


Semoga kita berjaya menjadi sahabat sejati kepada kawan, teman dan rakan, yang akan sentiasa mengingatkan atau setidak-tidaknya akan menyebabkan mereka teringat kepada amanah Ilahi.

SYAWAL DAH NAK HABIS


Allahu Akbar! Syawal pun dah hampir nak pegi dah. saya terasa seperti mimpi, masa yang berjalan cepat sangat. Macam-macam yang berlaku dan mudah-mudahan dapatlah saya dan teman pembaca meneruskan dan istiqamah dalam amal semenjak dari Ramadhan lagi. Upaya kita sebagai manusia ialah untuk membuat kebaikan tetapi, janji syaitan tetap akan berusaha untuk menyesatkan kita semua.

Syawal 1432 ini banyak menguji dalam masa yang sama membuka ruang kematangan dalam hidup saya. Menjelang akhir tahun ini, umur Saya akan mencecah 30 tahun! Alhamdulillah lama hidup, tapu terasa sangat yang lebih banyak dosa dari pahala. Macam-macam isu yang berlaku sepanjang syawal ini. Dari isu daerah, negeri bahkan nasional. Namun, yang paling kita perlu perhati dan perhalusikan adalah isu aqidah umat Islam kita hari ini.

Semalam, saya berpeluang bersama ABIM Pusat, antara yang sempat saya rakamkan di dalam ingatan ini ialah tentang kejayaan umat Islam di Malaysia mendapat ranking ke sepuluh diantara negara Islam yang paling banyak berhibur. Hebat kan? Terkejut juga mendengar dengan usaha-usaha dakwah yang dilakukan oleh semua NGO Islam dan lainnya, hasilnya semakin mendebarkan dan mencemaskan. Kenapa ye?

Saya termenung, dan banyak berfikir sepanjang Ramadhan apabila berpengalaman melalui Ramadhan antara yang tersibuk yang saya rasa pernah lalui. Apalah nak jadi kepada diri saya secara peribadi, berniat untuk berjuang diagama Allah tetapi pada masa yang sama menjauhkan diri dari Allah. Dikala kita tahu apa yang kita lakukan itu akan menjarakkan kita dengan Allah, tetapi kita buat juga perkara yang kononnya akan mengembalikan iman di dalam jiwa. Nauzubillah.

Itulah hakikatnya dan saya dapat rasakan, keikhlasan perjuangan para pendokong agama ini sudah semakin pudar keikhlasan mereka (termasuk saya sendiri) apabila mengharapkan habuan dunia dan mengharapkan cerita baik dari orang. Allah, al-wahn dah meliputi iman manusia. Dunia telah menyerap ke dalam hati dan iman semakin lari dari jiwa lara manusia. Teringat saya kepada pesanan Sayidina Ali, letakkan dunia ditapak tanganmu, jika kamu memerlukannya kamu akan ambil di jika tidak, maka kamu akan membuangnya.

Bina keikhlasan kerana dari keikhlasan akan lahir kesungguhan akan terbit kesabaran. Tunjangnya iman dan kemahuan untuk berbakti kepada agama dan generasi akan datang. Jom, kita teruskan.

Tuesday, September 20, 2011

MEMBINA ROH DALAM USAHA MERUBAH DIRI


Sejarah telah pun membuktikan kesan roh dalam pembinaan diri manusia. Lihat saja apa yang telah berlaku kepada pemuka-pemuka Arab Quraisy yang sangat ego, ganas dan kasar, dengan datangnya Islam, mereka sujud ke bumi menyembah Allah s.w.t. walaupun sebelumnya mereka enggan langsung untuk tunduk walaupun untuk mengambil cemeti hak milik mereka sendiri. Transformasi hebat ini telah berjaya membina satu bangsa yang dulunya dikenali sebagai ‘belalang pada pasir’ kerana kehinaan dan kelemahannya kepada sebuah empayar pemerintahan yang menguasai dua pertiga dunia.

Inilah perubahan tanpa kesan sampingan (side-effect), bersepadu (integrated) dan menyeluruh (global). Ia telah melahirkan ramai pemimpin yang berwibawa yang menjalankan amanah dengan segala keupayaannya serta takutkan Allah s.w.t. Lihat saja contohnya Saiyidina Umar Al-Khattab, apabila ditanya kepadanya mengapa engkau kurang tidur pada malam hari. Jawab Saiyidina Umar, “Aku khuatir urusanku dengan Allah s.w.t. tidak selesai.” Kemudian ditanya pula mengapa kurang tidurmu pada siang hari? Beliau menjawab, “Aku khuatir urusanku dengan manusia tidak selesai”. Inilah dia transformasi yang telah Rasulullah s.a.w. bawakan kepada ummat manusia, berbakti kepada Allah s.w.t. dan berkhidmat kepada seluruh manusia.

Inilah perubahan yang bersepadu antara Allah s.w.t. dan makhluknya, antara ibadah dan kerja, antara ganjaran material dan pahala, antara dunia dan akhirat. Ia adalah sesuatu yang berlaku secara adil dan tidak ada cacat-celanya. Pokok pangkalnya adalah keyakinan dan kepercayaan manusia terhadap janji-janji Allah s.w.t. Manusia sejak dari asalnya telah mengakui bahawasanya Allah s.w.t. itu Tuhan yang Esa, kemudian diperingatkan pula dengan kedatangan Nabi s.a.w. Itu juga yang sering kita ungkapkan di dalam bacaan doa iftitah kita.

Pembinaan generasi Al-Quran yang unik dibawah bimbingan Rasulullah s.a.w. telah berjaya membina empayar di dunia dan mendapat keredhaan Allah s.w.t. di akhirat. Ia jelas menunjukkan, manusia tidak hanya dibina dengan kemajuan material sahaja bahkan mereka adalah generasi yang cemerlang selepas mereka kembali ke alam akhirat. Begitu juga Islam tidak mengajar manusia hanya untuk beribadah semata-mata, tetapi datang bersamanya tuntutan untuk berkhidmat demi negara dan masyarakat.

Perubahan diri adalah tuntutan untuk kita berusaha mencari keperkasaan dalam diri. Memperkasakan diri bererti mengembalikan manusia kepada sifat asalnya atau fitrah. Sebagaimana disebutkan di atas tadi, fitrah manusia ini akan kembali kepada apa yang telah Allah s.w.t sediakan untuknya. Apabila lahir ke dunia, manusia diberikan keupayaan untuk melakukan banyak perkara dengan nikmat pemberian dari Yang Maha Esa. Namun, malangnya, fitrah manusia ini memerlukan wahyu untuk menterjemahkan cara hidup yang sebenar. Ia memerlukan contoh dari As-Sunnah untuk menjadikan ianya berkesan.

Malangnya hari ini, manusia hanya menumpukan pembinaan dan pemerkesaan dari sudut material semata-mata yang nampak dek mata kepala mereka sahaja. Roh sifatnya maknawi. Ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar, tetapi dapat dirasa oleh mata hati. Itupun mata hati yang diberikan keizinan oleh Allah s.w.t. untuk melihatnya. Ramai yang berkata, mereka itu belum dapat hidayah. Hakikatnya, setiap hari manusia diberikan petunjuk, cuma tanda hidayah itu sampai adalah apabila mereka membuktikannya dengan perbuatan mengikuti petunjuk yang diberikan. Berapa ramai perokok yang mengetahui kesan buruk rokok, penzina yang tahu akan dosa berzina, peminum arak yang tahu tentang golongan yang mendapat kebencian Allah dengan araknya? Petunjuk itu sampai ke telinga mereka tetapi adakah mereka berubah?

Inilah kesannya apabila roh tidak dibina dengan bersungguh-sungguh. Maka, marilah bersama kita fikirkan bahawasanya untuk melakukan perubahan diri, ia bukanlah semata-mata membina material sahaja, tetapi yang lebih utama adalah membina roh kekuatan dalaman yang merupakan tunjang kepada kehidupan manusia di dunia dan apabila di akhirat kelak, kita akan ditanya tentang dunia kita. Setiap nafas yang dihirup, setiap kali mata kita berkelip, setiap kali tangan kita bergerak dan setiap kali kaki kita melangkah. Semuanya akan disoal. Roh adalah kehidupan bagi jasad, jika roh yang menghidupkan jasad itu lemah, maka pastinya kehidupan manusia itu lemah. Binalah roh kita dalam menjalankan usaha-usaha untuk merubah diri kita.

Muat turun artikel ini di sini.

Wednesday, September 14, 2011

PERBAIKI DIRI KITA DAN SERULAH


Panjatkanlah kesyukuran kepada Allah s.w.t. yang menjadikan kita ruang dan peluang untuk terus menghirup udara segar dan nyaman serta masih berpijak di bumi ini sebagai manusia yang bernyawa. Setiap hari pasti ada peringatan yang datang pada kita untuk diberikan amaran supaya sentiasa melakukan persiapan sebelum tiba masanya. Tajuk perbincangan kita pada hari ini yang memasuki tajuk ke 18 di dalam buku Jalan Dakwah karangan Ustaz Mustafa Masyhur iaitu ‘Perbaiki Diri Kita Dan Serulah’.

Memperbaiki diri dan menyeru kepada orang lain adalah merupakan satu-satunya jalan untuk mempersatukan para Muslimin yang hari ini sudah banyak cabang dan tujuan kehidupan mereka. Perbaiki diri untuk menjadi Muslim yang baik serta ajaklah mereka yang berada dipersekitaran kita untuk menjadi Muslim yang baik. Ajaklah mereka untuk meninggikan urusan mereka agar menduduki tempat yang wajar bagi seorang Muslim sebagaimana firman Allah s.w.t. di dalam surah Ali-Imran ayat 110;

Monday, September 5, 2011

PENYEKAT REZEKI


Rezeki adalah ketentuan dari Allah s.w.t.. Ia adalah hak milik Allah secara mutlak yang telah ditentukan untuk setiap manusia yang dilahirkan. Bezanya pula antara manusia adalah bergantung kepada nilai usaha mereka. Ada dikalangan manusia yang berusaha bersungguh-sungguh tanpa mengenal erti penat dan letih sehinggakan meninggalkan hak Allah s.w.t. dan Muslim yang lainnya. Ada juga yang hanya sekadar melepaskan batuk di tangga di dalam usaha mencari rezeki, berserah dan berharap semata-mata.

Rezeki adalah satu jaminan dari Allah s.w.t. yang mana telah disuratkan untuk menusia memperolehnya. Oleh itu, rezeki yang akan kita perolehi atau yang telah pun kita perolehi adalah atas izin dan ketentuan dari Allah s.w.t.. Ramai yang menyangka, mereka tidak mendapat rezeki secukupnya sebagaimana orang lain. Selalu kita dengar, “Besarnya kereta dia, bila la aku nak pakai kereta macam tu?”

Persoalan begini akan sentiasa bermain difikiran kita. Persoalan ‘bila nak dapat’, ‘kenapa aku tak dapat’ dan sebagainya adalah persoalan yang biasa dan ia perlu diperjelaskan. Dapat atau tidak semuanya terserah kepada Allah s.w.t.. Pokok pangkalnya adalah rasa redha dan sabar. Jika Allah s.w.t. berikan apa sahaja yang diminta dengan segera, maka tidak akan adalah pahala orang redha dan bersabar. Bahkan akan hilanglah keimanan manusia kepada kata-kata Allah s.w.t. di dalam Al-Quran. Janji Allah s.w.t. berkenaan rezeki itu pasti, apa sahaja yang diminta manusia itu pasti dimakbulkan sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Sesungguhnya Tuhanmu yang Maha Suci lagi Maha Tinggi itu pemalu lagi mulia. Dia malu terhadap hamba-hamba-Nya yang mengangkat tangan berdoa, tiba-tiba tidak diberi oleh-Nya akan permintaan itu.” (Riwayat At-Tirmizi dan Abu Daud).

Itulah janji Allah dan kepastian yang diungkapkan cuma, yang tidak diperjelaskan disitu adalah bila ia akan dipenuhi? Kerapkali apabila kita mendapat rezeki yang baik dari Allah s.w.t. kita bersyukur dan berterima kasih kepada-Nya tetapi apabila kita tidak menerimanya, kadangkala kita lupa untuk berbaik sangka dengan Allah s.w.t. dan lupa sesungguhnya Dialah yang Maha Mengetahui. Eloklah kita bersama bangun dan berfikir, kita nilai semula peribadi kita jika seringkali permintaan kita Allah s.w.t. amat lambat untuk memakbulkan. Pasti, apabila kita berusaha untuk mendapatkan sesuatu rezeki itu, ada sahaja halangan dan sekatan yang tidak disangka-sangka. Maka, ada beberapa kemungkinan yang perlu kita lihat bersama.

Pertama dari sudut tawakal kita kepada Allah s.w.t.. Paling mudah untuk perhatikan dan nilai semula adalah perkataan ‘InsyaAllah’ yang keluar dari mulut kita. Berapa kali kekerapannya atau tiada sebenarnya. Lebih mudah untuk menyatakan ‘boleh’, ‘beres’, ‘anggap je settle’ dan sebagainya tanpa kita insafi bahawa yang mendatangkan keizinan itu adalah Allah s.w.t.. Kedua, nilai semula diri kita dari sudut maksiat dan dosa. Sebagaimana sepotong hadis yang bermaksud, “Sesungguhnya seseorang terjauh dari rezeki disebabkan perbuatan dosanya.” Maka ubat pembuka rezekinya sudah tentulah kembali bertaubat kepada Allah s.w.t.. Bertaubatlah sepenuh jiwa sehingga taubat itu mendatangkan rasa benci dalam hati untuk melakukannya lagi, menyatakan tidak suka dengan lidah serta menghindari terus dari mengulanginya.

Begitu juga yang ketiga iaitu apabila melakukan maksiat di dalam mencari nafkah yang wajib itu. Ini kerapkali berlaku dikalangan mereka yang bekerja dan dibayar gaji bulanan, adakah sebenarnya gaji bulanan kita itu layak untuk kita dan setimpal dengan kerja-kerja sebulan yang kita lakukan? Adakah pendapatan kita itu dari sumber yang halal atau meragukan. Akhirnya, hati dan jiwa kita hilang rasa berdosa dan hilang pertimbangan ini yang menyebabkan apa sahaja boleh kita telan asalkan kita tidak tahu cerita dari pangkalnya. Anggaplah ‘tidak tahu’. Ini amat berbahaya, berhati-hatilah. Apabila sumber nafkah ini diragui, sedikit demi sedikit mengundang kelalaian diri kita dari mengingati Allah s.w.t.. Dek kerana itulah, kita amat digalakkan untuk terus menimba ilmu walau di mana sekalipun kita berada. Mungkin di masjid, surau mahupun dari kalangan rakan-rakan sepejabat yang sentiasa mengingatkan. Buat majikan dan ketua-ketua pejabat, wujudkanlah usrah atau sesi-sesi tazkirah ringkas untuk kita berhenti seketika bekerja dan kembali mengingati Allah s.w.t. dalam masa 30 minit dari berjam-jam kita bekerja.

Akhir sekali, perasaan tidak mahu bersedekah. Sudah menjadi fitrah manusia, ada perasaan tamak dan haloba. Ketika di dalam poketnya ada RM10, apabila datang orang meminta derma dia akan memberikan 1/10 daripada apa yang ada itu iaitu RM1, tetapi apabila di dalam poketnya ada RM1000 adalah dia akan memberikan 1/10 darinya (RM100) sebagai sedekah atau RM10 atau RM1? Sama-samalah kita nilai diri kita semula. Sedekah adalah salah satu sumber pembuka rezeki dan melepaskan segala rezeki yang tersekat untuk sampai kepada hamba-Nya. Apa yang paling utama adalah keberkatan rezeki itu sendiri. Apabila ia tidak berkat, apa yang ada pada kita amat mudah ia mengalir dan habis begitu sahaja. Apabila dapat rezeki, penyakit pun datang dengan tiba-tiba. Apabila dapat rezeki, hati tidak tenang, takut diambil orang lain dan berasa dengki dengan apa yang dimiliki orang lain. Apa yang paling kita takuti, semakin banyak rezeki yang Allah limpahkan untuk kita, menjadikan kita semakin jauh daripada Allah s.w.t.. TUNE-lah diri kita.

Muat turun artikel ini di sini.

Friday, September 2, 2011

PERBAIKI DIRI DAN ORANG LAIN


Alhamdulillah kita masih meneruskan usrah kita walaupun telah tertangguh untuk beberapa minggu. Kesibukan kita menyebabkan kita lupa kepada diri sendiri. Kita lupa kepada keperluan untuk membina dan memperbaiki diri. Kita lupa kepada pesanan Nabi Muhammad s.a.w., gunakanlah masa lapang kita sebelum sampai masa sempit.

Kita pun berfikiran bahawa, inilah waktu sempit kita, sehinggakan menghalang kita untuk menghadiri dan melaksanakan usrah. Ternyata, sehingga kini, usrah kita masih belum berjaya melahirkan ahli-ahli yang komited dan bersungguh-sungguh di dalam kerja-kerja dakwah. Kita sudah mula merasai bahawa permintaan untuk memenuhi keperluan diri kita sebagai perkara utama dengan menjadikan alasan bahawa, bagaimana kita boleh berdakwah dengan baik jika diri kita sendiri belum dapat ditampung dan ditanggung? Keinginan dan hasrat yang nampaknya begitu realistik ini akhirnya menjerat diri kita sendiri. Secara tidak sengaja, keinginan peribadi itu telah menjadi pengawal tindakan dan fikiran kita dan secara tidak langsung telah menjadi matlamat peribadi yang utama iaitu untuk memenuhi keperluan kehidupan di dunia semata-mata. Teringat akan kata-kata Sayidina Ali, peganglah dunia di tangan kita, tetapi jangan sampai ia tertanam di dalam hati. Jika ia tertanam di dalam hati, maka sudah tentu sukar untuk kita keluarkannya, sebaliknya jika ia berada di dalam tangan kita, mudahlah kita untuk mengambil atau membuangkannya.

Usaha mencari dunia semata-mata ini sebenarnya menjadikan kita lebih sukar. Kita hanya menumpukan segala usaha kita hanya untuk sebahagian kecil sahaja dari seluruh kehidupan kita. Maka usaha kita bersama untuk kekal istiqamah di dalam perbincangan-perbincangan usrah ini adalah untuk kembali bermuhasabah dan meneruskan usaha memperbaiki diri kita sendiri. Sepertimana yang telah kita bincangkan bersama semenjak bermulanya usrah kita ini, perkara yang paling penting yang perlu kita bersama tumpukan di dalam marhalah ini di atas jalan dakwah ialah memperbaiki diri dan menyeru orang lain kepada jalan dakwah kita. Kita bersama telah faham bahawa memperbaiki diri adalah yang paling utama buat kita.

Pembaikan dan pemulihan diri ini adalah suatu yang besar natijahnya dalam usaha menjalankan dakwah kepada orang lain. Keutamaan dalam usaha pembaikan dan pemulihan diri ini ialah bermula dengan akidah yang tegas dan sejahtera. Mengukuhkan kepercayaan serta meletakkan segala daya hidup di bawah penguasaan yang Maha Pemilik. Inilah kekuatan yang dimiliki oleh golongan salafussoleh yang dengannya terbina keberanian, tawaduk, amanah, kesetiaan dan sifat as-siddiq.

IBADAH YANG TERBAIK

Apabila kita bersama dapat memahami dan menghayati akidah salimah yang membawa kepada kesejahteraan maka bersamanya akan datanglah ibadah yang terbaik. Pemahaman ibadah bukanlah terbatas kepada persoalan solat, puasa, zikir atau zakat sahaja, bahkan ia merangkumi setiap inci kehidupan manusia. Sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud;

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada Ku.” (Adz-Dzariyat 51: 56)

Maka, sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w. juga menyebutkan tentang setiap amalan itu harus bermula dengan niat. Niat ini akan membantu kita menjadikan setiap perilaku perbuatan itu bukan semata-mata kerana terpaksa atau memenuhi keperluan dan permintaan nafsu, sebaliknya ia menyebabkan setiap perbuatan itu bermakna serta menjurus kepada mencari dan menjadikan kita semakin hampir dan mendapat keredaan dari Allah s.w.t. Walau di mana sahaja, pada bila-bila masa ia akan menjadi ibadah dengan syarat ia sesuai dengan syariat dan jauh dari perkara-perkara yang diharamkan serta dimurkai Allah s.w.t. Oleh yang demikian adalah penting untuk mengetahui hukum-hukum ibadah dan syarat-syarat sahnya. Perlu tahu sunnah dan cara hidup Rasulullah s.a.w. dalam segenap kehidupan seharian.

Pada usrah kita kali ini, marilah kita menanamkan azam untuk mengamalkan ma’thurat setiap hari. Jadikanlah ia disiplin dan salah satu cara untuk mencontohi Rasulullah s.a.w. seberapa rapat yang mungkin. Amalkan dan fahamilah isi kandungannya. Semoga dengan itu, kebergantungan kita hanya terpaut kepada Allah s.w.t. Lakukanlah ianya dengan ikhlas, bukan kerana mengharapkan kata-kata dan untuk dilihat orang lain. Mudah-mudahan amal kita itu di terima Allah s.w.t.

AKHLAK YANG TERBAIK

Akhlak yang juga merupakan asas penting dalam usaha memperbaiki diri kita perlu melihat kepada contoh dan teladan yang telah ditinggalkan Nabi Muhammad s.a.w. Sebagaimana kata-kata Saiyidatina Aisyah bahawa Baginda s.a.w. itu adalah Al-Quran yang berjalan. Maka, rujukan dan contoh ini juga datangnya dari sumber Al-Quran Al-Karim. Akhlak amat berkait rapat dengan hubungan manusia serta makhluk lainnya. Contoh yang praktikal lebih besar pengaruh dan kesannya di dalam jiwa manusia. Sabda Rasulullah s.a.w. “Hanyasanya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”

Sabda Rasulullah s.a.w. lagi, “Barang yang paling berat di dalam timbangan pada hari kiamat ialah takwa kepada Allah s.w.t. dan akhlak yang baik.”

Latihlah diri kita dengan akhlak yang mulia dan secara langsung ia menegaskan kita untuk meninggalkan akhlak yang buruk.

THAQAFUL FIKR

Thaqaful fikr bermakna pendidikan fikiran. Sebagai lelaki yang mempunyai akidah yang mantap dan berada di atas jalan dakwah, seharusnya kita mempunyai budaya berfikir. Terdapat 3 aspek asasi dalam pendidikan fikiran iaitu yang pertama adalah pengenalan yang salim dan sempurna mengenai Islam. Kedua, mengetahui keadaan sebelum dan semasa tentang dunia Islam, mengenali dan mengetahui musuh-musuh Islam serta memahami segala tindak-tanduk mereka. Manakala yang ketiga adalah dengan mempertingkatkan kemahiran pengkhususan di dalam pelbagai bidang lapangan yang berkaitan dengan urusan kehidupan kita. Inilah yang diperkenalkan ABIM sejak awal penubuhannya yang sepatutnya kita fahami dan ketahui, ianya adalah sebahagian dari tuntutan berjemaah iaitu ‘memprofesionalkan ulama’ dan mengulama’kan profesional. Dorongan ini telah pun Allah s.w.t. sebutkan di dalam surah Al-Alaq ayat pertama.

KEKUATAN JASMANI

Sabda Rasulullah s.a.w. “Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah s.w.t. daripada orang mukmin yang lemah dan ada kebaikan kepada tiap-tiap individu.”

Penambahbaikan diri kita perlu juga menjurus kepada soal kesihatan dan kekuatan fizikal. Sekiranya kita pernah membaca Risalah Ta’lim yang dicatatkan oleh Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna, beliau begitu menitikberatkan soal kesihatan sehinggakan beliau mengarahkan agar segera membuat pemeriksaan kesihatan jika keadaan diri tidak sihat. Begitu juga dengan pengambilan makanan, kebersihan dan apatah lagi merapati arak, dadah dan juga rokok.

LAIN-LAIN LAGI

Janganlah kita lupa, kita juga perlu menghidupkan semangat jihad dengan berdepan dengan sebarang masalah dengan berani. Hilangkan dunia material diri kita dengan melawan nafsu yang berusaha untuk merajai kita. Inilah peperangan terbesar kehidupan kita pada hari ini. Begitu juga dengan hubungan kita bersama makhluk lainnya. Sebagai usaha untuk memperbaiki diri, sentiasalah menjadikan diri memberi manfaat kepada orang lain. Senang hati dan bermurah hati walaupun sampai ke tahap ianya tidak diketahui oleh sesiapa pun baik dalam keadaan sedikit mahupun banyak.

“Mereka itulah orang-orang yang segera mengerjakan kebaikan, dan merekalah orang-orang yang mendahului pada mencapainya.” (Al-Mukminun 23: 61)

Kita juga kerapkali membincangkan surah Al-Asr di dalam usrah bahkan di dalam kursus-kursus yang telah kita anjurkan. Pembuktiannya, harus ada kerana menjaga waktu ini juga merupakan tuntutan perubahan di dalam diri kita. Sabda Rasulullah s.a.w. “Hai Anak Adam aku makhluk baru dan diatas amalmu aku menjadi saksi maka ambillah bekalan dari ku kerana sesungguhnya aku tidak pernah akan kembali lagi sampai hari kiamat.”

Sebagai pendakwah juga, keutamaan dan penambahbaikan perlu dalam setiap tugasan yang dilakukan. Kita haruslah menjadi contoh walau dengan apa jawatan atau tugas pun yang kita diamanahkan. Kita perlu amanah dan laksanakannya pada kadar yang terbaik kerana Allah s.w.t. itu suka kepada yang terbaik. Seruan ‘Haiya ‘Ala-Solah’ dan ‘Haiya ‘Alal-Falah’ menunjukkan betapa kecemerlangan dan kejayaan itu adalah seruan yang perlu dicapai oleh setiap orang Muslim dan Mukmin.

BAGAIMANA UNTUK MELAKUKAN PERUBAHAN?

Itulah sebab mengapa usrah ini dilaksanakan. Ia bertujuan untuk kita selalu mengkoreksi diri sendiri serta tidak berhenti melakukan kerja-kerja thaqaful fikr. Tarbawi takwin atau pendidikan pembentukan ini perlu datang dalam usaha individu juga dalam kelompok berjemaah. Ia perlu direncana dengan pelbagai cara dan alat.

Selain itu, dengan usaha untuk melibatkan diri dengan kerja-kerja Islam di dalam bidang dakwah juga adalah salah satu cara paling mujarab. Sesungguhnya, menyeru manusia kepada Allah s.w.t. dan menentang kebatilan serta pendokongnya merupakan salah satu pendidikan kepada para pendakwah serta ia memberikan kita pengalaman, kecerdikan, keteguhan, ketetapan dan ketahanan di atas kebenaran.

Muat turun artikel ini di sini.