Skip to main content

DAFTAR SEKARANG!

DAFTAR SEKARANG!
Cemerlang Belajar Online, 20 Jun 2021, 9.00 pagi

PANDEMIK COVID19: MUHASABAH SEBAB APA KITA BELAJAR?

Ramai yang mula berasa tertekan dengan keadaan pandemik yang melanda dunia hari ini. Khususnya buat anak-anak kita yang lebih dari separuh tempoh persekolahan mereka membekam di rumah dan diminta untuk belajar menggunakan aplikasi atas talian. Ramai yang bergembira dengan keadaan ini tetapi usah kita tersilap. Gembira mereka bukan kerana dapat meneruskan persekolahan, sebaliknya, tiada lagi disiplin dan peraturan persekolahan yang perlu mereka depani secara harian. Mereka hanya perlu di'lihat' hadir pada kelas maya yang dijalankan atau pun menyiapkan kerja latihan yang diberikan pada bila-bila masa yang mereka mahu lakukan. Tidak kurang yang bersama dalam kelas-kelas maya, yang dihadap lain tetapi yang didengar lain. Beginilah situasi pendidikan dalam keadaan pandemik ini. Norma baharu yang kita terpaksa terima.

Ketika ini, dapatlah para ibu bapa dan penjaga rasakan bagaimana peritnya jiwa para guru dan barisan pendidik yang berhadapan dengan pelbagai karenah anak-anak di sekolah. Ketika di sekolah, bukan hanya seorang, bahkan bilangannya boleh mencecah sehingga 30 ke 35 orang dalam satu masa. Mengajar, mendidik dan membimbing bukan kerja senang tetapi amat mulia. Ibu bapa kini dipaksa untuk bersama anak-anak dan melihat sendiri perkembangan mereka selama hampir setahun. Persoalan yang timbul adalah, bagaimana sistem pendidikan yang kita bangunkan sendiri di rumah? Adakah sama seperti di sekolah dengan menetapkan jadual pembelajaran akademik dan dengan tempoh masa yang tertentu? Mari kita muhasabahkan diri kita, dalam tempoh yang panjang ini dengan tanpa hala tuju peperiksaan kepada anak-anak kita, adakah berbaloi tempoh belajar begitu?

Benar! Akhirnya kita mula memahami yang dijadualkan selama hari ini adalah untuk peperiksaan bukan untuk belajar. Kini, kita sendiri tercari-cari, kenapa pula hendak kita suruh anak kita belajar sedangkan peperiksaan pun tidak pasti untuk mereka. Maka, dengan sendirinya mereka menyatakan, "tak payahlah belajar sebab takde exam". Secara tidak sedar, kita sedang mendoktrinasikan anak-anak bahawa belajar mereka untuk peperiksaan yang akan mereka hadapi. Maka belajar akan ada waktu berhenti iaitu apabila habis peperiksaan itu nanti. Sebenarnya, sistem ini telah meranapkan keperluan utama dalam kehidupan mereka iaitu belajar. Belajar bukan lagi suatu peluang sebaliknya dianggap bebanan yang mahu mereka elakkan.

Sudah tiba masanya kita mengubah premis pembelajaran dalam pemikiran anak-anak serta diri kita sendiri. Belajar adalah proses bukan hasil. Maka pembelajaran tidak seharusnya dinilai kecemerlangannya semata-mata pada berapa markah yang diperolehi. Jumlah markah hanya untuk menentukan kedudukan dan belajar bukan untuk menentukan kedudukan. Tempat pertama atau kedua tidak akan mengubah keadaan apa sekalipun. Sebaliknya, jika mereka tercorot sekalipun dan banyak kertas ujian mereka gagal, tetapi berjaya memahami proses yang dilaluinya sepanjang tempoh pembelajaran itu, menangkap maklumat-maklumat yang sesuai dengan diri pada saat itu walaupun ia tidak berkait langsung dengan akademik itu tadi, maka orang itu juga punya peluang untuk berjaya bahkan mungkin lebih berjaya dari mereka yang mendapat tempat pertama dan kedua.

Belajarlah kerana ia tuntutan dalam kehidupan kita. Belajarlah kerana kita tidak tahu dan kita ingin tahu. Maka pasti belajar itu akan mencerahkan dan akan membuka jalan kepada kebenaran. Sebab itu walau apa halangan dalam hidup ini sekalipun, ia tidak akan mampu menyekat kemahuan belajar anak-anak kita bahkan ia sepatutnya memberi ruang lebih luas kepada anak-anak kita melakukan penerokaan dalam pembelajaran mereka dan untuk penambahan serta percambahan ilmu mereka. Mula perbaiki sebab belajar kita dan kembalikan ia pada lorong yang sepatutnya. Peperiksaan hanya satu ujian yang mesti dilalui tetapi ia bukan penentu kejayaan dalam kehidupan kita selepasnya. Orang yang berjaya adalah orang yang tidak akan berhenti belajar.

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN INTEGRITI DALAM KEPIMPINAN

Insan berintegriti apabila mengamalkan sikap jujur ​​serta menonjolkan daya kepatuhan yang berterusan tanpa kompromi terhadap nilai-nilai dan juga prinsip moral berlandaskan kepada etika sesuatu pekerjaan atau kelompok. Apabila kita merujuk soal etika, integriti di dalamnya adalah kejujuran dan kebenaran atau ketepatan tindakan seseorang. Integriti amat bertentangan dengan kemunafikan, kerana penilaian melalui neraca integriti akan mengambil kira konsistensi dalaman peribadi dengan sifat murnipada masa yang sama dinasihatkan kepada pihak yang memiliki nilai-nilai yang bertentangan dalam diri dan kelompok itu, harus memikirkan soal perbezaan tersebut lalu mengubahnya. Perkataan integriti sebenarnya dikembangkan dari kata asal integer dari perkataan Latin melambangkan satu sifat, yang bermaksud keseluruhan atau lengkap. Maka dari satu sudut pandang dunia kepimpinan, integriti adalah nilai jati diri kepimpinanyang dilambangkan melalui kualiti seperti kejujuran dan sifat ketekalan. Oleh se

KENAPA SAYA PERLU MENJADI FASILITATOR?

Apabila kita fikirkan bersama, keprihatinan masyarakat pada hari ini adalah amat kurang. Peningkatan gejala sosial semakin meningkat dan amat meruncing. Pelbagai cerita dan khabar yang telah kita dengari dan khuatiri. Apa peranan kita? Adakah kita hanya ingin mendengar dan melihat tetapi tidak mahu turut sama membantu? Masyarakat hari ini sudah hilang rasa peduli mereka kepada msayarakat. Mereka tidak berminat untuk mengambil tahu tentang masalah orang lain dan hanya menumpukan perhatian kepada kehidupan secara individu. Akhirnya ia melahirkan masyarakat yang individualistik dan materialistik. Apa itu fasilitator? Fasilitator datangnya dari perkataan Bahasa Inggeris 'facilitator'. Ia adalah kata terbitan dari kata dasarnya 'facilitate'. Secara bahasanya ia membawa maksud kemudahan, bantuan atau membantu. Ia juga dikenali sebagai pemudahcara, pembimbing dan banyak lagi istilah yang digunakan. Fasilitator adalah contoh, pencetus, motivator, provokator dan pelbagai

MEMBUAT KEPUTUSAN DALAM ORGANISASI

Herbert A. Simon menganggap proses membuat keputusan adalah sama dengan keseluruhan proses pengurusan. Pandangan beliau 'Decision making comprises three principal phases: finding occasions for making a decision; finding possible courses of action; and choosing among courses of action.' Membuat keputusan di dalam sesebuah organisasi merupakan sesuatu yang amat penting dalam memastikan kelangsungan organisasi tersebut. Semua kita secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam proses membuat keputusan ini khususnya dalam hal peribadi, keluarga begitu juga dalam situasi bersama rakan-rakan sekerja. Apabila terhidang dihadapan kita beberapa pilihan untuk diambil khusus kepada isu-isu tertentu, pilihan kita itulah yang dikatakan sebagai keputusan. Selagi ia berhenti pada tahap pilihan maka ia belum dinilai sebagai sebuah keputusan. Pilihan adalah alat pandu kepada si pembuat keputusan sesuai dengan objektif yang ingin dicapainya. Pembuat keputusan kebiasaannya adalah mereka yang