Monday, January 24, 2011

HARI-HARI SEBELUM 24 JANUARI 2011


24 Januari 2011 bersamaan 19 Safar 1432. Perjalanan hidup ini, alhamdulillah Allah s.w.t. berikan dan saya masih menjadi pilihan DIA untuk berhadapan dengan kesengsaraan. Hidup ini adalah kesengsaraan. Maka, mengejar kehidupan adalah sesuatu yang pasti akan sampai ke penamatnya. Bahkan makin panjang hidup maka makin sengsara kita tambahan pula kita tidak pernah berusaha untuk berbuat apa-apa.

Saya dengan sahabat-sahabat seangkatan IQCM dah berjalan agak jauh juga selama hampir 5 tahun kami bersama. Baru-baru ni, hari Sabtu (22 Januari) kami telah bergerak ke SK Cochrane Perkasa untuk satu sesi ceramah 1 jam sahaja. Pendek. Tahun 2011 ini telah memungkinkan untuk saya memberikan ceramah dalam apa jua situasi, baik 1 jam, 2 jam bahkan pada 14 Januari yang lalu, aku telah berceramah selama 1 jam untuk 500 orang pelajar. Aku pun tak sangka. Tetapi celiknya hati ini, saya rasa, walau berapa pun masa yang Allah bagi kat saya, kena ambil cepat untuk memperbanyakkan zikir dan bersedekah. Untuk bekal saya. Bukan kejar kesengsaraan hidup, tetapi melalui dan mengharungi kesengsaraan hidup untuk menjadi bekal ketika hidup yang tidak akan ada kematian lagi.

Habis di sekolah, kami berborak dengan Cikgu Yaziz, ramah dan komited orangnya. Berlari ke sana ke mari untuk memenuhi tuntutan tanggungjawabnya sebagai guru dan pentadbir sekolah. Ada satu perkara yang aku terfikir ketika berborak dengannya, mengapa komitmen itu diberikan dengan penuh kesungguhan? Jawapannya mudah, iaitu kerisauan. Kerisauan kepada masa depan anak bangsanya. Wah, saya kagum betul pada hari Sabtu ni, saya berjumpa dengan guru-guru yang komited. Lepastu sambung melepak di Masjid Al-Azim Pandan Indah dengan budak-budak PEPIAS. Hafiz Shamon dengan Ayu jadi trainer. Diorang ni masih dalam training untuk jadi trainer.

Ternyata saya dah tua. Ramai anak muda yang bersemangat, ada kesungguhan dan rasa ingin berbakti yang menyertai aktiviti ini. Ya Allah, adakah saya ini contoh yang terbaik buat mereka? Saya berborak dengan Jo, ketika dalam perjalanan nak ke SAM Tanjong Karang semalam (23 Januari). Jo ada sebut, semangat bila tengok diorang ni. Rupanya, Jo boleh pegi semula ke sana lepas balik ke Puncak Alam dan tidur dengan adik-adik tu kat sana malamnya. Allahu Akbar, kagum saya. Mungkin ada 2 je sebabnya, semangat untuk bersama anak muda atau hati yang makin lama makin mekar dengan perasaan dakwahnya. Kedua-duanya hebat.

Sambil borak-borak dengan Jo tu, terpancul dari mulut dan benak fikir saya ni, adakah ini mehnah yang disebutkan berasa selamat di dalam buku Mustafa Masyhur tu? Rasa selamat apabila melihat ramai lagi orang muda yang berkumpul dan berfikir tentang kerja agama. Perasaan selamat apabila sudah tiada yang dirisaukan kepada PEPIAS sepertimana sebelum-sebelum ini? Jika mati tu Jo selalu cakap, "What If", sekarang ni saya sentiasa fikir, "What Next?" Pertemuan saya dan Jo bersama adik-adik di SAM Tanjong Karang juga mendatang banyak input positif dan kerja berat untuk dilaksana. Saya harap, dengan masa yang Allah s.w.t. panjangkan pada saya ni, sempatlah untuk berbuat sesuatu bagi membangunkan generasi pendakwah muda yang baru dan komited di daerah tempat tinggal saya ini. Mudah-mudahan Allah s.w.t. mudahkan perjalanan ini, amin.

BERLAPANG DADA MENERIMA KRITIKAN


Setelah bertahun-tahun melalui pelbagai pengalaman dalam dunia latihan dan kerja-kerja kemasyarakatan, jarang sekali dapat ditemui seorang manusia yang gemar mendengar kritikan dan teguran dari orang lain. Apatah lagi apabila ia datang dari budak hingusan yang dianggap jauh lebih muda dan kurang makan garam dari diri kita.

Pepatah Cina ada menyatakan, mereka yang sentiasa memuji itu adalah musuh kamu dan yang sentiasa mengkritik dan menegur itulah teman yang sebenar. Persepsi kita terhadapa kritikan dan teguran adalah terlalu negatif. Sehinggakan, kita menutup telinga kita daripada mendengar apa yang benar, dan kita hanya suak mendengar puji-pujian dan kemasyhuran diri sendiri. Ia amat berbahaya dalam urusan harian kita. Secara tidak langsung, kita sebenarnya mendedahkan diri kita untuk kesalahan dan dosa-dosa yang lain seperti menghina, mengumpat, serta kadangkala menyebarkan fitnah dan membuat tuduhan melulu.

Antara kewajipan seorang Muslim kepada Muslim yang lain adalah apabila mereka meminta nasihat, maka wajiblah kita untuk memberikan nasihat. Itu menggambarkan betapa keperluan untuk mendengar kritikan adalah penting dan mampu melahirkan seseorang yang berjiwa besar dan berfikiran terbuka. Kehidupan ini penuh dengan teguran yang disampaikan oleh Allah s.w.t. sendiri kepada manusia. Apabila jiwa ini kecil, pemikiran juga sempit, akhirnya, teguran-teguran dari Allah s.w.t. hanya berlalu secara sia-sia dan tidak dapat dilihat oleh mata hati kita. Ketika itu, akan matilah hati kita.

Terdapat beberapa cara untuk kita melatih diri untuk sentiasa berlapang dada dalam menerima sebarang kritikan. Pertama, rinduilah kritikan dan nasihat tersebut. Sentiasalah mencari cara untuk memperbetulkan diri kita. Buangkan anggapan bahawa diri kita yang terbaik dan sentiasa ingat bahawa hidup ini mesti terus belajar.

Kedua, cari dan bertanyalah. Jadikanlah bertanya serta meminta nasihat ini sebagai satu kebiasaan. Wajib bagi seorang Muslim untuk memberikan nasihat kepada Muslim lain yang meminta nasihat. Ketiga, nikmati kritikan. Apabila menerima teguran, senyum dan fikirkan apa yang baik disebalik apa sahaja teguran yang diberikan. Ingat selalu, peringatan itu bukan hanya datang dari seorang manusia, tetapi adalah dari Allah s.w.t. yang sentiasa kasih dan sayang kepada kita.

Keempat, syukurilah. Maka, bersyukurlah apabila masih ada orang yang mahu menegur kita. Jika tidak, maka mungkin Allah s.w.t. sengaja membiarkan kita membuat dosa dan menyimpan kemurkaan-Nya kepada kita. Sebaliknya, apabila ditegur, itu tanda Allah s.w.t. menyimpan kasih sayang-Nya untuk kita. Kelima, menilai diri. Berlaku jujurlah dengan diri sendiri. Setiap kelemahan perlu diakui, itu bukan tanda kalah, tetapi mengalah. Mengalah dengan keegoan diri yang tidak mahu diperbaiki. Keenam, memperbaiki diri. Kemudian, lakukanlah islah atau pembaikan. Ini proses penting yang membolehkan kita menjadi orang yang beruntung, hari ini lebih baik dari semalam.

Terakhir, ketujuh, membalas budi. Ucapkanlah terima kasih kepada yang menegur dan sentiasalah memberikan hadiah kepada mereka yang kerapkali menegur kita. Berfikirlah positif. Mereka pasti ingin melihat kita lebih baik atau Allah s.w.t. pasti memberikan pendidikan yang terbaik untuk kita. Pecayalah dan jangan berputus asa dengan Allah s.w.t.




Muat turun artikel ini di sini.

Friday, January 21, 2011

AZAMKU 16 SAFAR 1432


21 Januari 2011 bersaman dengan 16 Safar 1432. Macam nak berazam tapi tak tau la boleh ke tak. Kalau ikutkan, niat yang baik tu dapat pahala, tapi untuk istiqamah tu, pahala dia lagi besar. Hari ni hari Jumaat. Luar biasa hari ni, apabila semalam seharian bercuti dan tak banyak rasanya kebaikan yang dapat dibuat semalam. Sebenarnya itulah dia azamnya. Nak berusaha sekuat mungkin untuk berbuat kebaikan setiap hari pada setiap masa.

Carilah apa sahaja yang mungkin boleh mendatangkan kebaikan dengan hasrat, saya dapat memanfaatkan sebaik-baiknya usia yang tersisa ni. Tahun dah masuk tahun baru, sedar tak sedar, usia ini sebenarnya makin pendek. Tapi ramai dikalangan kita hari ini begitu bergembira dengan sambutan tahun baru. Seolah-olah mereka berasa akan hidup lama lagi. Silap-silap, esoknya dah innaliLlah dah. Setiap hari bertambah, setiap hari itulah sebenarnya peringatan buat kita. Saya? Baru bangkit dari serangan demam selsema dan batuk. Allah datangkan ujian ke bala? Saya harap iman ini makin bertambah bukan berkurang.

Hari ini, bila sampai ke masjid awal, terdengar seorang ustaz memberikan tazkirah tentang lorong-lorong yang digunakan syaitan untuk menyelinap ke dalam diri manusia. Takut juga dan datang keinsafan serta rasa berdosa saya. Banyak juga kelemahan yang saya bukakan untuk musuh-musuh ini. Ya Allah, ampunkanlah saya. Saya tidak akan biarkan ianya berlaku lagi. Astaghfirullahal'azhim. Terpaku saya mendengar si ustaz ini bertazkirah, benar-benar sampai ke hati. Ada 7 pintu katanya. 2 darinya yang benar-benar terkesan.


HASAD DENGKI

Apabila melihat orang lain bermewahan dan memakai pakaian serta kenderaan besar terus sahaja lidah kita ini akan ringan berkata, "Tu, duit rasuah la tu!" Ya Allah, ampunkanlah saya. Rupanya ia adalah sebahagian dari apa yang dikatakan hasad dan dengki. Tidak terlintas untuk saya berdengki, tetapi ia benar-benar membuka mata. Kadangkala, apa sahaja yang kita lihat dihadapan mata kita, yang dilakukan oleh orang yang padanya ada perasaan benci kita, maka inilah yang akan dimainkan oleh syaitan di dalam jiwa.

Ya Allah, lindungi saya dari kelemahan yang bertimpa-timpa ini Ya Allah! Betullah, perasaan hasad dan dengki ini kita sangka telah jauh darinya, sedangkan, iblis ini sebenarnya semakin licik dan bijak untuk memperdaya seorang Muslim. Iman ini belum betul-betul melihat kebenaran, imanku perlu ditambah dan diperkukuh. Maka, dapat saya fahami, perasaan marah adalah puncanya. Benci kepada kesalahan dan penipuan pada dasarnya tetapi hakikatnya telah ditutupkan jiwa ini dengan hasad dengki syaitan yang direjam.


BURUK SANGKA TERHADAP MUSLIMIN YANG LAIN

Maka, dari tindak tanduk hasad dengki tadi timbullah perasaan buruk sangka. Sedangkan bukannya kita tidak tahu, seburuk-buruk silaturrahim adalah berburuk sangka kepada rakan yang lain. Wah! Allah bukan hati ini Ya Allah. Aku berdosa dan aku memohon keampunan Mu! Tunjukkan aku jalan yang benar dan jadikanlah aku pejuang agama mu yang selamat dari kesesatan.

Apa yang patut saya lakukan ialah berusaha keras untuk menutup laluan syaitan. Perasaan takabbur, marah, mengikut nafsu syahwat, tergesa-gesa serta kikir adalah jalan-jalan yang mampu membawa kita bersama dengan musuh-musuh diri kita iaitu syaitan yang direjam. Inilah azam saya. Saya akan berusaha untuk mengisi masa luang saya untuk mengingati-Mu Ya Allah. Seluruh masa terluangku untuk mengembalikan amanah Mu ini kepada mereka yang selayaknya. Ilmu, masa dan pengalaman adalah modal saya untuk meneruskan perjuangan ini. Aku mohon Ya Allah, istiqamahkan aku Ya Allah!

LAGI TENTANG HALANGAN DI ATAS JALAN DAKWAH


Betapa agungnya ciptaan Allah s.w.t. ini, apabila ia diciptakan dari tanah dan kemudiannya ditiupkan roh. Maka, manusia itu secara azalinya mempunyai tarikan untuk berada di bumi yang bersifatkan tanah serta sifat roh itu pula secara keseluruhannya mengembalikan manusia kepada ‘Rab’nya. Inilah dia halatuju yang telah diberikan Allah s.w.t. semenjak dahulu lagi kepada manusia, menjadilah ia sebagai tugas hakiki manusia, berbakti kepada tanah asas terbentuknya manusia sebagai khalifah juga pada masa yang sama mengembalikan hak roh kepada Sang Penciptanya.

Inilah dia medan perjuangan kita, dari asal tanah sehinggalah bertemu Dia. Inilah jihad kita dan inilah jalan kita. Oleh kerana itu, diri kita perlu sentiasa dilatih untuk berhadapan dengan fitnah dan kesengsaraan hidup sama ada untuk condong kepada dunia atau mendapat kerahmatan dari Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Asy-Syura ayat 20 yang bermaksud;

“Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.” (Asy-Syura: 20)

Maka godaan dan kemudahan duniawi seharusnya dijauhkan dari diri seorang pendakwah kerana ia akan mampu mengundang bencana serta menjauhkan diri kita dari taufik dan pertolongannya. Bahkan jika kita membiarkan godaan dan kemudahan duniawi ini menguasai diri, nescaya kita akan gagal dalam mengawal nafsu diri yang akhirnya nafsu itu menguasai akal maka terdedahlah kita kepada kemurkaan Allah. Firman Allah s.w.t. lagi di dalam surah At-Taubah ayat 24 yang bermaksud;

“Katakanlah (wahai Muhammad), ‘Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).’” (At-Taubah: 24)


USAHA MENCARI REZEKI

Mencari rezeki bagi usia muda seperti pelajar, tidak akan punya banyak tekanan dan biasanya mereka tidak berfikir banyak di dalam usaha itu kerana hidupnya masih dibawah tanggungan ibu ayah atau pinjaman pelajaran mereka. Namun sebagaimana biasa yang kita dengari, mereka yang belajar ini akan mula memasuki fasa pertama atau musim sejuk pertama iaitu pekerjaan. Keperluan mendesak seperti pendapatan, kedudukan, kereta, rumah dan sebagainya akhirnya menjadi sebab kepada rezeki mereka bukan keberkatan hidup dari Allah. Mereka mula melihat bahawa yang memberikan gaji itulah yang memberikan rezeki bukan lagi Allah s.w.t. Maka kilang alasan pun dibina bagi memastikan pelbagai alasan dapat diberikan atas usaha untuk melepaskan diri dari tugas Allah s.w.t. Persoalannya, terlepaskah kita?

Pasakkan kefahaman dan keyakinan yang kuat bahawa sesungguhnya penentu rezeki kita adalah Allah s.w.t. Keutamaan bagi kita adalah bekerja bersungguh-sungguh dan tidak sesekali berputus asa dengan Allah s.w.t. Berusaha itu wajib dan bertawakal juga wajib. Ia perlu diselarikan dan diberikan keutamaan. Inilah rintangan yang akan mengukur kepercayaan dan keimanan kita terhadap kuasa si Maha Pemberi Rezeki.


ISTERI DAN ANAK-ANAK

Pernah juga kita perbincangkan tentang hijab di dalam hati atau penghalang kepada kerja-kerja dakwah ini. Ini juga hadir dalam musim sejuk kedua iaitu apabila seorang pendakwah itu sudah mempunyai keluarga. Perkahwinan melibatkan kelompok yang besar, bukan sekadar suami dan isteri bahkan keluarga suami dan keluarga isteri. Perkahwinan juga adalah sunnah yang dituntut kepada ummat Nabi Muhammad s.a.w. untuk dilaksanakan. Namun itu bukanlah sebab untuk mereka yang berkeluarga meninggalkan amanah dakwah mereka. Anak-anak dan isteri tidak sepatutnya menjadi alasan untuk tidak melakukan kerja dakwah, lari dan mendiamkan diri.

Apabila menjadi ketua keluarga khususnya untuk para lelaki, maka peranan itu menjadi lebih besar kerana kita akan berada ditahap berikutnya yakni hidup di dalam masyarakat. Ingatlah, jika ayah tidak berjihad, maka anak lelaki akan meninggalkan tanggungjawab dan amanahnya, manakala anak perempuan kita akan hilang maruahnya. Pada ketika itu usahlah kita pura-pura menyesal kerana pada hakikatnya kita telahpun ketahuinya. Firman Allah s.w.t. di dalam surah At-Taghabun ayat 14 yang bermaksud;

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. Dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (At-Taghabun: 14)

Maka memilih isteri dan suami yang memahami amatlah menjadi keutamaan. Maknanya, ia bukan sekadar baik agama itu dari sudut memelihara tiang agamanya sahaja, bahkan dari sudut, hati agamanya, kerja agama keluarganya dan yang lebih penting adalah bagaimana kehidupan mereka terhadap ganjaran agama. Buat saudara-saudara lelaki, fahamilah bahawa, isteri adalah pembantu kita, serta potensi mereka dalam melahirkan lebih ramai petugas-petugas agama Allah s.w.t. Maka pilihlah dari kalangan yang terbaik. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Furqan ayat 74 yang bermaksud;

“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata, ‘Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.’” (Al-Furqan: 74)

Tugas ini adalah untuk membentuk satu institusi keluarga contoh untuk diikuti berikutnya, membentuk masyarakat yang amat tinggi kedudukannya disisi Allah. Maka akan sampai satu masa, si suami akan berada di tahap fitnah yang besar, kerana usahlah kita memperkecilkan setiap percubaan yang akan Allah s.w.t. berikan kepada kita. Pada saat itu, si isterilah yang terhampir untuk kita, maka persiapkanlah mereka dengan kasih sayang, berfikiran terbuka serta sifat tabah dan kesabaran yang tinggi.


MABUK DUNIA DAN HARTA

Apabila kehidupan ini menginginkan pencarian harta dunia, maka harta dunia yang dicari itu pasti tidak akan pernah mencukupi. Dek sebab itulah, kita akan selalu menghabiskan banyak masa dan hartanya juga dengan tujuan untuk mengumpul lebih banyak lagi harta dunia. Pada peringkat awal, sedikit ruang diberikan untuk berdakwah dan kemudian akhirnya hanya tinggal menderma dengan mengharapkan ganjaran dari Allah s.w.t. tanpa ada sedikit pun usaha jihad yang dilakukan. Sudahnya, derma itu juga terus hilang apabila harta dunia ini menjadi tuhan di dalam jiwa serta merasakan ia adalah sesuatu yang tidak patut dikongsikan.

Mencari rezeki itu halal dan dituntut, tetapi ia bukan agenda utama kehidupan. Ia sekadar memenuhi tuntutan kehidupan sebagai manusia. Ia hanyalah alat untuk mencapai keredhaan Allah. Berusaha dan redha itu ubatnya. Menginfakkan harta itu juga penawarnya. Rintangan ini telah pun didahului oleh abang-abang kita yang akhirnya mereka hanyut dan melupakan segala usaha dakwah ini. Alasannya pelbagai, dan ianya semata-mata demi menjaga kepentingan diri mereka sendiri. Akhirnya yang berbicara tentang ummat jatuh ditangan mereka yang upaya hartanya sedikit, sering mengharapkan bantuan dan derma dari para dermawan. Bahkan mereka hanya bergantung kepada Allah s.w.t. tanpa sebarang usaha. Inilah wajah pendakwah hari ini yang tidak langsung ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya. Maksud sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim berbunyi, "Sesungguhnya telah berjayalah orang yang telah Islam dan diberi rezeki yang mencukupi sesuai dengan keperluannya dan memberi kepuasan kepadanya dengan apa yang telah dikurniakan kepadanya ". Usahlah angkuh, kedekut dan sombong, kerana segala yang ada itu perlu dikembalikan kepada yang Maha Pemberi semula.


SUARA PENGHALANG DAN MELEMAHKAN

Pernah terdengar rakan-rakan menyatakan ia hati mereka dengan berkata, “Alah kita buat penat-penat bukan dapat duit pun, nama orang lain yang dapat, pangkat tak boleh nak minta-minta.” Suara ini datang dari 2 sudut yang wajib kita awasi iaitu bisikan manusia dan hasutan syaitan. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud;

"Dan mereka berkata, ‘Janganlah kamu berangkat (pergi berperang) dalam panas terik ini’. Katakanlah, ‘Api nereka jahaman itu lebih perit panasnya jikalau mereka memahami.’” (At-Taubah: 81)

"Orang-orang yang mengatakan kepada saudara-saudaranya dan mereka tidak turut pergi berperang, ‘Sekiranya mereka mengikuti kita, tentulah mereka tidak terbunuh’. Katakanlah, ‘Tolaklah kematian itu dari dirimu, jika kamu orang-orang yang benar.’” (Ali-lmran: 168)

"Jika mereka berangkat bersama-sama kamu nescaya mereka tidak menambah kamu selain dari kerosakan belaka dan tentu mereka akan bergegas maju ke muka di celah-celah barisanmu untuk mengadakan kekacauan di antaramu, sedang di antara kamu ada orang-orang yang amat suka mendengarkan perkataan mereka. Dan Allah mengetahui orang yang zalim." (At-Taubah: 47)

"(Iaitu) orang-orang yang mentaati perintah Allah dan Rasul-Nya sesudah mereka mendapat luka (dalam peperangan Uhud). Bagi orang-orang yang berbuat kebaikan di antara mereka dan bertakwa, ada pahala besar. (Iaitu) orang-orang yang mentaati Allah dan Rasul yang kepada mereka ada orang-orang mengatakan, ‘Sesungguhnya manusia telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, kerana itu takutlah kepada mereka’, maka kata-kata itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab, ‘Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung’. Maka mereka kembali dengan nikmat dan kurnia (yang besar) dari Allah, mereka tidak mendapat bencana apa-apa, mereka mengikuti keredhaan Allah. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar. Sesungguhnya mereka itu tidak lain hanyalah syaitan yang menakut-nakutkan kamu dengan kawan-kawannya (orang-orang musyrik Quraisy), kerana itu janganlah kamu takut kepada mereka tetapi takutlah kepada-Ku, jika kamu benar-benar orang yang beriman. " (Ali-lmran: 172-175)

Wahai saudara-saudaraku, kembalikanlah keyakinan kita kepada Allah s.w.t. Segala kerja agama ini harus diteruskan dan tiada sebab kita perlu berhenti melainkan Allah s.w.t. memberhentikan nikmat hidup kita yang terbesar iaitu nyawa. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud;

"Dan janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati padahal kamu orang-orang yang paling tinggi (darjatnya) jika kamu orang-orang yang beriman." (Ali-lmran: 139)

"Janganlah kamu berhati lemah dalam mengejar mereka (musuhmu). Jika kamu menderita kesakitan, maka sesungguhnya merekapun menderita kesakitan (pula), sebagaimana kamu menderitainya, sedang kamu mengharap dari Allah apa yang tidak mereka harapkan dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana." (An-Nisaa': 104)

"Dan berapa banyak nabi yang berperang bersama-sama mereka sejumlah besar dari pengikutnya yang bertakwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah. Dan tidak lesu dan tidak pula menyerah kepada musuh. Allah menyukai orang-orang sabar." (Ali-lmran: 146)

Maka, apabila kita telah serahkan diri pada Allah, waspadalah dengan penghasut dan pembisik seperti ini. Ingatlah kuasa dan janji Allah buat kita. Teruslah berbuat dan jangan sekali-kali menampakkan kelemahan atau kelesuan. "Kekuatan itu adalah paling bagus apabila berada di dalam kebenaran, dan seburuk-buruk kelemahan ialah apabila ia berada di pihak yang batil". (Al-Imam Hassan Al-Banna)


KEKERASAN HATI KERANA LAMA BEREHAT

Antara alasan yang mudah dan kerapkali dapat kita bersama dengari daripada teman-teman seperjuangan yang berehat lama dari kerja dakwah ini kebiasaannya menyebutkan ‘dah lama tinggal’, ‘segan’, ‘apa orang kata nanti’ dan ‘tidak kenal sesiapa’. Percayalah bahawa sesungguhnya kekerasan hati ini tidak datang sekaligus tetapi sedikit demi sedikit. Bermula dengan alasan-alasan yang kreatif untuk membunuh jiwa pejuang yang akhirnya berkarat hati dan semakin jauh dari kebiasaan dahulunya. Bacaan Al-Qurannya tidak sampai ke hati, solatnya hilang khusyuk serta hilang rasa kekesalan dan disebalik itu, maka, hilanglah sifat mukmin di dalam diri kita.

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila di sebut Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibarakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka kerananya dan kepada Tuhanlah mereka bertawakal." (Al-Anfaal: 2)

Allah s.w.t menyuruh kita berwaspada supaya kita tidak jatuh tersungkur di dalam kekerasan hati seperti ini di dalam firman-Nya yang bermaksud;

"Belumkah datang waktunya bagi orang-orang beriman untuk tunduk hati mereka mengingati Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka) dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan kitab. Kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik." (Al-Hadid: 16)

Janganlah kita mengasingkan diri dalam usaha dan kerja dakwah dari kawan-kawan. Sentiasalah tolong menolong dalam hal kebaikan, berpesan kepada kebenaran dan kesabaran serta selalulah memperbaiki hubungan dengan kitab Allah s.w.t. Muhasabah mesti dijadikan rutin harian serta buat teman-teman, peringatkanlah teman kamu tentang 4 perkara agama iaitu, tiangnya, hatinya, kerjanya serta ganjarannya.


JANGAN BERASA SELAMAT

Ingatlah, usah biarkan diri kita berasa selamat. Adalah mustahil untuk kita berasa selamat dari rintangan, kerana perjuangan perlu ada rintangan. Adanya rintangan maka akan mendatangkan usaha untuk saling diperingatkan. Juga adalah mustahil untuk kita berjaya melepasi sesuatu rintangan begitu sahaja kerana ia pasti akan datang sepanjang perjalanan dan darinya akan datang usaha untuk istiqamah dan bersabar. Hindarilah perasaan selamat itu kerana apabila merasai selamat, bermakna kita berjaya mengatasi segala rintangan maka akan datang pula perasaan takbur dan bongkak yang sentiasa ditiupkan oleh tentera yag tidak dilihat dengan mata kepala kita. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud;

"Dan jika kamu berjumpa sesuatu godaan syaitan maka mintalah perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Al-A'raaf: 200)

"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa apabila mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Mlah maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahan mereka. Dan teman-teman mereka iaitu orang-orang kafir dan fasik membantu syaitan-syaitan dalam menyesatkan dan mereka tidak henti-henti menyesatkan. " (Al-A'raf: 201-202)

"Allah meneguhkan iman orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan dunia dan di Akhirat dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan membuat apa yang dia kehendaki." (Ibrahim: 27)




Muat turun artikel ini di sini.

Tuesday, January 4, 2011

HALANGAN DI ATAS JALAN DAKWAH


PENGENALAN

Perbincangan kita hari ini telah sampai ke satu fasa yang penting dan harus difahami bersama. Namun begitu, kepentingannya tidaklah mendahului kepentingan-kepentingan aspek lain yang telah kita bincangkan di dalam usrah SISMA ini sejak dahulu lagi. Jalan dakwah ini merupakan satu jalan kemuliaan dan tinggi nilai martabatnya. Jalan ini yang terjamin akan mendapat keredhaan dari Allah s.w.t. Jalan ini juga yang sentiasa dicari oleh setiap peribadi yang ingin berada tinggi di sisi Allah s.w.t. Ya Allah Ya Tuhan Kami, jadikanlah diri kami ini tetap berada di atas dan bersama jalan ini. Bersama berada di dalam gerabak yang telah didahului oleh para Rasul dan para Salihin.

Namun jalan ini, tidaklah seindah dan semudah yang kita pernah lalui atau fikirkan. Ia tidaklah selapang yang kita rasakan. Bahkan ia penuh dengan cubaan dan dugaan yang datang dari pelbagai sudut dan keadaan. Bagi seorang Muslim yang mengenali dan memahami tugas dakwah ini, pasti akan terbeban dengan rasa tanggungjawab serta menjalankan dakwah ini dengan sebaik mungkin. Namun, sejauhmana motivasi ini akan mampu berterusan? Ruangan penerusan kerja dakwah atau lebih mudah kita fahami sebagai istiqamah inilah yang membuka dan membentuk pelbagai rintangan serta halangan di atas jalan dakwah.

DIANTARA RINTANGAN DAN PENYELEWENGAN

Penyelewengan bererti menyimpang dari jalan sebenar. Apabila kesilapan demi kesilapan terus dilakukan dan kita tidak mahu memperbaiki diri dan kembali kepada hal yang benar, maka penyelewengan itu akan menjadikan kita semakin jauh menyimpang dari jalan yang benar. Rintangan pula adalah perkara-perkara yang menjadi sekatan kepada pergerakan kita yang akhirnya memberikan kesan negatif kepada pendakwah itu sendiri. Ia termasuklah dalam soal sekatannya, melemahkan motivasi diri pendakwah, mengambil tindakan hasil dari kekeliruan, memusnahkan usaha dakwah, yang akhirnya semua usaha itu tiada kesan atau bekasnya juga tiada manfaat dan natijah kebaikannya.

Penyelewengan dan rintangan adalah lumrah dalam usaha-usaha dakwah ini. Sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud;

"Alif Lam Mim. Adakah manusia menyangka bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji lagi. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta". (Al-Ankabut: 1 - 3)

Maka, pasti apabila kita sudah berada benar di atas jalan dakwah ini, apabila kebenaran yang menjadi halutuju pergerakan dan disertakan dengan kesungguhan yang mendalam, maka, isu rintangan dan halangan ini menyusul dan ia amat penting untuk diperbincangkan dan agar menjadi kayu ukur dan perhatian kita semua.


RINTANGAN DAN HALANGAN DI DALAM JALAN DAKWAH

1) Apabila Manusia Meninggalkan Dakwah

Manusia akan mula berpaling dari mereka yang berdakwah. Jika ada dikalangan kita yang berdakwah ini, berasa sedih dan meninggalkan medan dakwahnya kerana dibenci atau tidak mendapat tempat, usahlah diharapkan lagi mereka kerana nescaya mereka tidak akan meneruskan usaha tersebut. Maka fahamilah bersama bahawa ia adalah amat penting bagi kita sebagai pendakwah untuk mempersiapkan diri untuk menghadapi kesukaran yang pastinya tidak dapat dibayangkan. Kini, kita masih lagi diliputi dan dihujani pujian dari masyarakat. Mereka juga masih menerima kita dalam keadaan yang baik, percaya dan masih mengharap. Namun malangnya bagi kita, usaha kita masih ditahap yang kurang memberangsangkan. Perasaan malu dan merendah diri dalam melaksanakan tugasan agama ini meletakkan kita menjadi amat-amat kurang berkesan. Mungkin kerana kita sentiasa meletakkan diri kita dalam keadaan yang selesa dan senang yang akhirnya menjadikan kita amat lembap dan bermasalan.

Bagaimana mereka, para pendakwah terdahulu, melepasi zaman itu? Bersabar dan istiqamahlah. Jadikanlah Rasulullah s.a.w. sebagai contoh terbaik dalam usaha dakwah ini. Tiada yang mustahil dalam kerja dakwah ini. Bahkan, Al-Kitab juga menjadi saksi perjuangan dakwah para Rasul yang tidak pernah kenal erti putus asa dan mengalah. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud;

“Nuh berkata, 'Ya Tuhanku sesungguhnya aku telah menyeru kaumku malam dan siang maka seruanku itu hanyalah menambah meraka lari (dari kebenaran). Dan sesungguhnya setiap kali aku menyeru mereka (kepada iman) agar Engkau mengampuni mereka, mereka memasukkan anak jari mereka ke dalam telinganya dan menutupkan bajunya (ke mukanya) dan mereka tetap (mengingkari) dan menyombongkan diri dengan sombongnya. Kemudian sesungguhnya aku telah menyeru mereka kepada iman dengan terang-terangan kemudian sesungguhnya aku (menyeru) mereka (lagi) dengan terang-terangan dan dengan cara rahsia". (Nuh: 5 – 9)

Tugas kita hanyalah menyampaikan dakwah ini tetapi bukan membincangkan berapa ramai yang berhasil kita dakwahkan. Firman Allah lagi;

"Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi hidayah kepada seorang yang kamu kashi, tetqapi Allah memberi hidayah kepada orang yang dikehendakiNya". (Al-Qasas: 56)

Inilah tugas kita dan hidayahnya datang dari Allah s.w.t. Sebagaimana yang kita bincangkan dalam siri usrah terdahulu, kerja dakwah ini adalah suatu kerja yang panjang dan ia tidak harus dianggapi sebagai sesuatu yang mudah dicapai. Ia ibarat tanaman yang memerlukan siraman dan baja yang berterusan. Ia akan subur dan baik sekiranya dijaga dan dipelihara dengan baik.

2) Apabila Dipersenda Dan Di Ejek

Sekali lagi Rasulullah s.a.w. adalah contoh terbaik di dalam rintangan ini. Lihat dan kenangi sahaja bagaimana Rasulullah s.a.w. dihina, disimbah air, najis serta herdikan yang tidak upaya kita menerimanya. Namun baginda tetap tenang. Malah Nabi Muhammad s.a.w. berkata, "Hai Tuhanku berikanlah kepada mereka kerana sesungguhnya mereka itu tidak mengetahui". Firman Allah s.w.t. yang bermaksud;

"Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru manusia kepada Allah dan beramal soleh dan berkata, ‘Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri’. Tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Dan tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang di antaramu dan dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia. Sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang sabar dan tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang mempunyai keberuntungan yang besar". (Fusillat: 33-35)

Maka, janganlah dipersendakan mereka yang melakukan kerja-kerja dakwah dan usahlah bergundah-gulana, kerana itulah punca bermuram durja dan tidak mahu meneruskan usaha. Ingatkanlah semula kata-kata Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna, "Jadilah kamu dengan manusia seperti pokok buah-buahan yang mereka lempari dengan batu tetapi pokok itu sebaliknya melempari manusia dengan buah-buahnya".

3) Penyiksaan

Penyiksaan ini kebiasaannya datang daripada pemerintah, kaum atau masyarakat yang berada disekitar pendakwah. Jika dikenang pada zaman Nabi Muhammad s.a.w, ia datang dari kaum jahiliyyah dan pengalaman teman-teman terdahulu adalah daripada sistem pemerintahan yang menyekat kebebasan mereka dan mereka ini dianggap sebagai ancaman. Namun, mereka yang terdahulu memiliki segala yang besar. Jiwa mereka, kehendak mereka terhadap agama, bahkan kata-kata yang mampu menjatuhkan serta memberikan kesan kepada mereka. Oleh yang demikian, mereka terpaksa bertindak menggunakan cara si penakut. Menggunakan cara pemerintahan zalim dan berkuku besi, menangkap, memukul dan sebagainya. Namun rupa-rupanyanya, perlakulah apapun, tekanlah mereka sehingga ke tahap manapun, mereka masih gagal menyekat mereka. Firman Allah s.w.t;

"Mereka mahu memadamkan nur Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, dan Allah enggan kecuali menyempurnakan cahayanya walaupun dibenci oleh orang-orang kafir". ( At-Taubah: 32)

Keadaan ini pasti dilalui oleh sesiapa sahaja yang berada di dalam jalan dakwah ini. Firman Allah s.w.t. lagi;

"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dam kesengsaraan, serta digoncangkan (bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah bahawa sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat". (Al-Baqarah: 214 )

Persoalannya, adakah kita sudah merasainya? Adakah kita telah sampai ke tahap dicemuh dan dicaci? Atau diberikan ugutan-ugutan bunuh? Kita masih selamat dan diberikan ruangan yang sebaiknya untuk berdakwah. Malangnya, kita telah mensia-siakannya. Bahkan, apa yang menjadi kekhuatiran kita, segala kesenangan kita ini adalah disebabkan kita takut untuk menyatakan kebenaran dan hanya mengharapkan kata baik dari orang lain dan tidak berkata yang benar. Kita berada di dalam bahaya jika itu benar. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud;

"Dan jika kamu berpaling nescaya Dia akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain dan mereka tidak akan seperti kamu (ini)." (Muhammad: 38)

"Barangsiapa yang berjihad maka sesungguhnya jihadnya itu adalah untuk dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu dari semesta alam)." (Al-Ankabut: 6)

Sesungguhnya, perintah berdakwah dan berjihad adalah untuk diri kita sendiri. Maka, tabahkan hati dan bulatkan tekad untuk terus berjalan di atas jalan ini. Apabila yang mula memusuhi, semaklah diri sama ada kita berada atas jalan-Nya atau menyimpang dan menimbulkan kesesatan yang nyata. Jika ternyata benar, tabahlah, jika ternyata tersalah, bertaubatlah. Ini semua semata-mata nilai syurga sebagai ganjaran hidup kita, redha Allah s.w.t. dan bukan redha manusia. Mereka tidak mampu berbuat apa-apa jika tidak kerana izin dari-Nya. Firman Allah s.w.t.

"Dan sesungguhnya telah didustakan Rasul-rasul sebelum kamu akan tetapi mereka sabar terhadap pendustaan dan penganiayaan terhadap mereka, sampai datang pertolomgan kami kepada mereka. Tidak ada seorang pun yang dapat merubah kalimah-kalimah (janji) Allah". (Al-An 'aam: 34)

KELAPANGAN DAN KESENANGAN SELEPAS KESUSAHAN

Berkat kesabaran dan kesungguhan dalam menghadapi pelbagai rintangan dalam jalan dakwah ini akhirnya membuahkan hasil usaha yang membanggakan dan memberangsangkan. Laluan berliku yang direntasi ustaz dan ustazah, generasi yang terdahulu, diteruskan generasi baru menggantikan mereka dengan mewarisi pelbagai kemudahan dan kelapangan tersedia hasil dari penat lelah pejuang terdahulu itu, dan mungkin kesabaran dan kesungguhan dalam dakwah itu sendiri. Namun, ini peringkat yang paling berbahaya kerana padanya juga ada rintangan yang besar. Rasa senang dan ringan itu menjadikan para pendakwah khususnya kita kini, terpengaruh dan merasakan apa yang kita lakukan sentiasa benar dan tiada yang salah. Akhirnya kita akan sentiasa membenarkan setiap tindakan dengan apa cara sekalipun dan memilih untuk melakukan yang ringan berbanding yang perlu. Ingatlah apabila datang kesenangan dan kelapangan hanyalah untuk memperbaharui tekad dan azam serta merencana pergerakan lebih baik dan terancang. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-A’raaf bermaksud;

"Dan tanah yang baik, tanam-tanamannya tumbuh subur dengan izin Allah". ( Al-A'raaf: 58)