Peranan ibu bapa penting dalam membantu anak-anak mengenalpasti kawan-kawan mereka di sekolah. Mereka perlu dipersiapkan mental dan emosi agar apa sahaja pengalaman yang dilalui menjadi satu pengajaran dan pembelajaran sepanjang hayat mereka. Ibu bapa seharusnya meletakkan diri di tempat anak-anak berada. Mereka gusar, risau dan yang lebih kasihan banyak yang mereka tidak tahu. Oleh sebab itu, pendekatan keras dengan marah, sekat atau halang anak-anak dari memilih kawan mereka ini adalah pilihan yang terakhir bahkan sebaiknya dielakkan. Ia akan memberikan kesan langsung perhubungan antara ibu ayah dan anak-anak hanya kerana kawan-kawan mereka. Menilai keadaan ini, secara tidak langsung kita juga sedang mendidik anak-anak untuk menjadi seseorang yang mampu menjadi kawan yang terbaik dalam hierarki perkembangan kawan-kawannya yang lain, ia amat membahagiakan.
Terdapat beberapa pencirian yang perlu kita berikan perhatian dalam pendidikan anak-anak kita dan kawan-kawan disekitar mereka. Pertama dari sudut pendidikan yang diterapkan oleh keluarga. Sebagai seorang Muslim, biarlah penerapan pendidikan itu juga dengan cara Islam. Anak yang terdidik dengan cara Islam akan mengetahui pelbagai batasan dalam perhubungan serta memahami boleh tidak sesuatu perkara. Sekurang-kurangnya, apabila hendak melakukan sesuatu yang tidak biasa, akan timbul dalam pemikirannya tentang boleh atau tidak perkara tersebut. Ketika anak kita mula berkawan, adalah penting untuk kita ketahui bagaimana pemahaman agama mereka. Ia dapat dilihat dari sudut pengamalannya seharian serta cara mereka bergaul apabila bertandang ke rumah kita. Solat tiangnya dan solat harus jadi pertimbangan utama. Keringanan diri mereka untuk melakukan ibadah bersama apabila diminta memberikan satu gambaran positif tetapi tiada jaminan yang boleh diberikan kerana segalanya hanya DIA yang tahu.
Kedua dari sudut pemilihan hiburan atau cara mereka menghabiskan masa bersama. Bimbing anak kita untuk memilih corak hiburan yang lebih terkawal dan berakhlak. Berhibur secara berlebihan adalah sesuatu yang amat menggusarkan kita pada hari ini sehingga boleh mendatangkan pelbagai kesan buruk selepasnya. Pendidikan di rumah perlu ada disiplin dari sudut hiburan dengan gajet, membaca, solat berjemaah, membaca Al-Quran, mendengar tazkirah, menonton televisyen dan sebagainya. Keseimbangan ini membolehkan anak kita terkawal dirinya apabila ada larangan untuk mendapatkan hiburan yang berlebihan. Perhatikan siapa kawan-kawan mereka dan bagaimana mereka menghabiskan masa mereka bersama. Apabila anak lelaki meminta izin untuk keluar bersama rakan-rakan mereka, tiada halangan bagi ibu bapa, tetapi harus tahu kemana hala tujunya. "Jom melepak di Starbucks", kata kawannya. Ketika kita mendengarkan cadangan ini apa yang terlintas dalam pemikiran kita? Pada saat itu, melarang adalah sesuatu yang amat pedih untuk anak tadi tetapi nasihat dan peringatan mengenai cara kita menghabiskan nilai kewangan itu perlu ada pertimbangan yang wajar. Ia adalah akibat dari bagaimana anak itu dipertontonkan gaya kehidupan yang bermewah dan bermegah-megahan sehingga ada yang merasakan tempat sebegitu adalah tempat biasa untuk didatangi.
Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam pernah bersabda yang bermaksud, "Tiada suatu pemberian yang diberikan seorang ayah kepada anaknya lebih baik daripada mengajarnya adab yang baik." (Riwayat at-Tirmizi) - Hadis ini menjelaskan ciri yang ketiga iaitu adab atau dalam istilah kemelayuannya, sopan santun. Perasaan kita pasti terguris apabila anak kita menyapa atau menjawab persoalan kita dengan nada tinggi atau mengherdik. Ingatlah, tempat paling dekat untuk mereka pelajari keadaan itu adalah di dalam rumah mereka sendiri. Tetapi, jika kita sedar dan tahu keadaan adalah pelik, tidak mungkin berlaku, waspada kita harus tinggi dan ambil tahu, ada sesuatu yang tidak pada tempatnya. Begitu juga penilaian kita kepada kawan-kawan anak kita. Jika pertemuan kita dengan mereka tidak disapa, ditegur dan tidak bersalaman, maka itu memberikan gambaran awal, bukan memarahi mereka tetapi mengajarkan mereka mengenai adab sopan santun itu. Usaha betulkan itu lebih membahagiakan.
Sebuah kisah yang diceritakan daripada Ibnu Abbas katanya, saya berada di belakang nabi pada satu hari, Baginda bersabda yang bermaksud, "Wahai anak, saya ingin mengajar kamu beberapa perkataan (nasihat): Peliharalah (perintah) Allah, maka Allah akan memelihara kamu dan peliharalah Allah nescaya kamu dapati Allah berada di hadapanmu. Apabila kamu meminta, mintalah kepada Allah dan apabila kamu mohon pertolongan, mohonlah pertolongan Allah. Ketahuilah olehmu, sekiranya umat manusia berpakat untuk memberi manfaat kepadamu, mereka tidak boleh memanfaatkanmu kecuali apa yang ditetapkan oleh Allah untukmu. Demikian juga jika mereka berpakat untuk memudaratkan kamu, mereka tidak akan dapat memudaratkan kamu kecuali dengan apa yang ditetapkan oleh Allah kepadamu, sudah terangkat pena dan sudah kering kertas." (Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi)
Kisah oleh manusia teragung ini amat banyak pengajarannya buat kita orang dewasa khususnya sebagai ibu dan bapa. Tiga pencirian utama itu usahlah sesekali kita jadikan ia bahan leteran, ugutan, marah serta menengking, sebaliknya, berusahalah untuk menyampaikannya dengan cara nasihat. Pilihlah cara yang menyebabkan mereka datang rasa percaya dan menghormati ibu bapa mereka. Sekiranya mereka masih kecil, bermainlah dengan mereka, layani mereka sebagai Baginda melakukannya. Masuk tahap yang kedua, berdamping dan berkawanlah dengan mereka agar lebih akrab perhubungan antara ibu bapa dan anak. Gaya bahasa mesti diperhatikan, jangan sesekali kita mengambil ringan mengenainya. Kerapkanlah ucapan puji-pujian dan penghargaan kepada mereka agar emosi mereka terbentuk secara menyeluruh. Kita amat mengharapkan anak-anak kita menjadi insan-insan yang sentiasa diberikan hidayah daripada Allah s.w.t. sebagaimana kisah Pemuda Kahfi juga sebagai kisah Nabi Ismail alaihissalam. Terkandung di dalam kisah mereka ini pengajaran buat kita sebagai orang dewasa untuk memikirkannya.
Pelbagai kisah yang dapat kita ambil buat bekalan untuk membesarkan anak-anak kita. Sedarlah, zaman mendatang adalah zaman yang amat berbeza dengan zaman kita dibesarkan. Ibu bapa wajib membuat persiapan bukan hanya material, lebih-lebih lagi mental, emosi dan rohani. Cabarannya pasti getir. Jangan kita abaikan nilai komunikasi yang berkesan dalam keluarga. Semakin maju kita semakin ringkas dan padat masa yang diambil untuk berkomunikasi. Ringkas dan padat akan memberikan natijah yang buruk dalam hal kekeluargaan. Kerapkanlah berdoa sebagai firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Furqan ayat 74 yang bermaksud, "Dan orang-orang yang berkata: Ya Tuhan kami, berilah kami isteri-isteri dan anak-anak yang menggirangkan hati kami, dan jadikanlah kami imam (ikutan) bagi orang-orang yang bertakwa".
Comments