Monday, April 27, 2009

MUKTAMAR RINGKAS ABIM KUALA SELANGOR


Alhamdulillah, perjalanan transisi ABIM Kuala Selangor dan Tanjung Karang berjalan lancar pada 21 April 2009. Kehadiran yang memberangsangkan yang dihadiri oleh Waknan, Ustaz Malik, Haji Saad, Haji Ismail, Syuhadak bersama 2 orang adik-adik dari PKPIM UNISel, Haji Rafaie serta 2 orang wakil dari ABIM Selangor iaitu Ustaz Muszaki dan Ustaz Zawawi.

Pertemuan bermula dengan solat Berjemaah Maghrib, bacaan Ma'thurat serta solat Isyak berjemaah. Ia kemudiannya diserahkan kepada Ustaz Zawawi untuk ucapan dan penyampaian amanat kepada ABIM Kuala Selangor. Antara yang dibincangkan adalah sedikit berita dari ABIM Selangor, suasana politik dan senario dakwah di Selangor.




Penerangan dan ceramah yang disampaikan Ustaz Zawawi berjaya membuka minda hadirin yang hadir. Antara cadangan ABIM Selangor kepada ABIM Kuala Selangor dan Tanjung Karang adalah;
  1. mewujudkan pusat komuniti atau pusat tuisyen sebagai permulaan pembinaan remaja dan belia di sini;
  2. menambah dan meramaikan semula ahli ABIM yang dalam sejarahnya ramai berasal dari Tanjung Karang dan Kuala Selangor.







Selepas selesai perbincangan dan sesi pengisian oleh Ustaz Zawawi, maka secara rasminya saya dilantik menjadi YDP ABIM Kuala Selangor manakala Syuhadak menjadi YDP ABIM Tanjong Karang. Antara misi utama yang saya patut utamakan ialah;
  1. Membina semula organisasi ABIM Kuala Selangor dengan kehadiran pendakwah-pendakwah muda;
  2. Memperkenalkan ABIM di sekitar Daerah Kuala Selangor;
  3. Merancakkan program dakwah ABIM Kuala Selangor.

Semoga mendapat keberkatan dan dipermudahkan jalan oleh Allah kepada seluruh umat Islam yang sentiasa berdakwah... TUNE-lah diri kita.

CERAMAH KERJAYA DI SMK CONVENT KAJANG


Saya bersama Johari ke SMK Convent Kajang pada 23 April 2009. Ceramah yang berlangsung hanya 1 jam 30 minit bermula hambar dan tidak menyengat. Saya seolah-olah hilang arah mungkin disebabkan soalan-soalan yang ditimbulkan sebelum ceramah bermula khususnya soal bayaran.

Namun ceramah diteruskan jua. Peserta juga menjadi permasalahan kerana bilanganya hampir 200 orang rasanya. Ramai dan melaut. Keadaan agak hingar bingar di dalam dewan dan terasa seperti berada di pasar malam. Adakah saya sudah hilang kemampuan untuk mempengaruhi peserta.






Alhamdulillah, tidak juga, saya berjaya mententeramkan keadaan dengan teguran, sindiran dan sedikit jenaka. Tetapi itu semua tidak dapat memuaskan saya apatah lagi Jo. Jadi ceramah berjaya ditamatkan dan semuanya berjalan lancar.

Faktor-faktor utamanya ialah;
  1. Tiada sebarang permainan diselitkan. Mungkin sebab saya fikir terlalu banyak maklumat untuk disampaikan.
  2. Peserta yang kurang berdisiplin, tiada teguran dari guru dan keluar tanpa meminta izin dari penceramah. (Kurang sopan).
  3. Fokus perbincangan dan tempoh perbincangan yang terlalu singkat.

TUNE-lah diri kita.

PROGRAM LATIHAN KEPIMPINAN MUDA SK KELANA JAYA 2


Saya bertolak dari SAMT TAJ jam 6.45 pagi 25 April 2009 dalam keadaan yang amat keletihan dan mengantuk. Memandu keretapada kadar kelajuan yang sederhana dan alhamdulillah tiba di Kelana Jaya jam 7.30 pagi. Seperti yang dijanjikan, saya bertemu Syamel dan Azlan di Shell sebelah Giant. Penat rasanya, tetapi, tanggungjawab perlu diteruskan jua.

Kami tiba di SK Kelan Jaya 2 tepat jam 7.55 pagi. Peserta sedang mendaftar dan guru-guru pula sedang membuat persiapan. Azlan dan Syamel membantu memasang peralatan tetapi pihak sekolah tidak menyediakan LCD pula. Maka semua peralatan adalah hakmilik IQCM melainkan PA sistem (kena beli).





Perjalanan lancar walaupun saya dapat merasakan seperti tersejat semua air yang ada dalam badan saya. Panas. Tetapi bersabarlah, kerana Allah bersama orang-orang yang sabar. Aktiviti Taklimat SENYUM dan SEDIA berjalan lancar, saya amanahkah Syamel untuk bahagikan kumpulan dan kamera. Semuanya rapai sehinggalah Zaki tiba lebih kurang jam 9.00 pagi.




Permainan dimulakan dengan KAMIL KATA. Seperti biasa ia adalah tugas Zaki. Baru saya sedar dan pelajari, peserta dihadiri dari kalangan darjah 1 hingga 6. Ya Allah. Di sinilah cabarannya. Setiap ungkapan perkataan kami disebutkan satu persatu dan dengan cara yang lembut dan arahannya tepat. Tidak boleh tersilap. Tumpuan tidak boleh diberikan terlalu banyak kepada pelajar tahun 1 dan 2 kerana akan membantutkan perkembangan mereka yang lain.

Azlan.

Sesi permainan kedua diserahkan kepada Azlan. Dia yakin, mahu dan berani untuk melakukannya walaupun tidak berapa faham. Banyak lagi Azlan ni kena belajar. Suaranya terlalu perlahan walaupun guna mikrofon. Wah ini juga mengganggu. Namun permainannya lancar. Silap saya tak bagitau dia pulak tentang objektif permainan. Setakat pemerhatian saya, semuanya lancar dan peserta bergembira dan memberi respon yang baik juga.





Syamel.

Lebih bertenaga. Tetapi caranya agak kasar bagi peserta tahun 1, 2 dan 3. Arahannya jelas tetapi terganggu kerana campur tangan Zaki. Tapi semuanya ok sebab berjalan lancar dan baik. Arahan jelas dan perlukan latihan lagi untuk menambahkan lagi keyakinan diri mereka.

Apapun, mereka akan menjadi keutamaan saya untuk melatih dan memperbaiki persembahan mereka. Terima kasih kepada Syamel dan Azlan kerana membantu sepanjang program. Zaki juga tak lupalah. Namun ada beberap perkara yang harus saya berikan perhatian iaitu;
  1. Induksi sebelum program / bengkel atau ceramah. Ini sangat penting supaya semua orang faham dan dapat buatkan yang terbaik untuk program.
  2. Pembahagian tugasan yang jelas serta komunikasi yang banyak semasa progrma berlangsung.
  3. Persiapan yang rapi termasuk dari segi persiapan bahan, sebab nota peserta kurang satu mua yang penting iaitu taklimat senyum dan sedia.

TUNE-lah diri kita.

BERSAMA FASILITATOR PEPIAS DAN ABIM SELANGOR DI SAMT TENGKU AMPUAN JAMAAH


Alhamdulillah, perancangan dan perjalanan pada hari yang dijanjikan berakhir dengan kenangan dan pengalaman yang indah dan tidak dapat dilupakan. Pada 24 April 2009, saya bersama jurulatih PEPIAS iaitu Azali dan Dhila membimbing seramai 14 orang fasilitator PEPIAS yang didatangkan dari pelbagai kampus. Ada yang dari KUIS, Matirk UIAM PJ, dan juga MMC.

Perjalanan kami nampak mudah tetapi penuh liku dan cabarannya juga. Banyak perkara yang perlu diperbaiki dan dijadikan iktibar pda program-program yang mendatang. Sejenak saya berfikir, apakah caranya lagi untuk saya terus membantu dan membimbing adik-adik ini. Menjadi da'i dan terus bersemarak semangat mereka untuk berdakwah. Sudah tentu pelbagai kekusutan berada dalam benak fikir saya yang tidak mampu terluahkan dengan perkataan.




Saya mengharapkan segala apa yang ada pada saya dapat dicurahkan dan dikongsikan bersama mereka. Pernah saya bincangkan bersama sahabat saya Jo, kita ini sebagai gerakan Islam sering menuding jari dan mencari salah rakan seperjuangan yang mempunyai cita-cita yang sama. Sedangkan musuh sedang mengekori dan memerhatikan kita. Mereka semakin kuat dan bertenaga, tetapi umat Islam, gerakan Islam makin lemah dan tidak bermaya!

"Kita selalu marah budak-budak ni (adik-adik), seolah-olah mereka tiada usaha untuk memperbaiki, kita tidak beranggapan yang mereka adalah saudara dan adik-adik kita jadi mereka sering dijadikan mangsa", teringat saya antara dialog hasil perbincangan kami itu. Saya berfikir dan cuba mengenangkan ia kembali. Cuba mencari cara dan pendekatan yang berkesan untuk memberikan mereka pemahaman dan kesedaran tentang bencana ini.

"Kita kena 'show-off'", kata Jo. Saya bersetuju dengan pandangan Jo, kenapa kita perlu takut untuk bersama mereka tanpa diajak sedangkan kita sama-sama fikir dan risaukan tentang wadah perjuangan ABIM dan PEPIAS. Mentaliti saya perlu berubah. Niat saya perlu dipasangkan semula, strategi perlu berjalan dengan lancar dan beretika.





Setelah berfikir panjang, saya perlu merencana semula usaha dakwah saya. Kelalaian sayalah yang membawa segala punca ini semakin besar. Kenakalan mulutlah akan membawa bencana berat kepada gerakan, telinga dan mata perlu mendengar tetapi hati tidak boleh menghukum. Maka saya bertekad untuk melancarkan apa yang saya sendiri percaya kepadanya iaitu;
  1. Strategy. Permulaan strategi bukanlah perancangan sebenarnya. tetapi asas niat mengapa ia perlu dilaksanakan? Apa niat saya? Apa kehendak dan matlamat saya? Bermula dengan niat akan memancarkan matlamat dan halatuju yang jelas dan jitu. Maka perancangan perlu dibuat dan ditekuni.
  2. Mindsets. Jangan tersasar, tumpukan perhatian sepenuhnya kepada apa yang telah dihajati dan halatuju yang diarahkan. Jangan terpesong hanya kerana kelalaian mata, telinga mendengar dan akhirnya minda tertumpu kepada perkara yang bukan utama.
  3. Attitude. Ubahlah, kembalilah kepada Allah yang menentukan hati manusia. Kita? Hanya berusaha menurut apa yang Allah perintahkan. 'Submit our will undr Allh's will'. InsyaAllah, Allah tidak pernah tidur dan pasti mendengar keluhan ummatnya.

TUNE-lah diri kita.

Pengarah Tamrin Jundiy Sekolah 2009
Sek. Agama Men. Tinggi Tengku Ampuan Jamaah
24 sehingga 25 April 2009

Monday, April 20, 2009

BERSAMA KEPIMPINAN SMK BANDAR SRI DAMANSARA 2


Alhamdulillah, syukur kerana kesempatan ini masih diberikan kepada saya untuk terus menyampaikan risalah yang diperturunkan Rasulullah kepada kita semua. Perjalanan program kali ini begitu memberangsangkan dan pada hemat saya, ia adalah antara yang terbaik pernah dianjurkan IQ Class Management. Terima kasih tidak terhingga kepada Dhila yang bertungkus-lumus menyediakan bahan dan menjalankan aktiviti dengan berkesan. Tidak lupa juga bantuan dan jasa pengorbanan saudara-saudara saya Yaya, Jo, Zaki, Farid, Azmi dan Fairuz.

Pada permulaannya, keadaan saya agak tidak stabil disebabkan beberapa keadaan iaitu:
  1. Kereta saya dihurung semut. Tengah-tengahari panas terik saya berpanas membersihkan kereta dari semut yang entah dari mana datang. Dalam hati saya terdetik, ujian apakah yang ditimpakan Allah untuk saya ini. Bersabar...
  2. Sekali lagi ada dikalangan fasilitator harapan saya (FaDelaT) yang memberikan alasan tidak munasabah kerana tidak dapat hadir. Iaitu 'terlupa'. Saya naik berang, tetapi diredakan oleh saudara-saudara saya yang sentiasa mengingatkan saya dikala saya lupa dan alpa. Ia dapat digantikan bahkan berlebihan.
  3. Suasana di dalam dewan apabila diberitahu yang hadir bukanlah dari kalangan pengawas (bukan seperti perjanjian asal) tetapi bercampur dengan PRS, Pengawas pusat sumber dan Pustakawan. Jadi? Saya bersabar, dan saya catatkan dalam nota saya. Saya perlu tahu komposis peserta ini dari mana dan apa ekspektasi mereka terhadap program ini.
  4. Persiapan tidak dilakukan dan keadaan seperti seolah-olah tiada apa yang berlaku. semua saudara-saudara saya seperti tidak tahu untuk memulakan tugasan mereka.





Keadaan agak gawat dan saya mula berpeluh dan cuba menenangkan keadaan. Saya bergerak dan mula mengangkat barang-barang keperluan untuk dipasang. Maka, datanglah saudara-saudara saya membantu dan keadaan kembali terkawal dan semakin baik.

Program bermula

Sesi perasmian oleh Pengetua lancar dan kemudian saya memulakan taklimat. Peserta nampak teruja dan tambahan pula masa itu, saya berpakaian lengkap bertali leher. Namun, terdapat juga pada riak wajah mereka yang nampak kurang senang, bosan dan tidak mahu menyertai. Namun saya pindahkan segala yang negatif ke kocek saya dan tinggalkan yang positif serta segar yang optimis dalam minda saya.




Sehingga hari terakhir, sehinggalah saat terakhir bersama peserta seperti tidak dapat melupakan apa yang telah berlaku selama 3 hari 2 malam yang lalu. Ekspektasi mereka berubah setelah melaluinya. Ini bukan kerja saya kerana saya hanyalah manusia biasa yang berfikir luar biasa. Tahniah buat IQCM dan FaDelaT atas daya usaha dan daya juang selama 3 hari 2 malam.

Namun, tersemat dalam hati saya beberapa keadaan yang perlu diperbaiki dan dibuat tindakan segera iaitu;
  1. Kerap mengadakan induksi 1 hari sebelum program atau ceramah untuk memaklumkan apa yang berlaku, siapa dan apa tugasannya;
  2. Peringatkan mereka tentang penampilan diri dari sudut pemakaian khususnya. tidak boleh lagi berkolar bulat serta tidak berkasut;
  3. Agihkan tugas dan maklumkan tugasan ini sebelum berprogram;
  4. sahkan kehadiran FaDelaT sehari sebelum program dan rancangkan perjalanan mereka supaya dapat disesuaikan dengan keaadaan program serta;
  5. Teruskan berkomunikasi secara aktif diantara semua agar tidak ketinggalan maklumat serta terlupa berbuat sesuatu.





TUNE-lah diri kita.

Wednesday, April 15, 2009

MENJADI MUSLIM BERKUALITI

Allah s.w.t menyebut dalam surah Al-Asr ayat 1-5 yang bermaksud:

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.


Menurut Pak Hamka, Allah memilih ayat Al-Asr ini adalah sebagai menunjukkan bahawa waktu ini adalah penting untuk manusia dan sewajarnya digunakan sebaik-baik yang mungkin. Di dalam konteks masa ini, dapat kita perhatikan, di barat, masyarakat mereka amat menitikberatkan soal kepentingan masa sehingga diwujudkan pepatah bahawa masa itu emas walaupun pada hakikatnya ia adalah amat bernilai dan lebih bernilai dari emas dan permata. Penampilan idea Al-Imam Syahid Hassan Al-Banna pada kurun ke 20 bahawa masa adalah kehidupan telah berjaya meningkatkan perspektif manusia terhadap kepentingan masa.Nilainya adalah terlalu berharga kerana tiada apa yang dapat menandingi nilai usia yang dikurniakan Allah.


Allah swt berfirman dalam ayat ke 99 -100 surah al-Mukminun, maksudnya:

"..Apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia), "Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan". Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).


Ramai dikalangan kita yang merasakan bahawa mereka telah menyusun dan merangka masa mereka dengan berkualiti dan berkesan. Siapakah mereka yang berjaya menyusun mereka dengan berkualiti dan berkesan? Apakah ciri-cirinya?


Panduannya telah disebutkan dalam surah di atas. Terdapat empat syarat untuk kita menjadi manusia yang berkualiti dari segi masanya iaitu;

(1) Syarat yang pertama mestilah beriman.
(2) Syarat yang kedua beramal.
(3) Syarat yang ketiga berpesan dengan kebenaran.
(4) Syarat yang keempat berpesan dengan sesabaran.


Ini bermakna, masa yang berkualiti itu bukan sahaja tertakluk kepada bagaimana kita mengurus dan memperuntukkan masa kita sahaja, tetapi apa yang lebi utama adalah BAGAIMANA KITA MENGISINYA? Maka, ramailah diantara kita yang telah pun kerugian menurut ayat Allah ini kecuali mereka yang mencukupi syarat-syarat tadi.


Catatan Ustaz Zahazan dalam artikelnya ada menyebut bahawa; "menurut al-Imam al-Sawiyy, menerusi syarat-syarat yang disenaraikan di atas, kita dapat melihat hubungan dengan manusia juga penting, sabagaimana hubungan dengan Allah s.w.t. Ini kerana beriman dan beramal soleh adalah perkara-perkara yang melibatkan hubungan seseorang dengan Allah seperti solat, puasa, zakat, haji, istighfar, sabar menghadapi ujian, bertaubat dari dosa dan sebagainya. Berpesan dengan kebenaran dan kesabaran pula adalah merujuk pada kepada kerja-kerja dakwah dalam bentuknya yang umum. Ia turut disebut sebagai salah satu aspek "hablun minannas" iaitulah kerja-kerja yang berkaitan dengan hubungan sesama manusia."


Dalam sebuah hadith yang sahih riwayat Muslim, Nabi saw mewasiatkan kita agar menjadikan nasihat menasihati sebagai amalan. Nasihat yang dimaksudkan ini melibatkan pelbagai peringkat manusia daripada golongan yang paling rendah hinggalah golongan yang paling tinggi termasuk para pemimpin. Maka, jelaslah bahawa apa yang telah dicanangkan Allah dalam surah Al-Asr ayat 4 dan 5 juga merupakan sebahagian tanggungjawab dan peranan kita dalam memanfaatkan masa.


Menurut Syikh Dr ‘Ali Ab Halim Mahmud dalam kitabnya, Fiqh al-Dakwah al-Fardiyyah, seseorang pendakwah haruslah memiliki ciri-ciri berikut iaitu:

1. Ikhlas kerana Allah.
2. Mempertingkatkan ilmu.
3. Jalinan dan hubungan dengan Allah.
4. Membaca kisah-kisah perjuangan orang-orang Islam yang terdahulu di kalangan para Nabi, sahabat, pejuang-pejuang Islam dan lain lain.
5. Sentiasa berdoa kepada Allah supaya bukakan hati manusia yang terlibat.
6. Mengamalkan Islam dalam hidup sebelum mengajak orang kepadanya.
7. Bergabung dalam jemaah orang-orang Islam.
8. Mengembangkan budaya ilmu dalam diri.
9. Mesti ada murabbi (mentor) yang dinamakan beliau sebagai qudwah mithaliyyah yang dapat kita mengambilnya sebagai contoh.


Dipetik dari http://zahazanmohamed.blogspot.com/

USRAH ABIM KUALA SELANGOR


Usrah pada malam ini berjalan dengan baik alhamdulillah. Setibanya aku di rumah Cikgu Maarof, kami menunaikan solat berjemaah Maghrib bersama. Aku mengimami solat (yang mana semakin jarang aku buat) bersama ahli usrah yang lain. Selesai solat Maghrib berjemaah, kami bersama-sama membaca Ma'thurat (wazifah sughra saja). INILAH AMALAN KEROHANIAN YANG WAJIB DISUBURKAN DALAM DIRI SETIAP DA'I, tetapi itu hanya cakap kosong dan tidak terbuat.


Kehadiran aku ke usrah ini tidaklah kerap setiap minggu memandangkan kesibukan dan jauhnya kantor (pejabat) aku suatu ketika dahulu. Tetapi hari ini, dan berikutnya, InsyaAllah, ia akan memberikan ketetapan dan semangat untuk aku terus memperbaiki dan bersama dalam majlis dakwah yang baik ini. Selepas selesai Ma'thurat kami berbual-bual tentang isu semasa. Ruangan ini cukup menarik. SESI PEMBINAAN UKHUWAH antara setiap ahli usrah. Perbincangan yang tiada tajuk tetapi menyeluruh tentang isu-isu berhampiran sambil menunggu ketibaan waktu Isyak.


Kami menunaikan solat Isyak berjemaah disamping bilangan kehadiran ahli usrah juga bertambah. Kami mulakan dengan jamuan hidangan untuk jasmani. Yang rohani pembukanya, jasmani ditengahnya dan diakhir dengan pengisian keilmuan pula. Perbincangan merujuk kepada hadith ke lapan dalam buku hadith 40. Membincangkan tentang keselamatan dan hak orang yang mengucapkan syahadah serta tanggungjawab serta hukuman kepada mereka yang meninggalkan solat dan zakat.


Antara intisari perbincangan yang aku perolehi adalah;

(1) Niat itu hanya Allah yang Maha Mengetahui, kita tidaklah tahu walaupun kita merasakan bahawa kita tahu, sekalipun kita adalah orang yang paling rapat dengannya.

(2) Tidak boleh kita menimbulkan syak di dalam hati bahawa mereka itu jahat atau melakukan dosa melainkan benar-benar dapat disaksikan dengan terang -terangan.

(3) Dengan mengucapkan syahadah sahaja adalah cukup untuk diri setiap manusia itu tidak boleh diperangi. Sebagaimana kisah Usamah bin Zaid yang membunuh seorang kafir yang pada akhirnya apabila diangkat pedangnya, maka si pulan itu pun mengucapkan syahadah. Tetapi dipenggalnya juga hanya kerana Usamah merasakan bahawa dia itu tidak ikhlas. Maka Rasulullah amat marah sehinggakan memulaukan Usamah bin Zaid.

(4) 3 golongan yang halal darah mereka ialah; 1. Janda yang berkahwin yang melakukan zina; 2. membunuh orang lain dan; 3. meninggalkan jemaah Islam.


Kesimpulan yang aku perolehi dari perbincangan yang tamat pada jam 10.45 malam itu ialah;

(1) Setiap kejahilan mestilah dibetulkan agar ia tidak terus jahil. Walaupun apapun balasannya, maka mereka mesti diingatkan dan hidayah kita serahkan kepada Allah.

(2) Hakikatnya, Allah ciptakan manusia ini sebagai makhluk yang bersosial. Maka ia memerlukan perhubungan, interaksi dan komunikasi. Sebagai Da'I, dalam konteks bersosial, kita haruslah sentiasa mencari perhubungan yang terbaik dari sudut natijah. Asasnya adalah, terbuka minda, berlapang dada, sentiasa ingatkan kepada mereka bahawa Allah lah Yang Maha Esa, dan yakinlah bahawa semua manusia datangnya dari Allah dan akan kembali kepada Allah. Maka fitrah mereka sama sahaja. Baik dari penglihatan, pendengaran juga getar hati, pastinya apabila mendengar hal berkaitan dengan kekuasaan Allah pasti akan teruja. Maka tiada perkara yang sempurna yang patut mereka dengar melainkan Islam.

TUNE-lah diri kita.

Tuesday, April 14, 2009

BERSAMA PEPIAS SHAH ALAM


12 April 2009, satu program ringkas latihan fasilitator untuk adik-adik baru dalam PEPIAS di Shah Alam. Perjalanan lancar namun pelbagai perkara yang jauh dan masih banyak yang perlu diperbaiki. Program yang dirancangkan dengan keinginan yang baik perlu didatangkan dengan pengisian dan modus operandi yang baik. Jika tidak, natijahnya tidak berpanjangan dan tidak akan mendalam.

10 April wakil PEPIAS Shah Alam menghubungi saya dan meminta saya untuk mengisi slot pada 12 haribulan bermula jam 9.00 pagi sehingga 12.30 tengahari. Lamanya. Tapi di dalam hati saya pujukan juga, semuanya demi kebaikan PEPIAS sebagai gerakan Islam, saya tidak boleh tewas dengan syaitan. Walaupun terdapat pelbagai perasaan hambar, tidak mahu, penat dan sebagainya, saya gagahkan juga.




Saya tiba di Masjid Proton Seksyen 27 pada tarikhnya tepat jam 9.00 pagi. "Abang Kam, makanan baru sampai, jemputla makan, adik-adik makan dulu". Sapa salah seorang dari mereka di situ. Nah, pasti lewat kata saya. Ini kebiasaan yang mesti dibuang, biarkan masa berlalu begitu je tanpa ada rasa sedih, terkilan silap atau apa sahaja. Ah, perasaan tidak bersalah dengan sumpah Allah terhadap masa! Ini penyakit yang dahsyat.




Sepanjang aktiviti ini berjalan banyak perkara yang saya tekankan dan diharapkan telinga saya dengar betul-betul dan perbaiki lagi. Fasilitator PEPIAS mesti diperbaiki dari beberap sudut penting iaitu;
  1. Disiplin masa. Tiada kompromi lagi. Kita seolah-olah main-mainkan bacaan diakhir majlis kita.
  2. Penampilan diri fasilitator. Tidak pada tahap yang terbaik. Longgar dan sambil lewa.
  3. Sikap yang tidak berubah walaupun sering memesan kepada adik-adik, tetapi ia tidak bermanfaat dan tidak merubah diri kita sendiri.

TUNE-lah diri kita.


Monday, April 13, 2009

BERSAMA FASILITATOR PEPIAS DAN FaDelaT DI SMK SERI TASEK


Alhamdulillah, satu lagi misi perjalanan dakwah kami berjalan lancar di SMK Seri Tasek. Kami tiba di sekolah pada jam 7.30 pagi dengan pelbagai kelengkapan dan persiapan rapi bagi memastikan apa yang disampaikan menepati permintaan dan keperluan.

Semuanya berjalan lancar, dan respon dari guru-guru yang terlibat juga baik. Banyak perkara yang dapat kami pelajari dan apa yang penting, manfaat ilmu ini terus dicurahkan kepada anak bangsa kita melayu dan Islam agar mereka menjadi lebih baik pada masa akan datang.

Selepas menyelesaikan sesi ini pelbagai kesimpulan yang kami dapat dan diharapkan agar menjadi peringatan kepada kami untuk tidak menjadikan kerja dakwah sebagai fasilitator ini sebagai kerja kebiasaan atau remeh atau sampingan. Ia sebahagian dari usaha dakwah yang terbaik dan perlu diteruskan dan dikembangkan. Antara perkara yang menjadi keutamaan perbincangan dan untuk diperbaiki ialah;




  1. Kelewatan masa yang mungkin tidak disengajakan. Tetapi ia pasti dapat diatasi. Tetapi dalam apa jua keadaan, ia perlu diperbaiki dan sentiasa diingatkan oleh semua.
  2. Peranan fasilitator yang perlu bersedia untuk eksplorasi kemampuan dan keupayaan adik-adik di dalam kumpulan. Kebiasaannya, fasilitator diberikan maklumat awal dan ini mengurangkan kemampuan mereka untuk melakukan eksplorasi.
  3. Melakukan persediaan rapi sebelum program terutama dari sudut persembahan fasilitator dan persembahan isi dalam modul.

Semoga kita berusaha untuk memperbaikinya. TUNE-lah diri kita.

Wednesday, April 8, 2009

SOMBONG DAN TAKABBUR


8 April 2009, perjalanan saya ke Shah Alam hari ini dihiasi dengan perbincangan yang baik di radio IKIM. Sombong dan takabbur. Keduanya merupakan sifat yang amat dimurkai Allah serta dibenci oleh Rasulullah s.a.w.

Firman Allah dalam surah Luqman ayat ke 18 yang bermaksud; "Dan janganlah engkau memalingkan muka-mu kerana memandang rendah kepada manusia dan janganlah engkau berjalan dibumi dengan berlagak sombong, sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takabbur lagi membangga diri.”

Sifat ini merupakan sifat yang buruk dan akan menjerumuskan kita semua ke dalam kebinasaan dan kerugian yang besar sebagaimana firmah Allah lagi di dalam Al-Quran surah Al-Baqarah ayat 34 yang bermaksud; "Dan ingatlah ketika kami berfirman kepada malaikat,Tunduklah beri hormat kepada Nabi Adam, Lalu mereka sekalianya tunduk memberi hormat melainkan iblis ia enggan dan takabbur dan menjadilah ia dari golongan yang kafir."

Sombong dan takabbur ini samalah ertinya dan tatacaranya sebagaimana berlakunya pengingkaran iblis untuk sujud dan tuntuk kepada Adam sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. Sifat sombong ini ertinya ialah merasakan dirinya lebih baik, lebih pandai dan lebih beriman mungkin dari orang lain serta merendah-rendahkan kemampuan orang lain. Hasilnya, mereka merasakan diri mereka tidak dapat ditandingi, sudah cukup dan sangat tinggi berbanding orang lain.

Sifat sombong dan takabbur ini terbahagi kepada 3 bahagian;
  • Sombong kepada Allah s.w.t. 
Ini menjadikan kita memalingkan sifat kehambaan kita kepada Allah dengan mendahulukan perkara lain berbanding Allah. Apa sahaja yang diperintahkan diabaikan atau dilengah-lengahkan. Allah itu tidak ada di dalam hati, dan apabila berlaku sesuatu, maka Allah lebih kecil dari hal keduniaannya. Allah lebih kecil dari duitnya, maka apa yang dicari adalah duit tanpa memikirkan keberkatannya. Perempuan lebih besar dari Allah, maka maksiat berlaku tanpa ada sedikit pun rasa gentar di hatinya. Berhati-hatilah kerana, kita hari ini terlalu ramai yang berkata tentang agama, tetapi tidak berbuat apa-apa hal agama.
  • Sombong kepada Rasulullah s.w.t.
Apa sahaja yang dijadikan sunnah Rasulullah dilihat enteng dan tidak diutamakan. Seolah-olah ia tidak memberi makna langsung dalam kehidupan. Sebagai contoh, kata-kata yang biasa diungkapkan seperti "don't judge a book by its cover". Ramai pemuda hari ini berselindung disebalik kata-kata ini semata-mata ingin memperlihatkan bahawa yang tidak kita nampak pada mereka adalah kebaikan sedangkan nabi pernah bersabda bahawa "dalam diri manusia ini ada segumpal darah, jika baik ia maka baiklah seluruh jasadnya, jika buruk ia maka buruklah seluruhnya, dan segumpal darah itu ialah hati". Sunnah Rasul sudah menjadi asing dan malu jika hendak melakukannya.
  • Sombong terhadap sesama manusia.
Terdapat beberapa ciri sombong sesama manusia iaitu;
  1. Merasakan diri lebih mulia atau tinggi dari yang lain.
  2. Tidak dapat menerima teguran dari orang lain apatah lagi dari orang bawahannya.
  3. Tidak suka bergaul dengan orang lain tambahan mereka yang lebih rendah darjat atau pangkat darinya.
  4. Suka dipuji dan mengharapkan pujian dalam setiap apa yang dilakukannya.
"Ya Allah, lindungilah kami dari sifat sombong dan takabbur ini kerana ia benar-benar akan membinasakan kami. Ya Allah, berikanlah kami kekuatan untuk menjaga tutur kata dan perilaku kami supaya sentiasa dalam keadaan baik. Bukakanlah kami ruang untuk bergaul dalam masyarakat tanpa mengira darjat, pangkat dan keturunan. Sebagaimana peribadi Rasulullah saw yang tidak pernah berlaku sombong."

Keikhlas menziarahi sahabat yang ditimpa sakit atau kesusahan, membantu sesiapa saja yang memerlukan pertolongan, memenuhi undangan apabila dijemput sebagaimana diri baginda sendiri yang pernah turut sama membantu umat Islam menggali longkang ketika bersiap sedia hendak menghadapi peperangan khandak.

Tingkatkanlah iman dan takwa kami serta

Takutkan kami akan siksaan dari Ya Allah, amin ya rabbal alamin.



*Artikel asal dari: http://usrahrasahati.blogspot.com/


Tuesday, April 7, 2009

BERSAMA JABATAN KEBAJIKAN MASYARAKAT SEGAMAT


Alhamdulillah, segala perancangan dan perjalanan program berjalan dengan lancar. Pada 3 April 2009, Jo, Dhila dan saya bertolak dari Sungai Buloh menghala ke Port Dickson bagi memenuhi satu lagi misi latihan kami iaitu HIGH QUALITY T.E.A.M. Perjalanan kami lancar dan masing-masing mengharapkan kemudahan dan kelapangan dalam menjalankan program kali ini.

Tepat jam 4.30 petang kami tiba di PNB Ilham Resort bertemu dengan Zaki dan Liza. Kami bergerak ke Tiara Beach Resort untuk memasuki bilik yang dijanjikan Zaki. Apartment 3 bilik. Tiba sahaja di sana, kami terkejut apabila yang dilihat cuma ada katil 'queen size' dan tidak ada satu bilik pun. Hati saya mula terdetik, "ujian apa pula yang Allah ingin timpakan kepada kami?" Kami bersabar, tidak timbul sedikit pun kegusaran dalam jiwa.

Tiba-tiba timbul nama ****, buat baju dan beg, tapi beg tak siap. Allah, apa lagi musibah ini. Saya tidak mengendahkan dan cuba untuk tidak memikirkannya memandangkan Zaki yang menguruskannya. Dalam hati saya terus berdebar dan datang risau sedikit demi sedikit. Pukul 9.30 Zaki kata peserta baru tiba. Lambat lagi. Kami bergerak semula ke PNB ILham Resort untuk gunakan bilik yang ada untuk peserta dulu.




Peserta tiba jam 10.00 malam, lewat dan mereka kepenatan. Saya risau lagi. Malam ni takde taklimat, terus masuk bilik. Terdengar suara-suara yang mengatakan kalau boleh esok nak balik dah. Sedikit lemah hati saya. Tapi saya gagahkan juga, tiada apa yang mampu menghalang apa yang ingin saya lakukan melainkan Allah. Tetapi, bermula pada malam itu, dengan semangat yang kuat... Allah membuka jalan kepada kami satu persatu dengan mudah...

Bilik, ada lebih kerana peserta yang hadir tidak penuh. Alhamdulillah, dapat apartment di PNB Ilham Resort. Peserta nampak terbuka dan bersemangat dengan setiap aktiviti yang kami sediakan dan program ini ditutupi dengan permainan XY. Semuanya berjalan dengan lancar dan harap-harapnya berkesan. Namun, timbul dibenak pemikiran saya yang mesti kami semua ingatkan;

  • Sabar adalah tunjang dalam pekerjaan.
Bersabar menjadi tunjang kepada segala tindak tanduk kita pada masa kini dan akan datang. sabar menjadikan seseorang itu bersikap rasional dan sangat profesional. Bersabar menjadikan seseorang itu amat disegani dan terserlah ketenangan kepada mereka. Maka walaupun apapun yang terjadi, bersabarlah dan senyum. :-)

  • Usah kalah dengan situasi
Kerana kita yang mengawal situasi. Apa yang utama adalah pemikiran yang positif dan bermotivasi. Siapapun dihadapan kita, dalam latihan, kitalah yang mengawal situasi. Apabila situasi terlepas dari tangan kita, maka akan terserlah kelemahan dan membuka ruang lebih banyak kepada kelemahan.

  • Merancang Awal
Bersifat terbuka, merancang awal dan banyakkan perbincangan. Antara kelemahan kali ini ialah, perancangan awal, tetapi kurang perbincangan dan permuafakatan yang menjadikan ia agak kelam kabut dan tidak tersusun. Disiplin juga boleh dipertikaikan dan ia masih jauh dan banyak untuk diperbaiki.

TUNE-lah diri kita.