Wednesday, September 24, 2008

CABARAN DAN PERINGATAN


24 Sptember 2008

Datang lagi hari Rabu untuk kesekian kalinya. Pada malam ini PEPIAS akan berusrah untuk kali terakhir bulan Ramadhan. Kemanakah Ramadhan saya kali ini? Adakah akan terus bersemarak semangatnya selepas Ramadhan atau di malam sepeuluh terakhir ini pun masih lalai dan malas?

Kelmarin, saya mendapat berita kematian ayah kepada Zainuddin... Masya-Allah... Moga Allah menempatkan roh ayahnya bersama-sama orang yang beriman. Kematian demi kematian mendatang dan kelahiran demi kelahiran disambut, manusia masih leka dengan dunianya. Saya? Saya pun serupa dengan mereka, leka dengan keselesaan dan kesejahteraan dunia. Lalai dan masih merasakan masa masih panjang untuk kita. Itu kesilapan besar.

Setiap hari masa amat mencemburui kita, tak kira sama ada kita di angkasa mahupun di bawah tanah. Masa akan terus memburu kita. Bila kita mati? Tak tahu... Allah telah tentukannya untuk kita dan meminta kita untuk bersedia... Adakah kita bersedia? Persoalannya... Mampukah kita pergi menghadap yang Esa sekarang?

Ya Allah, tiada upaya untuk saya, saya tidak takutkan mati tetapi ketakutan saya berpunca dari takutnya dihisab dengan amalan yang sedikit di dunia ini. Hari ini, orang berlumba-lumba mengejar kesenangan di dunia. Semalam saya baca akhbar, cerita tentang Najib. Hebat dan bergaya sebagai Menteri Kewangan yang baru. Tetapi saya berfikir, apakah yang dicari oleh seorang pemimpin sepertinya? Apakah yang saya cari sebagai seorang pemimpin dalam IQ Class Management dan PEPIAS? Jawapannya ialah keredhaan Allah... Susah ke? Sangat susah jika dibandingkan dengan masa kita yang diluangkan untuk NYA...

Manusia mencari kekayaan, katanya untuk lebih mudah menderma dan berbuat amal, tetapi semakin kaya manusia, kini pasti akan ada orang yang semakin miskin... Ia adalah teori ekonomi yang mudah, semakin tinggi permintaan barang A, penggantinya, barang B akan semakin merosot permintaannya. Samalah kan?

Kerana itu, saya berhasrat, saya akan bekerja keras untuk IQ Class Management, bukan untuk mendapat kekayaan, bukan untuk nama dan pangkat, tetapi untuk kebajikan dunia dan akhirat. Biar tak kaya, asal sejahtera, biar tak glamor asal diterima Allah semua amal kita...


Monday, September 22, 2008

RAMADHAN SAYA


Saya mengharap, Ramadhan kali ini memberikan kesan dihati ini. Muhasabah dan mendidik jiwa agar terus kental dalam menjalani hari-hari yang mendatang.

Pelbagai ujian dan rintangan yang datang. Jiwa ini pasti tidak lupa dari perasaan marah dan sedih dengan keadaan berlaku dipersekitaran. Apakan daya kita manusia, sekadarnya kita berusaha, selebihnya diserahkan pada Allah.

Minggu lepas saya dan PEPIAS dijadualkan berprogram di Klang dan Banting. Masya-Allah, perancangannya begitu sempurna. Bermula dengan permuafakatan dan bermesyuarat bersama dengan adik-adik PEPIAS di pejabat saya...

Apabila tiba pada harinya (19 haribulan september)... Semuanya seperti yang tidak di duga. Iftar ABIM dijanjikan 20 orang daripada PEPIAS. Bilangan yang diperlukan lebih dari 50 orang. Mana tidaknya, di daerah Hulu Selangor, diketuai Bapol, 2 program besar yang perlu dirai oleh da'i-da'i muda PEPIAS ini. Perlukan dalam 20 orang katanya. Di Klang (Kem Bumi Jati) perlukan 20 orang juga untuk memenuhi keperluan program di Masjid Jalan Kebun dan Surau Al-Falah Jalan Kebun. Manakala dibanting juga memerlukan lebih kurang 20 orang jua di surau Raudhatul Muttaqin Taman Kemuning.

Ramai yang diperlukan, bila tiba pada harinya, yang ke Klang dan Banting cuma bersedia 11 orang sahaja tidak termasuk pimpinan kanan. Maka timbullah kemarahan dalam diri saya ni. Selepas dilepaskan kemarahan tu timbul rasa bersalah. Maka saya memohon maaf dari orang yang dimarah. Kuasa Allah itu mengatasi segala-galanya... Tiba pada hari kejadian, 20 orang memang cukup ke Hulu Selangor dan yang ajaibnya di Klang dan Banting ada lebih kurang 30 orang dan itu cukup mengagumkan, saya bersyukur, dan barulah saya sedar, kemarahan, mempersalahkan, memperkecilkan adalah satu tindakan yang tidak perlu dalam kita merancangan kerja dakwah, sebaliknya berusaha, berusaha dan berusaha sehinggalah ke waktu akhir adalah ubatnya. Jika ikhlas, sabar dan sentiasa berdoa, Allah pasti membantu.

Satu lagi, jangan cepat mengalah dan mengeluh, sebaliknya tenang dan sentiasa mengharapkan bantuan Allah...

Semoga terus Istiqamah

Thursday, September 18, 2008

Salam Pertemuan

Setiap manusia ini Allah ciptakan dengan pelbagai kelebihan, apa yang perlu untuk kita ialah, perjuangan hidup untuk mendapat keputusan kehidupan akhir yang gembira iaitu di SYURGA. Malangnya, hari ini manusia lebih cenderung untuk menghabiskan masa dengan perkara yang tidak berfaedah dan membuang masa. Bahkan, ia pasti menjanjikan kehidupan yang sukar pada masa yang akan datang, bahkan diakhirat (neraka; nauzubillah).

Jadikanlah diri kita ini insan yang sentiasa berusaha untuk berjaya apabila pulang ke 'kampung halaman kita'. Jadikanlah diri kita sebagai hamba yang beriman, anak soleh, suami mithali serta pemimpin kelompok masyarakat yang tidak berhenti-henti berdakwah, kerana pekerjaan yang paling disukai oleh Allah s.w.t ialah pendakwah.

Salam...