Friday, October 17, 2008

Sifat Redha

Sifat Redha

Sifat Redha adalah daripada sifat makrifah dan mahabbah kepada Allah s.w.t. Pengetian redha ialah menerima dengan rasa senang dengan apa yang diberikan oleh Allah s.w.t. baik berupa peraturan (hukum) mahupun qada’ atau sesuatu ketentuan daripada Allah s.w.t. Redha terhadap Alla s.w.t. terbahagi kepada dua iaitu:

1. Redha menerima peraturan (hukum) Allah s.w.t. yang dibebankan kepada manusia.
2. Redha menerima ketentuan Allah s.w.t. tentang nasib yang mengenai diri.

1. Redha menerima hukum Allah s.w.t.

Redha menerima hukum-hukum Allas s.w.t. adalah merupakan manifastasi daripada kesempurnaan iman, kemuliaan takwa dan kepatuhan kepada Allah s.w.t. kerana menerima peraturan-peraturan itu dengan segala senang hati dan tidak merasa terpaksa atau dipaksa. Mereka tunduk dan patuh dengan segala kelapangan dada bahkan dengan gembira dan senang menerima syariat yang digariskan oleh Allah s.w.t dan Rasul-NYA adalah memancar dari mahabbah kerana cinta kepada Allah s.w.t dan inilah tanda keimanan yang murni serta tulus ikhlas kepada-NYA. Pada dasarnya segala perintah Allah s.w.t baik yang wajib mahupun yang sunat, hendaklah dikerjakan dengan senang hati dan redha. Demikian juga dengan larangan-larangan Allah s.w.t hendaklah dijauhi dengan lapang dada.

2. Redha dengan Qada’

Redha dengan qada’ merasa menerima ketentuan nasib yang telah ditentukan Allah s.w.t baik berupa nikmat mahupun berupa musibah (malapetaka). Di dalam hadis yang diungkapkan bahawa di antara orang yang pertama memasuki syurga ialah mereka yang suka memuji Allah s.w.t iaitu mereka memuji Allah s.w.t (bertahmid) baik dalam keadaan yang susah mahupun di dalam keadaan yang senang.

Diberitakan Rasulullah s.a.w apabila memperolehi kegembiraan Baginda berkata: “ Segala puji bagi Allah yang dengan nikmat-NYA menjadi sempurnalah kebaikan”. Dan apabila mendatangkan perkara yang tidak menyenangkan, Baginda mengucapkan: “Segala puji bagi Allah atas segala perkara”.

Sikap redha dengan mengucapkan puji dan syukur kepada Allah s.w.t ketika mendapat kesenangan atau sesuatu yang tidak menyenangkan bersandar kepada 2 pengertian:

PERTAMA: Bertitik tolak dari pengertian bahawa sesungguhnya Allah s.w.t memastikan terjadinya hal itu sebagai yang layak bagi diri-NYA kerana DIAlah sebaik-baik Pencipta. Dialah yang Maha Bijaksana atas segala sesuatu.

KEDUA: Bersandar kepada pengertian bahawa ketentuan dan pilihan Allah s.w.t itulah yang paling baik, dibandingkan dengan pilihan dan kehendak peribadi yang berkaitan dengan diri sendiri.

17 Oktober 2008

Thursday, October 16, 2008

RAMADHAN MAKIN JAUH


Alhamdulillah, panjang lagi umur saya ini. Sehingga hari ini, Allah masih beri peluang untuk saya terus berbakti kepada agama, bangsa dan negara. Berbakti? Alahai, kuat sangat ke saya ni berbakti? Itulah persoalan yang saya kena rungkai sendiri. Adakah segala perbuatan dan usaha saya ini untuk agama atau nama saya sendiri? Risaunya...

Terkenang saya pada awal pagi Syawal hari tu.... Ramai orang ke masjid untuk sembahyang raya (solat Aidilfitri)... Seronok dan bersahaja je semua... Saya salah seorang daripada yang ramai-ramai tu... Biasa la... Cuma jadi orang yang biasa je la pi ke masjid tu...

Terdengar laungan takbir... hati saya bergetar... Setiap kali mendengar kalimah Allahu Akbar, saya berkata dalam hati... Maha Besarnya Allah, sungguh hebat ciptaan dan kuasa – NYA... Tiba-tiba hati saya ini bertambah sayu dan menangis... Kenapa saya menangis? Ramai orang mungkin ingatkan orang yang telah mati tidak dapat beraya bersama-sama, tapi bagi saya ini adalah pagi muhasabah yang besar dalam sejarah saya menjadi seorang muslim yang saya harapkan mukmin juga... Saya terfikir, adakah sepanjang Ramadhan saya ini sudah bersedia untuk berhadapan dengan 11 bulan yang akan datang?

Saya terdengar Allahu Akbar lagi, saya terus menangis... Jika pagi ini, saya dan semua jemaah dimasjid ini melaungkan kalimah Allahu Akbar, adakah laungan ini terbukti dengan perbuatan atau hanya adat sahaja? Saya terus menangis... Allahu Akbar... Jika kalimat ini ada di dalam hati ini, nescaya saya takkan mensia-siakan masa muda saya untuk perkara yang kotor dan jijik, lalai dan alpa pada kemudahan dan kemegahan...

Jika kalimah Allahu Akbar ini memayungi pemikiran saya, maka tidak akan ada pemikiran negatif, berprasangka, dan memikirkan sesuatu yang jahat. Tapi malangnya saya terus menangis kerana dapat saya rasakan, bahawa di dalam hati dan akal saya ini belum ada kalimah ini yang dipasakkan... Sebaliknya... berhala besar... BERHALA KEMEGAHAN DUNIA, CINTAKAN DUNIA DAN BERHALA INGINKAN KEMUDAHAN yang akhirnya menyebabkan kita kecundang di sini.

Allahu Akbar, adik-adik dan rakan-rakan saya... Marilah kita belajar dan berusaha untuk menginfakkan diri kita sebaik yang mungkin... menjadi yang terbaik dan lakukan kerja seikhlasnya hanya kerana Allah s.w.t. Berusahalah kita untuk membuang segala berhala yang ada dalam hati kita... Usahlah kita sibukkan diri sangat dengan berhala yang dibina manusia lain, kerana berhala dalam diri kita adalah lebih hampir, lebih besar dan lebih dahulu kita perlu pecahkan. TUNE-lah diri kita bersama....