Monday, October 25, 2010

PANDANGAN DAN PENERANGAN MARHALAH AT-TAKWIN


Sebagaimana yang telah dibincangkan di dalam siri usrah kita yang terdahulu, bahawasanya terdapat 3 peringkat asas dalam usaha kerja dakwah yang disebutkan sebagai marhalah yakni marhalah al-ta’rif (pengenalan), al-takwin (pembentukan) dan marhalah al-tanfiz (perlaksanaan). Perbincangan dalam usrah yang lalu yang mengkhususkan perbincangan kepada marhalah pertama telah memperlihatkan perlunya sifat benar dalam menyampaikan dakwah kepada mereka yang mahu turut serta dan menyumbang dalam usaha dakwah dan penyebaran agama Islam yang mulia ini.

Peringkat seterusnya adalah peringkat at-takwin iaitu peringkat pembentukan. Sebelum kita mengupas dan membincangkan marhala kedua ini, adalah menjadi tanggungjawab dan kemestian untuk kita, bagaimanakah persiapan untuk kita memenuhi kriteria di dalam marhalah kedua ini. Peringkat pengenalan adalah asas dalam pembentukan peribadi yang sesuai untuk meneruskan kesinambungan di dalam marhalah yang kedua. Ia perlu diwujudkan ciri-ciri tersebut memandangkan, pada tahap kedua yakni marhalah at-takwin ini, ia akan menguji benar persediaan dan persiapan pejuang dan pendakwah itu sendiri.

Antara fokus persiapan mereka dari marhalah al-ta’rif memasuki marhalah at-takwin adalah dari sudut persiapan dan penumpuan matlamat sebenar perjuangan dakwah dan kehidupan itu sendiri. Kerapkali kita lihat berlaku di dalam jemaah kita ini, mereka yang berjuang tetapi tidak jelas matlamat juang yang mereka letakkan. Apakah keutamaan mereka melahirkan lebih ramai pejuang agama Islam atau meramaikan orang yang hanya menempel di dalam sesebuah jemaah Islam itu sendiri? Adakah perjuangan kita dan mereka itu hanya untuk melihat rakan-rakan ini berjuang atas nama Islam atau berjuang untuk Islam? Akhirnya usaha juang agama ini hanya jatuh kepada orang ramai yang hanya pandai bercakap tetapi tidak berbuat apa-apa. Sekiranya mereka itu buat pun, mereka tidak bersungguh-sungguh dan berjihad untuknya. Jika mereka lakukannya bersungguh-sungguhpun, kesungguhan mereka tersasar dan tersimpang dari perjuangan yang sebenar. Firman Allah s.w.t. di dalam surah As-Saf ayat 3;

“Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya”

Selain itu, apabila masuk ke marhalah yang kedua ini juga adalah bersangkutan dengan amanah yang besar dan usaha untuk menyebarkan agama yang agung. Ia bukanlah perkara mudah dan pastinya akan datang ujian yang besar dan memerlukan ketabahan yang jitu. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Ankabut ayat 2 hingga 3;

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta”

Firman Allah s.w.t. lagi di dalam surah Al-Baqarah ayat 214;

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)”

Jelas sekali, di dalam jalan perjuangan pada tahap yang kedua ini, memerlukan mereka yang berjuang itu keupayaan untuk bertahan dan istiqamah dengan perjuangan yang dipikul dan dibebankan untuknya. Kebiasaannya apabila datang ujian-ujian yang besar ini, maka akan terserlahlah keikhlasan perjuangan mereka dan itu secara tidak langsung akan menampakkan kelayakan sebenar mereka untuk berada di dalam perjuangan ini dan memikulnya. Pada sudut pandangan ini jika diteliti dan disepakati, melahirkan pejuang ini bukan sekadar semangat retorika mereka sahaja tetapi bersama itu datang juga jiwa pejuang yang jitu dan mampan. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Baqarah ayat 44;

“Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?”

Jika kita nilai rakan-rakan seperjuangan kita, kita khuatir, mereka ini akan ditelan usaha yang sia-sia sahaja, nampaknya enak di dunia, tetapi rupanya kerosakan dan bebanan apabila berhadapan dengan Allah s.w.t. pada masa akhirat yang mendatang.

Jiwa pejuang perlu dilengkapi dengan pengorbanan yang mencakupi hal kepentingan diri, harta, masa dan juga kesihatannya. Dakwah perlu ada dalam diri sehingga ia menguasai akal dan fikiran kita, sebati dengan jiwa dan hati kita, menjadi darah dan daging kita serta mampu kita untuk membezakan antara yang hak dan yang batil. Dasarnya tidak lain dan tidak bukan, keimanan yang mendalam terhadap agama Allah dan usaha dakwah islamiyah itu sendiri. Inilah persoalan kualiti yang kerapkali kita bincangkan di dalam gerakan kita hari ini. Persoalannya, adakah semua usaha dakwah itu sebati dalam diri kita seperti yang digambarkan atau sebenarnya hari ini kita Cuma menempel dan bersama perjuangan tetapi tidak di dalamnya?

PERSEDIAAN MARHALAH KEDUA DAKWAH

Persiapan untuk berada di dalam marhalah kedua ini harus disulami dengan marhalah pertama. Maknanya, marhalah pertama dan kedua mestilah seiringan memandangkan proses itu harus berlaku secara serentak. Ini bermakna, proses pengenalan perlu berterusan disamping perlu adanya perancangan strategik untuk bersama dan memulakan fasa kedua. Apa yang berlaku dalam fasa pertama atau marhalah al-ta’rif itu adalah proses memberikan kesedaran mengenai agama dan tanggungjawab terhadap agama Allah itu. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Ar-Ra’d ayat 11;

“Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadanya”

Ini menunjukkan bahawa, apabila ahli gerakan itu telah mendapat kesedaran, maka perlu ada dorongan untuk ke peringkat seterusnya yakni beramal atau mengambil tindakan. Pesanan Imam Hassan Al-Hudhaibi, “Tegakkan Daulah Islamiyah di dalam hatimu, supaya ditegakkan di atas bumi kamu.”

Dorongan Imam Hassan Al-Hudhaibi ini menampakkan keperluan bahawa menggerak dan motivator ke arah tindakan itu adalah bermula dengan diri sendiri. Mulai dengan pembinaan akidah tauhid sehinggalah melahirkan halawatul iman. Aspek perubahan ini perlu dijelaskan di dalam marhalah kedua iaitu pembentukan itu sendiri. Firman Allah s.w.t. dalam surah Ar-Ra’d ayat 17;

“Ia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu membanjiri tanah-tanah lembah (dengan airnya) menurut kadarnya yang ditetapkan Tuhan untuk faedah makhluk-Nya, kemudian banjir itu membawa buih yang terapung-apung. Dan dari benda-benda yang dibakar di dalam api untuk dijadikan barang perhiasan atau perkakas yang diperlukan, juga timbul buih seperti itu. Demikianlah Allah memberi misal perbandingan tentang perkara yang benar dan yang salah. Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan”

Maka, seseorang yang akan dipersiapkan itu, pasti akan menuju ke arah melahirkan seorang yang sejahtera dari sudut akidahnya, sihat ibadah mereka, teguh akhlaknya, terdidik fikiran, kuat tubuh badan dan berusaha, sanggup berdikari dan berkorban, ada usaha dan upaya yang kuat untuk memerangi hawa nafsu juga tetap disiplin dengan masa mereka serta urusan dan tanggungjawabnya. Hasil dari pembentukan diri dan peribadi ini akhirnya akan memberikan natijah kepada usaha membina keluarga, masyarakat serta keluarga Islami. Oleh sebab itu juga, Imam Hassan Al-Banna memberikan garis panduan dan fokus yang utama di dalam pembentukan peribadi seseorang ahli gerakan itu. Beliau memberikan keutamaan kepada individu yang mempunyai tahap faham agama yang tinggi dan berdasarkan Al-Kitab dan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w.

Penyelewangan amat jelas berlaku apabila rujukan mereka bukan lagi Al-Kitab dan qudwah yang mereka ikuti bukan lagi Nabi Muhammad s.a.w. Kedua, dari sudut darjah keikhlasan yang besar terhadap kerja dakwah itu sendiri. Ia mestilah bukan bersifat ganjaran, kepentingan diri dan mengutamakan kerja dari berkata-kata. Kita juga amestilah membulatkan diri untuk dakwah yang mana kita membebaskan diri kita dari sebarang fahaman-fahaman yang lain. Ketiga, usaha yang dibentuk di dalam diri pejuang dan pendakwah itu juga haruslah bersifat melengkapkan diri untuk berjihad yang mana kebanyakannya adalah pengorbanan meninggalkan kemuliaan dan kesenangan jiwa, harta, waktu dan usaha. Harus diingat, perjuangan dan jihadnya bukanlah dalam satu tempoh yang ditetapkan, tetapi dalam jangkamasa yang sehingga ditentukan masa kita untuk menghadap Allah s.w.t.

Usaha yang keempat adalah wajib untuk kita yang berada di dalam jemaah ini beriltizam dengan mematuhi amanah dan perintah yang diberikan oleh pimpinan selagi mereka tidak mencanggahi perintah Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. Ini termasuk samaada di dalam keadaan senang atau susah mahupun suka atau benci. Ikuti kisah yang diceritakan di dalam Al-Quran dari surah Al-Baqarah ayat 246 sehingga 252.

SYARAT-SYARAT YANG PERLU KITA ADAKAN SEBAGAI PENDAKWAH

Pertama, pastikanlah amalah kita ini berpaksikan kepada Allah dengan sepenuh keikhlasan di dalam jiwa. Hakikat keikhlasan menurut Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya’-Ulumuddin menjelaskan bahawa ikhlas ialah sesuatu yang bersih dari campuran yang dicemarinya dinamakan sesuatu yang murni. Manakala menurut pandangan al-Fudhail beliau berkata bahawa, “Meninggalkan amal kerana manusia adalah riya’ dan beramal kerana manusia adalah syirik sedang keikhlasan itu ialah bila Allah s.w.t. membebaskan kamu dari kedua sifat itu.”

Kedua, kita harus berusaha dalam diri kita untuk menjadi teladan dan contoh terbaik kepada orang yang melihat kita. Qudwah Hasanah ini telah ditonjolkan dan dibuktikan kejayaan dakwah Baginda Rasulullah s.a.w. melaluinya. Ketiga adalah metodologi yang dipelbagaikan agar penyampaiannya sampai ke setiap peringkat lapisan masyarakat. Kreativiti di dalam menggunakan persekitaran sebagai ruang dakwah adalah yang paling berkesan sebagaimana yang telah dibuktikan di dalam sejarah dan usaha dakwah mereka yang terdahulu.

Keempat pula, pemilikan ilmu dan penguasaan pemahaman tentang perkara dan isu yang pelbagai juga adalah senjata ampuh yang perlu kita tingkatkan bersama. Ia termasuklah memperhalusi permasalahan di dalam masyarakat setempat dan kelompok yang hampir dengan kita. Ilmu psikologi juga perlu bagi memahami konteks dan diri mereka yang menjadi mad’u kita dalam usaha dakwah. Kelima, pula berkenaan dengan perkara yang lemah lembut di dalam usaha-usaha dakwah. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Sesiapa yang memerintah kepada yang makruf, maka hendaklah berurusan dengan cara yang makruf,” atau dalam riwayat yang lain yang maksudnya, “Sesiapa yang menyuruh perkara yang makruf maka hendaklah bercakap dengan lemah lembut.” Sifat sabar dan cekal juga perlu dijadikan tunjang kepada usaha dakwah itu sendiri. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Luqman ayat 17;

"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya”

Keenam, seorang pendakwah perlulah faham bahawasanya usaha dakwah ini adalah untuk mengembalikan Islam sebagai yang haknya dan bukan mencampuradukkan keperluan dan kepentingan beberapa pihak dan peribadi. Ciri-ciri ini adalah sebahagian dari perbincangan yang boleh kita aturkan dan perbaiki jika kita sebagai pendakwah ini masih diperingkat perubahan dan pembaikkan atau islah. Semoga persiapan ini dapat kita adakan dalam melalui proses yang kedua sebelum tiba pada peringkat terakhir dalam usaha dakwah kita.

4.59 petang
25 Oktober 2010
PKM A, Kuala Selangor

Friday, October 22, 2010

KITA SEDANG BELAJAR


“Ok, kalau kakak dapat A, satu A pak ngah bagi 10 ringgit, nak tak?” Saya memulakan bicara dengan anak buah saya Afwa. “Nak!” Jawabnya sambil tersenyum. “Kalau kakak dapat 10A, berapa kakak dapat? Seratus ringgit tau,” tambah saya lagi. Begitulah perbualan antara saya dengan anak buah saya yang baru darjah satu ketika dalam perjalanan menghantarnya ke sekolah.

Apabila kita hendak memberi pasti, kita mengharapkan pemberian itu akan ada balasannya. Ia merupakan suatu dorongan atau motivasi yang natijahnya dapat kita lihat diakhirnya. Begitu jugalah dalam hidup kita bertuhan ini. Apabila Allah berikan kaki, pastilah ada harapan-Nya daripada pemberian itu. Tetapi Allah, tidak mengharapkan makhluk-Nya dan tidak memerlukan kita pun. Cuma, kadang-kadang kita menjadi pelik, apabila rezeki dihadapan mata kita pun, ia tidak sampai kepada kita. Apabila rezeki kita sudah sampai ke mulut, tetapi tidak masuk ke dalamnya kerana terjatuh dan menjadi santapan kucing dan semut di kedai makan.

REZEKI ATAS KEPALA
Saya teringat perbincangan dengan beberapa orang teman-teman di Melati Curry House, “Rezeki ni dah atas kepala ni, tunggu Allah kata ‘kun’ je,” kata Jo memulakan bicara. Hampir 1 jam kami berbincang tentang perancangan serta natijah daripada beberapa program yang telah disahkan tetapi tidak diizinkan untuk kami melaksanakannya. “Kita kena banyak sembahyang lagi ni,” kata saya bersahaja. Dalam ketawa ada mesej keras yang cuba saya lontarkan. Teman-teman juga faham dan masing-masing menganggukkan kepala.

Apa sahaja yang bakal kita hadapi, kita rencana dan harapkan semuanya akan kita terima atas belas kasih sayang Allah kepada manusia. Oleh yang demikian, tugas kita adalah berusaha serta kembali bertawakal kepada Allah untuk memastikan usaha itu membuahkan serta memberikan natijah kepada kita semua. Inilah kehidupan yang mana sebenarnya Allah sedang mengajar kita untuk memahami kasih sayang dan cinta-Nya kepada hamba-Nya. Barangsiapa yang sentiasa mengharap, sudah tentu Allah akan izinkan, cuma bila, itu yang tidak diketahui.

Belajarlah dari apa Allah sediakan, lihatlah lebih jauh dari apa yang mampu kita lihat, fikirlah lebih dalam dari apa yang mampu kita fikirkan dan bertindaklah dengan merapatkan lagi diri kita dengan Allah s.w.t. Apabila ditimpa kesusahan, kita amat mudah kembali kepada Allah, tetapi jika kita diuji dengan kesenangan, kita akan sukar untuk ingat kepada-Nya. Bila kita susah, kita akan sentiasa mengharap kepada-Nya tetapi jika kita senang, pasti kita akan melupai Allah kerana kita mula percaya bahawa, duit atau kesenangan buat kita adalah mencukupi buat kita. Marilah kita TUNE diri kita.


7.48 pagi
22 Oktober 2010
Rumah PKNS, Taman Malawati, Kuala Selangor


Tuesday, October 19, 2010

PENJELASAN DAN PENERANGAN MARHALAH ‘TA'RIF’


Kita menyambung perbincangan kita kepada tajuk seterusnya selepas membincangkan pendahuluan atau pembukaan tajuk ‘Jalan Dakwah’. Kembali kita mengingatkan semula, bahawasanya, di dalam menelusuri jalan dakwah yang menjadi pilihan hidup kita bersama, terdapat tiga peringkat yang wajib berjalan seiringan. Tahap pertama adalah pengenalan (Ta’rif), kedua tahap pembentukan (Takwin) serta ketiga tahap perlaksanaan (Tanfiz). Hal ini harus dikongsikan dengan sebaik mungkin. Ia mempunyai ciri-ciri serta nilainya yang tersendiri pada setiap tahap atau marhalah dan seharusnya menjadi rujukan untuk persiapan generasi kini dan akan datang.

PENGENALAN DAKWAH (TA’RIF)

Peringkat pertama ini merupakan peringkat yang amat penting dalam melalui jalan dakwah yang sebenar. Ianya akan mempengaruhi tahap-tahap yang seterusnya. Ini bermakna, rosak bermakna rosaklah pada marhalah atau tahap yang kedua dan ketiga. Usaha-usaha yang dilakukan dalam marhalah satu ini seharusnya sahih, benar dan sejahtera.

KEMURNIAN DAKWAH

Usaha dakwah adalah amat perlu dilaksanakan dalam suasana dan keadaan yang sangat murni dan baik. Kemurniaan itu bermaksud, segala usaha dakwah ini seharusnya bersih dari sebarang campur-aduk pandangan atau matlamat perjuangannya. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pelbagai pihak, baik penentang agama Islam itu sendiri bahkan yang lebih dikhuatiri adalah musuh-musuh yang datang dari dalam selimut sendiri. Pada hari ini, perjuangan serta usaha dakwah ini telah dicampur-adukkan dengan pandangan politik, kesamarataan yang disitilahkan juga sebagai adil, keadilan yang berlatarbelakangkan rujukan kitab hak asasi manusia dan pelbagai lagi kerosakan perjuangan dakwah yang akhirnya menyesatkan serta melahirkan para da’i yang menyimpang dan berjalan luar dari jalan dakwah sebenar.

Ini lebih membimbangkan apabila usaha dakwah ini disaingi oleh bentuk-bentuk pemikiran yang merosakkan yang dijana oleh musuh-musuh Islam sehinggakan mereka tidak lagi meletakkan Islam sebagai cara hidup. Kemurnian sebenar dalam urusan dakwah ini perlu kembali menjadikan Al-Quran sebagai dustur atau rujukan utama yang mana ia juga merupakan mukjizat dari Allah s.w.t. dengan janji-Nya bahawa ia akan terpelihara sehingga ke hari kiamat. Al-Quran perlu kembali menjadi keutamaan dalam diri setiap pendakwah dan dituruti dengan amalan dan tinggalan dalam sunnah Rasulullah s.a.w. Kita mesti kembali kepada kefahaman yang benar sebagaimana kefahaman para salafussoleh di zaman Rasulullah s.a.w. dan Khalifah Ar-Rasyidin r.a.

Kefahaman ini turut telah diberikan pesanan oleh Imam Hassan Al-Banna. Antara pesanannya yang utama adalah pendakwah bukan datangnya dari golongan ‘qadhi’ atau penghukum. Ini kerana pandangan seseorang pendakwah diisi dan dipenuhi dengan perasaan kasih sayang sehinggakan mereka yang melakukan maksiat atau kesalahan adalah orang yang penting untuk diselamatkan dan diberikan peringatan. Oleh yang demikian, dengan apa yang berlaku pada hari ini, dengan pelbagai gejala dan kerosakan, maka sebagai pendakwah, tugas kita pasti bertambah dan memerlukan lebih banyak pengorbanan serta menyebarkan lebih luas makna kasih dan sayang. Mereka wajib difahamkan bahawa dengan cara hidup Islam sebenar dan bukan tugas kita untuk mewujudkan dinding serta tabir kebencian serta rasa takut mereka terhadap pendakwah itu sendiri melalui kekerasan mahupun tindakan yang mempersendakan mereka.

DAKWAH SEMPURNA DAN MENYEMPURNAKAN

Tugasan kita adalah untuk menyampaikan dakwah agama yang telah sempurna. Usaha dakwah yang sempurna ini telah didahului oleh Rasulullah s.a.w. Contoh yang wajib diteladani tetapi malangnya sudah suram dan tidak diikuti. Apa yang telah ditunjukkan oleh Ar-Rasul s.a.w. adalah gambaran Islam sebagai satu cara hidup yang aman, selamat dan penuh dengan kesejahteraan. Permulaan perjalanan dakwah Baginda s.a.w. penuh dengan pelbagai ranjau yang dilalui dengan tabah dan sabar. Begitulah tulusnya Baginda s.a.w. bahkan berdoa, “Wahai Tuhanku, berilah hidayah kepada kaumku, kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui.”

Hidup manusia merupakan satu lambang kesatuan yang sempurna lagi menyempurnakan. Islam pula datang untuk menyempurnakan cara hidup mereka. Islam merupakan pelengkap dalam kehidupan serta ia juga perlukan kelengkapan yang Allah s.w.t. seperti fahaman-fahaman ideologi yang pelbagai yang diciptakan oleh manusia sendiri. Oleh demikian, berlakulah tugas sebenar sebagai seorang Muslim dan ia perlu diterjemahkan dengan selengkapnya tanpa sebarang pemecahan dan penyelewengan. Dasar utama dalam dakwah Islam yang sempurna lagi menyempurnakan dicatatkan oleh Al-Imam Hassan Al-Banna di dalam ‘Rukun Fiqh’ yang beliau menyatakan;

“Islam itu satu nizam, satu sistem hidup yang lengkap, syumul dan merangkumi setiap realiti kehidupan. Jadi Islam itu adalah daulah dan tanahair atau pemerintahan dan ummah. Ia adalah akhlak dan kekuatan serta rahmah dan keadilan, ia adalah kebudayaan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman. Ia adalah harta benda atau usaha dan kebudayaan, Ia adalah jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah sebagaimana ia sebagai akidah dan ibadah.”

PARA PENDAKWAH

Pendakwah seharusnya memiliki serta beriltizam untuk membina sifat-sifat asasi peribadi da’i yang sahih dan benar. Ia adalah penting dalam usaha untuk merealisasikan cita-cita dalam memperkenalkan dan memperkembangkan kerja-kerja dakwah. Satu dari sifat yang utama adalah menjadi contoh dan teladan yang baik bagi setiap mereka yang melihat. Maka ia mestilah bermula dari diri yang menunaikan segala rukun Islam, mengikuti sunnah dan cara hidup Rasulullah s.a.w. serta menjauhi perkara yang dilarang Allah s.w.t. Ia juga harus diterjemahkan ke dalam kelompok keluarga serta masyarakat.

Keikhlasan pendokong dakwah dalam melaksanakan tugas mereka juga merupakan satu faktor penting. Ia memerlukan kebulatan hatinya hanya kerana Allah s.w.t. bukan atas dasar kepentingan dan keuntungan dunia yang amat kecil. Keikhlasan itulah melahirkan kata-kata yang mampu menembusi hati serta mendatang kesejahteraan dalam jiwa mereka yang mendengar. Pendek kata, bagi seorang pendakwah, cakap itu dakwah, jalan itu dakwah, hidupnya juga dakwah. Ia semuanya adalah kerana dan bersama dakwah.

Untuk meningkatkan keberkesanan dalam dakwah, pendakwah haruslah mempunyai pengetahuan dan ilmu yang luas. Ia harus hadir melalui pembacaan, mengikuti perkembangan semasa serta memahami pelbagai ideologi dan aliran pemikiran semasa. Hasilnya, mereka akan menggambarkan Islam dengan sebaik-baiknya dan mereka akan dapat menyebarkan dakwah dengan lebih berkesan. Firman Allah s.w.t. di dalam surah An-Nahl ayat 125;

“Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

Setiap da’i harus mengetahui tahap pemikiran masyarakat yang didakwahkan serta menyesuaikan apa sahaja maklumat yang disampaikan. Selain itu, haruslah mereka tahu maksud dan tujuan pada setiap kata dan tingkahlaku mereka. Setiap kerja dakwah mestilah dimulakan dengan perkara akidah dan iman dan dielakkan daripada perkara-perkara cabang sehinggalah menjelaskan cara hidup Islam yang sebenar. Tugas menyampaikan dakwah ini adalah tugas untuk menyeru manusia kembali ke jalan Allah yang dilakukan dengan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang ganjaran. Namun kerapkali berlaku keadaan dimana usaha-usaha dakwah ini seolah-olah telah terpedaya berdasarkan kepentingan-kepentingan lain yang datang bersama usaha dakwah tersebut. Maka diperingatkan wahai para du’at, usahlah terpedaya dan alpa dengan kejayaan yang kamu terima kerana sesungguhnya golongan yang mengikuti kamu ini adalah amat sedikit.

Walau sedikit, usahlah berputus asa kerana inilah yang dijanjikan Allah s.w.t. dan yang telah dilalui oleh para Rasul dan sahabat-sahabat Baginda serta orang-orang soleh selepasnya. Usah pula bersedih sekiranya usaha-usaha itu diganggu. Jika dibandingkan usaha itu dengan apa yang telah dilalui mereka yang terdahulu, nescaya kita hanya melalui sedikit dari apa yang telah mereka lalui. Jika kita berhenti, bayangkanlah jika mereka yang terdahulu berhenti dari menyampaikan dakwah hanya kerana diganggu, pasti hari ini Islam tidak dapat dirasai. Pesan Al-Imam Hassan Al-Banna, “Jadilah kamu dengan manusia itu sepohon pokok buah-buahan, mereka melemparnya dengan batu dan dia (pokok) melemparkan mereka dengan buahnya.”

12.49 pagi
19 Oktober 2010
Rumah PKNS, Taman Malawati, Kuala Selangor

Thursday, October 14, 2010

KEPENTINGAN JIHAD DALAM HIDUP MAHASISWA



“Papa nak pegi mana karang?” tanya isteri saya ketika saya menghantarnya ke Universiti Teknologi MARA di Shah Alam untuk kelas pengajian luar kampusnya. “Ingat nak solat kat masjid baru UiTM la” kata saya memasang niat. “Papa nak duduk kat masjid ke?” tanya isteri saya seperti berminat dan menggalakkan. “Tengoklah”, jawab saya ringkas. Saya meneruskan perjalanan saya setelah menurunkan isteri saya di hadapan fakultinya.

Tiba di masjid baru UiTM saya merasakan sedikit perubahan dan terasa seronok untuk berada di masjid yang aman dan amat sesuai rasanya untuk saya beri’tikaf sambil memikirkan modul yang perlu saya siapkan untuk dihantar kepada Ustazah Hanizah SAM Tanjong Karang untuk program asas kepimpinan. Entah mengapa agaknya, begitu mudah Allah isikan niat baik manusia ini. Betullah sebagaimana yang selalu kita dengari, apabila kita ada niat yang baik, pasti Allah akan melorong kita ke arah melakukannya. Berbanding sekiranya berniat tidak baik, Allah akan berikan pelbagai halangan sebagai peringatan kepada kita jika kita ini adalah tergolong dari kalangan orang-orang Mukmin.

Saya masuk ke masjid dan menunaikan solat Maghrib. Habis solat, saya berniat untuk tunaikan solat Isyak juga. Alhamdulillah niat saya tercapai. Bahkan, saya juga diberikan kesempatan oleh Allah s.w.t. untuk mendengar, sementara menunggu isteri saya, satu forum yang disusun dan dirancangkan oleh Pusat Pemikiran dan kefahaman Islam UiTM. Ia merupakan ruang yang cukup baik dan mengisi rasa kosong dalam jiwa saya. Apabila kita turuti apa yang baik dalam hati kita nescaya ia pasti akan membawa kita lebih rapat kepada Allah s.w.t. Tajuk yang dibentangkan adalah ‘Pengabaian Jihad dan Kesannya Kepada Ummat Islam Di Malaysia’ yang terdiri daripada ahli panel Prof. Madya Dr. Mustaffa Abdullah (UM), Dr. Syed Muhamad Haleem Syed Hassan Al-Haddad (Haluan Palestin) dan dipengerusikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Rosdi Nik Ahmad.

Wah, perbincangan yang sangat menarik. Tertarik saya mendengar apa yang dibincangkan sambil mata saya merayau melihat kelibat anak-anak muda mahasiswa dan mahasiswi yang belajar di UiTM ini. Terus hati saya berasa sayu. Mereka tidak pernah dengar mungkin apa itu jihad dan mengapa jihad itu penting. Kata Prof. Madya dari UM, jihad itu adalah satu perjuangan memartabatkan kehidupan kita sebagai manusia. Ia memerlukan semangat juang yang tinggi serta dilakukan dengan sepenuh hati, bersungguh-sungguh serta ikhlas semata-mata kerana Allah. Kelemahan kita hari ini yang berada di Malaysia, adalah hilangnya rasa dan nilai jihad ini dalam kehidupan seharian. Anak muda khususnya mahasiswa dan mahasiswi merupakan generasi utama yang perlu ditanamkan konsep jihad dengan lebih jelas. Sedang sibuk saya memasng telinga untuk mendengar kupasa tajuk forum itu, terpandang saya kepada seorang pensyarah bersama seorang pelajar lelaki yang sedang menyerahkan kertas kedatangan untuk ditandatangan oleh pelajar lain.

“Ustazah, ada pen tak?” tanya pelajar lelaki itu. “Pen pun tak bawak datang belajar ni! Pinjam dari kawan awak” tegur pensyarah tersebut. Tersenyum saya melihat tingkahlaku siswa tersebut. Ini ke siswa hari ini? Datang majlis ilmu dengan tangan kosong. Datang hanya dengan niat dan sain kedatangan. Datang hanya dengan niat sebab kena datang. Kemajuan dan kejayaan ummat di Malaysia ini amat bergantung dengan generasi mereka. Pada asalnya saya nak ketawa juga, tapi bila mengenangkan mereka ini mahasiswa dan mahasiswi, hati ini berubah dan timbul rasa sayang kerana mereka tidak diberikan pendedahan yang sebenar. Belajar itulah jihad buat diri mereka. Jihad untuk agama dan bangsa mereka.

“Jangan marah diorang, diorang muda lagi” ungkapan yang sering kita dengar apabila menegur anak-anak muda. Seolah-olah apa yang ditegur itu salah dan tindakan yang mereka buat itu betul. Benar pada satu sudut, orang yang baru belajar memang akan buat silap. Tetapi kesilapan yang berulang bukan bermakna dia belajar. Apa maknanya pula belajar jika tidak pernah dimarahi. Suasana di dalam masjid itu menggamit saya berfikir panjang tentang masa depan kehidupan anak-anak saya kelak. Kasihan mereka dengan keadaan yang ada di depan mata saya. Gadis-gadis jelita sebagai mahasiswi disebelah kiri saya pula ketika itu, sampai lambat dan masuk lambat. Bila dah berada di dalam ruangan masjid, boleh pula minum air sambil borak-borak dan bersandar di dinding. Sebahagiannya pula sibuk sedang sain kedatangan, buku nota? Langsung tidak kelihatan.

Si Ustaz sudah memulakan bicara hampir 30 minit, tetapi mereka yang dibelakang masih lagi sibuk bercerita entah tentang apa. Sekali-sekala saya terdengar juga humor Prof. Madya ketika mempengerusikan forum, tetapi bunyi ketawanya hanya dibahagian hadapan pelajar sahaja. Inilah padahnya apabila mahasiswa dan mahasiswi tidak memahami konsep jihad. Sehinggakan jihad dalam mereka belajar ini juga tidak menjadi keutamaan bahkan sekadar untuk bergelar pemegang ijazah sarjana muda.

“Toing...” tiba-tiba mesej pesanan ringkas saya berbunyi. Isteri saya memberitahu kelasnya sudah selesai. Tidak sempat untuk mendengar pembentangan kedua yang juga merupakan salah seorang sukarelawan yang ada di atas kapal Mavimarmara yang lalu. Sayang sungguh. Namun, itu bukanlah sebagai penamat dalam kehidupan, kadangkala, perkara yang seronok kita perlu berhentikan seketika agar kita dapat merasai kemanisannya. Benak fikiran saya terus berlegar-legar berfikir tentang jihad dan mahasiswa, apa peranan yang saya boleh buat dan libatkan dan apa yang sepatutnya kita semua buat? Jihad dalam diri pelajar semakin malap, tetapi pastinya bukan salah mereka sahaja, bahkan para pendidik juga mungkin jihadnya tidak kuat dan tidak bersungguh-sungguh. Cakap kuat, tapi buatnya, tepuk dada tanyalah iman. Kita TUNE diri kita sedikit demi sedikit, mungkin akan dapat membuat sedikit perubahan daripada tiada.


1.20 pagi
14 Oktober 2010
Rumah PKNS, Kuala Selangor

Monday, October 11, 2010

HARI-HARI DIPENUHI DENGAN WAWASAN


“Ya Allah Ya Tuhanku. Ku pohon Ya Allah, jika bebanan berat ini kerana balasan dosa ku Ya Allah, maka ampunkanlah aku. Jika bebanan berat amanah dan kesukaran hidup yang kau hidangkan untukku ini adalah kerana ujian ke atas ku Ya Allah, maka kau tingkatkanlah ketabahanku untuk menempuh ujian yang mendatang ini...” lidah saya lembut menuturkan doa ini, selesai solat Isyak yang lewat ditunaikan. Saya baru sahaja pulang dari perbincangan panjang bersama teman-teman seperjuangan tentang halatuju dan perancangan untuk menjalankan aktiviti dakwah dengan lebih berkesan.

Ya, saya kini berada dalam situasi yang agak menekan jiwa dengan kesukaran, kesibukan dan keutamaan yang perlu saya jalankan. Usaha untuk menggerakkan 2 atau 3 organisasi secara serentak dengan cabaran yang dihadapi amat berbeza adalah begitu sukar, menyibukkan serta susah untuk membuat pertimbangan yang mana harus diberikan keutamaan.

Tidak dinafikan, zaman kekalutan ini pernah dilalui oleh sesiapa sahaja yang bergelar lelaki, suami, ayah dan bos atau pengerusi. Ia amat memerlukan ketenangan, ketabahan, kecekalan serta kecekapan dalam memastikan setiap yang diamanahkan dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Pada diri saya sendiri, tidaklah semahir yang disebutkan. Tetapi... saya sedang berusaha ke arahnya.

Atas keperluan itu, setiap hari saya sentiasa dipenuhi dengan wawasan. Wawasan yang disusun dan dtetapkan berdasarkan keperluan dan kepentingan semasa. Wawasan jika disebutkan secara kebiasaannya juga dikenali sebagai cita-cita. Akan tetapi, apabila kita ditanyakan akan apa cita-cita kita, yang disebutkan kebanyakan manusia atau orang adalah apa yang ingin mereka kecapi atau ‘what do you want to be?’

Inilah momentum kerja atau motivasi yang wujud dalam diri kita melalui wawasan dan cita-cita. Apa yang pasti, cita-cita yang kita bayangkan ‘what do you want to be?’ pasti akan ada soalan susulannya seperti ‘so, what do you wan to do, to be a...?’ dan jawapan kepada soalan itu adalah melalui apa yang kita lakukan setiap hari. Bayangkan jika cita-cita kita untuk menjadi ahli syurga, jadi apa yang kita akan buat untuk menjadi ahli syurga? Dek kerana itulah disebutkan dalam hadis tentang kepentingan niat dan setiap amal bermula dengan niat. Baginda Rasulullah s.a.w. juga mengajarkan kita tentang hari ini mesti lebih baik dari semalam.

Kehadiran wawasan dalam diri kita setiap hari merupakan suatu matlamat jangkamasa pendek yang kita tetapkan untuk melakukan kerja-kerja dengan lebih berkesan. Ia juga adalah sebahagian isi penting dalam merealisasikan cita-cita besar dan utama kita semua. Apabila tiada hari ini, pasti tidak akan ada esok, dan adanya hari ini, kerana dengan izin Allah telah menjadi sejarah hari semalam.

Amanah yang dibebankan di atas pundak saya menjadikan saya berdiri dan menghadapi hari-hari saya dengan lebih berwawasan. Setiap kali malam, terasa sayang untuk dihabiskan hanya dengan tidur, tetapi apabila hari siang seolah-oleh begitu cepat masa berlalu. Masa tidak akan menunggu kita. Masa itu emas bak kata usahawan di sana sini, namun masa juga ibarat pedang, ia boleh membunuh jika tidak digunakan sebaik mungkin.

Sebagai Muslim yang tetap imannya kepada Allah, kita harus mempunyai persiapan untuk melalui hari esok, walaupun ia mungkin tiada untuk kita. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Ali Imran ayat 29 berbunyi;

“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam dada kamu atau kamu melahirkannya, nescaya Allah mengetahuinya; dan Dia mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu” (Ali-Imran: 29)


Apa sahaja niat kita untuk melakukan kebaikan, maka Allah akan sediakan pahala untuknya walaupun ia tidak dilaksanakan. Ia sesuai dengan sebuah hadis yang berbunyi,

“Niat seseorang itu lebih baik dari amalannya”


Maksud hadis ini adalah, niat berbuat baik itu ada pahalanya jika untuk melaksanakannya terdapat halangan yang besar yang tidak menyebabkan kita tidak mampu melakukannya. Impak hadis menjadikan cita-cita dan wawasan yang kita tanamkan untuk hari esok amat berharga dan perlu dilakukan sentiasa. Ia suatu dorongan dan mestilah diiringi dengan kepercayaan ‘InsyaAllah’. Riwayat hadis yang lain juga menyebutkan yang bermaksud;

“Sesungguhnya Allah Ta'ala itu tidak melihat kepada tubuh-tubuhmu, tidak pula kepada bentuk rupamu, tetapi Dia melihat kepada hati-hatimu sekalian" (Hadis Riwayat Muslim)


Maka, rancanglah dan pasanglah niat untuk membuat kebaikan pada keesokan hari kita. Ia adalah wawasan yang mendorong kita untuk menjadi lebih baik disamping kelebihan merencana hidup dengan lebih berkesan. Jika tidak kesampaian kerana ajal, maka redhalah. Sesungguhnya kita ini adalah khalifah yang memikul amanah pada masa yang sama hamba yang wajib berserah.

Dari Abul Abbas, iaitu Abdullah bin Abbas bin Abdul Muththalib r.a. dari Rasulullah s.a.w. dalam suatu uraian yang diceritakan dari Allah s.w.t. atau lebih dikenali sebagai Hadis Qudsi Baginda bersabda;

"Sesungguhnya Allah Ta'ala itu mencatat semua kebaikan dan keburukan, kemudian menerangkan yang sedemikian itu (yakni mana-mana yang termasuk hasanah dan mana-mana yang termasuk sayyiah). Maka barangsiapa yang berkehendak mengerjakan kebaikan, kemudian tidak jadi melakukannya, maka dicatatlah oleh Allah yang Maha Suci dan Tinggi sebagai suatu kebaikan yang sempurna di sisi-Nya, dan barangsiapa berkehendak mengerjakan kebaikan itu kemudian jadi melakukannya, maka dicatatlah oleh Allah sebagai sepuluh kebaikan di sisi-Nya, sampai menjadi tujuh ratus kali ganda, bahkan dapat sampai menjadi berganda-ganda yang amat banyak sekali. Selanjutnya barangsiapa yang berkehendak mengerjakan keburukan kemudian tidak jadi melakukannya maka dicatatlah oleh Allah Ta'ala sebagai suatu kebaikan yang sempurna di sisi-Nya dan barangsiapa yang berkehendak mengerjakan keburukan itu kemudian jadi melakukannya, maka dicatatlah oleh Allah Ta'ala sebagai satu keburukan saja di sisi-Nya." (Muttafaq 'alaih)


Bersamalah kita TUNE diri kita.


1.16 pagi
11 Oktober 2010
Rumah PKNS, Kuala Selangor


Thursday, October 7, 2010

BEREMOSI TENTANG UMMAT


Kesibukan pagi saya sentiasa mencari apa yang memulakan setiap hari yang mampu membina iman dan kehidupan yang bermakna jika sekiranya inilah hari terakhir dan inilah saat penghujung sebelum datang Malaikat Izrail memberikan khabar bahawa “Waktumu telah tamat dan tiba untukku melakukan tugasku”. Terfikir juga bagaimana agaknya persiapanku jika tiba-tiba muncul dihadapan mata. Pada ketika itu, tiada ruang atau masa yang boleh ditangguhkan bahkan itulah masanya.

Sebenarnya saya masih tercari-cari, apa yang akan saya tuliskan dan kongsikan sehinggalah tiba-tiba “Kriiing, kriiing, kriiing” sapa telefon bimbitku di dalam bilik. “Wakjam”, kata hati saya. Dialah senior saya yang selalu juga bergaduh dan kadang-kadang terasa hati dengan tindakan dan kata-katanya. Tetapi biasalah, ‘akukan abang’. Namun, dialah juga naqib yang membimbing dan membawa saya kepada kerja-kerja dakwah yang hampir dengan masyarakat sehinggakan hari ini saya amat beremosi dengan ummat saya sendiri.

“Assalamualaikum, Kam, sorry lah ganggu pagi-pagi ni, abang dijemput untuk bagi pengisian dalam usrah PEPIAS UIA malam ni, ada apa-apa bekalan nak bagi?” tanya Wakjam kepada saya. Bukan bermakna abang saya si Wakjam ni tiada idea, tetapi saya amat memahami kerisauan yang dia hadapi apabila diminta untuk memberikan peringatan kepada adik-adik khususnya di dalam PEPIAS itu sendiri. Ketika berbicara dengannya, saya terasa amat sayu dan sebak, seolah-olah ingin mengalir airmata apabila mengenangkan wajah-wajah ceria adik-adik PEPIAS.

Saya pun berikanlah beberapa pesanan yang saya rasakan perlu diberikan tumpuan, namun ternyata, apa yang saya fikirkan telah disediakan oleh Wakjam. Cuma dia minta, agar ada pendekatan yang mungkin lebih tersentuh hati untuk memulakan bicaranya. Saya mula terasa amat sayu. Kesayuan ini membuatkan saya teringat kepada pengakhiran program TSCQ saya bersama ABIM dan fasilitator FaDelaT juga beberapa orang fasilitator PEPIAS. Macam-macam fikir saya ketika berlangsung program tersebut. Sehinggalah ketika majlis penutup, selepas mendengar ucapan dari Jo, sahabat saya yang garang, saya meneruskan tutur bicara menyampaikan pesan kepada adik-adik SMK Seksyen 19 Shah Alam. “Abang tahu, bahawa abang ini memang tidak layak langsung untuk berada di dalam syurga, dengan dosa kesalahan dan kurangnya berbuat amal kebaikan, tetapi apa yang abang sentiasa berdoa dan harapkan, ketika abang menghampiri pintu neraka, nak dicampakkan masuk ke dalam neraka...” tiba-tiba saya memberhentikan kata-kata dan airmata saya mula mengalir. “Abang sangat-sangat berharap, akan adalah dikalangan adik-adik ini yang akan beritahu malaikat Malik, jangan masukkan abang Kam ke dalam neraka, kerana dialah yang mengingatkan saya tentang hakikat kehidupan beragama ini”, sambung saya dalam keadaan teresak-esak dan cuba menahan tangisan itu.

Apabila saya cuba mengenang semula apalah yang menyebabkan saya beria-ia menangis ketika itu? Sayabegitu beremosi dan emosi itu untuk siapa? Teringat kisah bagaimana Rasulullah s.a.w. ketika tiba waktu ajal Baginda, Baginda berpesan kepada Fatimah “Wahai Fatimah, pergilah kamu bertemu Bilal, minta mereka mulakanlah solat Subuh tanpaku kerana aku tidak berdaya untuk bangun”. Fatimah tidak berlengah dan bertemu dengan Bilal. “Mana boleh, mereka tidak akan bersolat jika tidak bersama Baginda!” tegas Bilal dan kemudiannya mengajak beberapa orang lagi bersamanya untuk membawa Baginda ke masjid. Baginda bersolat dibelakang Abu Bakar ketika itu dan Abu Bakar juga amat beremosi kerana dia tahu, inilah hari terakhir kehidupan insan agung itu.

Sehinggalah apabila Baginda berpesan kepada Fatimah “Hari ini aku tidak mahu menerima tetamu kerana ku sedang sakit”. “Tuk, tuk, tuk”, bunyi ketukan pintu rumah Baginda. Fatimah membuka pintu dan memberitahu apa yang dipesan Rasulullah. “Siapa itu Fatimah?” tanya Rasulullah. “Aku tidak kenal dia, tetapi aku sampaikan pesanmu. Apabila aku memandangnya, rasa berdebar jantung wahai ayahku”, jawab Fatimah jujur. “Benarkan dia masuk, sesungguhnya dialah malaikat Izrail”, kata Rasulullah tenang.

Subhanallah, apakah yang akan kita buat apabila Izrail datang bertandang begini? Dipendekkan cerita, Izrail meneruskan tugasnya sebagai malaikat pencabut nyawa. Ketika sedikit demi sedikit Rasulullah ditarik rohnya, Baginda mengerang, “Sakiiit, sakiiit! Izrail aku ini kekasih Allaaah! Tidak adakah cara lain yang lebih baik?” tanya Baginda. Menangis Jibrail yang bersama Rasulullah, apatah lagi Izrail itu. “Tiada Wahai kekasih Allah”, jawab Izrail. Sehinggalah sampai ke saat akhir Rasulullah masih mengerang kesakitan dan bertanya Rasulullah s.a.w. kepada Izrail, “Adakah semua ummatku akan merasai kesakitan ini?”. “Ya”, jawab Izrail.

“Jika begitu, aku pohon agar biarlah semua kesakitan mereka itu aku pikul, agar mereka tidak merasai kesakitan ini”, kata Rasulullah lemah. “Setiap yang hidup pasti merasai mati,” jawab Izrail. Semua kita akan merasai apa yang Rasulullah rasa, begitulah berakhirnya kata-kata ‘ummati, ummati, ummati’ pada lidah Rasulullah. Baginda juga amat beremosi terhadap ummatnya dan nasib mereka di akhirat kelak. Kekasih Allah ini menangis dan merasai kerisauan tentang kita semua ummat Islam, bagaimana dengan kita? Ya Allah, berikanlah kekuatan untuk aku terus berdakwah dan berada atas jalan dakwah ini.

Adik-adik, sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian.

Kita semua berada dan hidup pada hari ini adalah atas kasih sayang Allah memilih kita untuk meneruskan hidup. Kita berada di dalam jemaah PEPIAS atau ABIM ini juga kerana pilihan-Nya. Kita bercakap dan mendengar dengan aman juga atas pilihan-Nya. Kita ada ibu dan bapa juga atas pilihan-Nya. Jangan lupa, kita adalah pilihannya untuk masih mengingati-Nya. Kita hanya diberikan peluang untuk memperbaiki diri kita kerana kita banyak berdosa berbanding orang-orang lain. Usahlah mendabik dada apabila berjalan di atas muka bumi Allah ini.

Teringat kata-kata Imam Hassan Al-Banna, “Sesungguhnya pembentukan ummah, pendidikan bangsa-bangsa, merealisasikan cita-cita dan mendokong pendirian (pegangan hidup) memerlukan ummah yang berusaha ke arah itu atau dari golongan yang menyeru kepadanya. Ini sekurang-kurangnya memerlukan kekuatan jiwa yang terhimpun di dalamnya beberapa perkara;
  1. iaitu kemahuan yang tidak mengenal lemah,
  2. kesetiaan yang tetap yang tidak disaduri oleh kepura-puraan dan khianat,
  3. pengorbanan yang banyak yang tidak dihalang oleh tamak dan haloba serta kebakhilan,
  4. dan makrifah (mengenalpasti) dasar pegangan hidup, beriman kepadanya dan menghargainya sungguh-sungguh.

Semuanya itulah yang memelihara (kita) dari kesalahan dan penyelewengan daripadanya (pembentukan) dan tawar-menawar (apologetik) di atas perkara dasar dan tidak terdaya dengan yang lainnya".

Maka, marilah kita berusaha ke arahnya, biar sedikit, asal berbuat dari sekadar bising tetapi tidak memberi manfaat. Semoga Allah masih memilih aku dan kita semua untuk kekal berjalan atas muka bumi ini dengan berdakwah dan memberikan peringatan kepada sesama Muslim. Moga apabila kita dipilih oleh Allah, kita akan memanfaatkan peluang itu sebaiknya, BEREMOSI TENTANG UMMAT, agar kita sentiasa merasai keperitan perjuangan Rasulullah dan para sahabat dalam memastikan keIslaman kita hari ini, dan dek kerana kasih sayang mereka yang amat tinggi. TUNE diri kita.




9.04 pagi,
7 Oktober 2010
Rumah PKNS 2, Kuala Selangor