Monday, November 24, 2008

PEKERJAAN SEBAGAI AMANAH ALLAH: DEDIKASI, DETERMINASI DAN DISIPLIN

Semua orang bekerja samaada menjadi pekerja atau majikan pekerja. Pada asasnya, pekerjaan adalah aktiviti wajib dilakukan oleh seorang manusia bagi memastikan diri mereka memperoleh pendapatan yang akan digunakan untuk menyara kehidupan mereka serta keluarga saraan mereka. Kehidupan sebegini adalah satu perjalanan hidup yang biasa berlaku kepada manusia. Dek kerana kebiasaan tadi, maka manusia lupa kepada asas dan matlamat sebenar pekerjaan mereka. Bangun pagi dan buka sahaja mata, maka bermulalah hari bekerja seperti biasa.

Kehidupan yang biasa ini pada umunya adalah tidak wujud dalam kehidupan seorang Muslim Mukmin. Ini kerana sebagaimana pesanan Baginda Rasulullah iaitu seorang manusia yang terbaik adalah hari ini lebih baik dari semalam dan hari esok lebih baik dari hari ini. Adakah ini berlaku kepada kita? Sebaliknya yang berlaku adalah hari-hari sama seperti semalam. Nabi juga ada bersabda bahawa mereka yang hari ini sama seperti semalam adalah mereka yang lalai. Hasil kajian psikologi ada menyebut, apabila kita membuat sesuatu kerja yang sama secara kerap lebih dari enam kali, kita akan mula melupakan matlamat sebenar apa yang kita lakukan.

Perjelaskan Matlamat
Beberapa perkara perlu dilakukan bagi memastikan kita terus komited dalam melaksanakan tugas masing-masing. Ia perlulah bermula dengan merubah pandangan hidup kita terhadap pekerjaan. Pertama, pekerjaan kita adalah sumber rezeki yang ditentukan oleh Allah s.w.t. Ia perlulah mendapat keberkatan dan diredhai Allah. Kedua, kerja ini amanah Allah untuk kita tetapi bukanlah beban. Ia perlu dilaksanakan dengan sempurna kerana kita akan disoal atas apa yang kita kerjakan terhadap amanah kita. Terakhir pula kite perlu jelas bahawa kerja kita adalah ikhlas kerana Allah untuk kebaikan masyarakat dipersekitaran kita.

Wujudkan suasana mahabbah
Pesanan Baginda Rasulullah kepada umat Islam harus kita perhalusi sebaik mungkin. Baginda berpesan agar kita umat manusia tidak saling memutuskan silaturrahim kerana bagi mereka yang memutuskan silaturrahim, maka akan putuslah rahmat Allah kepadanya. Suasana mahabbah dalam organisasi merupakan satu keperluan untuk memastikan kita dapat bekerjasama dengan baik. Prinsip 4KA perlulah diperhalusi dan diterapkan dalam pasukan kita. 4K mewakili kebersamaan, kepercayaan, keterbukaan dalam kerahsiaan dan A mewakili 'adabul ikhtilaf'. Maka, untuk menanam prinsip ini ia harus bermula dengan saling mengenali antara satu sama lain. Hati yang terbuka untuk menerima kekuatan dan kelemahan seseorang. Terimalah mereka seadanya.

Memahami pekerjaan sebagai amanah adalah sangat penting dalam usaha untuk melahirkan pekerja yang dedikasi, determinasi dan disiplin. Dedikasi bermaksud keupayaan setiap individu dalam organisasi untuk melakukan tugas masing-masing dengan sebaik mungkin. Determinasi pula ialah keupayaan mereka untuk melakukan tugas sehingga sanggup berkorban apa sahaja asal yang penting tugas mereka dapat selesai dan capai yang terbaik. Manakala disiplin ialah satu keupayaan yang membentuk sikap, jatidiri serta pendirian yang tetap dalam tugas.

Untuk melahirkan pekerja yang sebaik ini maka wajarlah ia dimulai dengan penjelasan matlamat. Ini kerana matlamat itu ibarat cita-cita. Kejayaan akan hadir dengan usaha dan usaha tidak akan terbentuk dalam minda kita jika tidak bermula dengan cita-cita. Pemurnian matlamat ini pula perlu disusuli dengan emosi yang stabil dan kerohanian yang mantap. Peranan ini perlu dimainkan oleh setiap peringkat dalam organisasi. Jika subur suasana yang muhibbah dalam organisasi, pastinya segala pekerjaan dapat dilakukan dalam keadaan yang terbaik, tenang dan bersama-sama berbanding dalam keadaan tegang.

MOTIVASIKAN AL-QURAN KEPADA ANAK-ANAK

Pada hari ini pelbagai keadaan dan situasi yang kita sama-sama perhatikan sebagai gejala yang merisaukan dan keadaan yang agak meruncing berlaku dikalangan remaja dan anak muda di Malaysia. Mereka dikatakan terjebak dengan pelbagai gejala sosial yang berlaku pada hari ini. Kecenderungan anak muda hari ini juga begitu terdedah kepada budaya-budaya dari barat yang juga kini sudah menjadi ‘sub-budaya’ dalam budaya ketimuran kita. Bagaimanakah ini boleh berlaku? Mengapa ini berlaku? Saya percaya terdapat beberapa faktor utama yang menjadi asas kepada permasalahan ini dan kurangnya kesedaran dan kepercayaan kita kepada agama.

Musuh-musuh Islam telah lama mendambakan keadaan dan situasi begini dalam umat Islam. Semua umat manusia tahu dan mempercayai bahawa Islam bangkit bersama kelompok muda yang bertenaga, bersemangat, berani dan berilmu dalam hal-hal yang berkaitan ketenteraan, dan serta ketuhanan. Kita lihat apa yang ada pada Baginda Rasulullah sendiri dan siapa yang bersama Baginda. Kemudian lahir zaman sahabat, tabi’ tabi’in dan seterusnya sehinggalah ke zaman kegemilangan khalifah Islam. Lahir ramai cendikiawan, ilmuwan dan sarjana-sarjana pemikir yang hebat sehinggakan pandangan dan ideologi yang mereka cipta digunapakai sehingga hari ini. Jika kita ingin melihat mereka sekali lagi pada hari ini adalah seakan mustahil. Mengapa begitu?

Jika diteliti kehadiran dan pembinaan individu dalam sejarah ini, pastinya kita akan mengkagumi dan membayangkan, ‘kalaulah aku begini’, pasti ia adalah cita-cita kita bersama. Semenjak mereka berada di dalam umur kanak-kanak, Al-Quran sudah berada di dalam hati mereka. Bukan sekadar hafazan bahkan mereka mampu untuk mentafsir dan menjadikan Kitab Al-Quran itu sebagai rujukan teras dalam setiap pendidikan dan pembelajaran mereka. Adakah ia berlaku kini?

Al-Quran hanya dibaca pada ketika datangnya Ramadhan dan lebih malang lagi, hanya sekadar dibaca apabila kita teringat untuk baca? Jika ia dibacakan setiap hari pun, adakah kita menjadikan Al-Quran itu sebagai sumber rujukan asas kita? Pastinya tidak. Oleh itu kita harus sedar, punca kejatuhan akhlak remaja dan belia hari ini adalah berpunca dari sifat lalai kita untuk mengingatkan serta pembuktian bahawa musuh-musuh Islam telah berjaya merosakkan pemikiran mereka dengan 6S iaitu pawagam (screen), lagu (song), sukan (sport), asap (smoke), seks (sex) dan pesanan ringkas (sms). Apa peranan kita.

Peranan pertama ialah, kita harus memberikan perhatian sepenuhnya kepada generasi muda ini. Penuhi keperluan rohani mereka dan arahkan emosi mereka berdasarkan bimbingan inetelektual yang kuat serta bertunjangkan rohani yang berpegang kepada tali Allah. Sudah tiba masanya pepatah melayu ‘jangan jaga tepi kain orang’ ini diperjelaskan semula. Mungkin dalam soal yang memalukan dan membuka aib orang lain ia boleh digunakan tetapi bukan dengan cara menidakkan atau tidak memandang kepada kejahilan, kerosakan dan maksiat yang berlaku dikalangan anak muda remaja kita.

Peranan kedua ialah dengan memberikan kepada remaja kita pendidikan yang baik terutamanya berkenaan dengan pendidikan mendalam atau jelas tentang Al-Quran. Apabila remaja hari ini semakin jauh dari Al-Quran, maka mereka telah merasakan bahawa, agama adalah sesuatu yang berbeza dari kehidupan maka lahirlah pemikiran-pemikiran liberal dan sekular. Ia amat berbahaya. Maka kita wajar untuk kembalikan agama dalam hati mereka.

Peranan yang terakhir adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk membuangkan berhala-berhala besar dalam hati mereka. Menurut Dr. Mustafa Mahmood, berhala-berhala ini dikenali juga sebagai berhala moden. Berhala yang menyebabkan manusia ini menggantikan Tuhan di dalam hati dengan kekayaan, pangkat, kedudukan dan kemudahan diri sendiri tanpa memikirkan keperluan orang lain.

Banyak lagi peranan kita yang perlu diberikan perhatian tetapi kita haruslah bermula dengan yang hampir dan mudah untuk kita. Apabila kita bercakap, telinga yang paling hampir adalah telinga kita, maka kitalah yang paling wajar untuk memulakannya. ‘TUNE’-lah diri kita bersama.




kamyghebat@yahoo.com
http://kamarulazami.blogspot.com
019 277 0412 / 012 689 1738

Friday, November 14, 2008

KENAPA SAYA PERLU MENJADI FASILITATOR?

Apabila kita fikirkan bersama, keprihatinan masyarakat pada hari ini adalah amat kurang. Peningkatan gejala sosial semakin meningkat dan amat meruncing. Pelbagai cerita dan khabar yang telah kita dengari dan khuatiri. Apa peranan kita? Adakah kita hanya ingin mendengar dan melihat tetapi tidak mahu turut sama membantu? Masyarakat hari ini sudah hilang rasa peduli mereka kepada msayarakat. Mereka tidak berminat untuk mengambil tahu tentang masalah orang lain dan hanya menumpukan perhatian kepada kehidupan secara individu. Akhirnya ia melahirkan masyarakat yang individualistik dan materialistik.

Apa itu fasilitator?
Fasilitator datangnya dari perkataan Bahasa Inggeris 'facilitator'. Ia adalah kata terbitan dari kata dasarnya 'facilitate'. Secara bahasanya ia membawa maksud kemudahan, bantuan atau membantu. Ia juga dikenali sebagai pemudahcara, pembimbing dan banyak lagi istilah yang digunakan. Fasilitator adalah contoh, pencetus, motivator, provokator dan pelbagai peranan lagi. Ini menjadikan seorang fasilitator itu, perlu mempunyai ilmu pengetahuan yang amat luas dalam pelbagai bidang khususnya kemahiran hidup. Fasilitator akan dipertanggungjawabkan kepada 3 perkara iaitu LDK, objektif dan simulasi.

Persoalannya, siapa dan mengapa perlu menjadi fasilitator? Tentunya fasilitator mempunyai peranan besar dalam menjalankan tanggungjawab ini.

Siapa yang perlu menjadi fasilitator?
Firman Allah dalam Al-Quran surah Ali-Imran ayat 110 bermaksud: "Kamu adalah umat yang terbaik yang lahir dari kalangan insan. Mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah". Tidak disebutkan disini sebarang bangsa atau masyarakat yang akan memikul amanah ini. Mereka yang menjalankan 3 tanggungjawab tersebut adalah yang terbaik di sisi Allah. Adakah kita tidak mahu jadi sebahagian darinya?

Mengapa saya perlu menjadi fasilitator?
Ada beberapa sebab utama mengapa kita perlu menjadi fasilitator yang benar-benar menjadi kesan baik kepada orang lain iaitu;

Tanggungjawab dan amanah Khalifah
Tanggungjawab khalifah ini ialah memastikan keamanan dan ketenteraman wujud di atas muka bumi ini. Sebagai khalifah, kita wajib memberikan terbaik agar kehidupan di dunia ini adalah bekalan untuk ke akhirat. Tanggungjawab khalifah ada 2 yang utama iaitu Hablum MinAllah (hubungan dengan Allah) dan Hablum Minannaas (hubungan dengan manusia). Berhubung dengan Allah merupakan sifat kehambaan yang tertanam di dalam sanubari kita sebagaimana firman Allah, "Tidak Aku ciptakan manusia dan jin melainkan untuk menyembah Aku".

Berhubung dengan manusia pula, inilah amanah khalifah yang diberikan. Pertama ialah kerana kita telah diwajibkan menjadi Da'ie. Da'ie berasal dari perkataan arab yang membawa maksud menyeru. Firman Allah dalam Al-Quran dalam surah Al-Nahl yang bermaksud; "Serulah semua manusia kepada jalan Tuhanmu dengan hikmat dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik".

Kedua ialah kerana kita perlu menjadi mahasiswa yang punya idealisme. Mempunyai idealisme bermaksud memahami keperluan setempat, berusaha memenuhi disamping mempunyai visi dan misi yang jelas terhadap hidup diri serta masyarakat kita. Kita perlu tahu kenapa kita menjadi mahasiswa dan kita perlu tahu mengapa kita terlalu penting untuk masyarakat. Mahasiswa yang tidak punya idealisme merupaka mahasiswa yang mati rasa kepeduliannya terhadap masyarakat mereka.

Ketiga ialah kerana kita pelu mengukuhkan keseimbangan daya intelektual dan emosi berdasarkan kepada keadaan semasa. Hari ini lahir terlalu ramai cerdik pandai tetapi mereka tidak berupaya untuk melatih serta menyeimbangkan emosi mereka dengan keadaan semasa. Kesannya, kerajaan telah berjaya melahirkan ramai teknokrat dari bidang yang pelbagai. Mereka adalah individu mahir dengan pekerjaan masing-masing, sejak diperingkat IPT telah disogokkan dalam pemikiran, belajar untuk mencari pekerjaan. Dek kerana sibuk dengan tugasan sehinggakan mereka hidup secara bersendirian atau individualistik.

Keempat ialah kerana kita memerlukan kekuatan rohani bagi mendepani isu-isu pelbagai yang berkaitan dengan pegangan dan kepercayaan. Kita harus ingat bahawa kehidupan kita dianugerahkan oleh Allah s.w.t. Kita memerlukan agama dan agama tidak memerlukan kita. Kekuatan rohani inilah keupayaan yang mampu menghalang kita dari melakukan perkara-perkara terlarang dan berdosa.

Kelima pula ialah kerana kita memerlukan daya kerja aktivis yang benar-benar ikhlas untuk berbakti kepada agama bangsa dan negara. Aktivis sebegini tidak ramai kerana ia kerja yang memenatkan dan tidak mendapat upah yang lumayan. Ingatlah kita kepada hadis Nabi yang bermaksud; "Apabila mati seorang anak Adam, akan terputuslah dunia daripadanya kecuali 3 iaitu doa anak yang soleh, sedekah amal jariah dan ilmu yang bermanfaat".

Ingatkanlah, kita akan meninggalkan zuriat dan generasi baru akan datang. Jika mereka tidak disediakan maka, siapa pula akan menyediakan mereka? Kalau bukan sekarang bila lagi, kalau bukan kita siapa lagi. Jadilah generasi yang terbaik, sentiasa mengajak kepada kebaikan dan cegahlah kemungkaran. Moga-moga, keimanan kita bertambah dan percayalah bahawa Allah pasti bersama orang-orang yang benar.

PERANAN MAHASISWA DAN KEPEDULIAN SOSIAL

Terdapat persoalan yang perlu kita jawab bersama, mengapa anda ingin jadi mahasiswa? Persoalan ini mungkin pernah ditanya ketika dibangku sekolah lagi. Tetapi pernahkah soalan ini ditanya ketika kita sudah bergelar mahasiswa? Apabila persoalan ini dilontarkan ramai yang menjawab dengan spontan, kerana saya ingin menjadi orang berjaya. Saya ingin jadi orang yang berjasa, berkerjaya, punya masa depan yang cerah serta ramai juga kerana menginginkan kehidupan yang mewah.

Apabila disingkap kewujudan mahasiswa di Malaysia, apakah tujuan Malaysia melahirkan seramai-ramainya graduan universiti dalam dan luar negara adalah tidak lain dan tidak bukan untuk melahirkan seramainya tenaga mahir dalam sektor-sektor pekerjaan, baik dari segi kakitangan awam mahupun swasta. Ini jelas apabila Malaysia sudah berada seiring dengan negara-negara membangun dan maju. Akhirnya, secara tidak langsung, telah terbina dalam minda mahasiswa dan dalam jiwa-jiwa mereka berhala-berhala besar, yang apabila belajar, menjadi mahasiswa, yang memenuhi hati mereka ialah gaji besar, rumah besar, kereta besar serta kehidupan yang mewah.

Peranan 1: Mahasiswa Perlu Trampil dan Wibawa

Ketrampilan mahasiswa merupakan satu persoalan yang besar yang patut kita fikirkan bersama. Bagaimanakah ketrampilan mahasiswa yang wibawa? Adakah dengan berpakaian jubah bertopi pada hari graduasi atau sekadar sama seperti orang lain?

Mahasiswa harus trampil dengan ciri-ciri hebat sebagaimana kita lihat sarjana-sarjana hebat Islam pada satu zaman dahulu. Mereka bukan sahaja menjadi 'icon' bahkan model sehinggakan mereka disebut-sebut namanya sehingga hari ini. Ketrampilan mereka bukan sahaja dari sudut penampilan peribadi seorang tokoh akademik, tetapi wibawa mereka membawa tanggungjawab dan amanah seorang yang berprinsip serta berpegang kepada tali Allah.

Ketrampilan tokoh-tokoh ini lahir dari prinsip keagamaan mereka yang sangat kuat. Kefahaman agama yang mendalam serta meluas. Apa sahaja pengamalan dan kajian mereka akan berasaskan kepada Al-Hak dan kepada-Nya lah mereka akan memohon petunjuk dan pembelajaran. Sejak dari kecil lagi mereka telah berada hampir dengan agama mereka iaitu Islam. Maka tidak hairanlah jika kita lihat hari ini, ramai diantara kita bergelar sarjana, tetapi pencapaian kita sangat jauh ketinggalan dari apa yang mereka perolehi. Kita wajar dan wajib percaya bahawa, ketrampilan yang hebat datang dari kelompok manusia yang berfikir tidak henti-henti dan mencari kebenaran tentang Yang Maha Pencipta.

Kemudian itulah akan wujud wibawa dalam diri setiap anak cucu nabi Adam yang hidup di dunia ini. Apabila Al-Ilah ini telah bertapak dalam hati, hanya DIAlah yang berhak atas manusia, maka apa sahaja yang dilakukan, belajar, bekerja, berfikir, bersosial dan sebagainya hanyalah kerana Allah. Wibawa ini lahir dari jiwa bersih, ikhlas, sifat patuh dan taat yang sangat tinggi pada agama serta perasaan rendah diri kepada sesiapa sahaja yang melihatnya. Wibawa ini berpunca dari sifat hamba manusia kepada Sang Penciptanya. Wibawa ini akan menjadikan seorang mahasiswa yang sentiasa prihatin terhadap persekitarannya. Mengapa begitu? Inilah bukti kata-kata Allah di dalam Al-Quran yang bermaksud:

"Kamu umat terbaik yang dilahirkan dari kalangan manusia. Mengajak kepada perkara kebaikan dan mencegah dar perkara yang mungkar dan beriman kepada Allah".

Apabila kata-kata Allah ini dinilai dengan akal manusia, siapa yang selayaknya digelar umat terbaik? Adakah kita tidak mahu menjadi sebahagian dari mereka? Inilah cabarannya, menjadi mahasiswa yang trampil dan wibawa, mampu untuk menjadi yang terbaik dikalangan yang terbaik serta sentiasa prihatin terhadap persekitarannya, mengajak kepada kebaikan dan mencegah dari yang mungkar serta beriman kepada Allah.

Peranan 2: Cintakan Ilmu dan Kasihkan yang Berilmu

Firman Allah di dalam Al-Quran:

"Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Menciptakan manusia dari tanah".

Ilmu merupakan asas pembentukan jatidiri kita sebagai manusia. Ilmu tidak terhad kepada hal-hal yang berkaitan dengan peperiksaan kita sahaja bahkan apa sahaja yang mungkin menjadi pengetahuan dan iktibar untuk kita. Satu soalan kita perlu lontarkan untuk diri kita, kenapa kita belajar?

Tujuan belajar ialah untuk mengeluarkan diri kita dari keadaan jahil, bodoh atau tidak tahu. Maka, dimana sahaja apabila kita mendengar, melihat, memahami, mahupun mempelajari, kalau ia baru, dan kita baru tahu, maka itulah ertinya belajar. Belajar ini sangat penting terutama untuk pendokong agama, pendakwah muda pada hari ini. Ia juga berkaitan dengan pembudayaan ilmu.

Cintakan ilmu bermakna sentiasa dan berkeinginan untuk belajar, belajar dan belajar. Setiap ruang waktu yang ada akan diisikan dengan aktiviti pembelajaran. Sebagai mahasiswa, cintakan ilmu sahaja tidak mencukupi kerana setiap ilmu yang diperolehi, perlu diamalkan, diajarkan dan disebarkan. Maka barulah keberkatan pada ilmu tadi hadir dalam diri kita. Ilmu tidak berkurangan apabila dicurahkan kepada orang lain, ia bertambah dan akan terus bertambah.

Ilmu juga, bukan sahaja berkaitan dengan pengamalan. Setiap ilmu perlu ada gurunya dan guru itu perlu dirapati dan dikasihi. Inilah yang digelarkan sebagai pembudayaan ilmu. Menghadiri kelas adalah sumber ilmu, kuliah di masjid juga sumber ilmu, bermuzakarah juga sumber ilmu. Pembudayaan ini lebih mudah jika dilakukan dalam bentuk usrah. Usrah, mempunyai elemen lengkap dalam proses kita untuk membudayakan ilmu. Kita berkongsi, bersama beramal serta bersama menuju kepada sumber ilmu.

Peranan 3: Menjadi Ajen Perubah

Apakah perasaan yang digambarkan apabila anda tamat belajar sebagai graduan? Gembira bukan? Selepas Nabi Adam, dianugerahkan ilmu oleh Allah s.w.t, maka darjatnya diangkat, lebih mulia dari semua penciptaan-Nya. Ilmu menjadikan darjat kita lebih tinggi. Tetapi pernah tidak kita terfikir, bahawa setiap ilmu yang kita ada, jika tidak kita amalkan, kita tegakkan, kita sebarkan akan berdosa? Wajarlah sebenarnya kita berfikir, apabila menjadi graduan, semakin banyak ilmu kita, maka semakin banyaklah tanggungjawab kita kepada masyarakat. Ilmu ini diperolehi setiap masa, maka, mungkinkah kita mampu untuk kumpulkan semuanya dan sampaikan semuanya serentak?

Pastinya kita ingat sebuah hadith yang sabdanya bermaksud:

"Terputuslah dunia apabila mati seorang anak Adam itu kecuali 3 padanya iaitu; (1) doa anak yang soleh, (2) sedekah jariah dan (3) ilmu yang bermanfaat".

Bayangkan jika, esok malaikat Izrail datang bertamu, adakah kita telah mempunyai anak yang soleh untuk mendoakan kita? Banyakkah sedekah kita yang telah keluarkan kepada mereka yang selayaknya? Adakah ilmu-ilmu kita telah kita manfaatkan atau orang lain mendapat manfaat darinya? Seorang mahasiswa, dengan yang ilmu yang penuh didada, perlu mengaplikasikan ilmu itu kepada masyarakat sekitarnya, bermula dari keluarga sendiri. Menjadi ajen perubah bermakna, membawa perubahan dan penghijrahan dari kurang baik kepada lebih baik. Ia adalah amanah risalah nabi yang menuntut kita untuk berdakwah kepada setiap manusia yang hampir dengan kita.

Rasa kepedulian kepada sosial adalah rasa yang terbentuk hasil dari jiwa yang subur dan ikhlas berkhidmat kepada Tuhan Maha Penciptanya. Peduli terhadap sosial adalah disebabkan rasa empati terhadap masyarakat. Rasa peduli ini hanya akan wujud dalam masyarakat yang mementingkan kebersamaan, kemasyarakatan dan disokong dengan rasa percaya dan terbuka dalam kelompoknya. Teras kepada pembinaan khayra ummah perlu bermula dari mahasiswa yang berperanan dan terbaik, dari segenap seginya, jasmani, emosi, rohani dan intelektual.

Kesimpulannya, siapa pemuda yang kita lahirkan hari ini, akan membina negara dan masyarakat masa depan. Peranan mahasiswa sebagai orang berilmu sangat penting dalam menbina teras pembentukan khayra ummah. Mahasiswa perlu memperjelaskan matlamat hidup, menjadi mahasiswa yang trampil dan wibawa dalam agamanya, ilmu menjadi teras pembinaan jatidirinya (pembudayaan ilmu), serta menjadi pencetus idea pergerakan dan perkembangan (ajen perubah) dalam masyarakat setempatnya. Sikap yang betul terhadap ilmu akan menjadi ilmu itu sebagai ajen kepada diri. Ilmu sebagai ajen untuk teroka diri, ubah sikap, nilai diri dan evolusi pemikiran kita.

Salam Perjuangan











http://kamarulazami.blogspot.com
kamyghebat@yahoo.com
012-689 1738 / 019-277 0412
Perunding Utama Latihan dan Motivasi IQ Class Management
Exco ABIM Selangor (Pembangunan Sosial)