Tuesday, December 27, 2011

NIKMAT KELAPANGAN ITU DATANGNYA DARI ALLAH S.W.T.


Alhamdulillah, marilah kita panjatkan kesyukuran kepada Allah s.w.t. dengan sesungguh-sungguhnya kerana Dia telah memberikan nikmat yang tidak terkira banyaknya. Sudah lama saya tidak menulis kerana kekangan tugas, kerja, amanah yang datang menyebabkan masa seolah-olah tidak mencukupi. Bahkan masa tidur juga terganggu dan ingin dimanfaatkan untuk diselesaikan tugas-tugas ini.

Saya banyak menilai dan melihat serta berfikir tentang apa sahaja yang telah Allah s.w.t. tontonkan dalam perjalanan kehidupan yang amat panjang serta amat memedihkan. Melihat suasana hingar-bingar ummat dengan keruntuhan akhlak, kerosakan pemikiran serta kekecohan siasah yang semakin hari semakin menyesakkan dan membimbangkan. Semalam, saya membuka lembaran ‘sms’ 1400 tahun dahulu, dari Allah s.w.t. kepada kita ummat manusia melalui perantaraan Jibrail dan Nabi Muhammad s.a.w.. Bacaan yang cuba mencari makna dalam kehidupan, yang dirasakan semakin mencabar. Firman Allah s.w.t. di dalam surah An-Nahl ayat 53 hingga ke 55 yang bermaksud;

(53) Dan apa-apa nikmat yang ada pada kamu maka adalah ia dari Allah; kemudian, apabila kamu ditimpa kesusahan maka kepada Nyalah kamu meraung meminta pertolongan.

(54) Kemudian, apabila Ia menghapuskan kesusahan itu daripada kamu, tiba-tiba sepuak di antara kamu mempersekutukan (sesuatu yang lain) dengan Tuhan mereka.

(55) (Mereka melakukan yang demikian) kerana mereka kufur, tidak bersyukur akan nikmat-nikmat yang Kami berikan kepada mereka. Oleh itu, bersenang-senanglah kamu (dengan nikmat-nikmat itu bagi sementara di dunia), kemudian kamu akan mengetahui (balasan buruk yang akan menimpa kamu).

Demikianlah sahabatku, Allah s.w.t. memberikan peringatan pada setiap masa dan ketika, cuma kita yang cuba untuk menolak pesanan-pesanan ini. Dia telah menghapuskan kesusahan yang ditimpa oleh kita, tetapi kita tidak bersyukur bahkan menduakan Allah s.w.t. apabila percaya bahawa ada sebab lain yang menyebabkan kesusahan itu dipermudahkan. Ini petanda kita ini bukan orang yang bersyukur. Persoalannya adakah kita ummat yang sentiasa mengingati Allah s.w.t. di kala kita senang?

Apabila kita bersama fikirkan dan kenangkan, sudah berapa banyak kemudahan yang Allah s.w.t. berikan kepada kita dan berapa banyak ucapan syukur yang keluar dari mulut kita? Nikmat itu bukan sesuatu yang memudahkan dan menyenangkan sahaja, bahkan bagi seorang Mukmin, setiap kesusahan itu juga nikmat yang tidak terhingga kerana bagi mereka, apabila kesusahan menimpa maka itu akan menambah ingatan mereka kepada Allah s.w.t. dan mereka yakini bahawa Allah s.w.t. sedang melihat dan menghampiri mereka.

Saya mengharap segala kesusahan ini akan terlerai bukan maknanya dalam kehidupan kerana bagi Mukmin, itu sudah pasti satu dongengan untuk hidup tanpa ujian. Tetapi lerainya adalah di dalam hati sanubari, yang diberikan nikmat senang dan lapang dalam mendepani kehidupan yang sangat mencabar ini. Terima kasih kepada teman, yang datang entah dari mana tiba-tiba mengingatkan, “La tahzan abang’, ringkas dan penuh makna. Saya sedar pada ketika itu Allah s.w.t. sedang memberikan peringatan dan penyegaran dalam fikir hati insan bahawa Dia sedang melihat kamu. Ingatilah segala nikmat yang telah Dia berikan dan bersyukurlah.




KAMZ, Kuala Selangor
27 Disember 2011



Muat turun tazkirah ini.

Friday, November 11, 2011

ARAH TUJU MAHASISWA S.M.A.R.T


Alhamdulillah, masih berada di bumi Allah ini. saya amat mengharap semua usaha yang dijalankan hanyalah untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. Pada 2 November lalu, saya sempat berkunjung ke UPSI untuk bertemu dengan Rakan Studi Islam dalam satu slot ceramah motivasi anjuran mereka.

Peluang untuk berhadapan dengan pelajar-pelajar yang juga dikenali sebagai mahasiswa dan mahasiswi ini begitu dinantikan. Berkongsi semangat dan cita-cita besar untuk melihat bangsa dan agama ini dibina seiring dan melahirkan generasi yang mampan dalam mendepani masa depan yang semakin pantas dan sukar.

Apa tidaknya, saya berpeluang untuk memberikan latihan kepada mereka, tetapi setiap kali berjalan, penyertaannya sedikit mendukacitakan. Namun, dalam kamus hidup kita sebagai Muslim, tidak sepatutnya wujud perasaan sudah cukup atau putus asa. Ia perlu juga diteruskan supaya kerja-kerja dakwah ini berterusan.

Mungkin yang melakukannya terkorban, tetapi itu lebih mulia berbanding kita korbankan masa depan generasi pewaris kita itu sendiri. Peluang ini seoalah-olah membuka lembaran lebih luas buat saya dan kawan-kawan untuk menyatakan pandangan tentang bagaimana mahasiswa dan mahasiswi hari ini dirosakkan matlamat hidup besar mereka dan hanya mengejat sebahagian kecil dunia sahaja.

Hari ini, manusia berebut-rebut mengejar dan menghabiskan usia mereka untuk mendapatkan gaji yang termahal serta gaya hidup yang terhebat tanpa pernah terdetik dan terfikir di dalam fikiran mereka, bagaimana Rasulullah s.a.w. telah mengorbankan dirinya untuk pembinaan generasi selepas Baginda.

Para sahabat menjadi contoh dan bercahaya seperti bintang-bintang di langit yang memberikan petunjuk kepada musafir di dalam perjalanan mereka sepanjang kegelapan malam. Para ilmuwan yang lahir dari generasi mahasiswa dan mahasiswi yang hanya mementingkan sijil dan meletakkan kejayaan mereka kepada bilangan markah mereka, akhirnya terpedaya dan terlupa hasrat besar serta amanah tanggungan yang akan dipersoalkan Allah s.w.t. kepada mereka.

Ilmu datang bersama peranan dan dakwah. Umur diberi untuk menambah kebaikan. Pangkat diserah untuk dilaksana dengan amanah. Harta bertambah untuk meningkatkan rasa syukur dan menyerah pada Allah s.w.t. Apa yang boleh dilihat, pemuda-pemudi yang menjadi harapan bangsa ini semakin sibuk dengan dunia mereka. Dunia kemewahan dan keselesaan dalam pada pejuang agama serta para pendakwah dipijak dan dihina baik mereka yang telah meninggalkan kita atau yang sedang disesksa dan dihina.

Peluang saya bersama pelajar UPSI cuba dimanfaatkan. Biasalah bila kita dalam majlis ilmu, tidaklah ramai, seperti yang selalu saya sebutkan, pada hari ini, benda baik belum tentu menjadi pilihan ramai, tetapi yang tidak baik sering dirindu mereka. Jangan melihat kepada siapa yang berkata, tetapi lihatlah kepada apa yang dikatakan. Masa kita suntuk untuk berbicara tentang orang lain, maka eloklah kita berbicara tentang diri kita. Ke syurga kah atau ke neraka?

"Ya Allah, ujian-Mu bertambah, tidak berkurang, kasih sayang-Mu bertambah, tidak berkurang, nikmat-Mu bertambah tidak berkurang, namun pada ku sabar itu semakin kurang, cinta kepada-Mu semakin jauh dan syukur ku tidak terhias pada amal. Ya Allah, ampunkanlah aku, tingkatkanlah sabarku, suburkanlah cinta ku pada Mu dan lebarkanlah rasa syukur ku kepada Mu."

Saturday, November 5, 2011

REMAJA OH REMAJA!


Bulan Oktober dan November 2011 ini benar-benar membawa pemikiran saya ke arah satu bentuk yang memberikan lebih banyak rasional dan kematangan dalam menempuh kehidupan yang semakin mencabar. Bulan Oktober dan November, saya banyak memenuhi undangan untuk ceramah yang memberikan fokus mengenai alam remaja.

Bercerita tentang dunia remaja menjadikan saya lebih risau dan perlu dilakukan lebih banyak perkara kerana keadaan yang sangat-sangat mencabar pada hari ini. Kehidupan remaja sudah semakin terdedah dengan pelbagai perkara negatif yang membawa mereka jauh meninggalkan jatidiri hidup sebagai seorang Muslim.

Jauh dari perintah agama, jauh dari kehidupan seorang Muslim, remaja hari ini lebih gemar untuk mengikut trend semasa dan memilih untuk memenuhi permintaan nafsu berbanding akal mereka. Ini yang membawa remaja ke arah perkara yang menyeronokkan semata-mata. Membesarkan nafsu berbanding akal yang akhirnya, nafsu mereka yang mengawal nafsu.

Siapakah yang bersalah di dalam hal ini? Jika merujuk kepada pengalaman dan pemerhatian saya sendiri, anak-anak bergantung kepada ibu bapa mereka dan ibu bapalah yang mencorakkan mereka. Oleh yang demikian, kebanyakannya akan kembali kepada ibu dan bapa mereka. Semoga usaha yang saya lakukan ini dapat membantu memperbaiki keadaan kehidupan masyarakat kita ini.

"Ya Allah, kekalkanlah aku di atas jalan -Mu ini, usahlah kau datangkan perasaan selesa dan ingin meninggalkannya, kerana dengan kepenatan ini, moga dapat aku rasai cinta -Mu kepada insan kerdil ini."

Monday, October 17, 2011

MELATIH HINGGA LETIH


Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana sentiasa diberikan ruang berbakti dan menyampaikan perkara baik kepada ramai orang. Beberapa hari sebelum hari ini, saya sempat bermuzakarah panjang dengan JO, kenalan seangkatan, sepejabat, setempat belajar dan secita-cita untuk kembali bersatu demi agama Islam yang tercinta.

Peringatan demi peringatan diberikan. Saya terkesima. Mana taknya, banyak benar perkara yang saya terlepas pandang dalam menelusuri jalan dakwah dan berusaha menjadi seorang da'i. Saya terlupa kepada pembinaan ukhuwah dan nilai ta'aruf dalam memulakan usaha dakwah. saya terlupa nilai infak, yang mana dibuntukan oleh pemberian kewangan dan bantuan dalam usaha-usaha dakwah yang akhirnya membantut dan melumpuhkan sistem utama yakni penyerahan diri dalam bentuk masa, idea dan material untuk Islam.

Saya diingatkan tentang keutuhan persahabatan dan ukhuwah para sahabat Ar-Rasul yang sekukuh gunung-ganang yang menjadi pasak bumi. Saya diingatkan tentang kelekaan bantuan kewangan seperti yang diperbincangkan di dalam usrah mengenai penyelewengan kerja dakwah yang akhirnya, gerakan itu menjadi lembu yang ditarik hidungnya.



Namun, berlinang airmata saya apabila membincangkan tentang perkembangan, kelemahan serta kepincangan yang berlaku di dalam jamaah. Mana tidaknya, saya pada beberapa kesempatan yang Allah berikan 2, 3 minggu lepas, pertamanya berkesempatan untuk memberikan ceramah atau bengkel pengurusan strategik jamaah. Di sana, baru saya sedar bahawa ahli jamaah ini telah sedikit tersasar dari landasan kerja dakwah yang sebenar. Tidak memahami erti dakwah yang sebenar dan ingin bergelar pendakwah tetapi pada masa yang sama segan-segan untuk menyatakan yang hak dan benar.


Kemudian, Allah s.w.t. pilih saya bersama BOB dan AZALI ke Kem Kepimpinan dan Kepengurusan Dakwah bersama bekas pelajar dan ahli BBNK di CFS IIUM. Terbaik. Sekali lagi, saya diberikan pencerahan dalam fikiran bahawa, anasir-anasir soleh yang sepatutnya diuruskan oleh jamaah gagal dikumpulkan dan gagal digerakkan. Apabila berpeluang pula berborak dengan Fazril ketika bersama mereka, menjadikan saya tertanya-tanya pula, apa lagi yang perlu saya lakukan selepas ini,? Ya Allah, hanya kepada Engkaulah, saya sepatutnya mengharap dan meminta pertolongan.



Terakhir, saya dipilih Allah s.w.t. bersama dengan latihan fasilitator bersama adik-adik jamaah. Kehadiran menyedihkan, namun jauh di dalam hati saya menyatakan, inilah kebenarannya, jamaah ini kuat dari segi sejarahnya, tetapi hari ini lemah dari segi kaderisasi serta perkembangan dakwahnya. Mereka perlu dibangunkan semula dan saya sendiri perlu bangkit memperbaiki diri sendiri pula.

Baru semalam, saya habiskan program 2 hari bersama pelajar tingkatan 5, asnaf zakat daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam. Sedih bila dengar JO kata yang lebih kurang maksudnya, "Adik-adik dah makin berjaya, berkembang sayapnya, bahkan mungkin lebih berjaya dari abang-abang (kami) yang pernah programkan adik-adik ni, tapi abang-abang ni, adik-adik masih boleh jumpa dalam tugas yang sama seperti mana mereka jumpa 5 atau 6 tahun dulu."

Bergenang airmata saya bila dengar kata-kata bisa dari mulut sahabat ni. Saya juga sedar, betullah kata dia, kami masih lagi membuat program untuk pelajar-pelajar sekolah manakala adik-adik yang kami programkan dulu, latih jadi fasi hari ini dah menghampiri kejayaan dalam hidup mereka.

Tetapi bila melihat keadaan adik-adik di dalam jamaah ini, kegusaran, risau itu datang menyerang dan menjadikan saya tidak dapat tidur malam. Adakah benar ini perasaan yang perlu ada atau sekadar hasutan dan gangguan yang datang bermusim? Ya Allah, tunjukkanlah daku jalan yang benar. Dari situah datangnya istilah, melatih hingga letih, kerana dari keletihan itu saya mengharapkan akan ada kepuasan, bukan kepuasan dunia tetapi di akhirat kelak. Melatih bukan ertinya kami berada di atas tetapi kami sentiasa akan berusaha untuk berada bersama membangun dan menjadi generasi yang dinantikan.

Mudah-mudahan, Allah campakkan ketabahan, istiqamah dan keikhlasan di dalam jiwa insan kerdil yang dikenali sebagai saya ini.

Sunday, October 2, 2011

MEMBINA RUMAH TANGGA MUSLIM


Marilah bersama kita panjatkan kesyukuran kepada Allah s.w.t. kerana setelah lama kita berusrah dan melalui proses tarbiah Ramadhan sehingga menyambut Syawal ini, Allah s.w.t. memanjangkan usia kita untuk terus berada di dalam usaha dakwah dan tarbiah. Dakwah kepada orang lain dan tarbiah diri kita sendiri. Maka, kewajipan kita untuk terus menerus memperbaiki diri kita usahlah kita hentikan, mari kita teruskan. Sebagaimana yang kita ketahui, memperbaiki diri serta menyeru orang lain adalah kewajipan manusia di dalam jalan dakwah ini.

Selain keduanya, terdapat keperluan ketiga yang perlu difikirkan bersama iaitu pembinaan keluarga Muslim. Mengapa ia sangat perlu dan menjadi pilihan yang ketiga? Individu Muslim perlu menjadi contoh kepada orang lain di persekitarannya begitu juga dengan keluarganya, manakala keluarga Muslim ini pula penting yang akan menjadi tiang asas dalam membina masyarakat yang dikatakan sebagai masyarakat Muslim.


Rumah tangga merupakan tempat melatih kader serta generasi baru dalam dunia dan kewajipan berdakwah ini. Ia akan mencorakkan serta membentuk peribadi anak-anak itu sendiri sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;


"Tiap anak itu dilahirkan di atas fitrahnya kejadian yang suci dan ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau menjadikannya Kristian ataupun menjadikannya Majusi"


Pemilihan


Kita hari ini masih di dalam usaha untuk memperbaiki diri kita dan di dalam usaha ini, sebagai seorang Muslim yang berjuang menegakkan agama di dalam diri, adalah wajib untuk kita berusaha mencari isteri yang solehah manakala wajar pula bagi mereka (wanita) itu untuk mencari suami yang soleh. Pemilihan tersebut mestilah atas dasar ketakwaan kepada Allah s.w.t.. Wanita itu mestilah beragama serta memahami tanggungjawabnya di dalam perjuangan dakwah ini bersama-sama suaminya. Dia itu mestilah menjadi pelengkap dalam hidup si suami, mendampingi dan membantu di kala tekanan menyerang serta sentiasa menjadi pendamai jiwa di kala suami di dalam keadaan gundah gulana.


Semestinya, si isteri juga adalah penasihat serta teman setia di dalam keluarga. Dia juga harus memahami peranan suami di dalam usaha dakwahnya dan mampu mendidik dan membesarkan anak-anaknya walaupun ketiadaan suaminya. Ini telah dicontohkan oleh isteri seorang mujahid yang telah meninggalkan isterinya itu selama 30 tahun kerana tuntutan jihad yang telah membawanya ke Asia Tengah. Apabila suaminya pulang, suaminya amat bersyukur bahawa anak yang ditinggalkannya itu sudah menjadi ‘alim yang terkenal di Madinah iaitu Rabi’ah al-Ra’yi atau al-Rabi’ah bin Farukh.


Tambahan lagi, sebagai seorang pendakwah, haruslah kita melengkapkan diri kita dengan ilmu serta keyakinan yang mantap dalam soal akidah serta kehidupan seorang Muslim agar menjadi perhatian dan pilihan para isteri yang solehah untuk dijadikan suami mereka. Bermula dari sinilah kita akan dapat membina sebuah keluarga Islam yang mantap dan bersesuaian dengan perintah Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;


"Wanita itu dinikahi kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana keturunannya dan pangkatnya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu mengambil wanita yang beragama supaya kamu berbahagia"



Beriltizam Dengan Batas-batas Islam


Adalah menjadi keutamaan, setiap adab dan tingkah laku yang diterima syariat adalah sesuatu yang seharusnya ditekankan di dalam perhubungan di dalam pembangunan sebuah keluarga Muslim. Sebagaimana di dalam adat Melayu yang kita lalui dalam proses perkahwinan hari ini, maka ia dimulakan dari adat merisik, bertunang sehinggalah berlangsungnya perkahwinan, hantaran, wang hantaran, juga pilihan tempat dan persandingan yang direncanakan. Segalanya biarlah berpadanan dengan syariat dan memenuhi kehendak agama tetapi bukan atas dasar kemegahan dan sikap menunjuk-menunjuk dan berbesar hati kerana kemeriahan dan kemasyhurannya. Biarlah ia diredai dan berjalan dalam keadaan sesederhana.


Kebahagiaan Rumah Tangga Yang Dicita-citakan


Apabila pemilihan pasangan itu telah berlangsung berdasarkan syariah Islam, maka sempurnalah usaha pemilihan dan berserah dirilah kepada Allah s.w.t. Maka, masuklah kepada fasa pembangunan keluarga yang ke arah kesejahteraan, ketenteraman serta kebahagiaan yang dicari sebagai seorang Muslim. Kebahagiaan itu bukanlah hasil dari luar diri. Bukan dari kekayaan, harta benda, rumah, kereta atau sebagainya. Bahkan ia harus lahir dari dalam diri kita iaitu dari sifat ketakwaan kita kepada Allah s.w.t.


Yakinilah bahawa Allahlah yang mendatangkan kebahagiaan serta yang memberikan kegembiraan kepada kita. Sebagaimana firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran surah Ar-Rum ayat 21;


Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (Ar-Rum 30: 21)


Kebahagiaan bukan bergantung kepada banyaknya harta, tetapi ketinggian takwa kita kepada Allah s.w.t.


Perkahwinan Itu Ibadat


Pasti dan kita semua telah maklumi bahawa, antara tugas kita di dunia adalah beribadah kepada Allah s.w.t.. Maka kita sepatutnya menjadikan setiap saat dan masa hidup kita ini adalah kembali beribadah kepada Allah s.w.t.. Ini bermakna, termasuklah perkahwinan kita itu sendiri. Perkahwinan seharusnya menghampirkan kita kepada Allah s.w.t. Oleh yang demikian, untuk menjadikan perkahwinan itu sebagai ibadah, maka ia perlu diuruskan berdasarkan hukum syariat yang telah ditentukan agama.


Berkasih sayang, tolong-menolong dalam perkara kebaikan serta melakukan perintah Allah s.w.t. bersama-sama sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.;


"Semoga Allah memberi rahmat kurnia kepada lelaki yang bangun di tengah malam lalu dia sembahyang dan membangunkan isterinya, maka sekiranya enggan juga bangun untuk bersembahyang, dia merenjiskan air ke mukanya. Semoga Allah memberi rahmat kurnia kepada wanita yang bangun di tengah malam itu lalu bersembahyang dan membangunkan suaminya. Maka jika dia enggan, dia merenjiskan air ke mukanya" (Riwayat Abu Daud)


Perkahwinan Itu Saling Percaya Mempercayai


Sebarang usaha untuk mengekalkan kebahagiaan dan kesejahteraan hidup berumah tangga, maka perlu juga bagi pasangan suami dan isteri untuk saling percaya mempercayai antara satu sama lain. Usahlah kita datangkan sebarang pra-sangka atau syak yang bukan-bukan. Meyakini dan menghormati hak suami atau isteri di dalam waktu terang atau rahsia, waktu tersembunyi dan terlihat adalah menjadi keutamaan di dalam menjaga keharmonian keluarga.


Ingatlah bahawa syaitan dan iblis itu akan sentiasa mencari jalan untuk memisahkan dan menjarakkan hubungan antara suami dan isteri. Mereka akan mendatang syak serta pemikiran buruk terhadap perilaku suami atau isteri. Oleh yang demikian, berlaku adillah serta jujur dengan pasangan kita itu.


Perkahwinan Sebagai Organisasi Yang Dipimpin Oleh Suami


Keluarga yang diidamkan adalah keluarga yang dibina atas dasar ketakwaan dan kerendahan hati. Atas dasar tolong-menolong dan saling melengkapi serta dipenuhi dengan cara hidup yang diinginkan oleh agama. Keluarga itu dipimpin oleh suami atau ayah yang mengutamakan agama di dalam kehidupannya juga keluarganya. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Baqarah ayat 228;


Maksudnya: “Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid). Dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak yang dijadikan oleh Allah dalam kandungan rahim mereka, jika betul mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa idah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai. Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Al-Baqarah 2: 228)


Firman Allah s.w.t. di dalam surah An-Nisa’ ayat 34;


Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolongan-Nya. Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.” (An-Nisa’ 4: 34)


Apabila kepimpinan ini benar dan meyakini sesuatu yang benar, maka keluarga yang dipimpin suami itu pasti akan melalui proses kebahagiaannya. Sebagaimana yang telah ditonjolkan oleh Rasulullah s.a.w. sendiri walau menghadapi kehidupan yang penuh dengan cabaran dan dugaan, tetapi rahsia kasih sayang Allah s.w.t. itu terbukti dan tidak ada keluarga yang lebih berbahagia jika dibandingkan dengan keluarga Rasulullah s.a.w.


Perkahwinan Adalah Amanah Dan Tanggungjawab


Suami dan isteri wajib mengetahui dan memahami bahawa perkahwinan itu adalah satu bebanan amanah serta tanggungjawab. Firman Allah s.w.t. di dalam surah At-Tahrim ayat 6;


Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (At-Tahrim 66: 6)


Sabda Rasulullah s.a.w.;


"Orang yang paling baik di kalangan kamu adalah yang paling baik kepada ahlinya dan akulah yang paling baik di kalangan kamu terhadap ahlinya"


Rumah Tangga Muslim Adalah Satu Risalah


Sebagaimana kita mahu kesempurnaan dan kebenaran perlaksanaan Islam di dalam masyarakat persekitaran kita, begitu jugalah dengan kepentingan untuk menegakkan Islam di dalam keluarga kita. Kita pasti ingin melihat setiap individu di dalam keluarga kita memperlihatkan kehidupan Islam mereka. Baik dari segi hiburannya, tutur kata yang dilontarkan kepada ahli keluarganya, usaha dan peranan ibu dan bapa dalam membesarkan anak-anak mereka, dan perkara ini sebenarnya telah pun diselewengkan oleh musuh-musuh Islam.


Bukan itu setakat itu sahaja, penyelewengan itu hampir berlaku di segenap ruang hidup kita yang akhirnya menjauhkan ahli keluarga kita dari cara hidup Islam yang diidamkan. Oleh itu, kita sentiasa mengharapkan agar setiap peribadi ahli keluarga kita beramal dengan Islam sehinggakan ia juga terserlah melalui pergaulan dengan jiran tetangga, orang gaji mahupun dengan apa sahaja amanah dan tugasan yang dipikulkan kepada mereka. Bahaya ini harus ditangani dari awal supaya budaya keluarga kita itu dapat dibentuk dari awal.


Hasilnya, kita dan juga ahli keluarga kita, pasti akan dapat memenuhi dan menjaga amanah keluarga, rakan juga hak-hak saudara mereka pada setiap masa dan di mana sahaja. Tidaklah kita gusar akan pergaulan anak-anak yang terlalu sosial, pendedahan yang dapat memberikan kesan buruk dalam hidup mereka seperti budaya hedonisme, ‘black metal’ dan sebagainya. Bahkan mereka, kita harapkan akan dapat menjadi contoh kepada sesiapa yang melihat mereka, dari sudut pergaulan, berpakaian serta penampilan peribadi mereka.


Rumah Tangga Muslim Sebagai Markas Memancarkan Cahaya


Letakkanlah seluruh tenaga, ilmu dan masa serta peluang membina keluarga ini untuk menjadikan keluarga kita sebagai pusat dakwah Islam. Menjadikan ahli keluarga sebagai pendakwah dan menyebarkan dakwah kepada mereka yang hampir kepada kita baik jiran mahupun rakan. Oleh itu, kita juga perlu dan pada hari ini, kita masih amat memerlukan isteri-isteri yang juga menyeru ke arah risalah Allah s.w.t. kerana hari ini, wanita-wanita Islam kita telah dibonekan oleh musuh-musuh Islam. Tidak ramai di kalangan cendekiawan Islam ini, khususnya wanita yang dapat dijadikan pemangkin dan contoh di dalam pembangunan keluarga Islam.


Berpunca dari sinilah, kita akan dapat menjadikan rumah kita sebagai contoh dan panduan buat mereka yang memerlukan bantuan atau tersesat. Jika banyaknya rumah-rumah sebegini, pasti penduduk setempat merasai perubahan dalam amalan hidup mereka. Maka saudara, bangunkanlah keluarga yang Islam secara keseluruhannya demi masa depan kehidupan kita yang gemilang di akhirat.


Muat turun artikel ini di sini.


Sunday, September 25, 2011

PESANAN DARI KAWAN, RAKAN DAN TEMAN


Segala puji bagi Allah yang telah menggerakkan kita semua memenuhi tuntutan masing-masing dan panjatkan kesyukuran kerana ketika ini kita masih diberikan Allah s.w.t. untuk menghirup udara segar dan bernafas. Selawat dan salam ke atas Ar-Rasul s.a.w. yang telah diutus Allah s.w.t. untuk menyampaikan berita gembira dan peringatan kepada kita semua.

Saya pada malam ini sebenarnya memasang niat dan berfikir-fikir tentang apakah kesempatan yang Allah s.w.t. nak sediakan untuk hari esok. Mudah-mudahan yang terbaiklah. Hasrat hati mahu menulis seberapa banyak perkara yang ada dibenak fikir manusia lemah ini, tetapi kemahiran saya sangat terhad. Masih mencuba-cuba untuk menulis dan ini sebenarnya sebahagian dari latih tubi yang saya rasa kena buat.

Saya sangat terkesan dengan kata-kata seorang DJ di radio apabila dia menyatakan apalah agaknya perasaan Nabi s.a.w. apabila doa yang Baginda ajarkan dan tinggalkan kepada kita tetapi tidak kita amalkan? Jika kita fikir sejenak, itu baru doa, rasanya setiap inci kehidupan kita ini Rasulullah s.a.w. telah tinggalkan banyak contoh yang sepatutnya kita ikuti.

Siangnya, saya telah menghadiri jemputan kenduri keluarga terdekat dan bertemu dengan teman-teman tempat belajar dulu, sapaannya menyebabkan saya terfikir juga, nak jawab bagaimana. "Wah, orang kuat ABIM ni, segan aku dengan dia ni," lebih kurang begitu lah rasanya ayat dia. Tapi, saya mula berfikir, kuat sangat ke saya dengan ABIM ini atau sebenarnya saya yang nampaknya memikul sesuatu yang besar di atas pundak yang kerdil ini?

Saya mula runsing. Apabila DJ tadi mengingatkan tentang tidak melakukan apa yang Rasulullah tinggalkan, persoalan terus timbul, cukup ke apa yang saya buat untuk menyamai atau paling tidak menghampiri apa yang Rasulullah s.a.w. buat? Sapaan teman tadi sebenarnya memberikan saya satu ruang untuk berfikir tentang dunia yang semakin hari semakin sukar dan mencabar. Apabila teman-teman menyebutkan begitu, terasa juga keseorangannya, namun mungkin inilah asam garamnya dan saya masih perlu banyak belajar dari apa yang ada di depan mata.

Sekadar renungan seblum melelapkan mata dan merencana apa yang akan datang pula esok InsyaAllah jika masih ada. Cuma tulah, rupanya Allah s.w.t. ini memang Maha Kaya, mendidik manusia dengan pelbagai cara bukan hanya dengan teguran, tetapi adakalanya ia datang hanya sekilas pandang melalui kata-kata atau tindakan ikhlas dari kawan, rakan, teman atau sahabat kita yang lain.

Kawan, ramai...
Tetapi di dalam berkawan kita perlukan rakan.


Rakan, juga ramai...
Tetapi dalam ramai-ramainya rakan,
sedikit sahaja yang sesuai untuk dijadikan teman.


Teman pula, ramai juga...
Cuma antara yang ramai, ada seorang atau dua sahaja
yang kita percaya untuk dijadikan sahabat.


Kawan silih berganti,
rakan datang dan pergi,
teman bila perlu akan ada disisi
tetapi sahabat, akan sentiasa dikenang
dan dirindu dalam hati.


Semoga kita berjaya menjadi sahabat sejati kepada kawan, teman dan rakan, yang akan sentiasa mengingatkan atau setidak-tidaknya akan menyebabkan mereka teringat kepada amanah Ilahi.

SYAWAL DAH NAK HABIS


Allahu Akbar! Syawal pun dah hampir nak pegi dah. saya terasa seperti mimpi, masa yang berjalan cepat sangat. Macam-macam yang berlaku dan mudah-mudahan dapatlah saya dan teman pembaca meneruskan dan istiqamah dalam amal semenjak dari Ramadhan lagi. Upaya kita sebagai manusia ialah untuk membuat kebaikan tetapi, janji syaitan tetap akan berusaha untuk menyesatkan kita semua.

Syawal 1432 ini banyak menguji dalam masa yang sama membuka ruang kematangan dalam hidup saya. Menjelang akhir tahun ini, umur Saya akan mencecah 30 tahun! Alhamdulillah lama hidup, tapu terasa sangat yang lebih banyak dosa dari pahala. Macam-macam isu yang berlaku sepanjang syawal ini. Dari isu daerah, negeri bahkan nasional. Namun, yang paling kita perlu perhati dan perhalusikan adalah isu aqidah umat Islam kita hari ini.

Semalam, saya berpeluang bersama ABIM Pusat, antara yang sempat saya rakamkan di dalam ingatan ini ialah tentang kejayaan umat Islam di Malaysia mendapat ranking ke sepuluh diantara negara Islam yang paling banyak berhibur. Hebat kan? Terkejut juga mendengar dengan usaha-usaha dakwah yang dilakukan oleh semua NGO Islam dan lainnya, hasilnya semakin mendebarkan dan mencemaskan. Kenapa ye?

Saya termenung, dan banyak berfikir sepanjang Ramadhan apabila berpengalaman melalui Ramadhan antara yang tersibuk yang saya rasa pernah lalui. Apalah nak jadi kepada diri saya secara peribadi, berniat untuk berjuang diagama Allah tetapi pada masa yang sama menjauhkan diri dari Allah. Dikala kita tahu apa yang kita lakukan itu akan menjarakkan kita dengan Allah, tetapi kita buat juga perkara yang kononnya akan mengembalikan iman di dalam jiwa. Nauzubillah.

Itulah hakikatnya dan saya dapat rasakan, keikhlasan perjuangan para pendokong agama ini sudah semakin pudar keikhlasan mereka (termasuk saya sendiri) apabila mengharapkan habuan dunia dan mengharapkan cerita baik dari orang. Allah, al-wahn dah meliputi iman manusia. Dunia telah menyerap ke dalam hati dan iman semakin lari dari jiwa lara manusia. Teringat saya kepada pesanan Sayidina Ali, letakkan dunia ditapak tanganmu, jika kamu memerlukannya kamu akan ambil di jika tidak, maka kamu akan membuangnya.

Bina keikhlasan kerana dari keikhlasan akan lahir kesungguhan akan terbit kesabaran. Tunjangnya iman dan kemahuan untuk berbakti kepada agama dan generasi akan datang. Jom, kita teruskan.

Tuesday, September 20, 2011

MEMBINA ROH DALAM USAHA MERUBAH DIRI


Sejarah telah pun membuktikan kesan roh dalam pembinaan diri manusia. Lihat saja apa yang telah berlaku kepada pemuka-pemuka Arab Quraisy yang sangat ego, ganas dan kasar, dengan datangnya Islam, mereka sujud ke bumi menyembah Allah s.w.t. walaupun sebelumnya mereka enggan langsung untuk tunduk walaupun untuk mengambil cemeti hak milik mereka sendiri. Transformasi hebat ini telah berjaya membina satu bangsa yang dulunya dikenali sebagai ‘belalang pada pasir’ kerana kehinaan dan kelemahannya kepada sebuah empayar pemerintahan yang menguasai dua pertiga dunia.

Inilah perubahan tanpa kesan sampingan (side-effect), bersepadu (integrated) dan menyeluruh (global). Ia telah melahirkan ramai pemimpin yang berwibawa yang menjalankan amanah dengan segala keupayaannya serta takutkan Allah s.w.t. Lihat saja contohnya Saiyidina Umar Al-Khattab, apabila ditanya kepadanya mengapa engkau kurang tidur pada malam hari. Jawab Saiyidina Umar, “Aku khuatir urusanku dengan Allah s.w.t. tidak selesai.” Kemudian ditanya pula mengapa kurang tidurmu pada siang hari? Beliau menjawab, “Aku khuatir urusanku dengan manusia tidak selesai”. Inilah dia transformasi yang telah Rasulullah s.a.w. bawakan kepada ummat manusia, berbakti kepada Allah s.w.t. dan berkhidmat kepada seluruh manusia.

Inilah perubahan yang bersepadu antara Allah s.w.t. dan makhluknya, antara ibadah dan kerja, antara ganjaran material dan pahala, antara dunia dan akhirat. Ia adalah sesuatu yang berlaku secara adil dan tidak ada cacat-celanya. Pokok pangkalnya adalah keyakinan dan kepercayaan manusia terhadap janji-janji Allah s.w.t. Manusia sejak dari asalnya telah mengakui bahawasanya Allah s.w.t. itu Tuhan yang Esa, kemudian diperingatkan pula dengan kedatangan Nabi s.a.w. Itu juga yang sering kita ungkapkan di dalam bacaan doa iftitah kita.

Pembinaan generasi Al-Quran yang unik dibawah bimbingan Rasulullah s.a.w. telah berjaya membina empayar di dunia dan mendapat keredhaan Allah s.w.t. di akhirat. Ia jelas menunjukkan, manusia tidak hanya dibina dengan kemajuan material sahaja bahkan mereka adalah generasi yang cemerlang selepas mereka kembali ke alam akhirat. Begitu juga Islam tidak mengajar manusia hanya untuk beribadah semata-mata, tetapi datang bersamanya tuntutan untuk berkhidmat demi negara dan masyarakat.

Perubahan diri adalah tuntutan untuk kita berusaha mencari keperkasaan dalam diri. Memperkasakan diri bererti mengembalikan manusia kepada sifat asalnya atau fitrah. Sebagaimana disebutkan di atas tadi, fitrah manusia ini akan kembali kepada apa yang telah Allah s.w.t sediakan untuknya. Apabila lahir ke dunia, manusia diberikan keupayaan untuk melakukan banyak perkara dengan nikmat pemberian dari Yang Maha Esa. Namun, malangnya, fitrah manusia ini memerlukan wahyu untuk menterjemahkan cara hidup yang sebenar. Ia memerlukan contoh dari As-Sunnah untuk menjadikan ianya berkesan.

Malangnya hari ini, manusia hanya menumpukan pembinaan dan pemerkesaan dari sudut material semata-mata yang nampak dek mata kepala mereka sahaja. Roh sifatnya maknawi. Ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar, tetapi dapat dirasa oleh mata hati. Itupun mata hati yang diberikan keizinan oleh Allah s.w.t. untuk melihatnya. Ramai yang berkata, mereka itu belum dapat hidayah. Hakikatnya, setiap hari manusia diberikan petunjuk, cuma tanda hidayah itu sampai adalah apabila mereka membuktikannya dengan perbuatan mengikuti petunjuk yang diberikan. Berapa ramai perokok yang mengetahui kesan buruk rokok, penzina yang tahu akan dosa berzina, peminum arak yang tahu tentang golongan yang mendapat kebencian Allah dengan araknya? Petunjuk itu sampai ke telinga mereka tetapi adakah mereka berubah?

Inilah kesannya apabila roh tidak dibina dengan bersungguh-sungguh. Maka, marilah bersama kita fikirkan bahawasanya untuk melakukan perubahan diri, ia bukanlah semata-mata membina material sahaja, tetapi yang lebih utama adalah membina roh kekuatan dalaman yang merupakan tunjang kepada kehidupan manusia di dunia dan apabila di akhirat kelak, kita akan ditanya tentang dunia kita. Setiap nafas yang dihirup, setiap kali mata kita berkelip, setiap kali tangan kita bergerak dan setiap kali kaki kita melangkah. Semuanya akan disoal. Roh adalah kehidupan bagi jasad, jika roh yang menghidupkan jasad itu lemah, maka pastinya kehidupan manusia itu lemah. Binalah roh kita dalam menjalankan usaha-usaha untuk merubah diri kita.

Muat turun artikel ini di sini.

Wednesday, September 14, 2011

PERBAIKI DIRI KITA DAN SERULAH


Panjatkanlah kesyukuran kepada Allah s.w.t. yang menjadikan kita ruang dan peluang untuk terus menghirup udara segar dan nyaman serta masih berpijak di bumi ini sebagai manusia yang bernyawa. Setiap hari pasti ada peringatan yang datang pada kita untuk diberikan amaran supaya sentiasa melakukan persiapan sebelum tiba masanya. Tajuk perbincangan kita pada hari ini yang memasuki tajuk ke 18 di dalam buku Jalan Dakwah karangan Ustaz Mustafa Masyhur iaitu ‘Perbaiki Diri Kita Dan Serulah’.

Memperbaiki diri dan menyeru kepada orang lain adalah merupakan satu-satunya jalan untuk mempersatukan para Muslimin yang hari ini sudah banyak cabang dan tujuan kehidupan mereka. Perbaiki diri untuk menjadi Muslim yang baik serta ajaklah mereka yang berada dipersekitaran kita untuk menjadi Muslim yang baik. Ajaklah mereka untuk meninggikan urusan mereka agar menduduki tempat yang wajar bagi seorang Muslim sebagaimana firman Allah s.w.t. di dalam surah Ali-Imran ayat 110;

Monday, September 5, 2011

PENYEKAT REZEKI


Rezeki adalah ketentuan dari Allah s.w.t.. Ia adalah hak milik Allah secara mutlak yang telah ditentukan untuk setiap manusia yang dilahirkan. Bezanya pula antara manusia adalah bergantung kepada nilai usaha mereka. Ada dikalangan manusia yang berusaha bersungguh-sungguh tanpa mengenal erti penat dan letih sehinggakan meninggalkan hak Allah s.w.t. dan Muslim yang lainnya. Ada juga yang hanya sekadar melepaskan batuk di tangga di dalam usaha mencari rezeki, berserah dan berharap semata-mata.

Rezeki adalah satu jaminan dari Allah s.w.t. yang mana telah disuratkan untuk menusia memperolehnya. Oleh itu, rezeki yang akan kita perolehi atau yang telah pun kita perolehi adalah atas izin dan ketentuan dari Allah s.w.t.. Ramai yang menyangka, mereka tidak mendapat rezeki secukupnya sebagaimana orang lain. Selalu kita dengar, “Besarnya kereta dia, bila la aku nak pakai kereta macam tu?”

Persoalan begini akan sentiasa bermain difikiran kita. Persoalan ‘bila nak dapat’, ‘kenapa aku tak dapat’ dan sebagainya adalah persoalan yang biasa dan ia perlu diperjelaskan. Dapat atau tidak semuanya terserah kepada Allah s.w.t.. Pokok pangkalnya adalah rasa redha dan sabar. Jika Allah s.w.t. berikan apa sahaja yang diminta dengan segera, maka tidak akan adalah pahala orang redha dan bersabar. Bahkan akan hilanglah keimanan manusia kepada kata-kata Allah s.w.t. di dalam Al-Quran. Janji Allah s.w.t. berkenaan rezeki itu pasti, apa sahaja yang diminta manusia itu pasti dimakbulkan sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Sesungguhnya Tuhanmu yang Maha Suci lagi Maha Tinggi itu pemalu lagi mulia. Dia malu terhadap hamba-hamba-Nya yang mengangkat tangan berdoa, tiba-tiba tidak diberi oleh-Nya akan permintaan itu.” (Riwayat At-Tirmizi dan Abu Daud).

Itulah janji Allah dan kepastian yang diungkapkan cuma, yang tidak diperjelaskan disitu adalah bila ia akan dipenuhi? Kerapkali apabila kita mendapat rezeki yang baik dari Allah s.w.t. kita bersyukur dan berterima kasih kepada-Nya tetapi apabila kita tidak menerimanya, kadangkala kita lupa untuk berbaik sangka dengan Allah s.w.t. dan lupa sesungguhnya Dialah yang Maha Mengetahui. Eloklah kita bersama bangun dan berfikir, kita nilai semula peribadi kita jika seringkali permintaan kita Allah s.w.t. amat lambat untuk memakbulkan. Pasti, apabila kita berusaha untuk mendapatkan sesuatu rezeki itu, ada sahaja halangan dan sekatan yang tidak disangka-sangka. Maka, ada beberapa kemungkinan yang perlu kita lihat bersama.

Pertama dari sudut tawakal kita kepada Allah s.w.t.. Paling mudah untuk perhatikan dan nilai semula adalah perkataan ‘InsyaAllah’ yang keluar dari mulut kita. Berapa kali kekerapannya atau tiada sebenarnya. Lebih mudah untuk menyatakan ‘boleh’, ‘beres’, ‘anggap je settle’ dan sebagainya tanpa kita insafi bahawa yang mendatangkan keizinan itu adalah Allah s.w.t.. Kedua, nilai semula diri kita dari sudut maksiat dan dosa. Sebagaimana sepotong hadis yang bermaksud, “Sesungguhnya seseorang terjauh dari rezeki disebabkan perbuatan dosanya.” Maka ubat pembuka rezekinya sudah tentulah kembali bertaubat kepada Allah s.w.t.. Bertaubatlah sepenuh jiwa sehingga taubat itu mendatangkan rasa benci dalam hati untuk melakukannya lagi, menyatakan tidak suka dengan lidah serta menghindari terus dari mengulanginya.

Begitu juga yang ketiga iaitu apabila melakukan maksiat di dalam mencari nafkah yang wajib itu. Ini kerapkali berlaku dikalangan mereka yang bekerja dan dibayar gaji bulanan, adakah sebenarnya gaji bulanan kita itu layak untuk kita dan setimpal dengan kerja-kerja sebulan yang kita lakukan? Adakah pendapatan kita itu dari sumber yang halal atau meragukan. Akhirnya, hati dan jiwa kita hilang rasa berdosa dan hilang pertimbangan ini yang menyebabkan apa sahaja boleh kita telan asalkan kita tidak tahu cerita dari pangkalnya. Anggaplah ‘tidak tahu’. Ini amat berbahaya, berhati-hatilah. Apabila sumber nafkah ini diragui, sedikit demi sedikit mengundang kelalaian diri kita dari mengingati Allah s.w.t.. Dek kerana itulah, kita amat digalakkan untuk terus menimba ilmu walau di mana sekalipun kita berada. Mungkin di masjid, surau mahupun dari kalangan rakan-rakan sepejabat yang sentiasa mengingatkan. Buat majikan dan ketua-ketua pejabat, wujudkanlah usrah atau sesi-sesi tazkirah ringkas untuk kita berhenti seketika bekerja dan kembali mengingati Allah s.w.t. dalam masa 30 minit dari berjam-jam kita bekerja.

Akhir sekali, perasaan tidak mahu bersedekah. Sudah menjadi fitrah manusia, ada perasaan tamak dan haloba. Ketika di dalam poketnya ada RM10, apabila datang orang meminta derma dia akan memberikan 1/10 daripada apa yang ada itu iaitu RM1, tetapi apabila di dalam poketnya ada RM1000 adalah dia akan memberikan 1/10 darinya (RM100) sebagai sedekah atau RM10 atau RM1? Sama-samalah kita nilai diri kita semula. Sedekah adalah salah satu sumber pembuka rezeki dan melepaskan segala rezeki yang tersekat untuk sampai kepada hamba-Nya. Apa yang paling utama adalah keberkatan rezeki itu sendiri. Apabila ia tidak berkat, apa yang ada pada kita amat mudah ia mengalir dan habis begitu sahaja. Apabila dapat rezeki, penyakit pun datang dengan tiba-tiba. Apabila dapat rezeki, hati tidak tenang, takut diambil orang lain dan berasa dengki dengan apa yang dimiliki orang lain. Apa yang paling kita takuti, semakin banyak rezeki yang Allah limpahkan untuk kita, menjadikan kita semakin jauh daripada Allah s.w.t.. TUNE-lah diri kita.

Muat turun artikel ini di sini.

Friday, September 2, 2011

PERBAIKI DIRI DAN ORANG LAIN


Alhamdulillah kita masih meneruskan usrah kita walaupun telah tertangguh untuk beberapa minggu. Kesibukan kita menyebabkan kita lupa kepada diri sendiri. Kita lupa kepada keperluan untuk membina dan memperbaiki diri. Kita lupa kepada pesanan Nabi Muhammad s.a.w., gunakanlah masa lapang kita sebelum sampai masa sempit.

Kita pun berfikiran bahawa, inilah waktu sempit kita, sehinggakan menghalang kita untuk menghadiri dan melaksanakan usrah. Ternyata, sehingga kini, usrah kita masih belum berjaya melahirkan ahli-ahli yang komited dan bersungguh-sungguh di dalam kerja-kerja dakwah. Kita sudah mula merasai bahawa permintaan untuk memenuhi keperluan diri kita sebagai perkara utama dengan menjadikan alasan bahawa, bagaimana kita boleh berdakwah dengan baik jika diri kita sendiri belum dapat ditampung dan ditanggung? Keinginan dan hasrat yang nampaknya begitu realistik ini akhirnya menjerat diri kita sendiri. Secara tidak sengaja, keinginan peribadi itu telah menjadi pengawal tindakan dan fikiran kita dan secara tidak langsung telah menjadi matlamat peribadi yang utama iaitu untuk memenuhi keperluan kehidupan di dunia semata-mata. Teringat akan kata-kata Sayidina Ali, peganglah dunia di tangan kita, tetapi jangan sampai ia tertanam di dalam hati. Jika ia tertanam di dalam hati, maka sudah tentu sukar untuk kita keluarkannya, sebaliknya jika ia berada di dalam tangan kita, mudahlah kita untuk mengambil atau membuangkannya.

Usaha mencari dunia semata-mata ini sebenarnya menjadikan kita lebih sukar. Kita hanya menumpukan segala usaha kita hanya untuk sebahagian kecil sahaja dari seluruh kehidupan kita. Maka usaha kita bersama untuk kekal istiqamah di dalam perbincangan-perbincangan usrah ini adalah untuk kembali bermuhasabah dan meneruskan usaha memperbaiki diri kita sendiri. Sepertimana yang telah kita bincangkan bersama semenjak bermulanya usrah kita ini, perkara yang paling penting yang perlu kita bersama tumpukan di dalam marhalah ini di atas jalan dakwah ialah memperbaiki diri dan menyeru orang lain kepada jalan dakwah kita. Kita bersama telah faham bahawa memperbaiki diri adalah yang paling utama buat kita.

Pembaikan dan pemulihan diri ini adalah suatu yang besar natijahnya dalam usaha menjalankan dakwah kepada orang lain. Keutamaan dalam usaha pembaikan dan pemulihan diri ini ialah bermula dengan akidah yang tegas dan sejahtera. Mengukuhkan kepercayaan serta meletakkan segala daya hidup di bawah penguasaan yang Maha Pemilik. Inilah kekuatan yang dimiliki oleh golongan salafussoleh yang dengannya terbina keberanian, tawaduk, amanah, kesetiaan dan sifat as-siddiq.

IBADAH YANG TERBAIK

Apabila kita bersama dapat memahami dan menghayati akidah salimah yang membawa kepada kesejahteraan maka bersamanya akan datanglah ibadah yang terbaik. Pemahaman ibadah bukanlah terbatas kepada persoalan solat, puasa, zikir atau zakat sahaja, bahkan ia merangkumi setiap inci kehidupan manusia. Sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud;

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada Ku.” (Adz-Dzariyat 51: 56)

Maka, sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w. juga menyebutkan tentang setiap amalan itu harus bermula dengan niat. Niat ini akan membantu kita menjadikan setiap perilaku perbuatan itu bukan semata-mata kerana terpaksa atau memenuhi keperluan dan permintaan nafsu, sebaliknya ia menyebabkan setiap perbuatan itu bermakna serta menjurus kepada mencari dan menjadikan kita semakin hampir dan mendapat keredaan dari Allah s.w.t. Walau di mana sahaja, pada bila-bila masa ia akan menjadi ibadah dengan syarat ia sesuai dengan syariat dan jauh dari perkara-perkara yang diharamkan serta dimurkai Allah s.w.t. Oleh yang demikian adalah penting untuk mengetahui hukum-hukum ibadah dan syarat-syarat sahnya. Perlu tahu sunnah dan cara hidup Rasulullah s.a.w. dalam segenap kehidupan seharian.

Pada usrah kita kali ini, marilah kita menanamkan azam untuk mengamalkan ma’thurat setiap hari. Jadikanlah ia disiplin dan salah satu cara untuk mencontohi Rasulullah s.a.w. seberapa rapat yang mungkin. Amalkan dan fahamilah isi kandungannya. Semoga dengan itu, kebergantungan kita hanya terpaut kepada Allah s.w.t. Lakukanlah ianya dengan ikhlas, bukan kerana mengharapkan kata-kata dan untuk dilihat orang lain. Mudah-mudahan amal kita itu di terima Allah s.w.t.

AKHLAK YANG TERBAIK

Akhlak yang juga merupakan asas penting dalam usaha memperbaiki diri kita perlu melihat kepada contoh dan teladan yang telah ditinggalkan Nabi Muhammad s.a.w. Sebagaimana kata-kata Saiyidatina Aisyah bahawa Baginda s.a.w. itu adalah Al-Quran yang berjalan. Maka, rujukan dan contoh ini juga datangnya dari sumber Al-Quran Al-Karim. Akhlak amat berkait rapat dengan hubungan manusia serta makhluk lainnya. Contoh yang praktikal lebih besar pengaruh dan kesannya di dalam jiwa manusia. Sabda Rasulullah s.a.w. “Hanyasanya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”

Sabda Rasulullah s.a.w. lagi, “Barang yang paling berat di dalam timbangan pada hari kiamat ialah takwa kepada Allah s.w.t. dan akhlak yang baik.”

Latihlah diri kita dengan akhlak yang mulia dan secara langsung ia menegaskan kita untuk meninggalkan akhlak yang buruk.

THAQAFUL FIKR

Thaqaful fikr bermakna pendidikan fikiran. Sebagai lelaki yang mempunyai akidah yang mantap dan berada di atas jalan dakwah, seharusnya kita mempunyai budaya berfikir. Terdapat 3 aspek asasi dalam pendidikan fikiran iaitu yang pertama adalah pengenalan yang salim dan sempurna mengenai Islam. Kedua, mengetahui keadaan sebelum dan semasa tentang dunia Islam, mengenali dan mengetahui musuh-musuh Islam serta memahami segala tindak-tanduk mereka. Manakala yang ketiga adalah dengan mempertingkatkan kemahiran pengkhususan di dalam pelbagai bidang lapangan yang berkaitan dengan urusan kehidupan kita. Inilah yang diperkenalkan ABIM sejak awal penubuhannya yang sepatutnya kita fahami dan ketahui, ianya adalah sebahagian dari tuntutan berjemaah iaitu ‘memprofesionalkan ulama’ dan mengulama’kan profesional. Dorongan ini telah pun Allah s.w.t. sebutkan di dalam surah Al-Alaq ayat pertama.

KEKUATAN JASMANI

Sabda Rasulullah s.a.w. “Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah s.w.t. daripada orang mukmin yang lemah dan ada kebaikan kepada tiap-tiap individu.”

Penambahbaikan diri kita perlu juga menjurus kepada soal kesihatan dan kekuatan fizikal. Sekiranya kita pernah membaca Risalah Ta’lim yang dicatatkan oleh Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna, beliau begitu menitikberatkan soal kesihatan sehinggakan beliau mengarahkan agar segera membuat pemeriksaan kesihatan jika keadaan diri tidak sihat. Begitu juga dengan pengambilan makanan, kebersihan dan apatah lagi merapati arak, dadah dan juga rokok.

LAIN-LAIN LAGI

Janganlah kita lupa, kita juga perlu menghidupkan semangat jihad dengan berdepan dengan sebarang masalah dengan berani. Hilangkan dunia material diri kita dengan melawan nafsu yang berusaha untuk merajai kita. Inilah peperangan terbesar kehidupan kita pada hari ini. Begitu juga dengan hubungan kita bersama makhluk lainnya. Sebagai usaha untuk memperbaiki diri, sentiasalah menjadikan diri memberi manfaat kepada orang lain. Senang hati dan bermurah hati walaupun sampai ke tahap ianya tidak diketahui oleh sesiapa pun baik dalam keadaan sedikit mahupun banyak.

“Mereka itulah orang-orang yang segera mengerjakan kebaikan, dan merekalah orang-orang yang mendahului pada mencapainya.” (Al-Mukminun 23: 61)

Kita juga kerapkali membincangkan surah Al-Asr di dalam usrah bahkan di dalam kursus-kursus yang telah kita anjurkan. Pembuktiannya, harus ada kerana menjaga waktu ini juga merupakan tuntutan perubahan di dalam diri kita. Sabda Rasulullah s.a.w. “Hai Anak Adam aku makhluk baru dan diatas amalmu aku menjadi saksi maka ambillah bekalan dari ku kerana sesungguhnya aku tidak pernah akan kembali lagi sampai hari kiamat.”

Sebagai pendakwah juga, keutamaan dan penambahbaikan perlu dalam setiap tugasan yang dilakukan. Kita haruslah menjadi contoh walau dengan apa jawatan atau tugas pun yang kita diamanahkan. Kita perlu amanah dan laksanakannya pada kadar yang terbaik kerana Allah s.w.t. itu suka kepada yang terbaik. Seruan ‘Haiya ‘Ala-Solah’ dan ‘Haiya ‘Alal-Falah’ menunjukkan betapa kecemerlangan dan kejayaan itu adalah seruan yang perlu dicapai oleh setiap orang Muslim dan Mukmin.

BAGAIMANA UNTUK MELAKUKAN PERUBAHAN?

Itulah sebab mengapa usrah ini dilaksanakan. Ia bertujuan untuk kita selalu mengkoreksi diri sendiri serta tidak berhenti melakukan kerja-kerja thaqaful fikr. Tarbawi takwin atau pendidikan pembentukan ini perlu datang dalam usaha individu juga dalam kelompok berjemaah. Ia perlu direncana dengan pelbagai cara dan alat.

Selain itu, dengan usaha untuk melibatkan diri dengan kerja-kerja Islam di dalam bidang dakwah juga adalah salah satu cara paling mujarab. Sesungguhnya, menyeru manusia kepada Allah s.w.t. dan menentang kebatilan serta pendokongnya merupakan salah satu pendidikan kepada para pendakwah serta ia memberikan kita pengalaman, kecerdikan, keteguhan, ketetapan dan ketahanan di atas kebenaran.

Muat turun artikel ini di sini.

Friday, August 26, 2011

APAKAH PERANAN KITA (BELIA)

Alhamdulillah, sahabat-sahabat yang dikasihi Allah sekalian.

Hari demi hari, minggu demi minggu kita terus berkumpul dan bertemu untuk usrah mingguan SISMA yang memasuki usia lebih setengah tahun sejak kita memulakannya akhir tahun 2010 yang lalu. Apa yang dapat dikongsi bersama dengan para sahabat sekalian adalah perasaan bangga dengan penglibatan muda-mudi yang usianya baru memasuki alam 20-an. Pada usia sebegini, sedarlah, tidak ramai yang mahu terlibat, khususnya dalam keadaan huru-hara akhlak dan jiwa manusia hari ini. Masing-masing takut dikatakan terlalu ekstrem atau takut untuk dilabel sebagai kelompok-kelompok yang terkeluar dari masyarakat.

Ingatlah, buat ibu-ibu dan bapa-bapa kita, ia merupakan suatu penghargaan kepada mereka kerana keterlibatan dan keberanian anak-anak mereka mengambil dan menanggung risiko walaupun sedar dan tahu kesusahan pasti sedang menunggu mereka di hadapan. Hari ini mungkin sebilangan keluarga kita tidak dapat memahami kepentingan usaha ini, namun usahlah kita membuang dan tidak mendengar nasihat mereka begitu sahaja kerana, orang yang paling hampir yang perlu kita selamatkan dahulu adalah ahli keluarga kita.

Usahlah berasa ragu andai mereka menghalang atau menimbulkan rasa gusar dalam hati kerana sesungguhnya mereka juga telah Allah datangkan rasa kasih sayang dan mereka juga tidak sanggup melihat kita di dalam kesusahan. Maka, disitulah hadirnya teman-teman yang sentiasa mengingatkan diri kita tentang tanggungjawab dan peranan ini dan melalui merekalah mudah-mudahan Allah s.w.t. datangkan semangat untuk terus melakukan kerja-kerja agama. Firman Allah s.w.t.;

“Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.” (Ali Imran 3: 146)

Harus kita fahami bersama bahawa, kita hanya akan berperanan apabila kita benar-benar berada di dalamnya. Untuk berada di dalamnya kita harus menghayati dan memahami dengan sebenar-benarnya. Menghayati dan memahami bagaimanakah ertinya berada atas jalan agama dan bagaimana pula perasaan dan keyakinan sehinggakan tidak mahu tunduk kepada musuh-musuh mereka.


TABIAT MARHALAH INI

Kita masih berada diperingkat tapak untuk membina sebuah daulah Islam yang dicita-citakan. Ia semestinya bermula dari batu-bata yang membina tapak tersebut yakni individu kita, seterusnya kepada keluarga yang dibina dan masyarakat yang kita berada di dalamnya. 3 struktur inilah yang menjadi pra-syarat pembangunan daulah dan kehidupan yang Islami. Pada peringkat ini, harus kita fahami proses pembangunan itu mestilah dilakukan ke arah 2 perkara yakni islah diri sendiri dan menyerulah kepada orang lain (dakwah). Maka inilah yang selalu kita bincangkan di dalam latihan-latihan kefasilitatoran kita khususnya di dalam PEPIAS iaitu pencapaian menegak yakni merapatkan diri dengan Allah s.w.t. dan pencapaian melintang yang merujuk kepada kerja dakwah dan menghampiri masyarakat dan keluarga kita. Sebagaimana ayat yang kerap kali kita bincangkan iaitu;

“Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan Nya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada Nya.” (Ar-Ra’d 13: 11)

Inilah yang telah ditinggalkan generasi abang-abang kita. Tidak jauh dari kita. Apabila terlalu banyak kelompangan yang kita biarkan serta teguran dan peringatan Allah s.w.t. yang kita telah abaikan, natijahnya berlaku ketandusan ilmu, keruntuhan akhlak serta hilang pertimbangan dalam emosi mereka. Maka, bencana demi bencana berlaku. Inilah bukti, Allah s.w.t. tidak pernah bisu dari berkata-kata dengan cara peringatan yang tidak disangka-sangka.


BANYAK DAN SEDIKIT

Umat kita pada hari ini ramai, tetapi rendah kualitinya, menjadikan mereka kurang berharga kerana terlalu banyak dipasaran. Tenaga dakwah yang berkualiti amat sukar dicari dan ini menjadikan mereka sangat berharga. Namun, persoalannya adakah kita sebahagian dari yang berharga tersebut? Mereka yang berharga ini disebabkan telah tertegakkannya daulah Islam dalam hati mereka dan mudah-mudahan daulah Islam akan tertegak di bumi yang mereka pijak (Hassan Al-Hudaibi).

Dari ciri-ciri ini maka akan lahirlah usaha kerja dakwah, persaudaraan sebagaimana yang telah dipelopori oleh Rasulullah s.a.w. Inilah jalannya, tiada yang lain, kembalilah kepada Al-Quran dan sunnah Rasul sebagai rujukan dan pegangan. Supaya kita diiktiraf Rasulullah s.a.w. sebagai umatnya.


PERBAIKI DIRI

Wahai sahabatku yang dikasihi Allah s.w.t. sekalian.

Langkah pertama, perbaikilah diri. Binalah kekuatan iman. Ia merupakan tunjang asas yang penting buat kita. Dek kerana itu, kita perlu terus berbincang, berfikir dan mengamalkan apa yang diperintahkan Allah sebagai persiapan memperbaiki diri kita. Tanpa kekuatan iman, tidak akan sampai kepada 2 peringkat lagi dalam usaha perjuangan dakwah ini iaitu kekuatan persatuan serta kekuatan kuasa. Iman adalah tunjang dan iman adalah asas yang benar. Dari iman akan datang sifat hamba yang mendorong manusia untuk melakukan segala kebaikan di dunia. Apabila iman sudah meliputi setiap sudut hati manusia, maka barulah datang kekuatan persatuan yang bertunjangkan ukhuwah kerana Allah s.w.t.

Inilah tanzimnya, yang wajib kita ketahui dan lakukannya, tahu yang mana datang dahulu dan yang mana kemudian agar usaha ini tidak mengorbankan jiwa-jiwa yang semarak untuk membangunkan Islam. Kecuaian kita akhirnya menyebabkan jiwa itu mati dengan cara yang sia-sia. Inilah tatacara Rasulullah, bukan bermakna Baginda s.a.w. tidak menggunakan kekuatan kuasa, tetapi jelas, Baginda tidak menggunakannya sehinggalah kekuatan diri benar-benar mantap dan kekuatan persatuan itu terbina atas dasar iman mereka. Imbau kembali sejarah Ar-Rasul, bukankah Baginda berkuasa di Madinah dan kemudiannya membuka Makkah? Apakah yang Baginda lalui sebelumnya?

Kita sebenarnya terlalu tergesa-gesa untuk melihat kejayaan umat Islam itu di hadapan kita. Ingatlah tugas kita hanya buat, perbaiki dan istiqamah dengan usaha itu, bukan hak untuk kita menentukan kejayaan kerana ianya mutlak milik Allah. Ikhlaskan niat kita demi umat, agama ini dan Allah s.w.t. Mari kita lihat bersama, betapa membuat kerja demi Allah dan agama Nya amat mudah dan ramai sekali yang mengikutinya, tetapi kita gagal dalam menundukkan hawa nafsu serta membentuk akhlak mulia di kalangan ahli jemaah kita.

Imam as-Syahid Hassan Al-Banna berkata di dalam tajuk ceramahnya "Dari Mana Kita Mulakan". "Sesungguhnya membentuk umat-umat dan mendidik bangsa-bangsa, mencapai cita-cita, menolong pegangan hidup, memerlukan ummah yang menghendaki demikian atau sekurang-kurangnya golongan yang menyeru kepadanya, memerlukan kekuatan jiwa yang besar yang tergambar di dalam beberapa perkara: kekuatan kemahuan yang tidak mengenal kelemahan, kesetiaan yang tetap dan tidak mengenal kepura-puraan dan pengkhianatan, pengorbanan yang banyak yang tidak dapat dihalang oleh ketamakan dan kebakhilan, makrifah dengan prinsip pegangan hidup dan percaya kepadanya dan menghargainya dan memelihara dari kesalahan, penyelewengan dan apologetik di atasnya ataupun terpedaya dengan yang lainnya. Di atas kekuatan jiwa yang agung inilah dibangunkan pegangan hidup dan dididik ummah yang baharu bangun. Di atasnya juga dibentuk bangsa-bangsa yang muda dan diberi nafas kehidupan di kalangan rakyat yang telah lama dinafikan hak-hak kehidupan. Tiap-tiap bangsa yang tidak mempunyai empat sifat ini ataupun sekurang-kurangnya tidak mempunyai pemimpin-pemimpin dan penyeru-penyeru yang memperbaikinya, inilah bangsa yang sia-sia dan miskin, bangsa yang tidak akan sampai kepada kebaikan dan tidak dapat mencapai satu cita-cita. Bangsa yang demikian hanya hidup di dalam mimpi, sangkaan dan waham: ‘Sesungguhnya persangkaan itu tidak sedikit pun berguna untuk mencapai kebenaran’ (Yunus: 36)

4 perkara yang menjadi gagasan beliau untuk mencapai cita-cita yang agung yakni berjiwa besar yang tetap dengan kemahuannya, setia dan bertahan dengan kesetiaannya, iman dengan keimanan yang sebenar serta sanggup mengorbankan segala-galanya demi cita-citanya. Begitulah pentingnya memperbaiki diri. Sebagaimana yang pernah kita bincangkan mengenai nafsu itu ibarat kanak-kanak. Inilah yang akhirnya akan melahirkan insan soleh.


INDIVIDU MUSLIM YANG KITA KEHENDAKI

Nilai perlu dirujuk semula di dalam buku-buku serta risalah-risalah yang telah banyak diperbincangkan. Pendokong dakwah ini perlulah mendokong akidah yang sahih lagi benar, bukan olok-olok atau sekadar perkataan yang keluar dari mulut tetapi tidak hadir dalam hatinya. Apatah lagi dari campur aduk kefahaman yang bukan-bukan. Dia juga harus mendokong ibadah zahir dan batinnya. Menjadikan ketaatan sebagai hamba itu jalan untuk memenuhi keperluan dirinya. Tidak lupa juga akhlak yang teguh yang bercirikan Al-Quran dan As-Sunnah yang agung. Maka dari situ akan lahir kepimpinan yang mempunyai pendidikan dan pemikiran yang betul dan sesuai dengan amal Islami.

Tubuhnya kuat serta mahu bermujahadah dengan dirinya bagi mengekang dan menahan nafsu di dalam diri. Memberi manfaat kepada orang lain serta menjaga waktunya dari amal-amal yang lebih kepada perkara yang sia-sia.


AKIDAH ISLAM

Akidah sebenar adalah akidah yang dipegang oleh para salafussoleh yang perlu dijadikan kayu ukur dan pertimbangan dalam memastikan akidah kita sendiri berada pada landasan yang sebenar. Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran;

“Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah ia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikia0n keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Demikianlah (sebagaimana iman itu diperlihatkan keelokannya kepada orang-orang yang beriman), diperlihatkan pula pada pandangan orang-orang yang kafir itu akan keelokan apa yang mereka telah lakukan (dari perbuatan kufur dan segala jenis maksiat).” (Al-An’am 6: 122)

Dari akidah yang benar ini akan lahir peribadi yang kuat, berjihad dan merasakan bahawa dakwah ini adalah bebanan yang di pikul dan perlu dilaksanakan. Diri pendakwah harus faham dan meyakini bahawa setiap yang dianugerahkan kepadanya adalah sesuatu yang dipinjamkan dan perlu dibayar. Ia adalah modal untuk digunakan mengumpul keuntungan di akhirat. Maka, ilmu tauhid ini harus bukan menjadi ilmu di dalam kitab atau perbincangan, tetapi sesuatu yang dipakai dan dinampakkan pemakaiannya melalui akhlak yang baik. Kita perlu membina diri dengan iman yang teguh, bermula dari beriman kepada Allah, Malaikat, kitab, rasul, hari kiamat serta qada’ dan qadar.

Yang kita usahakan adalah akidah salimah dan akidah yang dapat menimbang amal diri dengan timbangan rabbani. Mengutamakan pandangan Allah dalam setiap perbuatan sehingga kepada sekecil-kecilnya perkara itu. Menjadi Muslim yang berbangga dengan saudaranya, memberikan manfaat sebaiknya kepada saudaranya. Ini kerana, dia merasakan bahawa itu adalah tanggungjawabnya.


SUMBER AKIDAH YANG SEJAHTERA

Al-Quran dan Sunnah. Itulah yang diajarkan kepada para sahabat yang seterusnya tertegak daulah islamiah.

15. “Wahai ahli Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Kami (Muhammad s.a.w) dengan menerangkan kepada kamu banyak dari (keterangan-keterangan dan hukum-hukum) yang telah kamu sembunyikan dari Kitab suci, dan ia memaafkan kamu (dengan tidak mendedahkan) banyak perkara (yang kamu sembunyikan). Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah, dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata keterangannya.”

16. “Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaan Nya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izin Nya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.”
(Al-Maidah 5: 15-16)

Namun, pendakwah hari ini melihat sumber ini sebagai perkara menunjukkan kesalahan orang lain. Menilai orang lain berdasarkan kata-kata Allah s.w.t. tetapi tidak kepada diri sendiri.

“Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?” (Al-Qamar 54: 17)

Begitu juga dengan sunnah Ar-Rasul. “Aku tinggalkan kepadamu dua perkara selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu kitab Allah dan sunnahku, cara hidupku.”

Muat turun artikel ini di sini.

Saturday, August 6, 2011

PERSIAP DIRI DAN BENTENGINYA DENGAN IMAN


Teringat saya sewaktu menghadiri pertemuan tertutup dengan Pak Syuhada’, Ketua Umum, Dewan Dakwah Indonesia (DDI). Katanya, DDI sekarang sedang merencana dan menggerakkan satu usaha untuk melahirkan 1000 Da’i ummat. Mengapalah usaha ini begitu besar nilainya agaknya? Isu terkini JAIS yang menyerbu premis gereja di Damansara Utama menjadi tanda tanya dan bualan ramai pihak. Bagaimana mereka yang Muslim boleh berada di gereja pada tika dan waktu ramai ummat Islam yang sedang menghidupkan malam dengan solat berjemaah dan tarawih? Mengapa 1000 da’i menjadi perkara dan usaha yang kuat oleh DDI di dalam masyarakat nusantara yang Islamnya dikatakan amat sebati dengan kemelayuannya?

Isu serbuan JAIS tersebut bukanlah sesuatu yang perlu dipersoalankan kerana mereka hanya menjalankan tugas yang diamanahkan mereka. Ia hanya satu petanda kecil untuk setiap ummat Islam Malaysia ini berfikir tentang kesan serta faktor-faktor yang mendatang. Apabila berita ini dipaparkan, Saya merasa terpanggil untuk berfikir dan sama-sama membincangkan tentang kuatkah kelompok gereja ini sehingga mampu menarik minat mereka yang Islam atau kerana kita yang semakin lemah?

Jom kita bersama melihat sejarah, bagaimana iman yang diperkukuhkan dengan aqidah jitu bersama Rasulullah, gagal digoyah walaupun diseksa, dipisahkan dari keluarga mahupun dihina dan dicaci oleh kelompok yang hampir dengan mereka. Bahkan, kelompok beriman ketika zaman Nabi s.a.w. ini berjaya mendatangkan perasaan tidak senang puak Quraisy yang menyebabkan mereka merencana dan menyediakan pelbagai sajian dan hidangan untuk menarik minat golongan beriman ini untuk kembali menyembah agama nenek moyang mereka. Benarlah kata-kata Allah s.w.t. bahawa, mereka itu (Yahudi dan Nasrani) tidak akan sekali-kali menerima agama Allah melainkan kita berada di pihak mereka.

Sebuah kisah yang diceritakan oleh Pak Syuhada’, apabila seorang protege da’inya dihantar ke sebuah kampung yang nun jauh di pelusuk kampung untuk melakukan tugasan amalinya. Ia merupakan satu usaha untuk memberikan latihan kepada pemuda-pemuda itu agar tidak goyah serta diperkuatkan keyakinan mereka terhadap Allah s.w.t. saya amat terkejut apabila beliau memaklumkan, kampung tersebut miskin, bahkan kemiskinannya sehinggakan seluruh kampung tersebut memakan daunan sehingga tiada makanan untuk mereka. Subhanallah, mungkin tidak akan kita temui di negara kita. Lantas kata Pak Syuhada’ dikirimkan berita kepada pemuda itu diambil pulang dan di tempatkan di kawasan yang lebih baik. Apa katanya, “Jangan pak, jangan jauhkan aku dari Allah!”.

Benteng iman ummat kita di Malaysia ini masih rapuh dan mudah terpengaruh. Masih jauh dari pegangan akar tunjang yang mantap. Tambahan pula bila melihat, pejuang agama yang bergerak untuk menegakkan agama ini, lemah dan tidak bermaya (saya sendiri la ni). Manakan tidaknya, pemuda-pemuda pejuang agama ini, takut diuji, lari dari jalan juang, gusar dengan nikmat yang mungkin Allah tidak berikan sebagaimana rakan-rakan mereka terima dan senang berasa senang tanpa mereka sedari bahawa senang itu adalah satu ujian bukan kemasyhuran. Jika benteng ummat kita ini bergantung sahaja kepada undang-undang ia tidak memadai, maka ia perlu juga dibina benteng-bentangnya dari iman. Maka, disinilah pentingnya untuk melahirkan 1000 Da’i untuk ummat.

Imam Al-Ghazali telah memulai usaha memperbaiki diri bermula dari hati seorang manusia yang semakin hari semakin merosak dan dikotori. Perubahan diri ini perlu dijadikan azam dan usaha jitu para pendokong dakwah agar ia bermula dengan usaha yang benar sebelum masuk ke fasa dakwah fardiyah dan harakah islamiyah. Namun, ia tidak bermakna meningggalkan semuanya, tetapi pada firasat dan pengalaman sedikit yang saya ada, ia mesti bergerak seiringan dan ia mesti berterusan. Jika kita ingin menjadi sebahagian dari kejayaan Islam pada akhir zaman ini. Apa yang berlaku kini, ia adalah fitnah zaman yang pernah diperingatkan oleh Ar-Rasul s.a.w. Persiapkan dirimu wahai ummat (KAMZ juga) dan bentengilah dirimu dengan kekuatan iman!

12.01 pagi
Kuala Selangor

Wednesday, June 29, 2011

MEMBERI LATIHAN BUKAN SEMUDAH YANG KITA SANGKA


Justify FullHari ini hari sambutan Israk Mikraj. Entahkan semua ingat atau tidak. Untuk yang diberikan cuti umum mungkin ingat, yang tidak mungkin lupa. Itulah dia kita, hari penting untuk ummat manusia, tetapi tidak penting untuk kita.

Memberikan latihan bukan sesuatu yang mudah bak sangkaan kebanyakan kita. saya sekali lagi diberikan kepercayaan atas rahmat dan kebenaran Allah s.w.t. untuk melatih lebih kurang 100 orang pekerja pelatih di SKALI Web Services. Alhamdulillah, ini bukanlah kali pertama saya memberikan latihan dan harap-harapnya, ia juga bukanlah yang terakhir untuk dilakukan.

Semenjak tahun 2000, saya sudah mula memberikan latihan dan melakukan pelbagai usaha untuk membangunkan generasi dan kelompok mereka yang saya jumpai. Ternyata, dalam usaha yang baru sahaja saya lakukan, saya baru sedar, usaha selama hampir 10 tahun itu, buah hasilnya, tidaklah seberapa. Tetapi pengalamannya, nikmat perasaan yang Allah berikan kepada saya adalah nikmat yang amat besar.

Pengalaman untuk bersama dengan kakitangan SKALI memberikan saya lebih ruang untuk memuhasabahkan diri dalam terus menerus melakukannya dan usah ada rasa penat atau kesal. Inilah ruang peningkatan IMAN yang Allah telah bukakan untuk saya insyaAllah. Makin banyak bercakap, makin kita dinilai Allah dengan apa yang kita cakapkan. Mulut kita paling hampir dengan telinga kita, akal dan hati kita sepatutunya paling cepat terasa dan terfikir tentangnya.

Fitrah ini harus dituruti. Jangan biarkan hati kita leka dengan keseronokan bak kata Saiyidina 'Ali, biar penat berbuat kebaikan kerana, kepenatan itu akan hilang, tetapi pahala kebaikan itu akan kekal, jangan sekali-kali kita seronok melakukan amal buruk, kerana keseronokan itu tidak kekal, tetapi dosanya akan kekal selama-lamanya. Moga Allah perkuatkan diri saya untuk meneruskan usaha ini.

29 Jun 2011 bersamaan 27 Rejab 1432H

Thursday, June 16, 2011

JAUHNYA PERJALANAN...


Ya Allah, hari ini bertambah sehari lagi untuk saya. Makin bertambah hari untuk saya menyambut hari lahir dalam bulan Disember nanti. Setiap hari bertambah, apa sahajalah yang saya dah laksanakan di dalam kehidupan ini. saya amat mengharapkan redha Allah setiap hari walaupun dari segi kelayakan mungkin saya bukan orang yang disenaraikan untuk ke syurga. saya sentiasa mengharap boleh buat yang terbaik dalam hidup ini.

Minggu lalu, sepanjang bermula cuti sekolah, saya berkesempatan untuk bertemu ramai orang khususnya adik-adik yang umur mereka jauh lebih muda dari saya. YA Allah, adakah saya berjaya menjadi contoh untuk mereka? Bermula dengan program awal cuti sekolah di Batang Kali di Tamu Hill Park, disusuli dengan program di Damansara Damai kemudian disusuli dengan SMART Teen di Kepong dan berakhir di Masjid TUDM Subang. Tidak lah ramai mereka yang bersama saya untuk bersama-sama jadi fasilitator, tetapi saya berhasrat untuk jadikan mereka yang bersama saya ini yang terbaik sebagaimana yang pernah saya cita-citakan. Tak kiralah datangnya dari ABIM ke, PEPIAS ke atau dari mana sahaja, asal ingin belajar dan sudi di ajar, saya akan cuba curahkan sebanyaknya untuk mereka.

Perjalanan kehidupan yang sibuk (walaupun yang lebih sibuk ialah adik-adik yang jadi fasilitator), tetapi tanggungjawab itu amat besar KAMZ dapat rasa. Pertama, apabila melihat adik-adik yang diprogramkan mempunyai pengetahuan dan pendedahan yang amat lemah sehinggakan solat mereka hanya semata-mata solat tanpa tahu kebenaran dan kepentingannya. Antara perkara yang diamati KAMZ, mereka memerlukan contoh dan bimbingan yang berterusan. Apabila kita telah memulakan usaha, maka ia perlu diteruskan sehingga akhir hayat kita.

Adakah kita mampu? Itu persoalan yang saya timbulkan apabila melihat keupayaan dan kesungguhan adik-adik saya yang menjadi fasilitator. Mereka yang bergerak, banyak yang bermasalah serta tidak mahir dalam apa yang disampaikan. Lihat sahaja hari ini, saya sedang berprogram di SMK Perimbun, bila melihat adik-adik yang serba tidak tahu ini, saya merasakan, tugas melahirkan lebih ramai murabbi ini perlu lebih kuat dan lebih keras. Kita perlukan pembimbing yang berkaliber dan berdaya tahan. Apa tidaknya, apabila fasilitator yang bersama dan membimbing ini macam ada yang tidak kena dan ada kurang di sana-sini.

Saya amat mengharap Allah berikan kekuatan untuk membimbing dan meneruskan usaha melahirkan lebih ramai pekerja untuk agama Allah. Lakukan dengan istiqamah dan sentiasa memperbaiki kelemahan. saya bukanlah yang terbaik dan jika adalah teman-teman diluar sana yang membaca artikel ini, jomlah, pendidikan agama dalam masyarakat di Malaysia ini masih lemah. Saya bukanlah orang yang mahir agama, tetapi mengharapkan boleh jadi orang yang kuat pegangan agamanya. Apa yang ada, kita sampaikan, apa yang tiada, kita dapatkan. Ilmu ada berilah, ilmu tiada carilah.

Baik dari SISMA, PEPIAS, adik-adik di sekolah dan semua orang yang lain saya jumpa, berlapang dada dan teruskan berdakwah. Inilah satu-satunya kejayaan yang Islam sandang ketika zaman kegemilangannya. Dakwah perlukan pendakwah dan mereka yang didakwahkan serta persekitaran yang sentiasa Islam itu disyiarkan.

Wednesday, June 1, 2011

SIAPA SANGKA?


Siapa sangka... Perjalanan saya dan rakan-rakan begitu menguji ketahanan fizikal dan mental selama beberapa hari ini. Bermula dengan Kursus Kepimpinan Muda ABIM Selangor kemudian disusuli dengan beberapa lagi program, sedikit sebanyak meletakkan kami dalam usaha untuk meningkatkan keyakinan bahawa Allah s.w.t. adalah sebaik-baik perancang untuk manusia.

Kepenatan dalam melaksanakan tugas, adalah merupakan suatu kepuasan khususnya di dalam kerja-kerja dakwah. Pada ketika ini, saya sendiri masih di dalam program dan menanti masa untuk menamatkannya. Apakah kami tidak penat atau tidak adakah masa berehat? Pada saya, masa berehat dah banyak dah, bahkan dikala tiada program atau agenda harian, itulah masa rehat. Tatkala bersama rakan bersembang dan makan-makan itu juga masa rehat bahkan kadangkala sempat juga membincangkan isu-isu terkini kehidupan. Indahnya...

Kehidupan ini pasti penuh dengan tanggungjawab. saya ada amanah yang besar dan cita-cita yang sentiasa membakar. Apa yang saya harapkan, dari usaha yang kecil ini akan mendatangkan natijah dan hasilnya yang besar. Semoga Allah merahmati usaha kami ini.

Wednesday, May 25, 2011

PANDANGAN ALLAH ATAU PANDANGAN KITA?


Seorang pak cik tua, menaiki sebuah keretapi zaman moden dan bersamanya seorang pemuda kacak yang berumur lebih kurang 22 tahun. Ketika itu, kita ada bersama di dalam keretapi zaman moden ini. Sambil memerhatikan pak cik tua tadi, kita melihat anak mudanya begitu teruja dengan keadaan di dalam keretapi moden itu.

"Abah, abah, tengok tu, tu apa abah?" Tanya anak muda berumur 20 tahun itu. "Oh itu tasik nak," jawab ayahnya selamba sambil tersenyum.

"Wah, besarnya abah bangunan tu!" Tempik anaknya yang berumur 20 tahun itu. Kita yang melihat ni merasakan ada yang tak kena dengan anaknya. Pemuda berumur 20 tahun itu, berlari-lari anak ke hadapan dan ke belakang keretapi moden itu penuh kekaguman dengan apa yang dilihatnya. Pelik, tetapi itulah yang berlaku.

Lalu, kita berasa tidak senang, sekali-sekala memandang muka ayahnya, namun dia selamba saja seperti tidak berlaku apa-apa. Sekali-sekali, pak cik tua tu tersenyum melihat anaknya. Kita? Bingung-bingung, sampai rasa tidak selesa pulak, kadang-kadang datang pemuda itu pada kita dan "bertanya, apa tu bang?" sambil menuding jari ke arah sebuah bas. Ya Allah apa kena budak ni.

Sudah tidak tertahan lagi perasaan dek kerana kita ini seorang pendakwah dan pejuang, kita pun bangkit dan menuju ke arah pak cik tua ayah kepada pemuda ini lalu berkata, "Pak cik, maaflah kalau saya menyinggung pak cik, anak pak cik ni kenapa ye? Saya rasa, dia tak betul la pak cik, elok pak cik hantar dia ke hospital" mudah dan ringkas.

Tersenyum pak cik tua tadi, sambil berpaling mukanya kepada anak muda yang masih tidak tahu duduk diam itu. Lalu pak cik itu bersuara, "Hmm itulah, pak cik baru je balik dari hospital ni..." Kemudian pak cik tua itu menyambung, "Sudah 20 tahun dia hidup, inilah kali pertama dia melihat semua ini..." sambil menghela nafas puas.

Inilah kehidupan yang sering kita lihatnya dari kacamata kita sendiri? Bagaimana dengan kacamata orang lain? Kacamata ibu ayah? Kacamata jiran tetangga? Bagaimana pula dari pandangan Allah s.w.t. untuk kita. Jom kita perbaiki diri kita sebaiknya. Kita selalu anggap yang Allah tidak melihat kita walaupun sebenarnya DIA melihat kita setiap masa. Kita selalu mengambil mudah urusan kita dengan manusia lain sedangkan ia tidak semudah yang disangka. Kita menyangka kita sudah mampu membuat yang terbaik sebagai membina diri kita, tetapi kita terlupa bahawa Allah lebih tahu dari kita. TUNE-lah diri kita.