Tuesday, March 31, 2009

PROGRAM MOTIVASI BELAJAR DAN KEIBUBAPAAN


Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar seperti yang dikehendaki. Segala urusan telah dipermudahkan dan diberikan perhatian sebaik mungkin. Syukur kepada Allah dan terima kasih kepada Jo, Daus, Syamel, Dhila dan Yaya yangtelah turut membantu dalam menjayakan persembahan program yang lalu.

Di Sekolah Kebangsaan Taman Puteri, pelajar yang menunggu tidaklah ramai tetapi timbul juga kegusaran dan kerisauan apabila diingatkan guru Cikgu Nasibah tentang isu sensitif penggunaan perkataan Allah. Pelbagai persoalan timbul dan mula rasa tidak pasti dalam suasana ingin melakukan yang terbaik.

Tepat jam 8.00 pagi kami bermula dengan sesi ceramah dan bengkel Belajar cara Belajar SMART yang dimulakan oleh saya sendiri dan diikuti dengan Dhila. Terasa betul berumurnya saya ni kerana terasa terlalu jauh dengan adik-adik peserta. Tetapi umur bukan alasan kerana cikgu-cikgu di sana jauh lebih senior dari saya.




Kemudian saya meneruskan sesi dengan ibu bapa. Masa diberikan 1 jam sahaja, tetapi saya ni tidak berdisiplin dan telah memakan masa hampir 1 jam 45 minit. Tetapi inilah masa untuk saya mengenalpasti keadaan dan situasi bersama ibu bapa berhubung beberapa isu yang disebutkan. Dari program ini sekali lagi dapat dihimpunkan dan disimpulkan bahawa;
  1. Apa sahaja usaha dakwah yang dijalankan tidak lain dan tidak bukan ialah untuk memberitahu semua umat bahawa Allah itu Tuhan yang Esa dan Tuhan semesta alam, maka tidaklah salah sekadar untuk menyebutnya. Tetapi sesuaikan isi kandungan dan perbincangannya.
  2. Jika kita hanya ingin memenuhi keperluan dan keinginan manusia, maka ia adalah mustahil bahkan Allah akan serahkan nasib kita kepada manusia, tetapi jika kita penuhi permintaan Allah semata-mata mengharapkan keredhaan Allah, maka Allah akan mudahkan tugas kita.
  3. Guru yang terbaik ialah guru yang prihatin terhadap anak bangsanya. Fasilitator yang baik ialah mereka yang ingin menyampaikan segala apa yang mereka tahu kepada anak bangsanya dan seorang jurulatih yang baik ialah seorang yang sedaya upaya memberikan kefahaman dan pengalaman berharga untuk dikongsi bersama pendengarnya. Apapun, keikhlasan adalah tunjang dalam mendidik, mengajar dan memperingatkan orang lain. Bagaimana kita ikhlas?

TUNE-lah diri kita.



Thursday, March 26, 2009

FACILITATOR'S ENHANCEMENT TRAINING



Alhamdulillah perjalanan kami pada 21 haribulan Mac yang lalu dipermudahkan Allah sehingga tiba kami di tol Gambang pada jam 8.00 malam. Perjalanan tapak mudah dan diberikan kekuatan sehinggalah berhubung dengan Adam yang menempatkan kami di Exclusive LA Hotel di Kuantan.

Ketibaan kami disambut baik dan penuh ceria oleh adik-adik yang dedikasi di kedai makan yang alhamdulillah kenyang lepas makan di situ. Agak lama juga, lepas makan dan berborak sikit-sikit pasal program dan campur-campur. Bersama kami malam itu ialah Miya, Wahid, Ilman dan Adam.

Kami (Saya, Mamad dan E-Jan) pulang ke hotel dengan sedikit perbincangan dan persiapan untuk aktiviti 22 haribulan. Alhamdulillah sekali lagi, tidur kami nyenyak pada malam itu.

22 Mac 2009, bermula sejarah. Kami bergerak ke UIAM Kuantan dan tiba lebih kurang jam 8.45 pagi. Hati berdebar-debar, tak tahu kenapa. Cita-cita saya hanya satu... sampaikan yang terbaik dan mereka mesti jadi yang terbaik...





Sesi pun bermula dengan agak hambar, mana taknya, tak sampai 10 orang, hampir saya mengeluh, tetapi teringat pesanan kawan-kawan, bukan kuantiti yang banyak yang kita impikan dalam usaha dakwah, tetapi kualiti, kalau sikit ini tidak dapat yang terbaik dari saya, mungkinkah lebih ramai maka saya akan sampaikan lebih baik? Saya beristighfar dan kembalikan niat murni saya tadi...

Sampai tengahari mereka beransur-ansur ramai. Alhamdulillah. Dapat saya pelajari dari perjalanan saya kali ini 3 perkara;
  1. Kadangkala orang melihat masalah itu terlalu sukar sehingga lupa bahawa kesukaran itu mungkin tidak sukar bagi orang lain.
  2. Kadangkala kita selalu merasakan, kita akan buat lebih baik jika apa yang kita harapkan itu berlaku sehingga lupa bahawa, sebenarnya, Allah yang menentukan kejayaan sesuatu kerja kita bukan kerana apa yang kita harapkan.
  3. Apa sahajalah yang dihidangkan depan mata kita, bersyukurlah kerana nikmat dan kelebihan ada pada kita, cuma adakah kita mensyukurinya atau tidak... Yakinlah bahawa Allah MAHA MENGETAHUI apa yang tidak kita ketahui.

TUNE-lah diri kita.


Saturday, March 21, 2009

CARA PEMBAWAKAN FASILITATOR DI DALAM PROGRAM-PROGRAM YANG BERLAINAN

Fasilitator kerapkali dibincangkan sebagai pemudahcara, pembimbing dan penasihat. Mereka juga dikenali sebagai guru, abang atau ketua di dalam sesuatu kumpulan LDK. LDK pula didefinasikan sebagai kumpulan dinamik atau satu kelompok kumpulan peserta yang sentiasa membawa perubahan dan peningkatan bermula dari pertemuan pertama sehinggalah sebelum menamatkan kursus, latihan atau program. Fasilitator dan peserta LDK merupakan dua entiti yang saling berkait dan bersandaran diantara satu sama lain. Tiada fasilitator maka tidak bergeraklah kumpulan LDKnya bahkan tiada ahli LDKnya maka fasilitator itu tiadalah membawa erti apa-apa. Persoalannya, bagaimana pula jika fasilitatornya gagal berfungsi dengan baik di dalam kumpulan LDKnya?

Fasilitator merupakan salah satu pendekatan atau medium dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat. Memahami konsep dakwah ini adalah penting dalam usaha untuk menjadi seorang fasilitator yang berfungsi dengan baik. Konsep bimbingan dalam kaunseling iaitu “membantu orang lain untuk membantu diri sendiri” adalah pendekatan yang paling tepat untuk kita istilahkan dalam isu ini. Keadaan inilah yang perlu kita sedar dan selami iaitu apabila kita bercakap atau memberikan nasihat, telinga yang paling hampir dengan mulut kita ialah telinga kita sendiri. Jadi jawapannya ialah, kita juga perlu perbuat apa yang diperkatakan.

Kegagalan pembawakan seorang fasilitator di dalam program adalah disebabkan oleh gagalnya diri mereka sendiri untuk menjelmakan sedikit bayangan tentang apa yang mereka perkatakan. Ia merupakan permasalahan sikap terhadap diri mereka sendiri. Sikap sambil lewa terhadap tanggungjawab fasilitator, sikap bermudah-mudah, budaya ‘takpe’ dan ‘oklah tu’. Sikap ini terbentuk adalah disebabkan hilangnya matlamat dasar dalam setiap perilaku manusia disebabkan oleh rutin. Akhirnya mereka melupakan apakah tanggungjawab mereka di dalam LDK serta di dalam program tersebut.

Apabila seorang fasilitator bekerja mengikut kerutinan, maka mereka hanya akan melakukan sesuatu tanpa matlamat dan halatuju. Maka, semua perilaku, tatacarakerja serta tingkahlaku adalah tidak terancang, tidak punya sasaran, membuta tuli, tiada persiapan dan tidak rasional. Rutin ini juga akhirnya membelenggu pemikiran fasilitator yang menyebabkan minda mereka ibarat berada di dalam kotak yang tertutup. Keadaan ini menjadikan mereka ini sangat takut untuk mencuba dan menghasilkan bentuk pemikiran atau pembawakan yang baru. Rutin menjadikan manusia tidak kreatif dan kurang inovatif. Tidak berani untuk menyuarakan kejujuran hati mereka dan akhirnya amanah sebagai seorang fasilitator yang diharapkan mula menjadi tawar dan tidak berfungsi dengan baik.

Akhirnya, segala tugas kita menjadi sia-sia bukan hanya kepada peserta di dalam kelompok LDK kita tetapi juga kepada diri kita. Kita akhirnya tidak berjaya meningkatkan kredibiliti kita sebagai fasilitator apatah lagi mungkin sebagai Muslim. Masa yang diperuntukkan Allah selama 3 hari 2 malam itu akhirnya menjadi suatu pembaziran dan bertambah malang lagi apabila masa itu tidak dapat dikembalikan. Oleh yang demikian, para fasilitator yang ingin menjadikan pembawakan mereka berkesan dalam program-program yang berlainan disarankan supaya;

  1. Memperbetulkan sikap anda dalam kehidupan anda seharian. Setiap perkara baik motivasi, jatidiri mahupun kepimpinan merupakan elemen kehidupan kita semua. Tidak sepatutnya kita bermasalah terhadapnya.
  2. Sediakan minda yang tepat untuk program yang sepatutnya. Ketahui permintaan program melalui objektif program mereka.
  3. Perancangan yang mantap sebelum program. Lakukan sedikit pembacaan dan persiapan secara strategis untuk segala perkara yang mungkin berlaku.
  4. Berfikir secara kreatif dan inovatif. Ambillah risiko untuk membuat kelainan dan perubahan. Kita tidak sepatutnya berada pada tahap ‘status quo’.
  5. Letakkan dalam minda kita bahawa, inilah masa kita yang paling perlu untuk dimanfaatkan sepenuhnya agar tidak disia-siakan hanya disebabkan kelewahan kita.


Kekalkan dalam diri kita tiga ciri orang yang berkredibiliti iaitu;

  1. Sifat jujur, amanah, boleh dipercayai serta berpegang pada janji.
  2. Melakukan kerja pada tahap yang terbaik dan paling cemerlang pencapaiannya.
  3. Sentiasa kreatif dan inovatif dalam setiap pekerjaan.

Semoga diberkati Allah.

Monday, March 16, 2009

Projek Program Remaja IDEAL

Alhamdulillah, sekarang ni saya sedang berusah menyiapkan satu proposal untuk mewujudkan satu kelab remaja di Daerah Kuala Selangor. Fokus utama ialah untuk menangani gejala sosial secara berperingkat serta berusaha untuk memberikan alternatif yang lebih baik dalam membina remaja dan belia di daerah kuala Selangor.


Ini merupakan ruang buat saya untuk menyumbang untuk masyarakat sekitar saya yang dicari-cari. saya akan berusaha untuk membuat yang terbaik bagi memastikan ummat Islam khususnnya di Kuala Selangor ini mendapat manfaat dari tenaga muda-mudi. Cuma saya perlukan sokongan dan pandangan dari pihak sesiapa yang membaca blog ini tentang cadangan perlaksanaan kelab ini.


Antara idea yang dikenalpasti setakat ni ialah menganjurkan program Pembangunan Kendiri sebanyak 3 siri, program lawatan, anak angkat dan kebajikan. Saya juga merancang untuk mewujudkan kelompok perbincangan dinamakan sebagai Diskusi Peranan (usrah sebenarnya) bagi melatih peserta yang berbakat dan berpotensi untuk menjadi pemimpin dikalangan mereka di sana.


Jadi, saya berharap jika ada pandangan dan cadangan bolehlah tinggalkan komen disini dan kami juga berkemungkinan besar memerlukan tajaan kewangan untuk menjalankan projek ini. Tempoh masa yang saya pohon untuk membangunkan kelompok ini ialah 1 tahun setengah atau 18 bulan.


Cuma satu lontaran untuk TUNE diri kita... Semoga Allah berkati usaha saya ini.

Friday, March 13, 2009

PROGRAM MOTIVASI DAN PERKHEMAHAN KADET BOMBA


MEREKALAH KADER TERBAIK PETUGAS-PETUGAS ISLAM

Alhamdulillah, pada 6 sehingga 8 Mac 2009 yang lalu, saya bersama pasukan IQ Class Management telah melaksanakan sebuah lagi program atas permintaan Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur. Sekali lagi kami diberikan bebanan dakwah kepada adik-adik remaja tingkatan lima selama 3 hari 2 malam.

Perjalanan program ini sungguh memberangsangkan, namun pastinya ditengah-tengah keseronokan dan kesenangan, datang ujian yang mematangkan serta kesusahan yang perlu dirungkai menggunakan mata hati kita yang mungkin tidak dapat diperhatikan dengan mata kasar.

Sepanjang program berlangsung, kami tidak melihat sebarang masalah komitmen dari kalangan adik-adik yang hadir. Mereka sangat komited dan menunjukkan ciri-ciri pelajar yang baik, cemerlang dan terbilang. Mereka memberikan penghormatan serta konsentrasi yang baik sehinggakan sukar untuk melihat mereka sebagai pelajar sekolah semata-mata. Inilah permata yang dipunyai SMT Kuala Lumpur ini. Pelbagai keadaan yang dapat saya pelajari sepanjang dengan mereka. Semoga ia akan terus menjadi peringatan dan iktibar untuk saya dan rakan-rakan di IQ Class Management.


  • PENETAPAN MATLAMAT
Apa yang pastinya, kehadiran saya ke SMT Kuala Lumpur ini mempunyai matlamat yang amat jelas dan memerlukan komitmen saya untuk bersama dengan peserta. Namun, seperti yang saya bicarakan dengan peserta, sesuatu matlamat yang peribadi harus dikongsikan agar matlamat itu dapat diselaraskan dengan matlamat pasukan yang bekerja bersama-sama. Saya gagal kali ini untuk membawa misi itu. Gagal untuk membawa matlamat itu bersama pasukan yang dibawa juga bersama adik-adik yang berprogram bersama. Ia tidak patutu berlaku.


  • KOMITMEN UNTUK MATLAMAT
Nampaknya, pasukan yang saya bawa boleh menjadi aset dan pada masa yang sama boleh mejadi liabiliti untuk IQ Class Management. Ia mungkin saya sendiri yang tidak mampu memacu baik tunggangan ini atau mungkin tunggangan ini tidak diberikan makanan dan minuman yang secukupnya. Apa yang pasti, penyelewangan matlamat tadi akan lebih teruk apabila semua yang terlibat dengan kita tidak jelas matlamatnya dan lebih teruk lagi, tidak langsung meletakkan komitmen bersama dalam melaksanakannya.


  • BERSAMA-SAMA UNTUK MATLAMAT
Kelemahan yang utama juga ialah apabila saya sebagai penganjur meletakkan diri kita sebagai reserves untuk semua aktiviti. Pengalaman diperolehi peserta, tetapi tidak dicapai oleh perundingnya. Bagaimana untuk kita bercerita kebaikannya jika kita tidak bersama-sama dengan mereka? Inilah yang perlu diatasi dan perlu dipastikan, jika kita mahu mereka hormat kita, maka kita hormat mereka, jika kita mahu mereka belajar dari kita, maka biarlah dari pengalaman sebenar kita bersama mereka.





Secara keseluruhannya saya berpuashati dengan perjalanan program ini cuma, untuk penghayatan kita bersama, jangan terlalu cepat merasakan mudah, dan ingatlah setiap nilai bayaran itu perlu dibayar dengan komitmen yang tidak berbelah bagi.


TUNE-lah diri kita.

Wednesday, March 4, 2009

4 MAC 2009


Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud:

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan sesanggupannya."

PERJALANAN SAYA

Alhamdulillah, hari ini saya memulakan hari saya di awal pagi dengan membaiki kereta kembara saya. Pagi-pagi dah sibuk tolak kereta sebab tak boleh nak hidupkan enjinnya. Tetapi Alhamdulillah, bila ditengok, rupanya air bateri kering. Maka sibuklah saya dan isteri saya menyalahkan tukang servis kereta. Beginilah manusia sentiasa menyalahkan orang lain tanpa melihat kelemahan diri sendiri. Saya pasrah dan rasa bersalah.

Kemudian saya bawakan ibu mertua saya ke hospital pakar mata. Jauh juga dari Kuala Selangor ke Chow Kit Road. Alhamdulillah perjalanan lancar tetapi ada kegusaran. Kerja saya belum siap. Tak pelah, mungkin ini yang terbaik untuk saya. Laluan kami dari Kuala Selangor ke Chow Kit, kemudian ke AU Keramat dan berakhir di Shah Alam. Banyak berjalan orang kata luas pandangan. Alhamdulillah memang luas. Kemudian, kami bergerak pulang ke Kuala Selangor, jika datang tadi hanya kami berdua (saya dan ibu mertua saya) kini bertiga (dengan Afwa anak buah saya).

TAKLIF MEMATANGKAN KITA

Di dalam kereta, saya berbual dengan Afwa, bertanyakan tentang persekolahannya. Eja bola, buku kereta dan macam-macam lagi. Dengan harapan dia mampu belajar sedikit demi sedikit. Sampai dipertengahan jalan, Afwa tertidur, maka pemikiran saya mnerjah pelbagai perkara sehinggalah timbul radio cerita tentang MAP (Motivasi Alihan Pelajar). Teliti saya mendengar mengharapkan pembelajaran. Namun timbul rasa iri hati, macamana dia boleh buat program macam ni tetapi saya tak boleh? Mungkin tak sampai darjat lagi agaknya. Saya terbuai dengan perbincangan di radio sehinggalah tiba di rumah.

Masuk waktu Maghrib, hari ini saya pening kepala, sebelum Maghrib tadi saya terbaca makalah lama yang bertajuk Taklif Memantapkan Kematangan Manusia. Terdengar rengekan Afwa dengan ibu mertua saya. Macam-maca kerenahnya, kalau saya la saya rasa, lama dah budak tu saya tengkingkan, degil, merengek waktu-waktu macam ni. Tetapi, ibu mertua saya tenang sahaja, bercakap dengan lembut, pujuk dan nasihat pada masa yang sama disuruhnya Afwa mengaji.

Teringat saya bila orang tanya, Afwa macam mana? Kalau dengan Pak Ngah dia (saya lah tu) senang je suruh ngaji, kalau dengan wan dia mesti merengek. Bila saya kenangkan, barulah saya faham apa erti sebenar ayat 286 surah Al-Baqarah tadi. Jelas di mata dan hati saya, kalau dengan ibu mertua  saya merengek tak henti-henti, tetapi sabarnya ibu mertuasaya, dipujuknya Afwa tu sehingga mahu, tetapi kalau saya, mungkin dibelasahnya. Allah itu MAHA MENGETAHUI, Afwa dengan saya bukan kerana saya ni hebat atau saya ni dahsyat sangat mendidiknya, cuma Allah tahu upaya saya maka digerakkan hati Afwa untuk berperangai baik dan ikut kata apabila bersama saya, manakal bila bersam aibu mertua saya, Allah sekali lagi Maha Mengetahui tentang upayanya, maka digerakkan hati Afwa untuk berperangai begitu... Hebatkan Kuasa Allah...

Sekarang saya sedar dan diberikan petunjuk lagi tentang kekuasaan-Nya moga-moga ini menjadi keinsafan buat saya yang sering leka dan mudah lalai kerana dunia. Patutlah saya masih berada ditahap ini kerana saya belum mampu untuk memikulnya. Firmah Allah dalam surah Ar-Ruum ayat 33 yang bermaksud;

"Dan apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya mereka menyeru Tuhannya dengan kembali bertaubat kepada Nya. Kemudian apabila Tuhan memberikan mereka sedikit rahmat daripada Nya tiba-tiba sebahagian daripada mereka mempersekutukan Tuhannya."

Tuesday, March 3, 2009

27, 28 FEBRUARI DAN 1 MAC



Alhamdullillah dipanjatkan syukur kepada Allah kerana memberikan kesempatan untuk masih lagi bernyawa, boleh berkata-kata, dapat melihat dan dapat menggunakan pancaindera dengan sempurna walaupun kita ini dari kalangan orang yang sangat kurang bersyukurnya.

Alhamdulillah, 27 Februari 2009 ialah hari dalam sejarah. Buat kali pertama saya bersama rakan-rakan IQ Class Management dapat dan berjaya menganjurkan satu pertemuan diskusi antara IQCM, NICE dan KEC juga adik-adik pimpinan dari PEPIAS Pusat. Alhamdulillah semunya berjalan lancar. Saya dapat merasakan kehangatannnya sehinggakan beban dakwah itu terasa berat dibahu saya dan saya yakin dan percaya semua yang hadir berperasaan begitu.Inilah yang saya impikan, mempunyai rakan taulan dan lingkungan yang memahami, menyelami serta bersungguh-sungguh dalam meneruskan tanggungjawab agama, amanah dan pesanan Nabi Muhammad s.a.w. Kerana saya tidak sempurna melainkan dengan sokongan, dokongan dan dorongan dari mereka semua.

Pada 25 Februari yang lalu saya menghadiri 'post mortem' InsKePs dengan pelbagai harapan dan impian. Untuk melihat kerja-kerja dakwah ini dapat digunapakai dan diberikan pelbagai ilham untuk berdepan dengan pelbagai mehnbah dan tribulasi dunia hari ini. Ternyata, ia memberikan pembelajaran yang baru buat saya, Allah tidak pernah menghampakan permintaan hambanya. Alhamdulillah, saya belajar, belajar bahawa, setiap manusia ini pasti akan melakukan kesalahan dan kelemahan, pasti dan yang hebat lagi Allah mampu untuk mengubah kita tetapi adakah kita mampu menerima perubahan itu?

Alhamdulillah, hari saya diteruskan dengan perjalanan ke De' Congkak Forest. Berprogram bersama anak-anak SK Seri Anggerik. 91 orang. Pada mulanya hati tenang dan bersahaja. Alah, budak kecik, sedang je nak urus. Setibanya di sana bersama teman seperjuangan zaki dan Jo, datang juga bersama kami adik-adik FaDelaT dan seorang fasilitator, Yaya, Hanif dan Maya. Wah, bila lihat adik-adik ini kami gembira, dengan harapan merekalah bakal pengganti kami.

Alhamdulillah, program pun berlangsung dengan baik dan lancar. Namun, kegelisahan mula terbit dari hati saya apabila melihat adik-adik FaDelaT saya seolah-olah hilang taring dan tidak menyengat ketika persembahan mereka sebagai fasilitator. Benarlah kata orang, kemahiran jika tidak diasah akan tumpul. Maka pelbagai perkara bermain diminda, peserta adalah mad'u yang tidak boleh dilepaskan dan mereka mesti diberikan perhatian serius. Maka pembetulan demi pembetulan dibuat.

Alhamdulillah, saya semakin pasti dengan perencanaan dan peranan saya. Sepanjang proram ini berlangsung dapat saya simpulkan beberapa perkara sebagai seorang jurulatih atau fasilitator atau sesiapa sahaja yang mengendalikan apa-apa sekalipun bentuk latihan, maka mereka perlu persiapkan diri mereka dari segi;
  • Menetapkan Matlamat dan Halatuju Diri selaras dengan Objektif Latihan.
Ia akan memandu tindakan, perbincangan serta pelakuan kita sepanjang bersama dengan peserta serta memudahkan kita untuk membuat kesimpulan bertepatan dengan apa yang dibincangkan.

  • Membuat persiapan aktiviti walaupun hanya beberapa aktiviti kecil.
Ini kerana, setiap saat masa kita bersama peserta adalah peluang dan ruang untuk kita sampaikan yang terbaik untuk mereka. Perancangan ini akan membantu menaikkan semangat pembelajaran mereka kerana ia sesuai dan terancang. Pembelajaran mereka juga akan mudah untuk sampai kepada objektif sebenar latihan.

  • Menaikkan keyakinan serta saling lengkap-melengkapi.
Manusia punya kelemahan dan kelemahan dapat ditutup dengan kekuatan orang lain. Banyakkan perbincangan dan tolak-ansur. Biasakan diri untuk bekerja dalam pasukan dan kumpulan.


Semoga program-program akan datang akan dapat diperbaiki dan dijadikan lebih baik dari sebelumnya. Terima kasih.