Skip to main content

DAFTAR SEKARANG!

DAFTAR SEKARANG!
Cemerlang Belajar Online, 20 Jun 2021, 9.00 pagi

TIDAK TERPESONG DARI JALAN DAKWAH


Sudah menjadi keutamaan buat kita sebagai generasi pendakwah untuk memberikan perhatian kepada tiga tugas utama kita. Pertama, menyediakan generasi Islam yang beriman, pemuda yang menjadikan Islam sebagai cara hidup mereka. Islam menjadi tanggungjawab serta perbualan mereka. Kedua, bukan sekadar menyediakan generasi Islam bahkan generasi Islam yang berusaha menegakkan sahsiah Islam bagi memadamkan kebatilan jauh dalam diri, keluarga dan masyarakat. Ketiga, generasi Islam yang beriman tadi juga harus bersedia dan berani untuk menegakkan kembali kebenaran syariah Islam.

Paling asasnya adalah menyediakan mukmin dengan tapak yang luas dan kukuh yang berkeupayaan untuk menahan menara kegemilangan Islam dari taufan badai dan gegaran tohmahan serta gangguan sepanjang menjalankan tanggungjawab sebagai pendakwah. Ia seharusnya mestilah bermula dari pembaikan diri kemudian keluarga dan berakhir dengan masyarakat yang didasari oleh persaudaraan dan cinta-mencintai kerana Allah s.w.t.. Gangguan dan usaha pemesongan pasti akan datang bersilih ganti dan menjadikan kita akan hanya tertumpu kepada perkara kecil dan cabang bukan perkara pokok lagi. Kita fikirkan tentang siapa betul dan siapa salah di dalam rumah kita sedangkan pada masa yang sama musuh sudah mengepung kita dari luar rumah.

Maka anak muda, pendakwah muda, awasilah perkara-perkara seperti urusan perbalahan ‘kulliyah’ dan ‘juz’iyyah’. Perkara pokok kita adalah Islam, mengembalikan Islam yang sahih, menegakkan syariat Allah s.w.t., undang-undang Islam serta daulah Islam. Melaksanakannya mestilah melalui amal jamaie yang sistematik, terancang, ditambah dengan kekuatan dan keberkatan sistem Syura serta beriltizam dengan syariat Islam. Begitu juga dari sudut berbeza pendapat pada perkara cabang. Ini akan menghabiskan banyak masa kita. Soal cara, siapa betul, syaitan akan ambil kesempatan ini untuk memecahbelahkan kita. Sepadukan usaha dengan tolong-menolong pada perkara yang disepakati, berikan kemaafan, buka hati dan minda untuk menerima pandangan orang lain. Buangkan sifat ‘ananiah’ atau perasaan ego, merasakan diri sendiri lebih baik dari orang lain dari sudut pekerjaan mahupun pandangan dari dalam diri kita.

Keburukan keadaan orang yang kita seru dari sudut sosiobudaya, sosioekonomi, kepercayaan serta corak kehidupan mereka menyebabkan kita akan rasa tidak berdaya, lemah dan mati rasa. Akhirnya kita berhenti dan menjauhkan diri dari kerja dakwah serta tidak lagi menyeru mereka kepada kebaikan. Maka akan lahirlah manusia atau pendakwah yang bersikap atas pagar apabila berlaku pertembungan Islam dan jahiliyah moden. Berdoalah kepada Allah s.w.t. agar kita tidak diasingkan atau mengasingkan diri daripada jamaah kerana apabila kambing yang terpisah daripada kawanannya akan dengan mudah diterkam serigala.

Inilah sebahagian dari ciri putus asa kepada kemenangan. Ia timbul dari jiwa yang lemah serta tidak merasai kemuliaan sebagai seorang Muslim. Mereka telah memenuhkan hati dan fikiran mereka dengan kebendaan sehingga melupakan kebenaran yang perlu ditegakkan dan;

“Ia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu membanjiri tanah-tanah lembah (dengan airnya) menurut kadarnya yang ditetapkan Tuhan untuk faedah makhluk-Nya, kemudian banjir itu membawa buih yang terapung-apung dan dari benda-benda yang dibakar di dalam api untuk dijadikan barang perhiasan atau perkakas yang diperlukan, juga timbul buih seperti itu. Demikianlah Allah memberi misal perbandingan tentang perkara yang benar dan yang salah. Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan.” (Ar-Ra’d 13: 17).

Yakinilah bahawa, pada setiap perkara yang nampak kebatilannya itu, pasti akan luput dari kehidupan kita manusia dengan hanya menunggu masa dan atas usaha dakwah yang dijalankan secara berterusan. Usahlah berhenti, usahlah rasa penat untuknya. Memang wujud dikalangan kita, mereka yang berfikiran kebendaan mempersoalkan bilangan yang sedikit serta upaya lemah yang ada. Ingatlah, pada tika Nabi memulakan dakwah di rumah Al-Arqam Abi Al-Arqam dengan dikerumuni oleh mereka yang hebat materialnya, orang Yahudi, Quraisy, Romawi dan Parsi. Rasulullah s.a.w. telah menjanjikan mereka dengan kegembiraan dengan sabdanya;

"Allah pasti menyempurnakan urusan ini, memberi kemenangan kepada Islam, sehingga berjalanlah penunggang itu dari San 'a ke Hadhramaut, tidak ada yang ditakuti kecuali Allah dan serigala yang akan memakan kambingnya, akan tetapi kamu terburu-buru, hendak mencapai kemenangan dengan segera."

“Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan Yang demikian). Dia lah yang telah mengutus Rasul Nya (Muhammad s.a.w) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya ia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.” (As-Saff 61: 8-9).

Meragui jalan dan meragu-ragukan mereka yang berjalan atas jalan dakwah dengan slogan-slogan melemahkan serta cemuhan dan hinaan begitu juga ejekan yang merendahkan martabat jalan dakwah. Mereka akan terus membuat tuduhan dan menyebarkan fitnah serta gambaran salah mengenai usaha dakwah yang dilakukan.

"Dan barang siapa yang berjihad, maka sesungguhnya jihadnya itu adalah untuk dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam." (Al-Ankabut 29: 6) 

“Dan jika kamu berpaling nescaya Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan mereka tidak akan seperti kamu." (Muhammad 47: 38)

Lantaran itu, hai semua muslimin, saudara pendakwah, gabungkanlah diri mu dengan angkatan dakwah Islam supaya sentiasa disuburkan dengan semangat dan iltizam untuk terus berdakwah dan berdepan dengan segala tohmahan dengan tenang dan aman. Janganlah buang masa kerana kewajipan lebih banyak dari masa.

Kamarul Azami bin Mohd Zaini
Ulangsiar: 7 Syawal 1436H / 23 Julai 2015M

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN INTEGRITI DALAM KEPIMPINAN

Insan berintegriti apabila mengamalkan sikap jujur ​​serta menonjolkan daya kepatuhan yang berterusan tanpa kompromi terhadap nilai-nilai dan juga prinsip moral berlandaskan kepada etika sesuatu pekerjaan atau kelompok. Apabila kita merujuk soal etika, integriti di dalamnya adalah kejujuran dan kebenaran atau ketepatan tindakan seseorang. Integriti amat bertentangan dengan kemunafikan, kerana penilaian melalui neraca integriti akan mengambil kira konsistensi dalaman peribadi dengan sifat murnipada masa yang sama dinasihatkan kepada pihak yang memiliki nilai-nilai yang bertentangan dalam diri dan kelompok itu, harus memikirkan soal perbezaan tersebut lalu mengubahnya. Perkataan integriti sebenarnya dikembangkan dari kata asal integer dari perkataan Latin melambangkan satu sifat, yang bermaksud keseluruhan atau lengkap. Maka dari satu sudut pandang dunia kepimpinan, integriti adalah nilai jati diri kepimpinanyang dilambangkan melalui kualiti seperti kejujuran dan sifat ketekalan. Oleh se

KENAPA SAYA PERLU MENJADI FASILITATOR?

Apabila kita fikirkan bersama, keprihatinan masyarakat pada hari ini adalah amat kurang. Peningkatan gejala sosial semakin meningkat dan amat meruncing. Pelbagai cerita dan khabar yang telah kita dengari dan khuatiri. Apa peranan kita? Adakah kita hanya ingin mendengar dan melihat tetapi tidak mahu turut sama membantu? Masyarakat hari ini sudah hilang rasa peduli mereka kepada msayarakat. Mereka tidak berminat untuk mengambil tahu tentang masalah orang lain dan hanya menumpukan perhatian kepada kehidupan secara individu. Akhirnya ia melahirkan masyarakat yang individualistik dan materialistik. Apa itu fasilitator? Fasilitator datangnya dari perkataan Bahasa Inggeris 'facilitator'. Ia adalah kata terbitan dari kata dasarnya 'facilitate'. Secara bahasanya ia membawa maksud kemudahan, bantuan atau membantu. Ia juga dikenali sebagai pemudahcara, pembimbing dan banyak lagi istilah yang digunakan. Fasilitator adalah contoh, pencetus, motivator, provokator dan pelbagai

MEMBUAT KEPUTUSAN DALAM ORGANISASI

Herbert A. Simon menganggap proses membuat keputusan adalah sama dengan keseluruhan proses pengurusan. Pandangan beliau 'Decision making comprises three principal phases: finding occasions for making a decision; finding possible courses of action; and choosing among courses of action.' Membuat keputusan di dalam sesebuah organisasi merupakan sesuatu yang amat penting dalam memastikan kelangsungan organisasi tersebut. Semua kita secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam proses membuat keputusan ini khususnya dalam hal peribadi, keluarga begitu juga dalam situasi bersama rakan-rakan sekerja. Apabila terhidang dihadapan kita beberapa pilihan untuk diambil khusus kepada isu-isu tertentu, pilihan kita itulah yang dikatakan sebagai keputusan. Selagi ia berhenti pada tahap pilihan maka ia belum dinilai sebagai sebuah keputusan. Pilihan adalah alat pandu kepada si pembuat keputusan sesuai dengan objektif yang ingin dicapainya. Pembuat keputusan kebiasaannya adalah mereka yang