Skip to main content

DAFTAR SEKARANG!

DAFTAR SEKARANG!
Cemerlang Belajar Online, 20 Jun 2021, 9.00 pagi

APAKAH PERANAN KITA (BELIA)

Alhamdulillah, sahabat-sahabat yang dikasihi Allah sekalian.

Hari demi hari, minggu demi minggu kita terus berkumpul dan bertemu untuk usrah mingguan SISMA yang memasuki usia lebih setengah tahun sejak kita memulakannya akhir tahun 2010 yang lalu. Apa yang dapat dikongsi bersama dengan para sahabat sekalian adalah perasaan bangga dengan penglibatan muda-mudi yang usianya baru memasuki alam 20-an. Pada usia sebegini, sedarlah, tidak ramai yang mahu terlibat, khususnya dalam keadaan huru-hara akhlak dan jiwa manusia hari ini. Masing-masing takut dikatakan terlalu ekstrem atau takut untuk dilabel sebagai kelompok-kelompok yang terkeluar dari masyarakat.

Ingatlah, buat ibu-ibu dan bapa-bapa kita, ia merupakan suatu penghargaan kepada mereka kerana keterlibatan dan keberanian anak-anak mereka mengambil dan menanggung risiko walaupun sedar dan tahu kesusahan pasti sedang menunggu mereka di hadapan. Hari ini mungkin sebilangan keluarga kita tidak dapat memahami kepentingan usaha ini, namun usahlah kita membuang dan tidak mendengar nasihat mereka begitu sahaja kerana, orang yang paling hampir yang perlu kita selamatkan dahulu adalah ahli keluarga kita.

Usahlah berasa ragu andai mereka menghalang atau menimbulkan rasa gusar dalam hati kerana sesungguhnya mereka juga telah Allah datangkan rasa kasih sayang dan mereka juga tidak sanggup melihat kita di dalam kesusahan. Maka, disitulah hadirnya teman-teman yang sentiasa mengingatkan diri kita tentang tanggungjawab dan peranan ini dan melalui merekalah mudah-mudahan Allah s.w.t. datangkan semangat untuk terus melakukan kerja-kerja agama. Firman Allah s.w.t.;

“Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.” (Ali Imran 3: 146)

Harus kita fahami bersama bahawa, kita hanya akan berperanan apabila kita benar-benar berada di dalamnya. Untuk berada di dalamnya kita harus menghayati dan memahami dengan sebenar-benarnya. Menghayati dan memahami bagaimanakah ertinya berada atas jalan agama dan bagaimana pula perasaan dan keyakinan sehinggakan tidak mahu tunduk kepada musuh-musuh mereka.


TABIAT MARHALAH INI

Kita masih berada diperingkat tapak untuk membina sebuah daulah Islam yang dicita-citakan. Ia semestinya bermula dari batu-bata yang membina tapak tersebut yakni individu kita, seterusnya kepada keluarga yang dibina dan masyarakat yang kita berada di dalamnya. 3 struktur inilah yang menjadi pra-syarat pembangunan daulah dan kehidupan yang Islami. Pada peringkat ini, harus kita fahami proses pembangunan itu mestilah dilakukan ke arah 2 perkara yakni islah diri sendiri dan menyerulah kepada orang lain (dakwah). Maka inilah yang selalu kita bincangkan di dalam latihan-latihan kefasilitatoran kita khususnya di dalam PEPIAS iaitu pencapaian menegak yakni merapatkan diri dengan Allah s.w.t. dan pencapaian melintang yang merujuk kepada kerja dakwah dan menghampiri masyarakat dan keluarga kita. Sebagaimana ayat yang kerap kali kita bincangkan iaitu;

“Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan Nya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada Nya.” (Ar-Ra’d 13: 11)

Inilah yang telah ditinggalkan generasi abang-abang kita. Tidak jauh dari kita. Apabila terlalu banyak kelompangan yang kita biarkan serta teguran dan peringatan Allah s.w.t. yang kita telah abaikan, natijahnya berlaku ketandusan ilmu, keruntuhan akhlak serta hilang pertimbangan dalam emosi mereka. Maka, bencana demi bencana berlaku. Inilah bukti, Allah s.w.t. tidak pernah bisu dari berkata-kata dengan cara peringatan yang tidak disangka-sangka.


BANYAK DAN SEDIKIT

Umat kita pada hari ini ramai, tetapi rendah kualitinya, menjadikan mereka kurang berharga kerana terlalu banyak dipasaran. Tenaga dakwah yang berkualiti amat sukar dicari dan ini menjadikan mereka sangat berharga. Namun, persoalannya adakah kita sebahagian dari yang berharga tersebut? Mereka yang berharga ini disebabkan telah tertegakkannya daulah Islam dalam hati mereka dan mudah-mudahan daulah Islam akan tertegak di bumi yang mereka pijak (Hassan Al-Hudaibi).

Dari ciri-ciri ini maka akan lahirlah usaha kerja dakwah, persaudaraan sebagaimana yang telah dipelopori oleh Rasulullah s.a.w. Inilah jalannya, tiada yang lain, kembalilah kepada Al-Quran dan sunnah Rasul sebagai rujukan dan pegangan. Supaya kita diiktiraf Rasulullah s.a.w. sebagai umatnya.


PERBAIKI DIRI

Wahai sahabatku yang dikasihi Allah s.w.t. sekalian.

Langkah pertama, perbaikilah diri. Binalah kekuatan iman. Ia merupakan tunjang asas yang penting buat kita. Dek kerana itu, kita perlu terus berbincang, berfikir dan mengamalkan apa yang diperintahkan Allah sebagai persiapan memperbaiki diri kita. Tanpa kekuatan iman, tidak akan sampai kepada 2 peringkat lagi dalam usaha perjuangan dakwah ini iaitu kekuatan persatuan serta kekuatan kuasa. Iman adalah tunjang dan iman adalah asas yang benar. Dari iman akan datang sifat hamba yang mendorong manusia untuk melakukan segala kebaikan di dunia. Apabila iman sudah meliputi setiap sudut hati manusia, maka barulah datang kekuatan persatuan yang bertunjangkan ukhuwah kerana Allah s.w.t.

Inilah tanzimnya, yang wajib kita ketahui dan lakukannya, tahu yang mana datang dahulu dan yang mana kemudian agar usaha ini tidak mengorbankan jiwa-jiwa yang semarak untuk membangunkan Islam. Kecuaian kita akhirnya menyebabkan jiwa itu mati dengan cara yang sia-sia. Inilah tatacara Rasulullah, bukan bermakna Baginda s.a.w. tidak menggunakan kekuatan kuasa, tetapi jelas, Baginda tidak menggunakannya sehinggalah kekuatan diri benar-benar mantap dan kekuatan persatuan itu terbina atas dasar iman mereka. Imbau kembali sejarah Ar-Rasul, bukankah Baginda berkuasa di Madinah dan kemudiannya membuka Makkah? Apakah yang Baginda lalui sebelumnya?

Kita sebenarnya terlalu tergesa-gesa untuk melihat kejayaan umat Islam itu di hadapan kita. Ingatlah tugas kita hanya buat, perbaiki dan istiqamah dengan usaha itu, bukan hak untuk kita menentukan kejayaan kerana ianya mutlak milik Allah. Ikhlaskan niat kita demi umat, agama ini dan Allah s.w.t. Mari kita lihat bersama, betapa membuat kerja demi Allah dan agama Nya amat mudah dan ramai sekali yang mengikutinya, tetapi kita gagal dalam menundukkan hawa nafsu serta membentuk akhlak mulia di kalangan ahli jemaah kita.

Imam as-Syahid Hassan Al-Banna berkata di dalam tajuk ceramahnya "Dari Mana Kita Mulakan". "Sesungguhnya membentuk umat-umat dan mendidik bangsa-bangsa, mencapai cita-cita, menolong pegangan hidup, memerlukan ummah yang menghendaki demikian atau sekurang-kurangnya golongan yang menyeru kepadanya, memerlukan kekuatan jiwa yang besar yang tergambar di dalam beberapa perkara: kekuatan kemahuan yang tidak mengenal kelemahan, kesetiaan yang tetap dan tidak mengenal kepura-puraan dan pengkhianatan, pengorbanan yang banyak yang tidak dapat dihalang oleh ketamakan dan kebakhilan, makrifah dengan prinsip pegangan hidup dan percaya kepadanya dan menghargainya dan memelihara dari kesalahan, penyelewengan dan apologetik di atasnya ataupun terpedaya dengan yang lainnya. Di atas kekuatan jiwa yang agung inilah dibangunkan pegangan hidup dan dididik ummah yang baharu bangun. Di atasnya juga dibentuk bangsa-bangsa yang muda dan diberi nafas kehidupan di kalangan rakyat yang telah lama dinafikan hak-hak kehidupan. Tiap-tiap bangsa yang tidak mempunyai empat sifat ini ataupun sekurang-kurangnya tidak mempunyai pemimpin-pemimpin dan penyeru-penyeru yang memperbaikinya, inilah bangsa yang sia-sia dan miskin, bangsa yang tidak akan sampai kepada kebaikan dan tidak dapat mencapai satu cita-cita. Bangsa yang demikian hanya hidup di dalam mimpi, sangkaan dan waham: ‘Sesungguhnya persangkaan itu tidak sedikit pun berguna untuk mencapai kebenaran’ (Yunus: 36)

4 perkara yang menjadi gagasan beliau untuk mencapai cita-cita yang agung yakni berjiwa besar yang tetap dengan kemahuannya, setia dan bertahan dengan kesetiaannya, iman dengan keimanan yang sebenar serta sanggup mengorbankan segala-galanya demi cita-citanya. Begitulah pentingnya memperbaiki diri. Sebagaimana yang pernah kita bincangkan mengenai nafsu itu ibarat kanak-kanak. Inilah yang akhirnya akan melahirkan insan soleh.


INDIVIDU MUSLIM YANG KITA KEHENDAKI

Nilai perlu dirujuk semula di dalam buku-buku serta risalah-risalah yang telah banyak diperbincangkan. Pendokong dakwah ini perlulah mendokong akidah yang sahih lagi benar, bukan olok-olok atau sekadar perkataan yang keluar dari mulut tetapi tidak hadir dalam hatinya. Apatah lagi dari campur aduk kefahaman yang bukan-bukan. Dia juga harus mendokong ibadah zahir dan batinnya. Menjadikan ketaatan sebagai hamba itu jalan untuk memenuhi keperluan dirinya. Tidak lupa juga akhlak yang teguh yang bercirikan Al-Quran dan As-Sunnah yang agung. Maka dari situ akan lahir kepimpinan yang mempunyai pendidikan dan pemikiran yang betul dan sesuai dengan amal Islami.

Tubuhnya kuat serta mahu bermujahadah dengan dirinya bagi mengekang dan menahan nafsu di dalam diri. Memberi manfaat kepada orang lain serta menjaga waktunya dari amal-amal yang lebih kepada perkara yang sia-sia.


AKIDAH ISLAM

Akidah sebenar adalah akidah yang dipegang oleh para salafussoleh yang perlu dijadikan kayu ukur dan pertimbangan dalam memastikan akidah kita sendiri berada pada landasan yang sebenar. Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran;

“Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah ia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikia0n keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Demikianlah (sebagaimana iman itu diperlihatkan keelokannya kepada orang-orang yang beriman), diperlihatkan pula pada pandangan orang-orang yang kafir itu akan keelokan apa yang mereka telah lakukan (dari perbuatan kufur dan segala jenis maksiat).” (Al-An’am 6: 122)

Dari akidah yang benar ini akan lahir peribadi yang kuat, berjihad dan merasakan bahawa dakwah ini adalah bebanan yang di pikul dan perlu dilaksanakan. Diri pendakwah harus faham dan meyakini bahawa setiap yang dianugerahkan kepadanya adalah sesuatu yang dipinjamkan dan perlu dibayar. Ia adalah modal untuk digunakan mengumpul keuntungan di akhirat. Maka, ilmu tauhid ini harus bukan menjadi ilmu di dalam kitab atau perbincangan, tetapi sesuatu yang dipakai dan dinampakkan pemakaiannya melalui akhlak yang baik. Kita perlu membina diri dengan iman yang teguh, bermula dari beriman kepada Allah, Malaikat, kitab, rasul, hari kiamat serta qada’ dan qadar.

Yang kita usahakan adalah akidah salimah dan akidah yang dapat menimbang amal diri dengan timbangan rabbani. Mengutamakan pandangan Allah dalam setiap perbuatan sehingga kepada sekecil-kecilnya perkara itu. Menjadi Muslim yang berbangga dengan saudaranya, memberikan manfaat sebaiknya kepada saudaranya. Ini kerana, dia merasakan bahawa itu adalah tanggungjawabnya.


SUMBER AKIDAH YANG SEJAHTERA

Al-Quran dan Sunnah. Itulah yang diajarkan kepada para sahabat yang seterusnya tertegak daulah islamiah.

15. “Wahai ahli Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Kami (Muhammad s.a.w) dengan menerangkan kepada kamu banyak dari (keterangan-keterangan dan hukum-hukum) yang telah kamu sembunyikan dari Kitab suci, dan ia memaafkan kamu (dengan tidak mendedahkan) banyak perkara (yang kamu sembunyikan). Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah, dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata keterangannya.”

16. “Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaan Nya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izin Nya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.”
(Al-Maidah 5: 15-16)

Namun, pendakwah hari ini melihat sumber ini sebagai perkara menunjukkan kesalahan orang lain. Menilai orang lain berdasarkan kata-kata Allah s.w.t. tetapi tidak kepada diri sendiri.

“Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?” (Al-Qamar 54: 17)

Begitu juga dengan sunnah Ar-Rasul. “Aku tinggalkan kepadamu dua perkara selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu kitab Allah dan sunnahku, cara hidupku.”

Muat turun artikel ini di sini.

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN INTEGRITI DALAM KEPIMPINAN

Insan berintegriti apabila mengamalkan sikap jujur ​​serta menonjolkan daya kepatuhan yang berterusan tanpa kompromi terhadap nilai-nilai dan juga prinsip moral berlandaskan kepada etika sesuatu pekerjaan atau kelompok. Apabila kita merujuk soal etika, integriti di dalamnya adalah kejujuran dan kebenaran atau ketepatan tindakan seseorang. Integriti amat bertentangan dengan kemunafikan, kerana penilaian melalui neraca integriti akan mengambil kira konsistensi dalaman peribadi dengan sifat murnipada masa yang sama dinasihatkan kepada pihak yang memiliki nilai-nilai yang bertentangan dalam diri dan kelompok itu, harus memikirkan soal perbezaan tersebut lalu mengubahnya. Perkataan integriti sebenarnya dikembangkan dari kata asal integer dari perkataan Latin melambangkan satu sifat, yang bermaksud keseluruhan atau lengkap. Maka dari satu sudut pandang dunia kepimpinan, integriti adalah nilai jati diri kepimpinanyang dilambangkan melalui kualiti seperti kejujuran dan sifat ketekalan. Oleh se

KENAPA SAYA PERLU MENJADI FASILITATOR?

Apabila kita fikirkan bersama, keprihatinan masyarakat pada hari ini adalah amat kurang. Peningkatan gejala sosial semakin meningkat dan amat meruncing. Pelbagai cerita dan khabar yang telah kita dengari dan khuatiri. Apa peranan kita? Adakah kita hanya ingin mendengar dan melihat tetapi tidak mahu turut sama membantu? Masyarakat hari ini sudah hilang rasa peduli mereka kepada msayarakat. Mereka tidak berminat untuk mengambil tahu tentang masalah orang lain dan hanya menumpukan perhatian kepada kehidupan secara individu. Akhirnya ia melahirkan masyarakat yang individualistik dan materialistik. Apa itu fasilitator? Fasilitator datangnya dari perkataan Bahasa Inggeris 'facilitator'. Ia adalah kata terbitan dari kata dasarnya 'facilitate'. Secara bahasanya ia membawa maksud kemudahan, bantuan atau membantu. Ia juga dikenali sebagai pemudahcara, pembimbing dan banyak lagi istilah yang digunakan. Fasilitator adalah contoh, pencetus, motivator, provokator dan pelbagai

MEMBUAT KEPUTUSAN DALAM ORGANISASI

Herbert A. Simon menganggap proses membuat keputusan adalah sama dengan keseluruhan proses pengurusan. Pandangan beliau 'Decision making comprises three principal phases: finding occasions for making a decision; finding possible courses of action; and choosing among courses of action.' Membuat keputusan di dalam sesebuah organisasi merupakan sesuatu yang amat penting dalam memastikan kelangsungan organisasi tersebut. Semua kita secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam proses membuat keputusan ini khususnya dalam hal peribadi, keluarga begitu juga dalam situasi bersama rakan-rakan sekerja. Apabila terhidang dihadapan kita beberapa pilihan untuk diambil khusus kepada isu-isu tertentu, pilihan kita itulah yang dikatakan sebagai keputusan. Selagi ia berhenti pada tahap pilihan maka ia belum dinilai sebagai sebuah keputusan. Pilihan adalah alat pandu kepada si pembuat keputusan sesuai dengan objektif yang ingin dicapainya. Pembuat keputusan kebiasaannya adalah mereka yang