Wednesday, May 25, 2011

PANDANGAN ALLAH ATAU PANDANGAN KITA?


Seorang pak cik tua, menaiki sebuah keretapi zaman moden dan bersamanya seorang pemuda kacak yang berumur lebih kurang 22 tahun. Ketika itu, kita ada bersama di dalam keretapi zaman moden ini. Sambil memerhatikan pak cik tua tadi, kita melihat anak mudanya begitu teruja dengan keadaan di dalam keretapi moden itu.

"Abah, abah, tengok tu, tu apa abah?" Tanya anak muda berumur 20 tahun itu. "Oh itu tasik nak," jawab ayahnya selamba sambil tersenyum.

"Wah, besarnya abah bangunan tu!" Tempik anaknya yang berumur 20 tahun itu. Kita yang melihat ni merasakan ada yang tak kena dengan anaknya. Pemuda berumur 20 tahun itu, berlari-lari anak ke hadapan dan ke belakang keretapi moden itu penuh kekaguman dengan apa yang dilihatnya. Pelik, tetapi itulah yang berlaku.

Lalu, kita berasa tidak senang, sekali-sekala memandang muka ayahnya, namun dia selamba saja seperti tidak berlaku apa-apa. Sekali-sekali, pak cik tua tu tersenyum melihat anaknya. Kita? Bingung-bingung, sampai rasa tidak selesa pulak, kadang-kadang datang pemuda itu pada kita dan "bertanya, apa tu bang?" sambil menuding jari ke arah sebuah bas. Ya Allah apa kena budak ni.

Sudah tidak tertahan lagi perasaan dek kerana kita ini seorang pendakwah dan pejuang, kita pun bangkit dan menuju ke arah pak cik tua ayah kepada pemuda ini lalu berkata, "Pak cik, maaflah kalau saya menyinggung pak cik, anak pak cik ni kenapa ye? Saya rasa, dia tak betul la pak cik, elok pak cik hantar dia ke hospital" mudah dan ringkas.

Tersenyum pak cik tua tadi, sambil berpaling mukanya kepada anak muda yang masih tidak tahu duduk diam itu. Lalu pak cik itu bersuara, "Hmm itulah, pak cik baru je balik dari hospital ni..." Kemudian pak cik tua itu menyambung, "Sudah 20 tahun dia hidup, inilah kali pertama dia melihat semua ini..." sambil menghela nafas puas.

Inilah kehidupan yang sering kita lihatnya dari kacamata kita sendiri? Bagaimana dengan kacamata orang lain? Kacamata ibu ayah? Kacamata jiran tetangga? Bagaimana pula dari pandangan Allah s.w.t. untuk kita. Jom kita perbaiki diri kita sebaiknya. Kita selalu anggap yang Allah tidak melihat kita walaupun sebenarnya DIA melihat kita setiap masa. Kita selalu mengambil mudah urusan kita dengan manusia lain sedangkan ia tidak semudah yang disangka. Kita menyangka kita sudah mampu membuat yang terbaik sebagai membina diri kita, tetapi kita terlupa bahawa Allah lebih tahu dari kita. TUNE-lah diri kita.

Monday, May 23, 2011

KITA BUKANLAH UMMAT YANG TERBAIK


Wah! Tempoh yang panjang, saya tidak berada di gelanggang blog ini. Lama rasanya tidak bersama dengan teman-teman yang setia membaca dan mendapatkan maklumat di sini. Alhamdulillah, saya kembali...

Wah, terimbau dengan album baru Nowseeheart yang bertajuk NowSeeHeart Kembali, saya rasa begitu teruja dan seronok bila tahu kumpulan yang dihormati ini kembali berada di dalam dunia dakwah nasyid. Album baru yang ditunggu-tunggu bertahun-tahun lamanya akhirnya berada di pasaran. saya pun dah dengar lagu-lagunya, walaupun cuma dimuatkan 4 lagu baru mereka, namun, ia tidak langsung mengecewakan. Ini mungkin kelebihan daripada tidak kerap mengeluarkan album kot. Sebab ramai yang dah lama tak dengar lagu-lagu lama mereka.

Semangat dalam diri ini alhamdulillah Allah telah dorongkan untuk terus melakukan amanah yang diberikan. Al-maklumlah, ia tidak mampu saya sempurnakan semua. tetapi berusaha untuk lakukan yang terbaik untuk semua. Saya dah hampir sebulan, suara tidak berada di tahap yang membanggakan. Sakit juga tekak dengan suara serak-serak basah. Namun apakan daya, usaha kena diteruskan. KAMZ dah berazam dan berusaha untuk bina keyakinan, jika kita sebarkan agama Allah, pasti Allah tidak akan mensia-siakan kita.

Semalam (22 Mei 2011) saya baru pulang dari Tamrin Tarbawi Kebangsaan bersama WADAH-ABIM-PKPIM. Alhamdulillah, begitu banyak pengalaman dan pengetahuan yang menginsafkan dan memberikan peringatan. Sepanjang kursus ini, saya banyak betul menangis. Menangis mengenangkan apalah kerja yang saya dah lakukan untuk ummat dan lebih penting lagi untuk keluarga dan diri sendiri? Ya Allah, Ya Tuhanku... berdayakah aku?

Kita kerapkali menyangka bahawa kita lakukan dah terbaik dah, tetapi sebenarnya ia adalah kesamaran yang disebabkan oleh rasa selesa dan senang serta mengharapkan pujian dan kata-kata orang. Ya Allah, saya terleka...

Perbincangan slot pertama, kami peserta diingatkan, sebagai pendakwah, perlu dilakukan kerja-kerja pemetaan dan beradalah di dalam masyarakat. Terlibat bersama mereka dan jadikan mereka sebahagian dari objektif dakwah diri kita. Apabila usaha ini bermula, pasti ada halangan dan musuh-musuh yang nyata atau tidak, maka apabila berdepan dengan mereka;

  1. Kukuhkanlah iman.
  2. Ingatlah Allah s.w.t.
  3. Mantapkanlah keilmuan.
  4. Elakkanlah bermusuh-musuhan dan bentuk serta perkuatkanlah jamaah.
  5. Datangkanlah kesabaran baik di ketika senang atau susah.
  6. Elakkanlah diri dari perasaan riak dan sombong diri.

Kemudian seseorang bertanya, "Macamana nak istiqamah?". Maka dipetiknya satu hadith yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dari Ibnu Umar r.a. Berkata Rasulullah s.a.w., "Anggaplah dunia ini seolah-olah kita orang yang berdagang atau bermusafir" Lalu disahut Ibnu Umar, "Apabila masuk waktu petang janganlah ditunggu sehingga Subuh dan apabila masuk waktu Subuh janganlah ditunggu sehingga petang."

Peringatan yang membuatkan saya terus menitiskan airmata apabila mendengar ceramah perdana akhir yang menceritakan tentang siapa ummat yang terbaik? Bukan kita, kata penceramah, bukan kita. Bahkan kita tidak akan menjadi ummat yang terbaik. Once forever uammat yang terbaik itu ialah ummat yang berada bersama Rasulullah s.a.w. Bagaimana mereka menjadi ummat yang terbaik?

Penceramah memulakan dengan pernyataan, "Dakwah adalah tulang belakang agama, dan ketahanan dalaman adalah tulang belakang dakwah." Ketahanan dalaman ini termasuklah pembinaan akal, hati dan rohani, akhlak, niat serta ilmu pengetahuan. Rasulullah s.a.w. memainkan peranan dalam membina generasi yang terbaik itu. Kita tidak mungkin dapat menjadi sebaik-baik ummat tetapi di dalam sejarah dunia bermula dari Nabi Adam a.s. sehinggalah ke akhir zaman hanya ada satu yang terbaik dan mereka itulah yang harus menjadi ikutan dan dijadikan contoh buat kita meneruska kehidupan kita dalam dunia mencabar ini.

Maka, Rasulullah telah membina generasi 'hardcore' ini. Mereka menjadi teras dan contoh yang terbaik melalui petunjuk Allah kepada Baginda Rasulullah.

  1. Baginda Rasulullah telah membina minda, pemikiran atau fikrah yang jitu yang membawa akal dan bentuk fikiran itu kepada Allah dan Allah kepada akal dan bentuk fikir mereka. Ini menjadikan pemikiran mereka pemikiran yang Rabbani. Meletakkan Allah dalam setiap tindakan mereka.
  2. Kemudian, berlaku proses pembersihan jiwa melahirkan hati serta jiwa yang bersih dan murni. Maka dari hati yang murni lahirlah niat yang murni. Dari niat yang murni akan lahir pemikiran yang murni dan dari pemikiran yang murni akan mengeluarkan bentuk percakapan dan lidah yang murni.
  3. Budaya yang dibangunkan seterusnya selepas proses 'tazkiyatun nafs' adalah proses ta'lim. Tidak lain dan tidak bukan adalah membaca Al-Quran. Maka, buat kita semua, bacalah Al-Quran sekurang-kurangnya 100 ayat sehari.
  4. Dan yang terakhir adalah mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. sebagaimana sayangnya Abu Bakar kepada Rasulullah s.a.w.

Saya merasa terpanggil untuk berkongsi pengetahuan ini memandangkan ini peluang yang Allah anugerahkan kepada saya untuk berada di dalam jamaah ini. Kerapkali diungkapkan di dalam tamrin yang lalu, kita yang berada di dalam jamaah ini adalah nikmat dan rahmat yang telah Allah s.w.t. curahkan kepada kita. Kita harus bersyukur kerana dipilih berada di dalam kerja serta usaha dakwah dan islah ini. TUNE-lah diri kita.

Sunday, May 22, 2011

MENELADANI ASY-SYAHID IMAM HASSAN AL-BANNA


Lima Puluh Tahun Di Atas Jalan

Pernah atau tidak diri kita bertanya, adakah aku menghabiskan usiaku dengan cara bermanfaat atau sekadar habis di atas kenderaan kerana kesesakan lalulintas atau perjalanan yang panjang setiap hari? Adakah ia berbaloi dengan panjang masa yang telah Allah s.w.t. anugerahkan kepada kita? Persoalan ini mungkin pernah menjengah kita semua untuk memberikan peringatan agar jangan sesekali kita membuang masa untuk perkara yang amat kurang faedahnya. Mudah-mudahan, usrah SISMA yang telah kita bentukkan dan gerakkan ini, akan menjadi tempat mengukuh serta mempertingkatkan hidup kita kepada cara yang lebih baik dan bermanfaat.

Pada awalan kita memulakan usrah bersama, kita telah membincangkan marhalah-marhalah yang ada secara umum. Pengalaman yang dikongsikan sendiri oleh Ustaz Mustafa Masyhur bersama saratnya pengalaman beliau bersama Ikhwanul Muslimin serta Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna. Lima puluh tahun lamanya. Kemudian, perbincangan kita terarah pula kepada perkara-perkara yang mampu menyebabkan usaha dakwah ini menyeleweng dari perkara sebenar. Peringkat demi peringkat diperjelaskan beliau yang dituruti dengan halangan dan rintangan yang mungkin kita akan hadapi dan mehnah serta tribulasi dalam melalui jalan dakwah ini yang sedang menanti kita semua.

Kesemua perbincangan ini, apa yang bersama kita harus fahami adalah sebenarnya kata-kata nasihat dari senior dakwah kita yang telah melalui satu proses yang sehingga ke hari ini masih berjalan dan berlangsung, dan di dalam hati mereka, tiada sebarang keraguan bahawasanya, Islam itu pasti akan tertegak jua akhirnya. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Ahzab ayat 22 24 menjelaskan;

(22) "Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzab, berkatalah mereka, ‘Inilah yang telah dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan Rasul-Nya’. Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah."

(23) "Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka diantara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun."

(24) "(Berlakunya yang demikian) supaya Allah membalas orang-orang yang benar disebabkan kebenaran mereka, dan menyeksa orang-orang yang munafik jika ia kehendaki, atau ia menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Al-Ahzab 33: 22 – 24)

Sepanjang sejarah pergerakan Ikhwanul Muslimin, Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna tidak nyenyak di dalam tidurnya kerana memikirkan usaha dakwah yang harus dilakukan dan disampaikan kepada seluruh masyarakat. Beliau telah memulakan usaha dakwahnya dan mengakhiri hidupnya dengan syahid. Usahanya membentuk peribadi yang benar-benar kuat pegangan aqidah serta ikatan persaudaraan yang sangat kukuh dikalangan pejuang agama ini, terbukti mampu menggerakkan usaha dan perjuangan yang telah didahului oleh Rasulullah s.a.w.

Beberapa Petunjuk Di Atas Jalan Dakwah

Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna memberikan peringatan bahawa setiap tindakan kita sudah punya petunjuk dan sumber yang sangat suci dan bersih yakni Al-Quran dan As-Sunnah. Maka, yakinilah pesan beliau, bahawa selagi keduanya menjadi sumber rujukan dan pegangan, maka jalan dakwah ini tidak akan malap bahkan jika kita meninggalkannya, pasti Allah akan menggantikan kita dengan mereka yang lebih baik. Oleh kerana itu, berlaku banyak perkara sehinggakan terdapat dikalangan kita yang sanggup kafir mengkafir hanya kerana ingin meletakkan siapa lebih baik. Hentikanlah, kerana ini hanya berkenaan dengan perkara-perkara furu’ yang akhirnya tidak mendatangkan sebarang kebaikan kepada ummat Islam.

Beliau juga berpesan agar tidak terburu-buru dalam menjalankan usaha dakwah, ia amat bersesuaian dengan firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Baqarah ayat 75;

“(Sesudah kamu - wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu - mengetahui tentang kerasnya hati orang-orang Yahudi itu) maka bolehkah kamu menaruh harapan bahawa mereka akan beriman kepada seruan Islam yang kamu sampaikan itu, padahal sesungguhnya telah ada satu puak dari mereka yang mendengar Kalam Allah (Taurat), kemudian mereka mengubah dan memutarkan maksudnya sesudah mereka memahaminya, sedang mereka mengetahui (bahawa perbuatan itu salah)?” (Al-Baqarah 2: 75)

Faktor Zaman

Ini adalah pesan Allah s.w.t. agar kita tidak tamak dalam menyebarkan Islam. Haruslah kita ingati bahawa, ia perlu dilakukan secara berterusan, bukan dikira berapa yang mengikutinya. Ramai orang yang mempersoalkan, telah berpuluh tahun usaha dakwah ini dijalankan, namun tidak dapat terlihat pun bangunan utuh Islam yang terbina dalam bentuk empayar pemerintahan walaupun sekadar sebuah negara yang dipimpin oleh kepimpinan yang benar-benar Islam.

Umur dakwah bukan dikira dari segi berapa usia individu yang melakukannya, tetapi umur ummah dan pendakwahannya. Segalanya adalah di dalam percaturan Allah s.w.t. Sudah berapa ramai yang syahid dengan terbentuknya jalan ini. Kelahiran gerakan-gerakan Islam hari ini yang dipelopori oleh Ikhwanul Muslimin ini, merupakan hadiah dan anugerah Allah s.w.t. kepada ummat manusia setelah runtuhnya pemerintahan Turki Uthmaniah pada tahun 1942. Gerakan Ikhwanul Muslimin yang memulakan pergerakan dalam tahun 1928 sehingga hari ini bukanlah satu kuasa baru mahupun jamaah semata-mata tetapi menurut Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna, ia lebih kepada lahirnya roh baru, jiwa baru mencabar dalam tubuh ummah ini lalu memperbaharui hidupnya.

Tabiat Marhalah Ini

Sebagaimana yang kita fahami, apabila kita masih belum melihat bangunan yang terbina, bermakna kita masih berada pada peringkat awal pembinaan dan pemasakan dasar yang merupakan kerja paling sukar dan mendatangkan kesan besar selepas bangunan disiapkan. Maka yang perlu pada kita adalah usaha yang tidak pernah kenal erti penat dan lelah dalam menjadikan diri ini lebih baik dan biarlah ianya berterusan.

“Dan katakanlah (wahai Muhammad), ‘Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan’.” (At-Taubah 9: 19-05)

Zaman Ini Kepentingan Dakwah Islam

Inilah zaman kebangkitan ummat. Pasti kita merasainya. Ia berlaku dimana sahaja. Sehinggakan mendatangkan ketakutan bagi musuh-musuh Islam. Walaupun dunia melihat Palestin itu mengecil, tetapi dari segi pengIslaman masyarakat seluruh dunia ternyata Islam semakin berkembang dan membesar. Manusia telah mula menolak cara hidup yang tidak mendatangkan manfaat dan hari ini kita boleh melihat kejatuhan nilai dalam kemasyarakatan yang membawa kepada pencarian kehidupan yang lebih menyeluruh. Maka usaha kita harus terus dan buangkanlah penghalang kepada urusan dakwah ini. Baikilah akhlak dan jadikanlah Islam sebagai pegangan hidup dan cara hidup.

“Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah ia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Demikianlah (sebagaimana iman itu diperlihatkan keelokannya kepada orang-orang yang beriman), diperlihatkan pula pada pandangan orang-orang yang kafir itu akan keelokan apa yang mereka telah lakukan (dari perbuatan kufur dan segala jenis maksiat).” (Al-An’am 6: 122)

“...Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu...”
(Al-Maidah 5: 3)

Rintangan Yang Hebat

“Ia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu membanjiri tanah-tanah lembah (dengan airnya) menurut kadarnya yang ditetapkan Tuhan untuk faedah makhluk-Nya, kemudian banjir itu membawa buih yang terapung-apung. dan dari benda-benda yang dibakar di dalam api untuk dijadikan barang perhiasan atau perkakas yang diperlukan, juga timbul buih seperti itu. Demikianlah Allah memberi misal perbandingan tentang perkara yang benar dan yang salah. Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan.” (Ar-Ra’d 13: 17)

Perjalanan ini tidak mudah. Tugas kita adalah meneruskan usaha dakwah dan mengharapkan bantuan dari Allah s.w.t.. Untuk mendapatkan bantuan dari Allah s.w.t. marilah kita sentiasa melakukan taubat nasuha, sentiasa bermujahadah, membina sifat-sifat terpuji serta sentiasa mengharapkan bantuan dari Allah s.w.t. La haulawala quwwata illa billah. Inilah jalan dakwah dan inilah usaha demi masa hidup kita di akhirat. Laluilah dengan ketabahan, kecekalan dan istiqamah.




Muat turun artikel ini di sini.