Wednesday, June 30, 2010

HIDUP ADALAH SATU PERJUANGAN

Alhamdulillah... perjalanan yang mengkagumkan. Saya bersyukur kepada Allah kerana memberikan saya kehidupan yang indah dan penuh dengan pengalaman dan pengajaran yang membuatkan saya sentiasa berfikir, mencari dan menginsafi keperluan, ketentuan serta perjuangan dalam kehidupan. Berbulan lamanya bermula tahun 2010, perjalanan yang saya lalui begitu banyak liku dan kesesakannya. Mana tidaknya, Allah pilih saya untuk berperanan dalam kehidupan orang lain. Pada permulaannya begitulah fikir saya. Bertuah, hebat dan mengkagumkan apabila pada umur seawal ini, saya diberikan pelbagai amanah.

Tetapi rupa-rupanya, saya tersilap. Amanah ini Allah tidak pilih orang, tetapi memang telah Allah berikan kepada kita manusia. Sama ada kita buat atau tidak. Jawatan? Itu sekadar kemasyhuran sementara. Ia digunapakai hanya atas dunia, di akhirat esok, ia akan disoal dan disiasat keberkesanannya. Apa yang utama buat kita adalah berbuat. Ini perjuangan saya sepanjang 2010 ini. Membesar, membina diri, mematang diri serta memuhasabahkan diri apakah yang harus saya  lakukan untuk hari esok.

Terlalu banyak dosa atas kelalain saya yang lalu. Kini 2010 menjelang tiba untuk saya mengembalikan diri saya atas laluan dasar perjuangan Rasulullah s.a.w. Ini azam saya dalam separuh tahun kedua 2010. Amanah semakin besar, perjuangan semakin membeban. Tetapi saya yakin dan percaya, ini sahajalah jalan untuk saya bergerak pantas dan bertenaga ketika berkejar ke pintu syurga. Ini sajalah jalannya. Saya percaya, perubahan diri datang dengan hidayah Allah dalam diri. Saya sentiasa mengharapkan, kemampuan, ketabahan dan lorongan Allah ini terus ke pintu syurganya.

Bermula Januari 2010, saya bergerak dengan pelbagai pengisian program untuk IQ Class Management, tetapi diakhir separuh masa pertama tahun 2010, saya berjalan dengan mencari keseimbangan bersama ABIM. Tugasan saya sebagai YDP ABIM Kuala Selangor dikekalkan, Bendahari Agung BBM dikekalkan, tetapi alhamdulillah, sebagai Pengerusi BBM Selangor telah diambil alih orang lain. Baru-baru ini, pada 27 Jun 2010, saya telah diberikan amanah baru sebagai Setiausaha Negeri ABIM Selangor. Nah, Allah uji saya lagi dengan mempersoalkan komitmen saya terhadap Islam. Bagaimana dengan saya? sudah bersedia?

Ya Allah, kau berikanlah aku hidayah dan petunjuk, semangat istiqamah demi agama yang ditegakkan di dalam jiwa, perjuangan menegakkan kalimah yang hak, moga segala usaha bakti ini kau restuai dan kau berkati dalam kehidupan di dunia ini dan di akhirat kelak. Amin...

Friday, June 25, 2010

SEDAR DARI KELENAAN DAN KELALAIAN

Lenanya manusia apabila dibuai dengan rasa senang dan tenang. Kebiasaannya kelenaan manusia dikaitkan dengan tidur yang panjang serta tiada gangguan. Begitulah juga dengan kehidupan sebenar manusia. Apabila semakin lama kehidupan ini berada di dalam keadaan senang dan tenang, maka kehidupan itu akan mula diulik mimpi yang menjadikan manusia itu lena dengan kehidupannya. Akhirnya manusia semakin melihat dunia sebagai kehidupan yang kekal dan perlu dibangunkan dengan kekayaan dan kemewahan.

Kelenaan ini, akan menghasilkan manusia yang lalai dalam kehidupannya, termasuklah kelalaian kepada agama mereka. Inilah perkara yang perlu kita sedari disebalik kelenaan dan kelalaian kita. Perkara yang menjadi tuntutan utama untuk kita bangunkan dalam diri kita ialah Islam. Islam menjadikan seorang manusia itu sejati dan benar dalam kehidupan mereka. Islam jelas memberikan kita jalan bagaimana kehidupan ini boleh menjadi yang terbaik.

Kembalinya kesedaran kita dari kelenaan dan kelalaian ini, mestilah berpaksikan Islam yang perlu sentiasa ditegakkan di dalam diri berdasarkan 5 rukun yang telah digariskan. Sabda Nabi Muhammad s.a.w apabila datang Malaikat Jibril kepadanya;

"Ceritakan padaku (wahai Muhammad) tentang Islam," Rasulullah s.a.w. menjawab: "Kau mengakui tiada Tuhan selain Allah, Muhammad adalah hamba-Nya dan Rasulullah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa dibulan Ramadhan serta menunaikan haji ke Baitullah jika engkau mampu".

Maka, sebagai seorang Muslim yang sedar, marilah kita bersama muhasabahkan diri kita tentang tanggungjawab kita serta perlakuan kita terhadap kerukunan Islam kita sendiri. Allah telah menyusun kehidupan manusia dengan sebaiknya dan DIA-lah yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hambanya. Kesibukan, kelalaian dan kelenaan kita selama hari ini, telah berjaya dihasut dan sesungguhnya syaitanlah yang menjadi penasihat utamanya. Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Imran ayat 190 yang bermaksud;

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang Yang berakal.”

Allah telah rencanakan kisah hidup manusia dengan sebaik-baiknya. Tugas kita adalah untuk menjalankan tanggungjawab dengan menuruti segala perintah-NYA dan menjauhi setiap larangan-NYA. Tugas kita haruslah sentiasa taat dan setia kepada kehendak-NYA. Bimbinglah jiwa dan hawa nafsu kita agar sentiasa berusaha menghampiri Allah s.w.t. Kelenaan dan kelalaian adalah berpunca daripada hawa nafsu yang dilatih oleh syaitan yang hanya ingin memenuhi keperluan dunia yang sementara dan menjauhkannya dari keutamaan akhirat. Rasulullah s.a.w yang bermaksud;

“Tidak beriman seseorang dari kamu sehingga hawa nafsunya mengikuti apa yang telah ku bawa.” (An- Nawawi)

Apabila kehidupan kita sebagai manusia, menjadikan syahadah sebagai pernyataan misi (mission statement) kehidupan, nescaya, setiap tingkahlaku kita dalam keadaan sedar, sedang dilihat dan dinilai. Jika solat pula, sebagai waktu rehat dan peringatan diri (tazkirah), maka, pasti kita akan sentiasa berserah dan mengadu kepada Allah s.w.t dalam setiap kesukaran dan kepayahan yang ditempuh. Puasa pula bagi seorang Muslim, seharusnya menjadi alat latihan penunduk nafsu, bukan sekadar menahan lapar dan dahaga bahkan kemahuan lain serta menginsafi kesusahan orang lain. Keinsafan itulah, yang menjadikan seorang Muslim bertanggungjawab serta tidak senang melihat kesusahan yang dihadapi oleh Muslim yang lain. Mak, berzakatlah mereka, bersedekahlah mereka ke jalan Allah s.w.t. Kemuncak keberkatan, dan hidayah Allah kepada seorang Muslim adalah dengan menunaikan haji ke Baitullah.

Fikirkanlah, adakah kita telah jadikan syahadah sebagai misi utama kita? Adakah solat berjaya merehatkan serta melapangkan dada kita? Adakah puasa kita menjadikan kita orang yang sabar? Adakah kita dikalangan orang yang menginfakkan harta ke jalan Allah? Sekiranya kita dipelawa menjadi tetamu Allah ke Baitullah, persoalannya adakah kita bersedia menjadi hamba-NYA yang terbaik?

Monday, June 21, 2010

NAIK TURUNNYA IMAN


Iman adalah mutiara
Di dalam hati manusia
Yang meyakini Allah
Maha Esa, Maha Kuasa

Begitulah kata-kata indah yang diungkapkan di dalam sebuah lagu dendangan kumpulan Raihan tidak lama dulu. Iman itu satu keindahan pada diri manusia. Ia ibarat mutiara yang cantik, yang tersimpan di dasar lautan. Untuk memilikinya, tidaklah semudah yang disangka. Namun, iman di dalam diri manusia ini juga diiibaratkan seperti air dilautan, ada pasang dan ada surutnya. Begitulah di dalam sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud;

"Iman itu kadang naik kadang turun, maka perbaharuilah iman kalian dengan LAILAHAILLALLAH." (HR Ibn Hibban)

Amat jelas di dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w sendiri menyedari dan mengakui bahawa iman itu ada naik dan ada turunnya. Maka baginda mengingatkan kita agar memelihara iman ini, supaya tidak terlalu rendah apabila ia menurun dan tidak berlaku keruntuhan iman yang drastik. Mari kita bayangkan, sekiranya berlaku penyusutan ke dalaman air dilautan yang drastik, air dilautan semakin kekeringan, apa yang akan berlaku kepada masyarakat dunia ini. Kekalutan dan mungkin juga keresahan kerana iar merupakan sumber penting bagi manusia.

Begitulah juga soal kepentingan iman di dalam diri seorang manusia. Ia amat penting bahkan diperingatkan lagi oleh Umar Ibn Al-Khattab kepada para sahabatnya dengan berkata; “Marilah kita memperbaharui keimanan kita”. Muadz bin Jabal juga pernah memberikan peringatan yang sama dengan berkata; “Marilah duduk bersama kami untuk beriman sesaat”. Apakah kata-kata ini menunjukkan mereka ini tidak beriman?

Sudah tentu tidak sama sekali. Jelas, manusia ini kerapkali disibukkan dengan urusan dunia mereka sehingga kerapkali melupakan atau terlalai dengan perintah dan tanggungjawab yang Allah telah sediakan untuk mereka. Marilah kita sama-sama menginsafi persoalan ini dan pelihara iman kita sebaik mungkin, bukan sekadar memulihara.

Memelihara dan memulihara ini bukanlah tugas mudah tetapi ia tidaklah sukar sekiranya berusaha kuat untuk melakukannya. Pertama, carilah teman, rakan atau sahabat yang terbaik yang sentiasa atau mampu untuk mengingatkan kita tentang apa yang kita lupa. Rakan sebegini tidak ramai, tetapi ada. Apabila kita berbicara dengan rakan-rakan kita, dengarlah dengan mata dan perhatikanlah dengan hati. Nescaya kita akan berjumpa dengan mereka. Jangan segan dan jangan malu untuk meminta nasihat, kerana adalah wajib seorang Muslim memberi nasihat sekiranya diminta.

Kedua, berusahalah menuntut ilmu. Firman Allah s.w.t yang bermaksud;

"Sesungguhnya Allah maha teliti terhadapap apa yang kamu kerjakan." (An-Nur: 53)

Yang terakhir, telaah, fahami dan renungilah, isi kandungan Al-Quran. Firman Allah s.w.t yang bermaksud;

"Katakanlah, Tuhanku menyuruhku berlaku adil. Hadapkanlah wajahmu kepada Allah dan sembahlah dengan mengikhlaskan ibadah semata-mata kepada NYA.” (Al-A'raf: 29)

Haruslah kita sama-sama mengingatkan, bukan sekadar memulihara bahkan haruslah iman kita ini dipelihara, maka jauhilah perkara yang boleh menyebabkan iman kita surut dan menjadi menurun. Ia sudah pastilah maksiat. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud;

"Sesungguhnya, jika seorang Muslim membuat dosa, maka terjadilah pada hatinya satu bintik hitam. Jika ia bertaubat dan meninggalkan perbuatan itu, maka bersihlah kembali hatinya. Jika tidak bertaubat dan berterusan dosanya itu maka bertambah banyaklah bintik hitam itu sehingga tertutup hatinya. Itulah ron (warna hitam) yang disebutkan di dalam Al-Quran."

Marilah bersama kita memperbaiki iman kita. Semoga memberi manfaat dan kebaikan kita bersama. TUNE diri kita.

*Sumber bacaan dari Majalah Ujang 382

Thursday, June 17, 2010

FAHAMILAH KEHIDUPAN DUNIA

Kita semua sedar dan mengetahui bahawasanya kehidupan dunia ini adalah kehidupan yang tiada apa-apa berbanding kehidupan di akhirat. Sentiasa dapat kita dengari, mereka yang esntiasa mengingatkan kita bahawa kehidupan ini adalah sesuatu yang fana’ sifatnya atau juga lebih mudah difahami sebagai sementara. Gambaran Allah s.w.t amat jelas di dalam firman-NYA yang bermaksud;

“Sesungguhnya bandingan kehidupan dunia hanyalah seperti air hujan yang Kami turunkan dari langit, lalu (tumbuhlah dengan suburnya) tanaman-tanaman di bumi dari jenis-jenis yang dimakan oleh manusia dan binatang - bercampur-aduk dan berpaut-pautan (pokok-pokok dan pohonnya) dengan sebab air itu hingga apabila bumi itu lengkap sempurna dengan keindahannya dan berhias (dengan bunga-bungaan yang berwarna-warni), dan penduduknya pun menyangka bahawa mereka dapat berbagai-bagai tanaman serta menguasainya (mengambil hasilnya) datanglah perintah Kami menimpakannya dengan bencana pada waktu malam atau pada siang hari lalu Kami jadikan dia hancur-lebur, seolah-olah ia tidak ada sebelum itu. Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu berfikir (dan mengambil iktibar daripadanya).” (Yunus: 24)

Apa yang nyata di dalam firman-NYA, Yang Maha Pencipta menggambarkan bahawa kehidupan manusia ini adalah diumpamakan seperti air hujan yang diturunkan. Oleh yang demikian, usahlah kita terpedaya dengan kehidupan dunia yang amat sementara. Memang benar, melalui kehidupan, manusia dapat merasai kebahagiaan, ketenangan, keseronokan dan disebalik itu juga, terdapat manusia apabila ditimpakan hujan (kehidupan), ianya menjadi penghalang dan kesukaran bagi mereka.

“Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan; dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir? (Al-An’am: 32)

Inilah kehidupan kita yang sebenar. Inilah kenyataannya. Kehidupan dunia ini adalah nikmat kebahagiaan dan keseronokan yang amat sementara. Bahkan ia bukanlah kehidupan dunia jika amat memudharatkan dan penuh dengan kesengsaraan. Kita lihat sahaja sahabat-sahabat Islam kita yang ditimpa kesusahan dan peperangan, hati mereka, kemahuan dan cita-cita mereka hanyalah untuk mengecapi kebahagiaan di syurga Allah yang kekal abadi. Manakala kita, hidup di negara yang aman dan damai, terus merasakan seolah-olah nikmat yang Allah limpahkan kepada kita ini akan kekal selama-lamanya.

“Dan apa jua (harta benda dan lain-lainnya) yang diberikan kepada kamu, maka adalah ia merupakan kesenangan hidup di dunia dan perhiasannya; dalam pada itu, apa jua yang ada di sisi Allah (yang disediakan untuk orang-orang yang beriman dan taat) adalah ia lebih baik dan lebih kekal; maka mengapa kamu tidak mahu memahaminya? (jika sudah diketahui yang demikian) maka adakah orang yang Kami janjikan kepadanya janji Yang baik (balasan syurga) lalu ia mendapatnya, sama seperti orang yang Kami kurniakan menikmati kesenangan hidup di dunia kemudian ia pada hari kiamat termasuk dalam golongan Yang dibawa (untuk menerima azab neraka)?” (Al-Qashash: 60 – 61)

Marilah kita insafi dan muhasabahkan diri kita semua. Kenangkan kembali janji Allah ini kepada manusia. Mencari keredhaan Allah itu adalah keutamaannya dalam memastikan kehidupan aman dan bahagia yang kekal selamanya. Mati hanyalah sekali dan yang sekali ini adalah perlu dikerjakan agar ia memberikan jalan ke pintu syurga yang kekal. Apabila kita diseksa di neraka Allah kelak, pasti, kita akan mula merasakan dan tertanya-tanya bilakah kita akan mati kerana tidak tertanggungnya beban seksaan Alla itu. Maka ketika itu sedarlah, bahawasanya mati itu sekali dan kehidupan di akhirat yang kekal abadi.

“Dan dikatakan (kepada mereka): "Pada hari ini Kami tidak hiraukan kamu (menderita di dalam azab seksa) sebagaimana kamu tidak hiraukan persediaan untuk menemui hari kamu ini; dan tempat kamu ialah neraka, dan kamu tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan. "(Balasan buruk) yang demikian ini ialah kerana kamu telah menjadikan ayat-ayat keterangan Allah sebagai ejek-ejekan, dan kerana kamu telah membiarkan diri kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia". Maka pada hari itu mereka tidak akan dikeluarkan dari neraka, dan mereka tidak diberi peluang untuk bertaubat (memperbaiki kesalahannya).” (Al-Jaatsiyah: 34 – 35)

Janganlah kita menunggu sehingga ke akhir keadaan itu kerana ia amat menyiksakan dan amat memedihkan. Allah perintahkan kita sebagai hambanya untuk menjauhi dunia dan usahlah kita meletakkan dunia di dalam jiwa kita kerana ianya hanyalah alat untuk kesenangan dan kemudahan kita di akhirat. Oleh itu, jadikanlah Al-Quran dan Sunnah Nabi sebagai pegangan dan ikutan sepanjang perjalanan kita di dunia ini. Tempuhilah kehidupan dunia ini sebagai wira yang berjaya menewaskan hasutan syaitan dan kerakusan nafsu yang membuak-buak.

“Oleh itu, janganlah engkau (Wahai Muhammad) hiraukan orang yang berpaling dari pengajaran Kami, dan tidak mahu melainkan kehidupan dunia semata-mata. (Kepentingan dunia) itulah sahaja tujuan terakhir dari pengetahuan yang dicapai oleh mereka. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah jua Yang lebih Mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih Mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (An-Najm: 29 – 30)

Berdoalah agar kita semua menjadi orang yang sentiasa diberikan hidayah dalam menelusuri kehidupan di dunia yang penuh godaan ini. Allah telah menyediakan syurga kemapa manusia. Tetapi perjalanan menuju syurga itu juga telah Allah siapkan dengan segala cabaran, dugaan dan kesukarannya. Allah juga telah mempersiapkan neraka untuk manusia, maka Allah hidangkan perjalanan yang cukup indah, menawan dan menarik untuk mereka. Sekiranya keindahan yang menjadi pilihan, itulah jalan neraka yang menjadi piliha, sekiranya kesukaran yang memerlukan kesabaran dan keredhaan yang menjadi buruan, yakinlah bahawanya syurga pasti menjadi kediaman. TUNE-lah diri kita.

UBAH DIRI UNTUK MEMBERI MANFAAT KEPADA ORANG LAIN

Apabila kita memerhatikan persekitaran kita, pastinya akan ada perasaan tidak senang, tidak puas hati dan kadangkala timbul rasa meluat dengan apa yang berlaku. Ini mungkin kerana timbul perasaan kita lebih baik atau kita lebih mengetahui dari mereka. Maka, timbullah selepasnya tindak-tanduk seperti mengumpat, mencaci, saling menjatuhkan dan setiap apa yang dilakukan orang lain yang dilihatnya adalah hanya pada kelemahannya sahaja tidak pada kebaikannya.

Perasaan atau perbuatan ini akan kerapkali kita rasai apabila wujud perasaan ego di dalam diri sendiri. Tidak berfikiran terbuka serta mempunyai dendam yang mendalam terhadap mereka yang bersama-sama dengan kita. Ia merupakan salah satu penyakit hati yang perlu dijauhi oleh manusia khususnya yang beragama Islam dan meyakini bahawa Allah itu Maha Mengetahui segalanya walaupun yang terpendam di dalam hati.

Penyakit ini menjadikan diri kita tidak senang apabila melihat ada orang lain yang lebih baik dari kita ataupun apabila kita ditegur, amat sukar bagi kita untuk mendengar tegurannya. Apabila penyakit ini meresapi, tidak diubati, tidak dijauhi, ia akan semakin membesar dan akhirnya kecenderungan mereka lebih kepada kebaikan dan kelebihan diri sendiri. Setiap apa yang dilakukan adalah bertujuan mementingkan diri sendiri walaupun ianya amat menyusahkan orang lain.

Peringatan ini patut diberikan kepada kita semua termasuklah yang menulis artikel ini. Yang paling utama di dalam kehidupan kita adalah diri kita sendiri. Itu benar. Tetapi keutamaan itu adalah untuk diperbaiki diri sendiri sebelum melihat dan mencari kelemahan orang lain. Sebelum berniat mengubah orang lain, ubahlah diri sendiri dahulu. Sebelum mencerdaskan orang lain, cerdaskanlah diri sendiri dahulu. Jika sekiranya keutamaan lebih kepada orang lain, kita pasti akan melupakan diri kita sendiri khususnya kelemahan diri kita.

Kita sepatutnya berusaha untuk memperbaiki diri, memerhatikan diri sendiri, mencerdaskan diri kita atas tujuan untuk berkongsikan manfaatnya bersama orang lain. Banyaknya harta kita bukan untuk bermegah tetapi untuk dikongsikan dengan orang lain, belajar bersungguh-sungguh bukan untuk menjadikan diri kita lebih tidak mengetahui tetapi untuk menjadikan orang lain lebih jernih pandangan mereka. Begitu juga dengan memperbaiki diri bukan untuk mendabik dada tetapi untuk mengajak orang lain juga menjadi jauh lebih baik. Di dalam hadis qudsi Allah s.w.t berfirman;

“Wahai hamba-Ku, andaikan orang yang pertama hingga terakhir dari kamu, pada jin dan manusia semua bertakwa, maka yang demikian itu tidak menambah kekayaan-Ku sedikit pun. Dan sebaliknya jika kamu melakukan sejahat-jahat perbuatan, maka yang demikian itu tidak mengurangi kekuasaan kerajaan-Ku sedikit pun, kecuali sebagi kurangnya air laut jika diambil dengan jarum...”

Kesimpulannya, setiap perbuatan kita natijahnya adalah untuk diri kita sendiri. Baik perbuatan kita maka baiklah balasan Allah yang disediakan dan jika sebaliknya maka akan berlakulah juga sebaliknya. Mudahkan? Kita sendiri sebenarnya boleh menentukan bagaimana cara hidup kita kemudiannya. Begitu jugalah kata-kata Imam Ibnu Atha’ilah di dalam kitabnya Hikam;

“Tidak berguna bagi Allah taatmu dan tidak mudarat pada Allah maksiat (dosa) mu, dan sesungguhnya Allah menyuruh kamu berbuat taat dan melarang kamu dari maksiat (dosa), sebab semuanya adalah untuk kepentinganmu sendiri.”

Pastinya kita memahami keadaan ini. Segala nikmat dan kebahagiaan pastinya akan kita rasai jika kita mampu menghayati 3 prinsip utama dalam kehidupan kita iaitu; pertama, kita hidup di dunia hanya sementara tidak untuk selamanya. Dunia hanya sarana bukan tujuan utama. Akhiratlah tujuan utama. Kedua, kita telah lahir ke dunia tidak membawa apa-apa dan ketika kembali pun tidak akan membawa apa-apa melainkan amal. Semua yang kita miliki hanya sekadar titipan yang bila-bila masa boleh diambil pemiliknya. Terakhir, setiap perbuatan akan kembali kepada pembuatnya. Tidak akan pernah bertukar. Kita tidak akan mempertanggungjawabkan orang lain. Kita hanya akan mempertanggungjawabkan perbuatan kita sendiri.

Ingatlah wahai teman. Sesungguhnya sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia lain.

MALU DAN KEUTAMAANNYA

Pelbagai perasaan yang memenuhi hati serta menyerang minda kita hari ini apabila melihat paparan-paparan akhbar dan media massa tentang gejala-gejala yang menular dikalangan ahli masyarakat kita. Isu- isu seperti gejala seks rambang, bersekedudukan tanpa pernikahan yang sah, main kayu tiga, buang anak, anak luar nikah, penderaan wanita dan kanak-kanak dan tidak kurang juga dengan kes pembunuhan menjadikam manusia pada hari ini semakin takut kepada persekitaran mereka mahupun dalam ahli keluarga mereka sendiri. Bagaimana keadaan sebegini boleh berlaku?

Daripada Abi Mas'ud al-Badri berkata, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya di antara ucapan kenabian pertama (Adam) yang didapati manusia (daripada generasi ke generasi) adalah, “Jika engkau tidak malu maka perbuatlah apa yang engkau inginkan.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Jelas sekali di dalam hadis ini, sebutan, “jika engkau tida malu maka perbuatlah apa yang engkau inginkan” bukanlah suatu ayat galakan untuk tidak perlu ada perasaan malu. Sebaliknya ia lebih kepada suatu sindiran atau kata-kata yang memberikan peringatan bahawa perasaan malu itu satu keperluan bahkan, sekiranya tidak ada perasaan malu maka manusia akan melakukan apa sahaja yang ingin mereka lakukan.

Nah, inilah natijahnya apabila tidak ada perasaan malu pada hari ini. Anak-anak kita di luar sana sudah tidak ada perasaan malu untuk berpegangan tangan antara lelaki dan perempuan, minum arak, berjudi dan sebahagiannya mengeluarkan kata-kata kesat kepada orang yang memberikan nasihat kepada mereka. Anak muda lelaki sudah hilang adab dan tatasusila mereka, bagi mereka yang perempuan pula, sudah tidak penting adat ketimuran mahupun sopan santun yang akhirnya melahirkan generasi yang hilang dari dalam jiwa mereka malu. Hadis Nabi Muhammad S.A.W ada menyatakan bahawa:

“Sesungguhnya sopan santun dan keimanan adalah saling berkaitan, jika salah satunya dikeluarkan, yang satu lagi juga akan hilang serentak.” (Hadis Riwayat Baihaqi)

Adalah jelas dimaksudkan oleh hadis di atas bahawa, apabila hilang pada diri seorang manusia itu sopan santun, yang membawa erti akhlak, perasaan malu atau hormat kepada orang lain, maka akan hilanglah iman mereka juga, begitu jugalah sebaliknya. Jika iman itu hilang dari jiwa manusia, maka akan hilanglah sifat sopan santun mereka. Apa lagi yang hendak kita kupaskan tentang isu gejala sosial hari ini? Bak kata pepatah melayu, sudah terang lagikan bersuluh. Namun, ia seperti dilupakan masyarakat dan tidak langsung diendahkan.

Malu menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga bermaksud berasa aib, hina dan rendah kerana membuat sesuatu yang salah atau yang tidak sopan. Pada ketikan ini, perkataan tidak sopan atau membuat salah perlu diperjelaskan semual dipelbagai peringkat, baik di sekolah, IPT mahupun dikalangan mereka yang berjawatan tinggi dan berpendidikan. Sabda Nabi Muhammad S.A.W lagi yang bermaksud;

“Apabila seorang itu terbabit dengan perzinaan, dia bukan lagi beriman, apabila seseorang itu mencuri, dia bukan lagi seorang beriman, apabila seseorang itu meminum arak, dia bukan lagi seorang beriman, apabila seseorang itu menyeleweng selepas diberi amanah oleh orang lain, dia bukan lagi seorang beriman, dan apabila seseorang di antara kamu menipu, dia bukan lagi seorang beriman, oleh itu berjaga-jagalah.”

Rasulullah S.A.W menujukan hadis ini tidak kepada mana-mana peringkat umur secara khusus tetapi apa yang pasti bagi kita semua adalah mereka yang telah melepasi tahap mumayyiz umur mereka. Pada tahap ini, mereka sudah mengetahui mana baik dan mana yang buruk dan kebiasaannya pada lingkungan umur 3 hingga 10 tahun. Namun disinilah bermulanya sedikit kelemahan pada apa yang mereka terima.

Menurut Imam Nawawi di dalam kitabnya Riyadhus Salihin bab 84, malu itu ada yang baik dan ada yang jelek. Kefahaman tentang apa yang betul dan apa yang salah ketika mereka belajar diperingkat rendah, akan menjadi pakaian mereka sehinggalah ketika dewasa. Menyalahtafsirkan istilah malu itu memberikan implikasi negatif dalam kehidupan mereka. Pada hari ini perasaan malu itu timbul apabila hendak melakukan kebaikan tetapi hilang malu mereka apabila mereka melakukan kemaksiatan. Dari Abu Hurairah R.A, katanya: Rasulullah S.A.W bersabda:

"Keimanan itu ada tujuh puluh lebih - tiga sampai sembilan - atau keimanan itu cabangnya ada enam puluh lebih - tiga sampai sembilan. Seutama-utamanya ialah ucapan La ilaha illallah dan serendah - rendahnya ialah menyingkirkan apa-apa yang berbahaya - semacam batu, duri, lumpur, abu kotoran dan Iain-Iain sebagainya - dari jalanan. Sifat malu adalah suatu cabang dari keimanan itu." (Muttafaq 'alaih)

Kepudaran sifat malu ini bermula sejak kecil lagi. Individu yang dibesarkan dengan cara yang kurang tepat hasil pilihan ibu dan ayah. Kadangkala, mereka ini juga adalah disebabkan oleh rakan sepergaulan serta persekitaran tempat kerja atau tempat tinggal mereka. Bermula dari seorang anak yang meninggikan suara terhadap kedua ibu bapa mereka. Apabila dia menjadi suami, maka menjadi suami yang hilang malunya untuk berada di tempat-tempat maksiat. Apabila mereka menjadi isteri. Maka mereka menjadi wanita yang sentiasa tidak bersopan dikhalayak ramai. Namun, dalam menjadikan diri ini tidak jahil dan keluar dari keadaan tidak tahu, maka malu itu ada batasnya. Bak kata pepatah melayu, malu bertanya sesat jalan. Dari Abu Said al-Khudri r.a., katanya;

"Rasulullah S.A.W itu lebih sangat sifat malunya daripada seorang perawan dalam tempat persembunyiannya - yakni perawan yang baru berkahwin dan berada dalam biliknya dengan suami yang belum pernah dikenalnya. la amat sangat malu kepada suaminya itu. Jikalau beliau S.A.W melihat sesuatu yang tidak disenangi, maka kita dapat melihat itu tampak di wajahnya." (Muttafaq 'alaih)

Para alim-ulama ada berkata;

"Hakikat sifat malu itu ialah suatu budipekerti yang menyebabkan seseorang itu meninggalkan apa-apa yang buruk dan menyebabkan ia tidak mahu berlengah untuk menunaikan haknya seseorang yang mempunyai hak."

Sebahagian dari riwayat Abul Qasim al-Junaid rahimahullah, katanya;

"Malu ialah perpaduan antara melihat berbagai macam kenikmatan atau kurnia dan melihat adanya kelengahan, lalu tumbuhlah di antara kedua macam sifat yang di atas tadi suatu keadaan yang dinamakan sifat malu."

“Setiap agama mempunyai kriteria dan kriteria (agama) Islam adalah sifat malu.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Dari Imran bin Hushain radhiallahu 'anhuma, katanya; "Rasulullah s.a.w. bersabda;

"Sifat malu itu tidak mendatangkan sesuatu melainkan kebaikan." (Muttafaq 'alaih)

Apa yang perlu kita perbincangkan dan perjelaskan dalam hal ini adalah bagaimana malu ini perlu diterapkan menjadi sebahagian dari kehidupan dan pembudayaan hidup kita ummat Islam pada hari ini. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda bermaksud:

“Apabila seseorang menyertakan keghairahan atau tarikan berahi kepada setiap perkara yang dilakukannya, ia akan menjadi keburukan, dan apabila malu disertakan dalam setiap perbuatan ia akan menjadi indah.” (Hadis Riwayat al-Imam at-Tirmizi)

Pertama, dalam setiap perbuatan atau tingkahlaku kita, usahlah kita terlalu ghairah atau mengikut kehendak hawa nafsu semata-mata. Ingatlah, bahawasanya Allah sedang melihat dan mengawasi kita. Itulah malu yang paling agung iaitu malu kepada Allah S.W.T.

Kedua, ingatlah. Allah menggantungkan kebahagiaan dan kejayaan insan kepada kemampuannya menjaga kehormatannya. Tidak ada jalan menuju kebahagiaan dan kejayaan tanpa menjaga kehormatan. Jagalah penghormatan diri sendiri jangan sehingga dimalukan dan memalukan orang lain. Allah berfirman bermaksud:

“Sesungguhnya beruntunglah orang beriman. (Yaitu) orang yang khusyuk dalam solatnya dan orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna, orang yang menunaikan zakat, orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela. Barang siapa mencari yang di balik itu, maka mereka itulah orang yang melampaui batas.” (Surah al-Mukminun, ayat 1-7)

Ketiga, jadikanlah malu sebagai benteng keimanan yang utuh berdasarkan pengawalan diri dan mengelakkan diri dari melakukan maksiat sebagaimana pendapat Imam Ibnu Qayyum al Jauzi katanya;

“Barang siapa yang mampu menjaga empat perkara ini, dia menyelamatkan agamanya. Al-Lahazhat (pandangan pertama), al-Khatharat (fikiran melintas di benak), al-Lafazhat (lidah dan ucapan), al-Khathawat (langkah nyata untuk sesuatu perbuatan).

Rasulullah S.A.W memerintahkan kita memelihara diri daripada perbuatan dibenci Allah. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah S.A.W bersabda bermaksud;

“Malu adalah cabang iman dan iman di dalam syurga dan kurang sopan itu adalah sebahagian daripada kekerasan hati, kekerasan hati adalah di dalam api neraka.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad dan at-Tirmizi)

Sumber Rujukan
1. Buku Riyadhus Salihin – Taman Orang-orang Yang Shalih (Bab 84) – Imam Nawawi
2. Berita Harian – 25 Mei 2007 oleh Endok Sempo M Tahir

OPTIMIS DENGAN APA YANG ALLAH SEDIAKAN

Penat rasanya berterusan bergerak dan mengisi program yang pelbagai. Kadang-kadang berat benar rasanya kaki ini ingin melangkah apabila mengenangkan kepenatannya bahkan meninggalkan anak isteri yang diserahkan keselamatannya kepada Allah S.W.T. Allah masih memberikan ruang kepada kita sebagai manusia walaupun kerapkali kita lupa kepada-NYA. Timbul rasa penat, tidak berbaloi dan pelbagai perasaan lagi apabila segala kerahan tenaga dan idea dilakukan dengan balasan kosong dari penerimanya. Sudahlah penat dilakukan macam-macam, sebaliknya yang diterima hanyalah umpatan, cakap belakang dan yang paling pedih dan sakit adalah tikam belakang.

Wah, ini cukup menguji kesabaran kita sebagai insan yang lemah dan serba kekurangan. Mana tidaknya, kita dah buat semua sehabis baik, tapi ada orang tidak menghargainya. Penat sungguh rasanya. Macam mahu saja berhenti dari melakukan perkara-perkara yang sia-sia ini. Letihlah. Orang tidak hargai. Jangan katakan terima kasih atau tahniah, bersetuju dengan apa yang dibuat pun jarang sekali. Rasanya lebih baik berehat dan buat kerja-kerja sendiri sahaja, lebih berbaloi dan lebih berpuas hati.

Bila kita tegur mereka, melatah. Tidak mahu dengar pandangan. Idea dia lapuk, tidak sesuai zaman. Pandangannya tidak tajam, cuma telahan saja dan pelbagai lagi andaian untuk menolak dari mengambil pengajaran. Tercabarnya. Apa salahkah kita menegur dan memberikan pendapat? Apa salahkah kita berwatak mengambil berat dan menunjukkan rasa tanggungjawab? Apa salahkah kita? Jadi, biarkanlah mereka. Sudah sampai rasa malas untuk berkata-kata. Sudah sampai rasa muaknya. Ibarat menuang air ke daun keladi, tidak ada kesan apa-apa.

Nah, inilah manisnya berdakwah wahai insan. Insan yang bernama manusia ini punya kelemahan. Sebagaimana para Rasul dan Nabi yang juga manusia tetapi dikasihi Allah dan kita semua. Wahai sahabatku, para Rasul dan Nabi juga berasa sedih dan kecewa, namun dalam kekecewaan Allah pujuk, ajarkan, tunjukkan jalan. Ditelan ikan Nun, dibunuh, ditegur dan diperingatkan, diberikan amaran dan sebagainya. Mereka itu Rasul... mereka itu Nabi...

Wahai sahabatku, itulah contoh perjalanan seorang dai'e, dicerca dikata-kata, dipersendakan, diperolok-olokkan, dibiarkan bersendirian tetapi Allah sentiasa bersamamu, percayalah wahai pejuang-pejuang kebenaran. Jika hanya dengan keadaan ini, kita sudah bermuram durja, apakah tidak ada perasaan pada seorang Nabi dan Rasul seperti Nuh a.s. Berdakwah selama ratusan tahun. Adakah dikalangan orang yang kita bersedih ini datang dari saudara mara sedarah sedaging yang rapat dengan kita? Bahkan bagaimana perasaan Nabi Nuh apabila anak isterinya ditenggelamkan Allah dalam bah yang besar?

Buat diriku dan sahabat-sahabat seperjuangan;

Ujian buat kita hanyalah sekecilnya ujian berbanding pada Nabi dan Rasul, para Khalifah yang terdahulu. Jika kita berhenti dan bersedih, adakah ianya akan menjadi lebih baik? Apa yang kita perbuat hari ini, hanyalah beberapa minit perjuangan sepanjang hayat kita diakhirat, berbanding para Rasul dan Nabi, khususnya Nabi Nuh, panjangnya seksaan kehidupan yang baginda rasakan selama 950 tahun lamanya. Ingatlah kita bersama, yang kita kejar bukan pangkat, bukan kedudukan, bukan kegemilangan kerana kayu ukur bagi manusia adalah sangat pendek dan kedekut. Yang kita cari adalah rahmat dan keredhaan-NYA kerana ianya tiada batas dan hadnya. Ia mengatasi segala dosa besar yang kita telah lakukan terhadap-NYA.

Kembalilah mencari kejayaan sebenar, untuk hidup tenang dan aman di kampung halaman kita semua. Optimislah kita dengan setiap kejadian Tuhan untuk kita. Pasti, pasti dan pastinya Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat kita. Apa yang diamanahkan laksanakan, apa yang dituntut segerakan, apa yang dijanjikan penuhilah. Tugas kita, sediakan diri kita sentiasa, setiap saat dan ketika, kerana sebentar lagi Izrail akan memintas kehidupan kita, bila tiba masanya adakah kita telah bersedia?

6 November 2009

DENGAN KUASA YANG HEBAT DATANG TANGGUNGJAWAB YANG BERAT

Apalah agaknya yang akan berlaku kepada generasi muda, remaja dan belia pada hari ini. Gambaran yang dipaparkan oleh media cukup memberikan rasa gentar dan takut kita tentang dunia yang bakal didiami oleh anak bangsa kita akan datang. Media massa seolah-olah menyibukkan untuk mempersembahkan segala macam kerosakan manusia hari ini. Bermula dengan pembunuhan, rompakan, peras ugut, melacur, penzinaan dan pelbagai keadaan yang menampakkan kita bahawa, semakin maju dunia, semakin rendah akhlak dan moraliti mereka. Semakin tinggi akal, semakin sempitlah cara hidup manusia.

Pasti kita bersama pernah mendengar ungkapan kata-kata seorang pakcik tua yang dikenali sebagai ‘Uncle Ben’ kepada seorang anak mudanya, "Dengan Kuasa yang Hebat, Datang Tanggungjawab yang Berat'. Kini fahamilah kita bersama kata-kata Imam Hassan Al-Banna bahawasanya masa yang diperuntukkan untuk kita tidak akan mencukupi kerana sesungguhnya kewajipan itu lebih banyak daripada masa. Tangisan hari ini apabila mengenangkan masa yang berlalu dengan kekalutan budaya dalam diri manusia remaja ini memberikan kesan di dalam hati kita semua. Timbul pelbagai persoalan, mampukah mereka menguasai dunia atau dunia akan menguasai mereka? Ungkapan yang sama diterjemahkan di dalam filem Kungfu Hustle yang mengisahkan seorang anak muda diberikan anugerah kuasa kungfu yang hebat.

Kini, kita seharusnya sedar, semakin ramai manusia yang berilmu, maka sepatutnya semakin amanlah dunia ini. Namun ia tidak berlaku sebagaimana yang diimpi. Apabila, mereka yang diberikan anugerah kuasa yang hebat itu (ilmu) tidak melakukan tanggungjawabnya yang besar. Perasaan ini kita bersama kongsikan, apabila keluar sahaja dari dewan graduasi, perasaan bercampur baur ini perlukan tunjuk jalan, sama ada bergembira dengan beban tanggungjawab dakwah itu atau bersedih?

Allah menciptakan kita sebagai Khalifah adalah untuk mentadbir muka bumi dan hidup yang sementara ini. Bekalannya ilmu untuk digunapakai agar tidak tersalah pilihan dan halatuju. Namun, jangan kita lupa, dengan ilmu ini Allah datangkan juga ujian sebagai kayu ukur insan mengingati-NYA atau menggantikan-NYA di dalam hati kita.

Oleh kerana itu, kita sering diingatkan oleh Allah untuk terus berfikir, berfikir dan berfikir. Maka fikirkanlah, adakah ilmu yang kita punyai ini mendapat rahmat untuk kita sendiri dan adakah ia memberi manfaat kepada orang lain. Sahabat-sahabat seperjuanganku, teruskanlah berdakwah kepada masyarakat, apa yang penting ialah sedarkan mereka, berikan mereka peringatan, jangan biarkan mereka lupa, padah akibatnya bukan untuk mereka sahaja, bahkan anak cucu cicit kita juga nanti. TUNE-lah diri kita.

SIFAT REDHA

Sifat Redha adalah daripada sifat makrifah dan mahabbah kepada Allah s.w.t. Pengetian redha ialah menerima dengan rasa senang dengan apa yang diberikan oleh Allah s.w.t. baik berupa peraturan (hukum) mahupun qada’ atau sesuatu ketentuan daripada Allah s.w.t. Redha terhadap Alla s.w.t. terbahagi kepada dua iaitu:

1. Redha menerima peraturan (hukum) Allah s.w.t. yang dibebankan kepada manusia.
2. Redha menerima ketentuan Allah s.w.t. tentang nasib yang mengenai diri.

1. Redha menerima hukum Allah s.w.t.

Redha menerima hukum-hukum Allas s.w.t. adalah merupakan manifastasi daripada kesempurnaan iman, kemuliaan takwa dan kepatuhan kepada Allah s.w.t. kerana menerima peraturan-peraturan itu dengan segala senang hati dan tidak merasa terpaksa atau dipaksa. Mereka tunduk dan patuh dengan segala kelapangan dada bahkan dengan gembira dan senang menerima syariat yang digariskan oleh Allah s.w.t dan Rasul-NYA adalah memancar dari mahabbah kerana cinta kepada Allah s.w.t dan inilah tanda keimanan yang murni serta tulus ikhlas kepada-NYA. Pada dasarnya segala perintah Allah s.w.t baik yang wajib mahupun yang sunat, hendaklah dikerjakan dengan senang hati dan redha. Demikian juga dengan larangan-larangan Allah s.w.t hendaklah dijauhi dengan lapang dada.

2. Redha dengan Qada’

Redha dengan qada’ merasa menerima ketentuan nasib yang telah ditentukan Allah s.w.t baik berupa nikmat mahupun berupa musibah (malapetaka). Di dalam hadis yang diungkapkan bahawa di antara orang yang pertama memasuki syurga ialah mereka yang suka memuji Allah s.w.t iaitu mereka memuji Allah s.w.t (bertahmid) baik dalam keadaan yang susah mahupun di dalam keadaan yang senang.

Diberitakan Rasulullah s.a.w apabila memperolehi kegembiraan Baginda berkata: “ Segala puji bagi Allah yang dengan nikmat-NYA menjadi sempurnalah kebaikan”. Dan apabila mendatangkan perkara yang tidak menyenangkan, Baginda mengucapkan: “Segala puji bagi Allah atas segala perkara”.

Sikap redha dengan mengucapkan puji dan syukur kepada Allah s.w.t ketika mendapat kesenangan atau sesuatu yang tidak menyenangkan bersandar kepada 2 pengertian:

PERTAMA: Bertitik tolak dari pengertian bahawa sesungguhnya Allah s.w.t memastikan terjadinya hal itu sebagai yang layak bagi diri-NYA kerana DIAlah sebaik-baik Pencipta. Dialah yang Maha Bijaksana atas segala sesuatu.

KEDUA: Bersandar kepada pengertian bahawa ketentuan dan pilihan Allah s.w.t itulah yang paling baik, dibandingkan dengan pilihan dan kehendak peribadi yang berkaitan dengan diri sendiri.

Wednesday, June 16, 2010

BERSYUKURLAH

Apabila disebutkan ‘syukur’, ‘bersyukurlah’, pasti akan terbit dari lidah seseorang manusia yang mengakui Islam itu ucapan ‘Alhamdulillah’. Sejauhmanakah perkataan itu menjadi amalan kehidupan seorang Muslim? Adakah setiap hari, setiap masa atau setiap saat?

Pernah suatu ketika berbicara seorang pemuda dengan seorang Pak Tua yang kuat makannya, tinggi percakapannya serta tepat segala janjinya. Pada awal pertemuan si pemuda dengan Pak Tua, kerapkali dia melihat Pak Tua ini sangat kuat makan. Setiap yang dihidangkan pasti dihabiskan. Tuturnya pula ibarat menyatakan bahawa dia tahu lebih banyak perkara dan dia melebihi pengalamannya dari orang lain. Namun, disedari si pemuda bahawa pada setiap tutur kata Pak Tua ini akan dimulai dengan ucapan ‘Alhamdulillah’. Tidak pernah terlupa Pak Tua akan perkataan itu. Selepas bersama pemuda itu beberapa ketika dengan Pak Tua, maka timbullah tanda tanya pemuda itu kepada Pak Tua.

“Wahai Pak Tua, kenapa begitu mudah lidah Pak Tua menyebut ‘Alhamdulillah’? Belum pun Pak Tua menjamah apa-apa makanan pun, pak tua dah sebut ‘Alhamdulillah’, belum pun Pak Tua menaiki kenderaan atau sampai ke mana-mana Pak Tua sebut ‘Alhamdulillah’, kenapa?” tanya pemuda itu keliru.

“Wahai anak muda, pernahkah kamu bersyukur apabila perutmu merasai kelaparan?” tanya Pak Tua itu spontan.

“Bagaimana perasaan mu wahai anak muda, jika dijamu makanan yang amat sedap tetapi dalam keadaanmu yang kekenyangan? Adakah kamu akan menjamah makanan itu? Sesungguhnya, ‘Alhamdulillah’ku adalah kerana bersyukur kerana dikurniakan rasa lapar dan dapat berjalan juga merasai menaiki kenderaan dengan kakiku.” Jawab Pak Tua itu ringkas.

Benarlah kata-kata Allah di dalam Al-Quran dari surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud;

“Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya aku tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.”

Kesyukuran yang ditunjukkan oleh Pak Tua dalam artikel yang lalu amat jelas sekali. Itulah petandanya kesyukuran yang tidak pernah kenal masa dan tempatnya. Ia adalah hasil kepercayaan jitu Pak Tua kepada Penciptanya. Dialah yang Maha Pemberi. Pernahkah kita bertanya diri kita bagaimana kita bersyukur, rasa bersyukur dan untuk apakah kita bersyukur?

Menurut M. Quraish Shihab dalam ensiklopedia PSQ, syukur mencakup tiga sisi. Pertama, syukur dengan hati, yakni kepuasaan batin atas anugerah. Kedua, syukur dengan lidah, yakni dengan mengakui anugerah dan memuji pemberinya. Ketiga, syukur dengan perbuatan, yakni dengan memanfaatkan anugerah yang diperoleh sesuai dengan tujuan penganugerahannya.

Diriwayatkan oleh Yahya bin Ya'la dari Abu Khabab, dari Atha' yang berkata, "Aku bersama Ubaid bin Umair mengunjungi Aisyah r.a. dan berkata kepadanya, 'Ceritakanlah kepada kami sesuatu yang paling mengagumkan yang engkau lihat pada Rasulullah. saw.!' Lalu, beliau (Sayidatina Aisyah) menangis.

Kemudian ditanya kembali oleh Sayidatina Aisyah, 'Adakah yang beliau lakukan, yang tidak mengagumkan? Suatu malam, beliau datang kepadaku, dan kami tidur di tempat tidur hingga tubuh beliau bersentuhan dengan tubuhku. Setelah beberapa saat, beliau berkata, 'Wahai putri Abu Bakar, izinkanlah aku bangun untuk beribadat kepada Tuhanku!' Aku menjawab, "Saya senang berdekatan dengan mu,' tapi aku mengizinkannya. Kemudian beliau bangun, pergi ke tempat simpanan air dan berwudhu' dengan mencucurkan banyak air, lalu solat. Beliau mulai menangis hingga air matanya membasahi dadanya, kemudian beliau ruku' dan terus menangis, lalu sujud dan terus menangis, lalu mengangkat kepala dan terus menangis. Terus menerus beliau dalam keadaan demikian sampai Bilal datang dan memanggil beliau untuk solat Subuh. Aku bertanya kepada beliau, 'Apakah yang menyebabkan engkau menangis wahai Rasulullah, sedangkan Allah telah mengampuni dosa dosa mu, baik yang dahulu maupun yang akan datang?' Beliau menjawab, 'Tidakkah aku menjadi seorang hamba yang bersyukur? Bagaimana aku tidak akan menangis sedangkan Allah telah menurunkan ayat ini kepadaku:

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya siang dan malam, bahtera yang berlayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang diturunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah matinya dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis hewan dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi, sungguh terdapat tanda-tanda bagi kaum yang mau menggunakan akal.” (Al Baqarah:164)

Syukur manusia tentulah kepada setiap balasan yang diberikan Allah kepada manusia. Sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Nikmat terindah manusia adalah apabila dikurniakan agama Islam sebagai cara hidup dan keimanan kepada Allah, para Rasul, Malaikat, Kitab-kitab, hari Kiamat serta ketentuan Qada’ dan Qadar. Seketika, pada hari ini, manusia seringkali melupai nikmat yang Allah telah kurniakan ini. Alpa manusia, lupa dan kerapkali kita terlepas pandang atas nikmat yang telah dikurniakan. Kerap kita mencari perkara yang tidak Allah berikan tetapi tidak pula kita mensyukuri nikmat yang telah ada dihadapan mata kita.

Nikmat yang dikurniakan Allah kepada manusia adalah tidak terhitung banyaknya. Jumlahnya tidak dapat disukat dan ditimbang. Ini jelas dinyatakan Allah dalam firman-Nya dari surah An-Nahl ayat 18 bermaksud:

"Dan sekiranya kamu menghitung nikmat Allah, nescaya tidak dapat menghitungnya. Sesungguhnya Tuhan itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang."

Menurut Imam Al-Junaid : “Syukur ialah seseorang yang tidak menggunakan nikmat Allah untuk melakukan maksiat kepadaNya”. Ertinya tanda bersyukur ialah menggunakan segala nikmat Allah untuk melakukan ketaatan dan memanfaatkan nikmat tersebut ke arah kebajikan, bukan menyalurkannya kepada maksiat atau kejahatan.

Nikmat yang Allah Taala anugerahkan kepada manusia bolehlah dibahagikan kepada dua iaitu;

Pertama: “Nikmat duniawi” iaitu nikmat untuk meneruskan kehidupan di dunia seperti makanan, minuman, kekayaan, keamanan, kesihatan, persaudaraan dan sebagainya.

Kedua: “Nikmat Ukhrawi” iaitu nikmat Islam dan iman, nikmat yang paling berharga serta tidak ternilai kerana ia bukan setakat menjamin kesejahteraan hidup di dunia tetapi berkekalan hingga ke akhirat.

Menurut Imam Al Ghazali pula, beliau mendefinasikan nikmat itu sebagai: setiap kebaikan, kelazatan dan kebahagiaan serta setiap kebahagiaan hidup 'ukhrawi' - 'hari akhirat yang kekal abadi.'

Secara umumnya, nikmat kurniaan Allah kepada setiap orang manusia dapat dibahagikan kepada dua iaitu:

1) Nikmat bersifat 'fitri' atau asasi iaitu nikmat yang dibawa oleh manusia ketika dilahirkan lagi.
2) Nikmat mendatang iaitu nikmat yang diterima dan dirasakan dari masa ke semasa.

Lawan syukur ialah kufur. Seseorang yang menggunakan nikmat ini pada tempat bertentangan dengan tujuan penciptaannya, maka sebenarnya mengkufuri nikmat Allah yang menganugerahkan nikmat itu kepadanya.

Bersyukur dikurniakan ibu dan ayah;

Firman Allah di dalam Al-Quran, surah Luqman ayat ke 14 yang bermaksud:

“Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada ibu-bapaknya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada ibu-bapakmu, hanya kepadaKu lah kembalimu.”

Bersyukur kerana yang memberikan rezeki kepadamu adalah Allah;

Firman Allah di dalam Al-Quran, surah Al-'Ankabuut ayat 17 yang bermaksud:

“Sesungguhnya apa yang kamu sembah selain Allah itu adalah berhala, dan kamu membuat dusta. Sesungguhnya yang kamu sembah selain Allah itu tidak mampu memberikan rezki kepadamu; maka mintalah rezki itu di sisi Allah, dan sembahlah Dia dan bersyukurlah kepada-Nya. Hanya kepadaNya lah kamu akan dikembalikan."

Firman Allah dari surah Al-Baqarah ayat 172:

“Hai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar kepada-Nya kamu menyembah."

Bersyukur kerana Allah sentiasa mengingati kita;

Sebagaimana firman Allah di dalam Al-Quran dari surah Al-Baqarah ayat 152 yang bermaksud:

“Karena itu, ingatlah kamu kepada-Ku niscaya Aku ingat kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku.”

Bersyukur dengan mencari rezeki yang halal;

Firman Allah s.w.t di dalam surah An-Nahl ayat 114 yang bermaksud:

“Maka makanlah yang halal lagi baik dari rezki yang telah diberikan Allah kepadamu; dan syukurilah ni'mat Allah, jika kamu hanya kepada-Nya saja menyembah.”

Apa yang utama dalam usaha untuk kita mensyukuri nikmat Allah adalah bersabar dengan setiap yang ditentukan Allah kepada kita. Inilah yang diertikan sebagai beriman dengan Qada’ dan Qadar dari Allah. Ramai dari kalangan manusia hari ini tidak berupaya untuk bersabar dengan apa sahaja yang ditimpakan kepadanya baik dari segi kekayaan mahupun kemiskinan. Dari segi kesihatan mahupun kesakitan. Akhirnya, jadilah mereka manusia yang tidak bersyukur.

Firman Allah s.w.t dari surah Luqman ayat 31 yang bermaksud:

“Tidakkah kamu memperhatikan bahwa sesungguhnya kapal itu berlayar di laut dengan nikmat Allah, supaya diperlihatkan-Nya kepadamu sebahagian dari tanda-tanda (kekuasaan)-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi semua orang yang sangat sabar lagi banyak bersyukur.”

Sebagaimana falsafah bagi kehidupan orang-orang Jawa apabila mereka ditimpa kemalangan, pasti mereka akan menyebutkan ‘untung’ dalam bicara mereka. Mungkin dengan falsafah kecil ini, jelas bagaimana umat manusia terdahulu cuba mengubah setiap perkara yang diciptakan dan dijadikan Allah pasti ada kebaikannya untuk manusia. Inilah hikmah dibalik kesabaran manusia itu sendiri.

Apabila sabar dikaitkan dengan syukur, maka, pastinya ia adalah suatu tugasan yang perlu berterusan ataupun istiqamah. Ini membuktikan, menjadi orang bersyukur bermula dengan membina kesabaran dalam setiap apa yang ditempuhi seharian dan membentuk kesabaran lahir dari sifat diri yang istiqamah. Bersyukurlah kerana sifat syukur adalah keuntungan buat diri kita sendiri. Ketahuilah bahawa, Allah adalah Maha Pemberi dan memberikan segala-galanya. Beriman kita kepada-Nya tidak menambah apa-apa pada sisinya juga kufur kita kepada setiap nikmat pemberian-Nya tidak akan mengurangkan apa-apa pada-Nya.

Firman Allah s.w.t di dalam surah An-Naml ayat 40 yang bermaksud:

"Barang siapa yang bersyukur maka hal itu untuk (kebaikan) dirinya sendiri. Dan barang siapa yang ingkar maka sesungguhnya Tuhan itu Maha Kaya dan Maha Mulia."

PUISI: PERJUANGAN MESTI DITERUSKAN... KITA YANG TERBAIK


Telah lama aku berkelana... hampir sepurnama rasanya...
Pelbagai rencah dunia telah ku tontoni dan telah aku perhatikan...
Aduh, aku mengeluh melihat semunya... Di mana aku dan siapa aku?
Allah Maha Kuasa atas segalanya...
Dalam aku tercari-cari arah ku, Allah telah menuntun aku untuk melihat satu persatu
Apa yang harus aku laku dan memainkan peran ku... Allah Maha Hebat



Setiap hari, setiap hati dan setiap mahu kita adalah kepada kekayaan dan kesenangan hidup, tapi pernahkah kita bertanyakan pada diri apakah erti kekayaan itu?


Dalam perjalanan aku di muka bumi Malaysia ini, keinginan ini semakin membuak-buak dalam hati... mencari kemahuan dan adakah ia dinaungi keberkatan? Mencari kekayaan adakah itu tuntutan kepada manusia seperti kita ini? Adakah kekayaan akan menjadikan aku senang dan berbahagia?


KEKAYAAH... KESENANGAN...


Rupanya... inilah belenggu terbesar kita, belenggu dalam jiwa setiap manusia... Carilah kekayaan agar dapat berbakti lebih baik kepada agama... Siapakah yang berkata-kata sebegini? Hati dari pintu kebaikan atau hanya alasan yang diada-adakan? Jadi, bila tidak kaya adakah kita tidak perlu mengorbankan diri kita untuk agama?


Allah, Maha Hebatnya persembahan-Mu pada mataku...
Percayalah... kekayaan tidak dapat memberikan ketenangan hati...
Kekayaan tidak dapat menyediakan kebahagiaan...
Kekayaan tidak menyembuhkan penyakit...
Kekayaan bukan segalanya dalam hidup ini...
Tetapi erti kekayaan adalah apabila kita sudah merasa cukup, senang dan tenang dengan apa yang ada di dunia ini untuk kita...


Kekayaan bererti Alhamdulillah yang kita ungkapkan bukan kerana kita telah kenyang menjamah makanan tetapi kerana punya nikmat untuk merasai makanan... Alhamdulillah mendahului segalanya.. Allhamdulillah setiap masa dan ketika... Adakah ini perilaku kita?


Allah lebih suka ibadah seorang yang kaya, sihat tubuh badannya... tetapi tahukah kita apa pengorbanan yang perlu kita lakukan untuk menjadi kaya? Pernahkah kita terfikir bahawa kekayaan adalah ujian yang besar untuk hambanya? Pernahkah kita terfikir apakah balasan yang diinginkan Allah daripada mereka yang kaya?


Buangkanlah belenggu kekayaan ini daripada hati kita. Kerana kekayaan akan membawa kepada pengaruh ketamakan. Belajarlah bersedekah tatkala kita miskin kerana ini akan mengurangkan rasa tamak dalam diri kita. Kekayaan juga akan menjadikan manusia itu lupa bahawa rezeki adalah datangnya dengan izin Allah kepada mereka yang berusaha dan ia boleh dihilangkan dalam sedetik masa sahaja.


Kekayaan perlu dicampakkan, wang ringgit bukan tuhan dalam hati kita wahai pejuang, tetapi ALLAH yang mesti bertakhta dalam hati. Apa yang tidak mampu dilakukannya kepada kita. Tenanglah wahai umat Muhammad... kembalikan hati kita hanya untuk Allah... Lakukan segalanya untuk Allah, nescaya Allah pasti akan bersama dengan kita.


Bekerja bukan untuk duit tetapi kerana bakti yang hendak dicurahkan.
Bekerja bukan kerana pangkat, tetapi untuk memastikan amanah terlaksana.
Bekerja bukan untuk kemasyhuran, tetapi kerana ia adalah tanggungjawab ummat untuk kita.
Bekerja bukanlah kerana itu adalah pekerjaan, tetapi kesempatan untuk kita memanfaatkan masa hidup kita untuk ummat.
Bekerja bukan menghabiskan tugasan, tetapi melengkapkan tugas sesempurna yang mungkin...


Kerana itu ingatlah... Ummat perlukan yang terbaik dari kita...
Manusia dengan tinggi ilmunya, maka banyaklah tanggungjawabnya...

PUISI: AKU PERLU TERUS BERDIRI, BERJALAN DAN BERLARI


Kenangan terindah apabila lahir sahaja ke dunia
Melihat pelbagai ragam kehidupan manusia
Kenangan terindah ini membuatkan AKU PERLU TERUS BERDIRI
Berdiri dengan kaki sendiri, jiwa dan kekuatan jatidiri
Berdiri melihat arus teknologi dan globalisasi yang semakin pantas
Degup jantung semakin kencang dan kehidupan?
Semakin hampir kepada kematian...

AKU PERLU TERUS BERDIRI
Mempertahankan cara hidup dalam diri yang hakiki
Terus berdiri mempertahankan Al-Hak di dalam jiwa ini...

Kenangan terindah ini hanya sementara
kerana dunia ini persinggahan sementara
Persinggahan dalam perjalanan ke dunia yang kekal selamanya

AKU PERLU MULA BERJALAN...
Disamping bekalan yang perlu aku cukupkan...
Bekalan yang dapat menyelamatkan, menjadi pelindung
dan pendamping bermula di alam kubur...

Ingatlah, AKU PERLU TERUS BERJALAN
kerana menjadi mayat itu pasti
tiada siapa yang mampu mengubahnya...

AKU PERLU MULA BERLARI...
Ujian dunia ini semakin menyempitkan,
menjauhkan diri dari Al-Hak, menjauhkan diri dari perjuangan
kekasih-NYA, Hai Muhammad...
Aku lah manusia yang kau katakan paling disayangi,
tetapi tidak pernah sekalipun mengenali-mu...
Aku lah juga dikalangan manusia yag pernah kau katakan buih dipantai
banyak bertaburan, tetapi pergi begitu sahaja...
Aku lah juga dikalangan manusia yang kau sebutkan
ketika tiba saat akhir usiamu Hai Muhammad...
Ummati, Ummati, Ummati...
AKU PERLU TERUS BERLARI... mengejar syafaat mu...

Namun aku terus leka dan bergembira
kerana jiwa merasakan bebas selamanya, tetapi sebenarnya
terbelenggu dengan penjara dunia... AL-WAHAN

AKU PERLU TERUS BERDIRI, BERJALAN DAN BERLARI