Wednesday, September 16, 2009

PERTEMUAN KEDUA BERSAMA PRS SMS KUALA SELANGOR

Bersama Cikgu Rozali dan pelajar SMS Kuala Selangor
Alhamdulilah, pada 14 September 2009 bersamaan 24 Ramadan 1430, saya telah melalui perjalanan harian yang cukup mencabar dan memenatkan khususnya dalam bulan Ramadan. Apa yang mampu saya fikirkan, beginikah cabaran yang Allah berikan kepada umat yang mengakui keimanan mereka atau, ini sekadar perasaan ku dan sebenar-benarnya lebih berat dari ini?

Sebenarnya tidaklah sepenat mana. Seawal pagi, saya bersiap sedia dan bertolak ke sekolah tabika KEMAS anak buah saya berdekatan dengan rumah. Pesan saya padanya, "Belajar rajin-rajin ye, jangan main je".

Harapan dan doa saya ketika hantarkannya ke hadapan pintu, jadilah dia anak yang soleh mendoakan ibu dan bapanya sentiasa. Hari ini, kemanjaan dan kasih sayang yang diperolehnya dikhuatiri akan menjadikannya lebih liar dan lupa akan keluarganya. Inilah yang berlaku di dalam kebanyakan keluarga pada hari ini.

Perjalanan diteruskan ke pejabat ku di Sungai Buloh. Angkat barang dan lakukan sedikit perpindahan agar dapat dikosongkan kereta setelah lebih 3 bulan kereta saya bersepah dan dipenuhi dengan barang-barang program. Alhamdulillah, sebenarnya agak lama juga saya tidak datang ke pejabat sendiri tu.

Pejabat sebenarnya adalah tempat yang paling ideal untuk bekerja, kerana ia mempunyai suasana dan peranan yang sesuai untuknya. Tapi kenapa saya susah untuk mendisiplinkan diri untuk datang ke pejabat? Itu perlu dimuhasabahkan dan perlu kembali mencari keutamaan dalam perjalanan harian.

Selepas itu, saya bergerak ke SK Sinaran Budi dan SAM Tungku Ampuan Jemaah untuk penghantaran sijil dan juga pergi ke kaunter-kaunter untuk urusan kemasukan wang dan pembayaran beberapa perkara.

Urusan sebegini amat memenatkan, namun ia merupakan tanggungjawab yang tidak pernah berkesudahan. Amanah adalah perkara yang perlu diutamakan.

Pada sebelah malamnya, saya berada bersama PRS SMS Kuala Selangor. Hari ini, yang hadir cuma mereka dai kalangan tingkatan 1 dan 2 sahaja. Menarik sebenarnya. Pertama, saya tidak membuat sebarang persediaan dek kerana penat berjalan sepanjang hari. Kedua, terlewat tiba ke sekolah atas beberapa keadaan diluar kawalan. SubahanAllah, memang Allah itu Maha Adil dan Maha Bijaksana.

Ilham Allah berikan kepada saya. Perbincangan nampak menarik dengan dimulakan sesi kepada satu episod persoalan dalam diri iaitu 'Kenapa Saya Menjadi Ahli PRS?'. Satu soalan yang mudah tetapi dapat menjelaskan apa yang ada dibenak fikiran dan hati adik-adik. Perbincangan diteruskan dengan memberikan folus tentang matlamat mereka serta formula asas sebagai ahli PRS yang baru.

Alhamdulillah, berjalan dengan lancar dan diharapkan ia merupakan ruang untuk aku bermuhasabah dan memperbaiki diri aku sendiri.

Tuesday, September 15, 2009

BERSAMA DI DALAM PROGRAM IHYA' UN-NAHAR IMARAH RAMADHAN ABIM SELANGOR

Saya sedang memberikan taklimat.

Program Ihya' Un-Nahar Imarah Ramadan ABIM Selangor.

Pada 12 September yang lalu, bersamaan 22 Ramadan 1430 Sabtu, saya telah bersama dengan ABIM Selangor menjalankan satu program yang bertajuk Program Ihya' Un-Nahar Imarah Ramadan di Pusat Pendidikan ABIM Klang (PPAK) Meru. Penyertaan alhamdulillah memberangsangkan apabila disertai oleh hampir 56 orang peserta. Kehadiran peserta seperti yang dijangkakan seawal 7.30 pagi dan program tamat pada jam 5.15 petang yang berakhir dengan penyampaian sijil oleh YDP ABIM Selangor.

YDP ABIM Selangor menyampaikan sijil penyertaan

Kehadiran saya bersama rakan-rakan lain sebagai fasilitator adalah amat bermakna. Ia menguji ketahanan diri, kemahiran serta pemikiran kreatif berhadapan dengan peserta yang majoritinya adalah pelajar tahun 4 dan 5. Namun, setiap perkara yang berlaku pasti ada ruang dan tempat untuk diperbaiki dan kelemahan yang patut diatasi.

Persiapan program ini agak lewat namun, ianya tidaklah mengecewakan memandangkan kebiasaannya saya sentiasa bersedia untuk menghadapi situasi begini. Pastinya, kita akan dapat melakukan sesuatu itu dengan lebih baik jika sekiranya persiapannya dalam keadaan yang lebih baik.

Sedang menjalankan aktiviti

Ini terbukti apabila, perancangan asal program, sesi ceramah akan berjalan pada jam 2.30 petang. Namun, penceramah yang dicanangkan akan hadir memaklumkan bahawa dia tidak dapat hadir atas sebab tanggungjawab yang lebih utama yang perlu didahulukan. Saya bersama rakan-rakan akur akan keadaan itu, maka kami perlu melakukan aktiviti tambahan dari asal perancangan. Maka, disinilah kelemahannya apabila merancang tidak melihat kepada kebarangkalian yang berlaku.

Apa yang saya dapat terokai dari situasi ini, sebagai seorang ahli sebuah gerakan Islam seperti ABIM, kita perlu sentiasa bersedia menghadapi suasana mengejut serta perkara-perkara yang diluar jangkaan. Ini membuktikan bahawa, diri kita sebagai manusia dan hamba, wajib memenuhi kehendak Allah s.w.t bahkan kehendak kita adalah dibawah kehendak Allah s.w.t. Setiap kejadian yang berlaku sebegini merupakan satu ujian Allah kepada mereka yang berkata ianya adalah perjuangan untuk agama Allah s.w.t.

Namun, ia bukanlah alasan untuk kita tidak membuat sebarang persiapan. Ini kerana, peringatan Nabi Muhammad s.a.w juga perlu dijadikan sempadan bahawa, jangan sehingga kita masuk lubang 2 kali. Apatah lagi, Allah s.w.t amat menyukai sesuatu yang sempurna dan bersungguh-sungguh. Tahniah saya ucapkan untuk adik-adik yang menjadi fasilitator bersama iaitu Daus, Fizah, Ina, Ira, Azizah dan Pika. Tidak dilupa rakan-rakan seperjuangan yang turut menyumbang idea dan tenaga iaitu Farid, Abang Din, Dayah, Azam, Jo dan Ina. Semoga usaha kita diberkati Allah, dan semoga hidayah Allah tidak terputus buat kita semua.


Johari dan Azam antara fasilitator terlibat

Thursday, September 10, 2009

1 JAM BERSAMA PEMBIMBING RAKAN SEBAYA SEKOLAH MENENGAH SAINS KUALA SELANGOR

Alhamdulillah, semalam, 9 September 2009 bersamaan 19 Ramadhan 1430 saya telah melalui Ramadhan dalam keadaan yang aman dan sentiasa tenang. Moga mendapat keberkatan dan kasih sayang Allah yang tidak terhingga. Pada siang harinya, aku telah mendapat 2 maklumat penting untuk diberikan perhatian sejurus selepas puasa nanti.

Pertama, mendapat sms daripada Jo berkenaan program Perkhemahan Kadet-kadet Sekolah Menengah Agama MAIWP dalam penghujung bulan 11 ini. Ustaznya meminta untuk diemelkan beberapa butiran dan alhamdulillah semalam telah berjaya dilakukan.

Kedua, panggilan daripada Kapten Nazri memaklumkan program bersama TUDM, Kursus Kepimpinan Islam yang ditangguhkan pada bulan lepas dijangka akan dilaksanakan pada 12 hingga 15 Oktober 2009 di De Palma Hotel Sepang. Alhamdulillah, aku perlu membuat persiapan segera.

Pada sebelah malam, saya berbuka di rumah Pakcik ku (Pak Cik Kamarudin) di Bandar Baru Melawati kerana menyambut hari kelahiran cucunya yang juga anak Edli Shah. Kemudian aktiviti malam selepas berterawih, saya telah bersama adik-adik Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor.

Sesi malam ini adalah ringkas dan memakan masa lebih kurang 1 jam sahaja. Ia adalah sebahagian dari aktiviti yang menjadi tanggungjawab saya untuk bersama remaja dan belia di Daerah Kuala Selangor. Bagi fasa pertama, pertemuan ini hanya tertumpu kepada proses membina hubungan. Antara perkara yang dibincangkan adalah konsep 4T, serta matlamat pertemuan kali pertama. Seramai 24 orang ahli PRS yang dapat dikumpulkan semalam.

Terima kasih buat Cikgu Rozali yang memberikan keizinan untuk saya bersama dengan pelajar-pelajar bimbingannya. Menurutnya, akan ada perjumpaan kedua yang akan diberitahu kemudian. Diharapkan, hubungan baik ini akan berterusan dan dijadikan disiplin untuk memenuhi perkara berikut;

1. Sebagai tuntutan untuk saya mencari ilmu (belajar), menyebar ilmu (mengajar) dan mencintai ilmu.
2. Biarlah saya berjalan jauh dan menimba pengalaman sebanyaknya.
3. Memenuhi tanggungjawab kepada masyarakat.
4. serta berusaha untuk menjadi sebaik-baik manusia.

Selepas berakhir semalam, ada juga terdapat beberapa orang dari pelajar ini yang berada disekitar Kuala Selangor dan Sabak Bernam yang saya rasakan berpotensi untuk mereka dibimbing dan dilatih untuk menggerakkan usaha dakwah bersama untuk daerah ini. Semoga usaha ini diberkati Allah s.w.t.

Tuesday, September 8, 2009

HARI 17 RAMADHAN 1430 KE SMK TELOK PANGLIMA GARANG


Bermula seawalnya pagi saya dengan bersahur bersama ahli keluarga yang tercinta. Agak penat untuk bangun seawal pagi ini apabila pulang lewat semalamnya. Pada 16 Ramadhan, saya bersama isteri tercinta dan adik Atiqah telah berbuka bersama keluarga di Saujana Impian Kajang. Alhamdulillah, permulaan saya dengan Ramadhan kali ini menyuarakan hasrat untuk majlis berbuka di rumah ibu bapa di Gombak membakar semangat saudara-saudara yang lain untuk turut mempelawa sanak saudara bersama berbuka dan berterawih di rumah mereka masing-masing.

Semalam, kami berbuka di rumah sepupu kami Abang Man dan majlis berjalan dengan lancar. Tiba kami bertiga ke rumah di Kuala Selangor hampir jam 1.00 pagi dan sudah pastinya terus melelapkan mata tanda keletihan perjalanan. Memulakan hari saya pada Ramadhan yang ke 17 mendatangkan makna lagi buat diri yang masih mencari kekuatan dan pengalaman dalam usaha menjalankan kerja dakwah. Kagum saya dengan penemuan hari ini dan berharap dapat diteruskan perjuangan ini kerana salah satu perkara yang Allah sukai pada ummat manusia adalah mereka yang istiqamah dalam amalan kebaikan mereka.

Saya meninggalkan teratak di Kuala Selangor tepat jam 8.00 pagi memandu bersendirian ke SMK Telok Panglima Garang. Program Ihya' Ramadhan anjuran ABIM Kuala Langat dan ABIM Selangor ini dianjurkan bersama 68 orang peserta dari Sekolah Maahad Tahfiz Jugra dan SMK Telok Panglima Garang. Kagum saya tiba apabila menetapkan kaki di SMK Telok Panglima Garang, saya bertemu dengan Cikgu Radin dengan bersalaman dan berpelukan tanda ukhuwah.

"Bang, macamana semua ok? Siapa lagi yang ada?" sapa saya.
"Ok, abang je lah yang ada. Ni pun 'last minute' sangat ni." jawab Cikgu Radin ringkas tetapi penuh bermakna.

Saya tertanya di dalam hati, apakah yang menjadi dorongan diri mereka ini untuk begitu istiqamah dalam tugasan mereka, bukan sekadar sebagai aktivis di dalam ABIM bahkan guru yang cemerlang di sekolah mereka.

"Eh, bang, takkan sorang je?" sapa saya ringkas.
"Ustaz Azman sampai kejap lagi untuk imam kan solat sunat dhuha dan tasbih, kau, pastu ada la fasi-fasi budak syabab." jawabnya lagi.

SubhanAllah, hebatnya mereka ini. Begitulah serba sedikit perbualan yang dapat saya catatkan yang ingat-ingat lupa juga tapi begitulah lebih kurang. Saya mengharap aktivism mereka ini akan dapat memberikan kesan serba sedikit kepada saya untuk terus bergiat dengan cergas di Kuala Selangor. Saya perlu terus belajar dan melihat bagaimana mereka merencana dengan baik perjalanan dakwah yang menjadi kewajipan kepada diri ku ini.


Saya perlukan cita-cita dan matlamat yang besar untuk menggerakkan misi dakwah saya di Kuala Selangor. Mengenali persekitaran dan belajar untuk memahami keperluan serta keutamaan kerja dakwah di daerah Kuala Selangor ini. Saya tidak dapat membantu banyak program bersama Cikgu Radin, tetapi saya tidaklah mengajar apa pun dari mereka sebaliknya saya yang belajar dan saya nak belajar dan terus belajar lagi. Saya tidak boleh berhenti. Inilah persembahan (dalam bentuk ceramah) saya buat kali pertama sepanjang Ramadhan kali ini. Tidak seperti sebelum ini, agak sibuk, tetapi kali ini, masa saya lebih banyak untuk memuhasabahkan dan diri dan mempersiapkan alat gempur cabaran untuk 11 bulan lagi yang akan datang. Semoga diberkati Allah.

Peserta sedang tadarus Al-Quran

Peserta sedang mendengar ceramah
p/s: Tahniah buat Cikgu Radin atas keberjayaan perlaksanaan Program Ihya' Ramadhan ABIM Kuala Langat serta Ustaz Azman yang mengetuai solat sunat Dhuha dan Tasbih dengan berkesan dan penuh dedikasi (kagum juga dengan semangat dalam diri mantan-mantan pimpinan ABIM Mesir ni, tawakkal tinggi).

Saturday, September 5, 2009

PERJALANANKU DALAM RAMADHAN KALI INI...


Ramadhan satu nasib tak serupa

Peluangnya sama, natijah berbeza
Ramadhan mereka, gemilang cemerlang
Mukmin berjasa di awal zaman


Ramadhan kami, malam terbuang
Muslim berdosa, di akhir zaman



Mereka gembira kerana kedatanganmu
Kami gembira, kerana pemergianmu


Apakah perasaan kita ketika tibanya Ramadhan, dan pada hari ini setelah memasuki minggu kedua dalam Ramadhan, apakah yang kita rasai? Semakin malas untuk berterawih atau masih mencari kekuatan untuk pergi bertarawih? Semakin jauh masjid dari jiwa kita atau semakin hampir dan terasa rindu akan masjid?

Begitulah yang sentiasa bermain di dalam benak pemikiran ku ini. Ramadhan telah tibu buatku untuk kali ke 28 dan apakah makna Ramadhan buat ku? Aku merasakan banyak kerugian untuk ku dalam aku mendepani dan menghabiskan masa pinjaman yang Allah berikan kepada ku. Telah hampir 28 tahun kehidupan ini dipinjamkan, dan apakah balasan ku di atas pinjaman Mu ini YA ALLAH?

Seawal pagi ini, aku bangun menghadap-Mu Ya Allah, memohon keberkatan yang tidak pernah puas kurasakan sedangkan ia telah terlalu banyak sehingga tidak terhitungkan. Aku memulakan kehidupan hari ini dengan bersahur, solat Subuh berjemaah di masjid dan alhamdulillah, Allah masih sayangkan diri ku dan kita semua dan DIA pasti akan memberikan peringatan dan hidayah-Nya jika kita terus mencarinya.

Selesai solat berjemaah di masjid, dimulakan kuliah subuh oleh seorang ustaz yang bersih mukanya, indah bahasa dan tutur katanya. Dalam kesibukan aku hendak mencari idea apakah yang perlu diterapkan di dalam modul Tahsin Solat untuk program Ihya Un Nahar di PPAK Meru 12 September akan datang, Allah telah memberikan lorongan, hadirnya ustaz ini ke masjid Pekan Kuala Selangor dengan satu idea yang indah serta tidak sabar rasanya untuk diterjemahkan.

Allah Lipat Gandakan Pahala Amalan Kita

Fokus perbincangan masih tidak keluar dari bicara Ramadhan, yang mana di dalamnya terdapat rahmat, keampunan dan terselamat dari api neraka. Setiap hari kita berdoa kepada Allah yang bermaksud:

"Ya Allah Ya Tuhanku, berilah kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka."

Subhanallah, inilah permohonan kita setiap hari samaada di bulan Ramadhan mahupun di bulan-bulan lain. Doa ini aku dan kita semua baca setiap kali menutup doa bacaan selepas solat kita. Maka apabila datang Ramadhan, maka bersabdalah Rasulullah s.a.w bahawasanya, pada awal Ramadhan adalah 'rahmah', dipertengahannya adalah 'maghfirah', dan dipenghujungnya adalah terselamat dari api neraka.

Inilah permohonan kita selama 11 bulan juga, dipermulaan Ramadhan adalah rahmat, iaitu kebaikan di dunia, pertengahannya maghfirah iaitu kebaikan di akhirat dan yang terakhir terselamat dari api neraka dan inilah yang kita pohon selalu pemeliharaan Allah dari siksa api neraka. Allah telah berikan jalannya, adakah kita semua mengejarnya? Marilah kita bersama-sama memohon keampunan dari Allah s.w.t agar semua amalan kita diterima baik di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Daripada Shaddad bin Aus berkata: Bahawasanya Rasulullah s.a.w telah bersabda ini adalah penghulu doa keampunan (taubat / istighfar) dan barangsiapa membacanya pada siang hari atau malan dengan keyakinan kemudian mati pada hari itu, dia akan bersama orang-orang ahli Syurga. Hadith riwayat Bukhari.

"Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tiada Tuhan yang berhak ku sembah kecuali Engkau sendiri. Telah Engkau jadikan aku dan aku ini adalah hambaMu dan aku ini sentiasa berada di dalam genggaman dan ketetapanMu. Tidak adalah kesanggupan sedikit juapun padaku, aku berlindung kepada Engkau dari kejahatan-kejahatan yang telah aku lakukan. Aku menyedari akan segala nikmat yang telah Engkau berikan kepadaku dan aku tahu pula akan dosaku, maka ampunilah kiranya aku, kerana sesungguhnya tiadalah yang mengampuni dosaku itu hanya Engkau."

Ramadhan hampir menyempurnakan Islam kita

Pada bulan-bulan biasa, kita melakukan segala ibadah kita seperti biasa sahaja, dan pahalanya Allah berikan juga biasa. Berbanding pada bulan Ramadhan. Tambahan lagi, bulan Ramadhan hampir-hampir melengkapi rukun-rukun Islam kita.

Rukun Islam yang pertama adalah Mengucap 2 kalimah syahadah yang mana kita kerapkali bacakan sekurang-kurangnya 9 kali di dalam solat-solat fardhu kita. Maka di dalam bulan Ramadhan ia digandakan lagi dengan digalakkan bersolat tarawih sepanjang Ramadhan. Maka, syahadah kita ini diperbaharui berkali-kali bagi memastikan ia adalah latihan yang cukup bagi kita untuk menghadapi kematian yang mana akan datang syaitan menghasut dan berusaha untuk mencuri iman kita ketika hampir kita dengan kematian.

Rukun Islam yang kedua adalah mendirikan solat 5 waktu yang mana, pada bulan-bulan biasa juga kita lakukannya, tetapi apabila Ramadhan tiba, Allah ganjarkan kepada manusia mukmin, dengan 70 gandaan bagi setiap yang wajib dan pahala umpama amalan wajib bagi setiap yang disunatkan. SubhanAllah.

Rukun Islam yang ketiga adalah berpuasa di bulan Ramadhan. Pastinya hanya Ramadhanlah yang diterima amalan ini bahkan amalan puasa sunat yang lain tidak akan dapat menyamai keindahan dan kesempurnaan datang bulan yang kesembilah dalam kalendar hijrah ini. Besarkanlah Ramadhan mu dengan sebaik-baiknya. Bertadabbur dengan Al-Quran, perbanyakkan doa dan jadikanlah ia sebagai medan latihan kerohanian yang terunggul. Janganlah kita bercita-cita apabila Ramadhan meninggalkan kita, maka apa yang kita lakukan di dalamnya juga seolah-olah mengikut musimnya sahaja.

Rukun Islam yang keempat adalah berzakat dan ianya adalah wajib dilakukan di dalam bulan Ramadhan bagi zakat fitrah. Indahnya Ramadhan kerana 4 rukun yang menjadi tunjang dan tiang pelengkap bagi Islam kita semuanya terdapat di dalam bulan Ramadhan kecualilah menunaikan haji di Makkatul Mukarramah. Bagi mereka yang bakal menunaikan haji bagi tahun ini dan yang akan datang, manfaatkanlah Ramadhan ini sebaik mungkin semoga apabila tiba musim Haji, dapatlah kita hayatinya dengan sebaik-baiknya.

Aku sentiasa mengharapkan kejayaan dari Ramadhan kali ini membawa tarbiyah besar buat diri dan sesiapa yang ada disisi ku. Moga Allah mengampuni, merahmati dan mengasihi kita semua. Sekian.


5 September 2009 / 15 Ramadhan 1430h

Friday, September 4, 2009

Pengumuman Blog Baru

Alhamdulillah, atas hasrat untuk lebih banyak menulis di blog ini sebagai latihan untuk saya melahirkan buku-buku tulisan yang bercorak motivasi dan latihan baik secara rohani, jasmani, emosi mahupun intelektual, sebuah lagi blog telah dibina khusus untuk mengumpul apa sahaja corak penulisan, samaada penulisan bebas mahupun dari buku atas tujuan untuk merancakkan lagi pembacaan saya dan para pembaca juga menimbulkan perasaan minat untuk bersama dengan ilmu pada setiap masa.


Blog "Ilmu; Meneroka, Mengubah, Menilai dan Mengevolusi" terhasil adalah atas satu matlamat untuk melahirkan generasi yang hati dan pemikirannya tercorak ke arah menjadi insan yang holistik. Apa yang akan diteroka, diubah, dinilai dan dievolusikan?


Sudah tentulah hati dan pemikiran kita. Kehidupan seorang manusia amat bergantung kepada pembentukan hati dan pemikiran kita.


Hati perlu meneroka tentang kehidupan sebagai manusia dengan ditambah ilmu tentang Yang Maha Pencipta. Hati perlu diubah bersesuaian dengan perintah Allah terhadap manusia melalui ilmu yang kita terima. Melalui hati, harus dapat menilai, bukan sekadar melihat dengan mata sahaja. Hati biarlah ia dievolusi dari keadaan hati seorang manusia yang kebiasaannya kepada hati seorang manusia biasa yang luar biasa akhlak dan usaha dakwahnya.


Pemikiran perlu diteroka melalui ilmu yang jitu. Melalui ilmu, pemikiran akan berubah menjadi lebih peka dan kehadapan. Jadikanlah ilmu untuk menilai kehidupan dengan kematangan pemikiran agar hidup menjadi lebih bermakna dan pemikiran itu pasti terevolusi sekiranya ia digunakan dengan baik dan akhirnya melahirkan insan yang strategis dan matang dalam tindakan dan kehidupan.


SELAMAT MENYINGGAH DAN MEMBACA DI BLOG INI

http://artikelkamz.blogspot.com

Thursday, September 3, 2009

Saya Mestilah Muslim Di Sudut 'Aqidah (3)

Pada artikel yang lepas, kita bersama telah membincangkan tentang 7 perkara di dalam memastikan kita benar-benar meyakini bahawa Aqidah yang benar adalah Aqidah Islam. Ia bukan sekadar pembacaan semata-mata, tetapi biarlah ia melalui kefahaman yang berasaskan dalil dan perbincangan yang kuat berkenaan tentang keimanan khususnya kepada Allah s.w.t serta pesuruh-Nya, Nabi Muhammad s.a.w.


7 perkara yang telah kita bincangkan bersama dan adalah perlu untuk kita pastikan dalam pengukuhan aqidah yang benar tehadap diri kita. Bagaimana? Adakah ianya memberikan kesan hasil dari pembacaan kita atau sekadar baca sahaja? Teroka dengan hati dan pemikiran kita agar dapat mengubah suasana serta pegangan aqidah kita. 7 perkara yang telah dibincangkan bersama adalah seperti beriku;



1. Beriman bahawa pencipta alam ini adalah Allah, Tuhan yang Maha Bijaksana lagi Maha Berkuasa, Maha Mengetahui serta tidak memerlukan pertolongan sesiapapun.
2. Beriman bahawa Tuhan yang Maha Mulia tidaklah menciptakan segalanya dalam keadaan yang sia-sia atau tidak berguna.
3. Beriman bahawasanya Allah s.w.t telah mengutuskan para Rasul-Nya bersama dengan kitab-kitab-Nya dengan tujuan untuk mengajar kita Ummat Manusia agar mengenali Dia Yang Maha Esa, juga memahami bagaimanakan perjalanan dan matlamat kehidupan sebagai seorang manusia bermula dari kelahirannya sehinggalah kembali kepada rahmat Allah.
4. Beriman bahawa sesungguhnya matlamat kewujudan kita sebagai manusia adalah untuk mengenali dan memahami kewujudan Allah s.w.t.
5. Beriman bahawa ganjaran bagi orang mukmin yang memperjuangkan agama Allah untuk diri mereka juga tetangga dan saudara mereka adalah syurga.
6. Beriman dengan sesungguhnya bahawa setiap manusia itu melakukan kebaikan dan kejahatan adalah di atas pilihan diri mereka sendiri. Namun, setiap kebaikan itu tidak akan berlaku melainkan dengan taufiq dan hidayah dari Allah s.w.t kepada manusia.
7. Beriman dengan sesungguhnya bahawa urusan perjalanan dan penciptaan undang-undangn itu adalah hak mutlak Allah s.w.t.



Mari kita lanjutkan perbincangan kita kepada beberapa perkara lagi dalam memastikan kita ini amat Muslimnya dari sudut Aqidah...

Ikuti sambungannya di http://artikelkamz.blogspot.com/2009/09/saya-mestilah-muslim-di-sudut-aqidah-3.html