Thursday, July 30, 2009

BAGAIMANA SYAHADAH KITA?

"Sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, cabang pucuknya menjulang ke langit. Ia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya."
Surah Ibrahim; ayat 24 hingga 25.

Sejak dilahirkan, kita semua sebagai seorang Muslim telah diperingatkan tentang kebesaran Allah s.w.t. Ia bukanlah sekadar peringatan kecil, tetapi amat besar maknanya bagi kita. Ia menentukan matlamat jangkamasa panjang kita dan ia juga menentukan matlamat jangkamasa pendek kita. Ungkapan takbir dan iqamah yang diperdengarkan kepada kita sepatutnya membawa impak yang amat besar buat diri.

Allah Maha Besar
Tiada Tuhan Melainkan Allah
Nabi Muhammad Pesuruh Allah
Marilah Bersolat
Marilah Menuju Kejayaan
Allah Maha Besar
Tiada Tuhan Melainkan Allah

Pernah diceritakan tentang apakah matlamat hidup kita sebagai seorang Muslim. Secara jelasnya inilah yang terdapat dalam syahadah kita dan inilah matlamat hidup kita. Apabila ditanyakan tentang syahadah kita, yang terlintas difikiran adalah ungkapannya tanpa kita pernah teragak apakah bebanan yang didatangkan dengan kalimah syahadah itu sendiri.

Setelah diamati dan difikirkan melalui beberapa pembelajaran dan pembacaan, kita semua wajib fahami dan sedari bahawa kita sebenarnya sedang bergurau senda dengan apa yang kita katakan sebagai syahadah. Di dalam surah Ibrahim di atas, jelas Allah s.w.t telah menggambarkan suatu tenaga, suatu upaya yang amat kuat pada pegangan hidup kita.

Sebatang Pohon Yang Baik

Adakah selayaknya kita merasakan bahawa kita adalah sebatang pohon yang baik? Bagaimana kita katakan kita sebagai yang terbaik bilamana keberadaan kita ditakuti masyarakat setempat yang risau pokok itu akan tumbang dan menghempap siapa sahaja yang melaluinya? Ketakutan itu bertambah dengan rasa kurang senang orang lain apabila ia hanyalah sebatang pokok yang tidak merimbun, tiada berbuah dan hanya menunggu masa untuk rebah ke bumi.

Inilah yang diperhatikan oleh masyarakat terhadap suasana persekitaran mereka hari ini. Perasaan risau itu mencengkam diri sehinggakan mereka melupakan yang Maha Kuasa yang mampu melakukan apa sahaja sehinggakan tidak terjangkau dek pemikiran biasa manusia. Mengapa ini semua berlaku? Kerana kita semua tidak lagi menjadi pohon atau pokok seperti yang dibayangkan di dalam surah Ibrahim tersebut.

Kita adalah pohon yang baik sekiranya mengakar ke dalam tanah dan teguh berdiri walau ditiup angin kencang sekalipun. Inilah syahadah kita, menetapkan kehidupan kita, berpegang teguh dengan ajaran dan meyakini bahawa Allah s.w.t adalah apa yang dicita-citakan dalam hidup. Kerana itulah, apabila Allah s.w.t berada di dalam hati kita maka, apa sahaja ribut taufan yang menimpa, kita tidak mudah tumbang atau goyang.

Namun, keadaan hari ini, syahadah kita hanya sebutan, kepercayaan kita hanya bermain dibibir insan, tidak lagi merasakan keberadaan Allah di dalam jiwa, sehinggakan dunia menguasai segalanya sedangkan segalanya adalah perkara yang sementara. Kekuatan akar yang mengakar di bumi, janji Tuhan buat mereka, mereka pasti akan berjaya, baik di dunia, baik di akhirat apa yang utama dalam hidup mereka, syurga adalah cita-cita.

Kukuh akar yang mengakar akhirnya tercabut jua dari tanah, apabila Tuhan mula berseru, kiamat telah tiba. Tika itu, tangisan tiada guna, taubat hanya sia-sia hanya kita menunggu balasan yang bakal diterima. Maka beringatlah kita semua kerana Allah telah anugerahkan buat manusia kekuasaan, kehendak, pengetahuan, kehidupan, pendengaran, penglihatan dan peringatan. Tugas kita hanyalah menggunakannya dengan segala kebaikan kerana mutlaknya kekuasaan, kehendak, pengetahuan, kehidupan, pendengaran, penglihatan dan peringatan adalah milik Allah s.w.t. Jadi, bagaimana syahadah kita?

Monday, July 27, 2009

SAYA BERSAMA KEM BINA GURU E2L


Alhamdulillah, sekali lagi saya dapat menyelesaikan satu tugasan program. Kali ini sasaran saya bersama Abang Zul, Mamad dan Alif (Azmi ada Gak sekejap je) adalah mereka yang bakal menjadi guru di institusi pendidikan awal kanak-kanak dari Institut Perkembangan Awal Kanak-Kanak Educate To Learn yang bertempat di Damansara Perdana.

Program ini telah berlangsung selama 3 hari 2 malam bermula pada petang hari Jumaat sehinggalah petang hari Ahad. Perjalanan program ini lancar dengan peserta sendiri menjadi penggerak utama program ini. Namun begitu, terdapat pelbagai kelemahan yang perlu diberikan perhatian oleh kami bagi memastikan program-program yang dijalankan memberikan kesan yang besar bagi mereka yang menyertainya.



Kekuatan Program
1. Komitmen dan motivasi tinggi yang ditunjukkan oleh peserta menjadikan program ini sentiasa bertenaga dan berjalan dengan baik. Penglibatan juga amat positif dan memberangsangkan.

2. Perjalanan dan persiapan program yang rapi menjadikan setiap aktiviti dipenuhi dan setiap mereka yang dipertanggungjawabkan menjalankan tugas dengan baik bermula dari mereka yang melakukan aktiviti begitu juga dengan mereka yang menjadi wartawan untuk setiap aktiviti.



Terdapat banyak kelemahan yang kami rasakan terdapat di dalam program ini. Antara yang paling ketara bagi kami adalah dari sudut pengamalan kerohanian yang mana ia harus diutamakan dalam pembinaan insan. Solat berjemaah agak longgar perlaksanaannya juga tidak langsung kami selitkan solat Sunat Dhuha yang juga boleh dijadikan amalan harian bagi seorang pendidik.

Kelemahan yang kami akui juga ketara adalah komunikasi antara 3 pihak iaitu kami di IQCM, penyelaras dari kalangan peserta dan juga dari pihak E2L sendiri. Program ini juga menampakkan ketidakaturan pengisiannya serta fokus matlamat yang agak besar sehinggakan tidak mengkhususkan kepada apa yang sepatutnya peserta-peserta ini dapat. Namun segalanya lancar dan aktiviti dapat dilaksanakan dengan berkesan. Antara aktiviti yang dijalankan adalah;

1. Perang Di Hutan
2. Qiyamullail
3. Pembunuh Bersiri
4. Silent Language
5. Permainan Lilin
6. Solo Drop
7. Sandwich
8. Permainan Telur dan
9. Menara Barang Terbuang

Wednesday, July 22, 2009

CATATAN PERJALANAN SAYA 3


Perjalananku tidak terhenti sehingga itu sahaja. Agenda harian saya dipadatkan lagi dengan Program Penghayatan Islami di Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah Shah Alam. Program yang menggabungkan 2 agensi iaitu ABIM Selangor dan PEPIAS telah berhadapan dengan bilangan pelajar seramai lebih dari 140 orang pelajar. Mereka terdiri daripada pelajar-pelajar luar atau pelajar yang tidak tinggal di asarama. Objektif utama program ini ialah untuk memberikan pendedahan dan pengalaman kepada pelajar ini merasai pengalaman tinggal di asrama.

Antara cadangan dan pandangan peserta selepas tamat program ini adalah sebahagian mereka mengharapkan agar ia dijalankan dengan masa yang lebih panjang serta diadakan diluar dari kawasan sekolah. Terdapat juga pandangan dan kritikan yang sepatutnya diberikan keutamaan khususnya dari segi kemahiran fasilitator adik-adik di PEPIAS, penampilan diri fasilitator PEPIAS serta penyusunan modul oleh pihak ABIM Selangor sendiri.

Seterusnya pada 14 dan 21 Julai aku dan IQCM telah dijemput menjalankan program motivasi untuk anak-anak penerima bantuan zakat di SK Assam Jawa. Program berbentuk motivasi dan perjalanan program lancar. Peserta memberikan kerjasama dan baik dari segi penglibatan mereka.

Pada 17 Julai sehingga 19 Julai 2009, saya bersama ABIM Daerah Kuala Selangor dijemput pula memenuhi program Kem Kecemerlangan Sahsiah dan Akademik (KeSadA 2009) Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor. Sekali lagi, 2 agensi dilibatkan dalam perlaksanaan program ini iaitu ABIM Kuala Selangor dan adik-adik saya dari PEPIAS. Perjalanan program amat memberangsangkan. Sehinggakan dapat mencungkil beberapa berita dari kalangan adik-adik yang keseluruhannya adalah PMR.

Laporan dan catatan saya kali ini berakhir dengan Kursus Jatidiri Sukarelawan ADUN Taman Templer pada 18 dan 19 Julai 2009 di Kem Rimba Komanwel Taman Templer. Saya berasa bangga dengan perjalanan program yang baik walaupun terdapat beberapa kritikan yang sepatutnya saya buka mata dan telinga untuk melihat dan mendengarnya. Perjalanan program lancar dan kebanyakan catatan peserta mengharapkan agar mereka dapat mengikut latihan ini sekali lagi. Bagi aku secara peribadi, ia tidaklah sepenuhnya berpuas hati kerana ada maklumat dan ruang yang saya tidak gunakan sebaik mungkin.

Perlaksanaan solat berjemaah yang mampu mengikat hati-hati kita gagal saya laksanakan dengan baik dan perlaksanaan pengisian yang longgar dan kurang penekanan. Apa pun, segalanya telah berlalu dan saya perlu bersiap diri dengan agenda-agenda baru yang bakal menyusul.

Doakan saya...

CATATAN PERJALANAN SAYA 2


Alhamdulillah, pada 16 sehingga 18 Jun 2009, kami berkesempatan bersama pelajar-pelajar Jabatan Optometrik UKM di Dusun Eco Resort Karak. Perjalanan program ini agak memberangsangkan dan antara tujuan utama perlaksanaannya adalah untuk mengembalikan watak dan ciri-ciri pelajar universiti yang semakin pudar di kalangan pelajar-pelajar tersebut.

Saya berasa bangga dan mengucapkan tahniah kepada semua peserta kerana mereka berjaya membuktikan yang mereka mempunyai matlamat serta cita-cita yang amat besar sebagai pelajar. Apa yang lebih membanggakan kami, pelajar-pelajar ini dapat bersemuka bersama pensyarah mereka dan berkongsi pelbagai pengalaman sehingga ada dikalangan mereka yang sebak dan menitiskan airmata.

Pada minggu berikutnya, 20 Jun 2009, saya bersama isteriku Wani dan FaDelaT Mamad telah berada di Bangi Golf Resort bersama dengan kakitangan Meranti Furniture Sdn Bhd dalam merealisasikan program Motivasi dan Kecemerlangan dalam Pekerjaan selama sehari bermula jam 8.00 pagi sehinggalah jam 5.00 petang. Jutaan terima kasih aku ucapkan buat Abang Idzhar yang turut bersama menjayakan program ini. Secara peribadinya dapat aku rasakan bahawa program ini agak membosankan. Persiapan tidak rapi serta modul tidak diselami.

Selain itu, aku juga banyak mengisi ceramah-ceramah jemputan sebagaimana berikut;
  1. Ceramah Motivasi CINTA di SK Taman Prima Selayang (17 Jun 2009)
  2. Ceramah Kepimpinan Muda P.K.T SK Ampang Pecah (19 Jun 2009)
  3. Ceramah Teknik Belajar Berkesan Menjelang Peperiksaan SK Tok Muda Kapar (25 Jun 2009)
  4. Ceramah Ilmu Yang Berkat Melalui Motivasi CINTA SK Taman Samudra (3 Julai 2009)
  5. Ceramah Pembinaan Diri Melalui Konsep Kenal Diri SMK Ideal Height (3 Julai 2009)
  6. Ceramah Keberkatan Rezeki untuk PM KEMAS Unit Bina Insan dan Pendidikan Kuala Selangor (10 Julai 2009)
  7. Ceramah Persediaan Emosi dan Rohani bagi menghadapi peperiksaan Surau Nur Ikhwan Rawang Perdana (11 Julai 2009)
  8. dan Ceramah Keibubapaan untuk Penerima Asnaf Zakat SK Assam Jawa (17 Julai).

CATATAN PERJALANAN SAYA


Alhamdulillah, lama juga saya tidak menulis di dalam blog saya sendiri. Kali ini, saya nekad, perlu untuk kembali bersama dengan teman-teman yang sudi membaca dan mengikuti perkembangan perbincangan di dalam blog ini. Terima kasih.

Sekadar perkongsian saya bersama dengan teman-teman, setelah lebih dari sebulan blog ini hanya dihiasi dengan cerita dan karangan orang lain, sebenarnya, boleh dikatakan saya sedang berusaha untuk mengembalikan diri yang saya rasakan semakin jauh hubungan saya dengan Allah s.w.t. Di dalam kesibukan mencari hal-hal keduniaan ini, maka teringat kembali hatiku kepada urusan akhirat saya yang bakal saya tempuhi pastinya tidak lama lagi. Bersediakah saya?

Sepanjang perjalanan dalam uzlah dan program-program saya, antara ungkapan penting yang tidak akan saya lupa ialah "telinga yang paling hampir dengan mulut saya ialah telinga saya sendiri". Bukan apa, untuk dijadikan peringatan buat saya. Cerita-cerita saya kini juga menjurus kepada soal kematian dan persiapan untuk menghadapi mati. Dah bersedia ke?

Apa-apa hal pun, saya catatkan sedikit sebanyak perjalanan saya yang mungkin ramai dari kalangan rakan-rakan yang dah hilang maklumatnya. Saya mulakan perjalanan saya sepanjang bulan Jun sehinggalah bulan Julai.

Bulan Jun, pada hari pertama, saya bersama Encik Huzaimi Bin Zaini dan IQCM telah berkunjung ke SK Convent Jalan Peel dengan Ceramah Komunikasi dan Perundingan bersama guru-guru di sana. Respon mereka amat memberangsangkan, tetapi apa yang agak menyedihkan adalah, guru-guru di sana tidak hafal lagu sekolah. Bagaimana mereka boleh berkongsi aspirasi dengan pelajar-pelajar mereka?

Saya dan IQCM juga secara tidak langsung telah dijemput menjadi fasilitator bagi program-program anjuran Pusat Bahasa Arab dan Al-Quran yang diketuai oleh Ustaz Zawawi Ahmad Mughni yang berpengkalan di Jalan Kebun. Program-program yang telah kami sertai sebagai fasilitator adalah;
  1. Program Hijrah Ilmu Siri 1 PSRA di Hay Resort pada 2 sehingga 4 Jun 2009;
  2. Program Bina Insan Negeri Selangor S.P.I.E.S di
  3. Kem El-Ezzhar Morib pada 6 dan 7 Jun 2009;
  4. Kem Nur Sungai Merab pada 20 dan 21 Jun 2009;
  5. Kem Nur Sungai Merab pada 4 dan 5 Julai 2009;
  6. Program Hijrah Ilmu Siri 2 PSRA di Warisan Sembilang Resort pada 21 Julai sehingga 23 Julai 2009.

Namun modul-modul yang dilaksanakan dalam kedua-kedua program amat longgar serta pemantauannya amat tidak mencapai tahap profesional dalam latihan. Bagaimana mereka menjalankan program-program ini? Timbul pula persoalan, adakah program-program ini untuk kepentingan pembinaan generasi modal insan atau sekadar memenuhi permintaan dan memenuhi agenda politik semata-mata?

PENGHAYATAN ISRAK MIKRAJ

Nabi Muhammad s.a.w berdakwah bermula dari peringkat awal baginda diutuskan adalah berdasarkan keyakinan baginda terhadap utusan Allah s.w.t iaitu Malaikat Jibril a.s. Dengan berbagai cara Malaikat Jibril a.s datang kepada baginda menyampaikan amanat Allah s.w.t. Namun begitu, keyakinan Nabi Muhammad s.a.w yang begitu tinggi terhadap penyampai maklumat ini, hinggakan beliau merasa cukup untuk berdepan dengan Allah s.w.t dengan bermunajat, bersolat dan membaca Al-Quran yang dianggap amalan yang tiada perantara antara beliau dan Tuhannya Robbul Izzah.

Sebagai pengukuh Iman yang sebenar-benarnya, juga anugerah terhadap perjuangan Nabi Muhammad s.a.w yang tiada erti penat dan lelahnya. Allah s.w.t telah mengurniakan satu kurniaan besar yang tidak pernah diberi kepada nabi-nabi lain sebelum baginda.

Secara ringkasnya, kesimpulan kepada bagaimana Peristiwa Israk dan Mikraj menjadi tonggak kepada realisasinya Rukun Iman yang enam .

Pertama: Kepercayaan kepada Allah s.w.t

Nabi Muhammad s.a.w diberi kesempatan luar biasa untuk berdialog dan mendengar ucapan-ucapan Allah s.w.t dengan telinga baginda sendiri, ini meningkatkan keimanan baginda terhadap kewujudan Allah s.w.t.

Kedua: Kepercayaan kepada para Malaikat

Nabi Muhammad s.a.w diiringi para Malaikat, bertemu dgn ribuan para Malaikat di setiap langit, maka meningkat keimanan dengan kewujudan Malaikat.

Ketiga: Kepercayaan kepada Nabi-nabi

Banyak riwayat menceritakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w bukan sekadar bertemu dengan para-para nabi terdahulu, malahan mengimami mereka dalam satu solat cukup memberi keyakinan bahawa perjuangan beliau telah dilalui oleh nabi-nabi terdahulu dengan situasi yang berbeza.

Keempat: Kepercayaan kepada kitab-kitab

Kesempatan bertemu dengan nabi-nabi terdahulu yang diberi kitab-kitab ditambah lagi apa yang disebut dalam Al-Quran mengukuhkan keyakinan bahawa kitab-kitab diturunkan sebagai panduan kepada manusia untuk kembali kepada tuhannya dengan cara yang paling sempurna.

Kelima: Kepercayaan kepada hari Kiamat

Nabi Muhammad s.a.w diperlihatkan alam Syurga dan Neraka yang semuanya berada di alam Akhirat. ini meningkatkan lagi keyakinan tentang azab alam Akhirat adalah hak.

Keeenam: Kepercayaan kepada Qada dan Qadar

Imam Nawawi menyebut bahawa Qada dan Qadar ini hanya menunjukkan betapa luasnya ilmu Allah taala tanpa terikat dengan sebarang paksaan. Melihat peristiwa Akhirat dan apa yang berlaku di Syurga dan Neraka cukup menunjukkan bahawa ilmu Allah s.w.t sangat luas dari alam tiada hingga ke alam akhirat yang diceritakan di dalam al-Quran adalah benar semata-mata.

Itulah secara ringkas sedikit penghayatan Israk Mikraj yang boleh kita kongsi bersama.

Terima kasih.


Nukilan Timbalan Yang Di Pertua ABIM Selangor.