Saturday, January 31, 2009

Aku Perlu Terus Berdiri, Berjalan dan Berlari

Kenangan Terindah apabila lahir sahaja ke Dunia
Melihat pelbagai ragam kehidupan manusia
Kenangan Terindah ini membuatkan AKU PERLU TERUS BERDIRI
Berdiri dengan kaki sendiri, jiwa dan kekuatan jatidiri
Berdiri melihat arus teknologi dan globalisasi yang semakin pantas
Degup jantung semakin kencang dan kehidupan?
Semakin hampir kepada kematian...

AKU PERLU TERUS BERDIRI
Mempertahankan Cara Hidup dalam diri yang hakiki
Terus Berdiri mempertahankan Al-Hak Di dalam jiwa...

Kenangan Terindah ini hanya sementara
kerana Dunia ini persinggahan sementara
Persinggahan dalam perjalanan ke Dunia yang kekal selamanya

AKU PERLU TERUS BERJALAN...
Disamping bekalan yang perlu aku cukupkan...
Bekalan yang dapat menyelamatkan, menjadi pelindung
dan pendamping bermula di alam kubur...

Ingatlah, AKU PERLU TERUS BERJALAN
kerana menjadi mayat itu pasti
tiada siapa yang mampu mengubahnya...

AKU PERLU TERUS BERLARI...
Ujian dunia ini semakin menyempitkan,
menjauhkan diri dari Al-Hak, mejauhkan diri dari perjuangan
kekasih-NYA, Hai Muhammad...
Aku lah manusia yang kau katakan paling disayangi,
tetapi tidak pernah sekalipun mengenali-mu...
Aku lah juga dikalangan manusia yag pernah kau katakan buih dipantai
banyak bertaburan, tetapi pergi begitu sahaja...
Aku lah juga dikalangan manusia yang kau sebutkan
ketika tiba saat akhir usiamu Hai Muhammad...
Ummati, Ummati, Ummati...
AKU PERLU TERUS BERLARI... mengejar syafaat mu...

Namun aku terus leka dan bergembira
kerana jiwa merasakan bebas selamanya, tetapi sebenarnya
terbelenggu dengan penjara dunia... AL-WAHAN

AKU PERLU TERUS BERDIRI, BERJALAN DAN BERLARI

Friday, January 23, 2009

MENETAPKAN MATLAMAT

Setiap manusia ini tidak akan lari dari melakukan kesalahan dan kesilapan. Perjuangan hidup manusia perlukan pembaikan, pemulihan, dan pemuliharaan. Kehidupan kita adalah perjuangan kita. Perjuangan untuk membawa diri ke matlamat yang amat hakiki iaitu syurga yang amat diharapkan dan dicita-citakan.

Apabila lahir sahaja insan ke dunia, perjanjian dengan Allah telah termetrai apabila ditiupkan roh ke dalam janin itu. Perjanjian inilah adalah perkara yang perlu kita berikan perhatian. Adakah kita berjaya mengotakan janji kita atau sekadar hidup mengharap dan berusaha mendapat kesenangan dunia?

Di dalam buku karangan ustaz Mustafa Masyhur yang bertajuk 'Jalan Dakwah antara asli dan penyelewangan' membincangkan secara khusus tentang matlamat kita yang asli dan penyelewangannya. Sebagaimana yang telah dibincangkan di dalam blog kamarulazami.blogspot.com, Perjuangan dan jalan dakwah ini merupakan sebuah kesinambungan perjuangan yang tiada tolok bandingnya, kerana jika kita tidak berjuang dalam gerabak kecil (jemaah kecil kita seperti ABIM, PEPIAS dan etc), tetapi kita masih lagi memikul tanggungjawab sebagai Hamba kepada Allah, Khalifah serta pendakwah untuk sebuah gerakan Islam yang dimulai oleh Rasulullah s.a.w.

Pernah suatu hari saya ditanya oleh murabbi perniagaan saya Dr. Din. "Apakah matlamat perniagaan kau ni?". Saya katalah untuk menambahkan keuntungan dan sebagainya.

Kemudian dia bertanya, "Kau Islam kan?". "Ya", jawab saya.

"Sepatutnya kau kena letakkan (gantung atau paparkan) matlamat kau dalam perniagaan agar dilihat dengan jelas. Macamana ko Islam begitulah yag sepatutnya." Apa matlamat kau sebagai seorang Islam," tanya Dr. Din.

"Hendak mendapat keredhaanlah", jawab saya yakin.

"Apa mission statement kau sebagai Islam," tanya Dr. Din. Saya tergamam sebentar.

"Lailahaillallah Muhammadar Rasulullah", kata Dr. Din. Saya terus tergamam.

Sebagaimana misi ini dilaungkan ditelinga kita ketika kita lahir, maka, begitulah pegangan hidup kita sepatutnya. Bayangkan sekiranya pegangan ini tertanam di dalam hati, akan berlakukah penyelewengan dan kemungkaran di dunia ini? Pastinya mustahil. Tetapi, tiada yang mustahil bagi Allah, maka diiringkan kita ke dunia dengan SYAITAN yang menghasut.

Ustaz Mustafa Masyhur berkata, diantara penyelewangan yang berlaku di dalam kerja-kerja dakwah dan kepada pendakwah sendiri ialah penyelewengan dari segi matlamat. Apa yang disebutkan olehnya di dalam buku ini, penyelewangan sasaran ini boleh berlaku apabila:

  1. Hilang keikhlasan bekerja untuk Allah. Tanamkan dalam jiwa kita apa sahaja yang dilakukan, hasil dari kerja yang dilakukan, penat lelah perjuangan kita semuanya mesti bertunjangkan Allah s.w.t. Bukan kepada sesiapa atau sebarang makhluk pun. Adakah kita seikhlas itu atau kadangkala datang perasaan mulia diri, ujub, takabur dan busuk hati*? TUNE diri kita.
  2. Tidak menunaikan janji. Janji pertama yang kita akan mungkiri adalah janji ruh kepada Allah s.w.t. Bahkan janji kita sebagai pendakwah yang wajib kita turuti yang utama adalah hak manusia untuk nenerima dakwah kita.
  3. Lega kerana lulus ujian. Adakah kita berasa yang kita telah beriman sedangkan kita belum diuji lagi kata Allah?
  4. Mendabik dada kerana berjaya. Kejayaan kita, nilaiannya hanya disisi Allah. Pujian manusia? Pepatah Cina ada menyatakan, orang yang memuji kita adalah musuh yang paling hampir dengan kita.

TUNElah diri kita. Assalamualaikum...


*catatan penulis di http://iqclassmanagement.blogspot.com

PERSIDANGAN MEJA BULAT 2009

PERSIDANGAN MEJA BULAT 2009


Jemputan kepada sahabat-sahabat ahli ABIM, WADAH Selangor , PEPIAS dan HELWA
ke Persidangan Meja Bulat akan diadakan:


Tarikh : 28 Jan 2009
Masa : 9.00 mlm
Tajuk : POLITIK ISLAM / MELAYU PASCA PILIHANRAYA KECIL KUALA TERENGGANU
Pembentang: Sdr Prof Madya Saharuddin Badaruddin , Sdr Mohd Yadman Sarwan dan Dr Pisol Maidin.


Hubungi kami untuk maklumat lanjut :
Ust Muszaki 019-2661772 Sekretariat 03-55114994

Thursday, January 22, 2009

PERASAAN HASAD DENGKI ORANG MUKMIN

Di dalam buku Bahtera Penyelamat tulisan Fathi Yakan. Beliau membincangkan tentang kehidupan seorang pendakwah yang akan sentiasa didatangkan ujian bagi memastikan keberadaan mereka di jalan dakwah ini. Perbincangan saya bersama rakan-rakan seperjuangan ialah bertajuk Orang Mukmin yang Dengki Kepadanya.

Pertama sekali persoalan yang terlintas dalam fikiran saya ialah, mengapa ada orang Mukmin (orang beriman) yang dengki dan bermusuh dengan pendakwah? Firman Allah di dalam Al-Quran yang bermaksud:

"Kamu ummat terbaik yang lahir dari kalangan manusia. Mengajaklah kepada perkara kebaikan dan mencegahlah dari perbuatan mungkar dan berimanlah kepada Allah."

Firman Allah ini memberikan gambaran jelas bahawa, sebagai manusia yang diciptakan Allah, tugas kita terbahagi kepada 3 yang utama iaitu:

1. Sebagai hamba kepada Pemilik seluruh alam;
2. Khalifah yang diberikan tanggungjawab untuk mentadbir alam ini; serta
3. Da'i yang bertanggungjawab menyampaikan Agama Allah kepada setiap insan.

Adapun menurut sahabat saya, pendakwah ini adalah merujuk kepada Rasulullah s.a.w, tetapi tugas kita adalah wajib menyambungnya kerana kita merupakan ahli jamaah yang besar iaitu jamaah ahli sunnah wal jamaah yang bersumberkan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah. Jadi dalam menjalankan tugasan sebagai pendakwah, pastinya jalan ini tidak mudah dan tidak dekat. Ia adalah jalan yang jauh dan berliku-liku. Perjalanan ini pasti akan menguji sejauhmana keimanan kita kepada Allah s.w.t.

Timbul pula persoalan, dimanakah tahap kesabaran kita? Sabar untuk orang yang beriman dan berdakwah sudah tentu tiada hadnya. Kerana apabila datang ujian, maka kita mesti bersabar dan apabila kita berjaya tempuhinya adakah Allah akan berhenti dari menguji kita? Tentu sekali tidak. Jadi dimana tahap kesabarannya? Jawapannya ialah tiada.

Terdapat 7 perkara yang menjadi punca kepada perasaan hasad dengki ini menurut Fathi Yakan iaitu;

1. Permusuhan
Kerap berlaku dikalangan kita apabila tidak berpuas hati, dikalahkan, ditegur atau diperbetulkan, maka akan timbullah perasaan dendam dan permusuhan. Kerana itu, apabila kita menjadi pendakwah, perlulah berlapang dada menerima teguran dan ingatlah kejayaan atau kegagalan sesuautu yang dilakukan adalah disebabkan oleh kuasa Allah s.w.t. Kita perlu melihat setiap orang mempunyai potensi untuk masuk syurga.

2. Rasa diri mulia
Perasaan ini berlaku apabila terdapat dikalangan kita orang yang lebih bermaklumat, lebih baik penampilan atau pengetahuannya, maka akan timbullah persoalan, kenapa dia lebih baik dari aku. Maka manusia akan mula berusaha untuk menjadi lebih baik pada masa yang sama adalah untuk menunjuk-nunjuk bahawa dia yang lebih baik. Kerana itu, pesan Imam Hassan Al-Banna, janganlah kamu menambah ilmu untuk digunakan sebagai tujuan untuk perdebatan, kerana perdebatan adalah untuk mencari kebenaran.

3. Takabur
Sebagaimana yang kita fahami, takabur ialah merasakan diri kita lebih baik dan tiada yang sebaik kita. Kita mengangkat diri kita supaya orang melihat kita tinggi dan berkuasa.

4. Ujub
Ujub pula merasakan kebaikan diri dan berbangga dengan apa yang dapat diri kita lakukan. Merasakan diri mampu melakukannya. Perasaan ini sangat halus dan hampir tidak dapat kelihatan kerana ia hanya akan hadir apabila kita mula menceritakan pengalaman yang membesarkan diri kita.

5. Kedudukan
Mereka ini berusaha untuk mendapatkan kedudukan dan pangkat dalam setiap kerja yang dilakukan. Berlumba-lumba dan bersaing untuk memastikan mereka dilihat sebagai 'seseorang'.

6. Populariti
Mereka sanggup lakukan apa sahaja untuk mendapatkan populariti dikalangan rakan-rakan dan ingin nama mereka sentiasa menjadi sebutan dan ia akan berkait dengan keujuban dan bersifat takabur.

7. Busuk hati
Apabila hampir kesemua di atas tadi dilakukan, maka busuk hati akan timbul dan berlaku tidak senang apabila ada orang yang mendahului mereka dalam apa jua yang mereka rasakan mereka yang terbaik. Akibat dari busuk hati ini akan timbul tindakan-tindakan luar kawalan yang tentunya dudalangi oleh syaitan yang direjam.

Untuk mengatasi perasaan ini sekiranya terdapat mereka yang disekitar kita begini ialah dengan 3 cara yang dicadangkan oleh Fathi Yakan iaitu:

1. Menjauhi mereka
2. Tidak bergaul dengan mereka
3. Mengelakkan diri dari mendengar percakapan mereka

Jika diri kita yang dihinggapi penyakit ini, ingatlah pesanan Rasulullah bahawa, penyakit hasad dengki ini ialah ibarat api yang membakar ranting kayu perlahan-lahan di dalam hati kita. Jadi, atasilah dengan;

1. Memohon ampun dan bertaubatlah dengan Allah
2. Rapatkanlah diri dengan Allah
3. Bersabar dengan solat kita
4. dan bersabar dengan hidayah dan pertolongan Allah

Monday, January 19, 2009

PERUBAHAN DIRI

Kehidupan ini memerlukan perubahan dan penambahbaikkan. Malangnya, manusia sangat takutkan perubahan. Takut untuk merubah pandangan hidup dan cara hidup yang telah diamalkan sejak dahulu lagi. Perubahan adalah satu tuntutan sebagaimana kata-kata yang sering kita bersam ungkapkan. Hari ini mestilah lebih baik dari semalam dan esok mestilah lebih baik dari hari ini. Ada cara lain untuk mencapainya? Sudah tentu dengan cara buat perubahan.

Perubahan dalam Islam lebih terkait rapat dengan hijrah. Keluarkan diri dari kejahilan kepada celik akal, kemiskinan kepada kehidupan lebih sempurna dan terbaik. Inilah yang dianjurkan oleh Islam. Perubahan perlu dilakukan segera dan bukan sekadar diungkapkan dengan kata-kata. Berubah bererti melakukan sesuatu yang baru. Beranikah kita melakukannya?

Perubahan memerlukan keberanian dan keyakinan untuk berhadapan dengan risiko. Risiko pertama, persekitaran keluarga dan rakan-rakan kita. "Apa kau dah berubah?". "Kejap je tu...". Ungkapan indah ini pasti bersama dengan kita jika kita ingin melakukan perubahan. Ia perlu ditempuh dan didengari sambil memujuk diri sendiri untuk terus terusan melakukan yang terbaik.

Perubahan mesti bermula dengan keinginan dan matlamat yang jelas. Matlamat yang jelas menetapkan haluan kita untuk mencapai sesuatu dengan azam dan cita-cita. Apa yang hendak diubah dan kenapa kita perlu berubah? Soalan ini perlu ditanya dahulu sebelum didatangi soalan yang lainnya.

Kemudian, bersedia dengan minda yang sangat positif. Di sinilah kekuatan yang diperlukan apabila datang soalan, "boleh ke kau berubah..", "betul ke kau nak berubah..". Sentiasa bercakap dengan diri sendiri, manusia hebat adalah manusia yang mampu mencipta kelainan dikala orang lain memikirkan persamaan. Berani untuk berasa lain dan dilihat lain.

Sikap kita juga perlu diperbetulkan terhadap orang lain. Terima mereka seadanya. Jika kita rasa kita sudah baik dan berubah menjadi lebih baik, jadi, mereka juga berpotensi untuk menjadi lebih baik. TUNE diri kita.

Sunday, January 18, 2009

7, 8, 9 JANUARI; PENGALAMAN BARU SAYA

Jam 4.00 petang, 6 Januari 2009. Saya mendapat panggilan telefon. Ada program rupanya. Saya tergamam. "Alamak, macam mana ni?" dalam hati saya berbisik. Saya dah susun jadual, esok pukul 3.50 ada ceramah di PTPL, bahan dah sedia. Lusa pulak, pagi-pagi ada ceramah di SK La Salle Sentul. Hmm, ini akan mengundang masalah ni.

Malam itu saya pening kepala dengan hati yang berbelah bagi. Hati tidak tenteram, dengar pula pandangan teman, "Ish sepatutnya mana boleh macam ni, ini tidak profesional kam". Hati  saya terus berdegup kencang. Macam mana ni, mana patut saya ikut dan dahulukan? Bagaimanapun saya tetap mengambil beberapa tindakan agar tidak timbul masalah.  saya berhubung dengan seorang pelajar di PTPL. "Abang Kam tak dapat la ceramah esok, ada program 'adhoc' la", kata saya. "Baik bang Kam takpe, kami akan cari ganti", jawab suara si adik manis dari PTPL.

Lega, alhamdulillah. Secara tidak  saya sedar, rupa-rupanya Allah telah membuka jalan untuk halangan pertama saya. Bagaimana dengan isteri saya? Alhamdulillah, isteri saya amat memahami. "Takpe lah pa, nanti mama tolong papa kemaskan barang ye, rezeki papa la tu", kata isteri saya. Hari Jumaat pulak macam mana?  saya sms Along saya. Dia jawab, lapang dan ok. Ya Allah, kau mudahkan urusan saya lagi, tapi kenapa  saya tidak selalu mendahulukan arahan-Mu Ya Allah. Berdosanya  saya.

Hati yang tidak tenteram tadi tidak lagi disebabkan oleh segala tugasan saya, tetapi kini berbalik kepada tanggungjawab baru saya ini. Ya Allah, bantulah permudahkan urusan saya.  saya sms 'chief' saya bertanya dan mintak dia jawab beberapa soalan. Tetapi masih tidak dapat maklumat penuh program. Saya ke 'CC'. Buka emel, makin tertekan, tiada maklumat yang dijanjikan. Saya terus balik ke rumah, pukul 11.50 malam. Saya bulatkan tekad, esok saya pergi, dengan harapan dapat berbincang jika sampai awal, dan dapatkan maklumat bila tiba disana nasihat saya kepada diri saya sendiri. "Papa mama ni kan hebat", terngiang-ngiang nada suara isteri saya memujuk dan menenangkan saya. Saya tabahkan hati, pening kepada saya, lalu saya tertidur.

Terjaga saya dari tidur, isteri saya kejut, "Sayang, bangun dah 5.30 pagi ni". Saya gagahkan bangun dengan hati yang berdebar. Sepanjang saya bersiap isteri saya sibuk di dapur menyiapkan nasi goreng untuk saya. Saya semakin tenang, bertahajjud dan solat Subuh lalu bertolak ke Ampang Pecah. Ya, disanalah berlangsungnya program saya. Bergerak dengan hati yang tenang, alhamdulillah perjalanan saya lancar diiringi dengan bacaan Ma'thurat sughra yang saya hafal. Saya meyakinkan diri saya, saya mampu untuk hadapi, inilah prosesnya, saya mesti terus belajar dan inilah pengalaman baru saya.

Sedar tidak sedar saya telah berada disini hampir 3 hari. Perjalanan lancar dan segalanya baik. Walaupun terdapat kelemahan, saya pasti akan memperbaikinya. Sekali lagi saya diajar dan diingatkan Allah, selalu saya ungkapkan, Allah tidak akan membebankan kita dengan sesuatu yang tidak mampu kita tanggung. Betul dan benar-benar betul. Hanya Allah yang tahu ke mana yang paling sesuai dan cocoknya untuk kita. Tugas kita, patuhilah arahan-Nya dengan rasional, sesuaikan dengan niat dan cita-cita. Letakkan tawakkal hanya pada Allah, tetapi usahanya mestilah sehabis daya yang ada.

Ya Allah, istiqamahkan saya atas jalan dakwah-Mu Ya Allah. Saya lemah hanya Engkau yang boleh memperkuatkan saya, saya rebah dan tewas, hanya Engkau yang mampu meniupkan semangat saya, kekalkanlah saya dalam gerabak ini, gerabak bersama para rasul dan nabi, sahabat-sahabat dan para syuhada, walaupun hanya sekadar daun kering yang gugur melayang dan masuk ke gerabak ini. Ya Allah, makbulkanlah doa saya ini.


Monday, January 5, 2009

AWAL MUHARAM VS TAHUN BARU

Kedatangan tahun baru merupakan sesuatu yang ditunggu dan diharapkan oleh ramai orang kebanyakan. Ia dianggap sebagai satu hari perayaan yang besar yang secara umumnya disambut dengan pelbagai kemeriahan diserata tempat seluruh dunia. Termasuklah negara kita yang tercinta Malaysia, sambutan tahun baru disambut dengan kemeriahan bunga api dan serba sedikit perayaan dengan pelbagai rancangan televisyen dan di pentas-pentas terbuka. Tidak lama sebelum tibanya sambutan tahun baru, ummat Islam di Malaysia juga menyambut satu lagi sambutan tahun baru Hijrah. Jika soalan dilemparkan kepada masyarakat Islam, berapa tahunkah sambutan pada tahun ini pastinya mereka akan tersipu malu keran tidak mengetahui tentangnya. Apa yang mereka tahu, apabila tiba Awal Muharam, maka bolehlah bercuti.

Awal Muharam

Awal Muharam atau juga dikenali sebagai Maal Hijrah merupakan suatu hari yang penting bagi umat Islam kerana ia menandakan satu peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam. Sambutan ini bertujuan untuk memperingati penghijrahan Nabi Muhammad dari Kota Mekah ke Madinah pada tahun 522 Masihi. Sejarah yang mahsyur ini pasti terpahat dalam pemikiran kita sebagai ummat Islam. Bagaimana pengorbanan dan perjuangan baginda bersama sahabat-sahabat menelusuri pelbagai rintangan dan halangan demi untuk memastikan keselamatan iman dan mengangkat darjat manusia kepada tahap yang seadilnya. Pelbagai perjuangan dan kisah yang dapat kita singkap sehinggakan lahir catatan semangatnya dalam lagu yang diingati seluruh umat Islam di Malaysia iaitu lagu Maal Hijrah. Kalendar Hijrah mula diperkenalkan oleh Saidina Umar Al-Khattab ketika beliau menjadi Khalifah lebih kurang pada 638 Masihi. Penggunaan kalendar Hijrah ini adalah bertujuan untuk mengenang dan menghargai pembentukan satu masyarakat dan tamadun Islam yang merdeka dari segi sosial, politik dan ekonominya.

Tahun Baru

Tahun Baru pertama kali dirayakan pada tanggal 1 Januari 45 SM. Tidak lama setelah Julius Caesar dinobatkan sebagai kaisar Roma, ia memutuskan untuk mengganti penanggalan tradisional Romawi yang telah diciptakan sejak abad ketujuh SM. Dalam menyusun kalender baru ini, Julius Caesar dibantu oleh Sosigenes, seorang ahli astronomi dari Iskandariyah, yang menyarankan agar penanggalan baru itu dibuat dengan mengikuti revolusi matahari, sebagaimana yang dilakukan orang-orang Mesir. Satu tahun dalam penanggalan baru itu dihitung sebanyak 365 seperempat hari dan Caesar menambahkan 67 hari pada tahun 45 SM sehingga tahun 46 SM dimulai pada 1 Januari. Caesar juga memerintahkan agar setiap empat tahun, satu hari ditambahkan kepada bulan Februari, yang secara teoritis bisa menghindari penyimpangan dalam kalender baru ini. Tidak lama sebelum Caesar terbunuh di tahun 44 SM, dia mengubah nama bulan Quintilis dengan namanya, yaitu Julius atau Juli. Kemudian, nama bulan Sextilis diganti dengan nama pengganti Julius Caesar, Kaisar Augustus, menjadi bulan Agustus.

Ummat Islam tidak sepatutnya menyambut kedatangan tahun baru ini sebagai satu budaya. Lihat sahaja apa yang berlaku pada sambutan tahun baru yang lalu, pelbagai keadaan yang merosakkan remaja kita berlaku. Ia bukan keadaan yang patut kita banggakan, tetapi ditangisi dan difikirkan penyelesaiannya. Kita sepatutnya menyambut sesuatu kedatangan tahun baru itu dengan melihat kembali sejarah dan bagaimana semangat, perjuangan dan kehebatan itu dapat dikembalikan pada hari ini. Jadi, secara tidak langsung, kita dapat lakukan semakan terhadap diri kita, yang mana sejarah sambutan yang patut kita utamakan? Awal Muharam atau Tahun Baru?

Azam Tahun Baru

Sejak dahulu lagi, dari kecil sehinggalah dewasa, manusia akan ditanya setiap kali datangnya tahun baru, apa azam tahun ini? Setiap tahun azam ini akan berubah melihat kepada keperluan individu masing-masing. Azam atau cita-cita ini adalah sangat dituntut oleh Islam. Mereka yang tiada cita-cita adalah ibarat mereka yang tiada masa hadapan. Sehinggakan Islam sendiri bercerita tentang apa yang tidak kita ketahui, tetapi mesti kita cita-citakan iaitu SYURGA. Kepentingan azam dan cita-cita ini tidak dapat disangkalkan lagi.

Malangnya, setiap kali azam disusun, maka ia hanya akan terus menjadi cita-cita yang tidak kesampaian. Apabila ada cita-cita, ia akan dilupakan dan terus hilang dari ingatan. Bagaimana kita mengukur keberjayaan cita-cita kita ini? Kenapa manusia boleh melupakan cita-citanya? Inilah yang menjadi tanda tanya dan pastinya, kita sendiri tidak pernah bertanyakan soalan ini kepada diri kita sendiri.
Menurut pandangan perunding-perunding latihan dalam IQ Class Management, cita-cita ini perlu didasari dengan 4 keperluan yang peru dijadikan keutamaan.

  1. Cita-cita itu mestilah yang boleh dicapai. Ramai yang menganggap, cita-cita adalah percuma. Ia adalah benar. Tetapi apabila ia tidak dicapai, maka ia akan menjadi satu angan-angan dan ia adalah suatu pembaziran. Angan-angan adalah keinginan yang tidak hadir bersamanya sebarang usaha. Allah hanya menilai sesuatu hasil kerja berdasarkan usaha yang dilakukan bukan hasil yag diperolehinya.
  2. Cita-cita itu mestilah suatu impian jauh ke hadapan. Pandangan perlu jauh merentasi sempadan diri kita. Jika cita-cita hanya berada dihadapan mata, maka ia akan mempercepatkan penamatan kerja dan usaha kita terhadap pencapaian untuk diri kita. Di sinilah dapat kita lihat, manusia akan cepat berpuashati dan lahirlah masyarakat ‘OK lah tu’.
  3. Cita-cita perlu ditempuh dengan pelbagai halangan. Cita-cita yang dicapai dengan tidak ditempuhi sebarang ujian atau halangan adalah ujian yang tidak mempunyai nilai yang tinggi buat diri kita. Kita menjadi kaya kerana kekayaan ibu bapa kita, pastinya kitalah yang akan menghabiskan harta itu untuk kepentingan kita. Akhirnya, cita-cita itu akan pergi dan berlalu begitu sahaja.
  4. Cita-cita akan datang dan tercapai apabila berlaku anjakan paradigma. Anjakan paradigma merupakan satu perubahan yang kita lakukan untuk melihat masa depan dengan lebih optimis dan positif. Inilah semagat dan keperluan untuk kita ummat Islam menyambut Awal Muharam. Mengambil semangat dan cita-cita besar ummat Islam terdahulu untuk disambung kita pada hari ini. Maka cita-cita ini perlu disulamkan dengan keinginan untuk berjuang dan berkorban untuk agama, bangsa dan negara. Maka inilah semangat HIJRAH yang perlu kita tonjolkan.

Memperlihatkan kedatangan Awal Muharam ini dengan serangan musuh Islam terhadap ummat Islam di Palestin, maka kita sebagai ummat Islam yang prihatin haruslah bersama-sama untuk:

  1. Menanamkan kecintaaan dan kasih sayang kepada agama yang merupakan nikmat yang paling besar dalam kehidupan;
  2. Membangunkan wihdatul fikri (kesatuan fikiran) di kalangan ummah demi mempertahankan kemurnian Islam;
  3. Menjadikan institusi rasmi agama sebagai tempat rujukan umat Islam demi mengelak daripada terpengaruh dengan pandangan yang songsang; dan
  4. Memantapkan pendidikan Islam di kalangan ummah dengan tasawwur Islam yang jelas.


Kekuatan aqidah dan keyakinan seseorang diukur pada saat krisis dan susah. Inilah yang telah ditonjol dan diteladankan oleh para sahabat Rasulullah s.a.w. Namun pada hari ini, kebanyakan orang hanya ingin bersama apabila datang kesenangan dan lari bertempiaran apabila ditimpa kesusahan.

“Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik dari semalam, rugilah dia hari ini jika sama dengan semalam dan celakalah dia apa bila hari ini lebih buruk dari sekarang.”

Inilah masanya untuk kita sama-sama bermuhasabah. Adakah kita mengambil semangat pengorbanan Baginda Rasulullah s.a.w sebagai cerminan diri kita atau keseronokan sambutan tahun baru sebagai sebahagian dari budaya dan agenda utama setiap tahun. Setiap saat masa kita bertambah, maka semakin kuranglah hayat hidup kita di dunia. Beringatlah dan TUNE-kan diri kita.

emel: kamyghebat@yahoo.com
blog: http://kamarulazami.blogspot.com

IQ Class Management
emal: iqclassmanagement@yahoo.com
blog: http://iqclassmanagement.blogspot.com

Friday, January 2, 2009

Dengan Kuasa yang Hebat, Datang Tanggungjawab yang Berat

Aku teringat kata-kata ini sebaik sahaja aku selesai solat Maghrib berjemaah di masjid. Aku teringat sangat bila belum pun sampai sehari kita sambut tahun baru 2009, macam-macam berita kita dengar di televisyen tentang remaja kita. Apalah nak jadi agaknya.

Kata-kata "Dengan Kuasa yang Hebat, Datang Tanggungjawab yang Besar' ni sudah 2 kali aku dengar. Sekarang aku sedar dan faham mengapa aku selalu menangis dan perasaan aku terlalu sebak dan takut ketika aku nak keluar dari dewan graduasi aku dulu di UIA. Bila kita banyak ilmu, maka banyak lah tanggungjawab kita kepada masyarakat.

2 kali aku dengar perkataan ini diungkap dalam 'movie' yang mahsyur. Pertama dalam Spiderman dan yang kedua dalam Kungfu Hustle. Ia ibarat mengingatkan aku bahawa tanggungjawab yang paling besar diberikan kepada khalifah untuk mentadbir bumi ini ialah ilmu yang tidak ada pada makhluk lainnya.

Dek kerana itu, kita sering diingatkan oleh Allah untuk terus berfikir, berfikir dan berfikir. Maka fikirkanlah, adakah ilmu yang kita punyai ini mendapat rahmat untuk kita sendiri dan adakah ia memberi manfaat kepada orang lain.

Justeru, aku pun terus teringat dan terkait dengan apa yang diumumkan dalam berita pada hari tahun baru kelmarin. Pada malam tu aku bertolak balik dari Gombak menghadiri usrah PEPIAS pusat dan pada malam yang samalah keadaan dan kejadian itu berlaku. Sedihnya...

Sahabat-sahabat seperjuanganku...

Teruskanlah berdakwah kepada masyarakat, apa yang penting ialah sedarkan mereka, berikan mereka peringatan, jangan biarkan mereka lupa, padah akibatnya bukan untuk mereka sahaja, bahkan anak cucu cicit kita juga nanti.

TUNE diri kita