Sunday, December 26, 2010

KEINDAHAN


Apabila kita bercerita tentang keindahan, apa yang kita fahami ia adalah sesuatu yang abstrak dan tidak serupa pada nilaian manusia yang memiliki pelbagai kecenderungan dan keutamaan. Ramai yang menafsirkan bahawa keindahan itu adalah suatu topeng yang menutupi keadaan atau situasi yang sebenarnya. Akhirnya, keindahan itu disalahtafsirkan yang mana pada hakikatnya Allah s.w.t. amat sukakan keindahan.

Allah itu Maha Indah. Kuasa-Nya telah melahirkan perasaan yang sukakan akan keindahan. Adalah normal bagi manusia merasai senang apabila bersih dan akan ada rasa tidak senang apabila ada kekotoran. Begitu juga apabila berkunjung ke tepi pantai. Perasaan yang aman mula terasa apabila tiada ombak besar berbanding berlakunya ribut taufan sebagaimana tsunami itu. Ini adalah fitrah yang tidak dapat dinafikan. Keindahan yang sebenar itulah yang dikurniakan kepada manusia agar berakhlak mulia dan bersama kita adanya sifat-sifat yang penuh keindahan.

Keindahan yang sebenar haruslah hadir dari jiwa yang benar-benar ikhlas dan tunduk kepada perintah Allah s.w.t. Tidak hairanlah apabila dapat kita lihat, ada dikalangan teman-teman kita, dari sudut penampilannya sungguh indah, tetapi ramai yang tidak menyenanginya. Rumah cukup besar, tetapi tidak gemar orang untuk mendatanginya. Ternyata, terdapat beberapa perkara pokok yang harus diperhalusi untuk kita ini memiliki keindahan yang hakiki dan sebenar.

Pertama, keindahan itu letakknya pada kebersihan. Bersih ini adalah berbentuk fizikal dan bukan fizikal. Bersih fizikal adalah cerminan kepada bersihnya bukan fizikal. Bersih pakai dan penampilan adalah disebabkan bersihnya hati dan keikhlasan. Kadangkala, dapat kita lihat seseorang yang pakaiannya tidaklah mewah, tetapi penampilannya cukup menyerlah dan meyakinkan. Kebersihan yang sebenar datang dari hati bukan hanya apa yang ditonjolkan mata. Cuba nilai diri kita, adakah kita seseorang yang sentiasa ingat bahawa ‘bersih itu sebahagian dari iman’? Bermula dari hati yang bersih pasti akan menjadikan pemikiran dan fizikal yang bersih.

Syarat keindahan kedua adalah keserasian. Sebagai contohnya, kehidupan yang dilalui oleh seorang guru dengan pendapatan yang ada cukuplah sekadar ia melambangkan kita itu seorang guru. Hidup biar profesional, dan yang penting ukur baju pada badan sendiri. Apa yang perlu diutamakan dalam keserasian ini ialah gunakan barangan yang mampu bukan boleh. Apapun yang tidak serasi, seorang guru bergaya pakainya seperti seorang artis, sudah tentu akan hilang keserasiannya. Maka, akan hilang preofesionalismenya. Cakapnya tepat pada masanya, tindakannya sesuai dengan keadaan dan situasi semasa.

Perawatan pula merupakan syarat keindahan yang seterusnya. Apa makna perawatan? Semua perkara yang hidup perlukan perawatan atau bahasa mudahnya penyelenggaraan. Kereta, jika selamanya digunakan, tanpa penyelenggaraan atau perawatan maka akan lebih cepat rosaknya dan makin pendek jangkamasa penggunaannya. Samalah dengan batang tubuh yang dipinjamkan Allah s.w.t. ini. Jika ia tidak beriadah dan mendapat senaman secukupnya, maka akan sampai masa ia akan memulakan protes dengan datangnya sakit. Samalah dengan iman yang perlu sentiasa dirawat dengan zikir, bacaan Al-Quran, doa dan amalan-amalan sunat yang lain. Melalui amalan-amalan inilah, akan memberikan rawatan secara rohaniah selain insaniah.




Muat turun artikel ini di sini.

Monday, December 20, 2010

PENYELEWENGAN DI DALAM MASALAH KAFIR MENGKAFIR


PENGENALAN

Perjalanan usaha dakwah ini perlu diteruskan walau bagaimana sekalipun ujian dan desakan yang datang bertamu. Perbincangan ini tidaklah begitu sesuai untuk kita bersama dibincangkan, kerana Alhamdulillah, keadaan jemaah kita ini tidaklah sehingga tahap saling kafir mengkafir. Tetapi, mengetahui serta memahami tentangnya pasti akan dapat membantu kita melalui beberapa cabaran di dalam menelusuri usaha dakwah ini. Keadaan dan sejarah akan berulang dan kita seharusnya mengambil iktibar dari apa sahaja yang berlaku dahulu agar ia menjadi benteng dan persiapan samaada berhadapan atau mengatasi masalah itu.

ADAKAH MENGHUKUM ORANG LAIN ITU WAJIB BAGI SETIAP MUSLIM?

Hari ini, budaya menghukum ini telah berkembang dan menguasai sebahagian besar dari mereka yang meletakkan diri mereka di dalam kerangka gerak kerja jemaah. Permasalahan ini timbul apabila terdapat sebahagian daripada kita merasakan diri mereka lebih baik dari yang lainnya. Ingatlah wahai sahabat-sahabatku, Allah tidak akan bertanya kepada kita, berapa ramai yang telah kita hukum, tetapi berapa ramai yang telah kita dakwahkan? Menghukum menjadikan manusia itu jauh hati sebaliknya berdakwah menjadikan mereka itu sebahagian daripada kita. Biarlah kerja-kerja menghukum itu dikembalikan kepada mereka yang berada di dalam bidangnya kerana kita tidak akan diberikan balasan jika tidak menjatuhkan hukuman sebaliknya jika sekiranya kita masih menjatuhkan hukuman, kita akan terdedah dengan balasan dari Allah s.w.t.

MENGKAFIRKAN SEORANG ISLAM ADALAH SESUATU YANG AMAT BERBAHAYA

Sesungguhnya, menuduh atau mengkafirkan seseorang yang Islam itu adalah suatu perbuatan mencabul kehormatan yang paling mulia. Berkata Imam Bukhari r.a. bahawa Abu Dzar mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, ‘Tidak boleh seorang lelaki menuduh lelaki yang lain sebagai fasik atau kufur kerana tuduhan itu akan kembali semula kepadanya jika yang dituduh itu tidak sedemikian.’

Membuat pertuduhan sebegitu, kepada sesama ummat Islam adalah suatu perilaku yang sia-sia dan akan menyebabkan lebih banyak kerosakan bahkan tidak menurut syariah Islam. Kita boleh teliti dalam perbuatan yang sama berlaku dikalangan ahli masyarakat kita, kesannya, kerja dakwah tidak berlangsung dan seolah-olah mereka itu tiada lagi hak untuk ke syurga. Syurga neraka adalah ketentuan dari-Nya, tugas kita hanya mengajak yang ma’aruf dan mencegah yang mungkar. Jika jelas dihadapan mata, maka harus kita tangani dengan kuasa, jika tidak lidah jika tidak ada upaya juga, bencilah dengan hati.

Dakwah perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas. Menghukum, bukanlah cara pandangan pendakwah, oleh yang demikian, usaha dakwah itu pasti tidak akan dibantu Allah s.w.t. sekiranya yang kita cari bukan keredhaan dari-Nya. Kesannya amat teruk. Terputus silaturrahim, membenci ciptaan Allah s.w.t. serta menidakkan hak mereka ke syurga. Ayuhlah, kita hindari peringkat awal permulaan penyelewengan ini iaitu dengan membanding siapa lebih baik atau siapa lebih alim.

MANAKAH YANG LEBIH PERLU DIAWASI?

Maka berhati-hatilah, apabila kita menjauhkan diri dengan kelompok yang kita sangkakan mereka tidak berbuat sebagaimana kita berbuat, maka kita sebenarnya secara sendirinya telah memecahkan usaha dakwah itu. Menjauhkan diri dengan sangkaan kita lebih baik dari mereka sebenarnya adalah lambang kecilnya hati seorang pendakwah yang tidak akan menyuburkan usahanya. Marilah kita bersama beristighfar dan bertaubat kepada Allah s.w.t. kerana antara sebab perpecahan dan kegagalan kita dalam usaha dakwah ini adalah kuasa menghukum ini. Kita sudah pun diingatkan tentang kita pendakwah bukan penghukum.

Sahabat yang dikasihi. Beranikah kita menyatakan orang yang sakit itu telah mati? Walau dalam keadaan dia tidak sedarkan diri dan koma? Melainkan setelah pasti kematiannya. Bahkan usaha kita sebagai teman atau saudaranya, mencari penawar serta berdoa untuk keselamatannya di dunia dan di akhirat? Keutamaan dalam tindakan kita adalah mencari penawar dan sentiasa mendoakan kesejahteraannya. Apabila kita memarahinya, biarlah kerana Allah s.w.t. bukan kerana benci kepadanya.

BATAS PEMISAH ANTARA KUFUR DAN ISLAM

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, "Serulah mereka supaya naik saksi bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah", maka jika mereka mengucapkan demikian maka sesungguhnya darah dan harta mereka telah terpelihara."

Ini juga dikisahkan tentang seorang Muslim yang berperang di dalam barisan musyrikin dan mengucapkan dua kalimah syahadah, kemudian dia dibunuh oleh Usamah bin Zaid r.a. setelah dia mengucap dua kalimah syahadah kerana Usamah menyangkanya sebagai satu helah untuk mengelakkan dirinya dari dibunuh, tetapi Rasulullah s.a.w. sangat marah dan kesal terhadap tindakan Usamah. Usahlah keliru wahai sahabat-sahabatku, kerana mereka itu Islam sebagaimana Islamnya kita. Cuma, di dalam persoalan amalan Islaminya, kita serahkanlah kepada Allah s.w.t. Yang Maha Mengetahui, melainkan dengan jelas telah berlaku penyelewengan dan kesalahan dalam tindakan mereka.

MEMECAHKAN OBJEK DAKWAH

Melakukan pertuduhan samaada mengkafirkan atau sekadar memburukkan mereka hanya akan menjauhkan diri mereka dari usaha dakwah kita. Kita sebenarnya memecahkan objek dakwah kita itu sendiri. Maun dari sudut perbincangan kita bersama, sehingga ke hari ini, yang perlu kita perhalusi bersama belumlah sampai ke tahap kafir mengkafir, tetapi mungkin siapa yang kata diri mereka lebih baik dari yang lain. Namun, kerisauan ini harus ada kerana, ia tidak mustahil berlaku kerana inilah bibit-bibit permulaannya. Jangan kita bersama membuka ruang kepada penyelewengan yang amat berbahaya ini. Harus kita fahami bersama bahawasanya, penyelewengan fikrah adalah lebih berbahaya berbanding penyelewengan harakah. Oleh itu penyempurnaan akidah yang perlu diberikan keutamaan sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

JALAN-NYA YANG BENAR

Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Ahzab ayat 23 dan 24 yang bermaksud:

"Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah, maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada pula yang menunggu-nunggu dan mereka sedikitpun tidak mengubah (janjinya)"'. Supaya Allah s.w.t. memberikan balasan kepada orang-orang yang benar itu kerana kebenarannya dan menyiksa orang munafik jika dikehendakiNya atau menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al-Ahzab: 23 - 24)

Saranan bersama di dalam usrah SISMA kita hari ini, marilah kita bertaubat kepada Allah s.w.t. Bukan kerana permintaan sesiapa tetapi tanda kesungguhan kita di dalam mencari keredhaan Allah s.w.t. Marilah kita saling memperingatkan akan amanah yang Allah berikan kepada kita. Ini tidak bermakna, kita patut berhenti dari melalui jalan ini. Bertaubatlah kerana dikhuatiri apa yang kita niatkan adalah untuk memenuhi permintaan manusia atau memusuhi sesama manusia. Maka, teruskanlah perjalanan selagi ia tidak menyalahi akidah serta syariah Islam. Perhalusi semula perbincangan kita yang terdahulu dalam urusan mengutamakan yang dasar berbanding yang cabang. Firman Allah s.w.t. lagi di dalam surah Yusuf ayat 108 yang bermaksud:

"Katakanlah: Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah s.w.t. dengan hujjah yang nyata. Maha Suci Allah s.w.t. dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik". (Yusuf: 108)





Muat turun artikel disini.

Friday, December 10, 2010

LAGI TENTANG PENYELEWENGAN ATAS JALAN DAKWAH


Semakin kita bersama membincangkan isu penyelewengan ini, seolah-olah Allah membuka mata kita untuk melihat penyelewengan-penyelewengan yang berlaku berhampiran dengan kita. Wahai sahabat-sahabatku, perbaikilah diri mu. Bukan tujuan kita berbincangan perkara ini tetapi semata-mata ingin mencari kesalahan orang lain, sebaliknya inilah muhasabah. Mereka hidup, kita juga hidup, mereka mati kita juga mati dan mereka akan dibangkitkan, kita juga akan dibangkitkan. Adakah ini satu jaminan jika kita dibangkitkan kita akan selamat jika kita tidak menyampaikan berita ini kepada mereka yang sepatutnya mendengarnya? Ini amanah bersama, mereka Islam kita juga Islam, maka lapangkanlah dada, bukakan mata dan pasang telinga. Ini muhasabah untuk kita, dan marilah kita perbaiki diri dan mereka yang hampir dengan kita. Sedarlah, penyelewengan ini boleh membawa kepada kerosakan fikrah dan tersasar dari gerakan yang sebenar sebagaimana yang kita pikul bersama di dalam ABIM mahupun sayap pelajarnya PEPIAS.

KONTRADIKSI DAN KESULITAN

Secara realitinya, kita semua bersetuju yang masing-masing sedang berusaha keras untuk melihat serta menghidupkan cara hidup yang Islami. Ia cita-cita agung yang paling dimahukan oleh sesiapa sahaja yang meletakkan diri mereka di dalam perjuangan menegakkan agama di dalam diri. Adakah kita mempunyai pilihan? Samaada untuk sekadar duduk dan berbincang tentangnya dan melakukan amalan yang baik itu hanya secara bersendirian bahkan bersikap negatif terhadap kemungkaran atau adakah kita bertindak berdasarkan keyakinan akidah kita kepada Allah s.w.t?

Mewujudkan suasana yang Islami itu wajib. Cara yang pertama itu tidak benar kerana ia tidak mendatangkan kesan kepada persekitaran kita. Namun begitu, tindakan kedua itu ada benarnya. Tetapi ia masih boleh berlaku penyelewengan apabila ia didahului oleh pemuda-pemuda yang bersemangat dengan kerja dakwah mereka. Penyelewengan itu mungkin timbul apabila tiada cara ‘bil-hikmah’ yang diterapkan. Berlakunya tindakan membabi-buta tanpa usul periksa. Mengikut rasa binasa, ikut hati mati. Menyalahkan orang lain dan merasakan diri lebih baik dari mereka. Akhirnya memberikan gambaran yang buruk kepada Islam itu sendiri.

SIAPAKAH YANG PATUT DIPERTANGGUNGJAWABKAN?

Adakah patut kesalahan itu dilemparkan kepada golongan yang menyeleweng ini? Penyelewengan ini sebenarnya didasari oleh mereka yang di dalam jemaah itu sendiri. Tindakan mencari kesalahan pada diri orang lain serta tidak memuhasabahkan diri menjadikan tanzim sesuatu gerakan Islam itu lemah. Mereka yang menyeleweng adalah disebabkan tanzim yang lemah di dalam sesuatu jemaah. Merancang tetapi tidak merujuk, merencana tetapi tidak melaksana. Bimbingan itu seharusnya kembali kepada cara dan bentuk contoh yang ditunjukkan Rasullullah s.a.w serta menelusuri sejarah perjuangannya. Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran Al-Karim yang bermaksud:

“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Al-Anbiyaa’: 107)

Firman Allah s.w.t. lagi di dalam Al-Quran yang bermaksud:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Al-Hujurat: 13)

Ketaqwaan juga menjadi ukuran dalam menentukan tanzim serta kesungguhan dalam menentukan gerak kerja dakwah. Penilaian taqwa hanyalah ada pada Allah s.w.t. tetapi secara jelas, apabila ada dikalangan penggerak dakwah yang melewatkan solatnya secara sengaja, tidak menepati janji, tidak bersungguh dalam melaksanakan amanah, ini adalah petanda longgarnya ketakwaan mereka terhadap Allah s.w.t. Bahkan, mereka meninggi diri menyatakan mereka lebih baik dari orang lain. Inilah merupakan kewajipan kepada para senior. Mengingatkan tentang fikrah dan amal Islami. Peringatkan mereka tentang jalan yang benar di dalam kalimah-kalimah yang hak. Semata-mata mengharapkan keredhaan Allah s.w.t.

SYUMUL DAN BERPANDANGAN JAUH

Para pendokong dakwah seharusnya mengikat diri mereka dengan ruhul jihad dan perjuangan Islam. Mereka semestinya mempunyai pandangan yang syumul (lengkap) dan mendalam dalam usaha bekerja demi Islam. Tidak cukup hanya dengan laungan semangat serta kata-kata indah perjuangan jika ia tidak datang dari kesyumulan Islam itu sendiri. Tugas dakwah ini adalah tugas yang agung. Ia bukan sekadar tugas sebahagian, tetapi ia adalah tugas yang menyeluruh dan universal. Dakwah bersifat sejagat dan ditambahi dengan dunia globalisasi hari ini, menjadikan dunia dapat mengetahui sesuatu dengan amat pantas sekali. Dakwah tidak bersifat tempatan bahkan ia adalah seluruh dunia. Oleh yang demikian, persediaan kita adalah untuk suatu perjalanan yang amat jauh, bersedia dan sentiasa berpandangan jauh.

JALAN YANG BENAR

Semakin benar jalan ini, maka semakin banyaklah rintangannya. Ini kerana, jalan ini tidak didokong oleh mereka yang kecil jiwanya, tetapi mereka harus memiliki hati yang besar dan kental serta mereka tidak mudah menjadikan halangan dan cabaran itu sebagai alasan untuk berhenti berdakwah. Keadaan yang batil perlu diubah kepada perkara yang hak melalui jalan yang benar. Jalan benar yang diakari dengan jalar dan tunjang akidah yang kukuh. Persiapkan generasi mukmin yang benar dan mampu membuat perubahan, membangunkan rumahtangga muslim, dan menjelmakan Islam dalam setiap aspek kehidupan, bekerja dan berusaha bersungguh-sungguh dalam memenangi pandangan ummat supaya mereka memihak kepada dakwah Islam. Sesungguhnya, masa itu diukur dengan umur dakwah bukan dari umur hidup kita semua.

Saudara seperjuangan sekalian.

Inilah juga jalan yang telah dibuktikan Rasulullah s.a.w. Inilah dasarnya dan inilah jalan yang benar itu. Inilah janji Allah dan ia akan berlaku lagi sebagaimana berlakunya pada zaman Baginda Rasulullah s.a.w sebagaimana firman Allah di dalam surah Ar-Ra’d ayat 17 yang bermaksud:

“Ia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu membanjiri tanah-tanah lembah (dengan airnya) menurut kadarnya yang ditetapkan Tuhan untuk faedah makhluk-Nya, kemudian banjir itu membawa buih yang terapung-apung. Dan dari benda-benda yang dibakar di dalam api untuk dijadikan barang perhiasan atau perkakas yang diperlukan, juga timbul buih seperti itu. Demikianlah Allah memberi misal perbandingan tentang perkara yang benar dan yang salah. Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan.” (Ar-Ra’d: 17)

MERUBAH REALITI DAN MENGHAPUSKAN KEMUNGKARAN

Inilah ujian Allah kepada para pendokong dakwah dalam usaha dakwah kita. Merubah realiti bukanlah semata-mata menghapuskan suasana rosak ketika itu bahkan ia lebih daripada sekadar berbentuk fizikal. Cuba bersama kita bayangkan, adakah ketika zaman Rasulullah s.a.w. itu, ummat Islam tidak berupaya untuk menghapuskan berhala-berhala mereka? Adakah dengan menghapuskan berhala-berhala mereka, mereka akan kembali beriman? Oleh yang demikian, Rasulullah s.a.w. melakukan dakwahnya dengan cara yang terbaik. Matlamatnya bukan menghilangkan berhala di dalam diri, tetapi mendatangkan rasa takut kepada Allah s.w.t. semata-mata. Perlihatkan akhlak yang mulia serta datangkan rasa sedar dan akhirnya mereka sendiri yang memilih kesedaran untuk diri mereka. Inilah contoh yang ditunjukkan Rasulullah s.a.w. Kekerasan bukan jawapan, tetapi sekadar pilihan. Firman Allah s.w.t:

“Mudah-mudahan Tuhan kamu akan mengasihani kamu (kalau kamu bertaubat); dan jika kamu kembali (menderhaka), maka Kami pula akan kembali (menyeksa kamu di dunia); dan Kami telah jadikan neraka: penjara bagi orang-orang kafir (pada hari Akhirat).” (Al-Isra’: 8)

SABAR, BERTAHAN DAN SAMPAIKAN

Kita sedar dan tahu, hidayah dari Allah s.w.t. Jadi usahlah gusar tentang tentangan yang diterima kerana Al-Quran boleh menjadi saksi usaha yang didahului oleh para Rasul. Tugas kita hanya bersabar, bertahan serta teruslah menyampaikan.

JIHAD DAN MENJUAL DIRI KEPADA ALLAH

"Orang yang telah menjual dirinya kepada Allah tidak berhak ke atas orang yang menyiksanya. Sesungguhnya Allahlah yang mempunyai hak ke atasnya sama ada Dia hendak mengampuninya ataupun menyiksanya" – Kata-kata Hukamak

Oleh itu, sepatutnya tidak ada kegusaran dalam jiwa para pendakwah jika mereka sedar dan benar-benar bertakwa kepada Allah. Serahkan hak diri kepada Allah dan lakukanlah hanya keredhaan-Nya, nescaya Allah redha dan akan sentiasa memberikan pendahuluan kepada kita.




Sila muat turun artikel ini disini.