ALLAH YANG MENCORAKKAN

Alhamdulillah, dipilih Allah s.w.t dalam keluarga Islam, beramal dengan Islam dan menghayati Islam. Firman Allah s.w.t yang bermaksud;

'(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: "Ugama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat".' (Al-Baqarah 2:138)


Manusia berusaha untuk mencorakkan kehidupan mereka dengan corakkan yang paling sempurna. Inginkan keselesaan, kemewahan, kesenangan, kedudukan dan sebagainya. Dari awal pagi sehingga ke lewat petang asyik dengan usaha mencorakkan itu. Namun jika corakkan itu tidak selari dengan corakkan Allah s.w.t biasanya ia tidak berjaya dicapai.

Ini disebabkan oleh pengetahuan Allah s.w.t yang Maha Luas, maka dia lebih tahu berbanding diri kita sendiri. Pada ketika kita kehabisan wang, perkara pertama yang kita fikirkan apa yang nak dilakukan esok tanpa wang? Tiba-tiba datang seorang rakan lama ingin membayar hutang yang boleh dikira lapuk kerana perniagaannya telah berjaya. Senyum pasti bersinar pada wajah kita, tanpa diminta, tidak pun sempat berdoa, Dia tahu keperluan maka disediakannya untuk kita.

Jika dalam hidup kita Dia pencorak yang terbaik, begitu juga dengan Islam, Dialah pemilik, Islam atas redha Nya, maka Islamlah cara hidup yang terbaik. Oleh kerana itu yakinilah pada setiap pemberian Nya yang berupa kesenangan, kesempitan, kelapangan, kesusahan dan banyak lagi. Pasti ada natijah untuk kita. Apa yang utama, berterusan beribadat dan memohon dari Allah untuk kehidupan kita yang terbaik kerana Allahlah yang mencorakkan.

1 comment:

Cik Matahariku said...

terima kasih dengan tazkirah ini, semua kebaikan atau keburukan yang kita dapat, memang pasti ada hikmahnya kepada kita. Mahu, sedar atau tidak sahaja empunya diri untuk memahaminya..