Wednesday, December 31, 2008

SAYA DI UITM SHAH ALAM

Semalam saya berada di UiTM Shah Alam. Hmm... Seronok juga tengok budak-budak baru masuk belajari di UiTM ni. Saya datang sini pun sebab bawa orang rumah untuk mendaftar jadi pelajar baru di Fakulti Pengurusan Perniagaan (semoga isteri saya berjaya). Saya galakkan dia belajar. Nanti saya pula nak buat master. Bila saya tengok pelajar-pelajar yang ramai ni timbul pula persoalan difikiran saya ni, apalah yang tengah mereka fikirkan ek?

Ada ke kerja untuk mereka semua ni?
Apa yang mereka nak jadi lepas belajar nanti?
Kenapa pula saya ni memilih bekerja sendiri berbanding ramai yang pilih bekerja dengan orang

Bukan ke senang kalau saya terus saja bekerja dengan orang, gaji dapat, tak perlu fikir masalah untuk bayar gaji, cari klien, sekarang kan dah susah. Hmm... Ni luahan hati la ni bila dah tertekan dengan keadaan sekarang ni. Pendapatan takde tetapi perbelanjaan macam biasa...

Astaghfirullahal'azhim, beristighfar panjang saya tiba-tiba. Inilah pilihan hidup. Orang akan memilih yang ramai orang buat berbanding yang tidak ramai. Sebab apa? Nak selamat, tanpa difikirkan kebaikan dan keburukannya. Yang selamat pada fikiran orang apa? Kerja gomen kata orang-orang tua.

Setiap diri manusia ini diberikan ruang dan peluang untuk mereka berfikir dan membuat keputusan. Kadang-kadang bila bekerja sendiri rasa macam bagus makan gaji, tapi yang makan gaji pulak rasa bagus kerja sendiri. Hakikatnya, hanya Allah yang tahu apa yang terbaik untuk kita. Tugas kita ialah, terus menghambakan diri pada Allah mohon agar setiap pilihan kita itu dibawah rahmat dan keberkatan-Nya.

Allah tidak membebankan sesuatu itu jika manusia itu tidak mampu untuk menerima bebanan itu. Iman kita akan percaya dan meletakkan ini dalam hati, maka apabila kepercayaan ini berada di dalam hati, tindakan kita akan lebih baik, pemikiran kita akan tertumpun untuk melakukan kerja, mengatasi masalah, berdepan masalah dan berserah kepada Allah. Berimanlah kepada Qada' dan Qadar, kerana semua yang Allah jadikan tiada satu pun yang sia-sia walaupun masa yang telah berlalu untuk kita...

TUNE Diri kita...


Monday, December 29, 2008

FAEDAH PUASA 10 MUHARAM

Dalam bulan Muharram hari yang paling bertuah ialah hari ke-10 atau lebih dikenali dengan nama Hari Asyura'. Pada hari tersebut kita disunatkan berpuasa.

Malah dalam mazhab Imam Hanafi puasa hari ke-10 dalam bulan Muharram ini adalah satu-satunya fardhu puasa yang pertama sebelum difardhukan puasa bulan Ramadhan.

Hadith daripada Aisyah: "Sesiapa ingin berpuasa (sunat 10 Muharram) maka bolehlah dia berpuasa. Dan sesiapa yang tak ingin berpuasa maka boleh dia tinggalkan". Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.

Malah dalam sebuah hadith riwayat Muslim Nabi berpuasa pada 10 Muharram kerana pada hari tersebut diselamatkan Nabi Musa a.s daripada lemas dan juga daripada buruan Firaun.

KELEBIHAN

Baginda bersabda: "Berpuasa sunat pada 10 Muharram akan menghapuskan dosa setahun sebelumnya". Riwayat Muslim.

BEZAKAN PUASA DENGAN ORANG YAHUDI

Oleh kerana orang Yahudi juga berpuasa pada 10 Muharram maka disunatkan umat Islam berpuasa sejak 9 Muharram lagi bagi membezakan dengan puasa orang Yahudi. Hadith ini dikhabarkan oleh Ibnu Abbas dalam sebuah hadith riwayat Muslim dan Abu Daud.

Atau kalau tidak dapat dikerjakan pada 9 Muharram maka boleh juga digandingkan 10 Muharram dengan 11 Muharram.

SEJARAH 10 MUHARRAM

Imam al-Ghazali menyebut dalam kitabnya Mukasyafatul Qulub bahawa pada tarikh tersebut:

1. Terbunuhnya Sayyidina Hussain (cucu Nabi) di Karbala'.
2. Diterima taubat Nabi Adam a.s.
3. Dicipta Adam a.s.
4. Dimasukkan Adam a.s ke dalam syurga.
5. Dicipta arasy, Kursi, langit, matahari, bulan, bintang-bintang.
6. Dilahirkan Nabi Ibrahim a.s.
7. Selamat Nabi Ibrahin daripada api Namrud.
8. Selamat Musa dan pengikutnya.
9. Lemas Firaun.
10. Dilahirkan Nabi Isa a.s.
11. Diangkat Nabi Isa kelangit.
12. Diangkat Nabi Idris ke langit.
13. Mendaratnya kapal Nabi Nuh dengan selamat di atas bukit Judy.
14. Nabi Sulaiman diberi kerajaan yang besar.
15. Dikeluarkan Nabi Yunus dari perut ikan Nun.
16. Nabi Ya'kub dapat melihat kembali selepas daripada menjadi buta.
17. Dikeluarkan Nabi Yusuf daripada telaga buta.
18. Disembuhkan Nabi Ayyub daripada penyakitnya.
19. Hujan yang pertama turun dari langit kebumi.

14 perkara yang sunat dilakukan pada hari Asyura :

1. Melapangkan masa / belanja anak isteri
fadhilat - Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.

2. Memuliakan fakir miskin
fadhilat - Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti

3. Menahan marah
fadhilat - Di akhirat nanti Allah akan memasukkannya ke dalam golongan yang ridha

4. Menunjukkan orang sesat
fadhilat - Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya

5. Menyapu / mengusap kepala anak yatim fadhilat - Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang di sapunya.

6. Bersedekah
fadhilat - Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tak berhenti-henti dari kecil sehingga ia mati. Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.

7. Memelihara kehormatan diri
fadhilat - Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.

8. Mandi Sunat
fadhilat - Tidak sakit (sakit berat)pada tahun itu lafaz niat : sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala.

9. Bercelak
fadhilat - tidak akan sakit mata pada tahun itu

10. Membaca Qulhuwallah hingga akhir seribu kali
fadhilat - Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah diakhirat nanti

11. Sembahyang sunat empat rakaat
fadhilat - Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50 tahun melakukannya. lafaz niat : sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala. Pada rakaat pertama dan kedua selepas fatihah di baca Qulhuwallah sebelas kali.

12. Membaca "has biallahhu wa nik mal wa kila nikmal maula wa nikmannasiru"
fadhilat - Tidak mati pada tahun ini

13. Menjamu orang berbuka puasa
fadhilat - Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.

14. Puasa Niat - Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala.
fadhilat - Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu kali syahid dan diharamkannya daripada neraka.

MENINGKATKAN DIRI SETIAP HARI


Pada hari ini, setiap kali saya melihat berita tersiar, maka akan keluarlah laporan berita tentang kemangkatan Yang DiPertuan Besar Negeri sembilan. Telah 2 hari baginda ini meninggalkan dunia tetapi selama 2 hari itu juga baginda menunggu kepulangan anak-anaknya serta keputusan siapa yang menggantikannya untuk memerintah negeri yang dinamakan Negeri Sembilan.

Kasihan rasanya kepada si raja itu, tetapi itulah kuasa Tuhan tiada siapa yang boleh mengubahnya. Setiap insan yang hidup pasti akan merasai mati. Teringat ketika berbincang dengan rakan saya Johari, dia selalu ulangkan kata-katanya, mati itu adalah kemestian, anda tidak mampu mengubahnya.

Bila pula kita mati? entahlah, tetapi kematian sudah makin menghampiri kita. Ingatlah, kematian akan tiba bila-bila masa, maka teruslah berbuat baik. Kerana kebaikan mungkin kita akan mendapat keuntungan ketika diakhirat kelak. Semalam, saya pergi menonton wayang denga isteri tercinta saya. Cerita Yes Man. Semua perkara yang kita katakan Ya akan menjadi terbaik untuk kita.

Mungkin betullah sebagaimana kata-kata abang Idzhar, kita ini ibarat magnet, jika kita positif, maka kita akan menarik tenaga positif, dan begitu juga sebaliknya. Tetapi apakan daya kita manusia, kita merancang Allah adalah sebaik-baik perancang. Seronok jug cerita tu (boleh la pi tengok) tapi jika kita fikirkan dari sudut pandangan agama kita sekarang, maka Yes Man tu hanya perlu kepada apa yang disuruh dan diperintahkan Allah serta Rasul untuk kita. Itu, mesti dan pasti kerana natijahnya telah pun dijanjikan Allah. Cuma kita je yang meragui.

Moga pengajaran ini akan dibawa sampai bila-bila. Ingatlah semua kita diberikan masa, tetapi adakah kita sentiasa mengingatinya?

TUNE diri kita bersama.


Saturday, December 27, 2008

AWAL MUHARAM

Datang lagi tahun baru kita. Sehingga hari ini pelbagai cita-cita dibentuk dan dicipta hanya untuk memenuhi kehendak dan kemahuan kita. Ingatlah pesan nabi Muhammad s.a.w

"Muslim yang terbaik ialah Muslim yang memberikan manfaat kepada orang lain"

Apa yang telah kita berikan? sabda nabi lagi;

"Apabila mati anak Adam akan terputuslah semua hal dunianya kecuali 3 iaitu:
1. Doa anak yang soleh;
2. Sedekah amal jariah; dan
3. Ilmu yang bermanfaat.

Anak yang soleh ialah anak yang mampu dan sentiasa mendoakan untuk kedua ibu bapanya. Maka mereka ini juga pastilah merupakan anak yang terbaik bukan untuk ibu bapanya sahaja bahkan untuk sesiapa yang mengenali mereka. Anak soleh bukan sahaja berjaya kehidupan di dunia bahkan akhirat. Anak yang soleh ialah anak yang sentiasa cemerlang dalam khidupan mereka dan mereka bukan berada dalam kerugian.

Sedekah ini ialah amalan yang dituntut. Sedekah yang terbaik adalah dengan memberikan apa yang terbaik yang ada pada kita kepada orang lain. Maka ia adalah yang paling baik. Adakah kita telah memberikan masa yang terbaik kita untuk agama, masyarakat atau mungkin keluarga kita sendiri? Fikir-fikirkanlah.

Mereka yang akan lama disoal Allah ialah mereka yang;
1. Tinggi pangkatnya,
2. Banyak ilmunya,
3. Luas pengetahuannya serta,
4. Panjang umurnya.

Adakah ilmu kita telah memberi manfaat kepada orang lain. TUNE-lah diri kita bersama.

Semarakkan semangat dengan datangnya Awal Muharram ini. Bakarkan semangat dengan contoh kesetiaan dan kebenaran Abu Bakar, semarakkan semangat dengan ketegasan dan keluhuran hati Umar Al-Khattab, semarakkan semangat dengan kelembutan dan kesabaran Uthman bin Affan, dan semarakkan semangat dengan ketinggian ilmu dan pekerti Ali Karamallahu Wajhah

Monday, December 22, 2008

BERFIKIR KE HADAPAN, BERKONGSI CITA-CITA

Setiap dikalangan kita akan pasti ada cita-cita dan pastinya akan ada kemahuan. Untuk makan, untuk hidup, hidup senang dan bermacam-macam kemahuan. da ketikanya, kita akan sanggup lakukan apa sahaja demi mencapai cita-cita kita. Sebagai manusia, memenuhi kemahuan ini adalah salah satu tugas yang kita lakukan hari-hari. Bukan setakat kemahuan kita sahaja bahkan kemahuan semua orang yang ada bersama kita. Kemahuan bos kita, rakan-rakan sejawat kita, anak-anak kita dan banyak lagi orang yang bersama dengan kita. Susah juga la nak penuhkan hati manusia ini sebab nafsu manusia ini tiada sempadan. Hari ini kita dapat motorsikal, esok kita nak kereta VIVA, lusa kita nak pakai saga dan sampai sudahnya kita nak BMW plak.

Beginilah kita setiap hari, sentiasa memberikan keutamaan kepada apa yang kita mahu sehinggakan kita hanya fikirkan keuntungan diri sendiri sahaja. Sebagai insan, kita seharusnya melihat ini sebagai satu ujian dari Allah. Ujian yang besar untuk melihat apa yang menguasai hati dan fikiran mereka. Siapa dan apa yang dibesarkan di dalam hati mereka? Adakah besarnya kereta dalam hati, atau besarnya duit dalam hati atau adakah besarnya Allah dalam hati?

Kita harus fikirkan kepentingan kita juga orang lain. Islam menganjurkan untuk kita menjalankan pekerjaan dengan mengambil kira kebaikan dan kesan kepada manusia lain. Kita harus berfikir kehadapan bukan hanya untuk keuntungan kita bahkan manfaat untuk masyarakat. Jangan timbulkan ketamakan dalam hati kita dan lakukanlah untuk kebaikan bersama.

Kongsikan cita-cita agar orang lain gembira bersama dengan kita, kongsikan pengalaman gembira agar orang lain turut ceria, tetapi jangan lupa juga untuk kita turut menceritakan kegembiraan yang HAKIKI agar orang turut terhibur dan ingin bersama dengan kita.

Thursday, December 18, 2008

Apa Khabar Semua...

Tentu jawapannya ialah HEBAT!

Adik-adik ku sekalian, telah lama saya tidak berkunjung ke sini, pastinya semua tertunggu-tunggu apa lagi yang ada di IQ Class Management ni.

Dalam tepoh sekarang, adik-adik banyak-banyaklah bermasyarakat, bertemu dengan jiran tetangga dan kawan-kawan dikampus. Kita perlu lebih banyak bersama masyarakat untuk tahu apa yang perlu dalam masyarakat.

IQ Class Management kini dalam agenda untuk bertemu masyarakat seramai yang mungkin. Untuk apa? Untuk menjadi pencetus permikiran masyarakat dalam melakukan tanggungjawab sosial dalam soal pembangunan modal insan. Modal insan adalah perkara utama sekarang, malangnya, modal ini tidak dibentuk dengan keseimbangan IQ, EQ dan SQ. Tugas kita, banyakkan masa bersama masyarakat, bentuk pemikiran untuk membina diri dengan lebih positif, kembalikan hati dan pemikiran masyarakat kepada kepercayaan AGAMA.

Selepas penubuhan Facilitating and Development Team (FaDelaT), nampaknya kita tak berbuat apa-apa, jadi jika ada keperluan dan kemahuan adik-adik untuk menganjurkan apa-apa latihan atau peningkatan, maklumkan, kami sedia untuk mendapatkan ruang untuk pembinaan diri anda.

Menjelang tahun 2009, saya merangka untuk membuat beberapa perkara berhubung dengan FaDelaT ini, tetapi ia belum dibincangkan lagi kepada rakan-rakan Perunding IQ Class Management, hanya sekadar lontaran idea gar kita boleh menggerakkan...

Sasaran: Menyusun Misi dan Visi FaDelaT
Tindakan: Mengumpulkan Fasilitator Berpengalaman FaDelaT
- Membentuk organisasi
- merangka modul baru
- merancang latihan ahli baru

Semoga usaha ini mendapat keberkatan. Jika ada sebarang maklumbalas, sila sumbangkannya di sini atau emailkan kepada iqclassmanagement@yahoo.com atau kamyghebat@yahoo.com.

Terima kasih.

Monday, November 24, 2008

PEKERJAAN SEBAGAI AMANAH ALLAH: DEDIKASI, DETERMINASI DAN DISIPLIN

Semua orang bekerja samaada menjadi pekerja atau majikan pekerja. Pada asasnya, pekerjaan adalah aktiviti wajib dilakukan oleh seorang manusia bagi memastikan diri mereka memperoleh pendapatan yang akan digunakan untuk menyara kehidupan mereka serta keluarga saraan mereka. Kehidupan sebegini adalah satu perjalanan hidup yang biasa berlaku kepada manusia. Dek kerana kebiasaan tadi, maka manusia lupa kepada asas dan matlamat sebenar pekerjaan mereka. Bangun pagi dan buka sahaja mata, maka bermulalah hari bekerja seperti biasa.

Kehidupan yang biasa ini pada umunya adalah tidak wujud dalam kehidupan seorang Muslim Mukmin. Ini kerana sebagaimana pesanan Baginda Rasulullah iaitu seorang manusia yang terbaik adalah hari ini lebih baik dari semalam dan hari esok lebih baik dari hari ini. Adakah ini berlaku kepada kita? Sebaliknya yang berlaku adalah hari-hari sama seperti semalam. Nabi juga ada bersabda bahawa mereka yang hari ini sama seperti semalam adalah mereka yang lalai. Hasil kajian psikologi ada menyebut, apabila kita membuat sesuatu kerja yang sama secara kerap lebih dari enam kali, kita akan mula melupakan matlamat sebenar apa yang kita lakukan.

Perjelaskan Matlamat
Beberapa perkara perlu dilakukan bagi memastikan kita terus komited dalam melaksanakan tugas masing-masing. Ia perlulah bermula dengan merubah pandangan hidup kita terhadap pekerjaan. Pertama, pekerjaan kita adalah sumber rezeki yang ditentukan oleh Allah s.w.t. Ia perlulah mendapat keberkatan dan diredhai Allah. Kedua, kerja ini amanah Allah untuk kita tetapi bukanlah beban. Ia perlu dilaksanakan dengan sempurna kerana kita akan disoal atas apa yang kita kerjakan terhadap amanah kita. Terakhir pula kite perlu jelas bahawa kerja kita adalah ikhlas kerana Allah untuk kebaikan masyarakat dipersekitaran kita.

Wujudkan suasana mahabbah
Pesanan Baginda Rasulullah kepada umat Islam harus kita perhalusi sebaik mungkin. Baginda berpesan agar kita umat manusia tidak saling memutuskan silaturrahim kerana bagi mereka yang memutuskan silaturrahim, maka akan putuslah rahmat Allah kepadanya. Suasana mahabbah dalam organisasi merupakan satu keperluan untuk memastikan kita dapat bekerjasama dengan baik. Prinsip 4KA perlulah diperhalusi dan diterapkan dalam pasukan kita. 4K mewakili kebersamaan, kepercayaan, keterbukaan dalam kerahsiaan dan A mewakili 'adabul ikhtilaf'. Maka, untuk menanam prinsip ini ia harus bermula dengan saling mengenali antara satu sama lain. Hati yang terbuka untuk menerima kekuatan dan kelemahan seseorang. Terimalah mereka seadanya.

Memahami pekerjaan sebagai amanah adalah sangat penting dalam usaha untuk melahirkan pekerja yang dedikasi, determinasi dan disiplin. Dedikasi bermaksud keupayaan setiap individu dalam organisasi untuk melakukan tugas masing-masing dengan sebaik mungkin. Determinasi pula ialah keupayaan mereka untuk melakukan tugas sehingga sanggup berkorban apa sahaja asal yang penting tugas mereka dapat selesai dan capai yang terbaik. Manakala disiplin ialah satu keupayaan yang membentuk sikap, jatidiri serta pendirian yang tetap dalam tugas.

Untuk melahirkan pekerja yang sebaik ini maka wajarlah ia dimulai dengan penjelasan matlamat. Ini kerana matlamat itu ibarat cita-cita. Kejayaan akan hadir dengan usaha dan usaha tidak akan terbentuk dalam minda kita jika tidak bermula dengan cita-cita. Pemurnian matlamat ini pula perlu disusuli dengan emosi yang stabil dan kerohanian yang mantap. Peranan ini perlu dimainkan oleh setiap peringkat dalam organisasi. Jika subur suasana yang muhibbah dalam organisasi, pastinya segala pekerjaan dapat dilakukan dalam keadaan yang terbaik, tenang dan bersama-sama berbanding dalam keadaan tegang.

MOTIVASIKAN AL-QURAN KEPADA ANAK-ANAK

Pada hari ini pelbagai keadaan dan situasi yang kita sama-sama perhatikan sebagai gejala yang merisaukan dan keadaan yang agak meruncing berlaku dikalangan remaja dan anak muda di Malaysia. Mereka dikatakan terjebak dengan pelbagai gejala sosial yang berlaku pada hari ini. Kecenderungan anak muda hari ini juga begitu terdedah kepada budaya-budaya dari barat yang juga kini sudah menjadi ‘sub-budaya’ dalam budaya ketimuran kita. Bagaimanakah ini boleh berlaku? Mengapa ini berlaku? Saya percaya terdapat beberapa faktor utama yang menjadi asas kepada permasalahan ini dan kurangnya kesedaran dan kepercayaan kita kepada agama.

Musuh-musuh Islam telah lama mendambakan keadaan dan situasi begini dalam umat Islam. Semua umat manusia tahu dan mempercayai bahawa Islam bangkit bersama kelompok muda yang bertenaga, bersemangat, berani dan berilmu dalam hal-hal yang berkaitan ketenteraan, dan serta ketuhanan. Kita lihat apa yang ada pada Baginda Rasulullah sendiri dan siapa yang bersama Baginda. Kemudian lahir zaman sahabat, tabi’ tabi’in dan seterusnya sehinggalah ke zaman kegemilangan khalifah Islam. Lahir ramai cendikiawan, ilmuwan dan sarjana-sarjana pemikir yang hebat sehinggakan pandangan dan ideologi yang mereka cipta digunapakai sehingga hari ini. Jika kita ingin melihat mereka sekali lagi pada hari ini adalah seakan mustahil. Mengapa begitu?

Jika diteliti kehadiran dan pembinaan individu dalam sejarah ini, pastinya kita akan mengkagumi dan membayangkan, ‘kalaulah aku begini’, pasti ia adalah cita-cita kita bersama. Semenjak mereka berada di dalam umur kanak-kanak, Al-Quran sudah berada di dalam hati mereka. Bukan sekadar hafazan bahkan mereka mampu untuk mentafsir dan menjadikan Kitab Al-Quran itu sebagai rujukan teras dalam setiap pendidikan dan pembelajaran mereka. Adakah ia berlaku kini?

Al-Quran hanya dibaca pada ketika datangnya Ramadhan dan lebih malang lagi, hanya sekadar dibaca apabila kita teringat untuk baca? Jika ia dibacakan setiap hari pun, adakah kita menjadikan Al-Quran itu sebagai sumber rujukan asas kita? Pastinya tidak. Oleh itu kita harus sedar, punca kejatuhan akhlak remaja dan belia hari ini adalah berpunca dari sifat lalai kita untuk mengingatkan serta pembuktian bahawa musuh-musuh Islam telah berjaya merosakkan pemikiran mereka dengan 6S iaitu pawagam (screen), lagu (song), sukan (sport), asap (smoke), seks (sex) dan pesanan ringkas (sms). Apa peranan kita.

Peranan pertama ialah, kita harus memberikan perhatian sepenuhnya kepada generasi muda ini. Penuhi keperluan rohani mereka dan arahkan emosi mereka berdasarkan bimbingan inetelektual yang kuat serta bertunjangkan rohani yang berpegang kepada tali Allah. Sudah tiba masanya pepatah melayu ‘jangan jaga tepi kain orang’ ini diperjelaskan semula. Mungkin dalam soal yang memalukan dan membuka aib orang lain ia boleh digunakan tetapi bukan dengan cara menidakkan atau tidak memandang kepada kejahilan, kerosakan dan maksiat yang berlaku dikalangan anak muda remaja kita.

Peranan kedua ialah dengan memberikan kepada remaja kita pendidikan yang baik terutamanya berkenaan dengan pendidikan mendalam atau jelas tentang Al-Quran. Apabila remaja hari ini semakin jauh dari Al-Quran, maka mereka telah merasakan bahawa, agama adalah sesuatu yang berbeza dari kehidupan maka lahirlah pemikiran-pemikiran liberal dan sekular. Ia amat berbahaya. Maka kita wajar untuk kembalikan agama dalam hati mereka.

Peranan yang terakhir adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk membuangkan berhala-berhala besar dalam hati mereka. Menurut Dr. Mustafa Mahmood, berhala-berhala ini dikenali juga sebagai berhala moden. Berhala yang menyebabkan manusia ini menggantikan Tuhan di dalam hati dengan kekayaan, pangkat, kedudukan dan kemudahan diri sendiri tanpa memikirkan keperluan orang lain.

Banyak lagi peranan kita yang perlu diberikan perhatian tetapi kita haruslah bermula dengan yang hampir dan mudah untuk kita. Apabila kita bercakap, telinga yang paling hampir adalah telinga kita, maka kitalah yang paling wajar untuk memulakannya. ‘TUNE’-lah diri kita bersama.




kamyghebat@yahoo.com
http://kamarulazami.blogspot.com
019 277 0412 / 012 689 1738

Friday, November 14, 2008

KENAPA SAYA PERLU MENJADI FASILITATOR?

Apabila kita fikirkan bersama, keprihatinan masyarakat pada hari ini adalah amat kurang. Peningkatan gejala sosial semakin meningkat dan amat meruncing. Pelbagai cerita dan khabar yang telah kita dengari dan khuatiri. Apa peranan kita? Adakah kita hanya ingin mendengar dan melihat tetapi tidak mahu turut sama membantu? Masyarakat hari ini sudah hilang rasa peduli mereka kepada msayarakat. Mereka tidak berminat untuk mengambil tahu tentang masalah orang lain dan hanya menumpukan perhatian kepada kehidupan secara individu. Akhirnya ia melahirkan masyarakat yang individualistik dan materialistik.

Apa itu fasilitator?
Fasilitator datangnya dari perkataan Bahasa Inggeris 'facilitator'. Ia adalah kata terbitan dari kata dasarnya 'facilitate'. Secara bahasanya ia membawa maksud kemudahan, bantuan atau membantu. Ia juga dikenali sebagai pemudahcara, pembimbing dan banyak lagi istilah yang digunakan. Fasilitator adalah contoh, pencetus, motivator, provokator dan pelbagai peranan lagi. Ini menjadikan seorang fasilitator itu, perlu mempunyai ilmu pengetahuan yang amat luas dalam pelbagai bidang khususnya kemahiran hidup. Fasilitator akan dipertanggungjawabkan kepada 3 perkara iaitu LDK, objektif dan simulasi.

Persoalannya, siapa dan mengapa perlu menjadi fasilitator? Tentunya fasilitator mempunyai peranan besar dalam menjalankan tanggungjawab ini.

Siapa yang perlu menjadi fasilitator?
Firman Allah dalam Al-Quran surah Ali-Imran ayat 110 bermaksud: "Kamu adalah umat yang terbaik yang lahir dari kalangan insan. Mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah". Tidak disebutkan disini sebarang bangsa atau masyarakat yang akan memikul amanah ini. Mereka yang menjalankan 3 tanggungjawab tersebut adalah yang terbaik di sisi Allah. Adakah kita tidak mahu jadi sebahagian darinya?

Mengapa saya perlu menjadi fasilitator?
Ada beberapa sebab utama mengapa kita perlu menjadi fasilitator yang benar-benar menjadi kesan baik kepada orang lain iaitu;

Tanggungjawab dan amanah Khalifah
Tanggungjawab khalifah ini ialah memastikan keamanan dan ketenteraman wujud di atas muka bumi ini. Sebagai khalifah, kita wajib memberikan terbaik agar kehidupan di dunia ini adalah bekalan untuk ke akhirat. Tanggungjawab khalifah ada 2 yang utama iaitu Hablum MinAllah (hubungan dengan Allah) dan Hablum Minannaas (hubungan dengan manusia). Berhubung dengan Allah merupakan sifat kehambaan yang tertanam di dalam sanubari kita sebagaimana firman Allah, "Tidak Aku ciptakan manusia dan jin melainkan untuk menyembah Aku".

Berhubung dengan manusia pula, inilah amanah khalifah yang diberikan. Pertama ialah kerana kita telah diwajibkan menjadi Da'ie. Da'ie berasal dari perkataan arab yang membawa maksud menyeru. Firman Allah dalam Al-Quran dalam surah Al-Nahl yang bermaksud; "Serulah semua manusia kepada jalan Tuhanmu dengan hikmat dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik".

Kedua ialah kerana kita perlu menjadi mahasiswa yang punya idealisme. Mempunyai idealisme bermaksud memahami keperluan setempat, berusaha memenuhi disamping mempunyai visi dan misi yang jelas terhadap hidup diri serta masyarakat kita. Kita perlu tahu kenapa kita menjadi mahasiswa dan kita perlu tahu mengapa kita terlalu penting untuk masyarakat. Mahasiswa yang tidak punya idealisme merupaka mahasiswa yang mati rasa kepeduliannya terhadap masyarakat mereka.

Ketiga ialah kerana kita pelu mengukuhkan keseimbangan daya intelektual dan emosi berdasarkan kepada keadaan semasa. Hari ini lahir terlalu ramai cerdik pandai tetapi mereka tidak berupaya untuk melatih serta menyeimbangkan emosi mereka dengan keadaan semasa. Kesannya, kerajaan telah berjaya melahirkan ramai teknokrat dari bidang yang pelbagai. Mereka adalah individu mahir dengan pekerjaan masing-masing, sejak diperingkat IPT telah disogokkan dalam pemikiran, belajar untuk mencari pekerjaan. Dek kerana sibuk dengan tugasan sehinggakan mereka hidup secara bersendirian atau individualistik.

Keempat ialah kerana kita memerlukan kekuatan rohani bagi mendepani isu-isu pelbagai yang berkaitan dengan pegangan dan kepercayaan. Kita harus ingat bahawa kehidupan kita dianugerahkan oleh Allah s.w.t. Kita memerlukan agama dan agama tidak memerlukan kita. Kekuatan rohani inilah keupayaan yang mampu menghalang kita dari melakukan perkara-perkara terlarang dan berdosa.

Kelima pula ialah kerana kita memerlukan daya kerja aktivis yang benar-benar ikhlas untuk berbakti kepada agama bangsa dan negara. Aktivis sebegini tidak ramai kerana ia kerja yang memenatkan dan tidak mendapat upah yang lumayan. Ingatlah kita kepada hadis Nabi yang bermaksud; "Apabila mati seorang anak Adam, akan terputuslah dunia daripadanya kecuali 3 iaitu doa anak yang soleh, sedekah amal jariah dan ilmu yang bermanfaat".

Ingatkanlah, kita akan meninggalkan zuriat dan generasi baru akan datang. Jika mereka tidak disediakan maka, siapa pula akan menyediakan mereka? Kalau bukan sekarang bila lagi, kalau bukan kita siapa lagi. Jadilah generasi yang terbaik, sentiasa mengajak kepada kebaikan dan cegahlah kemungkaran. Moga-moga, keimanan kita bertambah dan percayalah bahawa Allah pasti bersama orang-orang yang benar.

PERANAN MAHASISWA DAN KEPEDULIAN SOSIAL

Terdapat persoalan yang perlu kita jawab bersama, mengapa anda ingin jadi mahasiswa? Persoalan ini mungkin pernah ditanya ketika dibangku sekolah lagi. Tetapi pernahkah soalan ini ditanya ketika kita sudah bergelar mahasiswa? Apabila persoalan ini dilontarkan ramai yang menjawab dengan spontan, kerana saya ingin menjadi orang berjaya. Saya ingin jadi orang yang berjasa, berkerjaya, punya masa depan yang cerah serta ramai juga kerana menginginkan kehidupan yang mewah.

Apabila disingkap kewujudan mahasiswa di Malaysia, apakah tujuan Malaysia melahirkan seramai-ramainya graduan universiti dalam dan luar negara adalah tidak lain dan tidak bukan untuk melahirkan seramainya tenaga mahir dalam sektor-sektor pekerjaan, baik dari segi kakitangan awam mahupun swasta. Ini jelas apabila Malaysia sudah berada seiring dengan negara-negara membangun dan maju. Akhirnya, secara tidak langsung, telah terbina dalam minda mahasiswa dan dalam jiwa-jiwa mereka berhala-berhala besar, yang apabila belajar, menjadi mahasiswa, yang memenuhi hati mereka ialah gaji besar, rumah besar, kereta besar serta kehidupan yang mewah.

Peranan 1: Mahasiswa Perlu Trampil dan Wibawa

Ketrampilan mahasiswa merupakan satu persoalan yang besar yang patut kita fikirkan bersama. Bagaimanakah ketrampilan mahasiswa yang wibawa? Adakah dengan berpakaian jubah bertopi pada hari graduasi atau sekadar sama seperti orang lain?

Mahasiswa harus trampil dengan ciri-ciri hebat sebagaimana kita lihat sarjana-sarjana hebat Islam pada satu zaman dahulu. Mereka bukan sahaja menjadi 'icon' bahkan model sehinggakan mereka disebut-sebut namanya sehingga hari ini. Ketrampilan mereka bukan sahaja dari sudut penampilan peribadi seorang tokoh akademik, tetapi wibawa mereka membawa tanggungjawab dan amanah seorang yang berprinsip serta berpegang kepada tali Allah.

Ketrampilan tokoh-tokoh ini lahir dari prinsip keagamaan mereka yang sangat kuat. Kefahaman agama yang mendalam serta meluas. Apa sahaja pengamalan dan kajian mereka akan berasaskan kepada Al-Hak dan kepada-Nya lah mereka akan memohon petunjuk dan pembelajaran. Sejak dari kecil lagi mereka telah berada hampir dengan agama mereka iaitu Islam. Maka tidak hairanlah jika kita lihat hari ini, ramai diantara kita bergelar sarjana, tetapi pencapaian kita sangat jauh ketinggalan dari apa yang mereka perolehi. Kita wajar dan wajib percaya bahawa, ketrampilan yang hebat datang dari kelompok manusia yang berfikir tidak henti-henti dan mencari kebenaran tentang Yang Maha Pencipta.

Kemudian itulah akan wujud wibawa dalam diri setiap anak cucu nabi Adam yang hidup di dunia ini. Apabila Al-Ilah ini telah bertapak dalam hati, hanya DIAlah yang berhak atas manusia, maka apa sahaja yang dilakukan, belajar, bekerja, berfikir, bersosial dan sebagainya hanyalah kerana Allah. Wibawa ini lahir dari jiwa bersih, ikhlas, sifat patuh dan taat yang sangat tinggi pada agama serta perasaan rendah diri kepada sesiapa sahaja yang melihatnya. Wibawa ini berpunca dari sifat hamba manusia kepada Sang Penciptanya. Wibawa ini akan menjadikan seorang mahasiswa yang sentiasa prihatin terhadap persekitarannya. Mengapa begitu? Inilah bukti kata-kata Allah di dalam Al-Quran yang bermaksud:

"Kamu umat terbaik yang dilahirkan dari kalangan manusia. Mengajak kepada perkara kebaikan dan mencegah dar perkara yang mungkar dan beriman kepada Allah".

Apabila kata-kata Allah ini dinilai dengan akal manusia, siapa yang selayaknya digelar umat terbaik? Adakah kita tidak mahu menjadi sebahagian dari mereka? Inilah cabarannya, menjadi mahasiswa yang trampil dan wibawa, mampu untuk menjadi yang terbaik dikalangan yang terbaik serta sentiasa prihatin terhadap persekitarannya, mengajak kepada kebaikan dan mencegah dari yang mungkar serta beriman kepada Allah.

Peranan 2: Cintakan Ilmu dan Kasihkan yang Berilmu

Firman Allah di dalam Al-Quran:

"Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Menciptakan manusia dari tanah".

Ilmu merupakan asas pembentukan jatidiri kita sebagai manusia. Ilmu tidak terhad kepada hal-hal yang berkaitan dengan peperiksaan kita sahaja bahkan apa sahaja yang mungkin menjadi pengetahuan dan iktibar untuk kita. Satu soalan kita perlu lontarkan untuk diri kita, kenapa kita belajar?

Tujuan belajar ialah untuk mengeluarkan diri kita dari keadaan jahil, bodoh atau tidak tahu. Maka, dimana sahaja apabila kita mendengar, melihat, memahami, mahupun mempelajari, kalau ia baru, dan kita baru tahu, maka itulah ertinya belajar. Belajar ini sangat penting terutama untuk pendokong agama, pendakwah muda pada hari ini. Ia juga berkaitan dengan pembudayaan ilmu.

Cintakan ilmu bermakna sentiasa dan berkeinginan untuk belajar, belajar dan belajar. Setiap ruang waktu yang ada akan diisikan dengan aktiviti pembelajaran. Sebagai mahasiswa, cintakan ilmu sahaja tidak mencukupi kerana setiap ilmu yang diperolehi, perlu diamalkan, diajarkan dan disebarkan. Maka barulah keberkatan pada ilmu tadi hadir dalam diri kita. Ilmu tidak berkurangan apabila dicurahkan kepada orang lain, ia bertambah dan akan terus bertambah.

Ilmu juga, bukan sahaja berkaitan dengan pengamalan. Setiap ilmu perlu ada gurunya dan guru itu perlu dirapati dan dikasihi. Inilah yang digelarkan sebagai pembudayaan ilmu. Menghadiri kelas adalah sumber ilmu, kuliah di masjid juga sumber ilmu, bermuzakarah juga sumber ilmu. Pembudayaan ini lebih mudah jika dilakukan dalam bentuk usrah. Usrah, mempunyai elemen lengkap dalam proses kita untuk membudayakan ilmu. Kita berkongsi, bersama beramal serta bersama menuju kepada sumber ilmu.

Peranan 3: Menjadi Ajen Perubah

Apakah perasaan yang digambarkan apabila anda tamat belajar sebagai graduan? Gembira bukan? Selepas Nabi Adam, dianugerahkan ilmu oleh Allah s.w.t, maka darjatnya diangkat, lebih mulia dari semua penciptaan-Nya. Ilmu menjadikan darjat kita lebih tinggi. Tetapi pernah tidak kita terfikir, bahawa setiap ilmu yang kita ada, jika tidak kita amalkan, kita tegakkan, kita sebarkan akan berdosa? Wajarlah sebenarnya kita berfikir, apabila menjadi graduan, semakin banyak ilmu kita, maka semakin banyaklah tanggungjawab kita kepada masyarakat. Ilmu ini diperolehi setiap masa, maka, mungkinkah kita mampu untuk kumpulkan semuanya dan sampaikan semuanya serentak?

Pastinya kita ingat sebuah hadith yang sabdanya bermaksud:

"Terputuslah dunia apabila mati seorang anak Adam itu kecuali 3 padanya iaitu; (1) doa anak yang soleh, (2) sedekah jariah dan (3) ilmu yang bermanfaat".

Bayangkan jika, esok malaikat Izrail datang bertamu, adakah kita telah mempunyai anak yang soleh untuk mendoakan kita? Banyakkah sedekah kita yang telah keluarkan kepada mereka yang selayaknya? Adakah ilmu-ilmu kita telah kita manfaatkan atau orang lain mendapat manfaat darinya? Seorang mahasiswa, dengan yang ilmu yang penuh didada, perlu mengaplikasikan ilmu itu kepada masyarakat sekitarnya, bermula dari keluarga sendiri. Menjadi ajen perubah bermakna, membawa perubahan dan penghijrahan dari kurang baik kepada lebih baik. Ia adalah amanah risalah nabi yang menuntut kita untuk berdakwah kepada setiap manusia yang hampir dengan kita.

Rasa kepedulian kepada sosial adalah rasa yang terbentuk hasil dari jiwa yang subur dan ikhlas berkhidmat kepada Tuhan Maha Penciptanya. Peduli terhadap sosial adalah disebabkan rasa empati terhadap masyarakat. Rasa peduli ini hanya akan wujud dalam masyarakat yang mementingkan kebersamaan, kemasyarakatan dan disokong dengan rasa percaya dan terbuka dalam kelompoknya. Teras kepada pembinaan khayra ummah perlu bermula dari mahasiswa yang berperanan dan terbaik, dari segenap seginya, jasmani, emosi, rohani dan intelektual.

Kesimpulannya, siapa pemuda yang kita lahirkan hari ini, akan membina negara dan masyarakat masa depan. Peranan mahasiswa sebagai orang berilmu sangat penting dalam menbina teras pembentukan khayra ummah. Mahasiswa perlu memperjelaskan matlamat hidup, menjadi mahasiswa yang trampil dan wibawa dalam agamanya, ilmu menjadi teras pembinaan jatidirinya (pembudayaan ilmu), serta menjadi pencetus idea pergerakan dan perkembangan (ajen perubah) dalam masyarakat setempatnya. Sikap yang betul terhadap ilmu akan menjadi ilmu itu sebagai ajen kepada diri. Ilmu sebagai ajen untuk teroka diri, ubah sikap, nilai diri dan evolusi pemikiran kita.

Salam Perjuangan











http://kamarulazami.blogspot.com
kamyghebat@yahoo.com
012-689 1738 / 019-277 0412
Perunding Utama Latihan dan Motivasi IQ Class Management
Exco ABIM Selangor (Pembangunan Sosial)

Friday, October 17, 2008

Sifat Redha

Sifat Redha

Sifat Redha adalah daripada sifat makrifah dan mahabbah kepada Allah s.w.t. Pengetian redha ialah menerima dengan rasa senang dengan apa yang diberikan oleh Allah s.w.t. baik berupa peraturan (hukum) mahupun qada’ atau sesuatu ketentuan daripada Allah s.w.t. Redha terhadap Alla s.w.t. terbahagi kepada dua iaitu:

1. Redha menerima peraturan (hukum) Allah s.w.t. yang dibebankan kepada manusia.
2. Redha menerima ketentuan Allah s.w.t. tentang nasib yang mengenai diri.

1. Redha menerima hukum Allah s.w.t.

Redha menerima hukum-hukum Allas s.w.t. adalah merupakan manifastasi daripada kesempurnaan iman, kemuliaan takwa dan kepatuhan kepada Allah s.w.t. kerana menerima peraturan-peraturan itu dengan segala senang hati dan tidak merasa terpaksa atau dipaksa. Mereka tunduk dan patuh dengan segala kelapangan dada bahkan dengan gembira dan senang menerima syariat yang digariskan oleh Allah s.w.t dan Rasul-NYA adalah memancar dari mahabbah kerana cinta kepada Allah s.w.t dan inilah tanda keimanan yang murni serta tulus ikhlas kepada-NYA. Pada dasarnya segala perintah Allah s.w.t baik yang wajib mahupun yang sunat, hendaklah dikerjakan dengan senang hati dan redha. Demikian juga dengan larangan-larangan Allah s.w.t hendaklah dijauhi dengan lapang dada.

2. Redha dengan Qada’

Redha dengan qada’ merasa menerima ketentuan nasib yang telah ditentukan Allah s.w.t baik berupa nikmat mahupun berupa musibah (malapetaka). Di dalam hadis yang diungkapkan bahawa di antara orang yang pertama memasuki syurga ialah mereka yang suka memuji Allah s.w.t iaitu mereka memuji Allah s.w.t (bertahmid) baik dalam keadaan yang susah mahupun di dalam keadaan yang senang.

Diberitakan Rasulullah s.a.w apabila memperolehi kegembiraan Baginda berkata: “ Segala puji bagi Allah yang dengan nikmat-NYA menjadi sempurnalah kebaikan”. Dan apabila mendatangkan perkara yang tidak menyenangkan, Baginda mengucapkan: “Segala puji bagi Allah atas segala perkara”.

Sikap redha dengan mengucapkan puji dan syukur kepada Allah s.w.t ketika mendapat kesenangan atau sesuatu yang tidak menyenangkan bersandar kepada 2 pengertian:

PERTAMA: Bertitik tolak dari pengertian bahawa sesungguhnya Allah s.w.t memastikan terjadinya hal itu sebagai yang layak bagi diri-NYA kerana DIAlah sebaik-baik Pencipta. Dialah yang Maha Bijaksana atas segala sesuatu.

KEDUA: Bersandar kepada pengertian bahawa ketentuan dan pilihan Allah s.w.t itulah yang paling baik, dibandingkan dengan pilihan dan kehendak peribadi yang berkaitan dengan diri sendiri.

17 Oktober 2008

Thursday, October 16, 2008

RAMADHAN MAKIN JAUH


Alhamdulillah, panjang lagi umur saya ini. Sehingga hari ini, Allah masih beri peluang untuk saya terus berbakti kepada agama, bangsa dan negara. Berbakti? Alahai, kuat sangat ke saya ni berbakti? Itulah persoalan yang saya kena rungkai sendiri. Adakah segala perbuatan dan usaha saya ini untuk agama atau nama saya sendiri? Risaunya...

Terkenang saya pada awal pagi Syawal hari tu.... Ramai orang ke masjid untuk sembahyang raya (solat Aidilfitri)... Seronok dan bersahaja je semua... Saya salah seorang daripada yang ramai-ramai tu... Biasa la... Cuma jadi orang yang biasa je la pi ke masjid tu...

Terdengar laungan takbir... hati saya bergetar... Setiap kali mendengar kalimah Allahu Akbar, saya berkata dalam hati... Maha Besarnya Allah, sungguh hebat ciptaan dan kuasa – NYA... Tiba-tiba hati saya ini bertambah sayu dan menangis... Kenapa saya menangis? Ramai orang mungkin ingatkan orang yang telah mati tidak dapat beraya bersama-sama, tapi bagi saya ini adalah pagi muhasabah yang besar dalam sejarah saya menjadi seorang muslim yang saya harapkan mukmin juga... Saya terfikir, adakah sepanjang Ramadhan saya ini sudah bersedia untuk berhadapan dengan 11 bulan yang akan datang?

Saya terdengar Allahu Akbar lagi, saya terus menangis... Jika pagi ini, saya dan semua jemaah dimasjid ini melaungkan kalimah Allahu Akbar, adakah laungan ini terbukti dengan perbuatan atau hanya adat sahaja? Saya terus menangis... Allahu Akbar... Jika kalimat ini ada di dalam hati ini, nescaya saya takkan mensia-siakan masa muda saya untuk perkara yang kotor dan jijik, lalai dan alpa pada kemudahan dan kemegahan...

Jika kalimah Allahu Akbar ini memayungi pemikiran saya, maka tidak akan ada pemikiran negatif, berprasangka, dan memikirkan sesuatu yang jahat. Tapi malangnya saya terus menangis kerana dapat saya rasakan, bahawa di dalam hati dan akal saya ini belum ada kalimah ini yang dipasakkan... Sebaliknya... berhala besar... BERHALA KEMEGAHAN DUNIA, CINTAKAN DUNIA DAN BERHALA INGINKAN KEMUDAHAN yang akhirnya menyebabkan kita kecundang di sini.

Allahu Akbar, adik-adik dan rakan-rakan saya... Marilah kita belajar dan berusaha untuk menginfakkan diri kita sebaik yang mungkin... menjadi yang terbaik dan lakukan kerja seikhlasnya hanya kerana Allah s.w.t. Berusahalah kita untuk membuang segala berhala yang ada dalam hati kita... Usahlah kita sibukkan diri sangat dengan berhala yang dibina manusia lain, kerana berhala dalam diri kita adalah lebih hampir, lebih besar dan lebih dahulu kita perlu pecahkan. TUNE-lah diri kita bersama....


Wednesday, September 24, 2008

CABARAN DAN PERINGATAN


24 Sptember 2008

Datang lagi hari Rabu untuk kesekian kalinya. Pada malam ini PEPIAS akan berusrah untuk kali terakhir bulan Ramadhan. Kemanakah Ramadhan saya kali ini? Adakah akan terus bersemarak semangatnya selepas Ramadhan atau di malam sepeuluh terakhir ini pun masih lalai dan malas?

Kelmarin, saya mendapat berita kematian ayah kepada Zainuddin... Masya-Allah... Moga Allah menempatkan roh ayahnya bersama-sama orang yang beriman. Kematian demi kematian mendatang dan kelahiran demi kelahiran disambut, manusia masih leka dengan dunianya. Saya? Saya pun serupa dengan mereka, leka dengan keselesaan dan kesejahteraan dunia. Lalai dan masih merasakan masa masih panjang untuk kita. Itu kesilapan besar.

Setiap hari masa amat mencemburui kita, tak kira sama ada kita di angkasa mahupun di bawah tanah. Masa akan terus memburu kita. Bila kita mati? Tak tahu... Allah telah tentukannya untuk kita dan meminta kita untuk bersedia... Adakah kita bersedia? Persoalannya... Mampukah kita pergi menghadap yang Esa sekarang?

Ya Allah, tiada upaya untuk saya, saya tidak takutkan mati tetapi ketakutan saya berpunca dari takutnya dihisab dengan amalan yang sedikit di dunia ini. Hari ini, orang berlumba-lumba mengejar kesenangan di dunia. Semalam saya baca akhbar, cerita tentang Najib. Hebat dan bergaya sebagai Menteri Kewangan yang baru. Tetapi saya berfikir, apakah yang dicari oleh seorang pemimpin sepertinya? Apakah yang saya cari sebagai seorang pemimpin dalam IQ Class Management dan PEPIAS? Jawapannya ialah keredhaan Allah... Susah ke? Sangat susah jika dibandingkan dengan masa kita yang diluangkan untuk NYA...

Manusia mencari kekayaan, katanya untuk lebih mudah menderma dan berbuat amal, tetapi semakin kaya manusia, kini pasti akan ada orang yang semakin miskin... Ia adalah teori ekonomi yang mudah, semakin tinggi permintaan barang A, penggantinya, barang B akan semakin merosot permintaannya. Samalah kan?

Kerana itu, saya berhasrat, saya akan bekerja keras untuk IQ Class Management, bukan untuk mendapat kekayaan, bukan untuk nama dan pangkat, tetapi untuk kebajikan dunia dan akhirat. Biar tak kaya, asal sejahtera, biar tak glamor asal diterima Allah semua amal kita...


Monday, September 22, 2008

RAMADHAN SAYA


Saya mengharap, Ramadhan kali ini memberikan kesan dihati ini. Muhasabah dan mendidik jiwa agar terus kental dalam menjalani hari-hari yang mendatang.

Pelbagai ujian dan rintangan yang datang. Jiwa ini pasti tidak lupa dari perasaan marah dan sedih dengan keadaan berlaku dipersekitaran. Apakan daya kita manusia, sekadarnya kita berusaha, selebihnya diserahkan pada Allah.

Minggu lepas saya dan PEPIAS dijadualkan berprogram di Klang dan Banting. Masya-Allah, perancangannya begitu sempurna. Bermula dengan permuafakatan dan bermesyuarat bersama dengan adik-adik PEPIAS di pejabat saya...

Apabila tiba pada harinya (19 haribulan september)... Semuanya seperti yang tidak di duga. Iftar ABIM dijanjikan 20 orang daripada PEPIAS. Bilangan yang diperlukan lebih dari 50 orang. Mana tidaknya, di daerah Hulu Selangor, diketuai Bapol, 2 program besar yang perlu dirai oleh da'i-da'i muda PEPIAS ini. Perlukan dalam 20 orang katanya. Di Klang (Kem Bumi Jati) perlukan 20 orang juga untuk memenuhi keperluan program di Masjid Jalan Kebun dan Surau Al-Falah Jalan Kebun. Manakala dibanting juga memerlukan lebih kurang 20 orang jua di surau Raudhatul Muttaqin Taman Kemuning.

Ramai yang diperlukan, bila tiba pada harinya, yang ke Klang dan Banting cuma bersedia 11 orang sahaja tidak termasuk pimpinan kanan. Maka timbullah kemarahan dalam diri saya ni. Selepas dilepaskan kemarahan tu timbul rasa bersalah. Maka saya memohon maaf dari orang yang dimarah. Kuasa Allah itu mengatasi segala-galanya... Tiba pada hari kejadian, 20 orang memang cukup ke Hulu Selangor dan yang ajaibnya di Klang dan Banting ada lebih kurang 30 orang dan itu cukup mengagumkan, saya bersyukur, dan barulah saya sedar, kemarahan, mempersalahkan, memperkecilkan adalah satu tindakan yang tidak perlu dalam kita merancangan kerja dakwah, sebaliknya berusaha, berusaha dan berusaha sehinggalah ke waktu akhir adalah ubatnya. Jika ikhlas, sabar dan sentiasa berdoa, Allah pasti membantu.

Satu lagi, jangan cepat mengalah dan mengeluh, sebaliknya tenang dan sentiasa mengharapkan bantuan Allah...

Semoga terus Istiqamah

Thursday, September 18, 2008

Salam Pertemuan

Setiap manusia ini Allah ciptakan dengan pelbagai kelebihan, apa yang perlu untuk kita ialah, perjuangan hidup untuk mendapat keputusan kehidupan akhir yang gembira iaitu di SYURGA. Malangnya, hari ini manusia lebih cenderung untuk menghabiskan masa dengan perkara yang tidak berfaedah dan membuang masa. Bahkan, ia pasti menjanjikan kehidupan yang sukar pada masa yang akan datang, bahkan diakhirat (neraka; nauzubillah).

Jadikanlah diri kita ini insan yang sentiasa berusaha untuk berjaya apabila pulang ke 'kampung halaman kita'. Jadikanlah diri kita sebagai hamba yang beriman, anak soleh, suami mithali serta pemimpin kelompok masyarakat yang tidak berhenti-henti berdakwah, kerana pekerjaan yang paling disukai oleh Allah s.w.t ialah pendakwah.

Salam...