Wednesday, June 29, 2011

MEMBERI LATIHAN BUKAN SEMUDAH YANG KITA SANGKA


Justify FullHari ini hari sambutan Israk Mikraj. Entahkan semua ingat atau tidak. Untuk yang diberikan cuti umum mungkin ingat, yang tidak mungkin lupa. Itulah dia kita, hari penting untuk ummat manusia, tetapi tidak penting untuk kita.

Memberikan latihan bukan sesuatu yang mudah bak sangkaan kebanyakan kita. saya sekali lagi diberikan kepercayaan atas rahmat dan kebenaran Allah s.w.t. untuk melatih lebih kurang 100 orang pekerja pelatih di SKALI Web Services. Alhamdulillah, ini bukanlah kali pertama saya memberikan latihan dan harap-harapnya, ia juga bukanlah yang terakhir untuk dilakukan.

Semenjak tahun 2000, saya sudah mula memberikan latihan dan melakukan pelbagai usaha untuk membangunkan generasi dan kelompok mereka yang saya jumpai. Ternyata, dalam usaha yang baru sahaja saya lakukan, saya baru sedar, usaha selama hampir 10 tahun itu, buah hasilnya, tidaklah seberapa. Tetapi pengalamannya, nikmat perasaan yang Allah berikan kepada saya adalah nikmat yang amat besar.

Pengalaman untuk bersama dengan kakitangan SKALI memberikan saya lebih ruang untuk memuhasabahkan diri dalam terus menerus melakukannya dan usah ada rasa penat atau kesal. Inilah ruang peningkatan IMAN yang Allah telah bukakan untuk saya insyaAllah. Makin banyak bercakap, makin kita dinilai Allah dengan apa yang kita cakapkan. Mulut kita paling hampir dengan telinga kita, akal dan hati kita sepatutunya paling cepat terasa dan terfikir tentangnya.

Fitrah ini harus dituruti. Jangan biarkan hati kita leka dengan keseronokan bak kata Saiyidina 'Ali, biar penat berbuat kebaikan kerana, kepenatan itu akan hilang, tetapi pahala kebaikan itu akan kekal, jangan sekali-kali kita seronok melakukan amal buruk, kerana keseronokan itu tidak kekal, tetapi dosanya akan kekal selama-lamanya. Moga Allah perkuatkan diri saya untuk meneruskan usaha ini.

29 Jun 2011 bersamaan 27 Rejab 1432H

Thursday, June 16, 2011

JAUHNYA PERJALANAN...


Ya Allah, hari ini bertambah sehari lagi untuk saya. Makin bertambah hari untuk saya menyambut hari lahir dalam bulan Disember nanti. Setiap hari bertambah, apa sahajalah yang saya dah laksanakan di dalam kehidupan ini. saya amat mengharapkan redha Allah setiap hari walaupun dari segi kelayakan mungkin saya bukan orang yang disenaraikan untuk ke syurga. saya sentiasa mengharap boleh buat yang terbaik dalam hidup ini.

Minggu lalu, sepanjang bermula cuti sekolah, saya berkesempatan untuk bertemu ramai orang khususnya adik-adik yang umur mereka jauh lebih muda dari saya. YA Allah, adakah saya berjaya menjadi contoh untuk mereka? Bermula dengan program awal cuti sekolah di Batang Kali di Tamu Hill Park, disusuli dengan program di Damansara Damai kemudian disusuli dengan SMART Teen di Kepong dan berakhir di Masjid TUDM Subang. Tidak lah ramai mereka yang bersama saya untuk bersama-sama jadi fasilitator, tetapi saya berhasrat untuk jadikan mereka yang bersama saya ini yang terbaik sebagaimana yang pernah saya cita-citakan. Tak kiralah datangnya dari ABIM ke, PEPIAS ke atau dari mana sahaja, asal ingin belajar dan sudi di ajar, saya akan cuba curahkan sebanyaknya untuk mereka.

Perjalanan kehidupan yang sibuk (walaupun yang lebih sibuk ialah adik-adik yang jadi fasilitator), tetapi tanggungjawab itu amat besar KAMZ dapat rasa. Pertama, apabila melihat adik-adik yang diprogramkan mempunyai pengetahuan dan pendedahan yang amat lemah sehinggakan solat mereka hanya semata-mata solat tanpa tahu kebenaran dan kepentingannya. Antara perkara yang diamati KAMZ, mereka memerlukan contoh dan bimbingan yang berterusan. Apabila kita telah memulakan usaha, maka ia perlu diteruskan sehingga akhir hayat kita.

Adakah kita mampu? Itu persoalan yang saya timbulkan apabila melihat keupayaan dan kesungguhan adik-adik saya yang menjadi fasilitator. Mereka yang bergerak, banyak yang bermasalah serta tidak mahir dalam apa yang disampaikan. Lihat sahaja hari ini, saya sedang berprogram di SMK Perimbun, bila melihat adik-adik yang serba tidak tahu ini, saya merasakan, tugas melahirkan lebih ramai murabbi ini perlu lebih kuat dan lebih keras. Kita perlukan pembimbing yang berkaliber dan berdaya tahan. Apa tidaknya, apabila fasilitator yang bersama dan membimbing ini macam ada yang tidak kena dan ada kurang di sana-sini.

Saya amat mengharap Allah berikan kekuatan untuk membimbing dan meneruskan usaha melahirkan lebih ramai pekerja untuk agama Allah. Lakukan dengan istiqamah dan sentiasa memperbaiki kelemahan. saya bukanlah yang terbaik dan jika adalah teman-teman diluar sana yang membaca artikel ini, jomlah, pendidikan agama dalam masyarakat di Malaysia ini masih lemah. Saya bukanlah orang yang mahir agama, tetapi mengharapkan boleh jadi orang yang kuat pegangan agamanya. Apa yang ada, kita sampaikan, apa yang tiada, kita dapatkan. Ilmu ada berilah, ilmu tiada carilah.

Baik dari SISMA, PEPIAS, adik-adik di sekolah dan semua orang yang lain saya jumpa, berlapang dada dan teruskan berdakwah. Inilah satu-satunya kejayaan yang Islam sandang ketika zaman kegemilangannya. Dakwah perlukan pendakwah dan mereka yang didakwahkan serta persekitaran yang sentiasa Islam itu disyiarkan.

Wednesday, June 1, 2011

SIAPA SANGKA?


Siapa sangka... Perjalanan saya dan rakan-rakan begitu menguji ketahanan fizikal dan mental selama beberapa hari ini. Bermula dengan Kursus Kepimpinan Muda ABIM Selangor kemudian disusuli dengan beberapa lagi program, sedikit sebanyak meletakkan kami dalam usaha untuk meningkatkan keyakinan bahawa Allah s.w.t. adalah sebaik-baik perancang untuk manusia.

Kepenatan dalam melaksanakan tugas, adalah merupakan suatu kepuasan khususnya di dalam kerja-kerja dakwah. Pada ketika ini, saya sendiri masih di dalam program dan menanti masa untuk menamatkannya. Apakah kami tidak penat atau tidak adakah masa berehat? Pada saya, masa berehat dah banyak dah, bahkan dikala tiada program atau agenda harian, itulah masa rehat. Tatkala bersama rakan bersembang dan makan-makan itu juga masa rehat bahkan kadangkala sempat juga membincangkan isu-isu terkini kehidupan. Indahnya...

Kehidupan ini pasti penuh dengan tanggungjawab. saya ada amanah yang besar dan cita-cita yang sentiasa membakar. Apa yang saya harapkan, dari usaha yang kecil ini akan mendatangkan natijah dan hasilnya yang besar. Semoga Allah merahmati usaha kami ini.