Alhamdulillah, saya ambil kesempatan menulis lagi. Saya tergerak untuk menulis kali ini disebabkan perasaan serba salah bercampur gembira dan bangga dalam usia dan keadaan saya kini, masih lagi Allah berikan peluang untuk bersama rakan-rakan bahkan adik-adik berbincang dan berbicara tentang dakwah. Perbincangan Kami adalah selepas mesyuarat dalam keadaan berdiri dan suasana suram hanya dilimpahi cahaya lampu jalan. Perbincangan terarah kepada beberapa isu berkenaan dunia dakwah yang sama-sama kami bersama di dalamnya.
Pada awalnya, sebagai Abang, sudah tentu kita rasa pandangan dan perbincangan kita yang ketuai, namun selepas beberapa ketika, perbincangan semakin rancak, banyak pula saya rasa, pandangan, kata-kata dan cerita yang saya keluarkan semakin sumbang dan keadaan itu menyebabkan saya diingatkan secara tidak sengaja (atau mungkin sengaja) oleh adik-adik. Selama hari ini kekhuatiran kepada generasi ini saya rasakan sudah ada jalan keluarnya, yang perlu sekarang adalah istiqamah dan sabar.
Pada mereka (adik-adik yang saya maksudkan) sudah ada kefahaman yang baik mengenai dakwah, yakni ia tidak memilih kawan atau lawan, ia tidak tertakluk kepada satu-satu pihak yang punya tetapi ia adalah tugas bersama. Terbaik! Mereka faham dan penilaian mereka cermat dalam hal dakwah dan merasakan dakwah ini kerja berat, kita tidak boleh pikul sendirian. Mereka juga tampaknya sudah ada kesalingan dan kebersamaan dalam kerja-kerja ummat. Mereka perlu digemblengkan. Mereka sangat memandang serius dalam hal-hal yang boleh menyebabkan permusuhan dan mereka mahu ia dielakkan.
Ya Allah, sembang kami malam itu mengiringi saya pulang ke Kuala Selangor dengan hati yang lapang dan berbunga-bunga. Saya selalu kata dan rasa, bukan generasi saya ini akan buat kebangkitan, kerana banyaknya penyakit ummat pada generasi kami yang menghalangi kami menjadi pembangkit itu. Mungkin juga bukan generasi mereka, tetapi saya yakin, yang kita mulakan hari ini, adalah pencetus kepada kebangkitan yang Allah janjikan. Janji Allah pasti dipenuhi dan saya ingin menjadi sebahagian darinya jika tidak berada di dalam kebangkitan itu sekalipun. Ya Allah tetapkan langkahku, terus tunjukkan aku jalan yang Kau redha moga aku juga tergolong di dalamnya amin.
Comments