Skip to main content

DAFTAR SEKARANG!

DAFTAR SEKARANG!
Cemerlang Belajar Online, 20 Jun 2021, 9.00 pagi

KEPENTINGAN JIHAD DALAM HIDUP MAHASISWA



“Papa nak pegi mana karang?” tanya isteri saya ketika saya menghantarnya ke Universiti Teknologi MARA di Shah Alam untuk kelas pengajian luar kampusnya. “Ingat nak solat kat masjid baru UiTM la” kata saya memasang niat. “Papa nak duduk kat masjid ke?” tanya isteri saya seperti berminat dan menggalakkan. “Tengoklah”, jawab saya ringkas. Saya meneruskan perjalanan saya setelah menurunkan isteri saya di hadapan fakultinya.

Tiba di masjid baru UiTM saya merasakan sedikit perubahan dan terasa seronok untuk berada di masjid yang aman dan amat sesuai rasanya untuk saya beri’tikaf sambil memikirkan modul yang perlu saya siapkan untuk dihantar kepada Ustazah Hanizah SAM Tanjong Karang untuk program asas kepimpinan. Entah mengapa agaknya, begitu mudah Allah isikan niat baik manusia ini. Betullah sebagaimana yang selalu kita dengari, apabila kita ada niat yang baik, pasti Allah akan melorong kita ke arah melakukannya. Berbanding sekiranya berniat tidak baik, Allah akan berikan pelbagai halangan sebagai peringatan kepada kita jika kita ini adalah tergolong dari kalangan orang-orang Mukmin.

Saya masuk ke masjid dan menunaikan solat Maghrib. Habis solat, saya berniat untuk tunaikan solat Isyak juga. Alhamdulillah niat saya tercapai. Bahkan, saya juga diberikan kesempatan oleh Allah s.w.t. untuk mendengar, sementara menunggu isteri saya, satu forum yang disusun dan dirancangkan oleh Pusat Pemikiran dan kefahaman Islam UiTM. Ia merupakan ruang yang cukup baik dan mengisi rasa kosong dalam jiwa saya. Apabila kita turuti apa yang baik dalam hati kita nescaya ia pasti akan membawa kita lebih rapat kepada Allah s.w.t. Tajuk yang dibentangkan adalah ‘Pengabaian Jihad dan Kesannya Kepada Ummat Islam Di Malaysia’ yang terdiri daripada ahli panel Prof. Madya Dr. Mustaffa Abdullah (UM), Dr. Syed Muhamad Haleem Syed Hassan Al-Haddad (Haluan Palestin) dan dipengerusikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Rosdi Nik Ahmad.

Wah, perbincangan yang sangat menarik. Tertarik saya mendengar apa yang dibincangkan sambil mata saya merayau melihat kelibat anak-anak muda mahasiswa dan mahasiswi yang belajar di UiTM ini. Terus hati saya berasa sayu. Mereka tidak pernah dengar mungkin apa itu jihad dan mengapa jihad itu penting. Kata Prof. Madya dari UM, jihad itu adalah satu perjuangan memartabatkan kehidupan kita sebagai manusia. Ia memerlukan semangat juang yang tinggi serta dilakukan dengan sepenuh hati, bersungguh-sungguh serta ikhlas semata-mata kerana Allah. Kelemahan kita hari ini yang berada di Malaysia, adalah hilangnya rasa dan nilai jihad ini dalam kehidupan seharian. Anak muda khususnya mahasiswa dan mahasiswi merupakan generasi utama yang perlu ditanamkan konsep jihad dengan lebih jelas. Sedang sibuk saya memasng telinga untuk mendengar kupasa tajuk forum itu, terpandang saya kepada seorang pensyarah bersama seorang pelajar lelaki yang sedang menyerahkan kertas kedatangan untuk ditandatangan oleh pelajar lain.

“Ustazah, ada pen tak?” tanya pelajar lelaki itu. “Pen pun tak bawak datang belajar ni! Pinjam dari kawan awak” tegur pensyarah tersebut. Tersenyum saya melihat tingkahlaku siswa tersebut. Ini ke siswa hari ini? Datang majlis ilmu dengan tangan kosong. Datang hanya dengan niat dan sain kedatangan. Datang hanya dengan niat sebab kena datang. Kemajuan dan kejayaan ummat di Malaysia ini amat bergantung dengan generasi mereka. Pada asalnya saya nak ketawa juga, tapi bila mengenangkan mereka ini mahasiswa dan mahasiswi, hati ini berubah dan timbul rasa sayang kerana mereka tidak diberikan pendedahan yang sebenar. Belajar itulah jihad buat diri mereka. Jihad untuk agama dan bangsa mereka.

“Jangan marah diorang, diorang muda lagi” ungkapan yang sering kita dengar apabila menegur anak-anak muda. Seolah-olah apa yang ditegur itu salah dan tindakan yang mereka buat itu betul. Benar pada satu sudut, orang yang baru belajar memang akan buat silap. Tetapi kesilapan yang berulang bukan bermakna dia belajar. Apa maknanya pula belajar jika tidak pernah dimarahi. Suasana di dalam masjid itu menggamit saya berfikir panjang tentang masa depan kehidupan anak-anak saya kelak. Kasihan mereka dengan keadaan yang ada di depan mata saya. Gadis-gadis jelita sebagai mahasiswi disebelah kiri saya pula ketika itu, sampai lambat dan masuk lambat. Bila dah berada di dalam ruangan masjid, boleh pula minum air sambil borak-borak dan bersandar di dinding. Sebahagiannya pula sibuk sedang sain kedatangan, buku nota? Langsung tidak kelihatan.

Si Ustaz sudah memulakan bicara hampir 30 minit, tetapi mereka yang dibelakang masih lagi sibuk bercerita entah tentang apa. Sekali-sekala saya terdengar juga humor Prof. Madya ketika mempengerusikan forum, tetapi bunyi ketawanya hanya dibahagian hadapan pelajar sahaja. Inilah padahnya apabila mahasiswa dan mahasiswi tidak memahami konsep jihad. Sehinggakan jihad dalam mereka belajar ini juga tidak menjadi keutamaan bahkan sekadar untuk bergelar pemegang ijazah sarjana muda.

“Toing...” tiba-tiba mesej pesanan ringkas saya berbunyi. Isteri saya memberitahu kelasnya sudah selesai. Tidak sempat untuk mendengar pembentangan kedua yang juga merupakan salah seorang sukarelawan yang ada di atas kapal Mavimarmara yang lalu. Sayang sungguh. Namun, itu bukanlah sebagai penamat dalam kehidupan, kadangkala, perkara yang seronok kita perlu berhentikan seketika agar kita dapat merasai kemanisannya. Benak fikiran saya terus berlegar-legar berfikir tentang jihad dan mahasiswa, apa peranan yang saya boleh buat dan libatkan dan apa yang sepatutnya kita semua buat? Jihad dalam diri pelajar semakin malap, tetapi pastinya bukan salah mereka sahaja, bahkan para pendidik juga mungkin jihadnya tidak kuat dan tidak bersungguh-sungguh. Cakap kuat, tapi buatnya, tepuk dada tanyalah iman. Kita TUNE diri kita sedikit demi sedikit, mungkin akan dapat membuat sedikit perubahan daripada tiada.


1.20 pagi
14 Oktober 2010
Rumah PKNS, Kuala Selangor

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN INTEGRITI DALAM KEPIMPINAN

Insan berintegriti apabila mengamalkan sikap jujur ​​serta menonjolkan daya kepatuhan yang berterusan tanpa kompromi terhadap nilai-nilai dan juga prinsip moral berlandaskan kepada etika sesuatu pekerjaan atau kelompok. Apabila kita merujuk soal etika, integriti di dalamnya adalah kejujuran dan kebenaran atau ketepatan tindakan seseorang. Integriti amat bertentangan dengan kemunafikan, kerana penilaian melalui neraca integriti akan mengambil kira konsistensi dalaman peribadi dengan sifat murnipada masa yang sama dinasihatkan kepada pihak yang memiliki nilai-nilai yang bertentangan dalam diri dan kelompok itu, harus memikirkan soal perbezaan tersebut lalu mengubahnya. Perkataan integriti sebenarnya dikembangkan dari kata asal integer dari perkataan Latin melambangkan satu sifat, yang bermaksud keseluruhan atau lengkap. Maka dari satu sudut pandang dunia kepimpinan, integriti adalah nilai jati diri kepimpinanyang dilambangkan melalui kualiti seperti kejujuran dan sifat ketekalan. Oleh se

KENAPA SAYA PERLU MENJADI FASILITATOR?

Apabila kita fikirkan bersama, keprihatinan masyarakat pada hari ini adalah amat kurang. Peningkatan gejala sosial semakin meningkat dan amat meruncing. Pelbagai cerita dan khabar yang telah kita dengari dan khuatiri. Apa peranan kita? Adakah kita hanya ingin mendengar dan melihat tetapi tidak mahu turut sama membantu? Masyarakat hari ini sudah hilang rasa peduli mereka kepada msayarakat. Mereka tidak berminat untuk mengambil tahu tentang masalah orang lain dan hanya menumpukan perhatian kepada kehidupan secara individu. Akhirnya ia melahirkan masyarakat yang individualistik dan materialistik. Apa itu fasilitator? Fasilitator datangnya dari perkataan Bahasa Inggeris 'facilitator'. Ia adalah kata terbitan dari kata dasarnya 'facilitate'. Secara bahasanya ia membawa maksud kemudahan, bantuan atau membantu. Ia juga dikenali sebagai pemudahcara, pembimbing dan banyak lagi istilah yang digunakan. Fasilitator adalah contoh, pencetus, motivator, provokator dan pelbagai

MEMBUAT KEPUTUSAN DALAM ORGANISASI

Herbert A. Simon menganggap proses membuat keputusan adalah sama dengan keseluruhan proses pengurusan. Pandangan beliau 'Decision making comprises three principal phases: finding occasions for making a decision; finding possible courses of action; and choosing among courses of action.' Membuat keputusan di dalam sesebuah organisasi merupakan sesuatu yang amat penting dalam memastikan kelangsungan organisasi tersebut. Semua kita secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam proses membuat keputusan ini khususnya dalam hal peribadi, keluarga begitu juga dalam situasi bersama rakan-rakan sekerja. Apabila terhidang dihadapan kita beberapa pilihan untuk diambil khusus kepada isu-isu tertentu, pilihan kita itulah yang dikatakan sebagai keputusan. Selagi ia berhenti pada tahap pilihan maka ia belum dinilai sebagai sebuah keputusan. Pilihan adalah alat pandu kepada si pembuat keputusan sesuai dengan objektif yang ingin dicapainya. Pembuat keputusan kebiasaannya adalah mereka yang