Monday, September 27, 2010

MARHALAH DAKWAH SERTA TUNTUTANNYA


Perbincangan mengenai jalan dakwah ini telah dipelopori oleh senior-senior dakwah yang melalui jalan ini denganpelbagai pengalaman pahit dan manis. Kehidupan yang penuh dengan cabaran dan liku serta tidak punya jalan mati atau tempat berhenti melainkan beberapa tempat rehat sementara yang Allah anugerahkan atas tujuan untuk menjadikan diri lebih baik, lebih berkesan dan menjadi iktibar untuk masa-masa akan datang.

Kita perlu mengenali jalan dakwah ini dengan lebih baik dan mendalam agar kita tidak berpecah serta berpisah daripadanya dengan melalui jalan-jalan lain yang pelbagai dan kita khuatiri, ia akan menyesatkan. Ia adalah disebabkan matlamat yang tidak jelas, niat yang bercampur-baur serta membawa bersama diri kita ini kepentingan untuk memiliki atau merasai sesuatu. Oleh yang demikian, marilah bersama kita mengambil faedah dari pengalaman para pendakwah yang terdahulu dari kita agar ia sentiasa menjadi benteng, batas mahupun sendal dari melampaui apa yang sepatutnya dilalui dan dirasai. Firman Allah dalam surah Ar-Rum ayat 4 hingga 5 Allah menyatakan;

“Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira dengan kemenangan yang diberi Allah. Ia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.”

Menurut Al-Ustaz Mustafa Masyur, kita sebenarnya berada di marhalah yang paling genting, terutama bersama sejarah terbesar dalam seluruh kehidupan manusia. Jika diperhatikan dan fikir-fikirkan, terdapat banyak persaman antara medan dakwah terawal ketika permulaan Rasulullah s.a.w. di Mekah dan pada hari ini. Kewajipan, peranan serta tindakan yang digunakan Rasulullah dalam menyantuni dan berhadapan dengan rakyat sama ada yang Muslim atau tidak juga amat berbeza antara Mekah dan Madinah. Pada peringkat permulaan usaha dakwah Rasulullah s.a.w. di Mekah Baginda amat mementingkan perkara-perkara yang berkaitan dengan iman yang mendalam, kesabaran dan menyabarkan pembentukan yang rapi, pergerakan dan tindakan yang halus dan teliti serta amalan-amalan yang dilakukan adalah berterusan dan kenal jerih dan payah. Namun, bilangan mereka ini amat sedikit dan sering mendapat pelbagai ancaman dan ugutuan tentang keimanan mereka yang mana, mereka tidak gentar dan takut untuk mengorbankan nyawa demi mempertahankan keimanan mereka.

Maka menurut As-Syahid Al-Imam Hassan Al-Bannam “Sesungguhnya pembentukan ummah, pendidikan bangsa-bangsa, merealisasikan cita-cita dan mendokong pendirian (pegangan hidup) memerlukan ummah yang berusaha ke arah itu atau dari golongan yang menyeru kepadanya. Ini sekurang-kurangnya memerlukan kekuatan jiwa yang terhimpun di dalamnya beberapa perkara: Iaitu kemahuan yang tidak mengenal lemah, kesetiaan yang tetap yang tidak disaduri oleh kepura-puraan dan khianat, pengorbanan yang banyak yang tidak dihalang oleh tamak dan haloba serta kebakhilan, dan makrifah (mengenalpasti) dasar pegangan hidup, beriman kepadanya dan menghargainya sungguh-sungguh. Semuanya itulah yang memelihara (kita) dari kesalahan dan penyelewengan daripadanya (pembentukan) dan tawar-menawar (apologetik) di atas perkara dasar dan tidak terdaya dengan yang lainnya".

Jelas sekali, keperluan dalam emastikan ummah ini terbentuk, terdidik serta mencapai cita-cita sebenar perjuangan Islam memerlukan mereka yang berjuang dengan sepenuh jiwa mereka. Jiwa mereka ini pula perlu disirami dengan beberapa benteng atau dinding yang akan membuatkan mereka bertahan, bersabar serta istiqamah dalam berusaha ke arah pencapaian cita-cita yang besar. Marilah kita berdoa kepada Allah s.w.t. agar sentiasa diberikan hidayah dari Allah s.w.t. untuk sentiasa istiqamah serta berjuang untuk meneruskan kerja-kerja yang ditinggalkan oleh generasi yang terdahulu ini. Terdapat 3 marhalah yang perlu diberikan perhatian oleh kita semua dalam memastikan kerja-kerja yang ditinggalkan ini disambut dengan baik dan dilaksanakan dengan cara yang paling berkesan. Pertama, marhalah ad-d’ayah atau marhalah al-ta’rif. Ia bermaksud peringkat memperkenalkan dan menyampaikan berita atau perkhabaran tentang pergerakan serta keperluan untuk bersama dalam gerakan ini.

Kedua ialah marhalah at-takwin yang bermaksud peringkat membentuk. Pada peringkat ini, satu langkah proaktif perlu diambil dalam membentuk kepimpinan serta pengganti baru bagi sesebuah gerakan itu. Maka mereka itu perlu dipilih dan didik agar mereka berjaya mewarisi dan menggantikan kepimpinan yang ada. Marhalah yang terakhir adalah marhalah tanfiz atau perlaksanaan, amal dan usaha untuk mencapai matlamat perjuangan yang sebenar. Ketiga-tiga marhalah ini wajib berjalan serentak tanpa meninggalkan atau menangguhkan walau satu darinya. Jika ia berjalan seiring, tidak pula sempurna jika ia tidak mengikut tertib, dan tidak sempurna pula tanpa pengenalan makrifah dan sahih yang benar, serta tidak mungkin lengkap tanpa satu dasar pendidikan yang sempurna.

MEMPERKENALKAN DAN MEMBERIKAN PERKHABARAN

“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Al-An’am: 153)

Ayat Allah s.w.t. di atas menjelaskan keperluan dan kepentingan kepada kita yang Islam untuk tidak melakukan apa-apa penyelewangan dalam proses pengenalan marhalah ini. Jelas sekali, sebagaimana yang dicontohkanoleh Rasulullah s.a.w. bagaimana wahyu yang disampaikan kepadanya, disebar dan disampaikan pula kepada ummat Islam dengan cara yang amanah dan benar. Apakah yang akan berlaku sekiranya Nabi Muhammad s.a.w. itu menyampaikan berita yang salah? Inilah penjelasan yang berlaku kepada penganut Kristian hari ini yang mana, setiap wahyu yang disampaikan di dalam injil telah ditukar dan ditentukan berdasarkan keperluan peribadi serta kepentingan pihak-pihak tertentu. Pengajaran ini harus diambil oleh kita yang mendokong gerakan Islam ini serta perlu sentiasa dijadikan peringatan agar kita bukanlah dari golongan yang mencerai-beraikan (fatafarraqa) mereka dari jalan Allah.

Maka adalah perlu, wajar dan wajib sekali buat kita untuk kembali semula menyoroti sejarah perjuangan Rasulullah s.a.w. Begitu juga para sahabat, salafussoleh serta ulama’ulama’ mahsyur yang lain agar dapat mengembalikan dokongan yang sebenar melalui sumber rujukan juga yang benar. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Ahzab ayat 23 yang bermaksud;

“Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.”

Inilah golongan yang perlu kita turuti dan sertai di mana sepanjang hayat dalam melalui jalan dakwah ini, bersikap benar dan tidak sekali-kali untuk menipu atau mementingkan diri sendiri kerana Allah itu Maha Mengetahui serta ia adalah amalan sia-sia buat diri kita sendiri. Apa yang kita harapkan adalah untuk menjadi Muslim yang gugur tatkala memperjuangkan dan mempertahankan iman kita demi Allah s.w.t. Jika Allah tidak pilih kita, maka bersabarlah dengan giliran Allah itu, jangan pula kita angkat kaki dan mula meragui janji Allah pada kita. Allah tidak pernah tidur, dan Allah Maha Mengetahui setiap amal perbuatan yang kita kerjakan. Maka, buatlah apa yang Allah sukai nescaya Allah akan berikan apa yang kita sukai.

27 September 2010
Rumah PKNS 2, Kuala Selangor

Tuesday, September 21, 2010

PERINGATAN DALAM DUKACITA


Allah itu Maha Besar. Syukur rasanya apabila sehingga ke saat ini, saya masih dapat berdiri, berjalan, melakukan tugas harian seperti biasa dan masih segar ingatan-ingatan semalam. Bermain dengan anak-anak, bermanja dengan si isteri dan dapat pula keluar dengan keluarga tersayang. Ya Allah, apakah yang Kau mahukan dari segala kesenangan ini Ya Allah? Saya faham dan saya sedar, saya tahu dan saya ingat, inilah pemberian yang Allah tidak pernah berhenti memberi kepada setiap makhluk-Nya, namun setiap nikmat yang datang, yang akan saya kembalikan kepada Al-Khaliq adalah dosa.

Pada tanggal 18 September yang lalu, saya bersama isteri dan beberapa orang ahli keluarga yang lain mendapat jemputan kenduri kahwin di Gemas. Perjalanan yang panjang itu membuat diri saya penat namun rasa berbaloi, dapat bersua dengan sanak saudara jauh dan dekat. Tika dalam perjalanan pulang saya, kami berhenti singgah di Rembau. Suasana sibuk bersiap dan bersalaman untuk kami berangkat pulang ke Putrajaya.

“Kring, kring...”, telefon isteri saya berbunyi. Lalu diangkatnya. “Hello, assalamualaikum”, dia memulakan bicara. Kami mula bergerak untuk keluar dari rumah tersebut. “Hah, macamana boleh jadi macam tu?! Astaghfirullahal’azim”, terdengar isteri saya dengan suara terkejut dan cemas. “Kenapa?”, tanya saya kebingungan. “Hafizi jatuh dalam kolam ikan rumah mak, lemas, Izan bagitau”, jawab isteri saya. Tersentap darah naik terus ke kepala, Ya Allah, apakah ujian mu ini? Berdebar rasa jantung, timbul rasa risau dan pelbagai perkara yang difikir. Terbayang dalam lubuk fikiran saya wajah anak kecil ini bertatih berjalan.

“Dah besar ke budaknya?” tanya Mak Andak Azizah. “Kecik lagi, baru setahun 3 bulan”, jawab isteri saya. Saya membayangkan, dalam keadaan cemas saya dan isteri, bagaimanalah keadaan Husna dan Edli? Emak dan Ayah kandungnya sendiri? Ya Allah, betapa hebat ujian yang Engkau timpakan kepada keluarga mereka. Tentu tinggi kasih sayang Mu terhadap mereka sehingga ujian nyawa yang Kau berikan kepada mereka.

Semalam (20 September), dalam sibuk saya mempersiapkan kerja yang bertangguh akibat menyambut hari raya berlebihan (sepatutnya 1 Syawal aje), hadir lagi berita yang mendebarkan apabila adik ipar saya yang sarat mengandung telah dimasukkan ke hospital dan dijangka akan melahirkan anak. Ya Allah, ini ujian besar untuknya. Anak pertama, bukan senang orang kata. Saya, belum ada pengalaman bahkan tidak akan ada pengalaman melaluinya sendiri. Bertarung nyawa untuk satu nyawa yang lain. Sampai sahaja berita kepada ibu mertua saya, sibuklah dia mengajak ke hospital untuk temankan anaknya. Saya bersedia, “Jomlah bu, boleh je...”, jawab saya selamba.

“Toing...”, bunyi mesej pesanan ringkas telefon bimbit sayaberbunyi. “Salam, saudara Engku Azri telah kembali ke ramatullah pada jam 11.15 pagi tadi, Al-Fatihah...”, tersentak dan tergamam saya sebentar. Ya Allah betul ke apa yang saya baca? Saya tatap sekali lagi dan saya pun mula membalas, “siapa ni?”. “Anwar bang, betul, abang boleh call hp dia, adik dia pegang, dia kebumi kat Terengganu”, balas pesanan itu tadi. Ya Allah, bertimpa-timpa peringatan Allah kepada saya. Apa persiapan saya? Saya tidak dapat cara lain melainkan sebarkan berita ini kepada orang lain. Macam berita Hafizi juga, saya hantarkan pesanan kepada seramai yang mungkin, harapan saya agar ia dapat melegakan perasaan Husna dan Edli, dan pada masa yang sama, ramai yang akan mendoakan aruah Abang Azri.

Setiap yang hidup pasti akan merasai mati. Perginya abang Azri, pada hari yang sama Allah lahirkan Nayla anak Izan yang juga anak buah saya. Ya Allah Yang Maha Agung, kau buktikan kuasa Mu dengan pelbagai perkara dihadapan mata. Tetapi mengapa saya masih selalu lupa dan alpa? Bagaimana kalau saya yang menjadi tugasan seterusnya Izrail? Setiap kesakitan, kematian, pasti ada yang terbaik yang telah Allah sediakan. Engku Azri meninggalkan isteri dan anak-anaknya pada usia yang baru mencecah 38 atau 39 tahun. Subhanallah. Ujian ini terlalu berat untuk sesiapa pun. Tetapi siapa yang dapat menghalang? Siapa yang boleh hentikan? Tiada siapa, bahkan kita tidak akan mampu merancang untuk menjauhkan diri dari kematian dan kesakitan. Tidak upaya.

Pengajaran yang paling besar buat saya adalah, Allah telah menunjukkan sesuatu padaku. Perkara yang kita fikirkan ya, boleh, ok tetapi Allah boleh pindahkan sekelip mata. Kejadian Hafizi, perginya Abang Azri ke rahmat Allah. Tiada siapa yang dapat fikirkan ia akan berlaku. Pada hari yang sama, saya diberikan makluman bahawa 2 harapan pendapatan saya Allah sekat, Allah tidak lorongkan buat saya. Mungkin sebab saya lupa dan saya tidak berdoa dan bersyukur. Bila bercakap meninggi diri dan bila berbuat sesuatu dengan niat bukan kerana Mu Ya Allah.

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud; “Allah s.w.t. berfirman, ‘Aku sesuai dengan prasangka hamba-Ku kepada diri-Ku.’” (Riwayat al-Bukhari)

Rasulullah s.a.w. bersabda, maksud hadis riwayat Muslim; “Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu berbaik sangka dengan Allah.” Seorang hamba yang bersangka baik dengan Allah;

1. Apabila melakukan sebarang ibadah, dia bersangka baik bahawa Allah kan menerima ibadahnya itu dan membalas dengan sebaik-baik ganjaran pahala.
2. Apabila berdoa dia tahu bahawa Allah akan memakbulkan doanya.
3. Apabila dia berdosa, segera bertaubat dan bersangka baik bahawa Allah pasti menerima taubatnya dan mengampunkan dosanya.
4. Apabila ditimpa musibah, dia akan bersangka baik bahawa di sebalik ujian itu ada hikmahnya.

Apa yang berlaku dalam hidup saya adalah takdir Allah s.w.t. yang tidak boleh diubah. Namun, ambillah iktibar. Kematian, kemalangan dan kesakitan ada di mana-mana. Ia akan menjauh dari kita hanya dengan izin dari-Nya dan ia datang serta menyerang kita juga adalah dengan izin-Nya. Janganlah bersangka bahawa jika tidak kepada kita, maka kita dikasihi-Nya sedangkan Allah memberikan ujian itu bersebab. Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, “Tidak ada satu musibah kesusahan pun yang menimpa seorang Muslim melainkan Allah s.w.t. akan mengampunkan dosanya disebabkan musibah itu, termasuklah sekadar duri yang dipijaknya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Doakanlah keselamatan Hafizi, kesihatan Izan dan Nayla serta kesejahteraan keluarga Abang Azri. Hadiahkan al-fatihah untuk mereka, TUNE-lah diri kita.




Selasa, 21 September 2010
Rumah PKNS, Kuala Selangor
10.29 pagi

Wednesday, September 15, 2010

PERBAIKI DIRI SELEPAS RAMADHAN


Alhamdulillah, perjuangan kita semakin sukar dan perjalanan kehidupan bertambah mehnah dan fitnahnya. Sepanjang Ramadhan yang lalu, kita diberikan ruang yang luas oleh Allah s.w.t untuk memperbaiki diri serta berusaha untuk berjihad menentang hawa nafsu tanpa sebarang gangguan daripada iblis dan syaitan laknatullah.

Namun, berapa ramai dikalangan kita, apabila masuk sahaja 1 Syawal, syaitan dan iblis terus bertandang dan merosakkan iman yang berusaha dibina sepanjang 30 hari Ramadhan. Allah s.w.t sentiasa mahukan kita menjadi ummat yang terbaik dan sentiasa memperbaiki diri. Kekalkanlah segala aml kebaikan Ramadhan, dan usahlah ia dirosakkan dengan mudah. Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Furqan ayat 70 hingga 71;

(70) “Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (71) Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal soleh, maka sesungguhnya (dengan itu) ia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat.”

Marilah kita berusaha untuk memperbaiki diri kita melalui taubat yang sebaik-baiknya. Ruang dan peluang yang Allah berikan kepada kita untuk terus hidup, segarkanlah dengan segala amal kebaikan, perbanyakkan ia dan marilah kita berusaha untuk menjauhkan diri dari melakukan dosa dan mendatangkan kemurkaan Allah. Pilihlah yang terbaik agar kita disenangi ummat manusia serta semua hidupan di langit dan di bumi. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud; “Demi yang diriku ada di tangan-Nya, sekiranya kalian tidak berdosa, maka Allah benar-benar akan mematikan kalian, lalu Dia mendatangkan sesuatu kaum yang berdosa, lalu mereka memohon ampun kepada Allah, maka Allah pun mengampuni mereka.”

Inilah peluang yang Allah berikan kepada kita. Kehidupan. Selagi hidup, ia bermakna masih ada peluang untuk membuat kebaikan dan amal soleh, serta peluang untuk bertaubat. Sekiranya Ramadhan yang lalu adalah yang terakhir buat kita, janganlah abaikan solat kita yang paling hampir untuk kita. Ramadhan yang terlepas, tidak dapat dikembalikan, tetapi ruang solat setiap 5 waktu adalah peluang yang terbaik untuk kita semua. Allah s.w.t itu ialah al-Ghaffar, al-Afuwwu, ar-Rahim dan at-Tawwab. Firman Allah s.w.t di dalam Al-Quran Al-Karim;


“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang kafir itu, jika mereka berhenti (dari kekufurannya), nescaya akan diampunkan dosa mereka yang telah lalu, dan jika mereka kembali lagi (ingkar maka Kami akan menyeksa mereka), kerana sesungguhnya telah berlakulah kebinasaan orang-orang (yang kufur ingkar) dahulu kala.” (Al-Anfal: 38)

Begitulah peringatan dari Allah buat kita semua. Berazamlah bermula dari hari ini, tika kita semua diingatkan bahawasanya, tertegaknya Islam atas 5 kerukunan, bermula dengan syahadah yang perlu kita sentiasa perbaharui. Kemudian, datangnya perintah solat 5 waktu yang mana ia membezakan kita dengan golongan kafir. Seterusnya berpuasa yang telah kita lepaskan, zakat yang wajib untuk kita langsaikan. Ia merupakan tuntutan dan tanggungjawab kepada muslim yang lain serta menunaikan haji hanya bagi mereka yang berkemampuan. Selepas Ramadhan, fokuslah diri kita [1] kepada pemeliharaan dan pemuliharaan syahadah serta [2] menegakkan tiang agama dalam diri dengan menjaga solat kita. Bersamalah kita ‘TUNE’ diri kita.

Monday, September 6, 2010

PERSIAPAN AIDILFITRI (PERSIAPAN SEORANG DA’IE)


Semakin hari bertambah, semakin jauh kehidupan meninggalkan manusia dan semakin meningkat usia seorang kanak-kanak menjadi remaja, seorang belia menjadi dewasa. Ada dikalangan kita yang dijemput Allah bertemu-Nya lebih awal dari kebiasaaan mereka yang semakin tua. Allahu Akbar. Inilah sunnatullah yang harus kita redha dan mengambil pengajaran bersama.

Bersyukurlah kita ke hadrat Allah s.w.t. kerana masih dipilih untuk menyertai sebuah program mega anjuran-Nya dalam memperbaiki jatidiri serta kehidupan yang lebih bermakna. Sebagaimana kebiasaan program-program yang dijalankan, hasilnya adalah bergantung kepada mereka yang menyertainya. Jika keikhlasan mereka untuk membuat perubahan mengatasi segalanya, nescaya dengan izin Allah, mereka akan berubah sesuai dengan firman Allah s.w.t. dalam surah Ar-Ra’d ayat 11;

“Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya.”

Marilah sama-sama kita fahami dan hayati makna ayat ini. Perubahan bukanlah sesuatu yang tertakluk hanya kepada diri kita sahaja, bahkan sebenarnya Allah punya kuasa untuk mengubah apa sahaja yang diingini-Nya, namun pilihan diberikan kepada manusia dalam menilai erti syurga dan neraka di dalam diri mereka. Penilaian antara 2 nikmat dan balasan yang Allah tentukan untuk manusia inilah yang sepatutnya menjadi kayu ukur dalam melaksanakan tugasan, amanah serta amalan harian kita. Ia juga tidak terkecuali dalam usaha meraikan 1 Syawal yang bakal menjelang tiba.

Sahabat-sahabat serta adik-adik yang dikasihi,

1 Syawal bakal menjelang maka tinggallah Ramadhan dengan seribu kenangan di dalamnya. Bersama Lailatul Qadr yang tidak dapat kita rasai, bersama kenikmatan berpuasa yang hanya tinggal lapar dan dahaga. Sepanjang Ramadhan, Allah telah ruangkan untuk kita peluang untuk mempertingkatkan usaha memperbaiki dan membina diri sebagai seorang Muslim dan Mukmin yang sejati. Selama sebulan kita bersama telah bermujahadah, dan inilah hadiah yang Allah berikan kepada semua ummat Islam iaitu ‘AidilFitri. Maka, janganlah kita rosakkan anugerah Allah ini dengan perkara yang menjerumuskan kita ke dalam kelompok manusia yang tidak bersyukur dan lupa akan segala nikmat yang telah Allah anugerahkan kepada manusia.

Apabila Syawal menjelang, usahlah pula kita lupa kepada zakat fitrah yang menjadi kewajipan bagi setiap ummat yang bergelar Muslim. Laksanakanlah ia sebelum tiba solat ‘AidilFitri supaya dapat kita bersama memperlengkapkan usaha Ramadhan kita. Pun begitu, sebagai seorang Muslim, Syawal yang menjelang ini bukanlah tempat untuk kita menjadi saudara kepada syaitan dengan menjadikan pembaziran sebagai cara kita meraikan Syawal yang penuh kegembiraan. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Isra’ ayat 26 hingga 27;

(26) “Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. (27) Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

Maka, hidupkanlah hari kejayaan dan kecemerlangan bagi orang-orang yang bertaqwa ini dengan amalan yang dapat merapatkan dan memberikan makna mendalam kepada diri kita. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w;

“Sesiapa yang menghidupkan malam hari raya fitrah dan adha dengan ikhlas kerana Allah s.w.t tidak akan mati hatinya sebagaimana hari dimatikan hati-hati.” (Riwayat Ibnu Majah)

Maka, marilah kita bersama pada malam 1 Syawal itu dibangunkan dengan zikir, takbir, tasbih dan tahmid membesarkan Allah s.w.t. Elakkanlah dari berhibur berlebihan serta melakukan amalan-amalan yang dapat mendatangkan mudharat dan maslahah sama ada kepada fizikal diri atau rohani kita sendiri. Sehinggalah pada pagi 1 Syawal, sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Bukhari yang bermaksud;

“Dari Anas ia berkata: Rasulullah s.a.w tidak keluar pada waktu pagi hari raya fitrah sehingga ia makan terlebih dahulu beberapa biji kurma. Seterusnya Anas menceritakan bahawa baginda memakan kurma itu dalam bilangan ganjil.”

Bahkan Rasulullah juga menggalakkan dan memberikan kita contoh pada awal Syawal ini dengan memulakan solat sunat yang dikenali sebagai solat sunat ‘AidilFitri. Ini bersesuaian dengan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud;

“Dari Al-Barra' ia berkata: Aku mendengar Nabi s.a.w berkhutbah, sesungguhnya yang awal-awal sekali kita mulakan pada hari ini (hari raya) ialah sembahyang.” (Riwayat Al-Bukhari)

Maka, marilah kita bersama menjadikan 1 Syawal ini sebagai peluang untuk kita akhiri Ramadhan dengan cara yang paling disukai Allah s.w.t. Teruskanlah mencari keredhaan-Nya serta menjadikan sunnah Rasulullah sebagai pilihan cara hidup yang terbaik. Hidup suburkanlah tali persaudaraan serta eratkanlah hubungan yang jauh atau telah terpisah. Isilah masa dengan saling berziarah dan hadirlah ke dalam masyarakat dengan cara yang baik, dengan pakaian yang baik, berwangi-wangian serta berhiaslah diri selagi ia tidak melanggar syarak yang ditentukan Allah s.w.t dan tidak membazir.

Teruskanlah menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan agar mereka dapat sama-sama merasai kegembiraan berhari raya pada 1 Syawal yang akan menjelang tiba. Firman Allah s.w.t. dalam surah Ali-Imran ayat 133 hingga 134;

(133) “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; (134) Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.”




Kuala Selangor
7 September 2010 bersamaan
28 Ramadhan 1431
11.40 pagi