Monday, November 30, 2009

LUPA YANG DIINGATKAN (BAHAGIAN 2)


Perjalanan November kami diteruskan lagi ke Sungai Congkak pula. Pada 30 Oktober 2009, saya bertemankan saudara Zaki telah bergerak ke Sungai Congkak pada awal pagi bersama beberapa orang fasilitator IQ Class Management. Agak dukacita juga apabila tidak dapat bersama Jo kerana dia ditugaskan ke Morib untuk membantu PUSBA dalam menjayakan program SPIES di sana.

Saya sampai di Sungai Congkak awal. Alhamdulillah, segala persiapan dan perjalanan lancar. Maklumlah, dah diperingatkan Allah supaya lebih berhat--hati dan lebih teliti dalam mempersiap program kali ini. Komputer riba? Pinjam dari adik ipar saya. Terpaksa memandangkan milik saya tertinggal di Cherating. Persiapan baik dan lancar, namum saya agak terleka dan sangat bersahaja. Mungkin kerana sudah biasa dengan program sebegini atau setidak-tidaknya rasa mudah kerana dibantu oleh fasilitator yang boleh tahan hebatnya.



Penangan dari tertinggal komputer riba di Cherating ada juga terasanya. Apabila tiba hari kedua di Sungai Congkak, berlaku sedikit kekalutan. Ketika itu, saya sedang asyik menjalankan sesi muhasabah kepada peserta dan saat itu mereka sedang menangisi kesalahan dan dosa yangtelah mereka lakukan. Tiba-tiba datang Zaki dalam keadaan yang agak gelisah memanggil saya. "Cikgu bertengkar", bisik Zaki. "Berebut bilik", katanya lagi.

Saya terkedu dan minta Zaki yang menguruskannya memandangkan saya masih ada urusan bersama peserta yang sedang bermuhasabah. Zaki pun berbisik kepada saya bahawa, kata cikgu saya ada janji untuk berikan bilik itu kepadanya. Nah! Saya lupa lagi. Ya Allah... Dimana silap saya? Zaki pula yang menjadi mangsa keadaan terpaksa meleraikan kekusutan.

Keesokan paginya, segalanya berjalan dengan normal dan tidak lagi timbul permasalahan. Ia diselesaikan dengan kami sediakan bilik baru untuknya. Begitulah sahabat seperjuangan, bila janji tidak ditepati, yang menjadi mangsanya orang lain. Yang terbeban orang lain, tapi kita boleh beralih begitu sahaja. Saya mohon berjuta kemaafan kepada Zaki sebab menjadi orang yang menyelesaikan konflik yang saya mulakan.

Manusia mula hilang percaya apabila janji mereka tidak ditepati. Bila berjanji kotakanlah, jadikan ia beban serta tanggungjawab yang besar. Jangan ambil lewa sahaja. Allah ingatkan saya kembali, itu cuma janji dan permintaan manusia yang tidak dapat kita penuhi, hati mereka sakit dan marah apatah lagi janji kita kepada Allah, kepada pemberi amanah melaksanakan progra dan banyak lagi. Ya Allah, berikanlah aku kekuatan untuk melaksanakan amanah dan mengotakan janji-janji Ya Allah.

Kamarul Azami bin Mohd Zaini
30 November 2009

Sunday, November 29, 2009

LUPA YANG DIINGATKAN (Bahagian 1)


Sepanjang perjalanan karier saya bersama IQ Class Management di dalam bulan November 2009. Pelbagai pengalaman dan pengajaran yang ingin saya kongsikan bersama para pembaca sekalian. Sungguh tidak disangka-sangka kerana setiap yang berlaku itu punya pengajaran dan ianya adalah peringatan yang sering kita lupakan.

LUPA. Itulah permulaan perkataan yang bermain difikiran saya sebelum memulakan penulisan ini. Mengapa lupa? Susah juga nak diterangkan tetapi ia punya cerita yang terang serta jelas. Bagi saya dan rakan-rakan di IQ Class Management, ia adalah suatu peringatan kepada setiap nikmat dan kejadian pemberian Allah kepada kita. Maka beringatlah wahai teman-teman, kita akan lupa untuk diberikan peringatan oleh Allah.



Apabila kami memulakan perjalanan bersama menuju ke Cherating pada 26 Oktober 2009. Ketika itu hati kami berdebar-debar kerana akan berhadapan dengan peserta yang merupakan warga TUDM berpangkat Flight Sarjan hinggalah Pegawai Warren 1. Macam-macam yang dibincangkan. Bahkan ada juga telahan teman-teman yang menyatakan rasa bangga bahawasanya kita dah sampai ke peringkat ini, betul-betul tidak disangka. Perjalanan program lancar dan memberangsangkan. Keyakinan diri kami semakin tinggi sehingga hadir dalam benak hati dan fikiran yang pelbagai. Mulalah mulut merancang tanpa akal menuntun sedangkan apa yang dirancang semuanya belum ada di depan mata. Angan-angan.

Kami pun bertolak pulang ke Kuala Lumpur pada 29 Oktober 2009 dengan hati lapang dan gembira sambil ketawa besar sepanjang perjalanan. Pelbagai yang dibincangkan. Cita-cita besar dan ingin mengumpul kekayaan. Apabila saya tiba di rumah Kuala Selangor, dengan penuh semangat yang ada, terus mengemas kereta kerana untuk persiapan esoknya saya akan bergerak pula ke Sungai Congkak untuk bersama pelajar-pelajar Sekolah Rendah Islam (SRI) Seremban.

Wah, alangkah terkejutnya saya apabila mendapati komputer bimbit tiada! Saya telefon teman-teman sekiranya ada bersama mereka tetapi hampa. Hati saya berbisik, mungkin perlukan komputer bimbit yang baru. Isteri saya mencadangkan agar ditelefon hotel di Cherating semula. Saya berusaha mendapatkan nombor telefon dan menghubungi mereka. Sambil tersenyum saya meletakkan telefon bimbit saya dan ternyata, kami tertinggal komputer riba di sana. Hati saya lega bercampur gusar kerana perlukah saya ke sana semula untuk mengambilnya? Jawapannya ya. Saya dan isteri saya bertolak ke Cherating pada 3 November 2009.

Allah telah memperingatkan kami bahawasanya, DIA-lah pemberi nikmat dan setiap nikmatnya itu adalah pinjaman. Maka janganlah sekali-kali kita lalai kepadanya atau lupa kepada pemberiannya. Kegembiraan yang sebenar harus hadir dengan rasa syukur dan berterima kasih kepada-NYA kerana setiap ruang, peluang, masa dan pilihan yang terbaik disediakan kepada kita, hanya perlu kita ingat dan kenangkan sentiasa.

Kamarul Azami bin Mohd Zaini
29 November 2009

Friday, November 6, 2009

Optimis Dengan Apa Yang Disediakan Allah Buat Kita Semua




Penat rasanya berterusan bergerak dan mengisi program yang pelbagai. Kadang-kadang berat benar rasanya kaki ini ingin melangkah apabila mengenangkan kepenatannya bahkan meninggalkan anak isteri yang semata-mata diserahkan keselamatannya kepada Allah. Apatah lagi apabila segala kerahan tenaga dan idea dilakukan dengan balasan kosong dari penerimanya. Sudahlah penat dilakukan macam-macam, sebaliknya yang diterima hanyalah umpatan, cakap belakang dan yang paling pedih dan sakit adalah tikam belakang.

Wah, ini cukup menguji kesabaran kita sebagai insan yang lemah dan serba kekurangan. Mana tidaknya, kita dah buat semua sehabis baik, tapi ada orang tidak menghargainya. Penat sungguh rasanya. Macam mahu saja berhenti dari melakukan perkara-perkara yang sia-sia ini. Letihlah. Orang tidak hargai. Jangan katakan terima kasih atau tahniah, bersetuju dengan apa yang dibuat pun jarang sekali. Rasanya lebih baik berehat dan buat kerja-kerja sendiri sahaja, lebih berbaloi dan lebih berpuas hati.

BIla kita tegur mereka, melatah. Tidak mahu dengar pandangan. Idea dia lapuk, tidak sesuai zaman. Pandangannya tidak tajam, cuma telahan saja dan pelbagai lagi andaian untuk menolak dari mengambil pengajaran. Tercabarnya. Apa salahkah kita menegur dan memberikan pendapat? Apa salahkah kita berwatak mengambil berat dan menunjukkan rasa tanggungjawab? Apa salahkah kita? Jadi, biarkanlah mereka. Sudah sampai rasa malas untuk berkata-kata. Sudah sampai rasa muaknya. Ibarat menuang air ke daun keladi, tidak ada kesan apa-apa.

Nah, inilah manisnya berdakwah wahai diriku yang malang. Insan yang bernama manusia ini punya kelemahan. Sebagaimana para Rasul dan Nabi yang juga manusia tetapi dikasihi Allah dan kita semua. Wahai diriku, para Rasul dan Nabi juga berasa sedih dan kecewa, namun dalam kekecewaan Allah pujuk, ajarkan, tunjukkan jalan. Ditelan ikan Nun, dibunuh, ditegur dan diperingatkan, diberikan amaran dan sebagainya. Mereka itu Rasul... mereka itu Nabi...

Wahai diriku yang malang, itulah contoh perjalanan seorang dai'e, dicerca dikata-kata, dipersendakan, diperolok-olokkan, dibiarkan bersendirian tetapi Allah sentiasa bersamamu, percayalah wahai pejuang-pejuang kebenaran. Jika hanya dengan keadaan ini, kita sudah bermuram durja, apakah tidak perasaan pada seorang Nabi dan Rasul seperti Nuh a.s. Berdakwah selama ratusan tahun. Adakah dikalangan orang yang kita bersedih ini datang dari saudara mara sedarah sedaging yang rapat dengan kita? Bahkan bagaimana perasaan NAbi Nuh apabila anak isterinya ditenggelamkan Allah dalam bah yang besar?

Buat diriku dan sahabat-sahabat seperjuangan;

Ujian buat kita hanyalah sekecilnya ujian berbanding pada Nabi dan Rasul, para Kahlifah yang terdahulu. Jika kita berhenti dan bersedih, adakah ianya akan menjadi lebih baik? Ingatlah kita bersama, yang kita kejar bukan pangkat, bukan kedudukan, bukan kegemilangan kerana kayu ukur bagi manusia adalah sangat pendek dan kedekut. Yang kita cari adalah rahmat dan keredhaan-NYA kerana ianya tiada batas dan hadnya. Ia mengatasi segala dosa besar yang kita telah lakukan terhadap-NYA.

Kembalilah mencari kejayaan sebenar, untuk hidup tenang dan aman di kampung halaman kita semua. Optimislah kita dengan setiap kejadian Tuhan untuk kita. Pasti, pasti dan pastinya Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat kita. Apa yang diamanahkan laksanakan, apa yang dituntut segerakan, apa yang dijanjikan penuhilah. Tugas kita, sediakan diri kita sentiasa, setiap saat dan ketika, kerana sebentar lagi Izrail akan memintas kehidupan kita, bila tiba masanya adakah kita telah bersedia?

Kamarul Azami bin Mohd Zaini
http://kamarulazami.blogspot.com
6 November 2009