Sunday, April 24, 2011

APABILA INSAN TELAH HILANG SEMANGAT KEBAKTIANNYA


Alhamdulillah, hari ini adalah hari yang memenatkan buat saya dan isteri. Saya telah membantu isteri merealisasikan program anjuran pejabatnya semenjak semalam. Program yang mensasarkan hampir 500 orang penduduk kampung akhirnya tamat dan diselesaikan pada jam 2.00 petang tadi.

Jelas terpancar keseronokan pada wajah mereka yang dijemput hadir memeriahkan serta yang merasmikan. Terkejut dengan sambutannya. Ramai dan nampak meriah. Alhamdulillah, saya pun tumpang gembira tetapi itulah, kegembiraan yang disambut atas penat lelah dan kesusahan orang lain. Inilah pengalaman singkat yang saya dapat walaupun tidaklah apa sangat, tetapi besar kesannya kepada orang seperti saya dan isteri ini. Kami sama-sama pernah bekerja melaksanakan pelbagai program, termasuk hari ini. Tetapi, ia amat berbeza. Ini bukan kali pertama, tetapi ini kali pertama buat saya.

Subhanallah. Kalaulah ada yang bertanya dengan saya, "Rajin Encik Kamarul menolong isteri?" Sudah tentu jawapan saya, "Alhamdulillah, saya menolong ni moga-moga dapat pahala, tapi kalau tidak menolong pun tidak ada salahnya, banding setengah kita, kalau tidak buat mungkin berdosa, sebab itu amanah dia."

Kasar juga bunyinya, nasib baik tidak ada yang bertanya. Bukan orang-orang itu tidak kenal saya. Hanya seorang suami kepada isteri yang bekerja di situ. Tetapi apa saya buat di situ? Seperti yang saya jawab tadi, hanya menolong. Tetapi macam itu program saya pula jadinya. Sibuk ke sana ke mari dan sibuk mengalahkan orang yang dibayarkan gaji untuk mereka. saya pun terfikir, apa sudah jadi dengan mereka ini? Mengapa mereka ini? Apa sebenarnya berlaku?

Ya, sebenarnya mereka sudah hilang semangat untuk membantu. Hilang semangat untuk berbakti dan membuat kerja-kerja sukarela. Hilang jauh tercampak dari hati mereka. Nah, di sini mereka lupa bahawa kerana semangat kebaktian inilah kita merasai keamanan dan keselesaan hidup hari ini. Dek kerana pengorbanan para sukarelawan bangsa lah, hari ini negara terus melangkah maju. Tetapi, mereka ini hanya wujud pada zaman datuk nenek dan moyang kita dahulu sahaja bukan hari ini.

Hari ini, ramai pekerja yang bekerja dan dibayar gaji khususnya pekerja disektor kerajaan hanya bekerja untuk cucuk duit hujung bulan. Mereka lupa, tiada pengorbanan, bahaya besar menanti anak cucu mereka. Pernah sahabat Nabi s.a.w. bertanya tentang akhir zaman. Antara jawapan yang diberikan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. anak-anak perempuan kita akan hilang maruah, anak-anak lelaki kita akan tinggalkan amanah dan kita sudah berhenti berjihad (berkorban dan berjuang). Macam mana? Patutkan negara kita hari ini berlaku sebagaimana yang kita ketahui? Bila saya lihat apa yang berlaku hari ini, tidak syak lagi, memang layaklah.

Saya berharap, suburkanlah semangat sukarela dan berbuat kerja bakti kepada masyarakat kita. Bukan untuk kita, tetapi untuk anak-anak kita. Sebagaimana yang telah didahului oleh datuk, nenek dan moyang kita. saya bukan apa, risau jika satu hari nanti, anak-anak kita hilang arah kerana tunjuk ajar salah ibu dan ayah mereka. Kita dapat gaji, tentu nak yang halal, maka pastikan ia sesuai dengan kerja yang kita buat. Atau paling tidak pun bersedekahlah dengan amal yang baik, sebab kadangkala ada dikalangan kita gajinya tidak seberapa. saya ada catatkan sedikit gurindam yang boleh kita fikirkan bersama;

Apabila dikalangan kita,
sudah hilang semangat sukarela,
hidup pentingkan diri sentiasa,
kerja yang dibuat hanya untuk nama,
tidak mahu diri di dalam bahaya,
prinsipnya biar orang susah tapi bukan kita,
semangatnya juga hanya untuk kita-kita sahaja,
sehingga mereka lupa hidup bukan untuk kita sahaja,
buat ikut suka tanpa hirau kenapa,

Maka ingatlah wahai manusia,
pasti ada yang terluka,
tenteram jiwa sudah tiada,
Tuhan pasti murka,
sediakanlah jawapan nanti di sana.

Ini hanyalah luahan hati saya. Semoga dijadikan iktibar buat kita semua. saya bercakap dengan isteri saya, inilah susahnya bila kita buat kebaikan, tidak boleh bercerita takut hilang pahala. Tetapi saya rasa ia perlu dikongsi bersama agar sama-sama kita sentiasa ingat-mengingatkan.

Saturday, April 23, 2011

KEPERCAYAAN (THIQAH) TERHADAP JALAN


“Ya Allah, jadikanlah kami dari kalangan para pemuda yang haus kepada kemuliaan yang kuat, kepada ummah yang tercari-cari jalan sebenar dipersimpangan, kepada waris yang mendekati dunia kebanggaan di akhir zaman, kepada setiap Muslim yang mengikut dan bersama kepimpinannya di dunia dan kebahagiaan di akhirat, kepada manusia yang sentiasa menyerahkan jiwanya kepada Allah s.w.t., maka kami bermohon Ya Allah, berilah kami hidayah dan kepimpinan, kami ingin sekali merasi keseronokan pengorbanan, kelazatan jihad di bawah bendera penghulu sekalian Nabi, dan di atas jalan dakwah ini.”

Saudaraku, telah kita bincangkan sejak awal kupasan buku ini, ciri-ciri, nilai-nilai yang perlu dibina dan dihadapi di dalam usaha dakwah ini. Kita mestilah percaya dan sentiasa merasai kepuasan dalam melakukan tugas ini tanpa rasa jemu dan kuatir. Ia membolehkan kita untuk terus berjalan dan berdakwah tanpa sesat atau hilang dari arah tujuan sebenar. Dakwah adalah tugasan yang paling utama yang perlu kita percayai dan yakini. Inilah jalan asal dan jalan benar kita. Ia bukan sesuatu yang bida’ah tetapi ia adalah lanjutan dari perjalanan Ar-Rasul s.a.w.. Ia adalah satu jalan kehidupan yang padanya diserahkan harta, jiwa, usia, fikiran dan waktu.

Jalan ini juga telah didahului oleh para tabiin, ulama’ dan para pendokong dakwah juga secara tidaklangsung telah menunjukkan kepada kita bahawa, jalan ini bukanlah jalan yang singkat dan mudah, sebaliknya, ia datang dengan pakej kesukaran dan mehnah yang besar. Namun perjuangan mereka yang terdahulu telah menunjukkan jalan yang ditempoh itu penuh dengan keikhlasan, kebenaran, amalan rohaniah dan gerakan islah yang berterusan dan bersungguh-sungguh untuk menetapkan dasar bangunan yang kukuh serta menyusun batu-bata yang keras dan tahan lama. Jadi adakah kita masih tidak mempercayai jalan ini lagi? Adakah kita ingin menafikan usaha yang di dahului oleh Rasulullah s.a.w. ini? Firman Allah s.w.t. di dalam surah Yusuf ayat 108;

“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan; Maha Suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain." (Yusuf 12: 108)

“Hai para pemuda! Di atas dasar-dasar yang tetap ini dan kepada pengajaran-pengajaran tinggi ini kami menyeru kamu semua. Maka sekiranya kamu beriman kepada fikrah kami dan kamu mengikut jejak langkah kami dan kamu bersama kami melalui jalan Islam yang hanif. Dan kamu membersihkan diri kamu dari segala pemikiran yang lain daripadanya dan kamu menyerahkan segala usaha kamu untuk aqidah kamu, maka inilah yang lebih baik bagi kamu di dunia dan di akhirat. Sekiranya Allah s.w.t. mengkehendaki, Allah akan membuktikan kepada kamu apa yang telah dibuktikan-Nya kepada as salafus soleh di zaman Rasulullah dan para sahabat-sahabat.

Setiap pekerja dan petugas yang benar dari kamu akan mencapai apa yang diredhai iaitu cita-citanya di medan Islam dan merangkumi segala kegiatannya sekiranya mereka orang-orang yang benar. Dan sekiranya kamu enggan kecuali terumbang-ambing antara bimbang dan ragu maka sesungguhnya pasukan Allah akan berjalan terus tanpa mempedulikan sama ada bilangan mereka ramai atau sedikit.” Firman Allah s.w.t. di dalam surah Ali-Imran ayat 126;

“Dan Allah tidak menjadikan bantuan tentera malaikat itu melainkan kerana memberi khabar gembira kepada kamu, dan supaya kamu tenteram dengan bantuan itu. Dan (ingatlah bahawa) pertolongan yang membawa kemenangan itu hanya dari Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Ali Imran 3: 126)

Sebagaimana yang telah kita maklumi bahawa, kita ini sentiasa didatangi musuh dari pelbagai sudut, ruang dan masa. Baik yang kelihatan, mahupun bisikan-bisikan yang menimbulkan keraguan dan tipu muslihat. Fahamilah, setiap ujian dan bencanaitulah sebenarnya menguatkan dan mematangkan usaha dakwah secara tidak langsung memurnikan lagi dan menambahkan keteguhan, ketetapan dan kepercayaan di dalam jalan dakwah. Itu adalah sunnatullah dalam menelusuri jalan perjuangan yang panjang ini.

Sudah pasti benar bahawasanya usaha dakwah ini dan gerakan yang kita bersama ini adalah sebahagian dari gerakan Islam yang lain sebelumnya atau akan datang. Ia telah mengembalikan kefahaman yang sahih dan benar serta sling melengkapi kepada Islam sebagai ad-deen dan daulah, mashaf dan pedang, ibadah dan pimpinan dan ia juga adalah sebahagian dari latihan ilmah yang hidup. Jalan ini telah banyak memandu pejuangnya ke arah penambahan bilangan syuhada’ dan mengorbankan jiwa mereka sebagai tebusan kepada jalan Allah s.w.t.. Ini kerana, mereka dan kita sepatutnya lebih mengutamakan Allah s.w.t. dari segala yang lainnya.

Mari kita perbaiki lagi diri kita, sebagai sebuah gerakan yang telah bergerak sejak 40 tahun yang lalu, ABIM seharusnya dan kita secara khususnya perlulah mempunyai kebulatan jiwa kepada Allah s.w.t., jauh dari sifat tamak keduniaan, mahukan nama dan pangkat, jauh dari sifat ‘heroworship’ dan apatah lagi dijadikan boneka dan batu loncatan bagi pihak lain. Sifat yang akhir itu, hanya akan menjadikan kita sebagai bahan bakar di neraka Allah s.w.t.. Pengalaman bersama gerakan islam ini akan membina jiwa istiqamah dakwah terhadap Islam, menyelamatkan usaha dakwah dari penyelewengan dan akan mampu mengatasi pelbagai rintangan yang bakal merentangi perjalanan kita. Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran;

“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Al-An’am 6: 153)

“Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.” (Al-Ahzab 33: 23)

Maka, sebagai ahli dalam geraka Islam, kita haruslah menolak sikap putus asa lalu mengusir keluar dari jiwanya sifat cintakan dunia dan takutkan kematian. Hayatilah pesanan hebat dari Asy Syahid Imam Hassan Al Banna;

"Hai Ikhwanul Muslimin. Janganlah berputus asa, kerana putus asa itu bukan dari akhlak Muslim. Hakikat kenyataan hari ini adalah impian semalam dan mimpi hari ini menjadi hakikat dan kenyataan dari esok dan waktu masih banyak. Anasir kekuatan sentiasa berada dalam jiwa rakyat kamu yang beriman walau bagaimana besar pun kekuasaan dan kenyataan kerosakan dan kebatilan. Orang-orang yang lemah tidak akan menjadi lemah untuk seumur hidup dan orang yang kuat tidak akan kekal kekuatannya selama-lamanya;

“Dan kami hendak berihsan dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (apa yang dimiliki oleh Firaun dan kaumnya). Dan Kami hendak memberi mereka kedudukan yang kukuh di negeri itu, serta hendak memperlihatkan kepada Firaun dan Haman bersama-sama tentera mereka apa yang mereka bimbangkan dari golongan yang bertindas itu.” (Al-Qasas 26: 5 – 6)

Hai para pemuda tidaklah kamu lebih dari orang-orang sebelum kamu yang telah di bantu oleh Allah untuk merealisasikan manhaj ini, manhaj Islam. Oleh kerana itu janganlah kamu merasa hina dan lemah dan tetapkanlah di hadapan mata kamu firman Allah Taala;

“Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka, "Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya." Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata, "Cukuplah untuk (menolong) kami, dan ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadanya segala urusan kami)." Setelah (pergi mengejar musuh), mereka kembali dengan mendapat nikmat dan limpah kurnia dari Allah, mereka tidak disentuh oleh sesuatu bencana pun, serta mereka pula menurut keredaan Allah. Dan ingatlah, Allah mempunyai limpah kurnia yang amat besar. Sesungguhnya (pembawa berita) yang demikian itu ialah syaitan yang (bertujuan) menakut-nakutkan (kamu terhadap) pengikut-pengikutnya (kaum kafir musyrik). Oleh itu, janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepada-Ku (jangan cuaikan perintah-Ku), jika betul kamu orang-orang yang beriman.” (Ali Imran 3: 173 – 175)

Sebahagian dari perkara yang memperkuatkan (thiqah) kepercayaan pada jalan dakwah ialah keperluan dunia hari ini kepada dakwah Islamiah. Supaya Islam dan dakwahnya menyelamatkan dunia dari kecelakaan dan kebingungan setelah gagalnya seluruh sistem hidup, cara hidup rekaan manusia dan pegangan hidup keduniaan dan kebendaan dalam memberikan kebahagiaan kepada manusia dan kegagalannya dalam merealisasikan keamanan dan kesentosaan kepada manusia. Boleh jadi perlaksanaan cara hidup keduniaan dan kebendaan yang dilaksanakan oleh sebahagian dari negeri-negeri kita telah meninggalkan pahit maungnya. Ini menunjukkan dan menguatkan lagi bahawa tidak ada keselamatan dan tidak ada kelepasan dari bencana dan bahaya kecuali kembali semula kepada tariqud dakwah, kepada jalan dakwah Islam, kepada jalan Allah untuk menjadikan Al-Quran sebagai hakim dan melaksanakan syariatnya. Demikianlah kita dapati bahawa sesungguhnya berbagai-bagai rintangan dan halangan yang dihadapi oleh dakwah kita, maka kekuatan dakwah kita dan kemuliaan tujuan kita, hajat dunia kepadanya dan pertolongan Allah kepada kita, itu merupakan faktor-faktor kejayaan yang tidak boleh ditahan apabila berhadapan dengan sebarang rintangan dan tidak ada satupun halangan yang menyekat jalannya;

“Dan (setelah Yusuf dijualkan di negeri Mesir), berkatalah orang yang membeli Yusuf kepada isterinya, "Berilah dia layanan yang sebaik-baiknya, semoga ia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak." Dan demikianlah caranya Kami menetapkan kedudukan Yusuf di bumi (Mesir untuk dihormati dan disayangi), dan untuk Kami mengajarnya sebahagian dari ilmu takbir mimpi. Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkan-Nya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Yusuf 12: 21)




Muat turun artikel ini di sini.

Wednesday, April 20, 2011

LAPANG SEBELUM SEMPIT


Alhamdulillah... saya masih diberikan ruang untuk mencatatkan sejarah hidup dan perjalanan yang sungguh amat memeritkan. Benar sebagaimana yang kerapkali disebutkan oleh sahabat-sahabatku, hidup ini adalah satu kesengsaraan. Kehidupan umpama kita sedang nyenyak tidur dan merasai keindahan mimpi, tetapi apabila tersedar, alangkah kecewanya kita sebab yang kita lalui tadi hanyalah mimpi! Begitu juga hidup ini, kita hanya akan sedar apabila kita bangkit kembali nanti apabila Allah s.w.t. akan menghitung kita.

saya hari ini berjalan jauh. Memulakan perjalanan dari Kuala Selangor ke Sungai Besar. Ketika dalam perjalanan, tiba-tiba saya teringatkan perancangan kursus kepimpinan yang sepatutnya dilaksanakan sempena muktamar ABIM Kuala Selangor... Allah... bila masanya saya lapang?

Kemudian, saya bergerak pulang semula ke Kuala Selangor dan menuju ke Kuala Lumpur untuk menghantar adik ipar saya, di dalam kereta, tidak berhenti merancang, apa nak buat lagi. Ya Allah, sekarang saya berfikir, siapa pula yang akan menolong? Saya tidak rasa bebanannya, cuma apa yang sering dipositifkan di dalam benak hati dan fikiran adalah, tidak ada daya, hanya Allah dan Allah yang telah mengizinkannya.

Saya terus positif dan bergerak lagi dan kali ini ke Ampang Pecah untuk berceramah. Tajuk ceramah hari ini adalah Pengurusan MASA. Aduh, timbul rasa bersalah dan risau apabila memikirkan masa yang telah Allah hadiahkan tidak digunakan sepenuhnya. Ceramah kali benar-benar rasa penat. Mungkin kerana banyak berfikir atau sebenarnya memang penat yang belum lagi ada masa rehat?

Mungkin sekarang saya rasakan sempit, tetapi sebenarnya inilah kelapangan yang Allah sediakan sebelum tempat berakhir kita di tempat yang sempit dan gelap. Maka, kehidupan ini adalah peluang yang Allah berikan dengan kelapangan yang amat sangat sehinggakan ada ruang masa dan ruang bergerak yang sebebas-bebasnya. Tambahan pula, kehidupan kita di Malaysia ini aman dan tiada apa-apa sekatan dan kesempitan.

Maka, marilah kita fikir, adakah kita manfaatkan kelapangan ini sebenarnya atau kita sekadar memikirkan kesempitan yang kita hadapi? Kekurangan masa, himpitan keluarga, kesempitan material atau tekanan semasa? Itu hanya alasan, kerana DIA Maha Mengetahui akan setiap sesuatu yang kita lakukan.




11.07 pm
20 April 2011
16 Jamadilawal 1432H
Kuala Selangor

Monday, April 18, 2011

MEMAKNAKAN USIA KITA


Marilah kita hayati bersama, sepotong hadis, pesanan dari Rasulullah s.a.w. kepada umat manusia yang mengingatkan kita bahawa akan datang kiamat kecil, ia menjengah kita setiap saat, dan ia telah ditentukan Allah s.w.t. kepada manusia. Hadis yang diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud, “Belum hilang jejak telapak kaki orang-orang yang menghantarnya ke kubur, seorang hamba (yang telah habis usianya) akan ditanya mengenai empat perkara, iaitu usianya ke mana dihabiskannya, tubuhnya untuk apa digunakannya, ilmunya seberapa yang diamalkannya serta hartanya, dari mana diperolehnya dan untuk apa dibelanjakannya.”

Allah telah memberikan kita kurnia yang paling berharga dan juga merupakan modal utama dalam hidup di dunia ini iaitu nyawa atau usia. Apa sahaja yang dimiliki oleh manusia akan menjadi sia-sia sekiranya sudah tidak lagi bernyawa atau telah tamat usia. Menurut Al-Razi, jika hilangnya masa difahami sebagai hilangnya modal sedangkan modal manusia adalah usia yang dimilikinya, bahkan manusia juga selalu mengalami kerugian. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Asr;

“Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.” (Al-Asr 103: 1 – 3)

Bagaimanakah kita telah memanfaatkan hidup kita ini? Selagi ada nyawa dan usia, kita habiskan ia dengan aktiviti maksiat dan perilaku yang melanggar perintah dari Allah s.w.t. Kita sentiasa merasakan bahawa kematian itu jauh dari kita sedangkan ia menjengah kita setiap masa. Kita sentiasa membahayakan diri kita tanpa memikirkan natijah kehidupan selepas kematian kita nanti. Jika aktiviti yang dijalankan adalah perkara yang diharuskan, ia masih tidak memberikan kesan yang baik kepada masa hidup akhirat kita.

Apakah makna usia? Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Apabila hari ini amal pekerjaanmu masih sama dengan hari semalam, bererti kamu dalam kerugian. Bila lebih buruk daripada semalam, itu adalah terkutuk. Bila hari ini lebih baik dari semalam maka kamu adalah dikalangan orang–orang yang beruntung.” Bagaimana dengan kita? Golongan yang rugi, untung atau terkutuk?

Usia yang dimanfaatkan adalah bergantung kepada bagaimana kita berusaha untuk memberikan manfaat untuk orang lain. Tidak ada pilihan kerana itulah sebabnya amanah khalifah diberikan kepada manusia. Iaitu memberikan manfaat kepada orang lain. 2 perkara yang perlu diberikan perhatian serius oleh kita semua terhadap usia iaitu yang pertama, sebagaimana pernah ditanya seorang sahabat kepada Rasulullah s.a.w. mengenai nikmat yang paling kecil diterima manusia. Lalu Rasulullah s.a.w. pun menarik nafas dan bersabda yang bermaskud, “Bahkan, ia akan ditanya untuk apa ia digunakan.”

Kedua, usia adalah peluang bagi manusia untuk menentukan baik dan buruknya. Hidup manusia dianugerahkan pilihan dan ianya hanya 2 iaitu syurga atau neraka. Setiap amal kita menuju ke arah pilihan tersebut. At-Tirmidzi meriwayatkan bahawa ada seseorang bertanya kepada Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Siapakah manusia terbaik?” Rasulullah s.a.w. menjawab, “Manusia yang usianya panjang dan dihabiskan untuk kebaikan.” Dia bertanya lagi, “Siapakah manusia terburuk?” Baginda bersabda lagi, “Manusia yang usianya panjang namun dihabiskan untuk keburukan.” Mari bersama kita TUNE diri kita dengan ilmu. Jom fikirkan.




Muat turun artikel ini disini.

Friday, April 15, 2011

ALLAH ITU MAHA PENGASIH


Alhamdulillah, saya masih berada di sini dan masih mampu untuk meneruskan perjuangan hidup yang esok kita tidak pasti dan semalam telah jauh meninggalkan kita. Ya, pelbagai rintangan dan pelbagai peristiwa yang mendatangkan perasaan sedih dan gundah di dalam jiwa saya secara peribadi. Perjalanan kehidupan yang begitu mencabar menjadikan segalanya begitu indah dan mengingatkan pesanan serta nasihat teman-teman, sebelum datangnya senang pasti ada kesusahan.

Kadangkala terfikir juga, layakkah saya ini diuji kerana iman ini selalu turun dan jarang-jarang naik? Muhasabah diri selalu juga, tetapi adakah benar perjuangan ini diredhai atau sebenarnya dibayangi dengan cerita-cerita kononnya indah oleh teman-teman? Fikiran ini menerjah masuk tanpa halangan, nah, susah nak istiqamah. Nak buat perkara baik, ia tidak datang bergolek, sebaliknya nak buat benda yang salah tak payah pilih, sentiasa aja ada di depan mata. Kenapa ye?

Rupanya, inilah janji Iblis dulu. Kebaikan yang Allah janjikan itu pasti, dan bisikan Iblis itu juga pasti. Pokok pangkalnya kita, yang mana satu nak pilih. Bila dengar saja azan, nak terus depan komputer ke pergi masjid? Mudah je, Iblis kata waktu solat panjang, buat apa nak ke masjid, maka kita pun teruskan berada dihadapan komputer. Aduh, saya rasa mudah betul diperdaya oleh Iblis.

Semalam, dalam perjalanan ke Usrah SISMA, dengar tazkirah, dalam radio IKIM, Imam Muslim ada riwayatkan satu hadith Nabi s.a.w. tentang orang yang tidak pergi ke masjid. Berbincang dalam usrah dengan Zuhri dan Adha, kita kerapkali menegakkan perkara yang sunat tetapi bagaimana dengan sunnah? Apa yang nabi tinggalkan? Kita buat tak? Kita mengharapkan kita jadi yang terbaik, khaira ummah. Tapi layakkah kita jika Abu Bakar berusaha untuk buat yang terbaik memerangi mereka yang mengurangkan bilangan zakat mereka, kita bagaimana? Ke masjid pun malas!

Saya begitu terpanggil, apabila menerima teguran kehadiran usrah Exco ABIM Selangor oleh YDP. Saranan beliau amat terkesan. Pesannya, hidupkan semula ma'thurat, berpuasa sunat dan menghafaz ayat-ayat Allah. Dekatkan diri dengan Allah, baru Allah bantu bangunkan kita dan bangsa kita. Melalui hari ini, saya rasa amat risau dan sedih bila bersama dengan adik-adik yang cuba saya bimbing menjadi jauh lebih baik dari apa yang saya buat.

Sebilangan besar mereka, telah berada di dalam zon selesa, tidak boleh ditegur dan kadangkala merasakan bahawa siapa sahaja yang bercakap adalah lawan mereka. Mereka bersaing untuk menunjukkan siapa hebat. Usaha mereka untuk mendapatkan keseronokan dan pujian manusia bukan lagi redha Tuhan Yang Esa. Di dalam diri mereka tidak punya rasa kepentingan agama tetapi sebaliknya kepentingan diri sendiri.

Apa lagi yang dapat saya buat? Jenuh juga berfikir, nak menggerakan ABIM Kuala Selangor ni pun boleh tahan juga bebanannya. Tetapi apapun, saya yakin pada kata-kata Allah s.w.t. yang kita hanya dibebankan dengan tugasan yang pastinya Allah Maha Tahu kita boleh tanggung. Maka, saya usahalah untuk buat yang terbaik. Buat yang membaca, ketika saya menulis ini, sebenarnya sedang bersiap untuk ke Cherating bersama dengan pelajar-pelajar Inst. Kemahiran Baitulmal. Saya harap dapat sampaikan dengan terbaik memandangkan kesihatan sudah berada di tahap kritikal untuk hampir 2 minggu. Suara, tak keluar, batuk dan selsema.

Rasa macam nak berhenti rehat, tapi, macam takde masa nak rehat. Jadi, saya teruskan ajelah. Mudah-mudahan Allah lah yang mengizinkan dan memberikan kekuatan. Jom, terbaiklah.

PERSOALAN DISEKITAR TRIBULASI JALAN DAKWAH


Semua kita menyangka, setiap bencana yang ditanggung oleh jemaah atau individu di dalam jemaah adalah tanda-tanda kehancuran dan kemusnahan buatnya. Maka, berakhirlah perjalanan perjuangan dakwah mereka itu. Apatah lagi buat mereka yang mencemburuinya atau berasa tidak senang dengan adanya golongan pendakwah ini, pasti mereka akan merasakan ia adalah penamat dan semuanya akan musnah dalam sekelip mata. Pelbagai cara mereka telah dan akan gunakan, ada yang dengan usaha untuk membunuh ketokohannya, ada juga berusaha untuk membunuh tempat rujukannya serta tidakkurang juga yang merosakkan corak perjuangan mereka melalui pandangan serta kefahaman yang terpesaong dari jalan sebenar.

Janji Allah s.w.t. tetap harus kita imani, bahawa sesungguhnya, Dialah yang menjaga agama Islam ini, maka andai pejuang sebelumnya gugur dalam usahanya, nescaya Dia akan menggantikan mereka bagi meneruskannya dan jika yang sekarang ini ada tetapi lemah dantidak berkualiti, nescaya Dia akan menggantikannya dengan orang yang lebih baik dan lebih berkualiti.

SALAH TANGGAPAN

Pernah berlaku dalam sejarah ABIM ini sendiri, apabila datang satu masa, di mana berlaku beberapa perpecahan dan kucar-kacir disebabkan oleh kemahuan segelintir ahli ABIM ini yang ingin bergerak dan merasakan kepentingan untuk terlibat secara aktif di dalam kancah politik negara. Tamparan hebat ini telah memberikan kesan kepada ahli akar umbi yang merasakan ABIM ini sudah tidak relevan dalam memperjuangkan agama dan meneruskan keagungan risalah Ar-Rasul s.a.w. ABIM dirasakan tidak istiqamah dengan perjuangan. Bahkan mendapat kesan darinya apabila generasi ABIM seterusnya berasa bersenang-senangan dalam satu tempoh masa tertentu.

Namun, ternyata kekentalan senior-senior di dalam ABIM akhirnya berjaya membawa kekalutan ini ke arah matlamat perjuangan sebenar semula walaupun telah melalui pelbagai proses reproduksi perjuangan dakwah ini. Pada peringkat awal itu, berlaku perpecahan yang sangat besar kerana gelombang politik yang berlaku di dalam ABIM yang akhirnya mewujudkan beberapa gerakan atau jemaah baru yang ingin menyahut dan menyambut perjuangan yang kononnya ditinggalkan ABIM.

Ternyata, itu adalah sebahagian dari tanggapan yang salah, bahkan natijah kebaikannya, tumbuhlah pelbagai lagi gerakan yang saling melengkapi antara satu sama lain. Jika kita nilai bersama, mengapakah gerakan Islam yang besar dan berpengaruh seperti ABIM melalui fasa kekucar-kaciran sedemikian? Jika benar, ABIM ini tidak benar, bagaimana pula boleh lahir darinya gerakan-gerakan Islam yang hebat dengan perjuangan mereka?

MENYEDIAKAN BATU-BATA YANG KUAT UNTUK BANGUNAN

Gerakan Islam seperti ABIM ini dilihat seperti sebuah bangunan yang dibina kuat dengan ikatan persaudaraan yang jitu. Namun bagaimana ia boleh runtuh? Berdasarkan perumpamaan bangunan ini, mari kita lihat apakah yang menjadikan sesebuah bangunan itu kukuh? Jawapannya sudah tentulah batu-batanya. Pembinaan jemaah ini harus dimulai dengan pembinaan peribadi atau setiap komponen yang melengkapinya dengan pembinaan yang baik serta mampan dalam mendepani pelbagai mehnah. Batu-bata tadi perlu dibakar dan diacukan mengikut acuan yang tepat dan hasilnya perlulah keras dan kukuh.

Itulah yang dilalui oleh abang-abang kita, dalam usaha membina ABIM sebagai gerakan Islam, mereka telah kerapkali menyertai tamrin-tamrin, rehlah, mukhayyam serta berusrah yang berjam-jam lamanya dengan tujuan untuk membentuk pemikiran atau fikrah dengan acuan Islam yang sahih. Juga bagi memastikan keupayaan untuk menyampaikan berita gembira dan peringatan yang diwarisi dari Rasulullah s.a.w. Maka, proses yang berlaku di dalam ABIM itu sendiri ternyata adalah satu perkara yang didatangkan Allah sebagai fitnah dan ujian untuk jemaah ini bagi membersihkannya.

“Dan juga supaya Allah membersihkan orang-orang yang beriman (dari dosa-dosa mereka) dan membinasakan orang-orang yang kafir.” (Ali-Imran: 141)

“Alif, Laam, Miim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman," sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? “Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta.” (Al-‘Ankabut: 1-3)

“Allah tidak sekali-kali akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan yang kamu ada seorang (bercampur aduk mukmin dan munafik, bahkan ia tetap menguji kamu) sehingga ia memisahkan yang buruk (munafik) daripada yang baik (beriman). Dan Allah tidak sekali-kali akan memperlihatkan kepada kamu perkara-perkara yang ghaib akan tetapi Allah memilih dari Rasul-Nya sesiapa yang dikehendaki-Nya (untuk memperlihatkan kepadanya perkara-perkara yang ghaib). Oleh itu berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya; dan kamu beriman dan bertaqwa, maka kamu akan beroleh pahala yang besar.” (Ali-Imran: 179)

Kesannya kepada ahli ABIM amat berbeza. Begitu juga kita, apabila sampai masanya nanti. Bukan setakat akan datang, cukuplah apabila kita lihat ada dikalangan rakan-rakan kita yang gugur apabila ditimpa pelbagai bencana dalam hidup mereka. Ada sebahagian dari kita akan melihat dari perspektif yang amat positif serta optimis terhadap pemberian Allah s.w.t. dan usahlah kita terkejut kerana akan ada yang berfikiran sebaliknya. Maka, batu yang baik tadi diikat dengan simen untuk membentuk dinding dan bangunan begitu jugalah perumpamaan jemaah yang diikat dengan persefahaman fikrah dan ukhuwah fillah.


GOLONGAN KETIGA

Sebagaimana batu bata tadi, ada yang akan pecah dan ada yang akan kekal pada bentuknya. Ada yang sumbing sedikit. Namun, penglibatan dalam jemaah masih lagi boleh diterima, walaupun kadangkala, batu bata yang telah pecah ini akan mendatangkan sedikit kacau-bilau dan permusuhan di dalam jemaah. Perhatikanlah mereka! Mereka yang sumbing dan pecah inilah dikalangan mereka yang tidak istiqamah terhadap perjuangan mereka dan sentiasa menunjukkan sikap yang salah terhadap jemaah. Untuk mendepani peribadi-peribadi ini, kita harus sabar, bersungguh-sungguh, benar dan ikhlas. Lihatlah bukti ini, lamanya batu itu dibakar, tidak semestinya ia mampu bertahan, kerana ia amat bergantung kepada hidayah serta taufik petunjuk dari Allah s.w.t.


APAKAH YANG DI UJI DI DALAM DIRI SESEORANG DI DALAM TRIBULASI?

Tidak syak lagi, ujian yang akan ditimpakan Allah akan datang dalam pelbagai bentuk. Pada peringkat permulaannya ia mungkin berbentuk kekeluargaan atau teman-teman sepermainan. Apabila melepasi halangan tersebut, masuk pula ke dalam ujian berbentuk kehidupan seperti pekerjaan dan pendidikan. Seterusnya ia akan terus meningkat sehinggalah dalam soal kewangan, kesenangan hidup serta kemudahan dalam melayari bahtera keluarga. Tambahan pula, apabila terlibat dengan kerja-kerja dakwah ini, banyak masa kita akan dihabiskan untuk orang lain serta memenuhi permintaan yang pelbagai. Kemudian akan datang pula ujian dalam bentuk tekanan dan mungkin ugutan atau penyiksaan berbentuk fizikal. Namun yang menjadi ukuran akhir yang sebenar adalah kekentalan iman yang merupakan asas sebenar ujian Allah s.w.t. kepada manusia.

Iman inilah yang akan teruji keikhlasannya untuk berdakwah dan pengorbanananya pada jalan dakwah. Tidak lupa juga dengan pegangan syariatnya, sejauhmana ia berpegang kepada fahaman yang sebenar. Maka, jihadnya pasti teruji dan sejauhmana benarnya kita dalam jihad kita? Dikala keadaan sudah jadi kacau-bilau sepertimana yang pernah kita ketahui ia juga pernah berlaku di dalam ABIM pada suatu masa dahulu, maka akan teruji juga ikatan silaturrahim diantara ahli jemaah. Bukan itu sahaja, ujian ini juga boleh datang melalui perdebatan, pengaburan mata, pujuk rayu, penyiasatan, nasihat, tunjuk ajar pada zahirnya dan pelbagai lagi tipu daya yang akan digunakan. Untuk menyelamatkan diri, berserahlah diri dan rasa takut itu kembali hanya kepada Allah, sesungguhnya dengan izin Dialah kita berada di sini.


DASAR BANGUNAN ATAU ASAS

Maka, pembangunan ummah yang bercirikan Islam ini memerlukan dasar yang kuat. Dari aspek pembangunan, yang mendasari asas itu lebih utama iaitu pegangan dan kefahaman mereka terhadap Islam. Barulah daulah ini dapat terbentuk dengan kefahaman yang benar. Ia harus bermula dari masyarakat kebanyakan yang mengakar terus membawa kepada pucuk pimpinan.


ADAKAH CANGKUL PERUNTUH ITU TELAH MEROSAKKAN ASAS?

Jawapan kepada persoalan itu adalah tidak. Cangkul kebatilan mana mungkin akan dapat meruntuhkan kejituan iman dan kemuliaan Islam. Bahkan yang diruntuhkan hanyalah bahagian-bahagian kita yang lemah dan tidak diperkuatkan. Lihat sahaja usaha yang dibuat kaum Quraisy apabila berhadapan dengan para sahabat Nabi ketika zaman Nubuwwah itu, mereka tidak tergugat walau sedikit pun selagi Al-Quran sebagai pegangan dan sunnah itu sebagai ikutan. Kata Imam Syahid Hassan Al-Banna, “Sebaik-baik kekuatan apabila dia bersama dengan kebenaran dan seburuk-buruk kelemahan ialah kelemahan berhadapan dengan kebatilan.”

Usaha kita janganlah telalu tertumpu kepada peristiwa dan isu semasa, atau urusan-urusan cabang, akhirnya kita leka dan melupakan keperluan asas dan perkara yang lebih utama dan penting. Maka, perkukuhkanlah dasar kita, janganlah didorong nafsu dan akhirnya mengharapkan hasil yang segera. Perbaikilah diri kita.


KESIMPULAN

Ini semua adalah tribulasi yang merupakan sunnatullah yang mana ia mesti berlaku selagi kita menggelarkan diri kita pendakwah. Ia bukanlah kerana dosa atau kesalahan. Jika kita tidak melaluinya, maka disitulah timbul keraguan samada jalan yang dilalui itu benar atau salah. Kita tidak mampu mengelak bahkan perlu ditempuh. Ingatlah bahawa setiap ujian itu adalah faedah buat kita. Belajarlah darinya dan berlapang dadalah dengan apa yang Allah sediakan untuk kita.

“Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap seorang yang khianat, lagi tidak bersyukur.” (Al-Hajj: 38)

“Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: "Tuhan kami ialah Allah." Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamanya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.” (Al-Hajj: 40)

“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.” (An-Nuur: 55)




Sila muat turun artikel ini di sini.