Skip to main content

DAFTAR SEKARANG!

DAFTAR SEKARANG!
Cemerlang Belajar Online, 20 Jun 2021, 9.00 pagi

LURUS

Tugas sebagai pendakwah merupakan tugas seorang insan yang lurus. Ya, seperti banyaknya orang berkata mengenai seseorang yang lurus bendul. Apa sahaja yang dilakukannya, tegak sahaja, tiada ke kanan, tidak pula kenal ke kiri apatah lagi bengkang-bengkok seperti dipatuk ular mahupun sepertinya lidah bercabang. Ini sikap yang benar bagi seorang pendakwah apatah lagi apabila gelaran ini dipegang oleh orang muda. Orang muda dikatakan miliki jati diri goyah yang terkejut bila disergah, takut bila dijerkah. Lurus seorang pendakwah bukan pada apa yang orang kata, tetapi lurusnya pada apa yang Allah s.w.t. perintahkan untuknya. Kelurusan inilah yang diistilahkan sebagai 'istiqama'. Kata 'isti' membawa maksud minta dan 'qama' itu lurus. Banyak perkataan solat yang didahului dengan perkataan 'qama' seperti 'iqamah', 'aqimussolah' 'iqamatissolah' dan sebagainya. Apabila ia di dahului dengan perkataan 'qama' bermakna ia merupakan satu penegasan mengenai kepentingan ibadah itu. Bahkan, dalam sedar, kita sering meminta dari Allah s.w.t. untuk 'istiqama' sebagaimana di dalam firman Allah s.w.t. surah yang pertama di dalam Al-Quran ayat ke enam yang bermaksud, "Tunjukkanlah kami jalan yang lurus.".

Imam An-Nawawi menjelaskan di dalam kitabnya Riyadhus Solihin, maksud 'istiqama' adalah sentiasa mengikut ketaatan kepada Allah s.w.t.. Itulah 'istiqama' yang diberikan penekanan di dalam Al-Quran dan hadis Baginda Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam. Semua kita maklum 'istiqama' adalah perkataan yang berasal dari bahasa Arab yang membawa maksud mengikuti suatu jalan dengan tetap dan teguh atau dengan kata lain, berpegang kepada panduan tertentu untuk melakukan sesuatu tindakan dengan konsisten. Imam An-Nawawi di dalam tulisannya membuka lembaran tajuk ini dengan merujuk kepada surah Hud ayat 112 yang bermaksud, "Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang lurus sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan."

Apakah yang telah diperintahkan oleh Allah s.w.t. kepada Baginda Rasul beserta umatnya itu? Segalanya terkandung di dalam Al-Quran mengenai perintah yang diberikan untuk umat Islam menjadi umat yang membenarkan dan melaksana segala yang diperintahkan oleh Allah s.w.t.. Tiada urusan lain melainkan meletakkan Allah s.w.t. sebagai Tuhan sekalian alam dan manusia adalah makhluk yang wajib menyembah Nya. Allah akan memberikan berita gembira kepada mereka yang 'istiqama' sebagaimana yang tercatat di dalam surah Al-Ahqaf ayat 13 hingga 14 yang bermaksud, "Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu), maka tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. Merekalah ahli Syurga, tetap kekallah mereka di dalamnya, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan."

Islam telah disyariatkan oleh Allah s.w.t. sebagai satu disiplin kehidupan yang memerlukan umat manusia itu 'istiqama' dengannya. Ia adalah latihan pembangunan diri yang mapan dan mampu menjadikan manusia itu berada pada tahap terbaik di sisi Allah s.w.t.. Kelurusan hati ini adalah istiqamah itu. Tetap teguh dengan apa yang diperintahkan bahkan menjadikan diri mereka yang istiqamah ini sebagai orang yang berprinsip dan kuat jati diri pegangannya. Latihan itu bermula dari pensyariatan solat, puasa di bulan Ramadhan, pembayaran zakat serta menunaikan haji ke Baitullah di Mekah. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Fussilat ayat 30 hingga 32 yang bermaksud, "Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. "Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh - pada hari akhirat - apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh - pada hari itu - apa yang kamu cita-citakan mendapatnya. "(Pemberian-pemberian yang serba mewah itu) sebagai sambutan penghormatan dari Allah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani!"

Istiqamah bukanlah sesuatu yang perlu ditanggapi dengan mudah. Bahkan, harus difahami bahawa ia adalah jalan yang sukar. Sekiranya tidak ada bersama kita kemahuan dan diperkuatkan dengan bimbingan dan nasihat yang baik, nescaya suatu amal itu amat sukar untuk dipertahankan keistiqamahannya tambahan pula apabila ia adalah suatu kebaikan. Cabarannya bukan hanya sesama manusia bahkan daripada makhluk yang paling istiqamah untuk membawa manusia ke lembah neraka. Keistiqamahan syaitan hanya boleh diatasi dengan istiqamah kita terhadap perintah Allah s.w.t. sama ada perkara itu kecil atau besar kerana keduanya saling bertentangan. Oleh sebab itu, untuk 'istiqama', perlukan bimbingan dan tuntunan hati dari Allah s.w.t.. Maka kerapkanlah berdoa agar kita diganjarkan jiwa yang tetap sebagaiman yang difirmakan di dalam surah Ali Imran ayat yang ke 8 bermaksud, "(Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian Nya."

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN INTEGRITI DALAM KEPIMPINAN

Insan berintegriti apabila mengamalkan sikap jujur ​​serta menonjolkan daya kepatuhan yang berterusan tanpa kompromi terhadap nilai-nilai dan juga prinsip moral berlandaskan kepada etika sesuatu pekerjaan atau kelompok. Apabila kita merujuk soal etika, integriti di dalamnya adalah kejujuran dan kebenaran atau ketepatan tindakan seseorang. Integriti amat bertentangan dengan kemunafikan, kerana penilaian melalui neraca integriti akan mengambil kira konsistensi dalaman peribadi dengan sifat murnipada masa yang sama dinasihatkan kepada pihak yang memiliki nilai-nilai yang bertentangan dalam diri dan kelompok itu, harus memikirkan soal perbezaan tersebut lalu mengubahnya. Perkataan integriti sebenarnya dikembangkan dari kata asal integer dari perkataan Latin melambangkan satu sifat, yang bermaksud keseluruhan atau lengkap. Maka dari satu sudut pandang dunia kepimpinan, integriti adalah nilai jati diri kepimpinanyang dilambangkan melalui kualiti seperti kejujuran dan sifat ketekalan. Oleh se

KENAPA SAYA PERLU MENJADI FASILITATOR?

Apabila kita fikirkan bersama, keprihatinan masyarakat pada hari ini adalah amat kurang. Peningkatan gejala sosial semakin meningkat dan amat meruncing. Pelbagai cerita dan khabar yang telah kita dengari dan khuatiri. Apa peranan kita? Adakah kita hanya ingin mendengar dan melihat tetapi tidak mahu turut sama membantu? Masyarakat hari ini sudah hilang rasa peduli mereka kepada msayarakat. Mereka tidak berminat untuk mengambil tahu tentang masalah orang lain dan hanya menumpukan perhatian kepada kehidupan secara individu. Akhirnya ia melahirkan masyarakat yang individualistik dan materialistik. Apa itu fasilitator? Fasilitator datangnya dari perkataan Bahasa Inggeris 'facilitator'. Ia adalah kata terbitan dari kata dasarnya 'facilitate'. Secara bahasanya ia membawa maksud kemudahan, bantuan atau membantu. Ia juga dikenali sebagai pemudahcara, pembimbing dan banyak lagi istilah yang digunakan. Fasilitator adalah contoh, pencetus, motivator, provokator dan pelbagai

MEMBUAT KEPUTUSAN DALAM ORGANISASI

Herbert A. Simon menganggap proses membuat keputusan adalah sama dengan keseluruhan proses pengurusan. Pandangan beliau 'Decision making comprises three principal phases: finding occasions for making a decision; finding possible courses of action; and choosing among courses of action.' Membuat keputusan di dalam sesebuah organisasi merupakan sesuatu yang amat penting dalam memastikan kelangsungan organisasi tersebut. Semua kita secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam proses membuat keputusan ini khususnya dalam hal peribadi, keluarga begitu juga dalam situasi bersama rakan-rakan sekerja. Apabila terhidang dihadapan kita beberapa pilihan untuk diambil khusus kepada isu-isu tertentu, pilihan kita itulah yang dikatakan sebagai keputusan. Selagi ia berhenti pada tahap pilihan maka ia belum dinilai sebagai sebuah keputusan. Pilihan adalah alat pandu kepada si pembuat keputusan sesuai dengan objektif yang ingin dicapainya. Pembuat keputusan kebiasaannya adalah mereka yang